Friday, April 25, 2008

HAUSAR

CERPEN

HAUSAR
Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias
tokawang_sufi@yahoo.com
ziarahsufi@blogspot.com


Potong!. Pekik golongan doktor jiwa setelah melihat kaki Onmu menghidapi penyakit hausar. Di negeri ini, penyakit hausar semakin merebak pantas dan berleluasa. Sepasukan pemantau dikenali Badan Pencegahan Hausar telah ditubuhkan tetapi penyakit ini semakin menjadi-jadi. Bahkan ramai kakitangan badan ini juga mengalami penyakit hausar.

Penyakit hausar adalah satu penyakit kudis yang menyerang ramai manusia pada akhir zaman. Vaksinnya pernah ditemui pada 1400 tahun dahulu tetapi formula vaksin tersebut telah dihilangkan oleh para doktor jiwa yang gagal menasihati umara’ akan kedahsyatan penyakit ini pada tahun 1924. Doktor jiwa ini hanya mementingkan periuk nasi mereka. Mereka tidak memiliki iman yang kental untuk membentangkan kebenaran dan akhirnya mereka sendiri terkena penyakit hausar ini.

Penyakit hausar cepat merebak terutamanya pada bahagian dada manusia. Ia akan membengkak dan membesar. Selepas itu ia akan pecah mengeluarkan nanah bercampur darah kotor. Lama kelamaan ia berkudis dan memburuk serta sukar untuk diubati. Purata untuk meninggal dunia 8 daripada 10 orang. Manusia yang dikesan menghidapi penyakit hausar akan diasingkan dalam wad gelap. Kebanyakan orang marhaen berjaya dikesan penyakit hausarnya dan orang kaya pula dapat menyorokkan penyakit hausar di sebalik kuasa politik dan kekayaan mereka. Orang kaya yang terkena penyakit hausar dapat menggunakan wang mereka untuk mengelabui mata penguasa di negeri ini. Justeru, mereka selamat daripada wad gelap. Rakyat marhaen yang tidak berduit akan merintih dalam wad gelap.

Baru-baru ini akhbar melaporkan mikah terkena penyakit hausar. Mikah adalah warganegara paling adil di negeri ini. Jika mikah menghidapi penyakit ini, negeri ini akan kucar-kacir. Orang ramai menjadi celaru minda apabila mikah mengikuti telunjuk pelacur ekonomi yang menyebarkan penyakit hausar di kalangan mikah. Pelacur ekonomi ini hanya pentingkan duit tanpa menghirau nasib rakyat marhaen menderita ekoran penyebaran penyakit hausar oleh mereka. Mereka ingin melahirkan mikah yang dapat dikuasai dan diatur-beli oleh mereka. Mikah akan mengikut telunjuk para pelacur ekonomi yang bebas melakukan apa-apa projek di negeri ini untuk menambahkan kekayaan mereka.

Silop yang diamanahkan menjaga keamanan dan keselamatan negeri ini juga tersangkut dengan penyakit hausar. Baru-baru ketua silop disyaki menghidapi penyakit hausar tahap 2 juta tekanan darahnya. Jika betul ketua silop terkena penyakit hausar, ranaplah negeri ini. Biasanya ada kes silop terkena penyakit tahap 100 tekanan darahnya tetapi jika ketua silop yang terkena penyakit hausar, maruah negeri ini yang cukup bertamadun ini akan tercemar.

Pelacur ekonomi dan Mat Purok adalah menyebar penyakit hausar utama di negeri ini. Mat Purok telah menguasai negeri ini bersama Onmu sesudah negeri ini merdeka. Mat Purok dan Onmu menganuti fahaman material dan ralukes yang tidak mementingkan kebersihan jiwa. Akibat tiada kebersihan jiwa, penyakit hausar mula menyerang perlahan-perlahan dan kini mula membarah. Sudah 50 tahun Mat Poruk dan Onmu memerintah negeri ini, keadaan penyakit hausar semakin parah dan mengila.

Mat Purok dan Onmu suka penyakit hausar tersebar kerana mereka akan dapat kuasa dan harta bertimbun-timbun. Mereka menpengaruhi rakyat dengan mengatakan mereka cuba menghapuskan penyakit hausar tetapi diri mereka sendiri pengidap penyakit hausar paling utama. Mereka rahsiakan perkara ini daripada rakyat di negeri ini. Rakyat negeri ini diperalatkan dan diperbodohkan dengan lakonan cerdik mereka. Mereka tidak fikir jika tidak menjaga kebersihan jiwa penyakit hausar tersebar luas, berdosa besar atas diri mereka. Adakah mereka tidak mempercayai konsep dosa dan pahala?.

Pelacur ekonomi adalah rakan karib Mat Purok dan Onmu bergandingan dalam penyebaran penyakit hausar di negeri ini. Pelacur ekonomi menggunakan kekayaannya memperalatkan mikah, Mat Purok dan Onmu untuk kepentingan harta mereka. Akibat keseronokan mereka, ekonomi negeri ini semakin merosot. Orang kaya semakin kaya, orang miskin semakin miskin. Rakyat marhaen semakin tidak berpuas-hati, gelora emosi mereka semakin membuak-buak kemarahannya menunggu untuk memecahkan luahan rasa melalui mata parang. Sejauh mana ketahanan mereka menerima lambaian duit daripada pelacur ekonomi, Mat Purok dan Onmu pasti akan berakhir suatu hari nanti.

Segolongan doktor jiwa cuba mengembalikan vaksin yang dihilangkan pada tahun 1924 dahulu ke dalam masyarakat. Tetapi golongan doktor jiwa ini tidak disukai oleh Mat Purok dan Onmu kerana mengancam kepopularan mereka dalam berkuasa dan berharta. Mereka bimbang kuasa dan harta ini dirampas oleh golongan doktor jiwa yang dianggap konservatif dan militan itu. Golongan doktor jiwa berjanji akan menghapuskan penyakit hausar dan mengembalikan vaksin yang hilang pada tahun 1924 dahulu ke dalam masyarakat. Mat Purok dan Onmu telah menggunakan media massa untuk menghentam golongan doktor jiwa sebagai pembawa ajaran sesat yang boleh meruntuhkan ekonomi negeri ini dan perpaduan rakyat.

Dalam makmal negeri ini, Mat Purok dan Onmu telah menentang cadangan golongan doktor jiwa agar menerima vaksin untuk mengubati mereka. Mereka menyatakan mereka tidak sakit. Mereka bersih daripada penyakit hausar. Golongan doktor jiwa menyatakan terdapat simpton-simpton penyakit hausar yang ada pada Mat Purok dan Onmu tetapi mereka menafikan. Lihatlah rekod kamu, rumah, kereta, syarikat, jet dan projek anak-anak kamu, semuanya mengandungi simpton-simpton penyakit hausar. Adakah kamu sengaja membuta-tuli mengatakan kamu tiada penyakit hausar?.

Mereka masih berkeras menafikan pembentangan golongan doktor jiwa. Mereka bersih dan suci. Panggillah mikah, warganegara paling adil. Panggillah silop, penjaga keselamatan dan keamanan, panggillah Badan Pencegahan Hausar, pemantauan penyakit hausar. Tanya mereka jika kami ada penyakit hausar. Pasti mereka mengatakan kami tiada terkena penyakit hausar. Mat Purok dan Onmu, anda juga penyebar penyakit hausar di kalangan silop, mikah dan badan pencegahan hausar, bagaimanakah mereka tidak membenarkan kenyataan kamu?.

Penyakit hausar hanya dapat diubati dengan iman yang kental, akhlak yang bersih dan akal yang waras. Ketiga-tiga elemen ini dapat mengatasi penyakit hausar. Jika manusia mempunyai elemen ini, kudis penyakit hausar tidak akan membengkak. Keupayaan iman seseorang manusia dan persekitaran yang penuh ketakwaan juga boleh menghindari merebaknya penyakit hausar di kalangan manusia. Kitab perubatan jiwa purba yang berjuzuk 30 itu perlu digali semula rahsianya. Kitab perubatan jiwa purba ini telah lama hilang di negeri ini.

Kitab perubatan jiwa purba ini adalah warisan nabi terakhir tersimpan pelbagai hikmah untuk ditelaudani pada masa kini. Dengan pengamalan gaya hidup berasaskan kitab perubatan jiwa purba ini, kehidupan manusia akan lurus mengikut jalan yang direstuiNya dan sekaligus penyakit hausar dapat dihapuskan. Penyakit hausar dapat dicegah dan sukar untuk diubati. Jika ia berkudis, maka jawapannya adalah potong. Diharapkan pemotongan itu boleh memberi keinsafan kepada organ-organ badan yang lain.

Manusia harus mengikuti golongan doktor jiwa yang tahu rahsia kitab perubatan jiwa purba ini dan beramal dengan gaya hidup yang terkandung dalam kitab ini bukannya doktor jiwa palsu yang banyak mengungkap kata rahsia yang terkandung dalam kitab ini tetapi tidak beramal dengannya. Doktor jiwa palsu umpama syaitan bisu yang menyembunyikan kebenaran. Jika manusia mengikuti telunjuk golongan doktor jiwa yang benar, pasti kehidupan manusia lebih bahagia dan bermakna tanpa penyakit hausar. Biarlah golongan doktor jiwa ini yang menjadi pemimpin bagi mengurus politik, sosial dan ekonomi negeri ini supaya penyakit hausar dapat dihindari.

Bilik bedah no 12. Onmu sudah tidak dapat menahan penderitaan penyakit hausar. Kudisnya semakin merebak dan membarah. Potong! Ujar golongan doktor jiwa bagi mengelakkan penyakit hausar merebak keseluruhan badan Onmu. Dua kaki Onmu kaku tanpa nyawa meninggalkan anggota badan lain yang terus bernyawa. Tanpa ucapan terima kasih, Onmu keluar megah daripada bilik bedah no 12 setelah dijemput oleh Mat Purok. Rupanya pengorbanan kedua-dua belah kaki adalah lakonan untuk mengelabui mata rakyat bagi menyatakan Onmu cuba mengubati penyakit hausarnya. Pemotongan dua kaki tidak meninggalkan keinsafan kepada Onmu. Golongan doktor jiwa mengeluh lesu. Penyakit hausar terus merebak dan membarah di negeri ini.

5/2/08
SANDAKAN, SABAH.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...