Sunday, October 30, 2016

Desakralisasi Politik: Mensekularkan Gerakan Islam.



Oleh Khalil Jibril
26/10/16

Politik tidak sakral dan memisahkan politik daripada agama sebahagian daripada ajaran sekular. Pada hari ini, kita ‘tabik’ dengan keberanian ijtihad beberapa gerakan Islam yang memisahkan Islam daripada politik. Parti an-Nahdah umpamanya memisahkan peranan jemaah Islam daripada peranan parti politik.

            Politik sekular bersangkut paut dengan sejarah traumatik Barat ketika pihak gereja berpengaruh mengatur pentadbiran negara yang berlaku di Eropah. Kenyataan ini boleh dilihat pada pandangan  Harvey Cox, sekularisasi dalam politik bermakna masyarakat yang disekularkan tidak membolehkan seseorang memerintah atas autoriti ‘hak Tuhan’. Jika pihak gereja campur-tangan dalam urusan pemerintahan atau politik, maka konflik akan berlaku.

            Kalangan Muslim Demokrat berpendapat, mereka meninggalkan politik Islam untuk menyelamatkan Islam daripada dimanipulasi oleh sesetengah politikus dan parti politik bernuasa Islam. Mereka tidak mahu kesalahan, kesilapan dan kelemahan muslim dijadikan kesalahan, kesilapan dan kelemahan Islam. Justeru, parti politik  Islam perlu meninggalkan politik Islam untuk menjadi Muslim Demokrat. Syeikh Rashid Ghannousshi (RG) memberi pandangan, "Kami meninggalkan politik Islam untuk memasuki demokrasi Islam. Kami adalah demokrat Muslim yang tidak lagi membuat tuntutan politik Islam”

            Tuntutan politik Islam asasi parti politik Islam ialah [1] kewujudan Negara Islam atau masyarakat Islam yang berpasak pada al-Quran dan as-Sunnah dan [2] memartabatkan perundangan Islam. Syeikh Rashid Ghannousshi memberi pandangan, "Kita perlu untuk menentukan perbezaan di antara aktiviti-aktiviti politik dan aktiviti keagamaan”. Tambah RG lagi, “kami mahu aktiviti agama yang berasingan daripada aktiviti politik. Ia sangat baik untuk politik kerana dengan cara ini, mereka tidak lagi boleh dituduh memanipulasi agama untuk kepentingan politik. Dan ini adalah sangat baik juga untuk agama supaya ia tidak alat atau modal kepada politik dan dimanipulasi oleh politik”. Tidak membuat tuntutan politik Islam bermakna secara lembutnya menolak kewujudan masyarakat Islam dan perundangan Islam tetapi mendambakan kewujudan masyarakat sivil yang berpasak demokrasi sebagaimana dinyatakan oleh RG, "Parti an-Nahdah adalah sebuah parti politik, demokrasi, dan sivil berdasarkan nilai-nilai ketamadunan Islam dan moden”.

            Perjuangan Islam mesti jelas dan holistik. Kita tidak perlu berselindung disebalik jubah Muslim Demokrat untuk dillihat lebih demokrat, rasional, toleransi dan terbuka. Sedemokrasinya Barat, mereka menyerang Syria, Iraq dan Afghanistan tanpa berperikemanusiaaan. Barat membiarkan secara bebas Palestin dijarah oleh Yahudi-Israel. Yahudi-Israel menyerang dan menzalimi orang Palestin sepanjang tahun dan berpuluh tahun tanpa pembelaan negara Barat.

            Mensekularkan Gerakan Islam menjauhkan Islam daripada parti politik berkenaan. Kita hanya mampu memenuhi kehendak manusia melalui tatakelola pentadbiran kerajaan yang baik, demokrasi dan keadilan sosial tetapi gagal memenuhi kehendak Allah yang terkandung dalam al-Quran dan yang direfleksikan oleh Rasulullah SAW. Dalam masyarakat sivil dan demokrasi itu LGBT dan pelacuran dihalalkan. 

            Diri muslim mempunyai kelemahan, kesilapan dan kesalahan dalam usaha atau ikhtiar mereka. Kelemahan, kesilapan dan kesalahan ini perlu dinsafi dengan permohonan taubat kepada Allah dan mesti berusaha ke arah lebih baik dengan memperbaiki kembali kesalahan, kelemahan dan kesilapan tadi. Kelemahan, kesilapan dan kesalahan Muslim bukanlah kelemahan, kesilapan dan kesalahan Islam tetapi diri muslim tidak berupaya mencapai matlamat yang digariskan oleh Islam dan muslim terdorong dengan kehendak nafsu. Sifat menzalimi diri sendiri ini adalah fitrah manusia yang perlu diubati dengan taubat. Tidak perlu untuk menyelamatkan Islam daripada kelemahan Muslim, kita memisahkan muslim daripada Islam atau politik Islam daripada parti Islam. Ia hanya masalah muslim yang gagal mencapai matlamat kerana kelemahan diri sendiri.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...