BAB 1
RINTANGAN PERJUANGAN MAHASISWA ISLAM
Oleh mamat.com
mahasiswamenggugat@blogspot.com
‘wahai sahabat mahasiswa, jangan lari daripada masalah, hadapi masalah, jika tidak ia akan mengejarmu’
Cikgu Nik(guru mamat.com)
PELAMPAU DALAM GERAKAN MAHASISWA ISLAM
Islam adalah agama yang sederhana sehingga Rasulullah SAW melarang para sahabat yang hanya hidup untuk beribadah tanpa melakukan urusan lain untuk diri dan keluarga. Kita haruslah ingat manusia itu bukan saja hanya mempunyai hak terhadap Allah, bahkan Allah menetapkan hak terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan makhluk yang lain.
Islam bukannya seperti amalan paderi nasrani yang tidak berkahwin dan bertapa di gereja. Islam adalah agama yang selaras dengan fitrah manusia dan kemampuannya. Allah tidak melarang melainkan apa yang mampu dilakukan oleh hambaNya. Sebarang keuzuran dan di luar kemampuan tetap dimaafkan. Inilah kesederhanaan Islam.
Fenomena pelampau dalam gerakan Islam bukanlah berangkat daripada ajaran Islam tetapi lebih merupakan masalah kontemporari berdasarkan situasi dan keadaan politik, sosial dan ekonomi masyarakat Islam. Dengan kata lain, Islam memberi panduan terhadap setiap tindakan manusia memberi makna kepada kehidupan. Umumnya umat Islam pencinta kedamaian. Sikap pelampau muncul apabila umat Islam ditekan dari musuh yang kafir dan pendokong orang kafir di kalangan umat Islam sendiri. Maka timbullah gejala kafir-mengkafir.
Gejala pelampau dalam gerakan Islam muncul ekoran kebiadapan pemimpin sekular terhadap Islam dan pendukungnya dengan mengeluarkan kenyataan dan meluluskan perkara yang boleh merungkai iman seseorang. HEP sebagai contoh meluluskan konsert padahal ia bukan sesuatu yang paling diutamakan di kampus. Ini menyebabkan berlaku konflik dengan pencinta Islam di kampus.
Perdebatan ilmiah yang menjemput tokoh arus perdana secepat mungkin ditolak tetapi maksiat dibenarkan. Inilah kebiadapan HEP yang amat dimarahi oleh mahasiswa pendokong Islam. Ada sesetengah pegawai HEP menghalang kuliah-kuliah agama sedangkan mereka sendiri tidak menyediakan kuliah-kuliah agama.
Sewajar pemerintah dan penguasa kampus mengambil langkah bahawa pertentangan fikrah mestilah didebatkan dengan fikrah bukannya menggunakan kekerasan, ugutan atau tekanan. Pemerintah dan penguasa HEP lebih suka menggunakan mantiqul-quwwah (logik kekuatan) melalui kuasa yang dimiliki daripada menggunakan quwwatul-mantiq (kekuatan hujah).
Perkara ini dapat dilihat apabila HEP membatalkan program yang dilulus secara semerta sewaktu program tersebut dilaksanakan. Situasi ini akan membangkitkan kemarahan mahasiswa. Jika HEP menggunakan kekerasan untuk membanteraskan idealis mahasiswa, jangan harap kemarahan mahasiswa akan reda bahkan ia akan menimbulkan sifat pelampau di kalangan mahasiswa.
Golongan pelampau mungkin terdiri daripada orang yang menghayati agama dengan ikhlas dan kecintaan mereka terhadap Islam menyebabkan mereka gagal mengawal kemarahan mereka. Mereka cukup terharu melihat kerosakan akhlak yang berlaku di kampus dan di dalam masyarakat.
Kegeraman dan semangat terlalu tinggi menyebabkan mereka melenting kerana mempertahankan Islam yang sangat mereka kasihi sehingga kadang-kala melampaui adab-adab dakwah, kaedah dan ilmunya. Justeru, mahasiswa Islamis tidak harus memandang mudah terhadap peranan tarbiyah pembentukan dan perlu beriltizam dengan ajaran Islam yang teguh. Jangan tergesa-gesa menggunakan uslub politik dengan mencontohi politik kepartaian yang tidak Islami.
Di kampus golongan pelampau lebih dikenali sebagai golongan ‘Taliban’ yang menggunakan pendekatan keras dalam segala tindakan. Mereka berdemonstrasi bahkan sanggup melakukan kekerasan jika lawan bertindak ganas. Golongan ‘taliban’ pernah mendominasi gerakan mahasiswa pada demonstrasi Kerenchi link di Universiti Malaya.[1]
Wahai sahabat mahasiswa, kita haruslah mengawal sifat ini dan jangan ia disalurkan secara terbuka di dalam atau di luar kampus. Penyaluran secara terbuka akan menguatkan hujah para penentang gerakan Islam yang menganggap gerakan Islam sebagai golongan ekstrem. Imej gerakan harus dipelihara bagi memudahkan kita mengislahkan masyarakat dan mahasiswa di kampus. Berdemonstrasilah dengan penuh kesopanan, beradab dan terkawal.
PEROSAK AGAMA DALAM MASYARAKAT KAMPUS
Cabaran yang sangat genting apabila kita berdepan dengan golongan ulama atau pemimpin yang tahu agama. Pengetahuan agama mereka digunakan untuk mempertahankan tuan mereka yang sekular. Inilah ulama yang perosak yang dikenali ulama terompah kayu dan syaitan bisu. Sabda Rasulullah SAW ‘orang yang diam tidak mahu berkata benar, itu syaitan bisu’.
Sewajarnya orang yang tahu agama sepatutnya menegur dan menyatakan kemungkaran. Ini tidak, mereka mendiamkan diri kerana menjaga perut mereka yang tersedia boroi. Sebagai warga kampus yang mendiami taman keilmuan, sewajarnya ramai orang memiliki kefahaman Islam. Ada sesetengah Naib Canselor berbangga dengan Diploma Pengajian Islam tetapi haprak untuk menghalang kemaksiatan di kampus bahkan beliau turut merasmi majlis maksiat tersebut.
Sejarah membuktikan pemimpin agung dan ulama tertewas dengan tawaran dunia. Contoh, Ali Abdul Raziq seorang ulama al Azhar mengatakan politik tiada dalam Islam. Ada sesetengah ulama ini mempergunakan agama untuk mengekalkan kuasa pemerintah seperti tergema kalimah Islam Hadhari.
Penulis teringat bicara Tuan Guru Nik Aziz; ‘masa British dahulu orang kita ikut British dalam pentadbiran, agama pula orang kita ikut orang Arab’. Jika Syeikh al tantawi belajar di Al Azhar, TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi pun belajar di Azhar. Kita jangan merujuk pada al Azhar dan Syekh al Tantawi tetapi kita rujuk pada al quran dan hadis.
Islam hadhari adalah alat untuk mengekalkan kuasa pemerintah. Alim dalam Islam hadhari disifat alim-alim kucing, ketika Islam didakwa dijunjung maksiat bersempah di ceruk tempat dan kelab malam berputik bagai cendawan. Islam apa ni? Inilah kemunafikan umat Islam.
Wahai sahabat mahasiswa!!, berwaspadalah pada setiap masa dan tempat. Segala idea jangan diterima dengan tergesa-gesa tanpa penyelidikan. Ramai di kalangan kita telah tertewas dengan pandangan pertama. Islam tanpa penghayatan adalah Islam palsu.
Kemanisan hanya dalam bicara bukannya dalam pengamalan. Kita harus ingat celupan Allah lebih baik daripada segala celupan manusia. Ini bermakna pengaruh Allah wajib menyelimuti keseluruhan gaya kehidupan kita. Jangan ada setitis pun unsur-unsur sekular dalam lingkungan kehidupan kita.
Lihatlah sekeliling kita dan bandingkan. Mahasiswa telah rosak agamanya. Sebagai pendukung Islam di kampus, wajiblah kita membersihkan kampus daripada elemen maksiat. Mahasiswa Islam perlu melakukan proses pentarbiyahan kepada mahasiswa lain dengan uslub dakwah yang mesra dan berbaik sangka.
Seru Islam kepada mereka tanpa penekanan yang melampaui batas. Biarkan mereka berubah secara perlahan-lahan dengan keupayaan kita menonjolkan akhlak Islam yang mesra dan sopan kepada mereka. Dan kita bersabar dan bertawakal menghadapi kesukaran dakwah. Semoga Allah SWT memberkati jalan pilihan kita ini.
PERPECAHAN MASYARAKAT KAMPUS
Mahasiswa Islamis selalu ditohmah sebagai anti-perpaduan, anti toleransi dan fanatik agama. Islam adalah agama yang menitik beratkan persoalan perpaduan ummah yang merentasi persoalan agama, bangsa dan geografi. Inilah universalnya agama Islam yang berkembang secerup rantau dunia.
Dalam gerakan mahasiswa, golongan Islamis telah menjalankan politik persefahaman dengan mahasiswa non-muslim. Kita bersama dengan perkara yang kita sepakati dan kita menghormati pendapat pada perkara yang kita berbeza. Maka wujudlah tahaluf siasi yang diamalkan oleh PMIUM yang bergabung UMANY-Cina di Universiti Malaya dan perikatan PMIUSM dengan Persatuan Bahasa Tioghua di USM. Perikatan ini adalah inisiatif daripada gagasan mahasiswa bukannya pakatan rapuh gabungan mahasiswa pro-HEP yang menjadikan habuan material sebagai landasan gabungan mereka.
Sejak dulu lagi PMI kerap dimangsakan sebagai punca kebencian mahasiswa kepada HEP sehingga timbul gejala kafir-mengkafir di kampus. Tuduhan seumpama ini berlaku apabila PMI membicarakan persoalan batas pemisah antara kufur dan Islam. Penyataan batas pemisah kufur dan Islam hendaklah difahami oleh para mahasiswa dan penguasa kampus, bahkan mereka sendiri boleh menilai sama ada mereka Islam atau kufur.
PMI tidak harus hairan dengan tuduhan sebagai pemecah belah masyarakat kampus. Rasulullah SAW sendiri pernah dituduh sedemikian oleh Abu Jahal ‘kamulah wahai Muhammad yang menjadi sebab perpecahan’. Wahai penuduh-penuduh marilah kita berdamai dengan al Quran dan hadis. Biar al Quran dan hadis menghakimi kita,jika tidak mahkamah di akhirat akan menghakimi kita.
‘jika sekiranya kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat’
an nisa: 59
Benar-benar berimankah kita? Sanggupkah kita dengan hati yang tulus ikhlas mematuhi ajaran al Quran dan hadis jika ia bertentangan dengan keperluan nafsu kita. Sendiri jawablah!!
PERANAN MUSLIMAT DALAM GERAKAN MAHASISWA ISLAM
Peranan muslimat atau gadis sunti dalam GMI jangan diremehkan oleh pimpinan GMI terutamanya pimpinan lelaki. Muslimat boleh menjadi pimpinan yang unggul jika diberi peluang seperti yang disebut dalam al Quran dimana Raja Saba’ (perempuan) telah diberi peluang menggunakan kebijaksanaan untuk memutuskan keputusan setelah menerima perutusan daripada Nabi Sulaiman AS oleh pembesar lelaki.
Tentang Raja saba ini, Hashemi Rafsanjani seorang ulama agung dan mantan Presiden Iran menyatakan; ‘seseorang wanita yang menjadi ketua negara, dapat bekerja atas dasar musyawarah dan mampu memahami kebenaran, berserah diri kepadaNya, tidak mencipta masalah berbagai masalah pada bangsanya’. Jadi pimpinan muslimat mesti mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan oleh ulama ini jika ingin menjadi pimpinan yang berkualiti.
Penulis kagum melihat pimpinan muslimat PMIUM seperti Nor Syuhadah Mustapha, Naib DYP PMIUM 07/08 bangkit memimpin demonstrasi. Suara lantang semacam beliau perlu ada pada pimpinan muslimat sekarang dan ditambah nilai juga dengan keluasan pembacaan bahan intelektual dan kebolehan dalam interaksi sosial. Kita perlukan ramai lagi cerminan Zainab al Ghazali, Maryam Jamelah, Dr Loq loq dan Dr Mariah supaya muslimat lebih menyengat dalam perjuangan.
Tiga unsur yang perlu ada untuk menjadi asas kebangkitan muslimat GMI ialah turun ke lapangan umat(demonstrasi dan aktiviti berkebajikan), keluasan pembacaan intelektual dan interaksi sosial.
Turun ke lapangan umat memerlukan pimpinan muslimat berani dan sanggup menanggung risiko. Keluasan pembacaan sangat penting bagi melancarkan hujah dan mencambah idea dalam perancangan gerakan. Untuk itu banyak membaca buku atau melawati web institusi pemikir seperti IKD, hannanfarhana.blogspot.com dan ISIS. Artikel di sana boleh mevariasi idea pimpinan muslimat. Terakhir, interaksi sosial. Jangan ada sesekali pimpinan muslimat mewujudkan tembok terutamanya kepada mahasiswi yang seksi dan bergaya. Tegurlah mereka dengan mesra. Sesungguh hidayah bukan milik kita dan persekitaran mereka tidak seperti tarbiah yang kalian terima.
CABARAN AKADEMIK: JANGAN LUPA TUGAS KITA
Tugas akademik seseorang mahasiswa di kampus adipenting. Inilah tugas asasi kita di kampus. Seaktif mana kita dalam GMI, jangan jadi ia sebagai alasan untuk meninggalkan kuliah. Masa perlu pandai dirancang dan sesuaikan agar kedua-duanya iaitu menuntut ilmu dan tuntutan GMI tidak terjejas.
Kes Norhayati di Universiti Teknologi Malaysia yang mendedahkan rahsia GMI ekoran kegagalan diri dalam akademik. Ini akibat ketololan sendiri kerana gagal merancang masa dengan baik. GMI telah dikambing-hitamkan disebabkan kegagalan akademiknya. Ramai lagi pemimpin yang aktif dan cemerlang dalam akademik. Ustaz Izwan Yusof, mantan presiden PMIUM yang cemerlang akademiknya.
Penulis kagum dengan pimpinan GMI yang menangguh semester disebabkan nak menguruskan jemaah di kampus tetapi penulis cukup sedih apabila mengetahui ada pimpinan sampai tidak habis-habis belajar di kampus. Perkara ini perlu dielakkan oleh pimpinan agar perjuangan ini tidak tercemar akibat kalian. Jika pelajaran kalian terjejas, sewajarnya kalian menarik diri sementara waktu bagi memberi ruang untuk belajar.
Pemimpin GMI yang sudah berkahwin juga perlu memikirkan penglibatan secara aktif dalam GMI. Anda ada tiga tanggungjawab iaitu GMI, keluarga dan akademik. Ketahanan mental sangat penting bagi kalian berjaya ketiga-tiganya. Walau bagaimanapun sekali lagi Ustaz Izwan Yusof menjadi contoh terbaik membukti pimpinan yang berkahwin, aktif dalam GMI boleh mengurusi ketiga-tiganya.
Suka atau tidak, pimpinan GMI jangan sesekali lupa akan tugas dalam bidang akademik. Tujuan asali kita tidak boleh dilupakan demi kesinambungan agama Islam dan harapan keluarga.
[1] Pernah diceritakan oleh saudara Nawawi kepada penulis di Kolej Pertama. Dalam bicara itu penulis menghadiahkan tesis penulis kepada sdr Nawawi bagi pihak PMIUM. Tidak tahu nasib tesis penulis.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment