“‘Syariat’ memecahkan rakyat Tunisia, Islam menyatukan
mereka”
Rashid
Ghannoushi
Oleh
Khalil Jibril
Ketatanegaraan ialah pemerintahan. Menurut
Kamus Dewan edisi ketiga, tatanegara ialah susunan dan bentuk pemerintahan.
Ketatanegaraan ialah hal yang berkaitan dengan pemerintahan. Ketatanegaraan
Islam dimaknai sebagai bentuk pemerintahan Islam.
Gagasan Islam para pemimpin negara kita dikira
lumayan. Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam,
Dato Seri Anwar Ibrahim dengan konsep masyarakat Madani dan Tun Abdullah Ahmad
Badawi dengan gagasan Islam Hadhari. PAS
dengan konsep Negara Islam manakala IKRAM mengemukakan Negara Rahmah. Semua
pihak mahukan Islam. Ini menandakan Islam adalah penting dalam konteks politik
di Malaysia.
Dalam khalayak Alam Melayu, istilah Masyarakat
Sivil atau Masyarakat Madani dipopularkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dalam
satu seminar di Indonesia pada tahun 1995.
Akar pemikiran masyarakat Sivil berasal daripada Barat yang digerakkan oleh tokoh seperti Montesque,
JJ. Rousseau, John Locke, dan Hubbes.
Di
Malaysia, pemikiran masyarakat Madani disokong oleh ramai sarjana yang
pro Anwar Ibrahim seperti Dr Syed Muhammad Naquib al Attas, Dr Osman Bakar, Dr
Siddiq Fadzil, Dr Chandra Muzaffar dan ramai lagi. Konsep masyarakat Sivil yang
telah dikenali sebagai masyarakat Madani telah diIslamisasikan sehingga konsep
lebih sesuai dengan Islam.
Sejarah
Masyarakat Sivil
Dalam tradisi Eropah sebelum abad ke-18,
terdapat berbagai macam istilah yang berpadanan dengan civil
society. Antaranya istilah civil
society iaitu kata 'civics', yang berasal dari kata Latin 'civis', yang berarti warga negara.
Tradisi politik Yunani pula mengenal istilah ‘politike koinona” yang dipopularkan oleh
Aristoteles (384 SM–322 SM). Dalam
bahasa Latin disebut ‘societas civilis,’
pertama kali dipakai oleh Cicero (106 SM-43 SM), seorang orator, politikus, dan
filosof Rom. Tradisi Perancis mengistilahkannya dengan societe civile, dan burgerliche
Gesellchaft dalam tradisi Jerman.
Menurut Britannica
Online Encyclopedia mendefinisikan civil
society dengan “suatu jaringan yang erat antara kelompok, komuniti,
jaringan, dan hubungan yang berdiri antara individu dan negara moden.”
Menurut Ernest Gellner, Masyarakat Sivil
(Masyarakat Madani) merujuk pada mayarakat yang terdiri atas berbagai institusi
non pemerintah yang autonomi dan cukup kuat untuk dapat mengimbangi Negara.
Menurut Cohen dan Arato, Masyarakat Sivil
(masyarakat madani)adalah suatu wilayah interaksi sosial diantara wilayah
ekonomi, politik dan Negara yang
didalamnya mencakup semua kelompok-kelompok sosial yang bekerjasama membangun
ikatan-ikatan sosial diluar lembaga rasmi, menggalang solidariti kemanusiaan,
dan mengejar kebaikan bersama (public
good).
Masyarakat Sivil dan Masyarakat Madani: Konsep
dan Permasalahan.
Ada sesetengah pengkaji mengatakan masyarakat
terbahagi kepada dua iaitu masyarakat politik dan masyarakat sivil. Ada juga
pengkaji mengatakan kewarganegaraan dan masyarakat terbahagi kepada 4 ruang
iaitu ruang negara, ruang peribadi, ruang pemodal (ekonomi dan pasaran) dan
ruang awam. Umumnya, masyarakat sivil melibatkan interaksi atau hubungan antara
kerajaan, masyarakat dan pemodal.
Pada hemat penulis, masyarakat sivil menepati
ciri liberalisme iaitu kerajaan terhad, individu merdeka, pasaran bebas dan
kedaulatan undang-undang. Masyarakat sivil akan menambahkan penglibatan warga
dalam membuat keputusan. Ia dikatakan memantapkan lagi konsep demokrasi; dari
rakyat, untuk rakyat, dan oleh rakyat. Oleh itu, pengupayaan rakyat dalam
penglibatan membuat keputusan secara langsung ini penting kerana sistem
parlimen yang ada pada hari tidak mewakili suara aspirasi rakyat. Ia hanya
menyuarakan keuntungan peribadi dan parti politik yang diwakili mereka sahaja.
Penglibatan warga boleh dilakukan secara mobilisasi massa melalui perhimpunan
berdasarkan isu atau melalui organisasi (NGO) berdasarkan kaum, agama, kawasan
dan pelbagai lagi.
Penglibatan warga dalam membuat keputusan
membolehkan warga menjadi komponen penting dalam sistem demokrasi bukannya
bergantung harap kepada parti politik sahaja. Warga atau rakyat akan merasakan
negara ini milik mereka atas penglibatan mereka dalam menentukan dan mengawal
tindakan kerajaan tanpa perlu menunggu pilihanraya yang akan datang.
Menurut Samuel Huntington, penglibatan warga
merupakan satu kegiatan yang dilakukan oleh para warga negara dengan tujuan
mempengaruhi pengambilan keputusan pemerintah. Partisipasi dapat secara
spontan, secara kesinambungan, secara damai atau dengan kekerasan, mengikut
perundangan atau tidak, efektif atau tidak efektif. Warga yang terlibat perlu bebas daripada
kongkongan parti yang disertai, orientasi politik termasuk daripada anggota dan
perlu bersikap individu walaupun berada dalam
NGO yang mengerakkan isu dalam masyarakat sivil.
Permasalahan Barat ialah mereka mahu Islam
mengikut kehendak akal dan nafsu mereka. Mereka mahu faham berlandaskan kosmopolitan dan pluraliti tetapi pada masa
yang sama mahu globalisasi. Dualisme dalam sistem kehidupan menyebabkan jurang
pemisahan semakin luas tanpa kesatuan pemikiran (dalam Islam berlandaskan
tauhid).
Menurut Anwar Ibrahim, masyarakat madani ialah
sistem
sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin
keseimbangan antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat.
Menurut Dr Syed Muhammad Naquib al Attas,
‘madinah’ iaitu tempat dimana masyarakatnya telah mencapai taraf insaniyyah yang luhur,
dimana tatasusila, hukum dan undang-undang, dimana ada penguasa atau pentadbirannya
yang juga mempunyai hikmah yang mampu melaksanakan keadilan.
Menurut Nurcholis Madjid, masyarakat madani
adalah masyarakat yang merujuk pada masyarakat Islam yang pernah dibangun Nabi
Muhammad SAW di Madinah, sebagai masyarakat kota atau masyarakat berperadaban
dengan ciri antara lain egaliteran (samarata),
menghargai prestasi, keterbukaan, toleransi dan musyawarah.
“Kita
tidak perlu menjadi sekular untuk berjaya” ujar Anwar Ibrahim. Sekularisme
memisahkan agama dan politik akan gagal. Kejayaan perlu dimulakan dengan hikmah
dan ilmu.
Pendefinisian al Attas dan Anwar Ibrahim
terhadap masyarakat sivil sebagai masyarakat madani melalui definisi yang
tersendiri mengambarkan Islam menjadi kawalan tauhidik dalam masyarakat madani.
Kawalan tauhidik ini bermula melalui proses ilmu dan hikmah. Politik ilmu dan
hikmah.
Menurut Dr Syed Muhammad Naquib al Attas, akar
kata madani adalah Din atau agama. Ada pelbagai makna Din dan semuanya menyumbang
ke arah kebenaran dan kehalusan makna madani tadi.
Civil bermaksud kota atau bandar yang sekular yang mempunyai sistem
kenegaraan yang tidak mengait dengan budi pekerti. Dalam Islam, Madinah itu sebuah tempat yang ada
undang-undang, ada hukum-hukum, ajaran-ajaran yang benar dan tempat yang ada
akhlak. Masyarakat Madani bukan hanya masyarakat sivil yang merujuk kepada hal
politik dan kenegaraan sahaja.
Masyarakat Madani lebih mendalam lagi, misalnya ‘to humanise’ iaitu meningkatkan darjah kemanusiaan.
Dalam Islam, kuasa kerajaan tidak terhad.
Islam memerlukan kerajaan yang kuat tetapi bertuhan dengan aqidah yang benar,
melaksanakan syariatNya, mengembang syiarNya, negara menjadi wadah dakwah dan
penerapan nilai dan prinsip kemanusiaan bersumber al Quran dan al Sunnah.
Mengikut interaksi negara-pemodal-kesukarelawan, hubungan ini akan memberi
kelebihan dan pengaruh yang besar kepada siapa yang banyak duit atau dana iaitu
pemodal. Di Barat, kaum pemodal menjadi pendana utama kepada parti-parti
politik. Jika parti yang disokong menang, pemodal akan menjadi ‘bahu halimunan’
dalam menguasai dasar-dasar kerajaan. Begitu juga dalam NGO kesukarelawan,
pendana mereka adalah kaum pemodal yang akan menyebabkan NGO berperanan
berdasarkan hendak kaum pemodal sahaja.
Konsep masyarakat sivil sebahagian konsep yang
dihasil daripada sekularisme. Konsep Masyarakat sivil merupakan satu lagi
pemikiran yang memisahkan sehingga ruang-ruang seperti awam, ruang negara dan
ruang peribadi bagaikan terpisah antara satu sama lain. Ini menyalahi dengan
prinsip Islam bahawa Islam itu addin dan syumul, berkaitan antara satu sama
lain.
Ada yang mengatakan bahawa masyarakat madani
itu melalui proses Islamisasi. Pada hemat penulis, masyarakat madani datang
daripada pemeringkatan tahap ketamadunan dalam Islam atau lebih dikenali dengan
maratil amal yang bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan
negara. Islam tidak memisahkan antara
individu dan keluarga atau masyarakat dan negara. Ia meliputi dan merangkumi
secara keseluruhan berdasarkan kemampuan dan realiti. Jika tiada negara Islam,
ia boleh pada peringkat masyarakat atau keluarga sahaja.
Rasulullah SAW boleh menerima tawaran daripada
orang Quraish jikalau baginda mengimpikan duniawi. Baginda tidak mudah menerima
umpan duniawi. Tawaran wanita, harta dan kekuasaan yang ditawarkan oleh orang
Quraish kepada baginda ditolak. Ini bermakna Rasulullah SAW bukanlah mengikut
nafsu syahwat baginda, baginda juga tidak mahu harta kekayaan dan kekuasaan
politik, Rasulullah SAW hanya pesuruh Allah yang mahu menegak agama Allah.
Baginda menawarkan kehidupan bersandarkan tauhid kepada Allah.
Ada ibrah yang kita boleh ambil. Pertama,
baginda menolak dan tidak menerima tawaran keduniaan. Kedua Rasulullah SAW membina
gerakan kemasyarakatan bertunjang Islam(gerakan Islam, dalam konteks ini
gerakan masyarakat madani) semasa ketiadaan negara Islam bermula daripada
kosong. Dua pengajaran ini mengambarkan Nabi Muhammad SAW hanya berbekalkan
hujah aqidah dan akhlak sahaja sebagai
bekal dakwahnya. Nabi Muhammad SAW tidak menjanjikan pembangunan, urus tadbir
yang baik, basmi kemiskinan atau apa jua janji. Janji itu adalah ujian tahap
keimanan dalam mengimani urusan Allah mentakdirkan pemimpin dan gerakan Islam
dalam mentadbir negara Islam.
Konsep Masyarakat Sivil dan Politik Warga
memberi peluang dan ruang kepada pihak pemodal menguasai negara dan masyarakat
awam sekaligus. Mereka menghantar proksi-proksi mereka untuk menentukan
dasar-dasar kerajaan yang pro pemodal. Kemasukkan pengaruh pemodal dalam
politik dan kerajaan menyebabkan rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa,
kronisme, korupsi dan nepotisme berleluasa. Pengaruh pemodal dalam politik,
parti politik dan kerajaan memerintah telah banyak merosakkan negara. Ada satu
pendapat, kemasukkan pemodal dalam UMNO menyebabkan kelompok guru yang pernah
mendominasi UMNO telah dikesampingkan. Semuanya sekitar keuntungan dan komisen
sahaja.
Masyarakat Sivil dan Politik Warga seringkali
dikatakan sebagai penghidup kepada demokrasi kerana ia berpaksikan kedaulatan
rakyat. Persoalan yang timbul, siapakah yang dimaksudkan dengan warga
tersebut?. Adakah para petani, nelayan atau tukang sapu?. Warga yang dikatakan
itu sebahagian kecil kelompok yang berpendidikan dan berpengaruh dalam
masyarakat atau lebih dikenali sebagai kelompok elitis dalam sesebuah negara.
Mereka berfikir berdasarkan latarbelakang pendidikan, keluarga ternama,
penempatan elit, bahasa pertuturan seharian menggunakan bahasa Inggeris dan
gaya hidup mereka serta pemikiran sekular mereka. Adakah mereka membawa
aspirasi rakyat di Belawai, Mukah atau di Kampung Pauh, Kuala Berang?.
Kebangkitan wilayah autonomi boleh disebabkan
oleh gerakan masyarakat madani. Gerakan masyarakat madani berasaskan kaum atau
wilayah mempunyai risiko dalam perjuangan wilayah autonomi. Perkara ini berlaku
sebagaimana di Scotland yang mempunyai kelompok pro kemerdekaan Scotland
daripada Britain.
Gerakan masyarakat madani memberi peluang
kepada kebangkitan daulah terpendam, negara dalam negara, kumpulan sulit dan
kongsi gelap. Ia boleh disifatkan sebagai tangan-tangan ghaib yang dipimpin
oleh kumpulan halimunan mengerakkan negara mengikut kehendak dan agenda rahsia
mereka. Perkara ini pernah dialami oleh Kerajaan AKP di Turki apabila mereka
cuba dijatuhkan oleh Gerakan Gulen atau Hizmet secara terancang.
Kebaikan konsep masyarakat madani (sivil)
ialah memberi peluang kepada gerakan Islam bergerak sebagai NGO untuk
menggerakkan dakwah Islam dalam masyarakat terutamanya di negara yang anti
Islam dan umat Islam minoriti. Di Turki yang sekular anti agama, gerakan Islam
bergerak melalui NGO-NGO seperti Hizmet dan Hayrat Vakfi.
Ciri-ciri
Masyarakat Madani
1.
Mengakui keesaan Allah bagi umat
Islam dan menghormati perbezaan agama
dan budaya dalam kalangan bukan Islam.
2.
Tanggungjawab kepada Tuhan,
rakyat, negara, kerajaan, masyarakat, keluarga dan individu-diri sendiri.
3.
Berdikari dan bebas, dibentuk oleh
masyarakat sendiri tanpa campur tangan negara.
4.
Berpegang kepada nilai dan prinsip
aqidah dan moral
5.
Keanggotaan bersifat sukarela,
atas kesedaran masing-masing anggota.
6.
Berusaha sendiri tidak bergantung
bantuan pemerintah.
7.
Tunduk pada peraturan yag
disepakati bersama.
8.
Ruang Awam yang bebas (rakyat
bebas mendapat maklumat, berbincang, berwacana dan menyebar maklumat)
9.
Musyawarah dan syura
10.
Keadilan sosial
11.
Memahami pluraliti dalam
masyarakat menuju ke arah negara yang
berkat, harmonis, muhibbah dan muafakat.
12.
Perhargaan kepada prestasi.
13.
Mengutamakan syiar dan pengisian
bukannya syariat dan bentuk.
14.
Mengutamakan pendidikan,
kebudayaan, Islamisasi, penerapan nilai
dan prinsip Islam bukannya peraturan dan perundangan.
Malaysia
Menuju Negara Rahmah
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dalam Perhimpunan Tahunan IKRAM tahun 2014
telah mengemukakan satu gagasan “Malaysia Menuju Negara Rahmah”. Ia
dilihat sebuah gagasan ‘negara Islam’ versi IKRAM. Dibawah penulis lampirkan
ciri-ciri yang dikemukakan dalam ucapan Dasar Presiden IKRAM:
Ciri-cirinya:
a) Fasa transisi
Malaysia, di dalamnya Islam mencorak
perjalanan negara dan kehidupan rakyat, Ulama’ di hadapan, Kepimpinan baru
sebagai contoh, Parlimen dan Istana yang pro-syariah, Kehakiman yang adil dan
bebas, Media yang bebas dan bertanggungjawab, Perkhidmatan awam yang
professional, berkecuali dan berakhlak, pasukan keselamatan profesional dan pro-syariah,
ekonomi berlandaskan syariah, dan Pembangunan sains dan teknologi untuk
manusia.
b) Fasa pengukuhan tahap Idealismenya, di
peringkat nasional.
1) Negara yang disebut di dalam al-Quran sebagai ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun
Ghafur.’
2) Negara yang berdiri atas asas
Hakimiah Allah SWT
3)
Negara yang pemerintahnya terdiri
daripada pimpinan yang adil, tidak melakukan pelanggaran-pelanggaran hukum yang
besar, mungkin pernah melakukan maksiat yang kecil sahaja, mendaulatkan syariat
sepanjang pemerintahannya.
4)
Negara yang menjunjung perintah
Allah dan Rasul-Nya.
5)
Negara yang melaksanakan tuntutan
syariah.
6)
Negara yang meletakkan maqasid
syariah sebagai asas kepada pemerintahan dan pentadbiran.
7)
Negara yang menaungi semua
rakyatnya atas prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaaan manusia sejagat.
8)
Negara yang memastikan hak-hak
semua lapisan masyarakatnya tanpa mengira agama dan bangsa dipertahankan atas
landasan syariat dan maqasid syariah.
9)
Negara yang mengamalkan
pemerintahan yang didasarkan atas rundingan (syura) dan kesepakatan serta
memberi ruang kepada rakyat untuk
bersuara dan memilih kerajaan mengikut lunas-lunas perlembagaan.
10) Negara yang memastikan risalah dan dakwah Islam ditegakkan dan
menjadikannya ciri utama kepada kelangsungan pentadbirannya.
11) Negara yang memastikan urus tadbir yang baik serta meletakkan
kesejahteraan rakyat sebagai matlamat penting dalam kewujudannya.
Semua pernyataan ini bersesuaian dengan
kehendak siyasah syar’iyyah yang
menuntut pengurusan kehidupan rakyat dan pentadbiran negara sejajar
dengan tuntutan-tuntutan syariah,
unjuran-unjuran syariah bagi maksud menegakkan Islam dalam negara dan kehidupan
manusia serta menertibkan perjalanan dunia berasaskan bimbingannya.
Pernyataan ini sejajar dengan
peryataan-pernyataan ulama’-ulama’ ummah yang tersohor sewaktu berbicara
tentang siyasah syar’iyyah atau maksud daripada penegakan pemerintahan dan negara Islam:
“ السياسة الشرعية هى تدبير الامام القوام لشئون الرعية المشتركة حسب مقاصد الشريعة “
Maknanya:
“Siyasah syar’iyyah ialah pengurusan
seorang pemimpin yang adil terhadap urusan-urusan yang dikongsi bersama oleh
semua rakyat sejajar dengan kehendak-kehendak syariah.”
“ اقامة الدين وسياسة الدنيا به “
Maknanya:
“Penegakan agama dan pengurusan
(perjalanan) negara dengan (bimbingan) agama (Islam).”
Setelah penubuhan Parti Amanah Malaysia
(AMANAH atau PAN) pada 16 September 2015, sebuah parti yang didokong sepenuhnya
oleh IKRAM, kebanyakan elemen gagasan ini telah diserapkan ke dalam PAN.
Visi PAN
ialah menjadi parti Islam utama di Malaysia sehingga wujudnya sebuah
negara yang adil, beramanah dan rahmah untuk semua.
Misi PAN ialah menawarkan kepimpinan dan
tadbir urus yang amanah, progresif dan peduli,bagi mensejahterakan seluruh
rakyat dan memakmurkan negara bersendikan tuntutan maqasid syariah. [Perihal 6 dalam Gagasan Negara Rahmah)
Matlamat Parti Amanah Negara ialah sebuah parti politik
yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan dalam menggalas amanah agama,
rakyat dan negara dengan matlamat berikut:
1. Memartabatkan
Islam sebagai dasar perjuangan.(Perihal 4 Gagasan Negara Rahmah)
2. Mendirikan
sebuah masyarakat dan negara madani dengan Islam sebagai rahmat untuk
semua. (Perihal 1 dan 7 Gagasan Negara Rahmah)
3. Melaksanakan
pemerintahan yang berteraskan tadbir urus yang baik (good governance)
selari dengan tuntutan prinsip amanah, keadilan, kesaksamaan, kompetensi
dan
ketelusan. (Perihal 11, Gagasan Negara Rahmah)
4. Mendukungi
pendekatan kesederhanaan, keterbukaan, demokratik dan bergerak dalam
kerangka demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.
5. Menggembleng
seluruh segmen warganegara dalam wadah perjuangan politik inklusif
merentasi jurang kaum, budaya dan kepercayaan ke seluruh Persekutuan.
(perihal 7 dan 9 Gagasan Negara Rahmah)
Menurut Ustaz Tuan Haji Hassanudin Mohd Yunus
mantan Timbalan Presiden IKRAM yang berjawatan Naib Presiden PAN, kalau kita
berjaya menguruskan kehidupan rakyat yakni menyelesaikan masalah rakyat,
barulah mereka mengenali Islam.[i]
Beliau berhujah dengan surah al Balad.
Menurut Hasanuddin Mohd Yunus lagi, kita
jangan bersikap memberi hukuman kepada pesalah. Kita perlu mengurus kehidupan
bukan menghukum.
Negara
Islam Versi PAS
Negara Islam PAS seringkali dikaitkan dengan
pelaksanaan perundangan Islam. Propaganda media menyebabkan elemen-elemen lain
dalam konsep Negara Islam PAS tidak diutarakan.
PAS telah membuktikan pelaksanaan dasar Islam
melalui pemerintahan Islam di Kedah, Kelantan dan Terengganu serta melalui
Kerajaan Campuran Selangor, Kerajaan Campuran Perikatan-PAS dan Kerajaan
Barisan Nasional. Pengalaman ini membuktikan PAS sebuah parti yang memilih
demokrasi pilihanraya bukannya pelaksanaan sebuah negara teokrasi dan diktator
berasaskan agama seperti pemerintahan gereja di Eropah.
Secara umumnya, Negara Islam versi PAS
mengandungi dan mengakui kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh
kerajaan-kerajaan yang baik dalam kalangan kerajaan-kerajaan sekular seperti
adil, amanah, urus tadbir yang baik dan integriti. Tambahannya hanya persoalan
aqidah dan Islamisasi pemerintahan serta model kepimpinan quranik.
Dalam menegakkan Negara Islam, terdapat
ciri-ciri penting negara Islam[ii]
iaitu
1.
Syariat Islam yang dipatuhi
kepadanya
2.
Umat yang mendokongnya
3.
Pemerintahan Islam yang
menaunginya.
Dalam Islam, sempurna dengan diperintah oleh
agama sangat berkait dengan perkara di bawah;
1.
Menegakkan keadilan dalam kalangan
manusia
2.
Membentuk pandangan mulia dan
kebebasan pendapat yang bermaruah
3.
Menghormati taraf kemanusiaan
4.
Menegakkan keamanan dan kestabilan
5.
Menyediakan keperluan rakyat
6.
Menggalakkan perkembangan kemajuan
negeri dan rakyat.
Enam perkara di atas menunjukkan pemerintahan
Islam sangat mengambil kira hak rakyat termasuk hak bukan Islam sehingga belum
sempurna jika enam perkara di atas tidak ditunaikan.
Semasa perasmian Dokumen Negara Islam, kita
jarang menyentuh 10 jaminan yang dikemukakan oleh PAS dalam pelaksanaan Negara
Islam. 10 jaminan ini bagaikan dikaburkan oleh media massa. Dokumen Negara
Islam bersumber al Quran dan al Sunnah manakala 10 jaminan ini menandakan PAS
masih dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. 10 jaminan itu seperti di bawah
1.
Pelaksanaan Negara Islam seperti
yang terkandung dalam dokumen menerima pakai Perlembagaan Persekutuan dengan beberapa
pindaan mengikut keperluan.
2.
Bahawa hak semua rakyat Malaysia
mengamal agama dan kepercayaan mereka adalah dijamin.
3.
Hak rakyat mempraktik, memaju dan
memperkembangluas amalan kebudayaan dan ketatasusilaan rumpun budaya adalah
dijamin.
4.
Tidak akan berlaku pemaksaan
penganutan agama Islam ke atas bukan Islam.
5.
Sistem perundangan bersifat
dualisme akan dikekalkan.
6.
Tidak berlaku dikriminasi mengikut
kaum, keturunan dan jantina. Negara Islam utamakan amalan meritokrasi.
7.
Hak demokrasi setiap rakyat adalah
terjamin seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
8.
Semua kaum tanpa mengira bangsa
boleh dipilih, dilantik serta melibatkan diri dalam proses politik perundangan
dan pentadbiran negara.
9.
Bahawa hak untuk mendapat pendidikan
dan mengikuti pelajaran dalam bahasa ibunda terjamin.
10. Keseluruhan hak-hak wanita termasuk hak untuk bekerja dan mencari sara
hidup serta hak mempertahankan maruah dan harga diri terjamin.
Polemik
Ketatanegaraan Islam dan Negara Sekular DAP
DAP memang jelas menolak hukum hudud dan
Negara Islam versi PAS. DAP boleh menerima pendekatan PAN dan Anwar Ibrahim
(PKR). DAP mesti sudah mengerti bahawa PAN banyak berkiblat gagasan pemikiran
IKRAM.
Perjuangan pelaksanaan perundangan Islam sudah
lama bahkan ia sudah lama daripada usia DAP. Ia sebagaimana dijelaskan oleh Nik
Abdul Aziz Nik Mat seperti dibawah
“Saya
tetap dengan Islam kerana benda (perkara) ini wujud pada tahun 1950-an lagi dan
bukannya benda baru. Berdialog beberapa kali berdialog dah”[iii]
Ketika mengulas kenapa DAP keluar Barisan
Alternatif pada tahun 2001, Nik Abdul Aziz menyatakan
``Ia
berpunca daripada ketidakupayaan dan tekanan yang dihadapi oleh pucuk pimpinan
DAP dalam menjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh penyokongnya berhubung
isu negara Islam”[iv]
Politik Islam, pemerintahan Islam dan
perundangan Islam perlu dinilai dari beberapa segi seperti
1.
Sumber hujah dan dalil daripada al
Quran, al sunnah dan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Ia juga
berkaitan sumber kuasa daripada rakyat melalui demokrasi pilihanraya dan
sultan.
2.
Realiti masyarakat berdasarkan
kaum, agama dan negeri.
3.
Faktor sejarah.
4.
Kemahuan dan kehendak rakyat.
5.
Melalui pendekatan damai dan
profesional serta mengikut lunas-lunas demokrasi.
Akidah perjuangan PAS adalah Islam sebagai
Addin. Pernyataan ini sangat ditegaskan oleh Tuan Guru Dato Fadzil Mohd Noor
dalam kebanyakan ucapan beliau. Islam sebagai addin inilah bercanggah dengan
parti-parti sekular seperti DAP.
Perlembagaan DAP sememangnya sangat
menitik-beratkan DAP sebagai sebuah parti sekular. Menariknya, hampir
keseluruhan Matlamat Perlembagaan DAP tidak bercanggah dengan perjuangan
gerakan Islam kecuali pada beberapa tempat;
1.
‘Perlembagaan Merdeka merupakan
satu dokumen sekular....’
2.
‘Menubuhkan konsep demokrasi yang
berlandaskan nilai demokrasi sosial di Malaysia...’
3.
‘Mengesahkan lagi dan memulihkan
Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal..’
DAP mempunyai matlamat sekular yang jelas
berbanding dengan PKR. Manakala Parti
Sosialis Malaysia lebih berani menyatakan matlamat Perlembagaan PSM ‘Mengamalkan prinsip sosialisme sebagai cara
hidup’.
Tiga elemen yang ada dalam Perlembagaan DAP
jelas bertentangan dengan matlamat Perlembagaan PAS iaitu kewujudan masyarakat
Islam. Islam dengan sekularisme adalah satu pertembungan besar dimana
sekularisme itu adalah pemisahan agama dan dunia manakala Islam itu adalah cara
hidup mencakupi semua aspek kehidupan secara holistik.
Ketatanegaraan Islam mencakupi pemerintahan
Islam dan perundangan Islam sudah tentu akan ditentang oleh DAP. Keluarnya DAP
daripada Barisan Alternatif dan pengolakkan DAP-PAS dalam Pakatan Rakyat berpunca
daripada hukum hudud dan negara Islam.
Teras
Masyarakat di Malaysia.
Seperti yang dijelaskan pada artikel yang
lain. Politik Malaysia terasnya adalah masyarakat atau kaumnya. Pembahagian
kerusi umpamanya berdasarkan kaum. DAP dilihat cuba memecahkan dengan
meletakkan calon Melayu di kerusi-kerusi masyarakat Melayu. Ia satu tindakan
yang bijak dan betul. Cuma masyarakat Melayu mestilah mempelajari apa
perjuangan DAP dan pendekatan DAP terutamanya Perlembagaan DAP.
Selama ini, pertandingan dalam pilihanraya
dalam gelanggang masyarakat masing-masing umpamanya calon Melayu vs calon
Melayu dalam kawasan Masyarakat Melayu banyak membantu kestabilan politik
negara kita.
Menurut Malik Bennabi, masyarakat merujuk satu
penyatuan antara anggota yang mempunyai tabiat dan adat yang sama, hidup di
bawah kawalan sistem undang-undang yang sama dan berkongsi minat yang sama’.
Pemahaman masyarakat berkaitan dengan kaum, agama, kelas masyarakat dan latar
belakang seseorang berdasarkan minat, pendidikan dan persatuan. Punbegitu
paling berpengaruh ialah kaum, agama dan pendidikan (bahasa).
Dalam suasana politik semasa, DAP sedang
mengumpul kekuatan dalam kalangan anggota Melayu mereka untuk menjadi calon
pilihanraya di kawasan Melayu. Semasa Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak
ditubuhkan, DAP kerugian besar apabila peluang pemimpin mereka untuk menjadi
Menteri Besar Perak berkecai kerana ketiadaan pemimpin Melayu padahal mereka
memiliki kerusi majoriti kalangan anggota Pakatan Rakyat Negeri Perak.
Alternatifnya, DAP terpaksa menerima wakil PAS sebagai Menteri Besar Perak.
Pemecahan tradisi ini adalah satu pendekatan
politik baru dalam menjayakan falsafah kemajmukkan di negara ini. DAP telah
bereksperimen di beberapa tempat dengan meletakkan calon Melayu kalangan DAP di
kerusi masyarakat Cina. Zairil Khir Johari menang di Parlimen Bukit Bendera, Tengku
Zulpuri DUN Mentakab dan Dato Arif Sabri menang di Parlimen Raub. Sejauh mana
rakyat dapat menerimanya?. Kita lihat keputusan pilihanraya pada masa akan
datang.
Kesimpulan
Masyarakat bukan Islam wajib memahami bahawa
Islam bukanlah satu konsep agama seperti mereka fahami. Islam bukan agama,
Islam adalah addin iatu cara hidup. Islam juga syumul iaitu mencakupi
keseluruhan kehidupan yang saling berkait antara satu sama lain secara
holistik. Perkara paling besar dalam agama Islam berkaitan aqidah atau
tauhidik. Semua perkara dalam kehidupan berkait rapat dengan aqidah termasuk
politik, negara, pemerintahan dan perundangan. Justeru, sebagai umat Islam
pelaksanaan pemerintahan Islam dan perundangan Islam adalah persoalan akidah
yang perlu dan wajib umat Islam penuhi.
PAS cuba menanam kembali Islam yang syumul ke
dalam Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Negeri tanpa mengenepikan kaum
lain dan dibuat secara demokrasi dan profesional serta jalan kedamaian. Dalam
Perlembagaan Terengganu dan Kelantan, perundangan Islam telah dikembali pada
tempat yang asal. Amat wajar, perundangan Islam dilaksanakan di Kelantan kerana
rakyat Kelantan memilih PAS sebagai pemerintah mereka dan sudah tentu mereka
mahu apa yang PAS janjikan dalam manifesto pilihanraya dan matlamat perjuangan
PAS.
Perjuangan tanpa meletakkan kepentingan aqidah
sebagai tunjang utama, pasti akan menimbulkan permasalahan pada masa akan
datang. Tidak jelas fikrah ini menghasilkan tauriah dan taqiyah politik bakal
merosakkan Islam pada masa mendatang kerana keutamaannya hanya kemenangan
politik dan keinginan berkuasa.
[iii]
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/nik-aziz-tetap-mahu-hudud-tak-peduli-pendirian-dap#sthash.OD5p4nSJ.64EfXfgo.dpuf.
1 comment:
Siapakah penulis ini?? Bleh saya kenal lebih lanjut.. ada FB atau akaun media sosial lain supaya saya dapat kenal.. artikelnya bagus, berfakta dan lebih jujur.. sbb itu saya mengambil Pas sebagai wadah perjuangan, namun Harini kemungkinan atas faktor tertentu, pas dilihat sebagai parti yg 'salah'.. mungkin pemimpin pas masa kini belum benar2 memberikan contoh teladan yg baik, dan memberikan kesedaran akan negara Islam dan akhlak yg bersih seperti mana yg terdapat dlm nabi saw..org2 pas kena sedar di dlm kita ingin membawa negara Islam terutama dlm masyarakat yg majmuk, perlunya kepada sifat yg jujur.. sbb itu Rasulullah saw dipilih menjadi ketua menyatupadukan suku aus dan Khazraj, kerana salah satu faktor yg paling dominan, ialah akhlak baginda yg terpuji.. kita mesti sedar akan hal ini dan kita mesti berjalan terus mengikuti jalan Rasulullah saw.. kita tidak boleh termakan dgn kata2 individu yg mencela musuh dgn perkataan2 nista, kerana tugas kita besar, terutama sekali dlm konteks Malaysia yg majmuk ini..
Post a Comment