BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI
‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu cara hidup’
Dalam bab ini penulis cuba merumuskan buah pemikiran ulama haraki seperti al Syahid Iman Hasan al Banna, Said Hawwa, al Syahid Sayyid Qutb, Abu A’la al Maududi dan beberapa ulama lagi. Sub-topik yang dikemukakan dalam nukilan dibawah merupakan ringkasan paling asas dan kunci utama pemikiran tokoh haraki Islam. Ini akan memudahkan mahasiswa memahami intipati yang ingin dijelmakan oleh tokoh haraki tersebut. Dalam perjuangan untuk menegakkan Islam, proses pembinaan akidah sangat penting agar gerakan Islam dapat mengembleng tenaga-idea kader-kader yang sukses dan berprestasi. Dengan mengetahui roh perjuangan GMI, kader-kader GMI akan dapat menyatukan fikrah dengan meneliti buah fikiran yang sama iaitu bersumber al Quran dan hadis. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk menegakkan kekuasaan Allah di muka bumi.
MENEGAK KALIMAH TAYYIBAH DALAM MASYARAKAT DAN JIWA INSANI
Kalimah tayyibah merupakan ikrar agung makhluk kepada Allah SWT. Kalimah agung ini merupakan akar tunjang kepada agama Islam. Kita sebagai muslim diwajibkan melakukan pengabdian kepada Allah SWT bukan kepada sesama manusia. Pengabdian ini bukan sahaja dibuktikan di dalam rakaat-rakaat solat tetapi dicerminkan sebagai gaya hidup seharian sama ada secara individu atau bermasyarakat. Keseluruhan aspek kehidupan perlu mengikuti ajaran Islam termasuk muamalat, politik, dan sosial sebagai tanda pengabdian kepada Allah SWT. Oleh itu, seorang muslim perlu menggunakan secara keseluruhan kaedah Islam dalam setiap aspek kehidupan.
Masyarakat tanpa pelaksanaan dan tiada penjelmaan kaedah-kaedah Islam tidak boleh dipandang sebagai masyarakat Islam. Jika seorang muslim sanggup menggunakan kaedah selain daripada Islam, ini bermakna mereka melakukan syirik kerana mengharapkan kuasa makhluk daripada kekuasaan Allah. Mereka telah mempermainkan kalimah tayyibah dengan kemanisan kata-kata dan pada masa yang sama mereka mengharamkan diri daripada melaksanakan kaedah Islam yang terkandung dalam al Quran dan hadis nabi. Mereka lebih mempercayai hukum dunia ciptaan manusia daripada hukum Allah. Inilah manusia bertuhankan nafsu yang hanyut dalam kehidupan jahiliah.
Penjelmaan kalimah tayyibah dalam kehidupan realiti menandakan kemunculan keagungan iman dalam diri insani dan masyarakat Islam. Hidup kita untuk membina masyarakat Islam perlu diteruskan tanpa mundur walaupun kita menghadapi masyarakat jahiliah moden yang tepu dengan kemungkaran dan maksiat. Sekarang kita menghadapi tradisi sosial yang pincang, kekuasaan politik yang korupsi, perundangan yang bathil, dan dengan realiti yang popular dan disukai masyarakat majoriti tetapi jelas bertentangan dengan konsep iman. Wahai Sahabat Mahasiswa! Jangan kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati, pada hal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang beriman [rujuk Aali Imran:139]. Teruskan perjuangan, sesungguhnya kita berada di landasan yang benar untuk menegak kalimah tayyibah di alam ini sebagai tanda pengabdian kita kepada Allah SWT bukannya mengabdikan diri sesama manusia.
AL QURAN SEBAGAI PANDUAN HIDUP
Kini, umat Islam berada dalam keadaan muflis daripada segala aspek kehidupan termasuk dalam politik, pendidikan, ekonomi dan ketenteraan. Inilah padahnya jika umat Islam kehilangan roh perjuangan yang dinyalakan oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat. Baginda Rasulullah mendidik para sahabat dan umat Islam dengan suluhan al Quran tetapi sekarang umat Islam sendiri telah mencampur aduk arahan-arahan al Quran dengan idealis ciptaan manusia. Umat Islam menganggap al Quran hanya untuk dibaca, diselidik, dikaji dan sebuah cerita penglipur lara. Mereka mempertandingkan bacaan al Quran tanpa memahami kehendak al Quran. Umat Islam sekarang lebih selesa dengan membaca tanpa amal dan tidak memahami arahan al Quran bahkan ada diantara mereka yang menolak ajaran al Quran dengan alasan sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Celakalah golongan ini, golongan mengejar kekafiran walaupun ditawar hidayah kepadanya.
Wahai sahabat mahasiswa! Marilah kita menterjemahkan segala arahan dan perintah Allah dalam al Quran ke dalam kehidupan kita. Kita harus mempunyai perasaan belajar untuk melaksanakan terus [segera] segala ajaran al Quran tanpa alasan. Jangan jadikan al Quran hanya sebuah teori tanpa praktikal. Al Quran adalah panduan hidup, panduan Ilahi yang tulen dan Allah sendiri telah merasmikan bahawa al Quran sebagai garis pemisah antara hak dan bathil. Untuk menghidupkan al Quran ke dalam diri dan masyarakat kita, kita wajib mengamalkan budaya ‘saya dengar, saya patuh’ tanpa sebarang alasan. Hanya al Quran penentu kebenaran walaupun ia pahit untuk kita menerimanya.
JIHAD ADALAH JALAN KAMI
Dr. Muhammad Said Ramadan al Buti mendefinisikan jihad ialah mengorbankan segala tenaga dan usaha ke jalan mempertinggikan kalimah Allah dan mendirikan satu masyarakat Islam. Sabda Nabi ‘sesiapa mati dalam keadaan tidak berperang dan tidak berniat untuk berperang maka ia mati dalam keadaan mati jahiliah’. Untuk meneruskan liku-liku perjuangan, GMI perlu membangkitkan semangat jihad yang kental bagi menghadapi mehnah musuh. Wahai sahabat mahasiswa! Ingatlah jalan yang kita pilih ini adalah jalan jihad. Jihad untuk menegakkan maruah dan gaya hidup berteras agama Islam yang murni. Jihad kita ialah menentang sesiapa yang mengingkari agamanya dan menyerukan umat manusia kepada kebaikan dan menegah kemungkaran. Jihad bagi mahasiswa dengan mengorban masa, tenaga dan harta benda untuk memenangkan agama Allah di dalam dan luar kampus.
Wahai Sahabat mahasiswa! Marilah kita menegakkan kerajaan Allah di muka bumi ini, melaksanakan syariah dan undang-undang Allah, merebut kembali kekuasaan Allah daripada tangan manusia yang durjana yang berani merampas hak-hak Allah. Usaha memansuhkan undang-undang bikinan manusia tidak akan berjaya jika hanya setakat bertabligh, berpidato dan ceramah penerangan sahaja. GMI haruslah turut sama bangkit membantu gerakan Islam dalam membebaskan umat manusia daripada pengabdian sesama manusia dengan mewujudkan pemerintahan berpandukan syariat Islam. Wahai sahabat mahasiswa sekalian! marilah kita bersama-sama menjadi tenaga-idea kita digunakan untuk merealisasikan cita-cita jihad kita menubuhkan negara Islam yang berasaskan al Quran dan hadis yang murni dengan apa jua cara termasuk mati syahid.
Jarak untuk menuai hasil perjuangan masih jauh, ia memakan masa yang panjang. Kemenangan bagi GMI bukanlah segalanya. Tapi yang paling penting bagi kita adalah kader-kader GMI menjadi jambatan untuk orang taat dan patuh kepada arahan Allah dalam melihat Islam muncul sebagai pemerintah alam. Wahai sahabat mahasiswa! Ranjau berduri harus kita terima dengan redha dan sabar. Bagi menguatkan semangat dan jiwa, marilah kita nyalakan pelita perjuangan, marilah kita menyemak dan mengkaji serta mengambil iktibar daripada sirah nabi, para sahabat dan pemimpin haraki untuk menghadapi musuh yang bertuhankan material. Lihatlah Sayyid Qutb hanya seorang penulis tetapi ditakuti oleh pemerintah sekular Mesir. Akibatnya ia dihukum gantung tetapi baginya kematian hanya satu perjalanan untuk menuju matlamatnya. Matlamat Sayyid Qutb menemui kekasih yang merinduinya di taman-taman syurga. Ayuh sahabat! Mari bersama menegak Islam di kampus dengan bersungguh-sungguh. Ingat! Perjuangan kita adalah jihad.
ISLAM SEPENUHNYA ATAU SEBAHAGIAN?
Islam merupakan satu gagasan dan sistem kehidupan yang paling sesuai dengan fitrah manusia. Sistem Islam adalah lengkap, saling mendukung antara satu sama lain dan bersifat menyeluruh. Tetapi sayang, kini orang Islam sendiri cuba mengantikan Islam dengan satu gagasan dan sistem yang jauh berbeda dengan Islam seperti sekular, komunis dan sosialis. Paling menyedihkan orang Islam telah menyerap masuk dan mencampur aduk antara kebathilan dengan perkara hak di dalam agama Islam. Dalam menyelesaikan masalah kehidupan seperti kebejatan sosial dan pendidikan, orang Islam terutamanya pemerintah negara dan kampus merelakan diri mereka mengikuti sistem ciptaan manusia.
Mereka [pemerintah] lebih mempercayai orientalis Barat daripada ulama pewaris nabi. Setelah kegagalan sistem ciptaan manusia barulah mereka mencari sistem Islam. Islam diminta mengeluarkan pendapat oleh orang-orang yang tidak menyukai Islam itu memerintah. Tidakkah pelik perkara ini? Islam diminta pendapat daripada masalah yang tidak ditimbulkan oleh sistem Islam. Hairan sekali Islam diminta pendapat daripada suatu negara dimana sistem Islam tidak dilaksanakan.
Islam adalah satu gaya hidup yang bersifat menyeluruh dan tidak boleh dijuzukkan kerana ia saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Laksanakanlah Islam itu secara keseluruhan dalam sistem hukum dan pemerintahan, dalam dasar-dasar perundangan dan dalam prinsip pendidikan. Setelah itu barulah ditanyakan pendapat Islam masalah yang timbul daripada sistem Islam. Ciptalah masyarakat yang Islam memerintah bukannya Islam diperintah.
Laksanakanlah keadilan dan jaminan yang ditentukan oleh Islam sama ada dalam sosial, ekonomi dan politik dengan bersungguh-sungguh, nescaya segala masalah akan diselesaikan. Janganlah kita mengusir Islam daripada kehidupan masyarakat dengan menerima sebahagian daripada Islam yang menguntungkan periuk nasi ekonomi dan keuntungan peribadi sahaja. Terimalah secara menyeluruh sistem Islam tanpa alasan. Sistem Islam yang syumul dan sesuai sepanjang zaman haruslah dilaksanakan dan jangan ditanguh walaupun sesaat. Marilah kita menjadikan Islam sebagai cara hidup tanpa kompromi.
ANTARA KAFIR DENGAN MUSLIM: APA BEDANYA?
Seorang muslim percaya bahawa darjatnya lebih tinggi daripada seorang kafir. Allah meredhai seorang muslim daripada seorang kafir. Inilah keistimewaan orang Islam, orang yang dijamin syurga setelah adanya keimanan di sanubari. Tahukah kita perbedaan diantara seorang muslim dengan seorang kafir? Tiada perbedaan besar diantara kita kecuali akidah dan nama individu. Yang lain adalah sama. Kita berasal daripada Adam, mereka pun sama, mereka juga mempunyai anggota badan seperti kita, pendek kata semuanya sama. Cuma akidah dan nama kita saja yang menentukan betapa Islamnya kita. Mari kita berfikir adakah nama Abdul Rahman menunjukkan kita lebih Islam daripada nama George Bush. Adakah nama sudah cukup mengambarkan kita sebagai seorang muslim? Jawapannya tentulah tidak cukup.
Sebenarnya akidah kita adalah satu-satunya penentu betapa muslimnya kita. Akidah Islam dapat diindekkan melalui pengetahuan dan pengamalan Islam dalam kehidupan kita seharian. Jika nama kita berunsurkan Islam, kita mengaku sebagai muslim tetapi tidak mempunyai pengetahuan dan tidak mengamalkan Islam dalam erti kata berlandas al Quran dan hadis, kita hanya muslim komestik yang lawa pada kulit tetapi nampak hodoh jika komestik itu tertanggal. Ada di kalangan kita menjadi manusia yang tahu dan faham agama tetapi tidak mengamalkan agama. Mereka manusia yang degil, mudah dikelabui oleh habuan dunia dan gemar mengimani kebathilan, mereka inilah yang disifatkan oleh Allah SWT sebagai orang-orang rugi.[1]
Kini, dalam menjalani kehidupan moden, kita seorang muslim kelihatan tidak ada bezanya dengan seorang kafir. Lihatlah pengetahuan dan pengamalan kita. Kita lebih selesa memakai pakaian menjolok mata berbanding menutup aurat. Kita lebih taat kepada hukum atau perundangan sekular berbanding hukuman syariat Islam. Lihatlah nasib hukum hudud yang diperlekeh sebagai hudud PAS dengan pelbagai alasan untuk menolaknya. Kita lebih percaya kepada media massa daripada mempercayai al Quran dan hadis. Perkara ini bertambah parah apabila, media massa mencandukan rakyat dengan hiburan. Hiburan seperti Audition dan Akademi Fantasia secara langsung memaparkan peluk memeluk di antara lelaki dan perempuan. Dimanakah letaknya akhlak Islam? Atau kita gembira dengan amalan jahiliah moden itu. Jadi, apa bezanya seorang muslim dengan seorang kafir.
Wahai sahabat mahasiswa, marilah kita membina ciri perbedaan antara kafir dengan muslim dalam setiap aspek kehidupan kita. Jangan sesekali terpengaruh dengan idea liberal dan budaya trendy yang dicanang oleh media massa terutamanya rancangan 3R, Pillow Talk dan sebagainya. Kita sebagai muslim seharusnya mempunyai jatidiri yang tersendiri dan harus merdeka daripada pengaruh budaya jahiliah moden yang durjana. Marilah kita menjadi muslim berakhlakkan al Quran untuk mara ke dalam kehidupan moden yang jahiliah.
RUMUSAN
Nukilan di atas adalah rumusan daripada pemikiran tokoh haraki Islam. Penulis cuba memudahkan mahasiswa memahami apa intipati yang penting daripada tulisan tokoh haraki Islam untuk dijadikan azimat dalam meneruskan perjuangan GMI. Janganlah kita mudah tertewas dengan segala dugaan yang diterima semasa menempuhi mehnah perjuangan. Kemenangan bukanlah matlamat utama dalam perjuangan kita tetapi usaha perjuangan tanpa berputus asa perlu diteruskan semasa mendepani ranjau perjuangan.
Ranjau berduri dalam perjuangan perlu diredah dengan berani dan tawakal. Kekalahan, sekatan dan penyeksaan yang berpanjangan ini adalah usaha untuk menambahkan pahala kita semasa berjuang. Inilah keberuntungan kita. Kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW sendiri mengambil masa 23 tahun untuk memperkasakan Islam di Tanah Arab. Justeru, kita sebagai manusia kerdil ini harus menerima kemenangan Islam bukan terjelma pada zaman kita. Tetapi ingatlah, kemenangan Islam pasti datang dan ia adalah milik hakiki umat Islam. Percayalah.
Jatuh dan gagal yang pertama bukan kegagalan. Kegagalan ialah jika jatuh kerana sebab yang serupa di tempat yang sama.
[1] Kuliah Tafsir TG Haji Hadi, surah al Ankabut: 52, 30.7.2004.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment