Monday, October 24, 2016

Parti Amanah Negara (PAN) sebagai Parti Islam Kedua di Malaysia: Memenuhi Cita-cita Siapa?


“bahawa tiada pimpinan PAS yang khianat, hidupnya diberkati. Dan tiada pimpinan keluar dan sertai PAS semula mendapat penghormatan yang sama”
Hassan Shukri
[mantan SUA dan Timbalan Presiden PAS]
Oleh Khalil Jibril
Dalam pembacaan artikel di bawah, pembaca dalam mengetahui:
a)      Politik Gerakan Islam di Malaysia
b)      Permasalahan yang berlaku.
c)      PAN dan masa depan.
Pertamanya, sukar sekali hendak menulis artikel tentang Parti Amanah Negara (PAN) kerana ia melibatkan pegangan para sahabat sendiri, PAN dalam peringkat pembinaan dan prestasi PAN belum teruji dalam pilihanraya.
Para sahabat PAN, fikrah Islam mereka tak perlu dipersoalkan lagi, jasa, kegeniusan, ilmu, amal, prestasi(ketika dalam PAS), akhlak, bakti, khidmat mereka tidak mampu penulis tandingi kehebatan mereka, umpama setitis air dalam tasik untuk dibandingkan dengan mereka.
Tujuan penulisan untuk meneliti dan muhasabah agar kita mengetahui sejarah dan sedikit nasihat daripada penulis yang kerdil ini.
Penubuhan Parti Amanah Negara (PAN) yang mendakwa mereka sebagai parti Islam kedua selepas Parti Islam SeMalaysia (PAS) menarik perhatian para Islamis.
PAN berasal daripada kelompok yang kecewa atas cara kekalahan mereka pada pemilihan PAS tahun 2015. Mereka pada mulanya dikenali G18 dan berevolusi menjadi Gerakan Harapan Baru (GHB) dan seterusnya bertapak dalam politik dengan nama Parti Amanah Negara (PAN atau AMANAH).
Secara rasminya, PAN ditubuhkan pada 16 September 2015.
Siapa Parti Amanah Negara (PAN)?
Visi PAN : Menjadi parti Islam utama di Malaysia sehingga wujudnya sebuah negara yang adil, beramanah dan rahmah untuk semua.
Misi : Menawarkan kepimpinan dan tadbir urus yang amanah, progresif dan peduli,bagi mensejahterakan seluruh rakyat dan memakmurkan negara bersendikan tuntutan maqasid syariah.
Slogan: Harapan Baru
Matlamat: Parti Amanah Negara ialah sebuah parti politik yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan dalam menggalas amanah agama, rakyat dan negara dengan matlamat berikut:
  1. Memartabatkan Islam sebagai dasar perjuangan.
  2. Mendirikan sebuah masyarakat dan negara madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua.
  3. Melaksanakan pemerintahan yang berteraskan tadbir urus yang baik (good governance) selari dengan tuntutan prinsip amanah, keadilan, kesaksamaan, kompetensi dan ketelusan.
  4. Mendukungi pendekatan kesederhanaan, keterbukaan, demokratik dan bergerak dalam kerangka demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.
  5. Menggembleng seluruh segmen warganegara dalam wadah perjuangan politik inklusif merentasi jurang kaum, budaya dan kepercayaan ke seluruh Persekutuan.
PAN:  Penyatuan Kelompok Kecewa?
Kelompok yang bermasalah dan tidak berpuas hati dalam PAS terbahagi beberapa kelompok:
1.      Kelompok anak muda dan mahasiswa. Mereka mengalami trauma dan kecewa dengan sesetengah pimpinan PAS, sistem pengkaderan dan prestasi PAS. Peluang dan ruang dalam PAS dikatakan sedikit untuk mereka melonjak jauh dalam parti. Semangat perubahan dan cita-cita begitu ideal dan tinggi.
2.      Kelompok yang kecewa atas kekalahan dalam pemilihan.
3.      Kelompok tidak berpuas hati pemimpin tertentu.
4.      Kelompok merajuk kerana idea mereka dikesamping.
5.      Kelompok berbaju PAS berbadan institusi lain.
6.      Kelompok yang kecewa dengan prestasi PAS dan akhlak pemimpin PAS.
Bibit Perpecahan Dalam PAS[i]
Jika kita menelusuri ketidak-puasan hati, ia bermula sejak tahun 2008. Ada pula sesetengah pendapat, bahawa bibit perpecahan ini berlaku sejak kemasukkan beramai-ramai ahli baru pelbagai latar belakang ke dalam PAS pada tahun 1998. Ada kalangan anggota baru ini diberi kepercayaan begitu tinggi dengan meletakkan mereka pada posisi penting seperti Naib Presiden, Setiausaha Agung dan Pengarah Dewan Penyelidikan PAS.
Krisis ini bermula dengan ujian kemenangan. Menurut YB Ir Khalid Samad, selepas kemenangan Pilihanraya Tahun 2008, pemimpin utama PAS tidak selesa dengan pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat apabila pengaruhi majoriti Melayu Islam semakin berkurangan.[ii]
Kemudian berlaku pertembungan pendapat dalam persoalan pertemuan dengan pihak UMNO. Ustaz Nasharudin Mat Isa, selaku Timbalan Presiden PAS mendakwa usaha pertemuan  dengan mana-mana pihak termasuk atas mandat daripada Majlis Syura Ulama pada 28 April 2008. Pihak yang bertentangan mendakwa bahawa ada pihak dalam PAS ingin bergabung dengan UMNO. Pertembungan ini bertambah sengit apabila pendapat Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bertentangan dengan pendapat Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Akhirnya, keputusan penyelesaian tiba dengan perkataan Muzakarah ditukarkan kepada Muqabalah.
Pertembungan sekali lagi muncul apabila timbul isu 16 September dimana sebahagian ahli Parlimen dijangka melompat menyertai Pakatan Rakyat. Pemimpin PAS menganggap cadangan ini kurang bermoral. Presiden PAS telah mengutarakan cadangan Kerajaan Perpaduan iaitu kerajaan tanpa pembangkang. Cadangan ini dikritik keras kerana dikatakan mahu bergabung dengan UMNO.
Langkah Kajang dan krisis Menteri Besar Selangor membuka krisis dalaman Pakatan Rakyat dan dalaman PAS.
Dalam muktamar tahun 2014, berlaku beberapa insiden yang melibatkan sekelompok perwakilan Muktamar Pemuda PAS keluar dewan semasa Ucapan Perasmian Muktamar Pemuda oleh Timbalan Presiden, Haji Muhammad Sabu. Kemudian, insiden bacaan doa ‘laknat’ yang akhirnya dikejutkan apabila diprotes dalam ‘adegan tarik mikrofon’ oleh seorang anggota perwakilan.
Pada tahun 2015, diadakan pemilihan pimpinan dalam Muktamar PAS. Berlakunya pengunaan chai sehingga semua calon kelompok progresif tewas. Ia dikatakan dirancang dengan rapi oleh kelompok pro ulama.
Fasa Perpecahan Dalam PAS.
1.      Kelompok bermasalah bersifat individu, bergerak atas sifat pengaulan dengan kebersamaan dalam berpendapat.
2.      Sebahagian kelompok bermasalah menubuhkan NGO yang tidak diletakkan dibawah parti sebagaimana PASMA. Organisasi seperti bukanlah sesuatu yang aneh kerana kelompok ulama dalam UMNO bersama kelompok ulama yang lain bersatu menubuh persatuan ulama sebelum penubuhan PAS.
3.      Sebahagian kelompok bermasalah bertanding dalam pemilihan. Keputusan tidak menyebelahi mereka. Mereka keluar parti dan menubuhkan pertubuhan seperti Gerakan Harapan Baru sekaligus sebagai asas kepada parti baru.
4.      Sebahagian kelompok bermasalah masih berada dalam parti atas  kepentingan-kepentingan tertentu. Dalam sejarah politik Malaysia, keluar pada musim pilihanraya sangat memedihkan perasaan pemimpin parti asal. Kelompok ini yang dikatakan oleh sesetengah pendapat sebagai ‘harumanis’ yang sedia untuk gugur. (hipotesis berdasarkan viral istilah ‘harumanis’)
Pemikiran Baru Dalam PAS
1.      Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia-Pemerintahan Islam Dalam Abad ke 21
Pada Mei 2001 dalam Muktamar PAS ke 48 di Kota Bharu, Fadzil Mohd Noor telah mengemukakan Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia-Pemerintahan Islam Dalam Abad ke 21. Memorandum ini dibincangkan diantara Disember 2001 dan Mac 2002 dan satu draf  berjumlah empat halaman muka surat telah dibincangkan bersama pelbagai pihak termasuk NGO. Idea ini dikatakan digerakkan oleh kelompok reformis dalam PAS seperti Dr Dzukefly Ahmad, Kamarudin Jaafar dan Dr Hassan Ali.
Idea ini kelihatan aneh kerana perbezaan dengan idea asasi Negara Islam versi PAS. Kematian Fadzil Mohd Noor menyebabkan rancangan ini terencat. Tujuh asas dikemukakan dalam Memorandum PAS Kepada Rakyat Malaysia ialah
a)      Masyarakat Madani
b)      Hak Saksama (al musawah)
c)      Kedaulatan Undang-undang berasaskan syariah yang luas makna dan ruang lingkupnya.
d)      Keadilan
e)      Meritokrasi (as solahiyah)
f)       Negara Berkebajikan
g)      Pentadbiran dinamik dan inovatif
Akhirnya, Majlis Syura Ulama (MSU) mengemukakan Dokumen Negara Islam yang jelas sekali berbeza dengan Memorandum tersebut. Asas Dokumen Negara Islam ialah
a)      Negara Undang-undang
b)      Khilaafah
c)      Taqwa
d)      Syura
e)      Keadilan dan Kesamarataan (Al-‘Adaalah wal Musaawaah)
f)       Kebebasan (al Hurriyyah)
g)      Hak Ketuanan Mutlak (As-Siyaadah wal Haakimiyyah)
Tujuh asas ini diiringi dengan 10 Jaminan PAS kepada Rakyat Malaysia. (akan dibincang dalam artikel yang lain)
2.      Strategi Dua Lapis
Strategi dua lapis (atau dua aras) iaitu strategi dua dalam satu. Strategi ini bukanlah asing dalam PAS dimana PAS pernah menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang mengunakan peranan Parti Semangat 46 sebagai penyatu kepada Gagasan Rakyat yang turut disertai oleh DAP. Dua gabungan pembangkang berasingan tetapi diselaras oleh Parti Semangat 46.
Dalam strategi dua lapis, ada yang berpendapat (1) ia penubuhan 2 entiti parti  berasingan sebagaiman Saadet dan AKP di Turki dimana parti baru  yang bergerak di sebelah pantai Barat yang lebih moderat dan PAS bergerak di Pantai Timur menggunakan isu-isu Islam. Ada sesetengah pendapat(2), PAS kekal dalam sebuah parti tetapi mengunakan pendekatan perbezaan di kawasan Pantai Timur dan kawasan Pantai Barat.
Strategi dua lapis ini (pendapat 2) memberi impak besar kepada PAS kerana berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka, dan banyak kerusi di Selangor pada pilihanraya tahun 2013. Di Pantai Barat, slogan PAS Untuk Semua digerakkan manakala di Pantai Timur (dan kawasan majoriti Melayu), PAS Ganti UMNO diutarakan.
Strategi dua lapis boleh membawa perpecahan dalam kepada gerakan Islam dalam persoalan ketaatan (wala’) dan penyaluran arahan kepimpinan.
JIM-IKRAM juga mengamalkan strategi dua lapis melalui dua wajah. Jika melihat  keaktifan  JIM-IKRAM dalam pertubuhan Negara-Ku umpamanya, mereka dilihat lebih terbuka berbanding sifat eksklusif IKRAM sebagai pertubuhan dakwah.
Kita wajar mengambil iktibar dalam kes Ikhwan Sudan. Tokoh muda, Hassan Turabi mendesak Ikhwan menubuhkan proksi melalui organisasi bukannya bersembunyi di sebalik tabir atau bawah tanah lagi. Penubuhan proksi tersebut akhir membawa kepada pertembungan antara jemaah dengan proksi.
3.      Pasca Islamisme dan Muslim Demokrat
Sesetengah pemimpin PAS terpengaruh dengan pemikiran Barat seperti konsep pasca Islamisme dan muslim demokrat. Dalam konteks ini, hujah-hujah Islam bukanlah hendak mempertahankan atau memperkuatkan Islam tetapi memperkuatkan pemikiran Barat.
4.      Negara Berkebajikan
Ada sesetengah pihak mengatakan, konsep Negara Berkebajikan digerakkan oleh Dr Dzulkefly Ahmad dalam mendepani rakyat. Abdul Hadi Awang mengatakan bahawa Negara Berkebajikan tidak lari daripada konsep Negara Islam kerana Negara Berkebajikan sendiri adalah ciri konsep Negara Islam.
Jika kita perhaluskan lagi elemen konsep Negara Berkebajikan, ia bagaikan pengembalian semula elemen Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia-Pemerintahan Islam Dalam Abad ke 21 yang dikemukakan pada zaman Fadzil Mohd Noor.
Antara elemen yang ada dalam konsep Negara Berkebajikan ialah
a)      Prinsip Adil dan Ihsan (al ‘adl wa al Ihsan)
b)      Memakmurkan bumi dan Menyejahterakan Rakyat
c)      Membina Masyarakat Madani
d)      Kesaksamaan
e)      Kedaulatan Undang-undang
f)       Mengutamakan keperluan dan kelayakan bagi yang berhak memperolehi (al aslahiyyah)
g)      Good Governance dengan prinsip kompentensi (al itiqan), pertanggungjawaban (al amanah) dan ketelusan serta keterbukaan (al shafafiyyah al hukumah)
h)      Menjunjung Peratutan yang Maha Pencipta
i)        Prinsip Demokrasi
j)        Mengukuhkan Hubungan Antarabangsa
Konsep Negara Berkebajikan membawa impak positif dan negatif kepada PAS. PAS mendapat kerusi yang banyak pada peringkat DUN sehingga menjadi kuasa penting dan berpengaruh dalam Kerajaan Negeri Selangor.
Impak negatifnya, perjuangan asasi Negara Islam mula kurang disantuni oleh kelompok Pro Pakatan. Menariknya, Ulil Abshar Abadalla, tokoh Jaringan Islam Liberal pernah menyatakan ‘meninggalkan konsep Negara Islam dan menganuti Konsep Negara Sivil’ antara sifat liberalisasi dalam kalangan Islamis dalam gerakan Islam.
5.      Menuju PAS Baru
Mujahid Yusuf menulis buku kontroversi yang berjudul Menuju PAS Baru. Dalam buku ini banyak perbincangan idea yang baik sama ada yang telah dilakukan oleh PAS dan yang disaran dilakukan oleh PAS. Buku ini menyebabkan sesetengah pihak menyangka kelompok progresif mahu menubuhkan parti baru. Menariknya, akhirnya sebuah parti baru juga ditubuhkan.
Hubungan IKRAM Dengan PAN
IRC memberi pengalaman buruk kepada PAS dan ABIM. Penyusupan IRC menyebabkan kestabilan sesebuah organisasi tergugat kerana berlakunya fenomena jemaah dalam jemaah. Barangkali ada beranggapan remeh dalam persoalan jemaah dalam jemaah. Jemaah dalam jemaah inilah yang dikatakan menghasilkan jaringan sehingga hampir setiap peringkat dan berisiko untuk berlaku krisis.
Penubuhan PAN disokong oleh IKRAM. Menurut Timbalan Presiden IKRAM, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus; “IKRAM mengalu-alukan kemunculan sebuah parti baru yang ingin memainkan peranannya yang tersendiri; demi memastikan sistem dwi-parti  dapat terus diperkukuhkan.”[iii]
Hasanuddin Mohd Yunus menyatakan “Di atas pendirian ini, IKRAM menyatakan kesediaan untuk menjadi sebahagian dari gelombang harapan baru untuk membina Malaysia yang lebih rahmah, demokratik dan sejahtera.”[iv]
Hasanuddin Mohd Yunus sekali lagi menyatakan “GHB akan menjadi suara untuk rakyat, dengan membawakan idea dan pemikiran untuk kebaikan negara dan ummah.”[v]
Setelah melihat tiga kenyataan Timbalan Presiden IKRAM, Hasanuddin Mohd Yunus jelas menunjukkan IKRAM menyokong penubuhan parti baru yang kemudiaannya dikenali sebagai PAN. Hasanuddin Mohd Yunus sendiri telah dilepaskan[vi] oleh IKRAM untuk menjawat Naib Presiden PAN.[vii]
Penubuhan PAN yang menyertai Pakatan Harapan lebih disukai oleh IKRAM kerana pengamalan sistem politik dwiparti. Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden IKRAM menyatakan “IKRAM percaya Pakatan Harapan akan dapat mengukuhkan sistem dwiparti di Malaysia yang telah terbukti memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen melalui proses semak dan imbang (check and balance) yang berkesan.”[viii]
Sistem dwiparti sangat penting dalam demokrasi negara kita dan ia tidak boleh digugat. Ia dilihat menghasilkan pembangkang yang kuat boleh mengimbangi pihak kerajaan dan mewujudkan suasana 1 lawan 1 ketika pilihanraya. Kelemahan Pakatan Rakyat menyebabkan sistem dwiparti tergugat.  Setiausaha Agung IKRAM, Nahar Md Nor menyatakan “Sebab itu apabila sistem dwiparti yang telah agak kukuh ini tergugat kita melahirkan kerisauan kita. Dengan sebab itu apabila terdapat usaha bagi mengukuhkan kembali sistem dwiparti ini, kita amat mengalu-alukannya. Insya-Allah, akan ada ahli-ahli kita yang berkemampuan dan punyai minat yang akan terlibat secara langsung dalam proses ini
Kenyataan IKRAM dan penglibatan tokoh yang pernah mendapat pentarbiahan mereka (al jamaah-IRC-JIM-IKRAM) menunjukkan IKRAM mampu menguasai PAN suatu masa nanti. Jika kita lihat pimpinan masa depan PAN, peluang mereka untuk menguasai PAN sangat cerah.
Pada jawatan Naib Presiden PAN, Ustaz Dr Mujahid Yusuf dikatakan pernah mendapat tarbiah Alami-JIM manakala Hasanuddin Mohd Yunus adalah Timbalan Presiden IKRAM. Pemikir mereka ialah Dzulkefly Ahmad (dikenali Abu Iman) dan pakar tarbiah mereka ialah  Saari Sungip (tokoh yang berpengaruh IRC sehingga nama tertempel ‘Tanzim Abu Urwah’) berada dalam Jawatankuasa Pusat PAN.
Keanehan Politik Sebelum Penubuhan PAN
1.      DAP putus hubungan Presiden PAS tetapi bukan dengan PAS. Pada 24 Mac 2015, DAP mengumumkan untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bekerjasama dengan UMNO untuk melanggar semangat konsensus serta Dasar Bersama Pakatan Rakyat (PR). “DAP hilang kepercayaan dan keyakinan kepada Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau[ix]
2.      PAS Kawasan Kota Bharu menjemput Lim Kit Siang berceramah di Kota Bharu. Lim Kit Siang mempertikaikan hudud dalam ceramah PAS.[x] Perkara ini menimbulkan kemarahan PAS terhadap DAP kerana tidak menghormati rakyat Kelantan.
3.      DAP Menolak TGHH sebagai Presiden PAS. DAP cuba campurtangan dalam pemilihan PAS. Mujahid Yusuf memberi nasihat kepada DAP ‘Serangan Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng, tambah menyusahkan kami dan menjadikan masalah lebih rumit’.[xi]
4.      Penggunaan Cai. Kedua-dua pihak mengamalkan pengunaan chai. Permasalahan yang timbul apabila pihak yang kalah menuduh pihak yang menang mengunakan chai padahal mereka sendiri juga menggunakan chai. Pada tahun 2015, kita boleh lihat dua kelompok dalam chai iaitu tim pro ulama dengan tim pro pakatan (kelompok progresif).[xii]  Kelompok progresif yang pro pakatan telah tewas dan menubuhkan PAN.
5.      Multaqa Ulama tahun 2013, resolusi memutuskan agar tahaluf siyasi dikaji semula manakala Multaqa tahun 2015 mengkritik DAP sebagai rakan tahaluf siyasi PAS
6.      Muktamar sebagai medan singkirkan elemen sekular. Abdul Hadi Awang menyatakan ‘kita tak setuju untuk menjadikan PAS parti sekular, ada kalangan kita hendak buang perkataan Islam, itu kita tak boleh terima[xiii]
7.      Usul Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat pada tahun 2015 diluluskan tanpa bahas dalam muktamar PAS ke 61 (2015).
Salah Ijtihad Politik dan Kembali kepada Jemaah
Dalam kehidupan, setiap insan melakukan kesilapan kerana kita makhluk yang lemah. Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah ulama besar dan isteri Rasulullah SAW melakukan kesilapan dalam ijtihad dalam penentangan terhadap Khalifah Ali Bin Abi Talib sehingga menyebabkan Perang Jamal.
Kekecewaan Saidatina Aisyah terhadap ijtihadnya menyebabkan beliau menolak untuk dikebumikan disamping Rasulullah jika beliau meninggal dunia.  Beliau juga ada juga merintih sedih dalam beberapa madah beliau. Antaranya dengan ayat ‘Aduhai seandainya aku ini tidak diciptakan!’.[xiv]
Insan seperti Saidina Aisyah melakukan kesilapan dalam ijtihad apatah kita manusia yang begitu kerdil disisi Allah, amalan dan ilmu bagaikan setitis air di lautan jika hendak dibanding dengan Saidatina Aisyah. Justeru, jika kita tersilap ijtihad dalam sesuatu perkara, bertaubatlah dan kembali ke jalan yang betul.
PAN membuka ruang yang lebih luas kepada perpecahan dan perbalahan sesama umat Islam. Jika dulu umat Islam di Malaysia berpecah kepada UMNO, PAS dan PKR, kini tambah satu lagi, PAN. Alangkah baiknya jika mereka kembali bertaut dengan PAS. Penulis yakin dan berdoa agar era selepas Abdul Hadi Awang berlakunya pertautan kembali antara PAS dengan PAN.
Perpecahan Umat Adalah Medan Fitnah
Perpecahan PAS membuka ruang fitnah baru yang lebih besar. Jika dulu berlaku fitnah menfitnah secara dalaman, kini suasana semakin terbuka dan lebih teruk. Masyarakat umum mula memandang serong kepada gerakan Islam dan harapan mereka berkecai kerana gerakan Islam juga sama bergaduh sesama sendiri berebut kuasa.
Dalam menilai fitnah menfitnah ini, penilaian kita perlu kepada individu dalam parti bukannya parti. Kritikan dan teguran terhadap PAN ini bukanlah menunjukkan PAS lebih baik daripada PAN bahkan barangkali PAN lebih baik dan benar daripada PAS. Persoalan yang paling besar, tindakan bekas anggota PAS menubuhkan parti baru adalah kesilapan besar kerana mengundang perpecahan yang membawa fitnah besar pada gerakan Islam, rakyat dan Islam. Persoalan kedua ialah mantan pemimpin PAS tidak berdisplin dalam berorganisasi seterusnya persoalan ketaatan kepada pemimpin.
Sayang pertarungan dalaman diakhiri dengan penubuhan parti baru. Kita sudah melihat impak penubuhan parti baru seperti fitnah menfitnah, caci-mencaci, label melabel, berebut aset dan pelbagai fitnah lagi.
Pada akhir zaman, fitnah berleluasa kerana perselisihan yang banyak, ujian tahap taqwa dan ujian ketaatan kepada pemimpin. Kita boleh melihat hadith-hadith Rasulullah SAW.
Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya, sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin al mahdiyyin (khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi gerahan dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bidaah) yang diada-adakan, seseungguhnya tiap-tiap bidaah itu adalah sesat” (Abu Daud dan Tirmizi)
“kaum yahudi telah berpecah kepada 71 atau 72 puak dan kaum nasrani telah berpecah kepada 71 atau 72 puak. manakala umatku sendiri berpecah kepada 73 puak.” (Riwayat Abu Daud)
“Nabi SAW memandang ke arah salah satu benteng dari benteng-benteng di Madinah, lalu baginda bersabda ‘Adakah kamu melihat apa yang aku lihat? sesungguhnya aku melihat berlakunya fitnah yang dahsyat di antara kaum umpama hujan yang turun” (Riwayat Bukhari)
Fitnah politik dan perebutan kuasa ini akan membawa umat Islam ke lembah fitnah dan perpecahan umat Islam. Belum cukup lagikah peristiwa Perang Jamal dan Perang Siffin untuk kita menjadi pengajaran?
Mendepani Fitnah
Kami sudah letih bersabar, baik kami keluar PAS” keluhan seorang anak muda.
Kami sudah biasa kalah, kena caci dan dah lama bersabar. Tahun ini luar biasa, kami sudah hilang sabar dengan kerenah mereka” kata seorang pemimpin dengan penuh geram.
Adakah kedua-dua orang ini sudah bersabar?
Kita sebagai muslim perlu terus bersabar tanpa tewas kepada nafsu. Jika kita tewas kepada nafsu, adakah kita  seorang yang benar-benar bersabar?.
Maqam kedua lebih tinggi daripada maqam sabar ialah redha. Redha dengan apa yang berlaku kepada kita. Malangnya ramai yang mempermainkan konsep redha sehingga menganggap redha itu sebagai simbol kelemahan.
Maqam paling tinggi ialah syukur. Bersyukur dengan apa yang kita alami. Maqam ini agar sukar dilihat dalam kalangan umat Islam.
Dunia ini penuh fitnah. Politik medan fitnah yang paling besar. Justeru, seorang pemimpin perlu mempunyai daya kesabaran, keredhaan dan kesyukuran pada peringkat tertinggi. Seseorang pemimpin tidak perlu mengikut rentak fitnah-menfitnah. Jika kita berada dalam pihak yang benar, kita tidak perlu takut dan tidak perlu melayani fitnah-fitnah yang mendatangi kita.
Seorang pengikut tidak wajib mentaati pemimpin mereka yang jelas kepada kekufuran dengan sengaja. Mereka tidak dianggap memberontak tetapi jihad menegakkan agama Allah dalam menentang pemimpin yang kufur. Jika pemimpin masih berpegang kepada ajaran Islam tetapi masih melakukan kezaliman dan melampau batas-batas Islam, para ulama menyatakan dua pendapat:
a)      Harus menentang dan keluar daripada kesetiaan terhadapnya. (Mazhab al Sayf[pedang])
b)      Tidak harus keluar menentang pemimpin yang zalim. (Mazhab al Sabr[Sabar])
Kedua-dua pendapat ini memerlukan dalil daripada al Quran dan al sunnah dalam menghadapi situasi yang berbeza atau ijtihad para alim ulama untuk memenuhi keperluan konteks semasa.
Kita tertanya-tanya, apakah ulama-ulama PAS dan Abdul Hadi Awang melakukan kezaliman?. Dan apakah dalil-dalil mereka dalam menentang kepimpinan PAS?. Tak bolehkah mereka terus bersabar, redha dan bersyukur dalam menghadapi mehnah?.
Jika kita menelusuri sejarah Saidina Usman Bin Affan, kehidupan beliau ketika itu dikelilingi oleh pihak penentang beliau. Adakah baginda tidak mampu mengarah penduduk Madinah menghalau dan menentang pihak penentang beliau?. Adakah Saidina Usman membela ‘fitnah’ (oleh pemberontak, para pelabel dan penfitnah)?.
Apabila Saidina Ali meminta izin daripada Khalifah Usman Bin Affan untuk memerangi pemberontak, Saidina Usman berkata “Aku bersumpah demi Allah, Aku adalah seorang lelaki yang mengetahui tentang kebenaran demi kerana Allah, dan aku berikrar bahawa aku berada di pihak  yang benar.  Namun tidak satu titik darah  orang  yang menentangku atau darah kamu sekalian yang harus ditumpahkan kerana aku”.
Saidina Usman mengambil langkah tidak popular yang akhirnya menyebabkan beliau terkorban.
Dalam perjuangan Islam, kita memerlukan keikhlasan. Menurut Prof Dr Zulkifli Muhammad, Timbalan Presiden (YDP) PAS, “kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat tetapi kalau keikhlasan ada kepada kita, maka ada harapan cita-cita kita akan dapat dilaksanakan. Tetapi tidak ada gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat sekiranya kita tidak ikhlas kepada Islam yang kita perjuangkan.”
Keikhlasan tidak dapat dinilai kerana ia diketahui oleh empunya diri dan Allah sahaja.  Cuma pengaulan dan amallah dapat menunjukkan kepada keikhlasan. Jangan sampai amalan dan pengaulan kita merugikan agama Islam.
Kebanyakan orang menyangka kebebasan bersuara dan kebebasan fikir melalui dialog, debat, forum, media sosial, muktamar, seminar, sidang meja bulat dapat menyelesaikan masalah. Kita mengalakkan kebebasan bersuara dan berfikir, cuma berwaspadalah agar tidak melampaui batas dan taksub pendapat sendiri daripada hujah atau pendapat al Quran dan al Sunnah. Imam al Ghazali menyatakan “didalam bertukar-tukar fikiran ini, akan berkembanglah pertukaran fikiran itu kepada perbahasan dan perbalahan dan diketika perbahasan dan perbalahan itu berlaku maka bertenggeklah syaitan di atas bahu orang berbahas itu. Katanya (syaitan), “berbalah kamu, fa anta ‘ala haqqin...kamulah yang benar”. Ini mengingatkan penulis kepada istilah ‘saya salah, anda betul’ dan narsisisme. Syaitan sangat suka jika kita merasakan diri kita benar.
Bagaimana Kita Nak Tahu Musuh Gembira Atas Kehadiran Kita?
Barat dan musuh Islam sangat gembira jika Islam dan politik berjaya dipisahkan. Barat dan musuh Islam sangat suka jika Islam tidak mentadbir dan balik bertapa di masjid. Barat dan musuh Islam sangat suka Islam tanpa syariat (Islam Amerika) atau tasawuf tanpa syariat. Musuh Islam menerima Islam kecuali tiga perkara
a)      Islam dan Politik
b)      Islam dan Pemerintahan
c)      Islam dan Syariat (perundangan Islam terutamanya hukum hudud)
Musuh Islam terpengaruh dengan penyebaran maklumat yang salah tentang Islam. Penentangan mereka kepada Islam dengan kejahilan dan tidak faham tentang Islam. Kita melihat tiga elemen di atas oleh dianggap KPI dan keaslian sesebuah gerakan Islam yang benar-benar memperjuangkan Islam yang syumul.
Di Mesir, penubuhan Parti al Wasat pada tahun 1996 menjadi  ‘perahu layar’ baru bagi mantan anggota Ikhwanul Muslimin. Pemimpin moderat dan progresif terutamanya kalangan anak muda menyertai Parti al Wasat.
Kehadiran parti  al Wasat mendapat pujian daripada Carnegie Endowment For International Peace dengan kenyataan “berusaha untuk menafsirkan prinsip-prinsip syariah Islam dengan cara yang konsisten dengan nilai-nilai sistem demokrasi liberal. Walaupun parti al Wasat pendukung sistem politik yang kuat meninggalkan hukum Islam, namun mereka juga memandang prinsip Islam fleksibel dan kompatibel sepenuhnya dengan prinsip-prinsip pluralisme dan hak-hak kewarganegaraan yang sama.”
Kemudian pihak musuh yang menentang Islam [pemerintahan Islam, Syariat Islam dan Politik Islam] membantu dari segi sokongan moral, dana dan jentera kepada pihak kita. Musuh tidak mudah membantu umat Islam dan gerakan Islam jika tidak mendapat apa-apa keuntungan.
Penubuhan PAN, pihak manakah yang paling gembira?.
Hala Tuju Parti Amanah Negara?
Masa depan PAN terletak dalam ilmu Allah. Lagi pun, PAN masih tidak menunjukkan prestasi sebenar dalam pilihanraya.  Dalam politik, ia bukan sekitar idealisme dan potensi pemimpin sahaja, ia juga melibat dua elemen yang paling penting iaitu jentera (sumber manusia) dan dana (kewangan).
Secara kajian masa depan yang sudah tentu menimbulkan persepsi dan ramalan, penulis boleh mengemukakan beberapa telaah masa depan yang akan berlaku pada PAN. Antara hipotesisnya ialah
1.      PAN akan bergabung dengan PKR atau DAP pada masa depan. Penulis lebih dekat dengan gabungan PKR+PAN menjadi parti baru. Perkara ini telah berlaku antara Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang bergabungan dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR). Pengabungan ini lebih kepada persoalan pengukuhan parti. Jika dilihat, ramainya anggota IKRAM dalam PKR, ada pendapat mengatakan mereka menunggu pengabungan.
2.      Jika berlaku pengabungan dengan PKR, PAN akan kekal terbiar atau dibubarkan. Jika kekal, kemungkinan akan diambil-alih oleh IKRAM sepenuhnya.
3.      PAN akan menjadi parti serpihan lain seperti HAMIM dan BERJASA yang malap dan layu.
4.      PAN menjadi kuasa baru politik Malaysia sebagaimana yang dialami oleh AKP di Turki.
Keempat-empat ramalan tersebut sangat bergantung kepada prestasi PAN dalam pilihanraya pada masa akan datang.
Jika ‘ramalan’ 1 dan 2 terjadi, kemungkinan besar PAN akan diambil alih oleh IKRAM untuk meneruskan misi PAN sebagai parti Islam kedua di Malaysia. Ada pendapat IKRAM mahu mencontohi PKS dan an Nahdah dalam pendekatan politik mereka. Mantan Presiden PKS, Muhammad Anis Matta antara yang begitu kerap dirujuk oleh IKRAM dalam mempelajari pendekatan politik.
Sebagaimana PKR, PAN mempunyai ramai pemimpin muda yang berbakat. PAN mampu menjadi popular dalam kalangan masyarakat berpendidikan, bandar dan anak muda. PAN dilihat sebuah parti yang akan memainkan isu popular sebagaimana PKR.
Walaubagaimanapun, isu popular ada pasang surutnya. Pemimpin boleh datang dan pergi. Unsur isu dan pemimpin bukanlah sesuatu yang mampu memberi impak jangka masa yang panjang. Paling penting dalam keutuhan sesebuah parti adalah akar umbi yang melata dalam kalangan rakyat, pengkaderan, dana, jentera dan ideologi.
Kepelbagaian proksi dalam PAN boleh menyebabkan perpecahan. PAN memerlukan ikon dan ‘ideologi’ yang boleh menyatukan semua proksi dalam PAN. PKR mempunyai Anwar Ibrahim dan ‘demokrasi liberal’. Dalam persaingan dalaman parti, kita boleh mengambil iktibar daripada penyingkiran proksi ABIM daripada PKR pada awal tahun 2000an.
PAN jangan sesekali meninggalkan ulama. Masyarakat Islam terutamanya orang Melayu pada peringkat orang awam masih menghormati ulama. PAS mampu bertahan kerana Islam (sebagai ideologi) dan ulama. Islam paling mudah difahami oleh pelbagai peringkat masyarakat sama ada bawahan atau atasan berbanding falsafah atau ideologi ciptaan manusia. Ulama pula mudah rapat dengan kelompok atasan dan bawahan.
Walaupun PAN mengatakan mereka inklusif, pengaulan dan pemikiran mereka adalah eksklusif. Sejauh mana rakyat bawahan menerima PAN?. Kita melihat PAN lebih kepada kelompok berpendidikan dan elitis sahaja. Kemudian, sejauh manakah buah pemikiran PAN difahami oleh rakyat bawahan?.
Saranan Untuk Parti Pembangkang Malaysia.
PAS dan Pakatan Harapan serta elemen lain seperti elemen dalam UMNO-BN perlu sedar bahawa misi mereka ialah menyelamatkan negara dan rakyat daripada bencana politik, bencana sosial dan bencana ekonomi yang dibuat oleh UMNO-Barisan Nasional. Untuk itu, mereka perlu bersatu menuju ke arah satu lawan satu pada setiap kerusi pilihanraya. UMNO dijangka berkonflik, PH dan PAS perlu mendapat elemen UMNO yang menentang pentadbiran Dato Seri Mohd Najib.
Perikatan yang longgar di antara PAS, PH dan elemen UMNO perlu diwujudkan. Perikatan politik ini bersifat kerajaan pemulihan untuk penggal  tersebut. Kerusi dibahagi sama banyak antara pihak PAS, PAN, DAP, PKR dan elemen UMNO di peringkat negeri dan nasional.
Pada peringkat pusat, kabinet boleh terdiri seperti di bawah
Perdana Menteri : Dato Seri Anwar Ibrahim
Timbalan Perdana Menteri 1: Tan Sri Muyiddin Yasin
Timbalan Perdana Menteri 2: Dato Seri Shafie Afdal
Timbalan Perdana Menteri 3: Lim Kit Siang
 Atau
Perdana Menteri : Tan Sri Muyiddin Yasin
Timbalan Perdana Menteri 1: Datin Seri Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri 2: Dato Seri Shafie Afdal
Timbalan Perdana Menteri 3: Lim Kit Siang
Dimana kedudukan PAS?. Sebagai timbal balik, PAS diberi kelebihan di peringkat negeri. Di Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah dan Perlis, Menteri Besarnya dalam kalangan PAS. Pulau Pinang di bawah DAP. PKR di Sarawak, Sabah, Selangor dan Johor manakala PAN di Negeri Sembilan, Perak dan Melaka. Elemen UMNO-BN diberi kelebihan sebagai majoriti  dalam kabinet menteri.
Elemen UMNO-BN, PAS dan Pakatan Harapan tak ada cara lain untuk mengalahkan UMNO-BN melainkan bersatu untuk mencapai hasrat 1 lawan 1 pada setiap kerusi.
Selepas kerajaan pemulihan ditubuh dan dilaksanakan selama 5 tahun. Pilihanraya ke 15, perikatan parti itu boleh diteruskan atau memilih hasrat untuk bertanding secara bebas.
Maka bermula era baru demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara disertai dengan keredhaan Allah.
Kesimpulan
Kita meraikan kedatangan PAN atas semangat demokrasi. Sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti di Malaysia.
Dalam politik, pemimpin datang dan pergi. Mereka bebas untuk istiqamah atau keluar parti. Tiada paksaan untuk kekal bersama parti.
Walau bagaimanapun dalam konteks jemaah Islam dan masyarakat, penubuhan parti baru membuka ruang kepada perpecahan dan fitnah yang baru. Pendokong gerakan Islam tidak perlu melayani fitnah, label dan pelbagai lagi cabaran yang berlaku ke atas mereka.
Pendokong gerakan Islam memerlukan keikhlasan dan kesabaran yang lebih tinggi. Walaupun difitnah, pendokong  gerakan Islam wajar kekal istiqamah dalam jemaah Islam. Pertembungan dalam jemaah Islam perlu diselesaikan melalui perundingan dan pemilihan dalam muktamar.Tindakan Tuan Guru Ahmad Awang bertanding dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah tindakan yang positif dalam merancakkan demokrasi dalam parti dan sekaligus menjadi gelanggang yang halal untuk menukar kepimpinan baru.
Di Malaysia, realiti politik pilihanraya bergantung kepada kerusi yang dipecahkan berdasarkan kaum Melayu (dan bumiputera), Bukan Melayu dan Campuran manakala di Sabah ada pembahagian kerusi Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Bukan Islam. Semua ini berlaku demi menjaga kestabilan politik berdasarkan penduduk majoriti di Malaysia. PAS adalah lawan utama UMNO dalam teras politik Melayu. Jika tradisi berdasarkan teras kaum ini diganggu, dijangka kestabilan politik boleh terjejas.
Jangan terlalu suka dengan perpecahan dan teruja dengan parti baru, dibimbangi disangka ubat itu adalah racun. Harapan penulis agar PAN menjadi parti yang progresif, terus memperjuangkan agenda rakyat, bawa Islam dalam konteks masyarakat dan jangan mengamalkan budaya-budaya yang dikatakan fitnah, melabel dan cantas mencantas sebagaimana banyak dalam PAS seperti dakwaan mereka. Politik baru dan politik ilmu diharapkan tidak menjadi manisan mulut sahaja.
WaLlahu ‘Alam
KHALIL JIBRIL


[i] Untuk penjelasan lanjut, boleh baca di laman http://amanah.org.my/berkenaan-amanah/sejarah/.
[ii] Khalid Samad, Sejarah Parti Amanah Negara, 1.8.2015
[iii] Hasanuddin Mohd Yunus, Ikram sokong kemunculan parti baru
[iv] Hasanuddin Mohd Yunus, IKRAM ILTIZAM CAKNA PERKEMBANGAN POLITIK SEMASA, 30 Jun 2015.
[v] Hasanuddin Mohd Yunus, http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/07/16/ikram-sokong-penubuhan-ghb/#ixzz3pipvQMPW
[vi] dilepas atau melepaskan satu istilah bagaimana Anwar Ibrahim masuk UMNO
[vii] Mohd Parid Sheikh Ahmad, “Penglibatan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus Dalam Parti Amanah Negara (AMANAH)”, Kenyataan Media IKRAM, 12.9.2015
[viii] Mohd Parid Sheikh Ahmad, “Pakatan Harapan Perkukuh Sistem Dwiparti”, Kenyataan Media IKRAM, 23.9.2015
[ix] Roketkini, 24.5.2015
[x] Berita Harian, 14.5.2015
[xi] Malaysia Insider, 26.5.2015
[xii] Senarai chai mengikut tim
Ketua Pemuda
1. Suhaizan Kaiat (penyandang Ketua Pemuda)
2. Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (pro ulama)
Timbalan Ketua Pemuda
1. Muhammad Khalil Abdul Hadi (penyandang/pro ulama)
2. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob (kem Suhaizan)
Ahli Jawatankuasa Kerja *12 Ahli Jawatankuasa yang perlu dipilih
Team Suhaizan
1. Abang Ahmad Kerdee
2. Lahirul Latigu
3. Mohamad Arifiriazul Paijo
4. Mohd Fakhrurazi Mohd Mokhtar
5. Mohd Hakim Mohd Nor
6. Mohd Hasbie Muda
7. Mohd Nasaie Ismail
8. Mohd Nasir Zakaria
9. Mohd Sany Hamzan
10. Muhammad Faiz Fadzil
11. Muhammad Hafiz Musa
12. Muhd Ramadhan Fitri Elias
Team Nik Abduh
1. Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden
2. Ustaz Ahmad Fadhli Shaari
3. YB Hishamudin Abdul Karim
4. Izwan Abdul Halim
5. YB Mohd Azam Abd Samat
6. Ustaz Mohd Hafez Sabri
7. YB Mohd Zawawi Abu Hassan
8. Ir Haji Muhtar Suhaili
9. Nurul Islam Mohamed Yusoff
10. Syahir Che Sulaiman
11. Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim
12. Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofree
[xiii] Utusan Malaysia,  20.5.15
[xiv] Sulaiman al Nadwi, Biografi Sayyidah Aisyah.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...