“Jangan takut pada sekularisme”
Erdogan
Oleh
Khalil
Jibril
Dalam penulisan kita dapat
1)
Mengetahui tentang sekularisasi-liberalisasi
kelompok Islam
2)
Pasca
Islamisme-Pragmatisme-Liberalisme
“...dan
Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah
itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Surah at Taubah:40)
Penulis tertarik dengan penafsiran Tuan Guru
Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang istilah kalimatullah dalam ayat di atas. Menurut
beliau, apabila disebut kalimatullah, ia membawa maksud bahawa seluruh ajaran Islam
adalah satu ajaran yang padu sehingga kesemuanya tidak boleh dibelah bahagi
atau dipotong-potong menurut kehendak hawa nafsu. Jika al Quran itu
dikerat-kerat atau dipotong-pontong antara satu sama lain, maka al Quran tidak
dapat dihayati. Perkara ini menunjukkan bahawa Islam itu syumul mencakupi
seluruh aspek kehidupan secara holistik.
Elemen-elemen sekular semakin menular dalam
gerakan Islam seluruh dunia. Kita boleh belajar tentang sekularisme dan boleh ambil
manfaat daripadanya tetapi untuk menjadi tunjang pemikiran, perlulah ditolak
oleh para pendokong gerakan Islam. Paling menonjol pada hari ini ialah
liberalisme. Paling malang apabila berlakunya sekularisasi-liberalisasi dalam
gerakan Islam dan terdapat Islamis yang berjaya dipengaruhinya.
Cuba kita lihat, bagaimanakah pendekatan dan
pemikiran tokoh yang terpengaruh dengan sekularisme. Islam semakin jarang
disebut, Islam hanya alat untuk mengukuhkan sekularisme, Islam dikesampingkan
berbanding pemikiran dan pendekatan sekular. Perkaitan Islam dengan dunia
semakin jauh. Kesyumulan Islam diratahi oleh sekularisme.
Sekularisme meliputi semua buah pemikiran dan
pendekatan serta nilai yang tidak bertunjangkan agama. Antara sekularisme
termasuk liberalisme, sosialisme, post Islamisme, Inklusif, masyarakat sivil,
ruang awam dan sebagainya. Bukannya kita tak boleh ambil kebaikan daripada
konsep buah pemikiran Barat, cuma lakukanlah Islamisasi agar ia beraqidah dan
tak meminggirkan Islam.
Ada kalangan kita memberi alasan bercakap
dalam bahasa ‘orang’ sekarang atau dalam bahasa konteks semasa iaitu melihat
audien. Pendokong Islam perlu bercakap dalam bahasa Islam bukannya mengagung
atau mengangkat idea-idea ciptaan manusia. Bahasa ‘idea’ manusia lagi sukar
untuk difahami oleh rakyat jelata berbanding sesetengah elitis dan kelompok
terpelajar. Perkataan seperti Inklusif atau urus tadbir yang baik agak sukar
difahami berbanding perkataan amanah, adil dan menerima pendapat orang lain.
Penghalalkan
Sekularisme dan Penjenamaan Islam untuk Kepentingan Tertentu
Kita biasa dengar istilah-istilah Islami yang
unik seperti Islam Hadhari, Dialog Antara Tamadun, Masyarakat Madani, Dasar
Penerapan Islam dan Islamisasi.
Kita juga biasa dengar dan membaca hujah-hujah
yang menempelkan kepada maqasid syariah, pemikiran Yusuf al Qaradhawi,
pemikiran Abdullah Bayyah, fiqh ikhtilaf, fiqh keutamaan dan kepelbagaian jemaah.
Semua tempelan hujah dan istilah tersebut
sudah tentu mendambakan kebaikan dan tujuan yang baik, cuma sesetengah kelompok
mengambil peluang untuk bermudah-mudahan dalam sesuatu perkara dan menyambar
peluang pengukuhan politik diri dan kelompok masing-masing.
Menurut Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH),
generasi al salaf as soleh muncul
dengan akidah yang unggul dan mengutamakan ikatan persaudaraan Islam berjaya
mengatasi cabaran dalaman dan luaran. Musuh Islam menumpukan fahaman akidah
memberi kesan berbahaya. Ideologi moden yang dibawa oleh fahaman sekular yang
menular ke dalam masyarakat Islam.
Kemudian ia menyadurkan dengan nama Islam lalu mewujudkan fenomena baru yang
membahayakan akidah.[i]
Menurut Abdul Hadi Awang lagi, insan
dibenarkan untuk membuat sebarang penyesuaian dari segi pendekatan dan teknikal
yang sesuai dengan kehendak zaman tanpa mengganggu gugat dasarnya sebagaimana
termaktub dalam al Quran dan al hadith.[ii]
Jika Islam dikaitkan dengan negara,
pemerintahan, politik dan perundangan, ia sangat ditakuti oleh Barat dan sekutu
mereka. Jangan sesekali menyamakan Islam dengan pensejarahan gereja di Eropah. Menurut
Ustaz Umar Tilmisani pula, mantan Mursyidul Aam Ikhwan Mesir, dalam masa yang
sama, pemimpin-pemimpin ini cuba menakut-nakutkan rakyat jelata kerana
menyangka negara Islam tak ubah seperti pemerintahan gereja pertengahan abad
yang lampau, dimana kesudahannya akan berulang-ulang trajedi huru hara,
pertumpahan darah, kafir mengkafir dan sebagainya.
Sekularisasi-Liberalisasi Dalam Kalangan
Islamis
Seperti yang
dijelaskan di atas, sekularisme mencakupi pemisahan antara perkara dunia dengan
agama. Sekularisme itu meliputi ideologi ciptaan manusia seperti liberalisme,
komunisme, pasca Islamisme, Inklusif, Pluralisme dan lain-lain.
Sukar kita menilai
para Islamis sebagai elemen sekular kerana mereka terbahagi kepada beberapa
kelompok;
a)
Kelompok
yang mengikut tanpa sedar dan terperangkap dengan istilah dan konsep
pemikiran Barat.
b)
Kelompok
yang menyokong dengan sedar tetapi bergerak disebalik gerakan Islam dan hujah
Islam.
c)
Kelompok
yang bersandar dengan pemikiran-idea demi Islam, bercakap dengan bahasa politik
untuk meletakkan Islam dalam konteks semasa dan khalayak masyarakat pelbagai
kaum dan agama. Hanya menggunakan pendekatan bukannya berimankan pemikiran
tersebut. Malangnya,ada kalangan mereka tenggelam dalam khayalan apabila Islam
seakan-akan menjadi isu sampingan sahaja dalam penghujahan dan perjuangan
mereka.
Penilaian kita menjadi
sukar apabila ia melibatkan isi hati yang tidak diketahui oleh sesiapa pun
kecuali empunya diri dan Allah. Cuma kita boleh melihat mereka dari segi
pengaulan, penulisan, percakapan dan idea yang mereka gagaskan sama ada mendekati
Islam atau menjauhi Islam.
Menurut Ulil Abshar
Abada, tokoh Jaringan Islam Liberal Indonesia, antara ciri-ciri liberalisasi
dalam kalangan Islamis ialah;
1.
Mereka
meninggalkan idea negara Islam dan memeluk demokrasi.
2.
Mereka
meninggalkan idea penerapan syariat, lebih konsentrasi kepada realiti semasa
yang praktis
3.
Selesa
memeluk ekonomi bebas
4.
Meninggalkan
konsep Negara Islam dan menganuti Konsep Negara Sivil.
5.
Mereka
lebih realistik dan pragmatis idea dalam melihat keadaan, tak dogmatis memegang
ideologi Islamisme
6.
Mengatakan
urusan moral, agama dan akhlak adalah urusan peribadi. (tambahan)
Menurut Ustaz Sharipudin Abd. Kadir, Yang
Dipertua Majlis Syura ISMA dan Yang Dipertua ISMA Kelantan, kita boleh menilai
daripada kesan liberalisasi kepada gerakan Islam yang dikemukakan oleh beliau
iaitu
a)
Merubah pendekatan dakwah
kebanyakan gerakan Islam di Malaysia tanpa melihat kepada perancangan musuh
Islam yang terselindung. Setiap isu disokong dan dihujah secara syarak dan aqal
tanpa melihat kepada kepentingannya di Malaysia dan kesannya kepada rakyat
majoriti.
b)
Merubah strategi dakwah gerakan
Islam. Daripada membela keadilan untuk Islam kepada hanya berdialog dan
berdiskusi kononnya secara hikmah. Digambarkan seolah-olah Islam hanya
mengutamakan dialog dan diskusi walaupun Islam diserang dari segenap penjuru.
Mana-mana gerakan Islam yang ke depan membela Islam dengan agak agresif dituduh
sebagai melampau atau tidak memahami uslub dakwah.
c)
“Mengkijangkan harimau”. Perkataan “musuh Islam” telah ditukar kepada “mad’u kita” walaupun ajaran tersebut jelas memusuhi Islam dengan
pelbagai perancangan secara senyap ataupun zahir.
d)
Para cerdik pandai yang
menyalahkan gerakan Islam kerana cuba menanamkan sifat permusuhan dengan
penganut agama lain sedangkan di sana terdapat titik-titik persamaan antara
Islam dengan agama tersebut seperti Kristian dan Yahudi. Sepatutnya orang Islam
menggunakan titik persamaan tersebut ke arah perdamaian dan keamanan dengan
membina titik persefahaman.
e)
Mengenepikan tamadun bangsa yang
pernah dicipta oleh generasi terdahulu walaupun syarak mengharuskannya dengan
syarat-syaratnya yang jelas. Mereka mendakwa bangsa tidak ada apa-apa
kepentingan untuk agama. Bangsa tak wujud pun tak mengapa asalkan Islam ada.
Pasca
Islamisme
Menurut Haris Zalkapli, maksud pasca-Islamisme
itu sebagai satu kondisi gerakan Islam
bercakap dalam bahasa semasa dan menangani hal-hal semasa yang bukan menurut
istilah yang biasa dengan gerakan Islam. Tetapi pasca-Islamisme pergi lebih
jauh lagi, dan ditakrifkan juga sebagai satu
bentuk baru gerakan Islam yang mengambil sepenuhnya wacana baru dan bersifat
sebagai demokrat dan menjadi lebih liberal, menjadikan mereka pasca-Islamis.
Asef Bayat menyatakan pasca Islamisme bukanlah
anti Islam atau sekular, ia tidak
mengubah Islam tetapi memberi tumpuan kepada hak asasi warganegara. Asef Bayat
berpendapat pasca Islamisme sebagai satu keadaan, berikutan satu fasa
eksperimentasi, tarikan, tenaga, simbol dan sumber keabasahan Islamisme semakin
susut walaupun dalam kalangan penyokong kuatnya sebelumnya.
Kita juga boleh memahami pasca Islamisme
sebagai satu keadaan parti berasaskan Islam bercakap dalam bahasa kontemporari
dan memberi prioriti kepada isu-isu urus tadbir, ekonomi dan kebajikan rakyat
yang majoriti berbanding isu yang lebih bersumber wacana agama dan ideologi parti
terbabit.
Pada pendapat penulis, Pasca Islamisme
meneruskan legasi Islam Amerika iaitu perjuangan Islam tanpa syariat.
Perjuangan Islam berdasarkan prinsip, nilai dan moral (baca: akhlak) serta
tasawuf sahaja. Islam bagaikan air (nilai) tanpa bekas air (syariat), mana
mungkin air boleh diminum tanpa bekas air (cawan, gelas dan sebagainya). Ada
sesetengah pendapat mengatakan bahawa Islamisme itu adalah Islam Politik. Mereka mendakwa Islam Politik perlu dibanteras
kerana menghasilkan pemikiran radikal dan ektremisme. Dakwaan mereka dangkal
kerana cuba memisahkan Islam dan politik padahal politik itu salah satu elemen
dalam Islam.
Model terbaik pasca Islamisme ialah AKP Turki
di bawah pimpinan Erdogan dan an Nahdah dipimpin oleh Rashid Ghannoushi. Menurut Ulil Abshar Abada, perkataan ‘kebebasan’ pada nama parti-parti yang
dikatakan pro Islam menunjukkan pengaruh liberal sedang membiak cergas dalam
parti tersebut. Perkataan keadilan, kebebasan dan pembangunan seringkali
digunakan oleh kelompok pasca Islamise menunjukkan sifat progresif dan
pembaharuan.
Lihat pula kenyataan
pimpinan Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) Maghribi;
“Jika saya mendapat tempat di dalam kerajaan, ia tidak akan jadi
sekiranya saya memberitahu wanita muda berapa sentimeter skirt mereka harus
memakai untuk melindungi kaki mereka. Itu bukan urusan saya. Ia tidak mungkin,
bagaimanapun, untuk sesiapa sahaja untuk mengancam punca kebebasan awam di Maghribi
"
Perkara ini
menunjukkan urusan agama adalah urusan peribadi. Kenyataan sebegini secara
langsung mempunyai ciri-ciri sekelompok Islam sudah diliberalisasi.
Dalam gerakan Islam,
terdapat sesetengah pemimpin yang terperangkap, terpengaruh dan seronok dengan
permainan konsep pemikiran Barat yang kaya dengan istilah. Mereka seronok
dengan istilah inklusif, pasca Islamisme, good
governance, muslim democrat,
pluralism dan sebagainya. Pelbagai cara untuk menghalalkan penggunaan istilah
dan konsep daripada pemikiran Barat. Umpamanya pluralism dihujah dengan
pluraliti dalam masyarakat majmuk.
Kita boleh belajar dan
mengunakan pendekatan mereka tetapi kita tidak boleh larut dalam pemikiran
mereka. Sepatutnya kita mengangkat hujah-hujah dan alternatif Islam dalam
masyarakat dan negara. Kita bawa pendapat dari sisi Islam dikemukakan dalam
kehidupan. Berwacana dari perspektif Islam memerlukan hujah-hujah atau dalil
daripada sumber yang ada autoriti. Dari situlah kita mengemukakan Islam sebagai
penyelesaian.
Dalam gerakan Islam di
Malaysia, pasca Islamisme sedang membenih terutamanya dalam kalangan anak muda
dan mereka yang pernah mendapat
pendidikan di negara Barat. Kebanyakan tokoh yang berpendidikan Barat rapat
dengan tokoh Ikhwanul Muslimin
Antarabangsa tertentu yang terpengaruhi gagasan
pasca Islamisme. Mereka sebenarnya dilihat kelompok elitis yang membawa idea
asing yang kurang difahami oleh rakyat jelata dan anggota bawahan.
Penulis menyifatkan kelompok
pimpinan pendamba pasca Islamisme adalah minoriti dalam fenomena progresif dalam
gerakan Islam. Mereka bersama dalam fenomena progresif kerana mempunyai
matlamat yang sama iaitu perubahan
tampuk kepimpinan dan pendekatan gerakan Islam menghadapi realiti zaman.
Pada hemat penulis, fenomena progresif hanya persaingan kuasa antara kelompok
elitis dalam gerakan Islam. Ia hanya sekitar perebutan kuasa dan hanya
perubahan pendekatan bukannya prinsip. Sebilangan kecil daripada mereka
terperangkap dan dicandukan dengan gagasan pasca Islamisme.
Dalam pemerhatian
penulis, sejak tahun 2005, idea pasca Islamisme dimainkan oleh kelompok
tertentu dalam PAS termasuk dalam Harakah. Punbegitu, kita masih lagi
beranggapan bahawa mereka hanyalah menggunakan pendekatan bukannya mengimani
dengan pemikiran konsep tersebut.
Pandangan baik sangka kita, ia hanya proses penyesuaian pendekatan dan
teknikal untuk mendepani zaman.
Antara idea-idea dan
pendekatan kelompok dalam gerakan Islam di Malaysia yang terpengaruh dengan
pasca Islamisme;
a.
Bergerak dalam ruang lingkup politik dalam
kerangka ‘nation state’ iaitu
bergerak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
b.
Menjana gagasan neo-fundamentalisme ke arah penyatuan ummah yang universal berteraskan syariah.
c.
Tindakan politik
perlu mengatasi ideologi. Tindakan sebegini memunculkan pragmatism.
d.
Pengunaan
istilah seperti inklusif dan urus tadbir yang baik
e.
Menempel
dengan maqasid syariah. Pengunaan maqasid syariah bukan untuk mengukuhkan Islam
tetapi meminggirkan Islam.
Persoalan yang timbul,
apakah pilihan gerakan Islam sama ada
memilih bersama Islamisme atau pasca Islamisme?.
Pada hemat penulis, ia
bergantung kepada niat seseorang dan sifat waspada seseorang tentang penyusupan
gagasan pemikiran Barat yang tidak Islami dalam keanggotaan jemaah Islam secara
sedar, tidak sedar atau selesa dengan pemikiran tersebut. Dalam pasca Islamisme
ada beberapa perkara yang kita boleh mengunakannya sebagai pendekatan tetapi bukannya
‘isme’ dan tunjang pemikiran jemaah Islam. Sebagai gerakan Islam, kita
perlu kembali kepada pandangan sarwajagat berdasarkan al Quran dan al Sunnah
bukannya pemikiran Barat.
Antara sifat pasca
Islamisme ialah lebih plural, inklusif,
toleransi, demokrat, kepentingan masyarakat sivil, perjuangan hak asasi manusia
dan hubungan antara agama manakala Islamisme terpalit dengan radikal, keras dan
eksklusif. Ada sarjana melihat bahawa pasca Islamisme menjadi ubat kepada
Islamisme yang lama.
Perkembangan
komunikasi dan gajet menyebabkan ramai anak muda mudah tertarik dengan pasca
Islamisme. Pasca Islamisme hasil lontaran sarjana Barat dan sarjana Islam
terpinggir berakar umbi daripada
pemikiran liberalisme-pragmatisme . Menurut Ulil Abshar Abdala, fenomena
pragmatisme parti Islam berhaluan sederhana beriringan dengan fenomena
melunturnya ideologi dalam politik.
Walaupun pasca Islamisme dikatakan melunturkan ideologi politik tetapi
pasca Islamisme sendiri bakal menjadi
‘isme’ atau ideologi yang baru. Pada hemat penulis, pasca Islamisme akan
meranapkan teras Islam yang mengutamakan dalil bersumber autoriti (al Quran dan
al hadith) kerana mementingkan kemenangan politik berbanding matlamat dakwah.
Dalam menanggapi
kemenangan, ia melibatkan kemenangan bersifat jangka pendek atau jangka
panjang. Kemenangan itu perlu menitik berat perkara di bawah;
1.
Kemenangan
yang diredhai Allah
2.
Kemenangan
dengan cara yang benar bukannya matlamat menghalalkan cara.
3.
Kemenangan
untuk Islam bukannya kehendak nafsu diri dan kumpulan
4.
Kemenangan
yang boleh memberi kebahagiaan kepada manusia(termasuk bukan Islam) dan alam
sekitar.
Dalam politik dan
demokrasi, kemenangan itu penting tetapi kita tidak mahu kemenangan yang cacat
iaitu kemenangan yang tidak diredhai Allah terutamanya kelompok pragmatis yang
seringkali menggunakan pendekatan matlamat menghalalkan cara. Kelompok pragmatislah yang menongkah
arus gerakan Islam dengan menerima secular-liberal sekaligus menjayakan
sekularisasi-liberalisasi.
Ada beberapa pendapat
tentang kesan buruk yang dapat ditimbulkan oleh
pragmatisme dalam mengejar tujuan politik seperti di bawah:
1.
Bagi
sesebuah parti Islam yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan. Parti itu
akan terancam oleh penghakisan ‘ideologi’.
Maknanya, pemikiran bersumberkan dalil al Quran dan al Sunnah akan terhakis
oleh kemenangan politik sahaja. Menurut Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pernah
menjelaskan bagaimana parti Al ISTIQLAL Maghribi, yang dahulunya berpegang
dengan dasar ISLAM, sekarang bertukar menjadi sekular Liberal. Begitu juga
terjadi kepada Liga Muslim Pakistan yang diasaskan oleh Ali Jinnah atas dasar
ISLAM, sekarang berubah menjadi parti yang mendahului pendekatan sekular dan
liberal walaupun majoriti umat ISLAM di Pakistan.
2.
Kesan
kepada persepsi masyarakat awam. Pragmatisme[1] politik
bakal memberikan implikasi buruk kepada masyarakat. Pragmatisme politik
parti-parti Islam boleh menimbulkan imej buruk pada Islam itu sendiri dan parti
Islam yang benar-benar memperjuangkan Islam. Pemimpin yang terpengaruh dengan
pragmatism sanggup melakukan apa sahaja
demi kemenangan politik. Tanpa dalil yang kukuh dan adab Islam, imej parti
berasaskan Islam akan tercalar.
3.
Kesan
kepada para pendokong parti Islam itu. Bahaya ini muncul kerana pendokong parti
Islam umumnya adalah orang-orang yang lurus, ikhlas, wala’ dan patuh kepada pimpinan parti. Dengan berkiblat kepada
pragmatisme politik, bererti parti Islam itu telah menipu penyokongnya.
Penyokong mengira partinya adalah parti
Islam sejati, padahal parti itu telah menyimpang dari Islam kerana terjerumus
ke dalam langkah-langkah pragmatis tanpa mempedulikan halal-haram.
Kesimpulan
Perjuangan Islam
memerlukan keaslian yang bersumber al Quran dan hadith serta tegas dalam
persoalan aqidah. Segala konsep pemikiran manusia dengan pelbagai alasan adalah
ditolak.
Tokoh ulama Islam
seperti Yusuf al Qaradhawi, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi Awang, Muhammad
al Ghazali mengutamakan dalil-dalil al
Quran, al Sunnah dan ijtihad ulama yang muktabar dalam memperkuatkan
hujah-hujah mereka. Jarang sekali kita membaca dan mendengar gagasan pemikiran
Barat yang mereka sokong. Perkara ini diambil remeh sesetengah pemimpin Islam
atas dasar berdialog dan laras bahasa ‘politik’ untuk mendekati bukan Islam. Kita hidup untuk menegakkan agama dalam diri
dan kehidupan kita bukannya menghidupkan pemikiran manusia atau kita sendiri.
Jangan sesekali kita
bersikap taqiyah politik dan tauriah (suka bercakap tidak benar) dalam politik.
Sesiapa yang tak jelas dalam pendirian politik Islam kebanyakan mengalami
kecelaruan sebagaimana dihadapi oleh sesetengah pemimpin dan gerakan Islam.
Taqiyah dan tauriah politik menyebabkan pahala dan dosa bercampur sehingga
menimbulkan fitnah kepada Islam.
Jangan menjadikan
kebencian kita kepada pimpinan tertentu dalam gerakan Islam atau pembawaan
tertentu dalam sesebuah gerakan Islam sebagai hujah dan dalil untuk kita
mengenepikan Islam dan gerakan Islam. Kita wajar mengubah gerakan Islam
daripada dalam bukannya menyerang daripada luar. Kehendak dan pendapat kita
digerakkan dalam keaktifan kita dalam gerakan Islam secara evolusi bukannya
bersikap pemberontak sentiasa memberontak dalam gerakan Islam.
Barat tidak takut
kepada Islam. Barat hanya mahu Islam yang sesuai dengan kehendak mereka. Paling
malang apabila pemimpin gerakan Islam sendiri terlibat dalam proses penyesuaian
Islam dengan Barat sehingga terhakis aqidah dan syariat Islam. Pemikiran Barat
secara tuntas cuba membawa pemisahan Islam dengan perkara di bawah;
a)
Islam dan
politik
b)
Islam dan
negara
c)
Islam dan
syariat (lebih tepat hukum hudud)
Ketiga-tiga perkara
ini banyak mengajar kita dalam menilai seseorang Islam dan gerakan Islam yang syumul atau tidak,
tulen atau palsu. Islam adalah agama yang sudah lengkap, apabila sudah lengkap
tiada alas an untuk tidak menegakkan agama Islam secara keseluruhan.
Bacaan
Lanjutan
Abdul
Hadi Awang, Fahaman & Ideologi Umat Islam, KL: PTS, 2007.
Abdul
Hadi Awang, Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari, KL: Nufair, 2005.
[1]
Pragmatisme ialah kepercayaan bahawa kebenaran atau nilai sesuatu teori,
ajaran, doktrin bergantunng kepada kegunaannya secara praktik. Antara tokoh
pemikira pragmatism ialah Karl Marx dan William James
No comments:
Post a Comment