Monday, October 24, 2016

IKRAM, Politik Kepartian dan Pemerintahan: Dari al Jamaah Hingga Parti Amanah Nasional.


“Allah SWT tidak akan mengizinkan musuh-musuh dari luar menghancurkan Islam dan kekuatan umatnya, tetapi gerakan Islam itu akan dihancurkan sendiri oleh ancaman dari dalam diri mereka”
Fadzil Mohd Noor
Oleh Khalil Jibril
Dalam tajuk ini, kita mempelajari;
a)      Sejarah penubuhan IKRAM
b)      Idealisme Politik IKRAM
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Dalam penulisan ini, kebanyakannya penulis masukkan ucapan dan penulisan tokoh-tokoh Pertubuhan IKRAM Malaysia tanpa edit atau sedikit edit. Ia penting dalam mengambarkan idea sebenar IKRAM dalam politik.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) didakwa sebagai Ikhwanul Muslimin cawangan Malaysia. IKRAM merupakan pemayungan semua organisasi yang dipengaruhi oleh Ikhwanul Muslimin dan sealiran dengannya.
Pemayungan ini didakwa mempunyai visi yang jauh  iaitu penerimaan IKRAM sebagai wakil atau cawangan Ikhwan secara mutlak kerana selama ini pengiktirafan hanya dikatakan diberi hanya pandangan segelintir pihak dalam Ikhwan. Pemayungan IKRAM sedikit terencat  apabila dua organisasi besar yang turut mengakui wakil Ikhwan tidak menyertai IKRAM iaitu Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN Malaysia) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) tidak menyertainya.
Visi kedua ialah IKRAM ditubuhkan sebagai NGO. Menurut Badlihisham Mohd Nasir, fahaman Ikhwan terhadap dakwah adalah ingin menegakkan tuntutan Islam yang syumul khususnya dalam politik bagi merealisasikan semua objektif pelaksanaan Islam dengan lebih berkesan. Fahaman Ikhwan sendiri mempunyai hakikat politik iaitu keterlibatan dalam politik.
Menariknya, ada pendapat mengatakan IKRAM barangkali mengambil masa 5 tahun atau setelah merasakan dirinya kuat dan dikehendaki, IKRAM boleh mengisytiharkan dirinya sebagai sebuah parti politik Islam yang baru (sebagaimana PKS di Indonesia, dan cukup menarik apabila kebelakangan ini, IKRAM seringkali merujuk kepada PKS) atau menjadi affiliasi politik kepada mana-mana parti politik yang hauskan imej dan pendekatan Islam yang berbeza dengan PAS.[i]
Pada tahun 2015, IKRAM menyokong penubuhan Parti Amanah Nasional (PAN) sebagai parti Islam kedua. Timbalan Presiden IKRAM telah dilantik sebagai Naib Presiden PAN.
Adakah tercapai hasrat IKRAM menggantikan PAS sebagai parti Islam ulung di negara ini? Sama-samalah kita lihat.
Sejarah Penubuhan IKRAM
Asal usul IKRAM bermula apabila pelajar Malaysia yang berada di luar negara seperti United Kingdom, Mesir, Amerika, Autralia, Kuwait, India, Maghribi, Jordan dan beberapa negara lagi telah mendapat tarbiah daripada gerakan Islam iaitu Ikhwanul Muslimin, Gerakan Nursi dan Jamaat Islami. Mereka menggunakan pendekatan tarbiah dan dakwah.
Pada pertengahan 1970an, mereka pulang ke Malaysia dan menggerakkan usaha dakwah dan tarbiah terutamanya di kampus-kampus. Penglibatan mereka dalam pelbagai wadah dan saluran. Mereka lebih dikenali sebagai al Jamaah. Al Jamaah menarik kalangan pelajar universiti yang genius dan berpontensi untuk ditarbiah dan dijadikan sebagai kader dakwah.
Pada peringkat permulaan kepulangan mereka,  al jamaah berhimpun membina jamaah dalam kalangan umat Islam setempat bagi menyempurnakan tanggungjawab bersama. Semasa di luar negara, pada April 1974 Islamic Representative Council (IRC) telah ditubuhkan bertujuan membina jamaah yang menyatukan pelajar dari Malaysia.
Pada 27 Julai 1990, Jemaah Islah Malaysia (JIM) ditubuhkan. JIM kehilangan 15 tahun kerana tidak bergerak secara terbuka dan tokoh IRC kehilangan zaman belia mereka sebagai tokoh jemaah.
IKRAM ditubuhkan pada 22 Oktober 2009. Sejak tahun 2003, perbincangan telah dilakukan untuk mengumpul ahli dan usaha dalam satu wahana, menyatukan kembali sahabat yang telah menceburi pelbagai bidang. Objektif utamanya ialah untuk menilai pencapaian dan pengalaman dan menggariskan langkah terbaik untuk dakwah di Malaysia. Syura memutuskan penubuhan sebuah NGO Islam pada bulan Mac 2006. Wadah NGO dipilih untuk membawa risalah dakwah dalam konteks Malaysia.
Jawatankuasa Pusat JIM telah mencadangkan status akhir iaitu pembubaran JIM. Pada 24 Julai 2010, Perhimpunan Perwakilan Nasional Khas diadakan bersetuju  untuk menyokong dan menjayakan Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Kenyataan Zaid Kamarudin, Presiden JIM selepas Perhimpunan Perwakilan Nasional Khas JIM
“Kami memutuskan untuk membubarkan JIM bagi menyepadukan sumber-sumber organisasi bagi membolehkan kami melaksanakan tugas yang lebih besar dalam masyarakat demi melonjakkan lagi dakwah,”
Walaupun kita melihat IKRAM seakan-akan mengantikan JIM tetapi ia sebenarnya bukan mengantikan JIM. JIM dan wahana-wahana yang lain disatukan dalam sebuah pertubuhan. JIM merupakan kumpulan terbesar dan terkehadapan dalam masyarakat dalam kalangan wahana al Jamaah atau IRC. Ada dua wahana yang tidak menyertai IKRAM iaitu HALUAN Malaysia dan ISMA.
IKRAM diketuai oleh Ustaz Dr Haji Mohd Parid Sheikh Ahmad daripada Alami Mesir, keturunan ulama tersohor Negeri Sembilan dan anak usrah Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Antara anak usrah yang lain ialah Ustaz Dr Mohamad Kamil (UM), Ustaz Dr Zawawi Ali (adik Dato Mustafa Ali, IRC-JIM), Ustaz Abdul Rahim (Negeri Sembilan-PAS), Ustaz Darus Senawi (HALUAN), Dr Hatta Shaharom (IRC-JIM) dan Ustaz Alias Othman (IRC-JIM).
Semasa era JIM-IRC, kelompok IRC UK yang terdiri kalangan profesional lebih ke depan dan menonjol berbanding Alami Mesir kalangan ulama. Justeru, masyarakat seringkali menganggap bahawa IRC itu hanya kelompok profesional. Menariknya, pengaruh profesional dalam JIM-IRC sangat kuat sehingga timbul istilah seperti Tanzim Abu Urwah (Ir Saari Sungip) dan JIM dipimpin oleh profesional.
Pendirian Politik IKRAM
Di bawah, penulis lampirkan kenyataan Sekretariat Biro Politik IKRAM tentang pendirian IKRAM dalam politik.
Pendirian politik IKRAM hinggakan ada yang buat andaian kiranya IKRAM jadi parti politik di masa akan datang, akan berlaku perpecahan ummat Islam di Malaysia. Pada saya, apa yang akan berlaku di masa akan datang adalah persoalan lain. Yang penting adalah apa yang IKRAM boleh buat SEKARANG dengan senario politik tanah air yang tidak stabil. Apa pun spekulasi yang keluar, adalah sangat baik kiranya pendirian sebuah pertubuhan itu dirujuk kepada mereka yang lebih pakar.
Baru-baru ini, Dewan Perwakilan Nasional (DPN) IKRAM baru sahaja meluluskan pendirian politiknya supaya masyarakat jelas tentang peranan IKRAM dalam politik sekali pun sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan bukan parti politik. Satu perkara yang kita kena faham, tidak semesti parti politik sahaja yang boleh melakukan perubahan politik tanah air, tapi NGO-NGO juga boleh memainkan peranan dalam memastikan kestabilan politik negara terjamin. Setiap orang atau pertubuhan punya peranan mereka yang tersendiri dalam penjuru dan kemampuan mereka.
1.0 LATAR BELAKANG
1.1 Dasar Pertubuhan IKRAM Malaysia ialah Islam.
1.2 IKRAM adalah sebuah pertubuhan yang didaftarkan di bawah Pendaftar pertubuhan Malaysia yang bersifat pertubuhan dakwah dan bukannya parti politik.
1.3 IKRAM diasaskan dengan manhaj yang menekankan tarbiyyah dan pembinaan peribadi soleh dan musleh. Walaupun IKRAM bukan sebuah parti politik, ia tetap prihatin dan mengambil berat terhadap urusan politik dan pemerintahan, serta hal ehwal umat Islam, masyarakat dan negara.
1.4 Fasal 4 Perlembagaan IKRAM menyatakan matlamat IKRAM seperti berikut(Perenggan 4.4 sehingga 4.8 berkait rapat dengan urusan politik):
“IKRAM ialah sebuah pertubuhan Islam yang menyeluruh, yang bekerja untuk menegakkan Islam di Malaysia. Matlamat IKRAM ialah:
    4.1 Menyebarkan risalah Islam melalui dakwah, serta mempertahankannya daripada kebatilan dan syubahat;
    4.2 Mengumpulkan hati dan jiwa individu Muslim di atas dasar Islam dan membina akhlak yang mulia;
    4.3 Meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam;
    4.4 Memupuk keadilan masyarakat dan kesejahteraan sosial serta membenteras kejahilan, kemiskinan, keruntuhan moral dan menggalakkan kerja kebajikan, tanpa mengira bangsa dan agama;
    4.5 Memperjuangkan hak umat Islam dan berusaha meningkatkan kesatuan dan perpaduan di kalangan mereka;
    4.6 Menegakkan syariat Islam secara praktikal;
    4.7 Mengadakan hubungan dan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam memajukan kepentingan umat Islam;
    4.8 Bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan yang mempunyai objektif yang selari bagi memajukan kepentingan Islam, umat Islam dan masyarakat.”
1.5 IKRAM berwawasan agar Syari’ah Islam dilaksanakan di bumi Malaysia pada tahun 2020.
1.6 IKRAM berpegang dengan prinsip menyeru kepada yang baik, menyuruh kepada yang ma’aruf dan mencegah daripada yang munkar.
PENDIRIAN POLITIK IKRAM
Maka:
1. IKRAM ialah sebuah organisasi Islam yang bebas dan tersendiri, berdiri teguh di atas prinsip, dan tidak terikat dengan mana-mana parti atau gerakan politik, serta pertubuhan lain.
2. IKRAM akan menyokong pendirian politik yang datang daripada mana-mana pihak samada individu, parti atau pertubuhan, yang bertepatan dengan kehendak Islam dan mendatangkan manfaat kepada ummah, masyarakat dan negara.
3. IKRAM akan menentukan pendirian terhadap sebarang isu dan bebas terlibat dalam proses demokrasi dan pilihanraya berdasarkan kepada prinsip-prinsip berikut:
    (a) Islam
    (b) Maqasid Syariah
    (c) Kesatuan dan Perpaduan (Unity and Solidarity)
    (d) Secara Bebas (Independent)
    (e) Keadilan dan Kemuliaan Insan (Justice and Human Dignity)
    (f) Ketelusan dan Kebertanggungjawaban (Transparency and Accountability)
    (g) Mengambilkira pandangan rakyat
    (h) Pendekatan Aman (Non-violence)
4. IKRAM mendokong penambahbaikan pelaksanaan sistem demokrasi di Malaysia, serta menggerakkan usaha-usaha bagi memastikan berlakunya ketelusan, kebertanggungjawaban dan urus tadbir baik (good governance) dalam sistem pemerintahan negara. Untuk itu IKRAM menyokong usaha untuk memantapkan sistem “check and balance” yang sihat melalui sistem dwiparti dalam kerangka demokrasi di Malaysia.
5. IKRAM beriltizam menerajui usaha-usaha ke arah kesatuan ummah, dan menolak segala bentuk percaturan yang memecahbelahkan masyarakat.
6. IKRAM menolak sebarang pendekatan yang berlandaskan keganasan dan tindakan tidak syar’ie.
7. IKRAM mendokong sebarang usaha yang mendatangkan manfaat secara keseluruhannya kepada ummah, masyarakat dan negara.
IKRAM dan Politik Kepartian
IKRAM menafikan bahawa mereka  terlibat dalam politik kepartian.   Menurut Jamaluddin Abdullah (Ir), Yang Dipertua IKRAM Pulau Pinang,  Bukan pertubuhan politik, tapi sebuah NGO dakwah, tarbiyyah dan kebajikan. IKRAM ini adalah pertubuhan yang prihatin dengan kehidupan bermasyarakat, sejajar dengan cara hidup Islam, berlandaskan kepada Al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias.” Mereka hanya pertubuhan dakwah yang sudah tentu mencakupi seluruh aspek kehidupan termasuk politik.
Menurut Jamaludin Abdullah lagi,  IKRAM (baca termasuk al Jamaah-IRC-JIM) “dianggap sebagai pertubuhan politik mungkin kerana ada begitu ramai bekas ikon pertubuhan-pertubuhan tersebut kini aktif dalam wadah politik.” Antaranya tokoh mereka ialah YB Ir Saari Sungip (Presiden JIM, Abu Urwah), Dr Dzulkefly Ahmad(Abu Iman), Fuziah Salleh, Syed Ibrahim Syed Noh, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I), Mohd. Tuah Ismail (Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Betong) dan Mohd Bakhtiar Wan Chik (Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang, MPPP).
IKRAM tidak terlibat secara rasmi dalam politik kepartian tak semestinya IKRAM tidak terlibat dengan politik negara. Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden IKRAM menyatakan
“Kita melibatkan diri dalam politik negara dengan tujuan membangunkan umat dan masyarakat yang celik politik, memiliki kematangan dan keberanian bertindak secara politik yang tinggi sehingga mampu menggerakkan perubahan kepemimpinan politik negara, menggerakkan agenda politik yang akan menghantar pemimpin terbaik ke mercu kekuasaan, memimpin negara dengan penuh kewibawaan, mendukung satu sistem politik yang adil dan cemerlang”
Walaupun IKRAM tidak terlibat secara rasmi dalam politik kepartian, IKRAM akan menyokong calon dan parti Islam. Kenyataan Presiden IKRAM, Mohd Parid Sheikh dapat dilihat dalam kenyataan di bawah
“Ikram telah membuat keputusan untuk menyokong parti dan calon yang menyokong Islam atau paling kurang, calon yang tidak menentang Islam”
Penglibatan Ahli IKRAM Dalam Politik Kepartian
IKRAM membawa bagasi negatif dalam gerakan Islam kerana pendekatan penyusupan mereka yang menghasilkan masalah dalam gerakan Islam seperti fenomena jemaah dalam jemaah. Apabila al Jamaah-IRC-JIM-IKRAM melepaskan anggota mereka untuk menyertai parti politik, ia menghasilkan kewaspadaan kepada sesebuah parti.
Anggota IKRAM yang dilepaskan perlu membawa budaya dan sifat yang dipelajari dalam IKRAM untuk dipraktis dalam politik kepartian dan pemerintahan negara. Ahli yang menyertai politik diminta melepaskan jawatan jemaah IKRAM.
Bagi mengelakkan anggota IKRAM yang menyertai sesebuah parti terpengaruh dengan budaya baru, Presiden IKRAM, Mohd Parid Sheikh Ahmad menggariskan sembilan objektif penglibatan ahli-ahli IKRAM dalam politik, iaitu:
1.         membangunkan kecelikan politik rakyat
2.         membangunkan budaya politik yang bersih dan sihat
3.         mewujudkan perubahan lanskap politik negara
4.         ke arah peralihan kuasa secara demokratik
5.         pertukaran pemerintahan secara aman
6.         mengangkat pemimpin terbaik menerajui kepemimpian negara
7.         membentuk pemerintahan yang bertanggungjawab
8.         membangunkan sistem politik yang adil
9.         membangunkan daulah ar-risalah
Pendekatan Strategi Dua Lapis: Pengalaman JIM
JIM menggunakan pendekatan dua lapis dalam menangani isu masyarakat dan bertindak sebagai sebuah gerakan masyarakat madani. Kelebihan pendekatan ini ialah JIM dapat mendalami, mempelajari dan mendekati pihak yang memperjuangkan hak asasi manusia selain berfungsi sebagai gerakan dakwah.
Antara pendekatan JIM ialah
a)       Meletakkan kedudukan JIM dalam kalangan NGO Islam seperti ACCIN dan MAIM.
b)      Meletakkan kedudukan JIM dalam kalangan NGO lain dan masyarakat madani. Umpamanya dalam Gerakan Mansuh ISA dan Mafrel.
c)      Meletakkan kedudukan JIM dalam kalangan parti politik seperti dalam PKR dan PAS. (kini PAN)
d)      Membina jaringan dengan pelbagai agensi kerajaan. Contoh dalam PEMADAM.
e)      Pendidikan melalui institusi seperti Sekolah Rendah al Amin.
f)       Pengeksportan ahli ke pelbagai institusi awam, swasta dan NGO.
Pendekatan ini mempunyai banyak kelemahan terutamanya bab kesatuan dan wala’. Antara kelemahan yang dikesan ialah
a)      Tiada wadah utama dan boleh menyebabkan perpecahan. Perlu sebumbung, satu nama, satu tanzim, satu kepimpinan dan satu tumpuan wala’.
b)      Tidak dapat mengamal sepenuhnya semua piawaian dalam organisasi
c)      Kewujudan tidak dirasai oleh masyarakat.
d)      Terdapat pandangan yang insular(dalaman, eksklusif) dalam sebahagian ahli.
e)      Ramai kader dan pemimpin bertebaran memilih bidang penglibatan, membina nama dan institusi sendiri tanpa berpandukan perancangan tersusun.
f)       Tidak optimen tenaga penggerak kerana program sama pendekatan dan bentuk
Permasalahan  menimbulkan keperluan menyepadukan semua ahli sejak usrah bermula sampai sekarang, sumber dan pencapaian di bawah satu organisasi dan satu perancangan. Organisasi juga lebih mantap, menginstitusikan amalan tanzimi Islam, penekanan kepada tarbiah serta mengembang jaringan dan kegiatan pada peringkat antarabangsa.
Idealisme IKRAM Dalam Politik
Fokus politik IKRAM untuk pembaikan adalah pengukuhan sistem dwi-parti. IKRAM mencadangkan agar diperkasakan semak imbang (check and balance ) yang berkesan menerusi sistem dua parti yang utuh. Dalam konteks Malaysia, perlu wujud dua gabungan parti yang sama kuat, sama mampu bersaing secara sihat, bersih dan adil dan saling mampu memerintah, berupaya menjadi pemerintah.
Persaingan ini akan mematangkan penguasaan rakyat terhadap proses demokrasi dan menyerlahkan yang terbaik daripada sistem tersebut. Kita perlu kepada sistem dua parti yang memberi  ruang kepada semua pihak untuk mencabar penyalahan guna kuasa. (Power corrupts; Absolute power corrupts absolutely ). Oleh itu, monopoli kuasa oleh mana-mana pihak perlu ditentang.
Pimpinan IKRAM merasa bertanggungjawab untuk mewujudkan perubahan situasi politik negara ke arah situasi politik yang lebih baik, lebih sihat dan adil yang akan mewujudkam ruang yang luas dan berkekalan bagi pembaikan perjalanan negara menuju negara rahmah untuk manusia dan alam semesta. Untuk menjayakan  hasrat tersebut pihak pimpinan akan sentiasa memantau keadaan dan perkembangan politik negara dan dunia, bertindak  proaktif ke arah perkembangan-perkembangan tersebut agar umat tidak terpinggir, Islam akhirnya dapat dimartabatkan pada kedudukan yang sewajarnya. “Memimpin manusia dan dunia”.
Secara ringkas dan jelas, tanpa berselindung, kita ingin menegaskan kepada semua, kita akan mempersiapkan diri untuk menghadapi semua kemungkinan yang akan terjadi, agar umat memiliki pembela nasibnya yang tulen, pejuang cita-citanya yang manusiawi dan murni.
Parti terbaik menguasai majoriti kerusi parlimen serta menubuhkan kerajaan baru yang bertanggungjawab dan berwibawa. Pemegang tampuk pemerintahan adalah satu kedudukan yang paling tinggi dalam Islam, ولاية عامة (wilayah ammah). Lantaran itu, ia sepatutnya diserahkan kepada peribadi-peribadi yang layak dan mempunyaiالقوى الأمين (kebolehan dan integriti).
Parti terbaik harus meningkatkan budaya dialog dan "engagement" dengan kumpulan-kumpulan selain mereka dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan bersama dan nasional. Mereka harus bertukar-tukar buah fikiran dengan pertubuhan-pertubuhan keIslaman yang lain, ia sangat baik untuk bekerjasama membangunkan umat Islam. Tetapi mereka juga harus berdialog, berkomunikasi dan bersedia bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan di luar aliran "Islamisme", kerana akhirnya yang kita mahu ialah menyampaikan mesej Islam kepada semua pihak, bukannya Islam menjadi terpencil dan jauh daripada ruang awam atas alasan "mahu selamat".
Penglibatan IRC-JIM-IKRAM dalam Politik Malaysia
Penglibatan IRC dalam politik berkembang pesat setelah Anwar Ibrahim (Dato Seri) masuk ke dalam UMNO. Kemasukkan Anwar Ibrahim menyebabkan sebahagian pemimpin IRC yang memimpin ABIM mendalangi usul penolakkan keputusan Anwar Ibrahim menyertai UMNO. Anwar Ibrahim sendiri sangat rapat dengan gerakan Islam antarabangsa melalui WAMY. Menariknya pada akhir tahun 1980am, satu kertas kerja mengusulkan anggota IRC masuk UMNO tetapi usul ini ditolak serta diakhiri dengan penubuhan JIM.
Walaupun ditolak unsur bersama UMNO, JIM semasa Anwar Ibrahim bersama UMNO berperanan menguatkan UMNO. Antara kader mereka  yang masuk UMNO ialah Abdul Rahim Ghouse, Wan Husni Wan Hasan dan Sahri Bahari.  Berlaku pertembungan IRC-JIM dengan PAS berlaku termasuk di kampus.
Pemecatan Anwar Ibrahim menyebabkan hubungan IRC-JIM dengan UMNO menjadi kendur. JIM telah bersama GERAK yang dipimpin oleh Fadzil Mohd Noor. JIM juga’ mengeksport’ pemimpin mereka ke dalam Parti Keadilan Nasional. Antaranya ialah Saari Sungip, Rodziah Ismail[ii], Fuziah Salleh, Sahri Bahri dan lain-lain. Manakala Dr Dzulkefly Ahmad masuk PAS. Kemudianya, Ir Saari Saari menyertai PAS. Pada ketika itu, sayap wanita PKN dikuasai oleh Wanita JIM dan kelompok liberal. Antara Haniza Talha, Rodziah Ismail dan Fuziah salleh. Kemudian Saari Sungip telah menyertai PAS.
IRC-JIM-IKRAM  terus menghantar tokoh mereka seperti Syed Ibrahim Syed Noh ke dalam PKR sebagai Ketua Penerangan. Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga mula dibanjiri oleh pimpinan muda daripada IKRAM termasuk Ahli Parlimen Belia. Paling mengejutkan, perpecahan PAS menyebabkan sebahagian besar pimpinan PAS daripada latarbelakang IRC-JIM-IKRAM, Suara Islam dan ABIM keluar menubuhkan parti baru iaitu Parti Amanah Nasional (PAN). [iii]
PAN didukungi sepenuhnya oleh IKRAM. Pemimpin IKRAM dihantar untuk memperkuatkan PAN. IKRAM melepaskan Timbalan Presiden IKRAM, Hasanuddin Mohd Yunus untuk bergerak aktif dalam PAN melalui jawatan Naib Presiden PAN.  PAN digerakkan oleh tokoh IRC-JIM-Suara Islam seperti  Ir Nizar Jamaludin (Suara Islam), Ir Izham Hashim (Suara Islam), Ir Khalid Samad (Suara Islam), Dzulkefly Ahmad (IRC), Saari Sungip (IRC-JIM), Mujahid Yusuf (Alami-JIM) dan lain-lain.
IKRAM dan Pemerintahan: Malaysia Menuju Negara Rahmah
Negara Islam versi IKRAM boleh dilihat dalam Gagasan: “Malaysia Menuju Negara Rahmah”. Fasa 2 dinamakan Fasa pengukuhan tahap Idealismenya, di peringkat nasional. Antara ciri-cirinya ialah;
        I.            Negara yang disebut di dalam al-Quran sebagai ‘Baldatun Tayyibatun   Warabbun Ghafur.’
      II.            Negara yang berdiri atas asas Hakimiah Allah SWT
    III.            Negara yang pemerintahnya terdiri daripada pimpinan yang adil, tidak melakukan pelanggaran-pelanggaran hukum yang besar, mungkin pernah melakukan maksiat yang kecil sahaja, mendaulatkan syariat sepanjang pemerintahannya.
    IV.            Negara yang menjunjung perintah Allah dan Rasul-Nya.
      V.            Negara yang melaksanakan tuntutan syariah.
    VI.            Negara yang meletakkan maqasid syariah sebagai asas kepada pemerintahan dan pentadbiran.
  VII.            Negara yang menaungi semua rakyatnya atas prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaaan manusia sejagat.
VIII.            Negara yang memastikan hak-hak semua lapisan masyarakatnya tanpa mengira agama dan bangsa dipertahankan atas landasan syariat dan maqasid syariah.
    IX.            Negara yang mengamalkan pemerintahan yang didasarkan atas rundingan (syura) dan kesepakatan serta memberi  ruang kepada rakyat untuk bersuara dan memilih kerajaan mengikut lunas-lunas perlembagaan.
      X.            Negara yang memastikan risalah dan dakwah Islam ditegakkan dan menjadikannya ciri utama kepada kelangsungan pentadbirannya.
    XI.            Negara yang memastikan urus tadbir yang baik serta meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat penting dalam kewujudannya.
Semua pernyataan ini bersesuaian dengan kehendak siyasah syar’iyyah yang  menuntut pengurusan kehidupan rakyat dan pentadbiran negara sejajar dengan tuntutan-tuntutan  syariah, unjuran-unjuran syariah bagi maksud menegakkan Islam dalam negara dan kehidupan manusia serta menertibkan perjalanan dunia berasaskan bimbingannya.
Pernyataan ini sejajar dengan peryataan-pernyataan ulama’-ulama’ ummah yang tersohor sewaktu berbicara tentang siyasah syar’iyyah atau maksud daripada penegakan  pemerintahan dan negara Islam. Penyataan ulama iaitu
  Siyasah syar’iyyah ialah pengurusan seorang pemimpin yang adil terhadap urusan-urusan yang dikongsi bersama oleh semua rakyat sejajar dengan kehendak-kehendak syariah.”
“Penegakan agama dan pengurusan (perjalanan) negara dengan (bimbingan) agama (Islam).”[iv]
Muhasabah Untuk Kelompok Pendokong  IKRAM Dalam Menggapai Cita-cita Politik
1.      Para pendokong IKRAM dalam politik kepartian seringkali mengutarakan istilah inklusif. Malangnya pada yang sama, IKRAM sendiri adalah eksklusif. Lihat sahaja dari segi pemeringkatan jenis keahlian dalam IKRAM.
2.      Sifat taqiyah dan tauriah para pendokong IKRAM dalam politik kepartian bakal mencelarukan pemikiran Islam mereka. Dalam masa jangka panjang, pihak sekular akan menganggap kelompok pendokong IKRAM akan menipu mereka.
3.      Sifat menumpang parti politik seperti PAN dan PKR bakal mencetuskan gelombang perpecahan dalaman suatu hari kelak.
4.      Pemikiran Islam mereka tidak jelas menyebabkan timbulnya pragmatik dalam membuat keputusan.
5.      Campurgaul antara sekularisme dan Islam menyebabkan kita terfikir, apakah manfaat kelompok pendokong IKRAM bersama puak sekular kepada Islam?. Mendekatkan mereka dengan Islam atau kita lebih banyak mengikut mereka?.
6.      Apabila istilah-istilah moden seringkali digunakan, hujah Islam kelihatan tempelan dan sampingan sahaja.
7.      Tanpa mengutamakan akidah, perjuangan akan bersifat ‘nafas pendek’ kerana bergantung kepada umpanan duniawi.
Kesimpulan
Kehadiran IKRAM melalui proksi politik menambah dinamika politik Islam di Malaysia. Ia cuba memecahkan monopoli dan dominasi PAS yang selama ini menjadi parti Islam tunggal di Malaysia.
Kehadiran proksi IKRAM menyebabkan berlaku pertembungan dan persaingan politik sesama sendiri antara gerakan Islam. Ia dilihat merugikan perjuangan Islam.
Oleh kerana, IKRAM bersifat eksklusif, proksi politik IKRAM kurang berkebolehan melatakan pengaruh parti dalam kalangan rakyat jelata. Mereka hanya meraikan kejayaan hasil menumpang bukannya membawa keahlian baru dalam kalangan rakyat.
Kehadiran mereka memberi alternatif baru dalam politik Islam yang selama ini hanya tertumpu dengan pendekatan dan pemikiran PAS. Ia menambah kepelbagaian pemikiran dan pendekatan.


[i] Badlihisham Mohd Nasir, IKRAM gerakan dakwah baru yang macam mana?, Harakahdaily, Julai 2010.
[ii] Ketua Wanita, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Petaling Selangor 1996-1998, Ahli Exco Wanita JIM  1998-2000 dan Exco Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Teknologi Malaysia, 1983-86. Beliau juga mendapat bimbingan dari Mengikuti Kursus Antarabangsa oleh Fredick Newman Foundation (German)..
[iii] Fathi Aris Omar mendedahkan satu berita yang menarik. Lihat Fathi Aris Omar, Parti baru gasak PAS, PKR juga tersepit, Malaysiakini, 14 Jul 2015. Dalam masa yang sama tahun lalu (2014), di belakang tabir politik yang tidak disedari ramai, beberapa elemen yang dikaitkan dengan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) ingin membentuk parti Islam baru.
Beberapa elemen yang dikaitkan dengan Ikram itu, atau selalunya disebut Islamic Representative Council (IRC), sering pula dituduh menyusup dalam PAS dan ingin mengambil alih parti itu dari dalam.
Akibatnya, sejak di muktamar 1986 di Rusila, PAS menyingkirkan mereka yang digelar "orang IRC".
Di muktamar (2015) yang menyingkirkan G18 baru-baru ini, sebuah buku yang mendedahkan permainan licik IRC dalam parti Islam itu dipromosikan dan mendapat sambutan hangat.
Tidak pasti Ikram sebagai sebuah pertubuhan Islam terlibat secara rasmi atau tidak.
Kemungkinan besar mereka berbelah bahagi sebab beberapa tokoh atasan Ikram menemui PAS tahun lepas memberi amaran tentang projek parti baru ini.
PAS kemudian meminta pemimpin atasan Ikram agar menenangkan elemen-elemen itu dan tidak cuba memecah-belahkan gerakan Islam dengan mendirikan sebuah lagi parti Islam.
Namun seorang pemimpin Ikram baru-baru ini menyatakan sokongan kepada "harapan baru" G18, yang kebetulan ada hubungan rapat selama beberapa dekad dengan NGO tersebut.
[iv] Mohd Parid Sheikh Ahmad,    Ucapan Dasar Presiden IKRAM - "Malaysia Menuju Negara Rahmah"  , 25.10.2014

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...