Berjuang
dalam cerah
tak perlu menjadi sesumpah
tak perlu naik perahu kertas berlayar di lautan
Kalau mahu kuih akok, ikut acuan kuih akok bukannya acuan
biskut moden
Kalau asal daripada telur ayam, menetas keluar ayam jua
bukannya anak itik.
Grup I atau Grup
Islah boleh dianggap sebagai ‘Group Intelligence Leader’ , satu nama
yang didakwa sebagai kelompok kiri atau progresif dalam gerakan mahasiswa Islam
di Malaysia. Kelompok kiri dalam sesebuah organisasi bermaksud satu kelompok
progresif yang bersifat bertentangan dengan pemikiran arus perdana sesebuah
organisasi. Dalam konteks Kesatuan Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI), kelompok
kiri/progresif mereka dikenali sebagai KAMMI Kultural.
Dalam menelusuri
pengkisahan sejarah Grup I, apa yang menarik kita cari adalah siapakah mastermind yang sebenarnya berkaitan
penubuhan Grup I dan apakah tujuan Grup I ditubuhkan?.
Grup I didakwa
ditubuhkan pada zaman Ustaz Dzulkhairi semasa beliau menjadi pemimpin PMIUM dan
GAMIS. Ada juga mendakwa, ia ditubuhkan sejak zaman Ustaz Ramadhan (Presiden PMIUM-YDP PMUM) dan ada juga
mendakwa lebih awal iaitu semasa zaman Ustaz Mohd Fuad (PMUM)- Ustaz Faisal (PMIUM). Ada juga yang
mendakwa grup ini aktif semasa zaman Ustaz Hisomuddin (PMUM)-Ustaz Izwan
(PMIUM) dan berkembang pesat zaman Ustaz
Sheikh Omar dan Ustaz Syazni (Presiden PMIUM).
Ada yang mendakwa,
selepas tahun 2001 dan paling ketara sejak tahun 2004 ke atas, JIK UM mengalami
pola fenomena progresif yang luar biasa dimana berlaku kecelaruan fikrah
sehingga ada pimpinan utama menyertai kelompok sekular-pragmatis. Kumpulan yang
kekal seakan-akan membentuk blok tertentu dalam PAS. Kebanyakan daripada blok
ini telah menyertai parti AMANAH. Pembaca boleh buat unjuran sendiri – siapa
pemimpin mahasiswa dan ke mana mereka pada hari ini.
Dalam gerakan
mahasiswa, barisan depan belum tentu pemimpin sebenar atau mastermind. Kebanyakan barisan depan gerakan mahasiswa adalah
boneka yang berani, teruja dengan senior, bersemangat, mahu mengukir sejarah,
populis dan mudah diarahkan oleh senior. Di sebalik tabir, ada mastermind penggerak atau pengatur utama
perancangan sesuatu aktiviti dan organisasi.
Hipotesis awal hasil
pendakwaan terhadap penubuhan Grup I dibahagi kepada tiga;
1. Hanya satu dakwaan
2. Memang wujud
3. Ia hanya fenomena progresif
Pembaca boleh
merumus dan membuat keputusan sendiri.
Kelompok mahasiswa
sememang mempunyai kaitan dengan kecenderungan dan pengaulan mereka dengan
tokoh tertentu, kumpulan tertentu, aliran pemikiran tertentu dan senior mereka.
Kecenderungan dan pengaulan ini akhirnya membentuk sebuah kumpulan dan kesatuan
pemikiran, seterusnya berlakunya persaingan pengaruh dan kuasa antara kem-kem
dalam sesebuah organisasi.
Persaingan antara
kumpulan/kem dalam sebuah organisasi bukanlah musuh yang sebenar kerana mereka
hanya mahu perubahan dalam organisasi, berfikir di luar lingkungan kotak
pemikiran arus perdana organisasi dan bersifat kritikal terhadap organisasi. Sesetengah
orang, sifat progresif atau fenomena progresif ini dilihat mengancam organisasi dan menentang
kepimpinan semasa organisasi.
Seperti yang
penulis jelaskan tadi, fenomena progresif adalah lumrah dalam sesebuah
organisasi.
Pada tahun 1971,
elemen radikal dalam Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) cuba
menjatuhkan kumpulan pimpinan Mahadzir Khir, Presiden PBMUM (kelompok
nasionalis sederhana) tetapi gagal. Elemen radikal ini dipengaruhi oleh mantan
Presiden PBMUM sebelumnya, Anwar Ibrahim dan Noordin Razak. Ekoran daripada
itu, proksi Anwar Ibrahim memperkukuhkan pengaruh mereka dalam PMIUM.
Kemasukan Anwar
Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982 menelurkan kecelaruan pemikiran di kalangan
penggerak gerakan mahasiswa Islam. Selama ini, gerakan mahasiswa Islam bersifat
proksi ABIM dan PAS tidak mencampuri urusan gerakan mahasiswa Islam.
Di Universiti
Malaya, muktamar PMIUM sesi 1983/84 terpaksa ditangguh seketika. Berlaku
perebutan kuasa dalam PMIUM dimana Mohamad Hussein dari proksi PAS telah
mengalahkan proksi ABIM-PKPIM yang pro Anwar. Pada peringkat awal, usaha
kompromi telah dilakukan oleh pemangku Presiden PMIUM, Azami Zaharim yang mencadangkan
Takiyuddin Hasan sebagai presiden dan Mohamad Hussein sebagai timbalan tetapi
ahli exco PMIUM bersetuju melantik Mohamad Hussein sebagai presiden dan
Takiyuddin sebagai timbalan.
Kekecohan berlaku
apabila Takiyuddin menarik diri dalam muktamar dengan memberi laluan kepada
Mohd Taib Ahmad menduduki jawatan timbalan. Kumpulan pro Pas yang menjatuhkan
proksi ABIM terdiri daripada Mohamad Hussein, Takiyuddin Hasan, Syed Putra Syed
Ahmad, Azmi Ali dan Fuad Zarkhashi dan Mohd
Taib Ahmad berbincang di kampung Kerinchi bagi menaikkan kumpulan pro PAS.
Mereka dilabelkan sebagai Kerinchi 6.
Azami Zaharim yang
pro ABIM-PKPIM membantah tetapi gagal dalam pengundian apabila proksi ABIM
hanya mendapat 35 undi. Kekalahan proksi pro Anwar Ibrahim menandakan
kelunturan pengaruh ABIM-PKPIM di kampus Universiti Malaya dan kemunculan PAS
sebagai wadah perjuangan mahasiswa Islam yang baru. Kelompok ABIM-PKPIM kembali
ke proksi asal mereka, PBMUM.
Dalam politik Dewan
Pemuda PAS Pusat (DPPP), kelompok mahasiswa Islam yang menjatuhkan proksi ABIM
di Universiti Malaya telah didakwa mewujudkan Kumpulan UM atau Kumpulan
Republik Islam dalam persaingan dalaman DPPP.
Kumpulan mahasiswa
Islam di UM juga adalah pengasas kepada penubuhan Jemaah Islam(Induk) Kampus (JIK) ala IRC. JIK bertindak menguasai
persatuan-persatuan pelajar, kolej-kolej dan fakulti-fakulti. Persatuan
Mahasiswa Islam (PMI) dijadikan sebagai markaz induk JIK.
Dalam PAS, dikatakan
terdapat dua jalur pentarbiahan yang cukup berpengaruh iaitu jalur pentarbiahan
Tuan Guru Yahya Othman (TGYO) satu pihak dan Tuan Guru Harun Taib dan Tuan Guru
Abdul Hadi Awang pada pihak yang lain. Kalau kita perasan, kelompok kiri/progresif
dalam PAS sekarang (2015) terdiri daripada kelompok progresif sebelum muktamar tahun
2015, pimpinan Grup I, pimpinan PASMA dan AMANAH kebanyakan berasal daripada
jalur pentarbiahan TGYO. Entiti Grup I, MAYO, PASMA, AMANAH dan Kumpulan Dato
Husam Musa dalam PAS seakan-akan saling berkaitan antara satu sama lain.
Kenapa nama TGYO
terkait dengan fenomena progresif dalam PAS?.
Tentang Jalur
Pentarbiahan TGYO, satu organisasi menghimpunkan anak-anak murid TGYO telah diwujudkan
dan dikenali Madrasah Yahya Othman atau MAYO.
Pada pandangan penulis,
kewujudan kelompok kiri/progresif dalam sesebuah organisasi bukanlah kesalahan
besar. Ia satu persaingan yang sihat jika dilakukan dalam suasana ukhwah dan
beradab. Kita tidak boleh membiarkan hanya satu pihak sahaja yang selesa
mentadbir organisasi tanpa sebarang kritikan dan khayal dengan kemenangan
semasa pemilihan.
Pada awal tahun
2000 an, satu kumpulan rahsia telah ditubuhkan oleh sekelompok pemimpin
mahasiswa. Pemimpin mahasiswa ini rapat dengan salah seorang ahli parlimen di
Kelantan, salah seorang anggota Kumpulan Republik Islam. Kumpulan ini dinamakan
Tora Bora, nama diambil sempena nama gua tempat persembunyian pejuang Taliban
semasa serangan Amerika. Kumpulan Tora Bora dikatakan ditubuhkan tanpa
pengetahuan Amir JIK dan Majlis Syura Kampus.
Kumpulan Tora Bora
mempunyai pelapis, baton kepimpinan akan diberi kepada generasi adik-adik
pelapis sebagaimana yang berlaku dalam JIK sendiri. Ia menyebabkan berlaku
fenomena jemaah dalam jemaah. Jika Presiden PMI dalam kalangan pro PAS totok,
kehadiran kumpulan ini dalam JIK/MSK/AU dirahsiakan tanpa pengetahuan Amir JIK
dan ahli MSK yang totok PAS. Ada yang mendakwa kumpulan Tora Bora asas
kewujudan Grup I.
Ada yang mendakwa kewujudan
Grup I disedari semasa zaman Ustaz Ahmad
Syazwan menjadi Presiden PMIUM dimana
ramai anggota PMIUM ‘hilang’ semasa aktiviti PMIUM.
Menariknya, ada yang
mendakwa grup I ini mempunyai dua aliran
mazhab iaitu tarbiah Ustaz Mohd Noor Umar dari Melaka dan tarbiah (tamrin) Kota
Bharu oleh Ustaz Muhammad Husein. Dan
ada juga yang mendakwa kemungkinan Dr Zuhdi Marszuki juga terlibat dalam
perancangan Grup I pada peringkat berdasarkan pengaulan rapatnya dengan
pimpinan mahasiswa Grup I.
Grup I sudah melata
hampir semua kampus. Anggota Grup I berada dalam posisi-posisi tertentu dalam
kepimpinan PAS, ada menyertai AMANAH, Pakatan Harapan dan Kerajaan Pakatan
Rakyat.
Di Universiti
Malaya, pewaris generasi Grup I masih menguasai JIK UM. Kader-kader pewaris
Grup I terutama kader kampus UM telah menyertai AMANAH, PKR, PASMA dan DAP.
Penyertaan parti lain atau keluar PAS ini memberi imej buruk kepada kelompok
progresif dan pro perubahan dalam PAS. Sewajarnya mereka menunggu muktamar akan
datang untuk mengarap usaha perubahan dalaman PAS.
Pada tahun 2015,
kelompok progresif yang tidak keluar PAS, dibawah pengaruh YB Dato Husam Musa
masih mengkritik kepimpinan utama PAS. Tindakan dan peranan Husam Musa sebagai pengkritik
dan pendesak dalam PAS adalah satu usaha yang baik dalam mengislah PAS. Kesilapan
besar kelompok progresif adalah keluar PAS. Mereka mesti lawan melalui kaedah
yang disediakan oleh jemaah iaitu gelanggang pemilihan oleh sidang muktamar
bukannya keluar jemaah. Paling tidak pun, bertawaquf.
Pengkisahan Grup I
ditulis berdasarkan dakwaan dan khabar cerita sahaja. Penulisan ini hanya untuk
rekod dan memberi gambaran awal terhadap pendakwaan ramai mantan pimpinan
mahasiswa tentang kewujudan Grup I. Ia tidak dijamin kesahihannya. Sebaiknya
pembaca menanyakan sendiri kisah sebenarnya daripada mantan pimpinan mahasiswa
terbabit tentang kesahihannya.
Muda kuat dan bersemangat,
tetapi kurang pengalaman,
muda mudah tertipu dek retorika pidato, keberanian dan
imej seseorang.
No comments:
Post a Comment