“Jangan takut pada sekularisme”
Erdogan
Dalam
penulisan kita dapat
- Mengetahui tentang sekularisasi-liberalisasi kelompok Islam
- Pasca Islamisme-Pragmatisme-Liberalisme
“...dan Allah menjadikan
seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang
tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Surah
at Taubah:40)
Penulis
tertarik dengan penafsiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang istilah
kalimatullah dalam ayat di atas. Menurut beliau, apabila disebut kalimatullah, ia membawa maksud bahawa
seluruh ajaran Islam adalah satu ajaran yang padu sehingga kesemuanya tidak
boleh dibelah bahagi atau dipotong-potong menurut kehendak hawa nafsu.
Jika al Quran itu dikerat-kerat atau dipotong-potong antara satu sama lain,
maka al Quran tidak dapat dihayati. Perkara ini menunjukkan bahawa Islam itu
syumul mencakupi seluruh aspek kehidupan secara holistik.
Elemen-elemen
sekular semakin menular dalam gerakan Islam seluruh dunia. Kita boleh belajar
tentang sekularisme-pluralisme-liberalisme dan boleh ambil manfaat daripadanya
tetapi untuk menjadi tunjang pemikiran, perlulah ditolak oleh para pendokong
gerakan Islam. Paling menonjol pada hari ini ialah liberalisme. Paling malang
apabila berlakunya sekularisasi-liberalisasi dalam gerakan Islam dan terdapat
Islamis yang berjaya dipengaruhinya.
Cuba
kita lihat, bagaimanakah pendekatan dan pemikiran tokoh yang terpengaruh dengan
sekularisme?. Islam semakin jarang disebut, Islam hanya alat untuk mengukuhkan
sekularisme, Islam dikesampingkan berbanding pemikiran dan pendekatan sekular.
Perkaitan Islam dengan dunia semakin jauh. Kesyumulan Islam diratahi oleh
sekularisme. Islam diucapkan untuk kemenangan politik sahaja.
Sekularisme
meliputi semua buah pemikiran dan pendekatan serta nilai yang tidak
bertunjangkan agama. Antara sekularisme termasuk liberalisme, sosialisme, post
Islamisme, Inklusif, masyarakat sivil, ruang awam dan sebagainya. Bukannya kita
tak boleh ambil kebaikan daripada konsep buah pemikiran Barat, cuma lakukanlah
Islamisasi agar ia beraqidah dan tak meminggirkan Islam.
Ada
kalangan kita memberi alasan bercakap dalam bahasa ‘orang’ sekarang atau dalam
bahasa konteks semasa iaitu melihat audien. Pendokong Islam perlu bercakap
dalam bahasa Islam bukannya mengagung atau mengangkat idea-idea ciptaan
manusia. Bahasa ‘idea’ manusia lagi sukar untuk difahami oleh rakyat jelata
berbanding sesetengah elitis dan kelompok terpelajar. Perkataan seperti
Inklusif atau urus tadbir yang baik agak sukar difahami berbanding perkataan
amanah, adil dan menerima pendapat orang lain.
Penghalalkan Sekularisme dan
Penjenamaan Islam untuk Kepentingan Tertentu
Kita
biasa dengar istilah-istilah Islami yang unik seperti Islam Hadhari, Dialog
Antara Tamadun, Masyarakat Madani, Dasar Penerapan Islam dan Islamisasi.
Kita
juga biasa dengar dan membaca hujah-hujah yang menempelkan kepada maqasid
syariah, pemikiran Yusuf al Qaradhawi, pemikiran Abdullah Bayyah, fiqh
ikhtilaf, fiqh keutamaan dan kepelbagaian jemaah.
Semua
tempelan hujah dan istilah tersebut sudah tentu mendambakan kebaikan dan tujuan
yang baik, cuma sesetengah kelompok mengambil peluang untuk bermudah-mudahan
dalam sesuatu perkara dan menyambar peluang pengukuhan politik diri dan
kelompok masing-masing.
Menurut
Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH), generasi al
salaf as soleh muncul dengan akidah yang unggul dan mengutamakan ikatan
persaudaraan Islam berjaya mengatasi cabaran dalaman dan luaran. Musuh Islam
menumpukan fahaman akidah memberi kesan berbahaya. Ideologi moden yang dibawa
oleh fahaman sekular yang menular ke
dalam masyarakat Islam. Kemudian ia menyadurkan dengan nama Islam lalu
mewujudkan fenomena baru yang membahayakan akidah.[i]
Menurut
Abdul Hadi Awang lagi, insan dibenarkan untuk membuat sebarang penyesuaian dari
segi pendekatan dan teknikal yang sesuai dengan kehendak zaman tanpa mengganggu
gugat dasarnya sebagaimana termaktub dalam al Quran dan al hadith.[ii]
Jika
Islam dikaitkan dengan negara, pemerintahan, politik dan perundangan, ia sangat
ditakuti oleh Barat dan sekutu mereka. Jangan sesekali menyamakan Islam dengan
pensejarahan gereja di Eropah. Menurut Ustaz Umar Tilmisani pula, mantan
Mursyidul Aam Ikhwan Mesir, dalam masa yang sama, pemimpin-pemimpin ini cuba
menakut-nakutkan rakyat jelata kerana menyangka negara Islam tak ubah seperti
pemerintahan gereja pertengahan abad yang lampau, dimana kesudahannya akan
berulang-ulang trajedi huru hara, pertumpahan darah, kafir mengkafir dan
sebagainya.
Kebanyakan
konsep atau istilah hasil kajian para ulama dan sarjana Islam disalah-guna oleh
kelompok SEPILIS. Tujuan mereka adalah baik dalam mereaslisasikan Islam itu
mudah dan Islam itu rahmat untuk semua manusia. Ada sesetengah pihak mengambil
kesempatan atas konsep tertentu untuk memenuhi tujuan dan kehendak nafsu diri
dan kumpulan mereka. Mereka juga bermudah-mudahan dalam beragama dan cuba
menyingkirkan hukum Islam. Dalam persoalan maqasid syariah umpamanya, Abdul Hadi Awang menyatakan “mereka yang menimbulkan kekeliruan
menggunakan Maqasid Syariah dengan tujuan menyingkirkan hukum Islam”. Umat
Islam perlu bijak dan berilmu dalam menilai hujah-hujah yang kelihatan benar
oleh sebahagian daripada mereka yang bertujuan batil.
Kelompok SEPILIS menggunakan nama dan pemikiran tokoh
Islam tertentu dalam menangani pihak penentang mereka. Sebenarnya, kelompok
SEPILIS tahu bahawa tokoh di atas mempunyai pemikiran berdasarkan al Quran, al
Sunnah, ijma, Qiyas dan ijtihad ulama muktabar yang utuh dan ampuh. Mereka
adalah ulama dan pemimpin Islam yang cukup disiplin dan istiqamah sehingga
meninggal dunia dalam perjuangan Islam. Perbezaan diantara pimpinan gerakan
Islam hanyalah persoalan pendekatan, pendapat dan komunikasi (bahasa) yang
digunakan sahaja.
Konsep
Barat yang diterima pakai sebahagian tokoh Islam ialah
1.
Muslim Demokrat
2.
Pasca (Post) Islamisme
3.
Masyarakat Sivil
4.
Islam Nusantara
Sangat
mendukacitakan apabila ulama atau tokoh Islam memakai konsep-konsep pemikiran
yang bertunjang sekularisme seperti Post Islamisme, Islam Progresif atau Islam
Liberal. Seorang politikus Islam perlu jelas akan aqidah perjuangannya dan
mengelakkan menggunakan atau menyebarkan pemikiran sekular ke dalam masyarakat
dan jemaah Islam
Sekularisasi-Liberalisasi
Dalam Kalangan Islamis
Seperti yang dijelaskan di atas, sekularisme
mencakupi pemisahan antara perkara dunia dengan agama. Sekularisme itu meliputi
ideologi ciptaan manusia seperti liberalisme, komunisme, pasca Islamisme,
Inklusif, Pluralisme dan lain-lain.
Sukar kita menilai para Islamis sebagai elemen sekular
kerana mereka terbahagi kepada beberapa kelompok;
- Kelompok yang mengikut tanpa sedar dan terperangkap dengan istilah dan konsep pemikiran Barat.
- Kelompok yang menyokong dengan sedar tetapi bergerak disebalik gerakan Islam dan hujah Islam.
- Kelompok yang bersandar dengan pemikiran-idea ciptaan manusia demi Islam, bercakap dengan bahasa politik untuk meletakkan Islam dalam konteks semasa dan khalayak masyarakat pelbagai kaum dan agama. Hanya menggunakan pendekatan bukannya berimankan pemikiran tersebut. Malangnya,ada kalangan mereka tenggelam dalam khayalan apabila Islam seakan-akan menjadi isu sampingan sahaja dalam penghujahan dan perjuangan mereka.
Penilaian kita menjadi sukar apabila ia
melibatkan isi hati yang tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali empunya diri
dan Allah. Cuma kita boleh melihat mereka dari segi pengaulan, penulisan,
percakapan dan idea yang mereka gagaskan sama ada mendekati Islam atau menjauhi
Islam.
Menurut Ulil Abshar Abada, tokoh Jaringan Islam
Liberal Indonesia, antara ciri-ciri liberalisasi dalam kalangan Islamis ialah;
- Mereka meninggalkan idea negara Islam dan memeluk demokrasi.
- Mereka meninggalkan idea penerapan syariat, lebih konsentrasi kepada realiti semasa yang praktis
- Selesa memeluk ekonomi bebas
- Meninggalkan konsep Negara Islam dan menganuti Konsep Negara Sivil.
- Mereka lebih realistik dan pragmatis idea dalam melihat keadaan, tak dogmatis memegang ideologi Islamisme
- Mengatakan urusan moral, agama dan akhlak adalah urusan peribadi.
Menurut
Ustaz Sharipudin Abd. Kadir[iii],
kita boleh menilai daripada kesan liberalisasi kepada gerakan Islam yang
dikemukakan oleh beliau iaitu
- Merubah pendekatan dakwah kebanyakan gerakan Islam di Malaysia tanpa melihat kepada perancangan musuh Islam yang terselindung. Setiap isu disokong dan dihujah secara syarak dan aqal tanpa melihat kepada kepentingannya di Malaysia dan kesannya kepada rakyat majoriti.
- Merubah strategi dakwah gerakan Islam. Daripada membela keadilan untuk Islam kepada hanya berdialog dan berdiskusi kononnya secara hikmah. Digambarkan seolah-olah Islam hanya mengutamakan dialog dan diskusi walaupun Islam diserang dari segenap penjuru. Mana-mana gerakan Islam yang ke depan membela Islam dengan agak agresif dituduh sebagai melampau atau tidak memahami uslub dakwah.
- “Mengkijangkan harimau”. Perkataan “musuh Islam” telah ditukar kepada “mad’u kita” walaupun ajaran tersebut jelas memusuhi Islam dengan pelbagai perancangan secara senyap ataupun zahir.
- Para cerdik pandai yang menyalahkan gerakan Islam kerana cuba menanamkan sifat permusuhan dengan penganut agama lain sedangkan di sana terdapat titik-titik persamaan antara Islam dengan agama tersebut seperti Kristian dan Yahudi. Sepatutnya orang Islam menggunakan titik persamaan tersebut ke arah perdamaian dan keamanan dengan membina titik persefahaman.
- Mengenepikan tamadun bangsa yang pernah dicipta oleh generasi terdahulu walaupun syarak mengharuskannya dengan syarat-syaratnya yang jelas. Mereka mendakwa bangsa tidak ada apa-apa kepentingan untuk agama. Bangsa tak wujud pun tak mengapa asalkan Islam ada.
Pasca Islamisme
Menurut
Haris Zalkapli, maksud pasca-Islamisme itu sebagai
satu kondisi gerakan Islam bercakap dalam bahasa semasa dan menangani hal-hal
semasa yang bukan menurut istilah yang biasa dengan gerakan Islam. Tetapi
pasca-Islamisme pergi lebih jauh lagi, dan ditakrifkan juga sebagai satu bentuk baru gerakan Islam yang
mengambil sepenuhnya wacana baru dan bersifat sebagai demokrat dan menjadi
lebih liberal, menjadikan mereka pasca-Islamis.
Asef
Bayat menyatakan pasca Islamisme bukanlah anti Islam atau sekular, ia tidak mengubah Islam tetapi memberi tumpuan
kepada hak asasi warganegara. Asef Bayat berpendapat pasca Islamisme sebagai
satu keadaan, berikutan satu fasa eksperimentasi, tarikan, tenaga, simbol dan
sumber keabasahan Islamisme semakin susut walaupun dalam kalangan penyokong
kuatnya sebelumnya.
Kita
juga boleh memahami pasca Islamisme sebagai satu keadaan parti berasaskan Islam
bercakap dalam bahasa kontemporari dan memberi prioriti kepada isu-isu urus
tadbir, ekonomi dan kebajikan rakyat yang majoriti berbanding isu yang lebih
bersumber wacana agama dan ideologi parti terbabit.
Pada
pendapat penulis, Pasca Islamisme meneruskan legasi Islam Amerika iaitu
perjuangan Islam tanpa syariat. Perjuangan Islam berdasarkan prinsip, nilai dan
moral (baca: akhlak) serta tasawuf sahaja. Islam bagaikan air (nilai) tanpa
bekas air (syariat), mana mungkin air boleh diminum tanpa bekas air (cawan,
gelas dan sebagainya). Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa Islamisme itu
adalah Islam Politik. Mereka mendakwa Islam
Politik perlu dibanteras kerana menghasilkan pemikiran radikal dan ektremisme.
Dakwaan mereka dangkal kerana cuba memisahkan Islam dan politik padahal politik
itu salah satu elemen dalam Islam.
Model
terbaik pasca Islamisme ialah AKP Turki di bawah pimpinan Erdogan dan an Nahdah
dipimpin oleh Rashid Ghannoushi. Menurut
Ulil Abshar Abada, perkataan ‘kebebasan’ pada nama parti-parti yang
dikatakan pro Islam menunjukkan pengaruh liberal sedang membiak cergas dalam
parti tersebut. Perkataan keadilan, kebebasan dan pembangunan seringkali
digunakan oleh kelompok pasca Islamise menunjukkan sifat progresif dan
pembaharuan.
Lihat pula kenyataan pimpinan Parti Keadilan
dan Pembangunan (PJD) Maghribi;
“Jika
saya mendapat tempat di dalam kerajaan, ia tidak akan jadi sekiranya saya
memberitahu wanita muda berapa sentimeter skirt mereka harus memakai untuk
melindungi kaki mereka. Itu bukan urusan saya. Ia tidak mungkin, bagaimanapun,
untuk sesiapa sahaja untuk mengancam punca kebebasan awam di Maghribi
"
Perkara ini menunjukkan urusan agama adalah
urusan peribadi. Kenyataan sebegini secara langsung mempunyai ciri-ciri
sekelompok Islam sudah diliberalisasi.
Dalam gerakan Islam, terdapat sesetengah
pemimpin yang terperangkap, terpengaruh dan seronok dengan permainan konsep
pemikiran Barat yang kaya dengan istilah. Mereka seronok dengan istilah
inklusif, pasca Islamisme, good
governance, muslim democrat,
pluralism dan sebagainya. Pelbagai cara untuk menghalalkan penggunaan istilah
dan konsep daripada pemikiran Barat. Umpamanya pluralism dihujah dengan
pluraliti dalam masyarakat majmuk.
Kita
boleh belajar dan mengunakan pendekatan mereka tetapi kita tidak boleh larut
dalam pemikiran mereka. Sepatutnya
kita mengangkat hujah-hujah dan alternatif Islam dalam masyarakat dan negara.
Kita bawa pendapat dari sisi Islam dikemukakan dalam kehidupan. Berwacana dari
perspektif Islam memerlukan hujah-hujah atau dalil daripada sumber yang ada
autoriti. Dari situlah kita mengemukakan Islam sebagai penyelesaian.
Dalam gerakan Islam di Malaysia, pasca
Islamisme sedang membenih terutamanya dalam kalangan anak muda dan mereka yang
pernah mendapat pendidikan di negara
Barat. Kebanyakan tokoh yang berpendidikan Barat rapat dengan tokoh Ikhwanul Muslimin Antarabangsa tertentu yang terpengaruhi gagasan pasca
Islamisme. Mereka sebenarnya dilihat kelompok elitis yang membawa idea asing
yang kurang difahami oleh rakyat jelata dan anggota bawahan.
Penulis menyifatkan kelompok pimpinan pendamba
pasca Islamisme adalah minoriti dalam fenomena progresif dalam gerakan Islam.
Mereka bersama dalam fenomena progresif kerana mempunyai matlamat yang sama
iaitu perubahan tampuk kepimpinan dan
pendekatan gerakan Islam menghadapi realiti zaman. Pada hemat penulis,
fenomena progresif hanya persaingan kuasa antara kelompok elitis dalam gerakan
Islam. Ia hanya sekitar perebutan kuasa dan hanya perubahan pendekatan bukannya
prinsip. Sebilangan kecil daripada mereka terperangkap dan dicandukan dengan
gagasan pasca Islamisme.
Dalam pemerhatian penulis, sejak tahun 2005,
idea pasca Islamisme dimainkan oleh kelompok tertentu dalam PAS termasuk dalam
Harakah.[iv]
Punbegitu, kita masih lagi beranggapan bahawa mereka hanyalah menggunakan
pendekatan bukannya mengimani dengan pemikiran konsep tersebut. Pandangan baik sangka kita, ia hanya proses
penyesuaian pendekatan dan teknikal untuk mendepani zaman.
Antara idea-idea dan pendekatan kelompok dalam
gerakan Islam di Malaysia yang terpengaruh dengan pasca Islamisme;
- Bergerak dalam ruang lingkup politik dalam kerangka ‘nation state’ iaitu bergerak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
- Menjana gagasan neo-fundamentalisme ke arah penyatuan ummah yang universal berteraskan syariah.
- Tindakan politik perlu mengatasi ideologi. Tindakan sebegini memunculkan pragmatism.
- Pengunaan istilah seperti inklusif dan urus tadbir yang baik
- Menempel dengan maqasid syariah. Pengunaan maqasid syariah bukan untuk mengukuhkan Islam tetapi meminggirkan Islam.
Persoalan yang timbul, apakah pilihan gerakan
Islam sama ada memilih bersama Islamisme
atau pasca Islamisme?.
Pada hemat penulis, ia bergantung kepada niat seseorang
dan sifat waspada seseorang tentang penyusupan gagasan pemikiran Barat yang
tidak Islami dalam keanggotaan jemaah Islam secara sedar, tidak sedar atau
selesa dengan pemikiran tersebut. Dalam pasca Islamisme ada beberapa perkara
yang kita boleh mengunakannya sebagai pendekatan tetapi bukannya ‘isme’ dan tunjang
pemikiran jemaah Islam. Sebagai gerakan Islam, kita perlu kembali kepada
pandangan sarwajagat berdasarkan al Quran dan al Sunnah bukannya pemikiran
Barat.
Antara sifat pasca Islamisme ialah lebih plural, inklusif, toleransi,
demokrat, kepentingan masyarakat sivil, perjuangan hak asasi manusia dan
hubungan antara agama manakala Islamisme terpalit dengan radikal, keras dan
eksklusif. Ada sarjana melihat bahawa pasca Islamisme menjadi ubat kepada
Islamisme yang lama.
Perkembangan komunikasi dan gajet menyebabkan
ramai anak muda mudah tertarik dengan pasca Islamisme. Pasca Islamisme hasil
lontaran sarjana Barat dan sarjana Islam terpinggir berakar umbi daripada pemikiran liberalisme-pragmatisme.
Menurut Ulil Abshar Abdala, fenomena pragmatisme parti Islam berhaluan
sederhana beriringan dengan fenomena melunturnya ideologi dalam politik.
Walaupun pasca Islamisme dikatakan melunturkan ideologi politik tetapi pasca
Islamisme sendiri bakal menjadi ‘isme’ atau ideologi yang baru. Pada
hemat penulis, pasca Islamisme akan meranapkan teras Islam yang mengutamakan
dalil bersumber autoriti (al Quran dan al hadith) kerana mementingkan
kemenangan politik berbanding matlamat dakwah.
Dalam menanggapi kemenangan politik, ia
melibatkan kemenangan bersifat jangka pendek atau jangka panjang. Kemenangan
itu perlu menitik berat perkara di bawah;
- Kemenangan yang diredhai Allah
- Kemenangan dengan cara yang benar bukannya matlamat menghalalkan cara.
- Kemenangan untuk Islam bukannya kehendak nafsu diri dan kumpulan
- Kemenangan yang boleh memberi kebahagiaan kepada manusia (termasuk bukan Islam) dan alam sekitar.
Dalam politik dan demokrasi, kemenangan itu
penting tetapi kita tidak mahu kemenangan yang cacat iaitu kemenangan yang
tidak diredhai Allah terutamanya kelompok pragmatis yang seringkali menggunakan
pendekatan matlamat menghalalkan cara.
Kelompok pragmatislah yang menongkah arus gerakan Islam dengan menerima
secular-liberal sekaligus menjayakan sekularisasi-liberalisasi.
Ada beberapa pendapat tentang kesan buruk yang
dapat ditimbulkan oleh pragmatisme dalam
mengejar tujuan politik seperti di
bawah:
1.
Bagi
sesebuah parti Islam yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan. Parti itu
akan terancam oleh penghakisan ‘ideologi’.
Maknanya, pemikiran bersumberkan dalil al Quran dan al Sunnah akan terhakis
oleh kemenangan politik sahaja. Menurut Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pernah
menjelaskan bagaimana
parti Al ISTIQLAL Maghribi, yang dahulunya berpegang dengan dasar ISLAM,
sekarang bertukar menjadi sekular Liberal. Begitu juga terjadi kepada
Liga Muslim Pakistan yang diasaskan oleh Ali Jinnah atas dasar ISLAM, sekarang
berubah menjadi parti yang mendahului pendekatan sekular dan liberal walaupun
majoriti umat ISLAM di Pakistan.
2.
Kesan
kepada persepsi masyarakat awam. Pragmatisme[1] politik
bakal memberikan implikasi buruk kepada masyarakat. Pragmatisme politik
parti-parti Islam boleh menimbulkan imej buruk pada Islam itu sendiri dan parti
Islam yang benar-benar memperjuangkan Islam. Pemimpin yang terpengaruh dengan
pragmatism sanggup melakukan apa sahaja
demi kemenangan politik. Tanpa dalil yang kukuh dan adab Islam, imej parti
berasaskan Islam akan tercalar.
3.
Kesan
kepada para pendokong parti Islam itu. Bahaya ini muncul kerana pendokong parti
Islam umumnya adalah orang-orang yang lurus, ikhlas, wala’ dan patuh kepada pimpinan parti. Dengan berkiblat kepada
pragmatisme politik, bererti parti Islam itu telah menipu penyokongnya.
Penyokong mengira partinya adalah parti
Islam sejati, padahal parti itu telah menyimpang dari Islam kerana terjerumus
ke dalam langkah-langkah pragmatis tanpa mempedulikan halal-haram.
Kesimpulan
Perjuangan Islam memerlukan keaslian yang
bersumber al Quran dan hadith serta tegas dalam persoalan aqidah. Segala konsep
pemikiran manusia dengan pelbagai alasan adalah ditolak.
Tokoh ulama Islam seperti Yusuf al Qaradhawi,
Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi Awang, Muhammad al Ghazali mengutamakan
dalil-dalil al Quran, al Sunnah dan
ijtihad ulama yang muktabar dalam memperkuatkan hujah-hujah mereka. Jarang
sekali kita membaca dan mendengar gagasan pemikiran Barat yang mereka sokong.
Perkara ini diambil remeh sesetengah pemimpin Islam atas dasar berdialog dan
laras bahasa ‘politik’ untuk mendekati bukan Islam. Kita hidup untuk menegakkan agama dalam diri
dan kehidupan kita bukannya menghidupkan pemikiran manusia atau kita sendiri.
Jangan sesekali kita bersikap taqiyah politik
dan tauriah (suka bercakap tidak benar) dalam politik. Sesiapa yang tak jelas
dalam pendirian politik Islam kebanyakan mengalami kecelaruan sebagaimana
dihadapi oleh sesetengah pemimpin dan gerakan Islam. Taqiyah dan tauriah
politik menyebabkan pahala dan dosa bercampur sehingga menimbulkan fitnah
kepada Islam.
Jangan menjadikan kebencian kita kepada
pimpinan tertentu dalam gerakan Islam atau pembawaan tertentu dalam sesebuah
gerakan Islam sebagai hujah dan dalil untuk kita mengenepikan Islam dan gerakan
Islam. Kita wajar mengubah gerakan Islam daripada dalam bukannya menyerang
daripada luar. Kehendak dan pendapat kita digerakkan dalam keaktifan kita dalam
gerakan Islam secara evolusi bukannya bersikap pemberontak sentiasa memberontak
dalam gerakan Islam.
Barat tidak takut kepada Islam. Barat hanya
mahu Islam yang sesuai dengan kehendak mereka. Paling malang apabila pemimpin
gerakan Islam sendiri terlibat dalam proses penyesuaian Islam dengan Barat
sehingga terhakis aqidah dan syariat Islam. Pemikiran Barat secara tuntas cuba
membawa pemisahan Islam dengan perkara di bawah;
- Islam dan politik
- Islam dan negara
- Islam dan syariat (lebih tepat hukum hudud)
Ketiga-tiga perkara ini banyak mengajar kita
dalam menilai seseorang Islam dan
gerakan Islam yang syumul atau tidak, tulen atau palsu. Islam adalah agama yang
sudah lengkap, apabila sudah lengkap tiada alas an untuk tidak menegakkan agama
Islam secara keseluruhan.
[1]
Pragmatisme ialah kepercayaan bahawa kebenaran atau nilai sesuatu teori,
ajaran, doktrin bergantung kepada kegunaannya secara praktik. Antara tokoh
pemikiran pragmatism ialah Karl Marx dan William James
[iii] Yang Dipertua Majlis Syura ISMA dan Yang Dipertua ISMA Kelantan
[iv] Harakah keluaran 1-15 April 2005 bertajuk Gerakan Islam dan Kuasa ditulis oleh Dr Dzulkefli Ahmad
mengutarakan idea-idea Olivier Roy, penulis buku The Failure of Political Islam. Begitu juga tulisan Dr. Mujahid
Yusof dalam buku Menuju PAS Baru yang
mengandungi juga idea Olivier Roy. Kita melihat kedua-dua tulisan tersebut
mengutarakan idea-idea dan pendekatan mahu perubahan agar PAS berada dalam
reality semasa.
No comments:
Post a Comment