BAB 4
CABARAN SELEPAS KAMPUS
Oleh mamat.com
mahasiswamenggugat@blogspot
‘wahai sahabat mahasiswa, jiwa yang diberi hak untuk memilih. Ia mampu melakukan kebaikan dan keburukan. Kalian pilihlah kerana kalian mampu membedakan kedua-duanya’
Hasan al Banna
BERGULAT DALAM POLITIK: PARTI MAHASISWA NEGARA, UMNO ATAU PAS?
Dalam pemilihan parti politik, para pimpinan GMI mesti memilih parti berasaskan Islam yang sesuai dengan dakwah. Parti Islam ini mesti bersifat rabbani dimana keseluruhan konsep, hukum hakam, akhlak dan pemikiran adalah bersumber agama Allah SWT. Sesuai firman Allah SWT;
‘katakanlah; sesungguhnya solatku, ibadatku, kehidupanku dan kematianku semata-mata untuk Allah tuhan semesta Alam’ (surah Al An’am:162)
Kehidupanku itu mencakupi kehidupan berpolitik, berekonomi dan sosial hanya semata-mata kerana Allah SWT. Jadi, jika kita nak memilih parti politik mestilah berwadah Islam.
Jika kita nak bergulat dalam politik perlu ikhlas kerana Allah SWT untuk menegak Islam di muka bumi. Bukannya sesekali mencari kuasa, popular dan tujuan peribadi. Jangan sesekali ada perebutan kuasa yang dicetuskan oleh kalian. Ikutlah prinsip Tuan Guru Dr Haron Din, jika berlaku pertandingan beliau akan menarik diri. Jawatan bukan rebutan, ia adalah amanah yang meletak, bukan cara memilih. Inilah sifat yang perlu diteladani bagi mengelak perebutan kuasa.
Amat sedih jika melihat pimpinan GMI memilih parti sekular sebagai wadah perjuangannya. Ini bermakna mulut yang berkokok di kampus selama ini hanyalah mulut para munafik berwajah Islam. Macam golongan Abdullah Saba, bersolat di belakang nabi tetapi dia bapa kepada bapa munafik.
Peralihan perjuangan seseorang pimpinan GMI seperti Mohd Fuad Zakarshi, Ruslan Kassim, Anwar Ibrahim dan terbaru saudara Asraf Wajdi(PKPIM) sememang sukar diterima tetapi pahit itulah yang harus kita telan. Pemimpin seperti ini cukup ramai dalam sejarah. Agama Allah ini bukan kita yang menjaga tetapi Allah sendiri yang menjaganya. Jika tidak kita, Allah SWT akan memilih orang lain. Beruntunglah orang itu dan paling rugi adalah diri kita sendiri.
Terbaru ada pula segolongan kita menubuh PMN sebagai wadah. Bukanlah salah penubuhan PMN. Penulis sendiri sedia menerima PMN sebagai wadah mahasiswa secara gabungan muslim dengan non muslim. Tapi satu yang perlu kita ingat, asas GMI di kampus adalah mentarbiah dan menyalurkan kader-kader dakwah untuk pelapis gerakan Islam selepas keluar dari kampus. Kalau ada PMN, bagaimana kader dakwah ini boleh membantu gerakan Islam. Beban akan bertambah jika melakukan dua tugas pada waktu yang sama.
Mengukuh gerakan Islam lebih utama daripada penubuhan gerakan pelbagai kaum dan agama. Mendekat roh Islam dengan orang Islam lebih utama daripada berdakwah kepada non Muslim untuk memeluk Islam. Jika orang Islam secara betul menganut Islam secara taat dan syumul, automatik orang non muslim akan mendekati Islam. Ini keunggulan Islam dan kekalnya Dinasti Moghul di India dalam memerintah Empayar Moghul yang majoriti beragama Hindu.
PANGKAT DAN JAWATAN: TIADA HALANGAN UNTUK BERJUANG
Ramai pimpinan GMI berjaya dalam kerjaya terutamanya menjawat tinggi pentadbiran negara. Setelah berjawatan tinggi ada yang masih kekal dalam perjuangan, ada yang hanya membantu dari segi kewangan dan ada yang beralih arah menyokong puak sekular. Jawatan dan pangkat menjadi ujian bagi pimpinan GMI dalam usaha istiqamah dalam perjuangan.
Berapa ramai pimpinan GMI yang berjaya melupai perjuangan bahkan ada yang menentang perjuangan. Jika ini berlaku, amatlah malang bagi sebuah gerakan Islam. Ahli PMIUM, Menteri Besar Selangor Dato Khir Toyo bertindak menyerang gerakan Islam. Ahmad Shabery Cheek, Ruslan Kassim dan Mohd Fuad Zakarshi adalah orang kuat usrah bangkit menentang gerakan Islam apabila berjawatan tinggi dan berjaya dalam kerjaya.
Tuan Asraf Wadji Dasuki melunak tulisan pada setiap minggu dalam akhbar akhirnya terjun ke lubuk sekular. Penulis mendengar satu hikayat popular PKPIM menyatakan berlaku pertelagahan antara Asyraf dengan Dato Dusuki semasa Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Penulis menunggu arah mana jalan perjuangan orang seperti Dr Muhd Asri Zainal Abidin dan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, mantan Presiden PMIUM yang agung.
Kita melihat tokoh GMI seperti Muhtar Suhaili(mantan Presiden MPPUIA) yang sibuk dengan tugas boleh meruang masa dengan gerakan Islam melalui Yayasan Amal. Jika kehendak dan iman kita tinggi, kita akan terus berjuang dalam gerakan Islam. Bahkan menonjol diri bahawa kita masih berjuang dalam gerakan Islam.
NGO: PILIHAN HATIKU
Selepas alam kampus, para pimpinan GMI boleh aktif dalam NGO-NGO Islam terutamanya pimpinan yang bekerja dengan kerajaan. Antara NGO berasaskan keseluruhan seperti JIM, ABIM, ISMA dan HALUAN. Bersifat berkebajikan seperti Yayasan Amal, MuslimCare dan MuslimAid. Bersifat keremajaan dan wanita seperti al Nisa. Bersifat dakwah seperti PERKIM, PERKID dan Saba Islamic. Bersifat hak asasi seperti GMI.
NGO seumpama di atas harus menjadi pilihan para pimpinan GMI agar bakat pimpinan kalian dapat dimanfaatkan untuk ummat Islam. Sebagai kader yang ditarbiyyah di kampus, sewajarnya kualiti kepimpinan dan tarbiyyah kalian pasti kuat. Jangan jadi sesetengah rakan yang senyap selepas berada di kerusi empuk pegawai kerajaan atau paling malang berpaling tadah meredhakan perjuangan pihak sekularis.
Para pimpinan GMI harus menggerakkan NGO di daerah-daerah. Kita melihat ABIM, PKPIM dan JIM hanya gah di peringkat pusat tetapi di peringkat daerah tumpul tanpa rancangan dakwah yang berkesan. Pengalaman penulis menyoroti ABIM Daerah Petaling Jaya(antara ABIM daerah paling berjaya di Malaysia), ahli-ahlinya mereka merintih sedih menunggu kedatangan generasi baru barisan GMI mengantikan mereka. Itu antara keluhan Pak Salleh Bakar(pendeklamasi sajak dan pernah bertugas di Parlimen).
Oleh sebab itu, penulis melihat para pimpinan GMI mesti melakukan regenerasi gerakan dakwah yang berada di kawasan mereka.
SELESA, MEWAH DAN KELUARGA: CABARAN DALAMAN
Penulis selalu mendoakan agar keselesaan, kemewahan dan keluarga tidak menjadi halangan bagi kita dalam mengerakkan gerakan dakwah. Walaupun sumbangan kita kecil tetapi semampu mungkin kita harus membantu gerakan Islam. Ramai di kalangan pimpinan GMI senyap sepi setelah mendapat pekerjaan yang baik, isteri yang cantik dan gebu, anak yang comel, harta yang bertambah dan keadaan hidup yang selesa. Ini yang kita bimbangi dan diharapkan kita dijauhi daripadanya.
Ada mahasiswi pimpinan GMI yang berkahwin tidak aktif lagi. Senyap dalam pelukan suami. Pimpinan mahasiswi GMI boleh meminta izin suami untuk aktif dalam gerakan Islam.
MENERUSKAN KEPOPULARAN DI LUAR KAMPUS.
Ada sesetengah pimpinan GM ingin kepopularan, dikenali dan nama disebut semasa di kampus. Selepas alam kampus, pimpinan sebegini ingin terus popular dan ingin namanya disebut di bibir masyarakat, ingin jadi ikon masyarakat, ingin jadi pakar agama atau motivasi yang glamour dan berpendapatan besar seumpama Dr. Fadilah Kamsah. Mereka ini menggunakan politik, bidang motivasi dan media massa untuk menonjolkan diri mereka.
Maka, beraturlah pimpinan GMI untuk menulis buku atau menjadi pengacara atau pakar motivasi yang melontar idea di radio dan tv. Bermodalkan mulut yang petah dan manis bicara dan idea yang bernas, mereka terus melangkah dalam dunia glamour dengan menyisih demi sedikit era keradikalan mereka sebagai pimpinan GMI.
KENAPA ANWAR IBRAHIM, RUSLAN KASSIM, AHMAD SHABERY CHEEK TIDAK SEPERTI ZAMAN MAHASISWA MEREKA?
Kita akan kecewa dan sedih jika manusia hebat yang memimpin gerakan mahasiswa Islam beralih arah kepada perjuangan sekular. Begitulah sedihnya ahli ABIM dan PAS, semasa Anwar Ibrahim masuk ke dalam UMNO. Tetapi kita mesti ingat, kita mesti memilih jalan Allah SWT berbanding jalan Anwar Ibrahim. Biarlah kita berkepimpinan seorang hamba habsyi yang taat pada Allah SWT daripada pimpinan karismatik yang bergelumang dengan rejim sekular. Jadi, tak usah hairan jika pimpinan karismatik Islam tidak memilih jalan Islam selepas alam kampus kerana jalan Islam adalah penuh dengan kemiskinan, penindasan dan kesusahan.
Pimpinan karismatik GMI biasanya hanyut dengan kuasa, pangkat dan wang. Kelabulah mata mereka apabila diulik dengan perkara tersebut.
Sebenarnya, ramai pimpinan karismatik GM tidak menghiraukan bahkan membantah dan tidak bersetuju dengan aktiviti keras GM seperti demonstrasi yang dilakukan mereka sendiri seketika dulu sebagai pemimpin GM. Anwar Ibrahim sendiri tidak bersetuju dengan aktiviti demonstrasi oleh GM.
Paling sedih bekas pimpinan GM yang memperjuangkan isu rakyat sendiri menindas rakyat ketika mereka menjadi pimpinan negara. Contoh, bekas Presiden PBMUM, Nordin Razak semasa zaman GM berjuang untuk peneroka bandar dan rumah rakyat sendiri meruntuh rumah rakyat miskin untuk pembangunan semasa menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Satu hari, penulis pernah bertemu seorang pengikut Anwar Ibrahim semasa kehangatan demonstrasi dulu. Sekali lagi beliau mengatakan amalan GM zaman Anwar Ibrahim tidak relevan dan mahasiswa sekarang perlu menumpukan kepada pelajaran.
Ini menunjukkan perubahan persekitaran, kematangan umur, keluarga, pekerjaan telah mengubah persepsi lampau seseorang pimpinan GM. Ini bakal dihadapi oleh kalian, wahai sahabat mahasiswa!. Sama ada kalian suka atau tidak anda akan hadapi kelak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment