MAHASISWI ISLAM MENGGUGAT?
Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias.[*]
tokawang_sufi@YAHOO.com
Manusia Hawa dicipta dari tulang rusuk Adam
Bukan dari kepalanya untuk dijunjung,
Bukan pula dari kakinya untuk dijadikan alasnya,
Tetapi daripada sisinya untuk dijadikan teman hidupnya,
Dekat dengan lengannya untuk dilindungi,
Dekat dihatinya untuk dicinta
Begitulah keindahan bicara ditujukan kepada golongan wanita yang cuba dilupakan peranannya dalam sejarah sesebuah masyarakat. Perkara ini pernah diluahkan oleh Anna Davin pada tahun 1972 dalam artikelnya, Women and History menyatakan ‘sebaik-baik sahaja kita bertanya bagaimana kehidupan pada masa lalu, kita akan menyedari bahawa perkara ini begitu jarang disentuh’. Secara tradisi, sejarah perjuangan wanita selalu dikesampingkan bagaikan tidak bernilai. Sebenarnya kita silap, wanita adalah watak sebalik tabir mempunyai jasa yang amat besar dalam setiap perjalanan ketamadunan manusia. Jika kita menyelinap dalam buku Sejarah Melayu versi Winstedt, digambarkan ketika Sultan Mahmud Syah ingin melantik Bendahara, baginda sultan telah mendengar suara bondanya dari balik pintu yang menyuruh baginda melantik Tun Mutahir sebagai Bendahara. Suasana ini menunjukkan kuasa wanita Melayu cukup berpengaruh dalam pelantikan jawatan politik sejak Kesultanan Melayu Melaka lagi.
Masyarakat Melayu mempunyai weltanschuung berasaskan tradisi lelaki yang cukup berpengaruh sehingga wanita Melayu-Islam selalu sahaja dibelenggu kerisauan tentang hak-hak sosial mereka dipermainkan. Perkara ini disuarakan secara sinis oleh Syed Syeikh al Hadi dalam karya saduran yang terkenal Hikayat Faridah Hanum dimana Faridah Hanum menyatakan ketidakpuasan hatinya berdasarkan dialognya ‘sekalian perempuan bahawa kita sekalian ini tidak berguna di dalam kehidupan perhimpunan kaum dan bangsa dan watan lain daripada kegunaan kuda tunggang atau tukang masaknya dan tukang basuh kain bajunya’. Syed Syeikh al Hadi mengambarkan bahawa selama ini wanita hanya alat yang tidak menyedari tentang hak-haknya sebagai wanita.
Dalam gerakan pelajar terutamanya di Malaysia, peranan mahasiswi juga turut dilupakan sedangkan mahasiswi banyak berjasa dalam gerak kerja gerakan pelajar. Dalam akhbar Mahasiswa dan laman web Idealis Mahasiswa, bagaikan satu pakatan membelasah mahasiswi Islam dengan pelbagai tohmahan. Isu yang paling menonjol adalah kisah mahasiswi Islam yang gagal membahagi masa antara berpersatuan dengan belajar iaitu Wan Norhayati Wan Alias [PMIUTM] dan Nuraimah Suratin [PMIUSM] yang mendakwa mereka telah dipergunakan oleh parti oposisi. Dan terbaru kisah perarakan bermotor mahasiswi Islam dalam pilihanraya kampus 2004 di Universiti Malaya. Walaupun kedua-dua media massa memberikan pandangan yang negatif, para mahasiswi Islam perlulah mencari formulasi yang berkesan untuk menjernihkan objektif dan metode perjuangan mereka di kampus.
Masalah utama mahasiswa dan mahasiswi sekarang adalah tidak mengenali pemaknaan falsafah perjuangan mereka sendiri. Mereka boleh mengenali elemen-elemen pembangunan fizikal tetapi buta daripada mengenali pembangunan insani diri mereka. Menurut Muhammad Abu Bakar dalam artikel Falsafah Perjuangan Mahasiswa, falsafah perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai pelajar universiti, fungsi mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa dan situasi mereka sebagai kumpulan individu yang seringkali terdedah kepada pengolakan dunia semasa. Ketiga-tiga elemen ini perlu memberi impak kepada pemaknaan diri mahasiswa yang merangkumi watak dan aspirasi mahasiswa. Persoalan yang timbul, berapa kerat mahasiswa yang memahami ketiga-tiga elemen berbanding longlai bersama aktiviti berseronok di universiti?
Golongan terpelajar terutamanya mahasiswi Islam seharusnya faham kedatangan mereka ke kampus bukan sahaja untuk belajar tetapi mengembangkan potensi diri ke arah menjadi manusia yang baik. Menurut Syed Naquib al Attas, manusia baik (good man) bukan sahaja bijak dalam pelajaran tetapi bijak juga dalam berakhlak dan tindakan. Kita juga harus memahami tugas kita sebagai rakyat, bukannya mabuk dengan sifat remaja yang gilakan hedonisme. Sewajar status sebagai pelajar universiti berjaya membedakan diri pelajar dengan remaja di luar kampus. Jika mahasiswi Islam memahami falsafah perjuangan mahasiswa ini, polemik mahasiswa dan politik akan sendirinya terhapus.
Sifat sesetengah pihak atasan yang mengambil sikap berkonflik menyebabkan pelajar tertekan sehingga menelurkan benih politik ekstrem di kalangan mereka. Kita tidak menafikan setiap organisasi mempunyai golongan radikal dan ekstrem yang dianggap pressure group kepada sesebuah organisasi. Tambahan pula, universiti sendiri merupakan sebuah badan politik, dimana persoalan kuasa dan decision-making [membuat keputusan] menjadi satu aspek penting, dan ini merancakkan lagi suasana konflik dan kerjasama yang terdapat di dalam kampus. Golongan ekstrem mahasiswi Islam yang selalu didiskriminatif ini akan mengambilkan tindakan yang radikal jika penguasa kampus melakukan provokasi terhadap mereka.
Budaya esktrem ini akan melahirkan mahasiswi Islam seperti Wan Norhayati sehingga gagal dalam pelajaran. Mereka mengikuti aktiviti persatuan tanpa kefahaman asas sehingga mereka berfikiran jumud dan taksub membuta-tuli. Kebiasaannya, golongan ekstrem ini secara automatiknya akan terkeluar daripada gerakan pelajar sesudah sampai waktunya. Paling malang, mereka sendiri menjilat segala tuduhan yang dilontar oleh mereka sendiri sewaktu bersama gerakan pelajar.
Selain kebiadapan penguasa universiti, sifat ekstrim mahasiswi Islam terjadi ekoran kejahilan mereka sendiri yang begitu cintakan aspirasi perjuangan Islam sehingga tidak dapat mengawal perasaan marah. Mereka bersemangat berkobar-kobar sehingga lupa batasan kelembutan adab seorang mahasiswi Islam. Keikhlasan dan cinta mereka kepada Islam menyebabkan mereka cuba mempertahankan aspirasi perjuangan Islam sehingga kadangkala melampaui adab dakwah, kaedah dan ilmunya. Justeru, pemimpin gerakan pelajar dan para mahasiswi Islam perlu memikir impak terakhir yang akan menimpa imej perjuangan mereka dalam setiap tindakan mereka. Jangan sampai tindakan yang drastik merosakkan kebaikan yang dilakukan selama ini.
Mahasiswi Islam boleh menggunakan pendekatan sebalik tabir melalui kerja-kerja pengurusan organisasi dan pentarbiyahan kader-kader yang taat kepada ajaran Islam. Sesuai dengan sifat perempuan yang lembut, lebih tekun dan beradab, mahasiswi Islam haruslah bertindak sebagai pembantu yang tidak menonjolkan diri agar mahasiswi Islam tidak menghadapi mehnah yang boleh menjatuhkan maruah mereka. Asiah Ali dalam bukunya Muslimat Pencorak Masyarakat menyarankan mahasiswi Islam berjihad melalui pendidikan dengan peranan menyebarkan ilmu agar kalimah Allah tertegak didalam kampus. Penyebaran ilmu boleh dilakukan dengan menceburi bidang penulisan. Jarang sekali kita melihat pimpinan mahasiswi Islam menulis dalam media massa. Sepanjang pemerhatian penulis hanya Ketua HEWI PMIUM sesi 2002/03 yang giat menulis dalam media massa termasuk dalam majalah Massa dan akhbar tempatan.
Menurut Iman Hasan al Banna, kerja yang dilakukan oleh wanita mestilah mengikut keperluan semasa jemaah. Mahasiswi Islam boleh menonjolkan beberapa figure tertentu sebagai jurucakap mereka yang dapat memaparkan imej dan kualiti kepimpinan mahasiswi Islam. Dalam gerakan Ikhwanul al Muslimin, figure muslimat yang dilihat jurucakap muslimat ialah Zainab al Ghazali yang begitu kejam diseksa oleh Rejim Nasser. Walau bagaimanapun, Hajjah Zainab cukup kental menahan seksa walaupun didesak bertalu-talu agar mengaku perbuatan mereka merancang pembunuhan Presiden Nasser. Gerakan pelajar Malaysia pula tidak gersang daripada melahirkan wirawati-wirawati seperti Fatimah Sham yang memimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Sains Malaysia dalam demonstrasi pada pertengahan tahun 1970an. Fatimah Sham merupakan anak kepada pejuang tanah Teluk Gong iaitu Hamid Tuah juga adalah presiden pertama di kalangan wanita dalam persatuan mahasiswa universiti di negara ini. Keterlibatan mahasiswi Islam secara terbuka haruslah bergantung kepada keperluan semasa.
Pada alaf baru ini, suka atau tidak akan menuntut mahasiswi Islam agar lebih bermakna dalam kepimpinan gerakan pelajar. Oleh sebab itu pentafsiran syariat secara klasikal mengenai peranan dan kedudukan tentang wanita yang tidak setepatnya dengan kehendak wahyu perlu diberikan pemaknaan kembali yang lebih realistik dengan aspirasi Islam. Mahasiswi Islam juga perlu memahami fiqh wanita yang berubah dan prinsip syariat yang kekal. Dengan pemahaman ini, diharapkan pemikiran mahasiswi Islam dapat dijernihkan daripada taboo tradisi yang menghalangi kecergasan mereka di dalam gerak kerja gerakan pelajar dengan tafsir amali yang baru dan tepat dengan kehendak wahyu Ilahi.
Perjuangan mahasiswi Islam dalam gerakan pelajar bergantung kepada quwwat al ruh wa al-‘aql [kekuatan jiwa dan minda] dan kefahaman yang sahih individu pada fikrah perjuangan mereka. Setiap langkah mahasiswi Islam dalam gerakan pelajar mestilah diatur dengan kebijaksanaan agar tidak tertewas dengan cabaran yang diterima. Pertama, mahasiswi Islam perlu menyalurkan semangat jihad melalui saluran yang betul dengan mengunakan perjuangan bertahap-tahap dan tidak tergesa-gesa untuk mencapai kejayaan. Pihak yang bertentangan jangan dimusuhi tetapi berusaha dengan mesra dan berbaik sangka semasa mendekati mereka. Jadilah diri anda sebagai model yang berakhlak mulia untuk dicontohi mahasiswi lain yang tidak sealiran.
Kedua, mahasiswi Islam perlulah ingat bahawa kampus hanya tapak untuk pentarbiyahan diri bukan melakukan kerja-kerja politik kepartaian. Jika berlaku perkara yang bertentangan, fiqh keutamaan yang bertunjangkan tugas asasi kita sebagai pelajar dan berkhidmat untuk masyarakat serta agama perlu diutamakan. Pilihan mahasiswi Islam perlu tepat dengan keperluan semasa supaya kita tidak menyalahkan orang lain ke atas kegagalan kita. Kes Norhayati sebagai contoh menunjukkan satu kegagalan para mahasiswi Islam menyuburkan kekuatan jiwa dan minda sehingga gagal menguruskan masa untuk berjemaah dan belajar. Akibatnya menyalahkan orang lain setelah gagal dalam pelajaran.
Ketiga, mahasiswi Islam memerlukan keterbukaan pemikiran dan menghormati pertentangan pendapat walaupun sekeras mana pun tekanan diterima. Iman Hasan al Banna menyatakan ‘jangan sekali-sekali ada unsur negatif [dendam] di hatimu terhadap seseorang tetapi jangan berhenti daripada mengharapkan petunjuk buatnya!’. Perkara ini penting agar budaya dendam dan ekstrim tidak membiak dalam diri mahasiswi Islam. Selain itu, mahasiswi Islam wajar memiliki keupayaan menerima idea dari luar lingkaran pemikiran mereka sendiri. Kepelbagaian idea daripada pelbagai sumber yang bersifat kontemporari perlulah dikaji, diteliti dan diamat-amati. Oleh sebab itu, kajian pemikiran jangan hanya terhad kepada pemikiran Iman al-Maududi, Iman Hasan al Banna dan Iman Syed Qutb sahaja tetapi meliputi pemikiran tokoh seperti Dr. Hasan Turabi, Rachid al Ghannouchi, Malek Bennabi dan Abul Hasan Ali an Nadwi.
Mahasiswi Islam menggugat?. Jawaban ini hanya mampu dijawab oleh mahasiswi Islam sendiri. Merekalah yang akan mencorakkan arah perjuangan dengan program pengisian mereka sendiri. Mahasiswi Islam menggugat tidak semestinya bersifat destruktif tetapi memerlukan satu pengarapan sifat alternatif dengan menunjukkan jalan penyelesaian masalah dan melakukan proses pengislahan diri dan masyarakat.
[*] Penulis adalah mantan ahli pasif PMIUM, EXCO PBMUM dan AJK PSUM. Kini bergelar seorang guru. Antara tulisan Nazree Yunus dengan tulisan saya, hmm macam sama je. kebetulan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment