HARAMKAN PMI: RELEVAN ATAU TAK?...
OLEH AGUS SALIM
tokawang_sufi@yahoo.com
Haramkan Persatuan Mahasiswa Islam [PMI] mungkin membawa persepsi yang berbeza di kalangan ahli masyarakat kampus. Persoalan utama yang timbul adakah wajar PMI diharamkan. Bagi pendokong PMI akan menyatakan ketidakwajarannya dan begitulah sebaliknya bagi pelajar pro HEP, pro-UMNO dan lain-lain pendokongnya. PMI wajar diharamkan disebabkan mereka memecahbelah masyarakat kampus, anti kerajaan dan tidak mahu bekerjasama dengan HEP kononnya. Di UKM, ISIUKM dikatakan akan dibubarkan manakala di UM, PMIUM sedang dibelasah oleh pihak HEP dengan pelbagai cara dengan harapan ia membawa kepada satu proses penentangan PMIUM secara besar-besaran bagi mewujudkan kewajaran pengharaman PMIUM. Di universiti lain, persatuan bercorak entiti perkauman, negeri dan agama cuba dibubar, ia ke arah membawa kepada pepecahan kata ‘mereka’, diadakan pula kelab penyayang, kelab perpaduan dan kelab wawasan sebagai alternatif kepada penyatuan. Terbaru kelab Islam Hadhari. Pengharaman ini diharapkan menjadi satu realiti bagi sesetengah pihak.
Sebenarnya, pengharaman PMI berpunca daripada persoalan politik bukannya perpaduan. Perpaduan hanyalah alat untuk orang politik. Kebetulan PMI mendasari prinsip Islam sebagai teras perjuangan bersamaan pula dengan dasar perjuangan PAS. Secara langsung dan tak langsung hubungan ‘satu ideologi’ [istilah ini tidak tepat] ini membawa satu kemarahan kepada parti pemerintah sehingga HEP cuba mengambil hati parti pemerintah dengan menghancur-lumatkan pengaruh anak seluang PAS di kampus. Oleh sebab itu, pertempuran di kampus dilihat satu perjuangan politik di antara PAS vs UMNO. Perkara ini tidak boleh dinafikan. Lihatlah penajaan parti-parti ini kepada anak seluang mereka di kampus.
Ramai orang terutamanya HEP dan anak seluang pro UMNO bersetuju agar PMI diharamkan. Haramkan PMI, penggugat kuasa kerajaan dan HEP. PMI sepatutnya diharamkan kerana mereka antiperpaduan, golongan pelampau agama, jumud, basi dengan fiqh tradisional dan berpandangan sempit. Ini antara tuduhan mereka. Tapi wajarkah PMI diharamkan sebagaimana ramai di antara politikus dan penyokong UMNO mengharapkan PAS diharamkan melalui proses menyifarkan pengaruh PAS di Selangor sebagai contoh. Bagi penulis pengharaman PAS atau PMI adalah tidak wajar. Kita telah mematikan demokrasi dan hak kebebasan bersuara. Kewujudan pembangkang sangat perlu bagi sesebuah negara demokrasi. Oleh sebab itu, Astora Jabat mahukan PAS menjadi pembangkang yang kuat bukannya lemah. Tanpa pembangkang, parti pemerintah akan menjadi diktaktor, paling kurang mengalami perpecahan sesama sendiri.
Tanya diri, tanpa musuh dengan siapa kita nak bermusuh jika musuh dihapuskan? Hidup kita ini umpama Yin dan Yan dalam kosmologi Korea. Hitam-putih, jantan-betina, lubang hidung kanan-lubang hidung kiri. Kan bertentangan. Bermusuh, bertentangan dan berbeza itu adalah fitrah alam bahkan ia satu rahmat. Seronokkah hidup seorang lelaki tanpa seorang perempuan? Musuh Islam adalah orang kafir. Lebih sempit musuh Islam adalah yahudi. Secara tasawuf pula adalah nafsu dan secara hakiki adalah syaitan. Bermusuh adalah keperluan dan kebiasaan dunia. Dalam bermusuh kita perlukan adab dalam bermusuh. Contoh, walaupun orang Islam sangat membenci Abu Jahal tetapi Nabi SAW melarang sahabat membangkit kejahatan abu Jahal di hadapan Ikrimah ibnu Abu Jahal yang telah Islam. Moralnya, jika bermusuh dengan ayahnya, jangan bersabit dengan ahli keluarga yang lain. PMI dianggap bermusuhan dengan pendokong HEP. Inilah adat perjuangan yang ada sifat bermusuhan. Bermusuhan tidak semestinya kita menghapuskan musuh kita terutamanya kebaikan musuhnya.
Politik kampus membawa satu pertarungan politik diantara dua pihak pelajar. Pertarungan ini akan berlangsung secara pesta demokrasi yang subur jika tiada campurtangan HEP. Peranan HEP pada asalnya bertujuan membimbing persatuan pelajar tetapi kini HEP cuba mengawal dan menguasai persatuan pelajar. Ingat!! persatuan mahasiswa bukan boneka atau barua HEP. Mereka bukan pelajar sekolah. Kebebasan perlu diberi kepada persatuan pelajar dalam beraktiviti dan HEP perlu menasihati persatuan pelajar atas perkara prosedur sahaja. Mahasiswa bukan robot berdagingkan manusia. Pertarungan politik ini bertujuan merebut kuasa. Kuasa, perempuan dan harta adalah legasi purba yang membawa kepada perebutan di antara manusia sehingga tertumpahnya darah pertama di muka bumi. Lihat peristiwa habil dan qabil berebut kerana seorang perempuan. Perebutan kuasa dalam politik kampus di antara pihak yang ingin menegakkan prinsip dan menjaga maruah ‘kaum mereka’ dengan pihak yang mahu sesuatu yang disokong oleh golongan pembodek yang ingin menunjuk ‘aku lebih berkuasa’. Pertarungan ini akan berlaku dan terus berlaku. Ia merupakan satu fitrah.
Pengharaman PMI tidak akan menyelesaikan masalah. Lihat Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Syria, mereka terus hidup dan hidup walaupun mereka diharamkan. PMI bukanlah tokoh individu tetapi PMI adalah sebuah institusi yang berprinsip dan mempunyai ‘ideologi’. Ketiadaan atau kematian pemimpin dan pengharaman fizikal pertubuhan tidak menjadi masalah bagi gerakan Islam termasuk PMI. Mungkin secara realiti kita dapat melihat PMI hilang tanpa jejak melalui perdaftaran atau aset persatuan tetapi roh perjuangan mereka akan terus membara dalam sanubari pendokong PMI. Lihat pendokong PMIUTM muncul kembali walaupun direhatkan oleh HEP ekoran kes nor hayati. Percayalah api perjuangan PMI tidak akan padam. Oleh sebab itu, biarlah PMI berjuang dengan caranya. Pihak HEP boleh bertempur dengan PMI dengan pelbagai cara yang unik dan bombastic. Saya percaya mereka dengan hati terbuka sanggup menerima cabaran HEP kerana mereka insan perjuangan, adat bejuang disakiti orang.
PMI bukan hanya wadah perjuangan pemimpin dan aktivis pelajar Islam yang ikhlas dan istiqamah dengan prinsip amal Islami yang dikatakan pro pembangkang tetapi PMI merupakan tiket untuk pemimpin mahasiswa tertentu mencari populariti sebelum menjejaki politik sama ada di pihak pemerintah atau oposisi. Agenda melahirkan lagenda. Pihak HEP perlu mengingati PMI bukan sahaja menghasilkan kader parti oposisi tetapi ramai pimpinan PMI terutamanya berjawatan dalam MPP telah berhijrah ke dalam parti pemerintah. Kebanyakan mereka semasa zaman mahasiswa dianggap radikal dan ekstrem. Lihatlah Che Johan Che Pa [aktif dalam UMNO Pasir Mas], tokoh PMUM yang ingin menyeret kerajaan ke mahkamah semasa membela Ahmad Lufti dalam kes purdah di UTM, lihat juga Ahmad Shabery Cheek[MP Kemaman] memimpin demonstrasi anti-AS, Mohd. Khir Toyo [MB Selangor] aktivis PMIUM. Pemimpin radikal yang menggugat kerajaan dan banyak mengecam kerajaan seperti Noordin Razak [Pengarah DBKL], Presiden PBMUM, Kamarazaman Yaakob [UMNO Temerloh], pemimpin PMUM yang rampas kuasa pentadbiran UM bahkan Anwar Ibrahim [nyaris menjadi PM Malaysia] adalah pimpinan PMIUM, PKPIM dan PBMUM. Kini, beberapa pimpinan mahasiswa PMI pasca peristiwa 1998 cuba berjinak-jinak dengan UMNO. Dalam PMI mereka ingin menonjol diri mereka agar dikenali oleh parti pemerintah sehingga mereka didatangi oleh anasir yang menawar pangkat, kuasa dan harta.Oleh sebab itu tidak relevan bagi HEP atau kerajaan menghukum PMI sebagai lubuk pembangkang.
Dari segi politik kampus, satu saranan agar pihak IPTA dan IPTS seperti KUKTEM, KUSTEM dan UiTM membenarkan penubuhan PMI di kampus masing-masing bagi menyegar kembali suasana politik kampus. PMI dapat memberi cabaran kepada pihak lawan agar bertindak lebih baik. Kemenangan tanpa bertanding menghilangkan kehangatan pesta demokrasi dalam pilhanraya kampus dan ia menyempitkan pemikiran mahasiswa yang menganggap kewujudan pembangkang membawa kehancuran kepada varsiti. Sebenarnya, PMI bukanlah pembangkang secara mutlak, mereka ada alasan tersendiri kadangkala bertentangan dengan HEP dan banyak juga yang bersamaan. Cuma politik punya pasal, PMI dikembirikan [dikambing-hitamkan]. Macam persoalan teroris di peringkat global, setiap keganasan akan dikaitkan kepada al Qaeda dan Osama Ben Ladin. Semua pihak kecuali mereka ini baik belaka. Tidak adil, bersikap prejudis. Jangan wujudkan suasana PMIfobia di kampus.
Penulis bukanlah pendokong kaedah politik kepartaian kerana ia banyak membawa dampak negatif dalam masyarakat kita tetapi penulis terpaksa menerima kaedah ini kerana inilah kaedah yang terbaik yang ada pada masa ini dalam berpolitik. Politik kepartaian menyempitkan pemikiran masyarakat dengan menyokong parti tertentu tanpa mengambil atau melihat kebaikan pihak yang dimusuhinya. Politik kita bertuhankan kaedah Barat menghancurkan nilai-nilai Islam. Inilah kebijaksanaan dan perancangan teliti oleh pejajah agar umat ini berbalah sesama sendiri. Penulis percaya politik dalam Islam mencakupi definisi yang lebih luas. Dan akhirnya penulis menegaskan pengharaman PMI bukanlah perbuatan yang relevan bahkan ia akan memburuk suasana. Ia akan mematikan kesuburan demokrasi politik kampus yang semakin lesu. Dan adalah baik, jika HEP membiarkan PMI bertarung dengan anak buah HEP tanpa campurtangan si ibu ‘HEP’. Barulah menarik. Kita nak bertarung tinju, biarlah bertarung dalam pemain tinju bukannya pemain gusti. Bertempur dengan cara yang elok, ambil tatatertib bermusuhan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW....
6.09.04
Thursday, November 22, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment