Sunday, March 23, 2008

BAB 5: NASIB PIMPINAN GMI SELEPAS ALAM KAMPUS

BAB 5

NASIB PIMPINAN GMI SELEPAS ALAM KAMPUS


‘wahai sahabat mahasiswa, untuk mengatasi karat dalam jiwa diperlukan pembersih noda. Di sana perjuangan harus dilakukan terus-menerus. Allah SWT tidak akan membiarkan kalian sia-sia’
Hasan al Banna

Secara umumnya orang selalu mengatakan bahawa sesiapa yang terlibat dalam GMI sukar untuk memperolehi pekerjaan. Kenyataan ini tidak benar sama sekali. Gandingan kecemerlangan akademik dengan keaktifan dalam GMI menjadi satu kelebihan dalam mencari pekerjaan.

Wahai sahabat mahasiswa!, jangan risau dan bimbang dalam mencari kerja. Rezeki milik Allah SWT. Pelajaran dan perjuangan dalam mesti diteruskan secara hikmah.

Kita cuba melihat beberapa orang pimpinan GMI mendapat pekerjaan yang baik termasuk dalam kerajaan. Saudara Hanif Baderun dan ustaz Izwan Yusuf antara Presiden PMIUM yang berada dalam kerajaan. Jika tidak silap penulis, pimpinan GM di UKM, saudara Mahadi Sukarno menjadi pegawai tadbir dan diplomatik di Jabatan Perdana Menteri. Dan paling ramai pimpinan GMI yang menjadi guru dan ustaz di sekolah-sekolah kerajaan. Jadi keaktifan dalam GMI tidak menghalang peluang pekerjaan walaupun terdapat pelbagai ugutan semasa di kampus.

Amin Idris antara pimpinan WUFI yang dikatakan radikal semasa zaman mahasiswa. Kini saudara Amin berjaya dalam motivasi bahkan berjaya muncul dalam rancangan TV di RTM mengalahkan REKTOR UIA dan Menteri Pengajian Tinggi sendiri. Begitu juga bekas Presiden MPPUIA, Ahmad Fadly.

Ada pimpinan dihalangi dalam berkerjaya seperti yang dialami oleh Uztaz Muhd Ramadhan Fitri yang dihalang SLAB di UM oleh penguasa kampus yang pendek akal. Rezeki beliau masih ada dengan menyambung pelajaran di UIA. Pimpinan mahasiswa yang dikatakan radikal dan pernah berpidato atas pentas PAS, Ustaz Zaharuddin abdul rahman menjadi pensyarah UIA. Bah ramai menjadi pensyarah, Borhan Che Daud, Zuhdi Marzuki dan Zukifli Yusof menjadi contoh bahawa keaktifan tidak menghalang peluang kerja kalian.

Wahai sahabat mahasiswa! Terus berjuang tanpa takut. Rezeki milik Allah SWT. Ia akan datang pada kalian dengan usaha dan doa.

BAB 4: CABARAN SELEPAS ALAM KAMPUS

BAB 4

CABARAN SELEPAS KAMPUS
Oleh mamat.com
mahasiswamenggugat@blogspot

‘wahai sahabat mahasiswa, jiwa yang diberi hak untuk memilih. Ia mampu melakukan kebaikan dan keburukan. Kalian pilihlah kerana kalian mampu membedakan kedua-duanya’
Hasan al Banna

BERGULAT DALAM POLITIK: PARTI MAHASISWA NEGARA, UMNO ATAU PAS?

Dalam pemilihan parti politik, para pimpinan GMI mesti memilih parti berasaskan Islam yang sesuai dengan dakwah. Parti Islam ini mesti bersifat rabbani dimana keseluruhan konsep, hukum hakam, akhlak dan pemikiran adalah bersumber agama Allah SWT. Sesuai firman Allah SWT;

‘katakanlah; sesungguhnya solatku, ibadatku, kehidupanku dan kematianku semata-mata untuk Allah tuhan semesta Alam’ (surah Al An’am:162)

Kehidupanku itu mencakupi kehidupan berpolitik, berekonomi dan sosial hanya semata-mata kerana Allah SWT. Jadi, jika kita nak memilih parti politik mestilah berwadah Islam.

Jika kita nak bergulat dalam politik perlu ikhlas kerana Allah SWT untuk menegak Islam di muka bumi. Bukannya sesekali mencari kuasa, popular dan tujuan peribadi. Jangan sesekali ada perebutan kuasa yang dicetuskan oleh kalian. Ikutlah prinsip Tuan Guru Dr Haron Din, jika berlaku pertandingan beliau akan menarik diri. Jawatan bukan rebutan, ia adalah amanah yang meletak, bukan cara memilih. Inilah sifat yang perlu diteladani bagi mengelak perebutan kuasa.

Amat sedih jika melihat pimpinan GMI memilih parti sekular sebagai wadah perjuangannya. Ini bermakna mulut yang berkokok di kampus selama ini hanyalah mulut para munafik berwajah Islam. Macam golongan Abdullah Saba, bersolat di belakang nabi tetapi dia bapa kepada bapa munafik.

Peralihan perjuangan seseorang pimpinan GMI seperti Mohd Fuad Zakarshi, Ruslan Kassim, Anwar Ibrahim dan terbaru saudara Asraf Wajdi(PKPIM) sememang sukar diterima tetapi pahit itulah yang harus kita telan. Pemimpin seperti ini cukup ramai dalam sejarah. Agama Allah ini bukan kita yang menjaga tetapi Allah sendiri yang menjaganya. Jika tidak kita, Allah SWT akan memilih orang lain. Beruntunglah orang itu dan paling rugi adalah diri kita sendiri.

Terbaru ada pula segolongan kita menubuh PMN sebagai wadah. Bukanlah salah penubuhan PMN. Penulis sendiri sedia menerima PMN sebagai wadah mahasiswa secara gabungan muslim dengan non muslim. Tapi satu yang perlu kita ingat, asas GMI di kampus adalah mentarbiah dan menyalurkan kader-kader dakwah untuk pelapis gerakan Islam selepas keluar dari kampus. Kalau ada PMN, bagaimana kader dakwah ini boleh membantu gerakan Islam. Beban akan bertambah jika melakukan dua tugas pada waktu yang sama.

Mengukuh gerakan Islam lebih utama daripada penubuhan gerakan pelbagai kaum dan agama. Mendekat roh Islam dengan orang Islam lebih utama daripada berdakwah kepada non Muslim untuk memeluk Islam. Jika orang Islam secara betul menganut Islam secara taat dan syumul, automatik orang non muslim akan mendekati Islam. Ini keunggulan Islam dan kekalnya Dinasti Moghul di India dalam memerintah Empayar Moghul yang majoriti beragama Hindu.


PANGKAT DAN JAWATAN: TIADA HALANGAN UNTUK BERJUANG

Ramai pimpinan GMI berjaya dalam kerjaya terutamanya menjawat tinggi pentadbiran negara. Setelah berjawatan tinggi ada yang masih kekal dalam perjuangan, ada yang hanya membantu dari segi kewangan dan ada yang beralih arah menyokong puak sekular. Jawatan dan pangkat menjadi ujian bagi pimpinan GMI dalam usaha istiqamah dalam perjuangan.

Berapa ramai pimpinan GMI yang berjaya melupai perjuangan bahkan ada yang menentang perjuangan. Jika ini berlaku, amatlah malang bagi sebuah gerakan Islam. Ahli PMIUM, Menteri Besar Selangor Dato Khir Toyo bertindak menyerang gerakan Islam. Ahmad Shabery Cheek, Ruslan Kassim dan Mohd Fuad Zakarshi adalah orang kuat usrah bangkit menentang gerakan Islam apabila berjawatan tinggi dan berjaya dalam kerjaya.

Tuan Asraf Wadji Dasuki melunak tulisan pada setiap minggu dalam akhbar akhirnya terjun ke lubuk sekular. Penulis mendengar satu hikayat popular PKPIM menyatakan berlaku pertelagahan antara Asyraf dengan Dato Dusuki semasa Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Penulis menunggu arah mana jalan perjuangan orang seperti Dr Muhd Asri Zainal Abidin dan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, mantan Presiden PMIUM yang agung.

Kita melihat tokoh GMI seperti Muhtar Suhaili(mantan Presiden MPPUIA) yang sibuk dengan tugas boleh meruang masa dengan gerakan Islam melalui Yayasan Amal. Jika kehendak dan iman kita tinggi, kita akan terus berjuang dalam gerakan Islam. Bahkan menonjol diri bahawa kita masih berjuang dalam gerakan Islam.


NGO: PILIHAN HATIKU

Selepas alam kampus, para pimpinan GMI boleh aktif dalam NGO-NGO Islam terutamanya pimpinan yang bekerja dengan kerajaan. Antara NGO berasaskan keseluruhan seperti JIM, ABIM, ISMA dan HALUAN. Bersifat berkebajikan seperti Yayasan Amal, MuslimCare dan MuslimAid. Bersifat keremajaan dan wanita seperti al Nisa. Bersifat dakwah seperti PERKIM, PERKID dan Saba Islamic. Bersifat hak asasi seperti GMI.

NGO seumpama di atas harus menjadi pilihan para pimpinan GMI agar bakat pimpinan kalian dapat dimanfaatkan untuk ummat Islam. Sebagai kader yang ditarbiyyah di kampus, sewajarnya kualiti kepimpinan dan tarbiyyah kalian pasti kuat. Jangan jadi sesetengah rakan yang senyap selepas berada di kerusi empuk pegawai kerajaan atau paling malang berpaling tadah meredhakan perjuangan pihak sekularis.

Para pimpinan GMI harus menggerakkan NGO di daerah-daerah. Kita melihat ABIM, PKPIM dan JIM hanya gah di peringkat pusat tetapi di peringkat daerah tumpul tanpa rancangan dakwah yang berkesan. Pengalaman penulis menyoroti ABIM Daerah Petaling Jaya(antara ABIM daerah paling berjaya di Malaysia), ahli-ahlinya mereka merintih sedih menunggu kedatangan generasi baru barisan GMI mengantikan mereka. Itu antara keluhan Pak Salleh Bakar(pendeklamasi sajak dan pernah bertugas di Parlimen).

Oleh sebab itu, penulis melihat para pimpinan GMI mesti melakukan regenerasi gerakan dakwah yang berada di kawasan mereka.

SELESA, MEWAH DAN KELUARGA: CABARAN DALAMAN

Penulis selalu mendoakan agar keselesaan, kemewahan dan keluarga tidak menjadi halangan bagi kita dalam mengerakkan gerakan dakwah. Walaupun sumbangan kita kecil tetapi semampu mungkin kita harus membantu gerakan Islam. Ramai di kalangan pimpinan GMI senyap sepi setelah mendapat pekerjaan yang baik, isteri yang cantik dan gebu, anak yang comel, harta yang bertambah dan keadaan hidup yang selesa. Ini yang kita bimbangi dan diharapkan kita dijauhi daripadanya.

Ada mahasiswi pimpinan GMI yang berkahwin tidak aktif lagi. Senyap dalam pelukan suami. Pimpinan mahasiswi GMI boleh meminta izin suami untuk aktif dalam gerakan Islam.

MENERUSKAN KEPOPULARAN DI LUAR KAMPUS.

Ada sesetengah pimpinan GM ingin kepopularan, dikenali dan nama disebut semasa di kampus. Selepas alam kampus, pimpinan sebegini ingin terus popular dan ingin namanya disebut di bibir masyarakat, ingin jadi ikon masyarakat, ingin jadi pakar agama atau motivasi yang glamour dan berpendapatan besar seumpama Dr. Fadilah Kamsah. Mereka ini menggunakan politik, bidang motivasi dan media massa untuk menonjolkan diri mereka.

Maka, beraturlah pimpinan GMI untuk menulis buku atau menjadi pengacara atau pakar motivasi yang melontar idea di radio dan tv. Bermodalkan mulut yang petah dan manis bicara dan idea yang bernas, mereka terus melangkah dalam dunia glamour dengan menyisih demi sedikit era keradikalan mereka sebagai pimpinan GMI.


KENAPA ANWAR IBRAHIM, RUSLAN KASSIM, AHMAD SHABERY CHEEK TIDAK SEPERTI ZAMAN MAHASISWA MEREKA?

Kita akan kecewa dan sedih jika manusia hebat yang memimpin gerakan mahasiswa Islam beralih arah kepada perjuangan sekular. Begitulah sedihnya ahli ABIM dan PAS, semasa Anwar Ibrahim masuk ke dalam UMNO. Tetapi kita mesti ingat, kita mesti memilih jalan Allah SWT berbanding jalan Anwar Ibrahim. Biarlah kita berkepimpinan seorang hamba habsyi yang taat pada Allah SWT daripada pimpinan karismatik yang bergelumang dengan rejim sekular. Jadi, tak usah hairan jika pimpinan karismatik Islam tidak memilih jalan Islam selepas alam kampus kerana jalan Islam adalah penuh dengan kemiskinan, penindasan dan kesusahan.

Pimpinan karismatik GMI biasanya hanyut dengan kuasa, pangkat dan wang. Kelabulah mata mereka apabila diulik dengan perkara tersebut.

Sebenarnya, ramai pimpinan karismatik GM tidak menghiraukan bahkan membantah dan tidak bersetuju dengan aktiviti keras GM seperti demonstrasi yang dilakukan mereka sendiri seketika dulu sebagai pemimpin GM. Anwar Ibrahim sendiri tidak bersetuju dengan aktiviti demonstrasi oleh GM.

Paling sedih bekas pimpinan GM yang memperjuangkan isu rakyat sendiri menindas rakyat ketika mereka menjadi pimpinan negara. Contoh, bekas Presiden PBMUM, Nordin Razak semasa zaman GM berjuang untuk peneroka bandar dan rumah rakyat sendiri meruntuh rumah rakyat miskin untuk pembangunan semasa menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur.


Satu hari, penulis pernah bertemu seorang pengikut Anwar Ibrahim semasa kehangatan demonstrasi dulu. Sekali lagi beliau mengatakan amalan GM zaman Anwar Ibrahim tidak relevan dan mahasiswa sekarang perlu menumpukan kepada pelajaran.

Ini menunjukkan perubahan persekitaran, kematangan umur, keluarga, pekerjaan telah mengubah persepsi lampau seseorang pimpinan GM. Ini bakal dihadapi oleh kalian, wahai sahabat mahasiswa!. Sama ada kalian suka atau tidak anda akan hadapi kelak.

BAB 3 TERUSKAN PERJUANGAN WAHAI MAHASISWA!

BAB 3

TERUSKAN PERJUANGAN WAHAI MAHASISWA!
Oleh mamat.com
mahasiswamenggugat@blogspot


‘wahai sahabat mahasiswa, kemampuanmu mesti membangkitkan umat yang tertidur, kemudian membangun kembali meraih kejayaan’
Sayyid Quthb



TERUS BERJUANG WAHAI SAHABAT MAHASISWA!!

‘Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu (dalam perang uhud) mendapat luka maka sesungguhnya kaum itu mendapat luka yang sama. Dan demikia itulah keadaan hari-hari Kami gilirkan dia antara sesama manusia (sebagai pengajaran) supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman dan supaya Allah menjadikan di antara kamu orang-orang yang mati syahid dan Allah tidak suka kepada orang-orang zalim’
(al-Imran 3:139-140)

Sedarilah wahai sahabat mahasiswa, perjuangan kita adalah perjuangan yang benar untuk menegakkan Islam sebagai cara hidup dan menghayatinya dalam kehidupan diri dan masyarakat kampus. Perjuangan ini bukanlah satu perjuangan yang ringan dan mudah tetapi perjuangan ini memerlukan jarak masa yang amat jauh dan dihalangi pelbagai rintangan. Dalam perjuangan mahasiswa Islam di kampus, kemenangan atau kekalahan selalu digilirkan oleh Allah SWT supaya kita sedar tentang perlunya kita berstrategi dan tawakal kepadanya. Oleh sebab itulah, kita tidak perlu kecewa atau berdukacita terhadap apa yang menimpa kita jika mengerti dan memahami ayat al Quran di atas.


PERJUANGAN ISLAM TIDAK SAMA DENGAN MUSUH

Dalam setiap perjuangan, kekalahan dan kemenangan adalah destinasi yang sementara. Menang atau kalah, perjalanan dakwah perlu diteruskan dengan segala kemampuan yang ada. Perjuangan mahasiswa Islam mestilah bertunjangkan akidah bukannya matlamat dunia seperti mengejar kuasa, harta dan pangkat. Mereka musuh Islam berjuang untuk memenuhi nafsu dengan mencari keuntungan dunia. Sebagai pejuang Islam yang ingin memartabatkan Islam sebagai cara hidup, kita wajib mengetahui perjuangan kita tidak sama dengan perjuangan mereka.

‘orang-orang yang beriman berjuang untuk menegakkan agama Allah manakala orang-orang yang tidak beriman pula berjuang untuk mempertahankan kebatilan’
(al Nisa:76)

Perbedaan ini harus jelas dan perlu dihadami oleh mahasiswa Islam jika mahu cemerlang dalam perjuangan. Perjuangan kalian tidak semestinya diakhiri dengan kemenangan tetapi dengan kecemerlangan perjuangan iaitu ada usaha jihad untuk mengapai menang dalam dakwah. Oleh itu, kalian harus mara dengan perkasa untuk mencapai kemenangan.

BAB 2 GERAKAN MAHASISWA ISLAM: KENAPA BANGKIT?

BAB 2

GERAKAN MAHASISWA ISLAM: KENAPA BANGKIT?
Oleh mamat.com
mahasiswamenggugat@blogspot.com

‘tugas kalian wahai sahabat mahasiswa adalah menyebarkan ke tengah masyarakat pemahaman keIslaman yang tertutup oleh tirai sejarah. Ia tidak membawa teori-teori tertentu selain al Quran yang setiap saat menjadi referensinya, namun itulah al Quran yang menggerakkan kehidupan’
Hasan al Banna




ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP: KE MANA HALA TUJU GERAKAN MAHASISWA ISLAM?


Kehidupan manusia dilihat pada pengakhiran hidup seseorang bukannya pada permulaan sesebuah kehidupannya. Sebagai mahasiswa yang mencintai Islam, kita seharusnya memikirkan bagaimanakah dan ke manakah pengakhiran hidup kita. Jika kita mempunyai wawasan, biar wawasan kita melangkaui wawasan dunia untuk mengapai wawasan akhirat. Di akhirat adalah mahkamah bagi membicara persoalan dunia yang kita lakukan.

Para pengikut GMI mesti ingat dan jangan sesekali lupa terutamanya setelah berakhirnya perjuangan zaman mahasiswa bahawa manusia akan berakhir dengan dua impak. Jelasnya difirman dalam;

‘..diantara mereka(manusia) ada yang celaka dan ada pula yang berbahagia’
(surah hud: 105)

Jadi marilah kita berfikir dengan akal yang bijak dan dijernihkan oleh hidayah, mahu ke mana kita?. Celaka atau mengapai kebahagiaan. Jika kalian berusrah dan ditarbiah dengan baik di universiti tetapi keluar universiti bersekutu dengan puak sekular dengan redha, celaka atau bahagia pengakhiran hidup kita. Janganlah keselesaan, wang, jawatan dan kuasa boleh membeli kebahagiaan akhirat kita.

Walaupun kita gah dengan ilmu PHD, ia tidak menjanjikan perjuangan kita lurus dan benar. Dengan gelaran DR, kita bongkak dengan ilmu dan menidakkan orang lain. Sewajarnya dengan ilmulah kita tingkatkan amalan dan memasuki perjuangan gerakan Islam. Ulama Melayu yang terkenal dengan alim yang beramal seperti Syeikh Daud al Fathani dan Abdus Samad al Falimbani berjuang dalam politik dan medan tempur untuk menegakkan Islam. Ini tidak, ramai pimpinan GMI yang menjadi bijak-pandai menidakkan perjuangan GMI dan gerakan Islam. Inilah manusia yang membuka kitab-kitab tetapi menyembunyikan kebenaran. Mereka seumpama keldai yang membawa kitab-kitab tetapi tidak mengamalkannya.

Para GMI perlu bangkit di kampus bagi menyedarkan para mahasiswa tentang Islam sebagai gaya hidup. Islam ini bukan sempit pada ibadat sahaja tetapi mencakupi kelakuan kita daripada bangkit tidur sehingga tidur kembali. Islam juga merangkumi politik, ekonomi dan sosial. Ajakan ini perlu ikhlas untuk menbangkit Islam sebagai cara hidup, bukannya berpolitik untuk kepentingan diri sendiri.

Jadi, para GMI harus tahu dan berniat secara betul sebelum mara lebih jauh dalam GMI agar tidak termasuk dalam golongan celaka pada masa depan.


POLITIK SEKULAR VERSUS POLITIK ISLAM DALAM KONTEKS GERAKAN MAHASISWA

Mahasiswa harus memahami bahawa penguasaan politik bermakna menguasai segala struktur sama ada dalam politik, ekonomi dan sosial. Adalah wajib bagi pendukung ajaran Islam menguasai politik bagi melihat Islam itu mentadbir bukannya Islam itu ditadbirkan.

Di Malaysia, politik dikuasai oleh juak sekular sama ada pemerintah ataupun HEP. HEP sendiri merupakan badan politik yang banyak membuat keputusan dan mengatur dasar mahasiswa. Politik sekular bermakna politik yang menolak pemerintahan di atas hak Allah. Dalam Islam, kekuasaan politik di bawah kuasa Ilahi (Divine Authority) dan keperibadian suci Rasulullah SAW yang merefleksikan kuasa Allah

Wahai sahabat mahasiswa, kita juga haruslah memahami perjuangan politik Islam adalah untuk menubuhkan negara Islam bukannya negara teokrasi yang amat ditakuti oleh non-muslim. Bagi Iman al Maudodi, negara Islam adalah negara yang kuasa mutlaknya pada Allah SWT yang menentukan syariatnya.

Manakala Abdul Karim Zaidan menyifatkan negara Islam bertunjangkan akidah Islam. Negara teokrasi pula adalah negara di bawah pentadbiran gereja dan paderi. Perbedaan yang jelas adalah segala pemerintahan negara Islam perlu mengikuti ajaran daripada Al Quran dan hadis manakala negara teokrasi, paderi berkuasa mutlak.

Universiti adalah wasilah bagi mahasiswa memupuk intelektualisme dan personaliti mereka. Idea-idea yang mereka temui dalam pembacaan dan perbincangan dengan pensyarah menjadikan mereka sebagai pencetus dan penentu perkembangan fikiran dan kegiatan mereka.

Sejarah kebangkitan GMI boleh dilihat dengan munculnya pengolakan politik akibat pertembungan aliran. Di Mesir, mahasiswa al Ikhwan pernah bertempur dengan mahasiswa sekular-nasionalis-sosialis di Universiti al Azhar, bahkan di Universiti Fuad I, Mesir dan universiti Kabul, mahasiswa Islam telah menguasai politik kampus dengan menewaskan golongan sekular. Natijahnya, golongan sekular iaitu gabungan mahasiswa-penguasa kampus-kerajaan telah merancang menjatuhkan pemerintahan kerajaan mahasiswa Islam.

Kebangkitan mahasiswa Islam di kampus-kampus nasional mencerminkan perjuangan menghidupkan politik Islam dengan meruntuhkan dominasi politik sekular yang berprinsip pemuasan nafsu. Lihatlah aktiviti mahasiswa sekular yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Mereka pro-hiburan dan menuduh golongan mahasiswa Islamis sebagai kolot, ekstrem dan fanatik tanpa meneliti hujah-hujah yang konkrit. Politik golongan mahasiswa sekular lebih berskala seorang pembodek dan gilakan habuan material.

Di UM, siapa yang tidak mengenali pembodek-pembodek seperti Mahaganapathy Dass, Choong Sing Kok, Kalam Azad dan halmi Rajin yang telah menjadi pegawai HEP UM. Sebagai contoh Mahaganapathy sejak dari Kolej 10 lagi terkenal sebagai kaki ampu pengetua kolej, Dato Razali Agus dan dia pernah diusir dari kolej ekoran percakapan lucah dengan pelajar perempuan. Orang seperti inikah layak menjadi tauladan?

Selain itu HEP cuba membiakkan politik wang di kampus. Calon ditawar wang dan telefon bimbit, dan mereka telah dijamu di hotel terkemuka. Inilah wajah sebenar HEP yang ingin membodek pemerintah dengan menyatakan universiti mereka bebas daripada pengaruh parti oposisi.

AUKU DAN HEP: PENCABUL HAK KEBEBASAN MAHASISWA?

Berapa elemen dalam AUKU secara total menghancurkan autonomi gerakan mahasiswa. AUKU telah membantut kreativiti gerakan mahasiswa. Contoh, persatuan sangat terhad dalam mencari sumber kewangan dan sumbangan perlu melalui HEP. Ini berlainan zaman sebelum AUKU.

Pada zaman sebelum AUKU, PMUM merupakan persatuan mahasiswa paling kaya di Asia Tenggara. Bahkan PMUM hampir membina stesen minyak sendiri jika tidak berlaku kekacauan mahasiswa pada tahun 1974. Sebab itulah, Universiti Malaya menjadi pusat gerakan mahasiswa utama di Asia pada ketika itu. Persatuan Pelajar Asia menyewa bangunan PMUM.

Dengan ada AUKU dan HEP, semua aktiviti perlu melepasi tapisan HEP. Bayangkan satu projek nak pergi Indonesia, HEP UM hanya memberi bantuan kewangan sebanyak RM 1000 sahaja. Ini tidak relevan. Jika projek dibuat oleh PMIUM, pelbagai mehnah yang dihadapi.

Penulis masih ingat semasa terserempak dengan saudara Muhd Ramadhan Fitri(mantan presiden PMIUM) pada bulan Ramadhan di masjid ar Rahman . Diceritakan pada saat terakhir, HEP membatalkan program berbuka puasa di kampung Awal hingga program itu ditukar ke masjid ar rahman. Kucar-kacir jadinya program tersebut. Ini contoh mudah tanpa kita perlu belajar undang-undang untuk belajar tentang AUKU.

Sebab itu penulis melihat kewujudan AUKU dan HEP perlu dikaji semula kerana mencabul kebebasan gerakan mahasiswa. Akhirnya lahir mahasiswa robot tanpa perasaan kemanusiaan dan aktiviti macam budak tadika kampung Pantai Dalam. Jangan sampai dimalukan budak PASTI dah la.

BAB 1 RINTANGAN PERJUANGAN MAHASISWA ISLAM

BAB 1

RINTANGAN PERJUANGAN MAHASISWA ISLAM
Oleh mamat.com
mahasiswamenggugat@blogspot.com


‘wahai sahabat mahasiswa, jangan lari daripada masalah, hadapi masalah, jika tidak ia akan mengejarmu’
Cikgu Nik(guru mamat.com)


PELAMPAU DALAM GERAKAN MAHASISWA ISLAM

Islam adalah agama yang sederhana sehingga Rasulullah SAW melarang para sahabat yang hanya hidup untuk beribadah tanpa melakukan urusan lain untuk diri dan keluarga. Kita haruslah ingat manusia itu bukan saja hanya mempunyai hak terhadap Allah, bahkan Allah menetapkan hak terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan makhluk yang lain.

Islam bukannya seperti amalan paderi nasrani yang tidak berkahwin dan bertapa di gereja. Islam adalah agama yang selaras dengan fitrah manusia dan kemampuannya. Allah tidak melarang melainkan apa yang mampu dilakukan oleh hambaNya. Sebarang keuzuran dan di luar kemampuan tetap dimaafkan. Inilah kesederhanaan Islam.

Fenomena pelampau dalam gerakan Islam bukanlah berangkat daripada ajaran Islam tetapi lebih merupakan masalah kontemporari berdasarkan situasi dan keadaan politik, sosial dan ekonomi masyarakat Islam. Dengan kata lain, Islam memberi panduan terhadap setiap tindakan manusia memberi makna kepada kehidupan. Umumnya umat Islam pencinta kedamaian. Sikap pelampau muncul apabila umat Islam ditekan dari musuh yang kafir dan pendokong orang kafir di kalangan umat Islam sendiri. Maka timbullah gejala kafir-mengkafir.

Gejala pelampau dalam gerakan Islam muncul ekoran kebiadapan pemimpin sekular terhadap Islam dan pendukungnya dengan mengeluarkan kenyataan dan meluluskan perkara yang boleh merungkai iman seseorang. HEP sebagai contoh meluluskan konsert padahal ia bukan sesuatu yang paling diutamakan di kampus. Ini menyebabkan berlaku konflik dengan pencinta Islam di kampus.

Perdebatan ilmiah yang menjemput tokoh arus perdana secepat mungkin ditolak tetapi maksiat dibenarkan. Inilah kebiadapan HEP yang amat dimarahi oleh mahasiswa pendokong Islam. Ada sesetengah pegawai HEP menghalang kuliah-kuliah agama sedangkan mereka sendiri tidak menyediakan kuliah-kuliah agama.

Sewajar pemerintah dan penguasa kampus mengambil langkah bahawa pertentangan fikrah mestilah didebatkan dengan fikrah bukannya menggunakan kekerasan, ugutan atau tekanan. Pemerintah dan penguasa HEP lebih suka menggunakan mantiqul-quwwah (logik kekuatan) melalui kuasa yang dimiliki daripada menggunakan quwwatul-mantiq (kekuatan hujah).

Perkara ini dapat dilihat apabila HEP membatalkan program yang dilulus secara semerta sewaktu program tersebut dilaksanakan. Situasi ini akan membangkitkan kemarahan mahasiswa. Jika HEP menggunakan kekerasan untuk membanteraskan idealis mahasiswa, jangan harap kemarahan mahasiswa akan reda bahkan ia akan menimbulkan sifat pelampau di kalangan mahasiswa.

Golongan pelampau mungkin terdiri daripada orang yang menghayati agama dengan ikhlas dan kecintaan mereka terhadap Islam menyebabkan mereka gagal mengawal kemarahan mereka. Mereka cukup terharu melihat kerosakan akhlak yang berlaku di kampus dan di dalam masyarakat.

Kegeraman dan semangat terlalu tinggi menyebabkan mereka melenting kerana mempertahankan Islam yang sangat mereka kasihi sehingga kadang-kala melampaui adab-adab dakwah, kaedah dan ilmunya. Justeru, mahasiswa Islamis tidak harus memandang mudah terhadap peranan tarbiyah pembentukan dan perlu beriltizam dengan ajaran Islam yang teguh. Jangan tergesa-gesa menggunakan uslub politik dengan mencontohi politik kepartaian yang tidak Islami.

Di kampus golongan pelampau lebih dikenali sebagai golongan ‘Taliban’ yang menggunakan pendekatan keras dalam segala tindakan. Mereka berdemonstrasi bahkan sanggup melakukan kekerasan jika lawan bertindak ganas. Golongan ‘taliban’ pernah mendominasi gerakan mahasiswa pada demonstrasi Kerenchi link di Universiti Malaya.[1]

Wahai sahabat mahasiswa, kita haruslah mengawal sifat ini dan jangan ia disalurkan secara terbuka di dalam atau di luar kampus. Penyaluran secara terbuka akan menguatkan hujah para penentang gerakan Islam yang menganggap gerakan Islam sebagai golongan ekstrem. Imej gerakan harus dipelihara bagi memudahkan kita mengislahkan masyarakat dan mahasiswa di kampus. Berdemonstrasilah dengan penuh kesopanan, beradab dan terkawal.


PEROSAK AGAMA DALAM MASYARAKAT KAMPUS

Cabaran yang sangat genting apabila kita berdepan dengan golongan ulama atau pemimpin yang tahu agama. Pengetahuan agama mereka digunakan untuk mempertahankan tuan mereka yang sekular. Inilah ulama yang perosak yang dikenali ulama terompah kayu dan syaitan bisu. Sabda Rasulullah SAW ‘orang yang diam tidak mahu berkata benar, itu syaitan bisu’.

Sewajarnya orang yang tahu agama sepatutnya menegur dan menyatakan kemungkaran. Ini tidak, mereka mendiamkan diri kerana menjaga perut mereka yang tersedia boroi. Sebagai warga kampus yang mendiami taman keilmuan, sewajarnya ramai orang memiliki kefahaman Islam. Ada sesetengah Naib Canselor berbangga dengan Diploma Pengajian Islam tetapi haprak untuk menghalang kemaksiatan di kampus bahkan beliau turut merasmi majlis maksiat tersebut.

Sejarah membuktikan pemimpin agung dan ulama tertewas dengan tawaran dunia. Contoh, Ali Abdul Raziq seorang ulama al Azhar mengatakan politik tiada dalam Islam. Ada sesetengah ulama ini mempergunakan agama untuk mengekalkan kuasa pemerintah seperti tergema kalimah Islam Hadhari.

Penulis teringat bicara Tuan Guru Nik Aziz; ‘masa British dahulu orang kita ikut British dalam pentadbiran, agama pula orang kita ikut orang Arab’. Jika Syeikh al tantawi belajar di Al Azhar, TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi pun belajar di Azhar. Kita jangan merujuk pada al Azhar dan Syekh al Tantawi tetapi kita rujuk pada al quran dan hadis.

Islam hadhari adalah alat untuk mengekalkan kuasa pemerintah. Alim dalam Islam hadhari disifat alim-alim kucing, ketika Islam didakwa dijunjung maksiat bersempah di ceruk tempat dan kelab malam berputik bagai cendawan. Islam apa ni? Inilah kemunafikan umat Islam.

Wahai sahabat mahasiswa!!, berwaspadalah pada setiap masa dan tempat. Segala idea jangan diterima dengan tergesa-gesa tanpa penyelidikan. Ramai di kalangan kita telah tertewas dengan pandangan pertama. Islam tanpa penghayatan adalah Islam palsu.

Kemanisan hanya dalam bicara bukannya dalam pengamalan. Kita harus ingat celupan Allah lebih baik daripada segala celupan manusia. Ini bermakna pengaruh Allah wajib menyelimuti keseluruhan gaya kehidupan kita. Jangan ada setitis pun unsur-unsur sekular dalam lingkungan kehidupan kita.

Lihatlah sekeliling kita dan bandingkan. Mahasiswa telah rosak agamanya. Sebagai pendukung Islam di kampus, wajiblah kita membersihkan kampus daripada elemen maksiat. Mahasiswa Islam perlu melakukan proses pentarbiyahan kepada mahasiswa lain dengan uslub dakwah yang mesra dan berbaik sangka.

Seru Islam kepada mereka tanpa penekanan yang melampaui batas. Biarkan mereka berubah secara perlahan-lahan dengan keupayaan kita menonjolkan akhlak Islam yang mesra dan sopan kepada mereka. Dan kita bersabar dan bertawakal menghadapi kesukaran dakwah. Semoga Allah SWT memberkati jalan pilihan kita ini.

PERPECAHAN MASYARAKAT KAMPUS

Mahasiswa Islamis selalu ditohmah sebagai anti-perpaduan, anti toleransi dan fanatik agama. Islam adalah agama yang menitik beratkan persoalan perpaduan ummah yang merentasi persoalan agama, bangsa dan geografi. Inilah universalnya agama Islam yang berkembang secerup rantau dunia.

Dalam gerakan mahasiswa, golongan Islamis telah menjalankan politik persefahaman dengan mahasiswa non-muslim. Kita bersama dengan perkara yang kita sepakati dan kita menghormati pendapat pada perkara yang kita berbeza. Maka wujudlah tahaluf siasi yang diamalkan oleh PMIUM yang bergabung UMANY-Cina di Universiti Malaya dan perikatan PMIUSM dengan Persatuan Bahasa Tioghua di USM. Perikatan ini adalah inisiatif daripada gagasan mahasiswa bukannya pakatan rapuh gabungan mahasiswa pro-HEP yang menjadikan habuan material sebagai landasan gabungan mereka.

Sejak dulu lagi PMI kerap dimangsakan sebagai punca kebencian mahasiswa kepada HEP sehingga timbul gejala kafir-mengkafir di kampus. Tuduhan seumpama ini berlaku apabila PMI membicarakan persoalan batas pemisah antara kufur dan Islam. Penyataan batas pemisah kufur dan Islam hendaklah difahami oleh para mahasiswa dan penguasa kampus, bahkan mereka sendiri boleh menilai sama ada mereka Islam atau kufur.

PMI tidak harus hairan dengan tuduhan sebagai pemecah belah masyarakat kampus. Rasulullah SAW sendiri pernah dituduh sedemikian oleh Abu Jahal ‘kamulah wahai Muhammad yang menjadi sebab perpecahan’. Wahai penuduh-penuduh marilah kita berdamai dengan al Quran dan hadis. Biar al Quran dan hadis menghakimi kita,jika tidak mahkamah di akhirat akan menghakimi kita.

‘jika sekiranya kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat’
an nisa: 59

Benar-benar berimankah kita? Sanggupkah kita dengan hati yang tulus ikhlas mematuhi ajaran al Quran dan hadis jika ia bertentangan dengan keperluan nafsu kita. Sendiri jawablah!!


PERANAN MUSLIMAT DALAM GERAKAN MAHASISWA ISLAM

Peranan muslimat atau gadis sunti dalam GMI jangan diremehkan oleh pimpinan GMI terutamanya pimpinan lelaki. Muslimat boleh menjadi pimpinan yang unggul jika diberi peluang seperti yang disebut dalam al Quran dimana Raja Saba’ (perempuan) telah diberi peluang menggunakan kebijaksanaan untuk memutuskan keputusan setelah menerima perutusan daripada Nabi Sulaiman AS oleh pembesar lelaki.

Tentang Raja saba ini, Hashemi Rafsanjani seorang ulama agung dan mantan Presiden Iran menyatakan; ‘seseorang wanita yang menjadi ketua negara, dapat bekerja atas dasar musyawarah dan mampu memahami kebenaran, berserah diri kepadaNya, tidak mencipta masalah berbagai masalah pada bangsanya’. Jadi pimpinan muslimat mesti mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan oleh ulama ini jika ingin menjadi pimpinan yang berkualiti.

Penulis kagum melihat pimpinan muslimat PMIUM seperti Nor Syuhadah Mustapha, Naib DYP PMIUM 07/08 bangkit memimpin demonstrasi. Suara lantang semacam beliau perlu ada pada pimpinan muslimat sekarang dan ditambah nilai juga dengan keluasan pembacaan bahan intelektual dan kebolehan dalam interaksi sosial. Kita perlukan ramai lagi cerminan Zainab al Ghazali, Maryam Jamelah, Dr Loq loq dan Dr Mariah supaya muslimat lebih menyengat dalam perjuangan.

Tiga unsur yang perlu ada untuk menjadi asas kebangkitan muslimat GMI ialah turun ke lapangan umat(demonstrasi dan aktiviti berkebajikan), keluasan pembacaan intelektual dan interaksi sosial.

Turun ke lapangan umat memerlukan pimpinan muslimat berani dan sanggup menanggung risiko. Keluasan pembacaan sangat penting bagi melancarkan hujah dan mencambah idea dalam perancangan gerakan. Untuk itu banyak membaca buku atau melawati web institusi pemikir seperti IKD, hannanfarhana.blogspot.com dan ISIS. Artikel di sana boleh mevariasi idea pimpinan muslimat. Terakhir, interaksi sosial. Jangan ada sesekali pimpinan muslimat mewujudkan tembok terutamanya kepada mahasiswi yang seksi dan bergaya. Tegurlah mereka dengan mesra. Sesungguh hidayah bukan milik kita dan persekitaran mereka tidak seperti tarbiah yang kalian terima.


CABARAN AKADEMIK: JANGAN LUPA TUGAS KITA

Tugas akademik seseorang mahasiswa di kampus adipenting. Inilah tugas asasi kita di kampus. Seaktif mana kita dalam GMI, jangan jadi ia sebagai alasan untuk meninggalkan kuliah. Masa perlu pandai dirancang dan sesuaikan agar kedua-duanya iaitu menuntut ilmu dan tuntutan GMI tidak terjejas.

Kes Norhayati di Universiti Teknologi Malaysia yang mendedahkan rahsia GMI ekoran kegagalan diri dalam akademik. Ini akibat ketololan sendiri kerana gagal merancang masa dengan baik. GMI telah dikambing-hitamkan disebabkan kegagalan akademiknya. Ramai lagi pemimpin yang aktif dan cemerlang dalam akademik. Ustaz Izwan Yusof, mantan presiden PMIUM yang cemerlang akademiknya.

Penulis kagum dengan pimpinan GMI yang menangguh semester disebabkan nak menguruskan jemaah di kampus tetapi penulis cukup sedih apabila mengetahui ada pimpinan sampai tidak habis-habis belajar di kampus. Perkara ini perlu dielakkan oleh pimpinan agar perjuangan ini tidak tercemar akibat kalian. Jika pelajaran kalian terjejas, sewajarnya kalian menarik diri sementara waktu bagi memberi ruang untuk belajar.

Pemimpin GMI yang sudah berkahwin juga perlu memikirkan penglibatan secara aktif dalam GMI. Anda ada tiga tanggungjawab iaitu GMI, keluarga dan akademik. Ketahanan mental sangat penting bagi kalian berjaya ketiga-tiganya. Walau bagaimanapun sekali lagi Ustaz Izwan Yusof menjadi contoh terbaik membukti pimpinan yang berkahwin, aktif dalam GMI boleh mengurusi ketiga-tiganya.

Suka atau tidak, pimpinan GMI jangan sesekali lupa akan tugas dalam bidang akademik. Tujuan asali kita tidak boleh dilupakan demi kesinambungan agama Islam dan harapan keluarga.
[1] Pernah diceritakan oleh saudara Nawawi kepada penulis di Kolej Pertama. Dalam bicara itu penulis menghadiahkan tesis penulis kepada sdr Nawawi bagi pihak PMIUM. Tidak tahu nasib tesis penulis.

PENGENALAN: CABARAN PERJUANGAN GERAKAN MAHASISWA ISLAM ALAF BARU

CABARAN PERJUANGAN GERAKAN MAHASISWA ISLAM ALAF BARU
Oleh mamat.com

‘Gerakan ini sebuah pertemuan kental yang bernuasa persaudaraan dan kerohanian’
Hasan al Banna

PENGENALAN

Gerakan Mahasiswa Islam(GMI) kini mengalami cabaran yang agak kompleks, sesuai dengan zamannya. Walaupun cabaran GMI adalah berbeda berdasarkan perubahan zaman tetapi asasnya adalah sama. Sejak dari zaman Rasulullah, cabaran gerakan Islam adalah sama dimana adanya penindasan, pemulauan, ugutan, fitnah dan rasuah. Cuma yang berbeda adalah pendekatan sahaja.

Penulis adalah seorang pemerhati gerakan mahasiswa semasa di kampus. Diberi secangkir ilmu untuk menulis tentang gerakan mahasiswa. Penulis cuba berkongsi ilmu dan pendapat dengan pembaca melalui sikap keterbukaan. Penulis juga ingin berkongsi semangat agar jiwa kita terus muda dan istiqamah dalam perjuangan.

Kritikan melalui mata pena adalah pendekatan penulis. Sejauh mungkin penulis cuba menjauhi perkara negatif dan fitnah serta kutukan(kecuali kadar yang sepatutnya berasaskan kejijikan sesuatu perkara). Penulis memaklumi ada tulisan penulis yang pedas dan mengegar tahi telinga pembaca tetapi percayalah ia berniat baik; menyedar dan mengislah diri termasuk diri penulis sendiri.

Karya penulis kali ini adalah membicara cabaran perjuangan GMI berdasar ilmu, pembacaan dan pengalaman penulis di kampus. Diharapkan karya ini dijadikan pedoman dalam meniti arus perjuangan di kampus sebagai da’ie muda Islam pada alaf baru.

Penulis juga adalah insan yang bebas daripada politik kepartaian tetapi sedia menyokong gerakan Islam melalui wadah politik, sosial dan ekonomi termasuklah NGO atau parti politik Islam. Penulis bersikap antisekular, kapitalisme, kebejatan sosial dan iman dan pemodenan-pembangunan terlampau yang menjejaskan keinsanan manusia dan alam.

Akhir kalam, syukur kerana curahan idea dan memperolehi kesihatan sepanjang penulisan ini. Semoga Allah SWT memberi sedikit pahala di atas tulisan ini. Segala komentar amat dialu-alukan.

Sekian. Terima kasih.

Cinta Agung Hanya Untuk Allah SWT

mamat.com
tokawang_sufi@yahoo.com
5/3/08
12:11 Malam
Sandakan, Malaysia Timur

MAMAT.COM DAN GERAKAN MAHASISWA

SISIPAN KHAS: MAMAT.COM DAN GERAKAN MAHASISWA
Oleh mamat.com

‘sebuah pertemuan pada hujung senja sebuah kehidupan, masih pastikah sinar mentari menerangi alam keesokkan harinya?. Kesempitan waktu ini dihadami dengan pesan-pesan keagamaan agar diri sentiasa insaf dan sedar’
Mohamad Ridhwan Bin Alias

Penulis sangat suka apabila pembaca mengeluarkan kritikan yang lelucon terhadap penulis. Terima kasih. Antara kenyataan popular adalah penyebar fitnah, penulis tidak aktif semasa di kampus, suka melabel seseorang dan pelbagai pertuduhan lagi. Sekali lagi penulis ucapkan terima kasih.

Wahai pembaca budiman, sesungguhnya sudah banyak kali penulis mengatakan penulis adalah pemerhati gerakan mahasiswa. Walaupun pemerhati, tidak bermakna penulis tidak aktif dalam gerakan mahasiswa. Penulis bukanlah pemimpin besar dan tidak suka menonjol serta tidak hebat pun. Penulis bersikap seperti Abu Zar dalam politik dan kepimpinan. Penulis bukan menolak konsep pimpinan tetapi penulis lebih suka memberi jawatan kepada sahabat yang lebih layak. Teringat prinsip politik Tuan Guru Dr Haron Din, cara syura kepimpinan dengan meletak bukan memilih. Jika berlaku perebutan, baik kita undur diri. Penulis juga bukan menolak politik tetapi cuba menghindari politik kepartaian yang menjadi kesukaan ramai itu.

Kenapa tidak aktif dalam PMIUM?

Penulis bukan mencari nama atau teman dalam persatuan. Penulis lebih suka bergelumang dengan buku di Perpustakaan Utama UM, Perpustakaan Fakulti Undang-undang, Perpustakaan Fakulti Perubatan, Perpustakaan Za’ba dan Perpustakaan APIUM(seingat penulis acap kali bertemu dengan Sharulzaman dengan motorsikal Honda dan Mat sabu dengan yamaha di tempat letak motorsikal: jika saya silap jenis motorsikal maaf ye. Seingat saya la..). sesekali berubah angin ke Perpustakaan Tun Sri Lanang UKM dan Perpustakaan Negara. Berkampung dengan buku menyukar saya untuk aktif sepenuhnya seperti orang lain.

Secara rasmi penulis adalah ahli PMIUM, EXCO PBMUM, EXCO Persatuan Sejarah UM, ahli Persatuan Silat Cekak Hanafi UM dan ahli Persatuan Antropologi dan Sosiologi UM. Pernah juga mengikuti aktiviti GAPENA. Penulis hanya terlibat dengan aktiviti persatuan sahaja. Bersifat luaran. Penulis tidak terlibat dengan aktiviti rahsia gerakan siasah di UM. Penulis juga terlibat membantu aktiviti ABIM Daerah Petaling Jaya dan PKPIM-UM.

Penulis juga tahu semasa menjadi penyokong ustaz Hasdi al Hafiz(seorang yang penulis hormati) di kolej 10 UM betapa sukarnya untuk masuk ke dalam lingkaran pimpinan PMIUM yang penuh misteri dan rahsia. Penulis juga tahu modus operandi PMIUM yang mempunyai unit dalaman yang tersembunyi di sebalik batang tubuh PMIUM itu sendiri. Jelas ada bedanya manusia dalam PMIUM yang dinamakan AU itu.

Adakah mamat.com orang PKPIM?

Pernah juga penulis ditohmah sebagai orang PKPIM-UM. Tidak. Penulis bukan orang PKPIM. Penulis cuma membantu aktiviti mereka sahaja atas dasar jawatan EXCO dalam PBMUM.

mamat.com sokong parti pembangkang?

mamat.com bukan penyokong parti pembangkang atau parti kerajaan secara keseluruhan. Penulis cuba menghindari politik kepartaian. Penulis penyokong pihak ingin menegakkan Islam. Jemaah an nur, Ikhwanul Muslimin, Jamaati Ulama, Jamaati Islami, Jamaati Tabligh, gerakan tasawuf, Muslim Care, IRF dan semua gerakan Islam dan tokoh Islam, penulis sokong. Hatta, UMNO-BN pun penulis sokong. Dengan syarat berlandaskan al Quran dan hadis.

Jadi siapakah mamat.com masa zaman mahasiswa?

Saya adalah penulis bebas yang memerhati perjalanan GM. Berwadah Islam. Bebas mengkritik mana-mana pihak selagi dirasakan kebenarannya. Bersedia menyokong mana-mana pihak yang menegakkan Islam. Hobi masa mahasiswa menghadiri seminar, kembara, majlis ilmu(spt raudhah), tonton teater dan menyelinap dalam kelompok-kelompok GM sama ada pro HEP atau PMIUM. Malang mereka tidak kenal penulis sehingga berlaku kecelaruan siapakah penulis.

Banyak masa penulis berada di perpustakaan. Ulat buku :). Tetapi penulis tidak lupa aktiviti luar. Pernah bermalam di kampung orang Asli di Endau-Rompin dan Gombak. Bermotivasi dengan pelajar sekolah/adik universiti. Tempat digemari adalah perpustakaan utama UM dan Masjid ar Rahman, dengar kuliah maghrib. Tempat makan popular, kafe di pejabat keselamatan dan fakulti sains. Tempat studi semasa peperiksaan di APIUM dan perpustakaan Utama UM.

Kenapa penulis berani menulis tentang gerakan mahasiswa?

Guru penulis adalah Ramlah Adam, Ranjit Singh, Khoo Kay Kim dan Abdullah Zakaria Ghazali banyak memberi aspirasi bagi penulis tentang sejarah. Pensyarah Jabatan Sejarah UM sememang berfikiran kritik dan responsif terhadap sesuatu perkara. Khoo Kay Kim antara rakyat Malaysia yang membaca akhbar sejak tahun 1800 an lagi. Begitulah masa penulis bergelumang dengan mikrofilem di perpustakaan Utama UM dan perpustakaan Negara untuk membaca akhbar daripada tahun 1960-1990 bagi mencari maklumat tentang gerakan mahasiswa.

Bidang kajian penulis adalah tentang gerakan mahasiswa. Pertemuan dengan Dr Zulkifli Yusof(wakil mahasiswa 1980an), Zuhdi Marzuki(1990) dan penulis buku mahasiswa menggugat(Muhammad Abu Bakar) menyemarak semangat penulis untuk menulis tentang gerakan mahasiswa. Kebetulan penyelia penulis adalah Dr Redzuan Othman, pakar sejarah Timur Tengah dan gerakan politik Islam. Dr. Redzuan Othman adalah mantan Naib Presiden ABIM dan pimpinan PMIUM proPKPIM-ABIM semasa awal tahun 1980an.[1]

Oleh sebab itu, penulis merasakan penulis layak memberi komentar tentang gerakan mahasiswa dengan sedikit ilmu dan pengalaman kurniaan Allah SWT yang boleh dikongsi oleh penggerak gerakan mahasiswa yang boleh dijadikan iktibar untuk generasi mahasiswa baru.

Penulis penyebar fitnah?

Lucu betul tanggapan penuduh itu. Penulis tidak menyalahkan mereka. Tuduhan sebegini adalah terlalu subjektif. Penulis menulis tanpa ada kepentingan. Tiada upah pun. Penulis tidak kira sama ada GMI atau mahasiswa pro HEP, penulis kritik juga.

Penulis dengan sikap terbuka boleh mengubah tulisan yang tersalah tulis. Penulis menulis berdasarkan tanggapan penulis terhadap sesuatu perkara. Tanggapan ini adalah pandangan peribadi. Jika bersalahan, penulis boleh ubah. Jangan tuduh penulis penyebar fitnah tanpa kalian memberi hujah atau fakta yang sebenar. Tak perlu kita berjumpa di akhirat dalam masalah sekecil ini. Email saja kepada tokawang_sufi@yahoo.com jika rasa nak berbincang atau tidak berpuas hati.[2] Jika betul tersalah fakta, penulis dengan rendah diri memohon kemaafan.

Penulis suka melabel?

Sebenarnya, sejauh mungkin penulis cuba mengelak menggunakan nama seseorang kecuali dalam keadaan terpaksa. Penulis tidak akan melabel kecuali dengan kadar sesuai dengan kejijikan atau kesalahannya. Jika label tertampal pada kalian, sungguh malang nasib kalian. Email pada saya, insyaAllah saya ubah.

Ke mana arah mamat.com selepas ini: dunia mahasiswa selamanya?

Masih di mahasiswamenggugat.blogspot.com, penulis dalam proses menyediakan arkib maklumat tentang gerakan mahasiswa untuk anda. Proses penghujung arkib ini semakin dekat. Penulis mengharapkan arkib ini menjadi wahana pencarian kepada penggemar sejarah gerakan mahasiswa dan pimpinan GMI.

mahasiswamenggugat.blogspot.com untuk siapa?

Kalian terutamanya pengkaji sejarah gerakan mahasiswa dan pimpinan GM. Blog ini adalah wakaf ilmu yang boleh disebarkan. Cuma janganlah mengaku kalian yang tulis.Tulis sumber mana anda dapat maklumat. Itu saja permintaan saya.

Kesimpulan

Diharap pembaca jelas dan faham. Kenali diri penulis yang tidak aktif ini. Pesan Prof Dr. Redzuan Othman ‘jika kamu melakukan kebaikan, jangan harap orang membalasnya, jika tidak kamu akan kecewa’. Saya tidak harap apa-apa pembalasan pun kecuali daripada Allah SWT.

mamat.com
19/3/08
Sandakan, Malaysia Timur.

[1] Sekali dengan Annual Bakri Haron(s/u politik TG Nik Aziz Nik Mat) dan Yazid Othman Presiden Wartawan Melayu yang disebut bakal calon UMNO di Parlimen Pasir Puteh dalam pilihanraya 2008 tetapi tidak dicalonkan.
[2] Terima Kasih saudara Tuan Kamarul yang menghantar respon. Sikap keterbukaan saudara amat saya hargai. Nanti, kalau ada masa kita berdiskusi lebih lanjut.

Friday, March 07, 2008

Kembara Tasek Utara (bahagian4)

Di pintu besar Penjara Air Molek, sebelum memasuki kawasan kurungan, kami beratur duduk mencangkung. Kemudian seorang demi seorang dibogelkan. Cara inilah proses pertama untuk merendahkan martabat kemanusiaan seseorang insan. Pombogelan ialah ujian awal untuk memaksa tahanan "mengikut dan mematuhi" perintah. Sesudah dibogelkan, kami ditimbang, diukur dan diberi celana pendek dengan kamiz penjara. Kerana waktu ini bulan puasa, maka semua tahanan reman yang berugama Islam dikumpulkan di dalam dua lokap. Saya bersama Yunus Ali kini dipisahkan daripada tiga kawan kami, mungkin kerana kami mahasiswa. Saya kini menginap bersama sembilan remaja Melayu yang direman kerana kesalahan-kesalahan kecil - menghisap ganja, mencuri basikal atau menjual barang curi. Bersama saya juga ada seorang lelaki, Abang Din dari Tangkak, yang agak berumur.

Saya perhatikan, dia telah menjadi "taiko" lokap kami. Dia mengarahkan tahanan yang lain agar kami tidak diganggu dan diberikan tempat. Dia juga menerangkan bahawa di lokap ini tidak ada tandas. Hanya ada satu baldi, tempat untuk membuang air kecil dan besar. Najis dan kecing wajib dibuangkan setiap pagi. Telah ada jadual tersusun untuk tugas ini. Tidak banyak masalah untuk kami bermesra - bersalaman sambil memperkenalkan diri dan kes tuduhan. Mereka terperanjat kerana kami ini anak mahasiswa dari universiti. Dengan serta-merta mereka berkumpul untuk mendengar surah kami tentang Tasek Utara. Kemesraan membawa keyakinan - lalu Abang Din bercerita bahawa dia ditangkap tanpa apa-apa tuduhan. Abang Din, tuan punya sebuah kedai runcit, tetapi hati dan jiwanya tidak bersama Umno.

Dia juga selalu bercakap tentang kepincangan Umno. Kerana ini, dua minggu sebelum pilihanraya dia telah ditahan dibawah Ordinan POPO. Menurut Abang Din, lokap di sebelah ada 11 orang Cina, penyokong Partai Buruh, yang juga ditahan di bawah ordinan yang sama. Mereka ini telah hampir dua bulan ditahan tanpa sebarang tuduhan. Pintu penjara hanya dibuka dua kali sehari. Pukul 8 pagi, ia dibuka untuk membawa keluar tong najis. Waktu ini semua tahanan mengambil peluang untuk membersih diri. Bilik mandi dan tandas sengaja dibuat tanpa pintu. Pada hari pertama, kepada mereka yang tidak berpengalaman, pasti akan berasa janggal tetapi di hari kedua berbogel dan mencangkung di dalam tandas di hadapan teman-teman menjadi satu kemestian. Akhbar berlubang di penjara Kali kedua pintu dibuka pada sebelah petang. Ia dibuka agak lama sedikit.

Pada waktu ini kami berkumpul dan bertukar-tukar cerita. Kami juga meminta akhbar dari warden kerana kami tahu ini adalah hak kami. Maka terpaksalah warden mengambil akhbar di pejabat. Saya dapati banyak halaman akhbar telah dipotong. Ini bermakna kami tidak tahu langsung apa-apa berita yang sedang berlaku di luar. Dua hari kemudian, pada waktu malam kami dipindahkan ke bilik penjara untuk banduan yang sedang menjalani hukuman. Kali ini, tiga orang untuk sebilik. Saya, Yunus dan Syed Hamid dimasukkan ke dalam sebuah bilik. Kami tidak tahu kenapa pihak penjara membuat perubahan ini. Tapi esoknya di waktu pagi kami ternampak lima orang kawan, termasuk seorang mahasiswa dari Universiti Singapuara, dibawa keluar dari bilik tahanan. Mereka hanya sempat melambai-lambai tangan. Kami langsung tidak dapat bertemu atau bercakap dengan kawan-kawan kami yang ditahan, jadi kami terus tidak tahu apa yang sedang berlaku di luar. Kami hanya membuat andaian bahawa telah ramai orang ditangkap.

Hari keempat di dalam tahanan, bapa saudara saya Amajal, tuan punya restoran di hadapan kampus Universiti Malaya, dan sepupu saya telah datang melawat. Mereka membawa berita bahawa kampus Universiti Malaya sedang bergolak. Tetapi dia tidak dapat memberikan maklumat yang teliti. Dalam masa yang sama, perbualan kami agak terhad kerana seorang warden tercegat berdiri di hadapan meja kami. Seminggu kemudian kami pun dibawa kembali ke mahkamah. Kali ini lebih ramai orang telah datang untuk mendengar perbicaraan ini berbanding hari kami ditangkap. Wartawan-wartawan dari luar negara, termasuk Singapura, telah mula berkerumun. Di bilik mahkamah saya ternampak ibu, ayah dan datuk saudara saya telah duduk di ruang orang ramai. Kami dibicarakan dan diberikan ikat jamin diri dengan menandatangani perjanjian bahawa kami akan hadir pada 2-3 April 1975, tahun hadapan. Sebaik sahaja keluar dari mahkamah saya terus menemui kawan-kawan dan orang ramai yang berpusu-pusu mengelilingi kami. Saya tidak ada pilihan, terus berdiri di atas kerusi dan memberikan ucapan (foto atas).

Universiti dirampas tanda protes Saya diberitahu "perkampungan" baru kami di Bukit Timbalan telah dirobohkan. Barang-barang, khemah, termasuk wang kutipan derma lebih 2000 ringgit telah dirampas. Seramai 44 orang peneroka ditangkap. Satu lagi berita yang menyedihkan ialah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), telah diharamkan pada 22 September 1974. Saya menjadi Setiausaha Agungnya dan baru saja mengangkat sumpah sebagai Presiden majlis ke-17 badan pelajar itu. Kawan-kawan saya yang datang dan tertangkap di Johor Bahru - Adi Satria, Khoo Soo Wan, Bhaskaran dan Hassan Karim cuba menerangkan apa yang terjadi selama satu minggu saya ditahan. Pada awalnya saya tidak dapat memahami apa yang telah berlaku. Kini, saya sedar kenapa akhbar di dalam penjara banyak yang terpotong-potong muka surat beritanya. Esoknya saya terus pulang ke Kuala Lumpur dan terus ke bangunan nombor 37, Jalan Abdullah, Bangsar. Saya menumpang di rumah Abu Yacob, wakil Al-Fatah (PLO), yang telah berkahwin dengan kenalan saya Rohana Ariffin. Petang itu secara kebetulan saya bertemu dengan seorang anak muda terpelajar yang baru pulang dari Universiti Australia, Abdul Ghani Othman (sekarang Menteri Besar). Ghani singgah di rumah ini kerana kenalannya, Jamilah Ariffin ialah adik Rohana. Kerana Ghani merupakan anak Johor, maka dia begitu tertarik untuk mendengar "berita" Tasek Utara daripada saya. Bulan September 1974, kira-kira 25 tahun dahulu telah menjadi sebahagian dari sejarah perjuangan mahasiswa tanah air.

Kesedian para mahasiswa untuk membantu dan menolong penduduk miskin kota adalah tanda setiakawan anak-anak muda pada zaman itu terhadap mereka yang ditindas dan dianiaya. Tasek Utara telah menjadi sebahagian daripada mitos, legenda dan ingatan kolektif generasi saya. Ketika ini, 25 tahun dahulu saya sedang ditahan di Air Molek. Ribuan pelajar dari UM telah mengadakan demonstrasi di pejabat Perdana Menteri, meminta supaya tuntutan para setinggan dilayan dan kami dibebaskan. Kerana gagal atas tuntutan mereka, para mahasiswa di bawah pimpinan Kamaruzaman Yacob telah merampas Universiti Malaya pada 21 September 1974. Rampasan ini sebagai tanda bantahan mereka kerana tindakan kerajaan yang ganas terhadap setinggan Tasek Utara. Terbiar selepas 25 tahun Hari ini, saya mengingatkan kembali masyarakat umum terhadap Tasek Utara. Saya juga ingin mengingatkan kawan-kawan saya yang sama berjuang mempertahankan hak penduduk miskin kota bahawa pennduduk Tasek Utara masih lagi belum mendapat rumah yang mereka tuntut. Kira-kira 200 keluarga Tasek Utara yang berkhemah di Bukit Timbalan, 25 tahun dahulu, masih lagi tinggal di rumah panjang di pinggir Johor Bahru. Johor telah menerima empat Menteri Besar tetapi masalah peneroka Tasek Utara, semuanya Melayu, masih gagal diselesaikan. Apabila saya menulis surah ini, saya tidak mempunyai apa-apa jawapan kenapa hal ini berlaku.Segala ilmu pengetahuan yang saya pelajari dan pengalaman yang ada pada saya tidak dapat menerangkan kenapa ini terjadi. Foto-foto yang masih tersimpan kini menjadi arkib sejarah.

Gambar-gambar yang saya tatapi 25 tahun kemudian mengembalikan kepada detik-detik keremajaan saya. Setiap kali saya menatapi gambar-gambar ini, saya bertanya di manakah kawan-kawan saya ini sekarang? Ribuan pelajar yang berdemonstrasi kerana Tasek Utara, di manakah mereka hari ini? Apakah mereka tahu bahawa penduduk itu masih menumpang di rumah panjang?

KJ MULA MARA

KJ MULA MARA MENCIPTA SEJARAH
Oleh Lintah Online
Isu Hikayat Maharaja KJ

Aku menyakini maharaja KJ akan memenangi kerusi Parlimen Rembau. Aku sangat menyukai maharaja KJ digelar ‘anwar junior’ ekoran kerakusan mengejar cita-cita politiknya. Setelah berjaya menakluki Rembau, maharaja KJ akan mula mara melangkah mendaki hierarki politik negara. Tanpa gelaran dato’, maharaja KJ mungkin memulakan dengan jawatan Menteri Belia dan Sukan atau Menteri Pelajaran. Maka, Azlina dan Hishamuddin akan ditukar ke kementerian lain bagi memberi peluang maharaja KJ mengukir nama dan menguji kepintarannya.

Maharaja KJ memang bijak menggunakan kepopularan dan hiburan bagi menarik perhatian masyarakat Rembau. Siti Nurhaliza dan Syed Muzafar al angkasawi pun dijemput berkempen untuk pihaknya. Maharaja KJ tahu rakyat sangat suka wang dan hiburan. Sebab itulah rakyat dimaniskan dengan wang dan hiburan.

Di Kelantan, maharaja KJ cuba mengajar rakyat Kelantan. Jangan ada di kalangan rakyat kelantan mengundi bagi kerusi parlimen diberi kepada BN manakala DUN diundikan kepada PAS. Inikah manusia yang nak memperbodohkan rakyat Kelantan?. Rakyat Kelantan sememangnya pandai berpolitik. Senakal dan sejahilnya sesetengah rakyat Kelantan, ingin juga mereka memilih manusia yang beragama.

Ramai pemerhati melihat, maharaja KJ dan proksi gagal meletak orang-orangnya secara menyeluruh dalam kerusi parlimen dan DUN ekoran halangan kepimpinan yang anti maharaja KJ dan golongan pro Tun Mahathir. Di Pulau Pinang, proksi maharaja KJ berjaya meletak tokoh seperti Dr Norraesah di Balik Pulau. Proksi seperti Dato Norza dipinggirkan oleh golongan anti maharaja KJ. Mereka tahu kemaraan maharaja KJ dalam politik, semestinya mereka akan cuba menghalang dengan meletak calon-calon bukan pro maharaja KJ untuk di pilih oleh al tidori. Terlenalah al tidori masa nak memilihnya.

Aku selalu mempertegaskan bahawa pilihanraya ke 12 tiada apa-apa bagi maharaja KJ. Cuma maharaja KJ nak kerusi parlimen bagi masuk dalam kabinet. Dah serak suara berkokok diluar jajaran kuasa kerajaan. Paling kurang menjawat Setiausaha Parlimen bagi menutup mulut parti penasihat. Aku lebih suka al tidori melantik maharaja sebagai Menteri Mentor macam Lee Kuan Yew di Singapura. Maka, paling banyak berkuasa, bersuara dan mempertahankan al tidori dan sebaliknya semestinya maharaja KJ. Kecutlah anunya para menteri lain.

Aku merasakan matlamat utama maharaja KJ ialah pilihanraya UMNO. Dalam pilihanraya UMNO ini dijangka sengit dengan kebangkitan golongan muda yang profesional pro maharaja KJ mencabar kepimpinan UMNO anti maharaja KJ dan pro Tun Mahathir. Firasat aku menyatakan pilihanraya peringkat bahagian UMNO merupakan medan utama perjuangan proksi maharaja KJ.

Di Terengganu, Man Bakar Marang, Pak Rosli Dungun dan Pak Engku Telemong merupakan ketua bahagian UMNO tidak akan mudah mematikan kerjaya politik mereka. Maka berlaku pertempuran sengit.

Seronoknya melihat kemaraan maharaja KJ untuk mencipta sejarah. Gayanya macam kemaraan Anwar Ibrahim yang dipayungi Tun Mahathir. Kononnya, bro Anwar ini pengkagum tun Mahathir pada zaman mahasiswanya. Kepada ‘anwar junior’, selamat datang ke dalam kabinet kerajaan Malaysia. Kembanglah hidung singa di selatan tanah air.

4/3/04

Tuesday, March 04, 2008

Kembara Tasek Utara(bahagian 3)

BAHAGIAN 3 ---------- Pada pagi 18 September 1974, semua peneroka telah bersedia. Anak-anak kecil memakai baju sekolah walau mereka tidak akan bersekolah pada hari ini. Sang ibu mengendung anak-anak kecil di dalam kain batik. Si ayah membawa barang-barang - harta yang terselamat daripada serangan "pengganas" MPJB semalam. Setelah semuanya terkumpul, sebuah kereta Ford tua datang. Empunya kereta ini bersimpati dengan kami. Dia berulang-alik mengangkut peneroka Tasek Utara untuk pergi ke Bukit Timbalan. Saya dan beberapa kawan telah pergi dengan "teski sapu," pemandunya pula memberikan khidmat itu percuma sebagai tanda simpati. Hampir jam 10, kami semua telah sedia berkumpul di sebelah bangunan perpustakaan. Anak-anak mahasiswa juga telah mula menyusur datang. Dari sini, kami berarak menuju ke Bukit Timbalan.

Sesampai saja kami di hadapan pejabat Menteri Besar, wakil setinggan mengajukan permintaan untuk bertemu dengan Datuk Osman Saat. Malangnya, kami diberitahu, pemimpin Umno itu tidak akan masuk pejabat hari itu. Sebagai ketua peneroka yang tidak rasmi, Abang Amin telah berbincang dengan setinggan. Mereka mengambil keputusan untuk menunggu Datuk Osman. Kami pun berkumpul di bawah pokok di seberang jalan. Ibu dan anak-anak kecil mula berehat. Gendong pakaian dijadikan bantal. Kain batik dan surat khabar dijadikan tikar. Untuk berteduh sambil menunggu kedatangan MB, kami berusaha mencari khemah. Sebaik sahaja khemah terpasang, maka orang ramai yang lalu-lalang mula datang menjenguk dan tertanya-tanya. Kami pun memasang sepanduk untuk menerangkan kepada orang ramai tentang tujuan kami berkumpul. Anak-anak mahasiswa mula mengadakan sudut pidato. Keadaan ini menjemput lebih ramai orang lagi untuk mendengar kisah penderitaan peneroka Tasek Utara. Pelajar antarabangsa kirim sokongan Pada sebelah petang, datang pula seorang hamba Allah mendermakan seguni beras.

Akhbar Cina siaran petang memberikan liputan yang adil terhadap kes setinggan itu. Melalui berita ini, beberapa kumpulan dan persatuan orang Cina di sekitar Johor Bahru mula memberikan sokongan. Ikan sardin, gula, susu, tepung dan barang makanan mula sampai. Orang ramai yang lalu lalang mula menghulurkan derma. Khemah di bawah pokok di atas Bukit Timbalan terus kami jadikan kawasan perkampungan baru. Wanita dan anak-anak tinggal di satu khemah khas. Peneroka, mahasiswa dan penyokong setinggan tidur di luar khemah. Untuk orang ramai yang hairan melihat "kampong baru" ini, mereka diterangkan melalui satu poster besar (foto) bahawa penduduk miskin kota itu telah berkampung kerana rumah mereka dirobohkan. Setinggan itu sedang menunggu MB mereka yang baru saja mereka pilih. Sokongan datang mencurah-curah.

Kes peneroka Tasek Utara telah menjadi berita dunia. Persatuan Pelajar Politeknik Singapura (SPSU) telah menghantar pimpinan mereka untuk bersama kami di Johor Bahru. Pelajar-pelajar Malaysia di Australia, Britain dan New Zealand menghantar telegram sokongan melalui PMUM dan mula memungut derma. Kestuan Pelajar Australian (AUS), Kesatuan Gabungan Pelajar New Zealand (NZUSA), Kesatuan Pelajar Universiti Hong Kong (HKUSU), Persekutuan Pelajar Hong Kong (HKFS), Persatuan pelajar Asia (ASA) adalah antara puluhan persatuan pelajar antarabangsa yang memberikan sokongan. Semua sokongan ini memperkuatkan semangat kami. Setiap telegram yang diterima, saya bacakan, dengan terjemahan, kepada peneroka dan orang ramai. Peneroka berasa hairan dan bangga. Hairan kerana tidak menyangka bahawa mereka akan mendapat sokongan begitu hangat. Bangga kerana mereka, walaupun miskin tetapi sanggup bangun untuk menuntut hak mereka. Setelah berbuka puasa, para mahasiswa terus memulakan siri ceramah terbuka. Lilin-lilin dan pelita terpasang di sekeliling khemah. Suasana menjadi ceria dan hidup.

Sesiapa saja boleh bercakap untuk mengeluarkan pandangan dan sokongan. 'Diserang' ketika sedang nyenyak Tangga pejabat MB kami jadikan pentas. Ratusan penduduk Johor Bahru dan dari kampung-kampung di sekitar bandar telah datang berkumpul untuk mendengar perjuangan penduduk miskin kota Tasek Utara. Lewat tengah malam orang ramai mula pulang. Sang ibu dan anak-anak telah nyenyak tidur. Pemimpin peneroka dan beberapa orang mahasiswa berkumpul dan berbincang tentang tindakan seterusnya. Wang derma telah terkumpul melebihi 2000 ringgit. Derma makanan telah membusut. Lalu diputuskan bahawa kami esoknya akan meneruskan perkampungan ini sehingga peneroka dapat bertemu dengan Datuk Osman. Hampir jam 1 pagi, kami pun mencari tempat di sekitar khemah untuk meletakkan kepala. Saya sedang nyenyak tidur apabila dikejutkan. Apabila membuka mata, di hadapan saya berdiri seorang pegawai polis Benggali berserban. Pada mulanya saya terasa seperti sedang bermimpi tetapi suara tangisan dan jeritan kaum ibu dari dalam khemah menyedarkan saya bahawa khemah kami telah dikepung "musuh." Saya, Yunus Ali, Syed Hamid, Abang Amin dan Abang Kaliman ditangkap dan dibawa ke rumah pasung (balai polis) Johor Bahru. Jam telah lewat 3 pagi apabila kami semua dimasukkan ke dalam lokap. Inilah malam pertama saya tidur di dalam lokap - di atas simen, berbantalkan lengan sendiri dan merengkuk sejuk kerana saya hanya memakai seluar pendek. Bilik nombor 4, lokap rumah pasung Johor Bahru ini, tidak akan saya lupakan.

Pengalaman 25 tahun dahulu di bilik ini telah mendidik dan menyediakan diri untuk menjadi saya yang wujud pada hari ini. Bilik lokap ini mengajar saya makna kebebasan. Malam ini juga saya didewasakan dengan pengajaran bahawa polis, penjara dan mahkamah adalah sebahagian daripada sistem daulah yang mempertahankan kaum pemodal. Diheret ke mahkamah Kami berlima tidak banyak bercakap. Kami telah bersedia untuk menghadapi mahkamah. Cuma kami berasa runsing apakah yang sedang terjadi kepada para peneroka yang telah kami tinggalkan di Bukit Timbalan. Apakah khemah perkampungan kami masih selamat? Soalan tanpa jawapan ini terus berlegar-legar di kepala saya sehingga terlelap. Saya tertidur kembali setelah diganggu Benggali berseban pada jam 3.15 pagi tadi. Esoknya, 19 September 1974, kami dibawa ke mahkamah. Ratusan orang ramai telah berkumpul mengelilingi mahkamah. Dari dalam lori polis Black Maria, saya ternampak anak-anak muda, penduduk miskin kota, pakcik warung, pekerja dan pegawai kerajaan datang, mungkin kerana simpati atau kerana ingin mengetahui dan mendengar sendiri perbicaraan kami. Saya juga ternampak mahasiswa dari Universiti Malaya - mereka telah berkumpul dalam satu kumpulan. Bersama mereka Juliet Chin dan Tan Wah Piow, pimpinan mahasiswa dari Universiti Singapura. Apabila Black Maria menghampiri mahkamah, orang ramai mara ke hadapan tetapi telah dihalang oleh polis. Saya nampak dan terdengar laungan "hidup perjuangan rakyat" daripada kawan-kawan saya di luar mahkamah. Di dalam mahkamah, Abdul Razak Ahmad, seorang peguam muda, juga bekas pimpinan gerakan mahasiswa universiti yang telah "dihalau" keluar dari Universiti Singapura oleh Lee Kuan Yew, telah bersedia untuk membantu kami. Perbicaraan kami cepat dan ringkas. Magistret wanita itu telah menolak permohonan untuk ikat jamin. Kami terus direman selama satu minggu. Dan kami berlima pun dipindahkan masuk ke dalam Penjara Air Molek.

FALSAFAH PERJUANGAN MAHASISWA

Falsafah Perjuangan Mahasiswa: Perlukah Satu Penilaian Semula?.

(mamat_com)
tokawang_sufi@yahoo

Menurut Mohamad Abu Bakar, falsafah perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai pelajar universiti, sebagai rakyat yang dewasa dan situasi mereka sebagai individu yang terdedah dengan pengolakan dunia semasa. Ketiga-tiga elemen ini memberi impak yang besar dalam pembentukan jati diri mereka.Universiti merupakan medan interaksi antara mahasiswa dan interaksi mereka dengan penguasa universiti. Pentadbir universiti sendiri merupakan penguasa yang mempunyai kuasa politik yang boleh membuat keputusan sehingga mewujudkan fenomena konflik dan kerjasama di alam kampus. Pengunaan kuasa yang melampau oleh penguasa universiti semakin memeriahkan suasana perjuangan mahasiswa. Kerana roh perjuangan dapat diabadikan dalam naluri seseorang mahasiswa.

Mahasiswa dan pelajar sekolah merupakan konsep yang berbeza, dimana pelajar sekolah adalah golongan bawah umur yang dikawal oleh cik+gu mereka sedangkan mahasiswa adalah sekelompok anak-anak muda yang bergerak secara bebas sebagai orang dewasa. Universiti adalah medium pemprosesan kematangan mahasiswa sebagai orang dewasa. Di sini, berlaku pemupukan idealis di kalangan mahasiswa dengan suasana pertembungan aliran pemikiran yang mewarna-warnikan kehidupan kampus. Konsep kebebasan, keadilan, hak asasi, kebenaran dan reformasi dicampur aduk dengan resepi aliran seperti Nasionalisme, Islamis, Liberal dan Sosialis melahirkan konflik pemikiran yang akan mematangkan pendewasaan mahasiswa.

Mahasiswa adalah golongan terpelajar perlu menjadi jurubicara masyarakat dan kelompok alternatif kepada pihak penguasa dan parti oposisi. Budaya perbedaan pendapat harus dicanang dalam suasana ilmiah melalui perdebatan dan sudut pidato. Mahasiswa juga seharusnya berperanan menyedarkan masyarakat dengan ilmu yang benar. Ilmu yang benar adalah ilmu yang boleh mentranformasi pemikiran dan budaya masyarakat setempat sesuai dengan kemampuan kita sebagai pengubah minda mengikut profesyen masing-masing.

Keseronokan perjuangan semakin rancak apabila ada cabaran yang datang terutamanya dari penguasa. Akta seperti AUKU merupakan asas unggul kepada perjuangan mahasiswa yang semakin dicabar. Ungku Aziz menyebut ‘belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak maju tanpa pemimpin pengalaman(mencabar) dan terpelajar’. Pengalaman mencabar ini merupakan asas kepimpinan negara. Tokoh pimpinan negara seperti Anwar Ibrahim, Noordin Razak dan Ibrahim Ali merupakan hasilan daripada alam kampus. Pengalaman dan pendidikan yang diterima membolehkan mereka dapat memimpin sesebuah organisasi dengan baik semasa dalam kerajaan, ABIM atau UMNO.

Penguasa sama ada di varsiti atau negara amat takut kepada kejatuhan hegemoni kuasa dan telah melakukan tindakan kasar menjatuhkan gerakan mahasiswa. Tindakan menjatuhkan gerakan mahasiswa adalah adil bagi penguasa kerana berasa terancam. Konflik adalah fitrah alam dan ia sebenarnya memeriahkan suasana alam ciptaan Ilahi ini. Konflik antara penguasa dengan gerakan mahasiswa adalah normal dan mahasiswa mesti menyahut cabaran penguasa dengan semangat perjuangan yang kental walaupun sekali sekala tindakan kasar penguasa agak keanak-anakan dan luar biasa. Mehnah ini menambah pengalaman seseorang mahasiswa bagi menghadapi mehnah selepas alam kampus.

Pertempuran jalanan dengan penguasa merupakan medium purba yang tidak relevan pada masa kini. Jikalau kita menyelinap dalam buku sejarah, perjuangan kekerasan telah berakhir semasa pimpinan Noordin Razak bagi PBMUM(1971) dan Kamarazaman Yaakob serta Hishamuddin Rais dari PMUM(1974). Selepas itu perjuangan mahasiswa diteruskan dalam suasana peperangan saraf dan bersifat pasif seperti memorandum dan surat layang. PBMUM sebagai contoh menggunakan pendekatan toleransi semasa Mahadzir Khir [kini, timbalan Menteri Pelajaran] dan PBMUMlah yang membantu universiti mengagalkan rampasan kuasa pelajar 1974 oleh PMUM sehingga Ungku Aziz dihalau keluar dari UM. PBMUM ketika itu dibawah pimpinan Aziz Shamsudin (Timb.Menteri Pendidikan, kini Menteri Luar Bandar) dengan menyokong paksi Majlis Tindakan National (MTN)(masa itu PBMUM bukan bawah pengaruh Anwar) menewaskan MTS PMUM.

Kini, perjuangan mahasiswa haruslah mempunyai aspirasi mahasiswa yang tersendiri supaya tidak dikongkong ideologi penguasa atau parti oposisi serta badan NGO yang Islamis, Sosialis, Sasteraisme dan pelbagai isme. Pemilihan idealis perjuangan mahasiswa bergantung kepada perlembagaan persatuan dan kemahuan mahasiswa sendiri. Secara kolektif, perjuangan mahasiswa haruslah berlandaskan keilmuan yang benar yang menyedarkan rakyat melalui pelbagai cara dan meliputi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi dan sosial. Mahasiswa bukan sekadar filosof atau tukang pidato penggegar podium semata-mata tetapi pelaksana atau pengusaha yang thabat (lebih dekat dengan makna: penerusan perjuangan) dalam perjuangan walaupun cabaran mendatang. Kerja lebih utama daripada propaganda.

Pada masa sekarang, kelesuan gerakan mahasiswa tidak boleh dinafikan kerana mahasiswa terpengaruh budaya hedonisme yang terlampau, budaya study terlampau sehingga memekak telinga, membisu dan membuta mahasiswa terhadap suasana persekitaran, dan kesan tribulasi daripada penguasa sendiri. Mahasiswa sendiri perlu melakukan tindakan drastik dalam menyedarkan sahabat mahasiswa tentang peranan seorang mahasiswa. Semangat perjuangan boleh dibentuk secara usrah, pesta kegembiraan seperti teater, muzik dan filem(dengan syarat bersifat patriotik dan revolusi) dan ajakan mesra para daie mahasiswa.

Peranan mahasiswi dara (baca:wanita) sekarang juga bertambah penting dengan meningkatnya fahaman feminisisme di kalangan masyarakat. Mahasiswi haruslah mewujudkan wacana atau wadah mereka sendiri sesuai dengan fikrah dan fitrah kewanitaan itu sendiri. Kuasa mahasiswi akan menjadi tonggak penting dalam perjuangan gerakan mahasiswa pada masa akan datang.

Kalam akhiranku:Kata iman syahid Hasan al Banna: ‘asas iman ialah jiwa yang bersih,asas semangat ialah perasaan yang kuat,asas kerja ialah keazaman yang kuat.Semua sifat ini dimiliki oleh pemuda’. Anak2 muda(baca:mahasiswa) yang mahu perubahan secara tergesa-gesa sehingga terlupa kemampuan mereka dan siapa diri mereka (hayati filem Hishamuddin Rais).

mamat.com
dikemaskini 22.3.

KISAH SEBALIK PILIHANRAYA

KISAH SEBALIK PILIHANRAYA KE 12

PMN dan Impian
Oleh PO

Diberitakan calon PMN tidak dapat ditabalkan sebagai calon pada pilihanraya tahun ini. Kesian. Pimpinan PMN cuba mencipta sejarah dan mengukir namanya dalam hikayat kependekaran gerakan mahasiswa. Dalam piliharaya kali ini PMN sewajarnya menampilkan calon berkualiti seperti Amin Idris, Mohd Fuad Ikhwan atau Muhd Ramadhan Fitri ataupun mengambil keputusan menyokong calon Pas berwadah mahasiswa seperti Abdullah Karim dan Muhd Fadly Ramli. Dalam konteks Kepala Batas, penulis amat menyukai seseorang seumpama Muhd Ramdhan Fitri yang mencabar Pak Lah. Muhd Ramadhan seorang yang tidak tidur pegangan agamanya, akhlaknya, kepimpinan dan kemampuan bicaranya. Itupun jika Muhd Ramadhan ingin menjadi ahli politik gerakan Islam. Akhir kalam, terima kasih PMN kerana cuba menjadikan perjuangan kalian tidak gimik.

Asyraf , PKPIM dan UMNO
Oleh PO

Setahu saya Asyraf anak Dasuki ini adalah Anwariyyun yang kuat menyokong Anwar semasa menjadi pimpinan PKPIM. Taniah di atas pelantikan tuan di atas pencalonan YB Tumpat. Sejarah lama berulang kembali. PKPIM dan ABIM sekali lagi bakal bergelar proksi ’Islam UMNO’. Saya harap Asyaraf kalah dan PKPIM-ABIM bersih daripada politik kepartaian.

SIMPATI, DUIT DAN SEORANG NENEK DI TERENGGANU

DIMANAKAH SI NENEK TUA MENCARI DUIT DEPOSIT UNTUK BERTANDING JAWATAN YB KUALA TERENGGANU. MUNGKIN JUAL TANAH. ORANG TUA ITU BOLEH MEMBANGKITKAN SIMPATI ORANG RAMAI SEHINGGA MEMBOLEHKAN BELIAU MEMECAH UNDI PAS-UMNO DI KUALA TERENGGANU. SEMESTINYA MANUSIA YANG JIWA SENSITIF DAN ISLAMI AKAN MENYOKONG SI NENEK TUA EKORAN SIMPATI. AKIBATNYA MUNGKIN PAS BOLEH KECUNDANG DI SANA. ADAKAH NENEK TUA MEWAKILI SESUATU PROKSI? TANYALAH SI NENEK TUA..

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...