Monday, January 31, 2011

DENDAM KEPADA KEPIMPINAN JEMAAH ISLAM

Oleh Agus Salim II

Dalam satu mesyuarat, pemimpin utama yakni Tuan Presiden Jemaah Islam akan membuat keputusan muktamad sama ada mengikut pendapat seseorang, suara mesyuarat atau memutuskan menggunakan pendapat beliau sendiri. Keputusan muktamad adalah hak ketua. Adapun Muktamar mempunyai kuasa lebih besar daripada keputusan dan kuasa presiden mengikut Perlembagaan jemaah. Muktamar berhak membatal, mengubah atau melakukkan dasar atau keputusan yang lain.

Dalam membuat keputusan, ada keputusan pimpinan yang tersalah langkah atau tidak digemari oleh segelintir pimpinan yang lain. Kesilapan ini haruslah dimaaf diatas kesalahan ijtihad seseorang pemimpin. Pemimpin jemaah Islam bukanlah para nabi yang maksum daripada dosa. Kesilapan pimpinan seringkali berlaku ekoran kelemahan akal seseorang.

Jangan noktahkan pemikiran kita dengan dendam kesumat bahawa pemimpin yang melakukan kesilapan mesti dinyahkan daripada jawatannya. Pemimpin itu harus dibenci. Iman Hasan al Banna pernah menasihati jiwa memberontak sheikh Muhammad al Ghazali dengan menyatakan ‘jangan sekali-sekali ada unsur negatif [dendam] di hatimu terhadap seseorang tetapi jangan berhenti daripada mengharapkan petunjuk buatnya!’. Seharusnya kita tidak berdendam tetapi mengharapkan petunjuk Allah meluruskan keputusan yang akan dilakukan oleh pemimpin kita.

Kita harus maafkan pimpinan kita selagi mereka tidak melanggari perkara aqidah dan berbuat dosa besar. Dato Mahfuz Omar sebagai contoh semasa menjadi Ketua Penerangan PAS kita maafkan beliau kerana menipu dan berlagak tahu walaupun tidak tahu. Begitu juga pimpinan yang dikatakan pernah terlibat dalam pertemuan ‘gelap’ termasuk Ir Khalid Samad [pada peringkat awal], Dr Hassan Ali, Ustaz Nasaruddin Mat Isa. Kita maafkan mereka. Jika TGNA, TGHH, Dato Husam, TG Haron Din, DR Hassan Ali,Ir Saari Sungip, Dato Mustafa ALI, Dato Abu Bakar Chik,Ir Khalid Samad, TG Haron Taib, Ustaz Nasarudin Mat Isa atau sesiapa sahaja yang melakukan kesilapan, kita wajar memaafkan mereka dan mendoakan mereka agar dapat petunjuk.

begitu juga mantan pimpinan berjasa seperti Ustaz Nakhaie dan Dato Asri. Kita doa petunjuk, keampunan dan memaafkan mereka.

Apaguna membenci dan dendam jika tersilap hari ia adalah khabar angin.

Sunday, January 16, 2011

Budaya Mengkritik Dalam Jemaah Islam.

Oleh Abu Muhammad

Mengkritik tidak salah bahkan wajib terutamanya kepada jemaah Islam agar proses pengislahan dapat dilakukan. Syarat utama pengkritik ialah
a. Tidak menjatuhkan maruah jemaah atau seseorang. Pengkritik tidak boleh menjatuhkan maruah orang dikritik dengan pelabelan, kutukan peribadi dan fitnah berbentuk sangkaan semata-mata.
b. Sumber yang sahih. Sumber maklumat yang dijadikan bahan kritikkan mesti bersumberkan sumber yang sahih bukannya berbentuk persepsi, sembang kedai kopi, khabar angin, ragu-ragu dan sangkaan.
c. Wasilah yang digunakan. Ada maklumat berbentuk rahsia dan umum. Pengkritik haruslah menggunakan medium sesuai dengan maklumat/bukti tersebut seperti pertemuan peribadi, usrah, mesyuarat dan muktamar untuk melakukan kritikkan.
d. Memikirkan Impak. Pengkritik mesti fikir impak yang akan berlaku jika maklumat itu didedah secara umum pada pimpinan dan jemaah.
e. Pilih bulu. Kritikan hanya kepada pihak tertentu sahaja. Hilang ukhwah dan keikhlasan dalam mengkritik kerana Allah bukannya demi kepentingan peribadi dan puak yang didokongi.

Jika syarat ini disudah tepat, boleh mengkritik.

Kritikkan adalah proses muhasabah diri dan memberi peringatan agar pemimpin dan jemaah dapat melakukan peningkatan kualiti dan membaiki kelemahan. Kritikan adalah refleksi diri dan jemaah.

Saidina Umar al Khattab pernah menyatakan “semoga Allah memberi kerahmatan kepada seseorang yang memberitahu terhadap segala keaiban diriku”.

Jemaah Islam bukanlah milik individu tapi milik umat Islam. Oleh sebab itu, anggota jemaah Islam mesti berani mengkritik pimpinan melalui saluran-saluran yang betul.
Mungkin pengikut jemaah yang ikhlas takut mengkritik kerana ia mengundang fitnah dan perbalahan sesama anggota. Menurut Dr Yusof al Qaradhawi, syarat pengkritik ialah hanya orang berupaya sahaja[miliki sumber yang sahih, berilmu, saksi yang tidak fasik], mengutamakan kemanfaatan akhirnya dan membetulkan sesuatu maklumat yang sahih sahaja boleh mengkritik.

Setiap pendapat pemimpin tidak boleh dimaksumkan. Pendapat pimpinan bukanlah sabdaan Rasulullah SAW. Kritiklah dengan hujah tanpa emosi dan tanpa niat jahat. Kritikan harus ilmiah dan berfakta benar dan sahih. Orang dikritik dan pengkritik tidak harus ada sifat membenci. Al Maududi mengkritik Sayyid Abu Hassan an Nadwi secara ilmiah tetapi hubungan peribadi beliau tetap baik. Pun begitu, para pengikutnya berbalah dengan emosi.

Bagi Dr Yusof Qaradhawi, anggota jemaah Islam jangan takut kritik secara terbuka[jika memenuhi syarat-penulis] walaupun kemungkinan pihak musuh mengeksploitasi dan menyeleweng maklumat golongan yang ikhlas mengkritik pimpinan dan jemaah Islam. kalimah yang benar tidak boleh disembunyikan kerana semata-mata takutkan kalimah yang batil.

Jemaah Islam seumpama PAS sewajarnya mengadakan banyak seminar dan dialog yang memberi ruang kepada intelektual membentang kertas kerja berunsur kritikan dan cara pengislahan jemaah serta mendengar kritikan ahli jemaah[PAS pernah melakukan seminar yang mengundang intelektual mengkritik PAS]. Para pimpinan PAS mesti hadir dalam seminar dan dialog tersebut.

Tradisi anak muda suka mengkritik. Adakah kritikan mereka kritikan membina atau bersifat ‘pepsi cola’?. Pimpinan utama harus mengambil berat kritikan kelompok anak muda kerana mereka adalah warisan perjuangan, cuma anak muda perlulah beradab semasa mengkritik. Sebagaimana ucapan Lee Kuan Yew “saya memberitahu penganti saya bahawa jika mereka menolak generasi muda yang bijak yang tidak bersetuju dengan mereka mengenai dasar, akan tiba masanya mereka akan menjadi penentang sebenar”.

Persoalan yang timbul, sejauhmanakah pihak pengkritik tidak mempunyai kepentingan tertentu semasa mengkritik, beradabkah cara mereka mengkritik dan dipenuhikah syarat sebelum mengkritik?.

Kritiklah ikhlas kerana Allah.. Kritik jangan MENGHINA. Insya Allah, selamat.

Menangani Perpecahan Dalam Ikhwanul Muslimin Era al Hudaybi: Cerminan Kepada PAS

Oleh Abu Muhammad

Seperti yang kita tahu, Mursyidul Aam kedua Ikhwanul Muslimin, Imam Hassan al Hudaybi merupakan insan yang istimewa apabila beliau dididik khusus oleh al Banna. Hubungan baiknya dengan Ikhwan bermula pada tahun 1942. Hanya pimpinan utama sahaja yang mengetahui keanggotaan beliau dalam Ikhwan. Semasa Ikhwan diharamkan, beliau menyerahkan diri, harta, keluarga, jawatan beliau untuk dakwah. Beliau adalah satu-satu ahli daripada sektor kehakiman yang gigih membebaskan Ikhwan daripada tuduhan palsu.

Setelah al banna shahid, Dewan Pendiri telah memilih al Hudaybi sebagai Mursyidul Aam daripada beberapa calon yang dicalonkan. Pada mulanya, pelantikkan beliau diterima oleh ahli senior kerana dianggap kompromi sementara. Al Hudaybi menjalankan tugas sebagai Mursyidul Aam Ikhwan secara rahsia selama 6 bulan pada masa beliau masih menjalankan tugas dalam Jabatan Kehakiman. Ketika Nahhas Pasha mengizinkan Ikhwanul Muslimin dihidupkan kembali, Dewan Pendiri Ikhwan meminta al Hudaybi bertemu pemerintah atas kapasiti Muryidul Aam. Tetapi beliau menolak atas alasan keputusan tersebut dilakukan oleh Dewan Pendiri yang belum disahkan oleh anggota Ikhwan. Beliau juga menolak jawatan Mursyidul Aam.

Utusan-utusan dari seluruh wilayah Mesir bergilir-gilir datang ke rumah al Hudaybi mendesak beliau menerima jawatan Mursyidul Aam. Akibat desakan ini, beliau sanggup memegang amanah ini dan meletak jawatan sebagai hakim. Tanggal 17 Oktober 1951, Imam Hassan al Hudaybi dirasmikan sebagai Mursyidul Aam kedua Ikhwanul Muslimin.

Kebencian Peribadi
Pelantikkan al hudaybi secara rasmi mengundang perasaan tidak puas hati dalam kalangan pimpinan senior. Pelantikkan ini melangkaui beberapa pimpinan senior seperti Saleh Asmawi dan Abdul Rahman al Banna. Abdul Rahman al Banna bukan sahaja adik al Banna tetapi beliau adalah Ketua Pertubuhan Kebudayaan Islam di Kaherah yang memberi laluan agar Ikhwanul Muslimin bergabung dengan pertubuhannya, menggunakan kemudahan prasarana dan laluan kepada Imam Hassan al Banna sebagai ketua pertubuhan yang dinamakan Ikhwanul Muslimin.

Jasa, penderitaan, dedikasi, pengorbanan, istiqamah dan kesetiaan para senior terhadap al Banna dan jemaah tidak akan dipersoalkan. Peningkatan mendadak al Hudaybi menimbulkan kekecewaan dan kemarahan mereka kerana melangkaui autoriti mereka sebagai pimpinan senior dan berjasa. Kemarahan ini berkembang menjadi kebencian peribadi yang cukup tajam dan seringkali mewujudkan kubu-kubu tertentu dalam jemaah.

Dalam PAS, perkataan ABIM, wala’, tsiqah, IRC, PAS Terengganu dan terbaru Kerajaan Perpaduan menjadi fobia pada sesetengah orang. Kebetulan sungguh apabila PAS seakan-akan dikuasai oleh puak ABIM dan Puak PAS Terengganu. Kedua-dua puak ini menjadi ‘hantu’ kepada golongan berkepentingan, senior berhati batu dan anak muda yang buta sejarah, sementelahan yang masih belum merasai ‘betina’(seperti diucapkan oleh Rahim Kajai kepada Samad Ismail) lagi. Perlu kita ingat, Puak ABIM dan Puak PAS Terengganu antara tenaga penting dalam mencetuskan revolusi kepimpinan ulama dalam PAS. Dan paling penting, mereka telah dilantik dalam muktamar.

Dato Mustafa Ali seorang pimpinan muda PAS(walaupun seteruk mana beliau, secara peribadi penulis tidak mengemari beliau), pernah menjawat penting(setiausaha atau timbalan menteri, saya lupa) dalam kementerian semasa PAS dalam BN. Beliau penuh pengalaman dan kesetiaan kepada jemaah serta telah kalis dengan politik berbanding kita yang belum berbapa lagi pada ketika itu. Dato Abu Bakar Chik, penggerak utama kepada sistem pendidikan PAS. TGHH, tokoh pemuda yang menggerakkan semangat anak muda untuk mendaulatkan Islam. Mereka adalah pimpinan utama PAS Terengganu sekarang.
Saya lihat terdapat kebencian peribadi terhadap pimpinan PAS tertentu. Ia datang daripada sekelompok pemimpin senior yang menaungi segelintir anak muda yang bersemangat. Pengaruh kelompok ini popular kerana mereka menguasai media alternatif tetapi ia bukanlah suara majoriti ahli PAS.

Roh Cinta dan Persaudaraan.
Krisis ini berlaku apabila roh cinta dan persaudaraan sesama pimpinan dan anggota semakin berkurangan. Kepimpinan Ikhwan berpecah tiga iaitu grup anti al Hudaybi, grup pro al Hudaybi dan grup neutral. Dalam PAS, pelbagai kubu muncul seperti kubu pro siasah, pro ulama dan pro tokoh-tokoh tertentu.

Grup-grup dalam PAS akan muncul kembali apabila musim muktamar pemilihan diadakan. Penggunaan media untuk melakukan pelabelan dan kritikan terbuka bukan sahaja menjatuhkan imej tokoh tetapi juga imej parti. Saleh Asmawi pernah menggunakan Majalah Dakwah untuk menghentam al Hudaybi. Masyarakat awam membaca dan menilai buruk jemaah dan pimpinan. Kenapa para mediawan PAS tidak memikirkan impak ini dan berkhayal untuk memenangkan puak yang mereka pilih?.

Formula utama meningkatkan roh cinta dan persaudaraan ialah melalui usrah. Usrah ini haruslah seragam melalui silibus Lajnah Tarbiyyah Pusat. Selain itu, Mursyidul Aam, Presiden atau Ketua Dewan Ulama harus meruang sehari dalam sebulan untuk memberi takzirah kepada para pimpinan mahasiswa dan anak muda.

Imej Hassan al Banna
Al Hudaybi menolak menyamakan dirinya dengan al Banna dari segi pemikiran, tindakan dan budaya hidup. Pimpinan senior mahukan al Hudaybi mencontohi al Banna. Al Hudaybi masih berhubungan dengan sahabatnya daripada parti pemerintah, Parti Sa’di. Al Hudaybi juga rapat dengan pihak istana dan menteri tertentu. Kehidupan elitis al Hudaybi dijadikan modal untuk memburukkan dirinya.

Dalam PAS berulang kali kita membaca agar TGHH mencontohi TG Fadzil Nor atau Anwar Ibrahim. TGHH ada stail kepimpinan tersendiri, agak sukar menerima gaya kepimpinan kedua-dua pemimpin tersebut.

Tugas anggota PAS ialah menyokong TGHH dan memberikan kepercayaan kepada beliau dalam memimpin PAS dengan gaya kepimpinan beliau tersendiri. TGHH dilihat orang tarbiah, sarjana dan pemimpin yang tidak suka bermesra di warung kopi berbanding keramahan TG Fadzil Nor di warung kopi. TGHH lebih banyak diam, suka menulis buku dan menyampaikan tazkirah. Al hudaybi bekas hakim adalah orang elit berlainan gaya hidup dengan al Banna. Setiap pemimpin mempunyai gaya hidup yang berbeda dan rencam.
Jangan kita inginkan pimpinan mengikut kehendak kita tetapi kitalah yang kena ikut pimpinan yang sudah dibait oleh kita.

Masalah Pentadbiran Ikhwan
Al Hudaybi dituduh menghina jemaah kerana lambat mengaku beliau adalah Mursyidul Aam Ikhwan dan lambat meletakkan jawatan sebagai hakim. Beliau juga dikatakan mengemukakan syarat agar Abdul Kadir Audah seorang hakim dilantik sebagai timbalan Mursyidul Aam Ikhwan. Syarat ini melangkaui pemimpin senior seperti Saleh Asmawi dan Ahmad Hassan al Baquri.

Sangkaan ini dibuat oleh pihak musuh atau muslim yang dengki padanya. Sangkaan bersifat ragu-ragu menandakan hati yang tidak jernih dan penuh dendam serta dengki. Setiap tuduhan harus ada bukti, saksi dan pengakuan sebelum kita menghakimi. Penyakit hati akan menyerang sesiapa sahaja walaupun orang alim.

Pelantikan sesuatu jawatan harus kita selidik sama ada jawatan itu bersifat lantikan atau dipilih. Jika jawatan Timbalan Mursyidul Aam bersifat lantikan, adalah hak al Hudaybi untuk melantik orang yang disukainya. Dalam konteks PAS, pelantikkan setiausaha politik Presiden, Setiausaha Agung PAS dan Pesuruhanjaya PAS Negeri adalah kuasa lantikan Presiden PAS.

Al Hudaybi Pro ‘Kerajaan Perpaduan’?
Di bawah kepimpinan al hudaybi, beliau telah dipersoalkan tentang peranan Ikhwan dalam mengetuai gerakan penentangan secara nasional terhadap kerajaan Mesir. Peristiwa kehadiran beliau ke istana semasa pengangkatan sumpah Hafiz Afifi Pasha sebagai ketua kerajaan di tengah-tengah kemarahan dan kebencian pergerakan nasional terhadap istana. Hubungan baiknya dengan pemimpin pasca parti Wafd iaitu Mahir dan Hilali telah menimbulkan kecurigaan pergerakan nasional bahawa al Hudaybi akan membawa Ikhwan menjadi gerakan pro status quo. Al Hudaybi juga pernah mengadakan pertemuan dengan perwakilan British.

Perdebatan tentang hubungan dengan pemerintah memuncak apabila kehadiran Abdul Kadir Audah salah seorang pemimpin kubu pro melunakkan hubungan dengan pemerintah dianggap tanda kesediaan al Hudaybi ke arah itu.

Perundingan dan pertemuan dengan pemerintah adalah keperluan bagi setiap jemaah atau organisasi kerana kita mencari suasana yang lebih baik. Al Banna sebelum kematian telah berunding dengan pemerintah. Kematiannya, semasa menunggu untuk berunding dengan pegawai pemerintah di pejabat Syubanul Muslimin. Perundingan dengan pemerintah ada pelbagai sebab, kita sebagai anggota harus memberi kepercayaan kepada pimpinan atas kebijaksanaan mereka. Sebagai ahli bawahan, bukan urusan kita mencampuri urusan rahsia dan urusan tertinggi jemaah. Jemaah ada struktur kuasa yang tersendiri. Malangnya ada dalam kalangan kita ingin bertindak seakan-akan ahli syura jemaah, ingin mengatur parti dan merasakan dirinya lebih baik daripada pemimpin utama.

PAS pernah menghalalkan kemasukkan ke dalam BN dengan dalil-dalil khas Dewan Ulama PAS di bawah pimpinan TGNA pada ketika itu. Pertemuan ‘gelap’ wakil-wakil PAS termasuk yang terbaru di Istana Terengganu bukanlah perkara aneh. Berilah kepercayaan kepada pimpinan, insya Allah kita selamat.

Sedihnya dengan penuh provokasi dan sangkaan yang boleh membawa fitnah, kita membuat tuduhan dan tidak percaya kepada pimpinan walaupun berbuih mulut pimpinan menafikannya. Jadi, kita percaya kepada siapa? Adakah pimpinan parti lain atau pimpinan sewarung kopi kita yang membelanja kita?.

Imam Hassan al Banna syahid semasa berunding, kita pula anti perundingan?. Kita berunding dan bertawakal. Kemungkiran janji musuh walaupun kita dibantai dan tewas, Allah akan membalas sesiapa yang mungkir janji.

Layakkah Hassan al Hudaybi Menjadi Mursyidul Aam Ikhwan?
Sebelum dilantik secara rasmi, Imam Hassan al Hudaybi sememangnya menolak jawatan Mursyidul Aam. Beliau beberapa kali menolak tetapi tidak diizinkan sama ada oleh Dewan Pendiri atau kemenangan dalam pemilihan dengan sokongan majoriti ahli perwakilan. Al Hudaybi dilihat gagal menyatukan Ikhwan dan mengemudi Ikhwan dalam menghadapi pelbagai mehnah.

Menurut Syeikh Muhammad al Ghazali".. .Sebenarnya beliau (al Hudaybi) tidak pernah berupaya untuk memimpin Ikhwanul Muslimin, tetapi Ikhwanlah yang meminta beliau memimpinnya. Ketegasan dan keistiqomahannya berhak untuk diketahui oleh setiap orang. Beliau tidak pernah berkeluh-kesah atau mundur kerana musibah atau ujian.” Bahkan pada tahun 1954, al Hudaybi sendiri pernah menyatakan ‘saya bukan (pilihan) tepat untuk memimpin organisasi ini’.

Kehadiran beliau sebagai pimpinan utama melemahkan disiplin dan kekuasaan pimpinan utama terhadap para anggota jemaah.

Perihal itu harus difikirkan dalam PAS. Adakah TGHH atau Ustaz Nasharudin Mat Isa layak memimpin PAS?. Adakah ahli tidak risau apabila TGHH dan TGNA sudah tiada dan PAS dipimpin oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa?. Apa yang berlaku pada PAS pada era Ustaz Nasha?.

Persoalan ini terjawab pada kekuatan pengaruh Ustaz Nasha dan sokongan majoriti anggota PAS terhadap beliau.

Seperti yang kita tahu, TGHH tidak pernah dicabar dalam pertandingan muktamar. Manakala Ustaz Nasha merupakan calon yang menewaskan Timbalan Presiden PAS sebelum ini iaitu Ustaz Hassan Shukri. Ustaz Nasha juga berjaya mempertahankan jawatannya semasa dicabar oleh puak ulama yang mencalonkan Ketua Dewan Ulama Pusat, Tuan Guru Haron Taib. Muktakhir, beliau berjaya menewaskan pencabarnya dari puak pro profesional, Dato Husam Musa dan aktivis PAS tersohor, Muhammad Sabu. Perkara ini menjelaskan bahawa beliau mendapat dokongan majoriti ahli PAS.

Kemuncak Penentangan
Sejak al Hudaybi menjadi Mursyidul Aam, ketaatan mutlak yang dinamakan wala’ semakin berkurangan. Media digunakan untuk menentang beliau. Jika dianalisis, majoriti ahli Ikhwan bersama al hudaybi. Cuma sekelompok kecil sahaja yang gelisah dan terasa terganggu. Bahkan al Hudaybi berjaya memenangi kembali jawatan Mursyidul Aam pada 8 oktober 1953. Tetapi Al Hudaybi dituduh menyeleweng dalam pengundian ini.

Kemenangan al Hudaybi memberi ruang kepada beliau untuk menyelesai kes Biro Rahsia yang berkuasa di luar pengaruhnya. Pada 20 November 1953, Sayyid Fayiz, pemimpin nombor dua Biro Rahsia yang ingin membuka rahsia keahlian dan penempatan ahli biro telah dibunuh. Pada 22 November, 4 anggota Biro Rahsia Ikhwan telah dipecat. Wartawan cuba mengaitkan pemecatan pemimpin tersebut dengan kematian Fayiz. Tetapi Ikhwan menyatakan mereka dipecat kerana masalah disiplin. Masalah ini bertambah buruk apabila pada malam sebelum diumum pemecatan tersebut, al hudaybi bersama beberapa ahli Dewan Pendiri telah makan bersama Natsir dan pemimpin muda angkatan tentera. Pihak anti Hudaybi mula bertindak.

Seramai 21 pemimpin menziarahi kediaman Mursyidul Aam untuk menyerahkan memorandum agar al Hudaybi meletakkan jawatan. Kemudian mereka menuju dan berkumpul di pejabat agung ikhwan. Mereka bersama 70 orang ahli telah merampas kuasa pejabat agung ikhwan dan mendesak memorandum mereka diterima.

Rampasan kuasa dapat ditamatkan apabila pihak al hudaybi bersetuju menubuhkan suruhanjaya dalam menghakimi semula pemecatan 4 anggota Biro Rahsia. Pada 28 November, satu pertemuan antara pihak bertentangan diadakan. Pada pukul 4.00 petang, al Hudaybi tiba dan disambut meriah oleh majoriti ahli Ikhwan yang berkumpul. Kesempatan ini, baiah terhadap al Hudaybi diadakan semula, dan pemimpin pro al Hudaybi telah mengutuk habis-habisan terhadap pihak anti al hudaybi. Hasilnya, Saleh Asmawi, Muhammad al Ghazali, Sayyid Sabiq dan Abdul Aziz Jalal antara pemimpin anti Hudaybi yang dipecat.[jika tidak silap, Syeikh Yusuf al Qaradawi tergolong dalam kelompok anti Hudaybi]

Kita lihat dua nama besar pada dekad kemudian iaitu Sayid Sabiq pengarang Fiqh Sunnah dan Syeikh Muhammad al Ghazali Pemikir Islam ternama telah dipecat!. Adakah mereka tidak alim atau tidak setia kepada Ikhwan?. Ilmu, jasa, pengorbanan, kesetiaan tidak dapat disangkal tetapi mereka terpaksa dipecat kerana masalah disiplin iaitu tidak akur arahan pimpinan utama dan mempunyai pendapat sendiri dengan menolak pendapat jemaah.

Syeikh Muhammad al Ghazali pernah menulis hubungan beliau dengan al Hudaybi setelah peristiwa itu berlalu menyatakan “Saya menemuinya setelah berbagai musibah berlalu untuk memperbaiki hubungan dengannya. Semoga Allah Ta'ala mengampuni kita semua."

Solusi
Kekuatan sesuatu jemaah bergantung kepada kualiti pemimpin utama, sokongan pimpinan tertinggi atau perwakilan dan sokongan majoriti ahli biasa. Tanpa dokongan ketiga-tiga elemen ini, sudah tentu al Hudaybi akan tumbang setelah diasak oleh segelintir anggota senior yang tidak puas hati dengan kepimpinan beliau.

Keunggulan PAS melalui 3 rangkai pimpinan yang berpengaruh akan berakhir setelah ketiadaan TGFN, TGNA dan TGHH. Ketiga-tiga orang ini mempunyai pengaruh yang besar dalam puak tarbiah, puak siasah dan majoriti ahli dalam PAS. Mereka adalah pemimpin pengasas kepimpinan ulama paling berpengaruh. Dibawah adalah analisis daif daripada saya tentang masa depan tokoh kepimpinan PAS.

a. Ustaz Nasharudin Mat Isa- seorang tokoh yang banyak ilmu tetapi tiada pengaruh besar dalam struktur jemaah. Beliau beruntung mendapat sentuhan tongkat TGFN dan TGHH yang memberi sokongan moral dalam struktur jemaah. Pun begitu, kemenangan dalam pemilihan muktamar boleh menjadi motivasi agar prestasi kepimpinan beliau semakin mantap. Pemilihan yang lepas beliau mendapat dokongan kuat daripada puak tarbiah. Beliau belum teruji tanpa tongkat kepimpinan utama. Secara peribadi, beliau akan jadi Presiden PAS yang lemah jika ahli PAS menolak beliau dan kemungkinan besar untuk dicabar pada jawatan Presiden PAS adalah besar. Keputusan terakhir milik perwakilan muktamar.
b. TG Tuan Ibrahim Tuan Man- seorang pimpinan popular, berilmu, mesra rakyat dan mendapat dokongan majoriti perwakilan. Beliau beberapa kali memenangi undi terbanyak dalam muktamar sehingga akhirnya beliau merangkul jawatan Naib Presiden. Bagi saya, beliau antara pimpinan besar untuk mengantikan TGHH sebagai Presiden.
c. Dato Husam Musa- tokoh berbakat besar, bijak dan mempunyai jaringan persahabatan yang luas. Pun begitu, beliau bukan pimpinan yang digemari oleh puak tarbiah dalam jemaah. Secara peribadi, beliau boleh melangkah ke jawatan Timbalan Presiden.
d. Dato Seri Ir. Nizar- seorang lagi pimpinan berbakat PAS dan mempunyai potensi besar dalam parti dan pakatan rakyat. Tokoh ini boleh sampai ke jawatan Timbalan Presiden PAS.
e. Dr Mujahid Yusof- tokoh yang banyak ilmu dan lebih liberal pendekatannya. Beliau tidak mempunyai pengaruh dalam puak tarbiah mungkin akan merencatkan perjalanan ke jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden. Dalam organisasi, beliau hanyalah teoris tanpa pengalaman. Begitu juga dalam aksi jalanan atau pengalaman dipenjara. Jika perwakilan muktamar berubah corak pemikirannya, beliau adalah Presiden PAS pada masa depan.
f. Salahuddin Ayub – aktivis PAS yang sudah teruji, berbakat, mesra rakyat berjiwa warung. Boleh pergi jauh sampai ke jawatan Timbalan Presiden
g. TG Haron Din- ulama berilmu, popular dan mendapat dokongan puak tarbiah. Usia adalah kekangan.
h. TG Haron Taib- ulama berilmu, berpengaruh dalam puak tarbiah tetapi tidak popular dalam kalangan ahli biasa PAS. Usia dan kesihatan adalah kekangan.
i. Mat Sabu- Mempunyai kekuatan mendaki jawatan Timbalan Presiden tetapi tidak mampu bertahan lama.
j. Dato Mahfuz Omar- Paling tinggi tahap Naib Presiden dan mungkin tumbang dalam pemilihan yang akan datang.

Dalam PAS, persaingan antara puak tarbiah dengan puak siasah akan terus berlaku. Puak tarbiah lebih menganggap PAS adalah gerakan Islam manakala puak siasah menganggap PAS hanya parti politik. Jika dilihat, puak tarbiah kekurangan pimpinan muda yang boleh ditampilkan sebagai Naib Presiden. Penampilan ulama pelapis yang berkonsep-imej-pemikiran Profesional Ustaz(PROTAZ) harus diusahakan. PROTAZ adalah gambaran ulama masa depan. Ulama bukan ditempatkan di masjid tetapi memasjidkan alam. Para agamawan yang berkerja di sektor perbankan, ekonomi, kewangan dan akauntan diharap menjadi ulama pelapis PAS. Secara peribadi, saya mengidamkan PAS dipimpin oleh para agamawan seperti Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Ustaz Mohd Ramadhan Fitri dan Ustaz Nazri Chik.

Thursday, January 13, 2011

Menangani Orang Degil Dalam Jemaah Islam

Manusia berjiwa pemberontak, degil dan keras dalam pendekatan memang terdapat dalam banyak organisasi. Mereka selalu mengusik perjalanan organisasi dengan hujah-hujah dan paling teruk mereka mengancam kestabilan organisasi.

Pemimpin perlu menangani mereka dengan baik sebelum menggunakan pendekatan tegas terhadap mereka. Ikhwanul Muslimin banyak kali menghadapi situasi ini. Antaranya ketika menghadapi fitnah takfir. Setelah tahun 1965, para aktivis Ikhwan dizalimi dengan teruk. Kezaliman ini mewujudkan sekelompok golongan radikal dalam jemaah Ikhwan. Kelompok ini taksub terhadap pendapat-pendapat Sayyid Qutb. Mereka mengkafirkan sesiapa yang tidak disukai mereka.

Imam al Hudaybi dan ulama Ikhwan cuba mengatasi masalah fitnah takfir ini melalui pelbagai dialog dan ceramah tetapi gagal. Golongan ini diseru agar berbaiat kepada pimpinan dan jemaah. Mereka berkata “kami berbai’at untuk mengikuti jemaah kecuali dalam masalah takfir. Hendaklah masalah ini diserahkan pada ijtihad masing-masing orang!”
Imam Hudaybi menjawab “ harus mengikuti jemaah dalam segala hal termasuk masalah takfir. Siapa yang tidak siap berbai’at seperti itu, maka hendaklah mencari jemaah selain Ikhwanul Muslimin!”
Terfikir juga bagaimana ucapan Imam Hudaybi terhadap golongan mempersoalkan perkara yang belum pasti berlaku, mempersoalkan kebijaksanaan pemimpin, mendesak pemimpin mendedahkan rahsia jemaah, memperbodoh dan memperkenakan pimpinan serta melabel pimpinan. Mereka wala’ dan tsiqah kepada pemimpin tertentu bukannya pemimpin utama jemaah bahkan kewala’kan dan ketsiqahan mereka terhadap pemimpin luar lebih tinggi daripada pemimpin sendiri.

Konflik kepimpinan dan percubaan menjatuhkan kepimpinan turut dialami oleh al banna sendiri, begitu al Hudaybi. Dugaan ini menambahkan rencam pengalaman seseorang pemimpin. Betullah ucapan TGNA yang mengatakan golongan ini bagaikan kemuncup dan blogger celaka.

Malam Sebelum al Banna Dibunuh.

Imam Hudaybi merupakan anggota usrah khusus Imam Hassan al Banna. Beliau hanya hadir dalam acara-acara khusus sahaja. Tidak hairan beliau mendapat dokongan kuat daripada para pimpinan utama Ikhwanul Muslimin menjadi Mursyidul Aam setelah kematian al Banna. Al Hudaybi juga merangkap penasihat utama al Banna dan antara penderma yang paling banyak bagi dakwah Ikhwan.

Pada jam 11.00 malam, sebelum al banna dibunuh, al banna datang ke rumah al Hudaybi memberitahu perundingannya dengan pemerintah telah gagal. Hati al Hudaybi gelisah sehingga beliau terasa bibirnya menyebut perkataan pembunuhan. Semasa al Banna hendak pulang, al Hudaybi memeluk al Banna dan menangis bagaikan malam itu malam terakhir bagi kami. Al Banna masih mengukir senyuman seraya mengucapkan.
“katakanlah, sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami” (at Taubah:51)

Esoknya, 12 Februari 1949, Imam Hassan al Banna shahid.

Sejarah Usrah Dalam Ikhwanul Muslimin

Masalah utama setelah pertambahan anggota jemaah ialah kesetiaan ahli terhadap pemimpin dan jemaah Islam. Jika figura pimpinan utama yang berpengaruh seperti Anwar Ibrahim, Imam Hassan al Banna dan al Maududi meninggal dunia atau keluar jemaah, jemaah akan kucar-kacir kerana kesetiaan anggota jemaah kepada figura tersebut sahaja sangat terbatas.

Dalam Ikhwanul Muslimin, bait ukhwah dijadikan senjata awal mengikat kesetiaan anggota. Pada tahun 1936-1937, jumlah keahlian Ikhwanul Muslimin semakin meningkat. Pada peringkat awal, al Banna cuba mempraktik sistem katibah dan melatih 10 orang melalui usrah khusus. Latihan dalam sistem katibah melibatkan latihan fizikal, spiritual dan emosi. Slogan digunakan ialah “bertindak, patuh pada pemimpin dan tenang”. Apapun tujuan baik sistem ini tidak difahami oleh pemimpin dan ahli. Kegagalan ini dilihat apabila sekelompok aktivis Ikhwan belot pada tahun 1938. Paling menonjol pembelotan Mahmud Abu Zaid, editor Majalah An Nadzir.

Semasa Perang Dunia Kedua, keanggotaan Ikhwan semakin bertambah dan tekanan luar semakin mencengkam anggota, masalah kesetiaan menjadi perkara yang tersangat penting. Pada tahun 1943, sistem usrah diwujudkan. Peringkat awal dikenali sistem kerjasama kemudian bertukar kepada sistem usrah. Setiap anggota aktif dalam setiap bahagian dibahagikan menjadi usrah-usrah yang dianggota tidak lebih daripada 10 ahli. Setiap usrah mempunyai seorang Naqib yang mewakili usrahnya semasa bertemu dengan Ketua Bahagian. Setiap Bahagian berperanan sebagai famili. Setiap 4 kelompok famili membentuk ‘asyirah. Setiap 4 ‘asyirah membentuk sebuah grup dan setiap 5 grup membentuk sebuah katibah. Struktur usrah ini adalah nadi utama gerakan Ikhwan terutamanya apabila pimpinan utamanya ditangkap.

Pertemuan diadakan pada setiap minggu dengan modul tertentu melibatkan aktiviti fizikal, ilmiah dan spritual.

Dalam konteks sekarang, usrah menjadi hambar. Kehadiran dalam usrah yang dikatakan hambar ini boleh dijadikan gambaran awal kualiti ahli sesebuah jemaah. Hambar adalah alasan. Tiada alasan dalam menuntut ilmu. Kepahitan ilmu harus ditelan.

Jika ahli tidak berusrah dalam sistem tarbiyyah jemaah, ahli tersebut akan tersesat jalan dan kesetiaan mereka terhadap jemaah dan pimpinan akan tohor.

Jalur Radikal Dalam Jemaah Islam: Daripada Zaman Sayyid Qutb ke Zaman Tuan Guru Haji Hadi

Setelah kematian Imam Hassan al Banna, Ikhwanul Muslimin mengalami konflik kepimpinan apabila Imam Hasan al Hudaybi mengambil alih tampuk tertinggi Ikhwanul Muslimin. Ramai anggota utama Ikhwanul Muslimin dipecat dan mengundur diri ekoran sifat tidak berpuas dengan Mursyidul Aam yang baru.

Sayyid Qutb adalah ahli Ikhwan yang taat kepada Mursyidul Aam, Hasan al Hudhaibi. Beliau merupakan ideolog Ikhwanul Muslimin yang setaraf dengan pengaruhnya dengan Mursyidul Aam. Tetapi beliau tidak berusaha menjatuhkan kepimpinan al Hudaybi. Pemikiran Sayyid Qutb amat digemari oleh golongan muda sehingga ia membentuk jalur yang agak menentang arus perdana Ikhwan. Golongan muda jalur Sayyid Qutb ini sangat radikal sehingga Mursyidul Aam menganggap buah pemikiran radikal itu hanyalah pendapat peribadi beliau bukannya pemikiran rasmi Ikhwanul Muslimin. Setelah tahun 1965, sebahagian besar jalur keras dan radikal ini kembali ke pangkuan arus perdana Ikhwan.

Penyeksaan terhadap Sayyid Qutb sangat dahsyat. Penderitaan yang dialami ini antara faktor ideologi yang dirangsangkan oleh beliau sangat radikal. Penyeksaan mantan wartawan ini lebih teruk daripada penyeksaan terhadap Hasan al Hudhaibi sendiri. Dalam usia 60, beliau mengidap penyakit jantung, radang usus dan ginjal. Namun keadaan ini tidak meringankan penyeksaan yang dihadapinya.

Beliau pernah selama 4 hari tidak diberi makan dan minum. Mereka menyiram air ke badan Sayyid Qutb supaya ia semakin terseksa. Penyeksaan ini hampir meragut penglihatannya. Nasib teruk dilakukan oleh pemerintah terhadap keluarganya. Raf’at Bakar as Syafie, seorang anak saudara Sayyid Qutb telah didera didepan Sayyid Qutb sampai mati. Manakala Azmi saudara lelakinya diseksa hampir menemui ajal. Ibunya, Sayyidah Nafisah Qutb ditahan.

Adik perempuan Sayyid Qutb, Aminah Qutb dan Hamidah Qutb dipenjara dan diseksa dengan teruk bersama Zainab al Ghazali. Mereka dirantah oleh anjing-anjing hampir separuh mati.

Jeneral Ad Dajwi, Ketua Hakim memutuskan Sayyid Qutb bersalah dan dihukum mati tanpa memberi peluang membela diri. Beliau menunjukkan otot kental kepada Sayyid Qutb dan tahanan yang lain. Beliau menuduh Sayyid Qutb pengecut. Tetapi Jeneral ad Dajwi terlupa bahawa beliau bekas tahanan tentera Israel yang pernah meminta maaf dan menangis di radio Israel.

Bila keputusan diumumkan. Sayyid Qutb melafazkan ‘alhamdulillah’. Tercapai hajatnya untuk mati syahid. Pada 29 Ogos 1966, beliau bersama Muhammad Hawwasy dan Abdul Fattah Ismail syahid di tali gantung.

Sayyid Qutb sudah mati tetapi pemikiran dan semangatnya diteruskan oleh anak muda yang mencintai Islam secara keseluruhan.

Di Malaysia, karya tersohornya ‘Petunjuk Sepanjang Jalan’ diusrah dan dikuliahkan. Antara tokoh yang menguliahkannya ialah Ustaz Abdul Hadi Awang (AJK Dewan Pemuda PAS Pusat dan mantan Yang Dipertua ABIM Terengganu) di Masjid Rusila, Terengganu pada tahun 1980-90an. Anak muda yang memukau masyarakat bawahan dan intelektual ini telah mempengaruhi masyarakat terutamanya ahli PAS agar mengamalkan Islam secara keseluruhan seperti yang terkandung dalam al Quran dan hadith sesuai dengan saranan Sayyid Qutb dalam kitabnya. Ustaz Hadi menjadi fenomena ketika itu, kaset didengari ramai termasuk ahli UMNO. Beliau ketika itu dilihat ahli agama, pidatonya tanpa teks serta boleh dibukukan. Inilah keajaiban Ustaz Hadi ketika itu.

Ustaz Hadi merupakan adunan ulama pelapis dan anak muda telah menjadi rujukan utama dalam menumbangkan rejim nasionalis pimpinan Dato Asri. Setelah munculnya gagasan kepimpinan ulama, beliau antara ideolog utama PAS. Pada ketika itu, kekuatan pengaruh politik beliau melangkaui pengaruh Ustaz Nik Abdul Aziz (Ketua Dewan Ulama), Ustaz Yusof Rawa(Yang Dipertua PAS) dan Ustaz Fadhil Noor(Timbalan Yang Dipertua PAS). Pun begitu, Ustaz Hadi tidak cuba merampas kuasa kepimpinan PAS.

Ustaz Hadi digelar pemimpin radikal dan Wahabi kerana kelantangan beliau dalam bab aqidah terutama persoalan batas iman dan kafir. Kritikan keras beliau terhadap sekularisme dan nasionalisme cukup menakutkan parti pemerintah. Kemuncak usaha pemurnian aqidah ini ialah kelahiran Amanat Haji Hadi yang dijadikan senjata pihak tertentu menjatuhkan ustaz Hadi.

Keradikalan ala Sayyid Qutb ini menakutkan para pihak apabila Ustaz Hadi ditokgurukan oleh media PAS, ditaksub oleh pengikutnya serta menjawat jawatan Timbalan Presiden PAS. Setelah kematian TG Fadzil Noor, TGHH tidaklah seradikal yang disangka. Zaman radikal ala Sayyid Qutb telah berakhir dan pendekatan keras Sayyid Qutb tidak sesuai dengan suasana Malaysia.

Dalam era kepimpinan TGHH, PAS Pusat muncul puak yang mahukan perubahan. Golongan ini bukanlah tidak menggunakan pendekatan radikal tetapi liberal. Media massa pro golongan ini telah memunculkan pelbagai istilah yang boleh menghilangkan kepercayaan kepada kepimpinan(baca: melakukan pembunuhan karekter) seperti penguasaan PAS Terengganu, kroni dan Kerajaan Perpaduan. Pada tahun 2011, suasana kembali panas. Mungkin tahun ini diadakan muktamar pemilihan, kita cuba melihat sejauh mana pendekatan kaum liberal ini mencaturkan gerak dalam menundukkan kepimpinan pro ulama.

Turunkan Jeneral-Jeneral Lama?

Anak Muda
Jantan tenaganya
Keras suaranya.

Suara anak muda
Persis ayam bapak
Membangunkan kita dikala awal suboh.

Mahunya
Sentiasa juara, menang dan betul

Anak muda
Tiada salah kecuali melangkah
Kerna akal diekor, semangat di dada

Anak Muda
Semangat memanas badan
Haba menghasilkan kokok yang terhebat
Terasah taji perjuangan
Tapi tak sedar terberak
di jalanan

Saya tersenyum lebar di atas komen dalam sebuah blog agar jeneral-jeneral lama PAS agar berundur. Jeneral-jeneral lama merupakan para pengasas kepimpinan ulama pada tahun 1980an. Pada ketika itu kebanyakan jeneral lama itu kelompok anak muda yang berusia 20an dan 30an. Kini anak muda tersebut tersebut berusia 50an dan 60an.

Tradisi gerakan di dunia dibangkitkan oleh anak muda. Rasulullah SAW semasa dibangkitkan sebagai Nabi dan Rasul pada usia 40an. Satu usia yang matang bagi anak muda. Pada usia 40an, semangat ‘pepsi-cola’ biasanya dirasionalkan oleh akal dan budi.

Tokoh-tokoh gerakan sememangnya terdiri daripada anak muda, al banna, Anwar Ibrahim, maududi, al fateh, che guevara, fidel castro, mao tse tung, Haji Hadi, sukarno, suharto, jose Rizal antara sekelumit contoh.

Memang anak muda adalah tiang perjuangan sesebuah gerakan.

Siapa yang tak kenal Asri Muda dan isterinya pada zaman anak muda. Pejuang kental dalam pelbagai pertubuhan.

Ketika usia senja terutamanya melebihi usia 60an, tenaga idea dan perasaan mula berubah. Rasulullah SAW diwafatkan pada usia 63 tahun dan al Banna dimatikan dalam usia muda. Ketika usia menjangkau 60an, tokoh gerakan atau jeneral lama yang sejati wajar menyerahkan kepada anak muda yang bersemangat seperti mereka seketika dulu. Jika tidak, mereka akan ditumbang. Ini liku-liku tradisi dunia, mahu yang segar dan perkasa.

Mudahnya, berundurlah ketika berusia 63 tahun. Berundurlah tanpa disuruh.

Apabila dah tua, memang berpenyakit walaupun pengaruh masih tebal. Antara penyakitnya ialah cinta akan keluarga, suasana kondusif dan ketumpulan tenaga idea.

Saya bukanlah orang yang bersetuju akan pelantikan Arif Fahmi dan ustaz zaharudin muhammad dalam posisi penting parti dan kerajaan kerana ia membuka pintu fitnah dimana unsur kroni-nepotisme akan dijaja. Tetapi saya masih berbaik sangka kepada para jeneral lama kerana mereka mempunyai kebijaksanaan dan keputusan atau sebab tertentu yang mungkin gagal difikirkan oleh kita. Pun begitu, saya tidak melabel atau mengutuk para jeneral secara terbuka. Kalau saya nak kritik para jeneral lama, saya akan kritik dan kutuk mereka dalam muktamar, mesyuarat dan pertemuan tertutup dengan cara yang paling bersopan.

Para jeneral lama!! Jangan ulangi politik seluar dalam(baca:politik kroni dan nepotisme) ala Dato Asri dan UMNO. Imam Hassan al banna sendiri pernah ditohmah kerana pelantikan ahli keluarga dalam jawatan penting dalam Ikhwanul Muslimin. Said Ramadhan sebagai setiausaha peribadi, Ustaz Abdul Hakim Abidin sebagai Setiusaha Agung dan Abdul Rahman al Banna sebagai AJK utama Ikhwan.

Anwar Ibrahim juga jeneral lama yang mula ‘keliru’ dalam landasan pemikirannya. Islamisme beliau semakin herot dalam aksi politiknya. Usianya sudah 60an sebaris dengan usia para jeneral lama PAS, pun begitu pengaruhnya masih tebal kerana aura beliau memang teristimewa.


PAS beruntung, semasa kepimpinan ulama digagas, anak muda seperti Khalid Samad dan Husam Musa mendokongi parti. Anak muda berharaki seperti mereka yang tidak mengikut Anwar semasa sahabat-sahabat muda mereka mula membuntuti Anwar. Kini usia golongan anak muda seusia Khalid Samad dan Husam Musa hampir juga tamat tempoh seperti para jeneral lama. Usia golongan seusia mereka masih berpeluang berkuasa tidak sampai 10 tahun lagi. Mereka tentu bersedia nak menjadi golongan lama.

Sebagai cadangan, usia kepimpinan tertinggi kecuali ahli Majlis Syura Ulama diwajibkan bawah usia 63 tahun. Dan Presiden hanya boleh memegang tampuk kekuasaannya selama 12-15 tahun sahaja. Mursyidul Aam pula di bawah usia 70 tahun. Ustaz Mahdi Akef memberi laluan kepada Muhammad Badie sebagai Mursyidul Aam Baru. Pertukaran pimpinan yang masih hidup bukanlah masalah. Cuma pemimpin tersebut jangan bersifat macam Lee Kuan Yew dan Tun Dr Mahathir yang menganggu organisasi yang ditinggalkan.

Adakah jeneral jeneral lama akan senasib dengan Dato Asri?

Allah SWT sahaja yang tahu.

Apapun, anak muda akan terus berkokok selagi tidak tua dan kiamat. Moga kokokkan tidak bersama tahi yang terberak ekoran kepanasan semangat badannya.

Menumbang Kepimpinan Ulama?

Gagasan kepimpinan ulama adalah idea perubahan yang dibawa oleh kelompok ulama dan anak muda dalam PAS. Kelompok ulama dan anak muda menentang polisi rejim nasionalis Dato Asri yang melantik sekutunya yang tewas sebagai pemimpin utama parti, ingin kembali kepada BN dan beberapa lagi masalah rejim Dato Asri. Kemenangan kelompok pejuang rakyat pro ulama di Iran memberi inspirasi menumbang rejim Dato Asri.

Bagi saya, nasionalisme dalam PAS bukanlah bawaan Dato Asri. Nasionalisme dalam PAS adalah warisan pemimpin terdahulu yang berjuang dalam era penjajah. Nasionalisme digunakan dengan hubung-jalin Islam dalam usaha memerdekakan negara. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Malaysia terkena tempias kebangkitan Islam. Amalan kesyumulan Islam dalam kalangan anak muda mula membiak baik. Idea-idea Ikhwanul Muslimin dan Jamaati Islami mula disebar benih. Di sinilah, munculnya ABIM.

Pada era 1970an, gerakan Islam di negara kita masih menunggang wasilah ‘nasionalisme Islam’. PAS, ABIM, PKPIM, PMIUM dan PBMUM serta Majlis Belia Malaysia masih memperjuangkan isu-isu bangsa Melayu dan Islam. Di bawah kepimpinan nasionalis Islam, Dato Asri memimpin PAS dengan baik sehingga ada yang mengatakan PAS adalah Asri, Asri adalah PAS.

Penyertaan PAS dalam kerajaan campuran pada tahun 1972 dan kerajaan BN pada tahun 1974 menyebabkan perbalahan besar dalam PAS. Dalam muktamar 1974, seramai 354 orang yang hadir, 143 menyokong, 19 berkecuali dan 190 menentang. Tetapi Dato Asri memilih untuk kekal bersama dalam kerajaan BN. Ramai pimpinan utama PAS seperti Ustaz Abu Bakar Hamzah dan Amaludin Darus keluar parti dan ada juga yang bertawaquf daripada PAS.

Pada tahun 1979, era nasionalisme Islam harus ditamatkan. Faktor semerta berakhirnya nasionalisme dalam PAS ialah kemenangan pejuang rakyat pro ulama dalam Revolusi Iran menumbangkan Shah Iran yang pro Amerika. Sebenarnya, pada awal tahun 1970an, kaum ulama dalam PAS merasai gelisah dengan polisi politik dan kelakuan pemimpin nasionalis dalam PAS. Suara ini pernah dinyatakan oleh Ustaz Abu Bakar Hamzah, mantan Ketua Pemuda PAS apabila mengkritik kepimpinan Dato Asri dengan membangkitkan isu ‘pemimpin buta al Quran’ dalam PAS. Begitu juga pemimpin PAS yang sangat kuat merokok. Kegelisahan ini memuncak apabila Dewan Ulama dipimpin oleh Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Setelah PAS ditendang oleh BN, PAS mengalami kekalahan teruk dalam piliharaya 1978. Pemimpin siasah Islam Indonesia mengirim surat kepada Dato Asri supaya menerima tokoh-tokoh ABIM. Antara tokoh ABIM yang dibawa masuk ialah Ustaz Fadzil Nor(Timbalan Presiden ABIM), Ustaz Nakhaie(Naib Presiden ABIM), Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman (Bendahari ABIM), Ustaz Abdul Hadi(Yang Dipertua ABIM Terengganu) dan Ustaz Yahya Othman(Ahli Majlis Syura ABIM). Dalam masa PAS menunggu kemasukan Presiden ABIM, Anwar Ibrahim ke dalam PAS, tiba-tiba Anwar masuk UMNO.

Kepulangan ulama muda dari luar negara dan pengimportan tokoh-tokoh muda ABIM ke dalam PAS menggerakkan usaha memurnikan kembali PAS dengan wadah Islam yang syumul. Program pentarbiyahan rancak dijalankan. Usrah dan kuliah jumaat diadakan. Menurut Ustaz Yahya Othman, Murabbi PAS dan mantan Ahli Majlis Syura ABIM, usaha pentarbiyahan mempercepatkan kesedaran terhadap keperluan PAS dipimpin oleh ulama.

Apabila tercetus Revolusi Iran, Dewan Pemuda PAS pimpinan Mustafa Ali bersemangat menyokong kaum ulama dan ulama muda. Inspirasi Revolusi Iran ini memberi kekuatan bagi Dewan Pemuda menumbangkan kepimpinan Nasionalis dalam PAS yang bermasalah dan tidak popular. Apabila kem pro nasionalis tewas, Dato Asri meletakkan jawatan.
Kemasukkan Anwar Ibrahim dalam UMNO menyebabkan ramai tokoh ABIM yang pro ulama masuk PAS dan ABIM dipimpin oleh Ustaz Siddiq Fadzil yang berjaya mempercantikkan konsep Nasionalisme Islam. PAS secara rasminya membersihkan unsur nasionalisme daripada batang tubuhnya pada 23 Oktober 1982 dimulakan dengan Dewan Pemuda.

Faktor Kepimpinan Ulama akan tumbang
Prestasi Pemimpin
Prestasi pemimpin menjadi indek dalam menilai kemantapan sebuah organisasi. Pada zaman ICT, ahli parti akan menilai gerak kerja pimpinan, gaya hidup dan pemikiran pemimpin. Oleh itu, pemimpin PAS tidak harus mengharapkan konsep wala’ dan tsiqah melindungi batang tubuh mereka. Mereka harus pantas bersaing menunjukkan kebolehan dalam memimpin, penampilan menarik, idea bernas mendahului zaman dan bersikap ‘fiqh’ realiti semasa. Jika pemimpin pro ulama atau para ulama tidak mahu menunjukkan prestasi tinggi, maka bersiap siaga untuk tidak dilantik dalam muktamar bahkan tidak mustahil konsep kepimpinan ulama menghadapi transformasi atau terus terkubur kerana tiada sinergi menghadapi zaman dengan prestasi yang amat minima.

Kelesuan Tarbiyyah: Zaman Usrah Sudah Berakhir?
Usrah merupakan antara wasilah utama dalam pentarbiyyahan PAS. Impaknya sangat besar. Apabila kebanyakkan pemimpin Ikhwan Mesir dipenjara dan melarikan diri ke luar negara, Ikhwan hidup bernyawakan usrah. Walau bagaimanapun, usrah pada zaman sekarang sangat lesu dan tempang. Orang lebih selesa berusrah di restoran.

Keahlian PAS berasaskan kuantiti ahli dimana PAS memerlukan undi. Hadir atau tidak, ahli PAS tidak akan dipecat!. Tidak seperti jemaah Islam tertentu yang mementingkan kualiti ahli dimana jemaah tersebut akan membuang ahli yang tidak menghadiri usrah.
PAS wajar mencari wasilah baru untuk pentarbiyyahan mereka. Tanpa wasilah pentarbiyyahan, PAS akan mengalami ‘strok’. Saya mencadangkan pimpinan PAS agar melapangkan masanya selama 3 hari dalam sebulan di masjid-masjid seluruh negara.

Dalam masa tiga hari ini, lakukan aktiviti daurah al Quran, daurah hadith, halaqah fardu ain, halaqah sirah dan halaqah kajian rukun baiah. Selepas Asar adakan ziarah pintu ke pintu. Ingat! Jangan bercakap tentang PAS tetapi tentang kesyumulan Islam. Setiap kumpulan disertai 10 orang termasuk seorang pemimpin dan seorang ustaz sebagai pembimbing. Bayangkan TG Nik Aziz ‘berkelana’ selama tiga hari di sebuah masjid. Orang akan tertarik dengan budaya hidup tok guru. Bayangkan rumah anda diziarahi oleh TG Haron Din atau TG Ismail Kamus.

Membuat Keputusan
Pada zaman ICT, komunikasi dan akses informasi terlampau pantas. Kerahsiaan bukan lagi menjadi rahsia. Ia boleh bocor. Oleh itu pemimpin harus membuat keputusan dengan bijak tanpa mengasari hati sahabat yang lain.

Dalam PAS, keputusan paling tinggi ialah keputusan muktamar. Semua pimpinan termasuk Presiden dan Mursyidul Aam wajib mematuhinya. Mungkin berlaku khilaf dalam penafsiran keputusan muktamar. Bermesyuarat sebelum menyatakan pendapat bukannya gila mengeluarkan pendapat. Kebiasaannya dalam sesebuah organisasi, hanya pendapat presiden dan setiausaha agung yang dinyatakan dalam sidang media boleh diterima sebagai pendapat rasmi sesebuah organisasi.

Kaum ‘Jiwa Pemberontak’ Dalam Parti

Kaum ‘jiwa pemberontak’ adalah kemuncup dalam sesebuah gerakan. Mereka bukan musuh, mereka adalah sahabat yang kegatalan dan suka mencuit kepimpinan. Mereka banyak idea, terlampau bersemangat, tak sabar nak menang, tergesa-gesa dalam melangkah dan menjadi ‘bahasa perantaraan kedua’ bagi pihak yang tak berpuas hati keputusan mesyuarat atau pendapat pimpinan lain.

Tuan Guru Fadzil Nor mengelarkan diri mereka sebagai ‘budak nakal’. Tuan Guru Haji Hadi memanggil mereka bersemangat ‘pepsi cola’.

Mereka mudah dikesan dalam tulisan yang tidak puas hati dengan pemimpin, mengkritik parti dan mudah melabel pada seseorang pemimpin. Antara label terkenal ialah ‘ustaz din ayam’, ulama kepala lutut dan pelbagai label[teringat ayat 11 surah al Hujurat]. Mereka cuba mengagaskan perubahan yang dirasakan perlu tetapi tidak dapat sokongan popular. Akhirnya, mereka mabuk dengan akal-budi sendiri sehingga hampir terbabas daripada landasan perjuangan.

Bagi penulis, mereka melakukan ijtihad tetapi tersalah dan menggunakan pendapat minoriti untuk ‘merampas kuasa’ kepimpinan. Mereka mahu majoriti memenuhi hasrat mereka dan mereka tidak berjaya. Sewajarnya, jika pendapat kita minoriti, kita harus akur kepada pendapat majoriti selagi pendapat majoriti tidak melanggari al Quran dan sunnah. Jika tidak, mereka harus keluar parti atau bertawaquf.

Kehadiran Pemimpin Ekspres
Penghijrahan ramai manusia yang pelbagai latar belakang mengusarkan akan niat mereka. Kita tahu orang terbaik pada zaman jahiliah adalah orang terbaik pada zaman Islam. Cuma bersikap berhati-hati sangat perlu.

Mungkin kita tak tahu orang pro Islam secara tersembunyi pada zaman jahiliahnya. Perkara ini berlaku pada Imam Hassan al Hudaybi, anak didik Imam Hassan al Banna secara rahsia. Kehadiran al Hudaybi sebagai seorang pemimpin tertinggi amat mengejutkan. Di Malaysia kita dikejutkan bahawa Prof Ahmad Ibrahim dan Aminuddin Baki adalah pro PAS. Pun begitu, Imam Hudaybi adalah ahli usrah khusus dan menyertai aktiviti khusus bersama al Banna. Beliau juga adalah penasihat dalaman al Banna.

Dulu, siapa yang nak menjadi pemimpin PAS yang bakal menutup pintu rezekinya. Tetapi kini, ramai orang berebut nak jadi pimpinan. Kehadiran pemimpin ekspress harus dibimbangi. Dato Asri pernah melantik mantan tokoh UMNO yang tewas dalam pemilihan parti sebagai Bendahari PAS tahun 1982. Selepas zaman reformasi 1998, ramai profesional dan para pimpinan pro BN masuk PAS. PAS harus berhati-hati memberi kepercayaan kepada orang baru berjinak dengan jemaah kerana bukan daripada asuhan usrah PAS. Pelantikkan Dr. Hassan Ali sebagai YB dan Pesuruhanjaya PAS Negeri [kita akui ia hak presiden] sebagai contoh perlu berhati-hati kerana beliau lain terlalu pantas dalam struktur organisasi ala ‘anwar’. Begitu juga kehadiran, Ir Saari Sungip yang dulunya ahli Parti Keadilan Nasional dan idealog Jemaah Islah Malaysia terus diberi ruang begitu ekspress dalam kepimpinan PAS.

Penghayatan Rukun Ba’iah
Ahli PAS semakin lupa menghayati rukun baiah. Rukun baiah mengandungi ramuan rahsia kejayaan sesebuah gerakan Islam. Ia adalah satu pemurnian terhadap pegangan ahli agar tidak celaru dalam fikrah.

Jika mereka benar-benar ikhlas berjuang untuk jemaah Islam, mereka akan melazimi rukun baiah. Dan mencari titik keikhlasan pada zaman ini memang sukar.

Solusi
Para ulama harus lebih terbuka dalam mendefinisikan konsep ulama agar ulama bukan hanya dalam kalangan agamawan tetapi manusia yang berilmu dan faham Islam serta mengamalkan Islam secara syumul dan istiqamah dengan perasaan takut kepada Allah SWT. Ulama pelapis juga harus dimantapkan lagi pengalaman dalam organisasi dan bidang profesional.

Golongan Reformis Dalam Organisasi

Dalam setiap organisasi pasti ada konflik dalaman antara puak A dengan puak B, antara kaum tua dengan kaum muda atau puak memegang kuasa dengan reformis. Bagi saya, konflik dalaman ini perlu diraikan dalam ruang keterbukaan dan saling menghormati antara satu sama lain. Kita perlu jelas, politik itu harus bersifat budiman dan penyelesaian perlukan kebersamaan. Takwilan diluar mesyuarat harus dielakkan. Kerahsiaan dalaman perlu dijaga dan tangan –mulut perlu dibisukan dalam upacara ruang awam. konflik dalaman ini harus bersifat intelektual dengan hujah bukan menjurus ke arah perpecahan dengan pegangan emosi. Kita harus galakkan perbedaan dan kita harus tangani perbedaan dengan hikmah.

Jauhi kesombongan
Si tua, sayangilah si muda
Si muda, hormatilah si tua

Halangan si tua kerana sifat berhati-hati
Kehendak si muda kerana semangat membara
Dua perbedaan jika bersatu ikatan sakti jawabnya

Rendah dirimu
Jangan disangka dirimu bijak
Bijaknya bukan di situ tapi disana
Jauh ke depan dengan teropong sejarah, bukan sekeping semangat

Selesai kita bukan disini
Selesai kita dengan musyawarah dan bersyura
Selesai kita menyanggupi solusi syura
Buang segala pendapat peribadi
Junjung kita semangat disolusi

Dalam organisasi, ada kelompok reformis. Kebiasaannya golongan reformis membawa agenda perubahan dan baru. Mereka ada ilmu, ada hujah, ada semangat dan kurang pengalaman(walaupun mendakwa sudah cukup pengalaman). Kehadiran mereka mengelisahkan kelompok tua dalam organisasi yang biasanya memegang kuasa. Kaum tua ini menyatakan reformis perosak fikrah, mabuk semangat ketergesa-gesaan. Manhaj kita dah bagus, Cuma kamu perlu laksanakannya, bilang kaum tua kepada reformis.

Sewajarnya kaum tua membuka ruang kepada kaum reformis untuk membentang hujah. Dalam ruang ini kaum tua perlu berhujah bukannya mematikan hujah dengan ‘ini telah diputuskan’ atau memaksa kaum reformis menerima keputusan yang telah diputuskan. Kaum reformis ini memerlukan hujah rasional daripada kaum tua sebelum mereka bertindak. Saya percaya jika hujah itu baik, kaum reformis tiada masalah untuk menerimanya.

Jika penyelesaian tidak dapat diputuskan, saya mencadangkan pihak bertentangan berperanglah dalam ruang demokrasi. Berkelahi secara bertanding dalam muktamar pemilihan. Biar majority ahli memilih sama ada mahu perubahan atau kekal di takuk lama.

Pada awal 1980an, PMIUM pernah mengalami krisis besar apabila Anwar Ibrahim mengkhianati perjuangan gerakan Islam. Kesedihan melanda kampus. Pada waktu itu, ABIM yang bersyumulkan Islam itu lebih berselera bersama Anwar dan UMNO. Akhirnya ramai pimpinan ABIM berhijrah ke dalam PAS. Di kampus, kumpulan pro ulama muncul bagi menangani kaum tua ABIM. Akhirnya, syura tidak dapat berfungsi, keputusan diputuskan dalam ruang demokrasi. Kaum tua ABIM telah tewas, kumpulan pro ulama berjaya menguasai PMIUM sehingga ke hari ini. Dendam kesumat ini sampai sekarang masih menyengat sehingga menjadi fobia dalam hubungan ABIM, PKPIM, PKPIM-UM dengan PMIUM-GAMIS.

Saya secara peribadi, manhaj perjuangan sudah ada. Dari zaman nabi sehingga zaman sekarang, ia sentiasa dikemas-kini oleh para mujaddid. Reformis muda boleh melakukannya selagi tidak menyalahi al Quran dan hadith. Ia ibarat rumah. Rumah itu tidak perlu diroboh tetapi perlu dibaiki agar sentiasa segar dan cantik.

Gerak perubahan dalam jemaah harus ditangani dengan baik. Pertama syura dan kedua ruang demokrasi. Bersediakah reformis berjuang dalam ruang demokrasi?. Kita tunggu dan lihat.

Tambahan

a. Proses interaksi di antara kaum tua dengan kelompok reformis harus dipertingkatkan. Jangan sesekali ada lompang di antara mereka. Siapakah yang memulakan langkah komunikasi ini?. Jawapannya mestilah kaum reformis sebagai tanda mereka menghormati kaum tua.

b. Suara kaum reformis dalam PMIUM sebagai contoh sangat bersinergi. Jika tidak silap, mereka mempunyai 4 wakil dalam Majlis Syura Kampus jika dikira daripada amir, amirah, mantan amir dan mantan amirah mereka. Gerak perubahan dari zaman saudara Nazree hingga kini seharusnya menjadikan kelompok ini lebih perkasa suaranya. Jangan mengaum di luar tetapi mengaum dalam MSK dengan hujah rasional dan kuat.

Kepimpinan PAS Baru: Gelombang Perubahan yang Meresahkan?

Kaum Muda PAS, Kaum Ulama dan kelompok muda jemaah Islam (Suara Islam, ABIM, IRC tetapi didominasi oleh ABIM) telah menumbangkan rejim Dato Asri dalam PAS pada tahun 1980an. Polisi Dato Asri, sifat tikam BN, politik ‘seluar dalam’(baca: anak beranak) dan kemahuan perubahan kepada yang lebih Islami oleh kaum muda antara sebab gelombang perubahan secara revolusi dalam kepimpinan PAS.

Kumpulan pro ulama menjatuhkan rejim Dato Asri dengan cara bersih iaitu menggunakan muktamar yang sah mengikut perlembagaan PAS. Ramai pemimpin daripada kem Dato Asri tewas. Walau bagaimanapun, Dato Asri menggunakan kuasa Presiden untuk melantik orang yang tewas ke jawatan penting parti. Setiap perubahan yang mahu dilakukan mesti melalui muktamar bukannya menggunakan kuasa mutlak Presiden.

Saya melihat kepimpinan PAS sekarang terbahagi beberapa kelompok. Pertama, Pendokong awal Gagasan Kepimpinan Ulama. Saya membahagikan kelompok mengikut generasi bukannya kelompok idea atau tokoh. Kelompok pertama terdiri daripada 2 penanda aras. Penanda aras pertama dalam lingkungan usia 60-70 tahun sekarang. Penanda aras kedua, lingkungan usia 50-59 tahun. Penanda aras kedua terdiri daripada ahli-ahli muda dalam Dewan Pemuda PAS ketika itu.

Kelompok kedua, lingkungan usia 40an. Generasi ini bukanlah perintis gelombang kepimpinan ulama tetapi berada pada zaman pemantapan tarbiyyah berasaskan aqidah perjuangan. Pada era 1980an ini juga, mehnah perjuangan jemaah Islam cukup mencabar. Pihak pemerintah mengunakan pelbagai pendekatan kekerasan. Paling teruk ialah pembantaian kampung Memali dan syahidnya Ustaz Ibrahim Libya. Ada dalam kalangan mereka mendapat didikan luar negara. Antara tokoh pimpinan dalam kelompok ini ialah Dr Mujahid Yusof.

Kelompok ketiga, lingkungan usia 30an. Lingkungan awal terpengaruh dengan kesinambungan zaman tarbiah akhir 1980an. Manakala lingkungan akhir pula terpengaruh dengan zaman reformasi pada tahun 1998.

Kelompok keempat, lingkungan usia 20an. Lingkungan ini lebih ‘liberal’ fikrah perjuangannya. Kemajuan akses maklumat melalui internet menjadikan komunikasi dan penyebaran informasi begitu pantas. Keselesaan zaman telah menyebabkan ramai dalam kalangan mereka mempunyai unsur-unsur material, aku lebih hebat, pangkat dan glamour menguasai diri. Pelbagai idea yang mewujudkan kem-kem pejuangan tertentu sehingga mengimport fahaman luar ke dalam jemaah. Fahaman luar yang rencam menyebabkan keliberalan dalam pemikiran dan penampilan serta berbudaya. Tarbiyah golongan ini longgar dan sistem pentarbiahan pada lingkungan ini agak tempang.

Momentum Perubahan yang Mendatar:

Persaingan Tradisi Kelompok Jemaah Islam. Ramai anak muda terpengaruh dengan ahli-ahli jemaah yang kononnya ingin membawa perubahan dalam jemaah. Kebanyakan mereka ialah golongan profesional yang berbakat tetapi tiada pengaruh besar dalam jemaah. Jawatan mereka kebanyakkan hasil lantikan bukan dipilih kerana tiada sokongan akar umbi jemaah[sejak kebelakangan ini generasi muda terutamanya mantan mahasiswa mula menyokong golongan ini]. Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan mudah menonjolkan diri kepada anak muda lulusan varsiti sekaligus menarik sokongan mantan penggerak mahasiswa untuk bersama mereka.

Mereka bukanlah musuh tetapi mempunyai ‘faham’ , pendekatan dan pendapat yang berbeza. Apabila anak muda lepasan varsiti terlopong dengan gagasan mereka, anak muda ini mula bersifat lebih ekstrem dengan mengkritik tanpa idea membina, bahkan mengutuk secara terbuka pimpinan jemaah. Konsep beradab dan tsiqah terhadap kepimpinan senior tidak ditekuni.

Ingatlah anak muda, golongan ini adalah kelompok tradisi yang telah lama bersaing untuk mendapat kuasa dalam jemaah. Mereka terdiri daripada penanda kedua kelompok pertama iaitu mantan pimpinan jemaah seperti Suara Islam dan IRC. Mereka cuba mengurangkan dominasi kaum muda PAS dan juak ABIM dalam kepimpinan jemaah. Timbalan Yang Dipertua(ustaz fadzil nor), Naib Yang Dipertua(ustaz nakhaei dan ustaz abdul hadi), Setiausaha Agung dan bendahari agung (syed ibrahim syed abdul rahman) dikuasai oleh juak ABIM manakala kaum muda PAS seperti Mustafa Ali dan Subky Latif menguasai Dewan Pemuda PAS.Yang Dipertua dan Ketua Dewan Ulama dijawat oleh kaum ulama.

Cubalah kaji sejarah pertandingan jawatan parti oleh tokoh-tokoh jemaah tersebut. Siapa yang mencabar mereka. Dan persaingan ini dijangka berterusan.
Ketiadaan Ikon Alternatif. Dalam usaha mengadakan perubahan kepimpinan dalam jemaah, pihak yang pro perubahan harus menyediakan ikon-ikon alternatif. Sejarah membuktikan, kelompok muda PAS hampir mencalonkan Ustaz Yusuf Rawa untuk pertandingan Yang Dipertua, kemudian jawatan lain dibarisi oleh tokoh-tokoh berbakat seperti ustaz abdul hadi, ustaz nakhaie, ustaz fadhil nor dan mustafa ali. Ini barulah dikatakan citra perubahan dimana kita menyediakan barisan kepimpinan alternatif.

Idea perubahan hanya dimenangi oleh Tukang Cakap-Tukang Tulis. Perubahan yang dicanang hanya dilontar oleh golongan yang terlebih sayang dan terlebih bijak dalam PAS. Ia tidak bersifat merakyat. Kutukan dan kritikan dalam media tidak cukup. Idea perubahan haruslah merakyat dan menjadi suara perwakilan di muktamar. Biar muktamar memutuskan peralihan kuasa dan perubahan yang diingini. Golongan pro perubahan harus menjadi pimpinan yang berpengaruh dan berjiwa rakyat. Tidak cukup berbual kedai kopi. Apabila anda menjadi pimpinan, barulah ada kuasa membulatkan keputusan.
Kita faham tentang semangat, perasaan dan kehendak anak muda. Perjuangan Islam memang terhasil daripada gerak-idea anak muda. Kepimpinan ulama dalam PAS terhasil daripada sokongan anak muda. Perjuangan REFORMASI akan longlai tanpa anak muda. Cuma anak muda perlu bersabar dalam bertindak. Kemenangan ini bukan semestinya pada zaman kamu, berjuanglah dengan penuh sabar dan beradab.

Menurut TGHH, tidak cukup pemimpin muda bertenaga sahaja tetapi pemimpin mestilah berpengaruh(rujuk Harakah13-16 Disember 2010). Tanpa kekuatan pengaruh, pemimpin yang muda bertenaga dan beridealis tidak akan ke mana. Anak muda terutamanya ulama pelapis harus membina imej dan pengaruh dalam komuniti. Menurut Dato Husam Musa, ulama perlu diasuh menjadi ikon masyarakat setempat dan perlu mempunyai pusat pengajian agama dalam sesebuah komuniti(pertemuan tertutup sempena Muktamar Pemuda PAS Sabah 2009). Kita cuba melihat kejayaan media PAS membina imej ‘tok guru’ kepada ustaz Nik Aziz dan ustaz hadi (malangnya ia boleh menjadi pemujaan terlampau dan membenih budaya taksub). Ustaz Hadi selaku ulama pelapis pada tahun 1980an mempunyai ‘kubu’ kuliahnya di Masjid Rusila, Terengganu dan Masjid Mujahidin di Selangor. Impak imej dan pusat pengajian ini juga berlaku dalam al Arqam dimana ustaz Ashaari melakukan kuliah pengajian fardu ainnya di sungai Penchala.

Anak muda harus meluruskan perjuangan kepada landasan yang betul. Perjuangan bukanlah berasaskan pandangan popular tetapi pandangan yang benar. Jangan menganggap kepimpinan hari ini dihinggapi kelemahan ekoran usia mereka dan anggapan mereka tidak popular. Ingatlah, selagi tokoh-tokoh dakwah memimpin jemaah dengan aturan al Quran dan hadith, wala’lah kepada mereka walaupun mereka dihina dan dikutuk orang. Dugaan yang paling besar bagi seseorang pengikut ialah kesanggupan mengikut arahan pimpinan.

Pasca TGHH yang Meresahkan: Persaingan Kuasa

PAS mempunyai ramai pimpinan berbakat untuk meneruskan legasi kepimpinan ulama. Cuma, PAS harus mencipta suasana persaingan kuasa secara sihat dimana jawatan dipertandingkan secara syura. Jika tidak dapat diselesaikan, proses pertandingan secara ‘demokrasi’ harus diadakan.

Persoalan yang timbul, adakah ada kem-kem berasaskan tokoh atau kumpulan dalam PAS dan kesanggupan mereka yang kalah menerima kekalahan. Pengalaman pemilihan Dewan Muslimah cukup menarik, pertandingan hampir diadakan semua muktamar Dewan Muslimah. Bahkan, ada satu tempoh, setiap penggal ketuanya bertukar. Jika keterbukaan ini diamalkan, nescaya PAS tidak akan berpecah.

Kekurangan tokoh-tokoh berpengaruh yang merakyat seperti TGNA, TGHH dan TGFN dilihat merunsingkan ahli PAS. Dulu, orang menganggap PAS adalah Asri, Asri adalah PAS. Tetapi Dato Asri sendiri ditumbangkan dan muncul ramai pimpinan baru. Subky Latif pernah menulis pada tahun 1980an, orang yang wajar memimpin PAS selepas Dato Asri ialah Tuan Guru Haron Din, Dr Sanusi Daeng Mariok dan Anwar Ibrahim. Jika jawatan Presiden PAS dipegang oleh pemimpin yang tidak berpengaruh, jawatan ini akan terus dicabar. Sejauh manakah kuatnya pengaruh Ustaz Nasharuddin Mat Isa dalam menghadapi lawannya dalam pemilihan muktamar?.

Pengalaman Ikhwanul Muslimin, mereka melantik ahli Ikhwan yang merahsiakan identiti sebagai Mursyidul Aam iaitu Ustaz Hudaybi. Ikhwan mengalami pengolakkan dan perpecahan yang membersih Ikhwan daripada ahli-ahli yang tidak setia dan tidak setuju dengan pemilihan beliau. PAS sendiri berlaku perpecahan yang besar pada tahun 1982. Tokoh-tokoh utama seperti Dato Asri keluar parti dan muncul parti serpihan seperti BERJASA dan HAMIM. Menurut Dr Dzulkifli Ahmad, semua parti-parti politik ketika mengalami pemilihan dalam parti, akan juga sekaligus berdepan dengan keadaan dan situasi kedudukan dari segi perpaduan parti dalam keadaan yang paling lemah.Ekoran perpecahan itu, PAS mengalami kekalahan yang teruk dalam pilihanraya umum. Daripada situ, PAS bangkit perlahan-lahan melalui pentarbiyahan, penerangan dan polisi baru.

PAS sendiri dikejutkan dengan ‘fenomena keajaiban Nizar’ dimana beliau tiba-tiba muncul dengan kualiti diri yang baik dan berbakat. Tidak disangka PAS mempunyai ramai pemimpin berpotensi tetapi bertindak di sebalik tabir. Mereka banyak berfikir dan bekerja tetapi kurang menonjol diri dan kurang bercakap. Mereka akan tiba-tiba muncul untuk mengisi kemenangan.

Bagi penulis, PAS boleh menyerahkan penganti legasi pimpinan ini kepada perwakilan muktamar.

Kefahaman Konsep Kepimpinan Ulama
Setiap ahli jemaah harus menjernihkan kembali pengertian ulama. Ulama bukannya hanya lulusan agama tetapi insan yang berusaha untuk mendapat ilmu-ilmu keIslaman dan mengamalkannya secara istiqamah. Menurut Ir Khalid Samad, ulama selaku pengasas kepimpinan ulama pada tahun 1980an menyatakan golongan profesional yang memahami dan menghayati Islam juga diiktiraf sebagai ‘ilmuan Islam’ ataupun Ulama’. Namun, tafsiran ini tidak dipersetujui kerana orang seperti Dr Mahathir akan mengatakan dirinya juga seorang ulama. Maka, ukuran definisi ulama ialah mendapat pendidikan agama.

Pemimpin PAS seperti Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Yusuf Rawa dan Tuan Guru Fadhil Nor sering kali cuba menjernihkan definisi ulama daripada pendefinisian sempit dalam tulisan dan ceramah mereka. Manakala pimpinan seperti Tuan Guru Haji Hadi, Tuan Guru Haron Taib dan Tuan Guru Harun Din jarang sekali dilihat menyatakan pendefinisian ulama secara luas.

Langkah pertama meluaskan pendefinisian kepimpinan ulama ialah penjenamaan kembali Dewan Ulama. Dewan Ulama harus dikenali Dewan Ulama dan Intelektual seperti yang digagaskan oleh Tuan Guru Yusuf Rawa pada tahun 1983. Perubahan Dewan Ulama kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam juga bertujuan untuk memadukan Ulama dan intelektual Islam sekaligus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud di kalangan mereka dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing- masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisma yang memisahkan ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu dihapuskan.(kamaruddin Jaafar).

Langkah kedua ialah bersedia melantik ‘ulama profesional’ sebagai Presiden PAS. Jika dilihat Ikhwanul Muslimin, HAMAS, Partai Keadilan Sejahtera Indonsia dan Jamaati Islami, pimpinan mereka terdiri daripada ‘ulama profesional’. Dalam PAS, kita ada tokoh-tokoh yang dikategorikan ‘profesional ulama’ seperti Dr Dzulkifli, Dr Mujahid, Dr Mariah, Ir Saari Sunggip, Ir Mohd Nizar dan Dato Husam Musa. Paling beruntung, PAS mempunyai kader ulama professional pelapis yang mantap seperti Ustaz Mohd Ramadhan Fitri, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman dan Ustaz Nazri Chik. Kader ini bukan sahaja ahli dalam bidang agama tetapi terdedah dengan dunia pengurusan perbankan dan professional.

Kita perlu bersedia menerima Presiden daripada bukan aliran agama. TG Nik Aziz pernah menyifatkan pejuang PAS adalah ulama. Katanya “Bagi saya pejuang Pas semua ulama, semua pejuang Pas ulama, baki (tinggal) lagi peringkat-peringkat”. Maknanya setiap ahli PAS dalam proses menjadi ulama. Ustaz Nasharudin Mat Isa pernah menyatakan kepimpinan ulama dalam bukan bersifat individu tetapi institusi. Walaupun Presiden PAS bukan beraliran agama, PAS masih di bawah kepimpinan ulama melalui penguasaan Majlis Syura Ulama dan Perlembagaan PAS.

Apapun mentaliti ahli dan pemimpin hendaklah berubah. Dan jika dilihat situasi semasa, kedua-dua langkah ini masih belum diterima lagi oleh kebanyakan ahli jemaah. Anak muda pro perubahan haruslah banyak berusaha untuk menerangkan idea perubahan dengan sabar dan penuh adab.

Perubahan Struktur Organisasi Jemaah

Perubahan struktur organisasi jemaah penting agar persaingan merebut jawatan secara terlalu agresif dapat dielakkan. Saya mencadangkan PAS menggunakan sistem pemilihan ala DAP atau gerakan mahasiswa 1970an dimana ahli Majlis Syura Ulama dilantik oleh perwakilan muktamar(9 orang), Dewan Ulama(3 orang), Dewan Muslimah(3 orang), Dewan Himpunan Penyokong PAS(3 orang dalam kalangan ulama) dan Dewan Pemuda(3 orang). Kemudian MSU bersidang untuk melantik Mursyidul Aam, Timbalan dan Naib dalam kalangan ahli MSU atau pemimpin yang tidak terpilih. Kemudian barulah MSU melantik Presiden dan AJK Pusat. Dengan ini sistem pemilihan PAS kelihatan lebih syura.
Sekarang, pelantikan Pengerusi Majlis Perhubungan Negeri terletak di bawah kuasa Presiden. Saya mencadangkan kuasa diberi kepada perwakilan semasa muktamar PAS peringkat negeri (cadangan telah dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 2009 tetapi tidak diterima oleh jawatankuasa Usul di bawah pimpinan Dato Mahfuz). Seperti pemilihan MSU, perwakilan akan memilih 5 orang ahli manakala setiap dewan-dewan dan bahagian akan menghantar 1 wakil. Kemudian, MPN akan memilih pengerusinya.

Solusi

Kerisauan kita terhadap kepimpinan PAS baru teramat perlu. Walau bagaimanapun kita tidak perlu menampakkan kerisauan itu di khalayak awam. PAS mempunyai ramai pemimpin pelapis yang berbakat dan berpotensi yang boleh dikedepankan. Masa depan PAS sangat cerah.

Penipuan Dan Sang Pengimik

Taniah atas kejantanan saudara Aduka Teruna menerjah TGHH di perkarangan Masjid Rusila. Sebenarnya, insan sebadwi saudara Aduka Teruna tidak harus dilayan. Tidak tahulah motif apa yang dicari oleh dia. Jikalau zaman Rasulullah SAW, manusia sebiadap ini akan diancam penampar oleh Saidina Umar. Kalau manusia seperti ini menbiadapkan dirinya di Pulau Melaka, suasana di perkarangan Masjid Rusila akan turut berlaku. Kamu masuk kampung orang, perlu jaga adab sopan. Kemasukkan kamu adalah satu provokasi. Ucaplah terima kasih kepada para tuawan yang menolong kamu sebelum kamu dipenyek oleh orang ramai.

Saya hairan kenapa saudara AT cuba mendesak TGHH, jika beliau tak nak dibicara, kenapa saudara AT mendesak beliau. Kita tiada hak mendesak orang bercakap dan menerima kehadiran kita dirumahnya. Orang bertamu kena jaga hak tuan rumah. Tuan rumah ada kesibukkan atau keuzuran tersendiri kerena tidak mahu menerima tetamu.

TGHH Penipu?

Saya tidak boleh membaca hati TGHH dan kita tidak jelas tentang kes penipuan yang diisukan. Isu penipuan ini lebih kepada persepsi. Kita hanya baca daripada blog dan sesetengah daripada kita mendengar luahan pimpinan tertentu. Oleh kerana ada pimpinan tertentu tidak sewarung kopi dengan kita, kita ‘serang’ karekter pemimpin yang kita tidak suka. Serangan itu bukan setakat imej pimpinan tersebut yang buruk, imej parti akan buruk.

Kita harus bersangka baik, politik adalah peperangan, kita harus mahir bermuslihat. Jangan anggap muslihat pimpinan sebagai penipuan. Jika benar pun beliau menipu, kenapa kita cuba menghakimi beliau, biarlah Allah SWT menghakimi beliau di akhirat. Adakah keputusan kita yang masih berbau persepsi lebih baik daripada hukum Allah di akhirat?.Jika kita mengatakan TGHH seorang yang teruk, adakah kita nak mengulangi sifat yang teruk dengan menghina beliau?. Kenapa kita nak menyibuk dengan perkara yang tidak pasti, kalau tak puas hati, keluar parti atau jatuhkan beliau dalam muktamar atau kamu berehat.

Dato Mahfuz dan blogger Pak Bakaq yang tak tahu berlagak tahu telah berbohong kepada masyarakat. Mereka minta maaf kerana salah. Jikalau TGHH tidak mengaku salah, adakah kita nak paksa beliau mengaku salah?.

Korek Rahsia

Kegilaan sesetengah pihak ialah keinginan mengatur parti. Kononnya kitalah pejuang atau pemikir parti. Kita boleh mencadangkan pembaharuan tetapi jangan sampai cadangan atau pendapat disampaikan dengan pendekatan biadap. Agak malang, kita memilih menjadi blogger berbisa daripada aktif dalam organisasi untuk menggerakkan pembaharuan yang dicanang. Maknanya, perubahan dicanang adalah retorik semata-mata.

Ada orang gemar korek rahsia parti. Rahsia bukanlah sesuatu yang boleh diketahui ramai. Pertemuan dengan UMNO sebagai contoh bukanlah perbuatan yang salah. Ahli tiada hak untuk tahu apa yang dibincangkan oleh pimpinan. Jangan kita disibukkan dengan urusan tertinggi jemaah, sedangkan tugasan di cawangan kita tinggalkan. Biarkanlah pimpinan jemaah menggunakan kebijaksanaan mereka.

Takutkan akan Kerajaan Perpaduan(UG).

Saya hairan kenapa orang takutkan UG. Adakah mereka takut UMNO akan bergabung atau bersekutu dengan PAS?. PAS adalah institusi bukannya individu. Kuasa individu Dato Asri ditumbangkan oleh kuasa institusi melalui muktamar dengan sokongan Dewan Pemuda. Seandainya benar PAS bergabung, insya Allah kepimpinan hari ini akan tumbang. Ingatkah kita hujah-hujah Dewan Ulama Pusat PAS di bawah pimpinan Ustaz Nik Abdul Aziz(baca:Tuan Guru) dalam merasionalkan PAS bersekutu dengan BN?. Saat itu, kuasa institusi tidak membantah keputusan Dato Asri.

Para blogger jangan hanya mencipta bayangan musuh sendiri bahkan secara kotornya, kita berfikiran mereka mempunyai kepentingan tersendiri atau menjadi barua puak tertentu dalam menjatuhkan kepimpinan hari ini.

Sang Hero Gemik Politik

Saya kecewa melihat para ustaz, pimpinan tertentu dan aktivis jemaah Islam gemar membuka pintu fitnah. Persepsi dijadikan sumber sahih maklumat. Maklumat digembleng demi kepentingan pihak-pihak tertentu. Sahabat yang tidak disetujui bagaikan setaraf dengan musuh. Benar sungguh nasihat Rasulullah SAW akan keberadaan berita khabar angin pada akhir zaman. Jadi berhati-hatilah.

Khabar angin apabila diulit oleh sang hero sehingga menjadikan ia sebagai isu. Sang hero mula menambahkan rencah gimik, pelabelan dan retorika. Isu-isu secara kebetulan disokong oleh puak-puak tertentu dalam parti. Maka gemparlah seantero parti akibat gomelan para sang hero pengimik.

Antara sang heronya ialah seorang wartawan yang gemar bergimik politik merangkap ‘pakar’ propanganda pihak tertentu. Jika kita menelusuri perjalanan hidup keaktivisan dia, sememangnya penuh gimik dan kontroversi. Pernah terlibat dalam penahanan bas semasa di kampus, kes tumbuk pegawai HEP, kontroversi di UiTM, suka menerjah dan cuba memperbodohkan pimpinan parti dan suka melabel pimpinan. Paling lucu menjadi calon parti mahasiswa negara menentang Perdana Menteri Malaysia di Kepala Batas.

Nasihat saya, jadilah wartawan seperti al Maududi dan Sayyid Qutb yang membawa idea-idea baru seterusnya menjadi ideolog jemaah bukannya menjaja fitnah dan persepsi untuk menjatuhkan pimpinan dan imej jemaah.

Seorang lagi agamawan yang genius dan kuat membaca. Berilmu tinggi tetapi landasan politik agak tidak matang. Kita tidak tahu sejauh mana pengalaman berharaki dia. Dia sering membuka pintu fitnah dengan informasi yang bersifat persepsi. Mula mendapat roh ‘perubahan’ apabila membaca bahan-bahan pemikiran tertentu. Semoga tidak mengulangi landasan Cak Nur dan Gamal al Banna.

Golongan sang hero pencipta gimik ini sering makan-makan dengan pimpinan bagaikan kisah syaitan mendengar khabar daripada langit. Luahan-luahan pimpinan dijadikan modal untuk membantai keputusan pimpinan utama.

Tepatlah bicara para bijaksana, sungguh sukar menghadapi muslim yang dengki kepada para daei dan golongan munafik yang membencinya.

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...