Friday, November 30, 2007

RUMAH OMAR: BERAKHIR SEBUAH RUMAH LAGENDA?

RUMAH OMAR(RO): BERAKHIR SEBUAH RUMAH LAGENDA?
Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias©

Sebenarnya Rumah Omar(RO) dikatakan markaz rahsia. Memang rahsia bagi orang yang tiada minat dengan gerakan mahasiswa. Bagi HEP dan pihak bertentangan, ramai yang mengetahuinya. RO yang lagenda terletak di satu kawasan perumahan di Petaling Jaya(depan Caltex). Di luar rumah semak dan berabuk mengambar kemisteriannya. RO didiami oleh pimpinan PMIUM bagi memudahkan mereka mengkoordinasikan agenda PMIUM. Disinilah gerakan pro mahasiswa Islam ini merancang dan bertindak.

Rakan PMIUM jangan memarahi penulis. RO telah menjadi lagenda kerana dirobohkan.(mesti Ustaz Sharulzaman menitis air mata bila lalu kat situ, betul kan..hehe). RO adalah rumah pimpinan PMIUM, PKPIM dan PBMUM sejak sekian lama. Khabarnya sejak Anwar Ibrahim lagi. Dari dulu lagi SB-SB mengintai pimpinan PMIUM di sini. Semasa pilihanraya kampus RO dikatakan dikawal rapi oleh skuad Briged PMIUM.

Sebenarnya, sebelah RO adalah rumah Cocinta(mungkin salah eja) milik PKPIM-UM dan PBMUM. Didiami oleh anak dara PKPIM-PBMUM. Cantik-cantik orangnya. Penulis sebenarnya bukan orang jemaah(maaflah mesti korang tercari-cari siapa aku hehe) tetapi secara tidak sengaja terpergi iftar yang dianjurkan oleh PKPIM-UM pimpinan Saudara Helmi, Timbalan Presiden PBMUM dan budak kejuruteraan(terima kasih saudari Amani kerana sudi ajak aku). Di sana penulis fikir, mesti orang di RO skodeng Cocita yang didiami oleh anak-anak dara yang comel-comel ini. Hmm, orang warak dan alim seperti Ustaz Izwan(rasanya dah kahwin waktu tu), Ustaz Ramadhan, Ustaz Faisal Abdul Rahman dan Ustaz Mat Sabu, korang boleh dipercayai tak ini?.

Mungkin RO dah berpindah ke tempat baru. Sejarah rumah buruk didepan Caltex banyak sangat meninggalkan nostalgia bagi pimpinan gerakan mahasiswa di bumi Universiti Malaya.
© Penulis adalah orang yang dibelanja minum oleh Saudara Shahrulzaman dan Saudara Najib, Presiden Mahasiswa OKU UM di Kafe Fakulti Sastera dan Sains Sosial pada pilihanraya kampus 03/04. Mesti korang lupa, kan.

Thursday, November 29, 2007

KARYA GILA-GILA: DIARI PUTEH

DiaRi PuTeh: PENCARIAN CINTA di akHir seMester
oleh mamat_com

Putih menyenangkan mata memandang. Putih adalah kesucian, kebaikan dan secara keseluruhannya melambangkan perkara positif. Begitulah bertuahnya putih. Putih banyak memberi impak dalam sejarah manusia. Kalah perang, bendera putih dikibarkan. Ihram pakaian putih. Kain kapan pun warna putih. Kertas kebanyakannya putih...putih, oh putih... Manusia dan putih. Mencari kekasih. Warna putih dicari. Putih nampak kelawaannya. Pembunuhan pertama di muka bumi, wajah putih antara sebab pembunuhan tersebut. Aku, engkau dan dia, mestilah tak lari daripada warna putih. Puteh namaku, seorang lelaki, pelajar tahun akhir UM. Kisah dimulai di kafe kolej KK 12 yang cukup terkenal itu. Hari itu, puteh pulang daripada perpustakaan untuk makan tengah hari. Makan sambil menonton astro percuma. Astro berimej universal yang membawa polemik antara banyak maklumat atau banyak pengetahuan. Astro antara membawa warna putih atau hitam, kuning atau blue dalam masyarakat?. Asyik dengan makanan yang kurang garam itu, terpandang kepada seorang wanita yang cantik dan putih. Tak tahu nama, dinama cik X. Kenapa hati kecil berdebaran setiap kali bertemu. Puteh, bukan kali pertama Puteh bertemu dengan CIK X. Ia kisah pencarian yang panjang. Pertama kali bertemu semasa malam pengiraan undi pilihanraya kampus. ‘kau, tak nak balik lagi? Tanya sahabatku, Bad. ‘sampai habis’ pantas aku menjawab. Jam menunjukkan jam 1.15 pagi. Aku masih setia bersama rakan-rakan yang lain. Laungan GAGASAN POWER, MGMUM BOLEH mengimbau kembali memoriku yang semakin gersang dimana pada malam itu dipenuhi oleh pendokong PMIUM. Malam itu aku seumpama Hishamuddin Rais, memakai pakaian jean, dari baju sehingga ke seluar kecuali seluar dalam la. Maklumlah peminat politik kampus. Walaupun nampak macam sosialis, tetapi jiwaku Islamis. ‘pakaian tidak mengambarkan niat kita’ kataku kepada ustaz mat sabu yang menegurku di kolej keempat. Semasa menunggu sambil makan kekacang, aku berpaling ke belakang untuk bercakap dengan Sedi, sahabatku daripada pusat sukan. Aku terpandang seorang gadis yang memandang ke arahku. Aku perasankah? Tanya hati kecilku. Pandangan kedua dan ketiga tetap memandangku. Dia gila atau aku gila. Aku pun naik perasan la. Si gadis seorang putih kulitnya dan cantik wajahnya, ayu dan manja. Terserlah ayunya apabila kepalanya diletakkan manja pada bahu sahabatnya yang tidak kurang putih dan cantik. Mimpi celikku yang indah disentapkan dengan bunyi ‘SAYA BANTAH’ laungan daripada sahabat PMIUM yang thabat perjuangan, awie. Bantahan ini dibuat ekoran pihak HEP yang diketuai Tok Dalang Kampus al kelantani mengatakan beberapa kerusi akan dibuat pengiraan semula ekoran pengundi hantu dan kemasukkan ejen Puteri parti BARUA di fakulti pendidikan. Suasana tegang, lagi tegang dihatiku apabila khayalan romantisku terganggu. La kacau betul si awie ini.. awie..ko..tak fahamkah? PMIUM tu apa? Persatuan Percintaan Mahasiswa Islam UM [PMIUM]. PMIUM adalah gedung percintaan mahasiswa Islam yang nak cari gadis solehah, baik dan santun yang seperti yang aku ingini. awie, baitul muslim tak cukup hebat, Percintaan Mahasiswa Islam UM perlu diperkasa agar tiada lagi insan tiada teman selepas alam kampus. Kan jiwang-jiwang yang melentok di bukit Jiwang dibenarkan oleh HEP berbanding cinta antikonsert? Sebab tu aku masuk PMIUM untuk mempelajari dan merasai cinta berbudi, cinta beradab. Lama juga kumencari cik x. Dari pemakaian bertudung labuh pada malam itu, tentulah si cantik manis penyokong Islamis. AI ke? Berperang di minda. Suatu hari di koperasi UM di KPS, aku terserempak dengannya, lagi sekali jantungku mahu keluar, sampai kentut pun tak berbunyi, kawal punya kawal keluar juga si angin yang menepis. Punya gabra yang tak menentu ini cik x hilang dari pandangan semasa aku cuba berpaling. Aku berpaling untuk mencapai sebuah cerita rugi, rugi tak pandai ambil peluang secara tatasusila. Aku rugi tak pandai bercinta, tak pandai memulakan bicara, Aku memang manusia pelik. Pelik yang berasas. Mana tak peliknya, aku tak terbiasa dengan cinta. Aku bukan kaki perempuan dari TASKI ke Universiti tak ada kekasih. Ingin bertegur perempuan pun tak berani. Bukan tak berani langsung, tapi nak mulakan ayat pertama tu, tak boleh. Walaupun aku mempunyai ramai rakan perempuan, aku tak pandai langsung berjiwang2. Makan-makan di kedai makan dan lentok membahu di taman bunga, aku tak pandai. ‘engkau belum rasa jangan cakap, nanti bila rasa engkau ketagih? Tegas sofi rakanku yang playboy. Rakan-rakan sibuk bercinta, aku seronok dengan gedung buku di perpustakaan UM. Duduk cari buku yang bukan-bukan, tentang komunisme, sosialisme dan pemikiran Islam. Pagi, petang, malam di perpustakaan. Tahun akhir mula rasa gelisah dan meresah qalbu, maklum rakan-rakan lain dah bertemu jantung hati. Aku hanya makan jantung pisang dengan budu je. Satu malam, ketika itu aku bersama Ajib sang penyair yang belanja aku minum di KK 12 yang terkenal itu. Cik X keluar dari tempat persembunyiannya, KK 12 yang terkenal tu atau kolej lima, cik X tinggal? Aku cuba membuat tekaan untuk sebuah pencarian. Kalau tidak sibuk berbicara dengan rakan seperjuangan, aku terus mengejar dan mencari cik x. Tapi aku terkejut apabila cik x sendiri datang menyapaku. Berakhirkah pencarianku? Cik x tersenyum manis. ‘namaku...’ hanya itulah ungkapan mampu diujarkannya kerana diganggu suara king kong yang kuat memecahkan suasana indah. ‘woi, bangun sahur??’ bunyi pekikkan. Rupa-rupanya mimpi. ‘bangang ko Ayub ganggu mimpi indah aku’ marah aku kepada sahabat yang membangunku bersahur. Kita selalu marah orang menasihat kita, walaupun nasihat itu untuk kebaikan kita. Akhirnya aku tahu cik x adalah gadis fakulti sains. Gara-gara peperikasaan terakhir di bumi UM, study sakan aku kat perpustakaan. Biasanya aku study di tingkat 2. nak gerah hari tu aku study di tingkat bawah. Rupa-rupanya disinilah cik x study dari petang hingga malam. Untuk kali terakhir aku berjumpa secara kerap di sini dan kerap juga bertemu di cafe fakulti sains. Makan bersama di meja berlainan. Rupanya ramai juga mata-mata lain memerhati cik x. Melepaskah aku?? Hati bersemarak tetapi mulut membisu seribu bahasa. Sekali cuba menegur secara tak gentleman, nampak kebodohan dan kekurangan aku dalam bab cinta. Meleleh lagi kerinduan hati ini. Peperiksaan bermula. Berakhirnya sebuah pencarian di kaki kebisuan bicara dan kerugian qalbu yang tak terbiasa dengan cinta. UM aku kembali meneruskan pencarian. Tunggu kedatanganku dengan cinta baru. CINTA HAKIKI, CINTA ILAHI. Habislah makanan sambil memandang kerancakkan ragam mahasiswa di cafe kk12 yang terkenal itu.

Pencarian sebuah Cinta
Dari mata sampai ke hati
Dari bicara menjadi simpati
Dari simpati bertambah sayang
Biar sayang kekal abadi
Hidup tak seputih disangka....
15 Sept. 04

Tuesday, November 27, 2007

Perjuangan Mahasiswa Progresif



PERJUANGAN MAHASISWA PROGRESIF: DULU, KINI DAN MASA DEPAN.
Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias
tokawang_sufi@yahoo.com
[mantan ahli PMIUM pasif, EXCO PBMUM & AJK PSUM]

“sila bertindak dan berbuat seperti yang pernah saya buat ketika menjadi
mahasiswa. Tapi bersedialah seperti saya dulu untuk masuk penjara”
Anwar Ibrahim



Dunia mahasiswa adalah dunia yang penuh disaluti dengan sifat romantis dan konflik. Disebalik tugas mahasiswa menelaah pelajaran, aktiviti luar kampus mahasiswa akan membuktikan tahap kematangan dan kedewasaan mahasiswa dalam wacana intelektual, nasib dan isu kemasyarakatan, politik, kesenian, kebudayaan, keagamaan, bermuamalat dan berekonomi. Atau pun mahasiswa lebih selesa dengan dunia remaja yang khayali pro negatif sementara menunggu dunia kiamat. Mahasiswa progresif(MP) adalah mahasiswa yang aktif, penggerak dan peneraju panji-panji tenaga-idea aktiviti kampus, dan prihatin terhadap persekitaran masyarakat dalam aspek politik, ekonomi dan sosial sama ada peringkat nasional atau internasional. Ujaran daripada Dato Seri[dulunya saudara] Anwar Ibrahim yang dianggap idola gerakan pelajar di atas memberi satu gambaran betapa besar risikonya menjadi mahasiswa progresif yang ‘radikal’ dalam politik. Risiko inilah yang diambil oleh MP dan sukar untuk diterima oleh mahasiswa pasif.

MP adalah golongan minoriti di kalangan ribuan mahasiswa yang terlena sebagai ulat buku sepenuh masa yang bertapa di labrary dan rumah sewa serta kolej, pemabuk hedonisme, pejiwang terlampau, perayau malam dan ‘anjing-anjing’ kemalasan yang lepak, tidur, bervideo games, makan, berak, bersikap pasif dan berbudaya ‘bersenangan’ di rumah sewa atau kolej. Itulah kelainan MP dengan mahasiswa lain yang selesa dengan hidup mencari ilmu tanpa roh dan praktikal, ingin cari kerja atau impiana khayali yang negatif dan ianya jelas berbeda dengan MP yang berteras gerak kerja yang amali, berketrampilan, motivasi kendiri, dan keluasan jaringan pengaruh.



CABARAN MAHASISWA PROGRESIF

Aktiviti Mahasiswa Progresif (MP) lebih terserlah dalam bidang politik nasional atau kampus berbanding aktiviti perekonomian atau sosial mereka. Pembicaraan mahasiswa dan politik sengaja diperbesarkan sehingga menenggelami isu lain kerana isu politik ini melibatkan pemilik kuasa yang bimbang dicabar atau digugat oleh anak seluang yang baru belajar berenang di kancah politik. Pemilik kuasa iaitu kerajaan dan penguasa varsiti sangat membimbangi pengaruh anak seluang ini mempengaruhi atau membangkitkan kesedaran rakyat dan mahasiswa atas pengalaman pemilik kuasa pada tahun 1970an dan rakan-rakan pemilik kuasa di luar negara yang tumbang dek kelantangan suara mahasiswa progresif seperti yang berlaku di Indonesia. Tradisi mencabar ini dibimbangi akan menjejaskan periuk nasi politik dan ditakuti juga mengempiskan kebuncitan ekonomi kaum pemodal.


Kewujudan MP disebabkan tekanan dalaman dan luaran kampus, kesedaran dan peka terhadap nasib bangsa, keinginan mengunakan keupayaan, potensi diri dan peluang di varsiti untuk berpolitik, berekonomi dan bersosial dengan masyarakat atau sesama pelajar (inter-kampus). Maka muncul mahasiswa progresif dalam politik dan ekonomi melalui kewujudan usahawan kampus, solidariti mahasiswa memperjuangkan hak asasi dan sasterawan kampus, contoh. MP juga adalah manifestasi sikap anak muda yang memberontak, terburu-buru, emosi dan romantis. Ruang istimewa di varsiti dan desakan persekitaran masyarakat membolehkan peneluran sifat kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam sesuatu lapangan. MP sanggup merubah zaman, MP bersemangat ‘lawan tetap lawan’, MP sanggup menongkah arus dan berani gagal. Begitulah azam dan semangat golongan MP.

Perjuangan MP adalah perjuangan anak muda yang ingin mengubah dan mencabar sesuatu sistem. Sistem yang teguh ingin ditelusi oleh MP yang hingusan agak khayali untuk dicapai di alam realiti. Reformasi yang diingini sungguh ‘mustahil tetapi tidak mustahil’ ini perlukan kerjasama rakyat untuk menjayakannya. Hayatilah serangkap sajak Rendra bagi sesiapa yang ingin mencabar sistem yang berkuasa membuat segalanya kecuali menjadi tuhan ini.


apa disangka kentut bisa mengganti rasa keadilan ?di negeri ini hak asasi dikurangijustru untuk membela yang mapan dan kayaburuh, tani, nelayan, wartawan dan mahasiswadibikin tidak berdaya

Rendra....


Justeru, bagi merealisasikan impiana yang khayali ini, MP perlukan satu proses pengkaderan yang mantap dan berterusan. Kader-kader ini perlu bertebaran segenap ceruk masyarakat dan organisasi termasuk kerajaan, seterusnya menyerap dan mengubah dari dalaman dengan penjernihan akhlak dan tauhid secara evolusi dan ketika itu juga rakan-rakan diluar secara berterusan melawan sistem yang korup itu. Sabar dalam perjuangan, itulah ungkapan bagi sesiapa yang ingin mengubah sistem.





Mahasiswa Progresif: Satu Perjuangan


Dalam konteks Malaysia, perjuangan Mahasiswa Progresif(MP) dibahagikan beberapa pendekatan dan aliran. Dimulai dengan isu kebajikan dan kebudayaan pada era 1960an, aliran sosialis, nasionalis dan nasionalis Islamis pada era 1970an, Islamis tulen pada tahun 1980an dan 1990an dan kini ‘Islam bersama hadhari’ pada tahun 2000an. Walapun perjuangan MP adalah perjuangan sekelompok mahasiswa tetapi perjuangan ini boleh merebak pengaruhnya di kalangan mahasiswa lain kerana mereka adalah golongan berpengaruh dan aktif di varsiti. Perjuangan yang dilihat sebagai plural ini mempunyai persamaan yang paling ketara kerana digerakkan oleh golongan yang sama tetapi berbeda aliran dan pendekatan iaitu Mahasiswa Progresif.

Peralihan ke arah mahasiswa bersama masyarakat mula memutik pada akhir 1960. Pada ketika inilah golongan sosialis melalui Kelab Sosialis Universiti Malaya telah berperanan sebagai jurubicara masyarakat. Watak utama perjuangan rakyat ini adalah Syed Hamid Ali dan Sanusi Osman. Merekalah yang mengoncangkan negara dengan berdemonstrasi di Teluk Gong setelah penangkapan wira pejuang tanah untuk rakyat, Hamid Tuah. Syed Hamid Ali sekali lagi mengetarkan lutut pemilik kuasa apabila terlibat dalam demonstrasi rapat umum pilihan raya 1969. Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya(PMUM) telah memberi bantuan berbentuk tenaga kerja dan peralatan seperti bas PMUM untuk gerak kerja parti pembangkang. Apabila Tunku Abdul Rahman menuduh mahasiswa terlibat membantu pembangkang dan tuduhan disambut dengan ajakan berdebat oleh Syed Hamid Ali mewakili pelajar dengan Tunku. Ajakan ini menyebabkan Tunku mengubah kenyataannya di dada akhbar. Begitulah perkasanya suara mahasiswa pada masa silam.

Butir permata gerakan pelajar terus bergemerlapan apabila munculnya tokoh idola paling berpengaruh dalam gerakan pelajar dan politik negara ini iaitu Saudara Anwar Ibrahim, seorang jurubicara ummat melalui suara hati nurani rakyat. Tokoh nasionalis-Islamis ini telah bekerjasama dengan ultranasionalis Melayu, Dr. Mahathir Mohammad yang berideakan ‘dilema Melayu’ telah mengoncang kestabilan kerajaan Tunku. Desakan kedua-dua ‘kekasih’ ini menyebabkan Tunku ‘mati pucuk’ untuk mentadbir dan menyerahkan kuasa kepada rejim Tun Razak. Anwar Ibrahim melalui Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) berterusan menyerang kerajaan dan penguasa universiti di bawah pimpinan Ungku Aziz terutamanya isu bahasa dan isu nasib pelajar Melayu. Kebangkitan pelajar Islam mulai berputik pada awal tahun 1970an semasa PKPIM memimpin demonstrasi rakyat Pathani sempena lawatan Perdana Menteri Thai, pada ketika inilah Aziz Deraman, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekarang telah ditahan polis.

Sementara itu, Kelab Sosialis Universiti Malaya dan PMUM juga aktif memperjuangkan isu rakyat marhaen dan antarabangsa. Tokoh sosialis yang bersuara lantang dan tidak peka agama adalah Hishamuddin Rais dan Kamarazaman Yaacob. Hishamuddin Rais yang berjiwa romantis dan tergesa-gesa ini telah berjuang bersama rakyat di Tasik Utara. Kesepaduan pelajar nasionalis-Islamis dengan pelajar Sosialis terjelma apabila mahasiswa bersatu dalam isu kemiskinan rakyat Baling. Demontrasi raksasa ini dipimpin oleh Anwar Ibrahim selaku Presiden Majlis Belia Malaysia menyebabkan AUKU telah dipertegaskan oleh ‘kekasih’ Anwar, Dr. Mahathir di Dewan Rakyat. AUKU 1975 yang dipertegaskan ini dikatakan punca kemandulan gerakan pelajar pada masa kini. Pada masa ini juga munculnya Ibrahim Ali (wakil PKPIM dan YDP Kesatuan Siswa ITM [KSITM]) yang turut membantu Anwar memanaskan suasana demonstrasi.

Selepas peristiwa Baling, dunia mahasiswa bagaikan tidak beraliran. Sebenarnya, gerakan pelajar mula dikuasai oleh pelajar nasionalis yang pro HEP dan pembodek kerajaan. Aktiviti lebih kepada kebudayaan, hiburan, kebajikan dan kemasyarakatan sehingga muncul istilah Bakti Siswa dan OPKIM yang begitu popular. Dalam masa inilah PMIUM dibawah pengaruh ABIM-PKPIM mula dianaktirikan menyebabkan mereka ini bercita-cita menguasai PMUM [golongan Islamis cuba menguasai kampus kerana hak autonomi persatuan seperti kebebasan melaksanakan program dan hak pemilikan harta benda termasuk dana kewangan telah diletak di bawah HEP dan HEP hanya mengiktiraf PMUM sebagai satu-satunya kuasa yang boleh mentadbir aktiviti pelajar secara umum]. Syed Dawilah al Edrus yang memimpin PMIUM memulakan langkah tetapi hanya menang dua kerusi. PMIUM hanya boleh berkuasa pada tahun 1979 dengan mendapat kerusi sama jumlahnya dengan pelajar nasionalis. Kebertuahan pelajar nasionalis-Islamis, apabila seorang pelajar neutral telah menarik balik sokongan terhadap pelajar nasionalis. PMUM buat pertama kali dipimpin boleh cahaya Islamis dengan pengaruh ABIM-PKPIM di bawah pimpinan Anual Bakri Haron (kini S.U Menteri Besar Kelantan).

Cahaya Islam terus gemilang di kampus-kampus di tanah air apabila proksi ABIM-PKPIM mula berkuasa di UKM dan UPM. Cahaya ini juga menyinari UTM, ITM (dibawah tokoh kecerahan IKD dan ketua Penerangan Parti Keadilan) dan USM. Walaupun pelajar nasionalis-Islamis berjaya ditumbang pada tahun 1980, pelajar Islam ala ABIM-PKPIM ini bangkit kembali menguasai kampus. Husam Musa selaku Setiausaha Agung PBMUM turut berperanan mendesak dan mengutuk kerajaan dalam isu penghinaan terhadap Islam [dikemuka oleh Tunku dalam kolum mingguannya dan Ketua Pemuda UMNO] manakala Ahmad Shabery Cheek (Ahli Parlimen UMNO Kemaman) telah memimpin pelajar dalam demonstrasi anti Amerika. Di ITM, ‘Ustaz cerah’ Khalid Jaafar, tokoh pencerah yang elitis pula memimpin demonstrasi di Shah Alam. Pada era 1980an, UKM telah muncul sebagai kem ABIM-PKPIM dibawah kelolaan Mustapha Kamil Ayub. Saudara Mus yang berintelek ini berjaya memimpin beberapa demonstrasi yang mewakili proksi ABIM-PKPIM. Begitulah cerita ringkas gerakan pelajar 1980an yang dianggap zaman kebangkitan semula gerakan pelajar tetapi berteras Islam.

Cahaya Islamis terus mantap apabila pelajar Islam tulen di bawah pengaruh PAS mula mendapat tempat di kampus-kampus terutamanya di Universiti Malaya, UPM dan UKM. Idealis PAS mula digerakkan sejak Anwar Ibrahim memasuki UMNO dibawah kelolaan Tuan Guru Abdul Hadi Awang [beliau merupakan pemidato hebat sama macam Anwar tetapi Anwar lebih popular kerana memdampingi pelajar dan masyarakat sejak akhir 1960an lagi dan Anwar menpunyai jaringan pengaruh yang luwes di arena nasional dan internasional]. Ustaz Zulkifli Yusof buat pertama kali membentuk sebuah forum yang dinamakan Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) pada tahun 1986 untuk mengumpul wakil MPP setiap kampus yang terasnya Islamik. Tokoh BBMN yang utama adalah Zulkifli Yusof daripada PMUM (kini pensyarah di APIUM). Saifuddin Nasution daripada PMUPM (naib presiden Parti Keadilan Nasional) dan Idris Ahmad (Timbalan Ketua Pemuda PAS). Perjuangan pelajar Islam tulen sampai kepada klimak apabila ramai pemimpin PMIUM ditahan termasuk dikenakan tahanan ISA pada demontrasi antikonsert Sheila Majid pada tahun 1989.

Era 1990an, bagaikan tiada penentuan kuasa yang tetap dalam politik kampus. Golongan Islamis dan nasionalis bersaing hebat dan saling jatuh menjatuhkan. Sejak kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO, sebahagian besar pelajar nasionalis Islamis turut terjun ke dalam dunia nasionalisme yang dirasionalisasi oleh Anwar Ibrahim dan kroni inteklektualnya seperti Ustaz Siddiq Fadil. Walaupun perjuangan pelajar Islam kelihatan sepi, terdapat juga isu panas yang diperjuangkan oleh mereka seperti pengambilan tanah di Pulau Kundor, Melaka.

Sejak Anwar Ibrahim disingkirkan daripada jawatan kerajaan, gerakan pelajar kembali bertaut. PKPIM mula bertaut kembali dengan bekerjasama dengan wakil Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) yang pro PAS. Maka gagahlah pertubuhan pelajar bawah tanah di kampus masing seperti MAMPU di UKM dan GMUM di UM. Peringkat nasional pula, BBMN dan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) mula melakukan kemunculan semula setelah sepi di pertengahan 1990an. Suara GAMIS kelihatan lantang dibawah pimpinan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Isu Kerinci Link telah membuatkan mahasiswa menghidupkan kembali demonstrasi secara terbuka. Natijahnya, cukup positif apabila Masjid al Rahman masih kelihatan megah pada hari ini [terima kasih Pak Amjal dan rakan-rakannya]. Selain itu, juak yang dianggap luput dan terkubur iaitu juak sosialis mula muncul kembali dengan nama Universiti Bangsar Utama (UBU) pimpinan Jonah . Bebudak ini diasuh dengan amalan diskusi ideologi dan aksi jalanan oleh mahaguru mereka yang romantis, saudara Hishamuddin Rais. Walau bagaimanapun, aliran ini tidak mendapat tempat di kalangan mahasiswa massa kecuali kaki seni picisan di kampus-kampus .

Episod terakhir keperkasaan mahasiswa adalah penangkapan Fuad Ikhwan, isu majalah Varsity palsu dan pembakaran DTC di UM. Selepas episod ini, satu episod baru yang dinamakan pelajar ‘Islam bersama hadhari’. Suara Mahasiswa Progresif aliran Islamis telah dikasi secara halus menyebabkan pelajar lebih selesa dengan kegiatan Islam bersama hadhari iaitu berdiskusi dengan tajuk yang menyejukkan HEP, aktiviti bertamadun yang sama dengan aktiviti persatuan pelajar yang lain [karnival, riadah dan kauseling pelajar, main masak-masak di ESKUM, contoh]. Manakala pelajar nasionalis pula sudah luntur nasionalisnya. Mereka juga ingin memeriahkan Islam bersama hadhari dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian. Mereka bukan lagi pelajar nasionalis tulen tetapi pelajar geli (baca; lemah) gemalai dengan seni dan kebudayaan.



Hala Tuju Mahasiswa Progresif: Kini dan Masa Depan.

Pada masa kini, mahasiswa didakwa lembik, ‘mati pucuk’, lesu, pasif dan pelbagai lagi tohmahan yang dilontarkan terhadap mahasiswa. Kita tidak menafikan gejala ini turut membiak dan merebak di kalangan mahasiswa tetapi kita perlulah lebih adil dalam menilai perjuangan pelajar generasi kini dan masa depan berasaskan konteks semasa. Isu kemiskinan orang Melayu, Bahasa Melayu dan pendidikan sebagai contoh telah dicakna [tapi tidak sepenuhnya] oleh kerajaan menyebabkan mahasiswa progresif kekurangan isu untuk ditangani (secara relatifnya, banyak lagi isu yang boleh dihangat selain isu politik. Contoh, isu kemiskinan masyarakat pinggir bandar). Keterlibatan secara aktif dan berlebihan mahasiswa progresif di dalam ranjang politik menyebabkan pihak kerajaan, universiti dan media massa melabel mereka sebagai pro pembangkang. Justeru, satu proses pencambahan minda perlu diadakan untuk menilai dan berdiskusi tentang hala tuju mahasiswa progresif pada masa depan. Mahasiswa Progresif haruslah menyediakan satu pelan induk alternatif agar perjuangan mahasiswa progresif masih lagi relevan dan konsisten dalam menghadapi kedinamikan zaman. Oleh itu beberapa aspek perlu dibahaskan adalah;

a. Mahasiswa Progresif Dan Ideologi

Aliran Islamis dijangka meneruskan keteguhan pengaruhnya di kalangan mahasiswa massa walaupun pelajar Islamis mungkin tidak lagi berkuasa dalam MPP. Gerak kerja golongan pelajar Islamis lebih kepada kerja kendiri dan berkesedaran tinggi serta nekad dan setia terhadap perjuangan Islam berbanding aliran lain yang berhabuan material dan nafsu, dan menyalahi akidah Islam. Walaupun pertempuran ideologi di kalangan mahasiswa kelihatan semakin luntur, ideologi [Islam bukan ideologi tetapi satu ad din, lihat buku karangan Syed Naquib al Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin] masih lagi menjadi elemen penting dalam dasar mahasiswa progresif terutamanya Islam. Kelantangan mahasiswa progresif aliran Islamis lebih berfokus kepada menghidupkan kebenaran, keadilan dan kemurnian Islam. Isu-isu rakyat terutamanya kemiskinan bukan lagi menjadi agenda penting kerana dianggap tugas kerajaan, cuma mahasiswa progresif boleh menjadi pendesak untuk memurnikan dasar-dasar kerajaan agar komitmen kerajaan terus berlangsung. Manakala mahasiswa progresif aliran sosialis dan nasionalis dijangka akan luput kerana mereka kelihatan kebutaan dan tidak ketahuan terhadap ideologi mereka sendiri. Mereka kini semacam melakukan satu proses tranformasi ideologi iaitu ke arah kepentingan material, pangkat dan nama. Perjuangan mereka lebih kepada memenuhi ketiga-tiga unsur tersebut dan menjadi regalia [ini bermakna mereka menjadi alat pihak berkepentingan yang ingin mengekal kuasa bukan pihak memperjuangkan nilai-nilai murni seperti Islam dan kemanusiaan] untuk HEP mendapat keuntungan daripada pemerintah. Mereka kelihatan pro hiburan dan kesenian.



b. Mahasiswa Progresif Dan Ilmu

Mahasiswa dengan ilmu tidak boleh dipisahkan kerana ilmulah tujuan asasi mahasiswa berada di universiti. Iman Ghazali dalam Bidayatul Hidayah menyifatkan tujuan mencari ilmu adalah mencari keredhaan Allah dan mencari hidayah. Ilmu yang dicari adalah ilmu yang bermanfaat dengan suluhan Al Quran dan Hadis yang akan mencetuskan ketakutan dan pengabdian diri kepada Allah. Orang yang berilmu juga adalah orang yang faham, taat kepada Allah dan beramal dengan ilmu yang di pelajari [Tuan Guru Abdul Hadi Awang]. Oleh sebab itu, sistem ilmu perlu diterbitkan daripada kegiatan akliah yang memerlukan imaginasi untuk menyusun maklumat dalam satu kerangka yang bermakna dan difahami [Anwar Ibrahim]. Sebagai mahasiswa yang berada di lembah keilmuan, peluang mencungkil ilmu di kampus tidak harus dilepaskan. Ilmu bukan sahaja untuk digunakan dalam pekerjaan tetapi dipraktikal dalam kehidupan sehari-harian. Ilmu yang didapati harus menjernihkan minda dengan suluhan dan bimbingan wahyu. Selaku mahasiswa yang berilmu, janganlah mahasiswa mencontohi perangai profesor kangkung yang begitu ramai di kampus dengan sifat mereka yang giat membodek untuk mendapat jawatan pentadbiran [akhirnya mereka berjaya mendapat jawatan TNC dan NC]. Profesor kangkung ini diakui bijak ini sanggup menjual kejujuran intelektual demi kebuncitan perut mereka [walapun mereka sudah boroi]. Mereka sombong dan riak dengan ilmu yang mereka ada, mereka inilah seperti yang dilukiskan oleh Allah sebagai orang berilmu tetapi tidak beramal dengan suluhan wahyu kerana tiada hidayah dan bongkak demi secangkir habuan dunia. Mahasiswa progresif seharusnya berani dengan hujahan ilmu bagi menentang kebathilan dan korupsi. Pembelajaran setiap ilmu hendaklah disuntik dengan roh Islam walaupun ilmu itu adalah fizik, kejuteraan, ekonomi atau sejarah. Serapkan ilmu-ilmu ini dengan suluhan roh Islam dan praktikalkan dalam kehidupan. Barulah mahasiswa progresif dalam merealisasikan apa yang diingini oleh Malek Bennabi, quwwat al ruh wa al-‘aql [kekuatan jiwa dan minda] terjelma kembali di dalam masyarakat kini. Mahasiswa progresif seperti ini akan mempunyai minda qur’ani-rabbani, mereka adalah generasi rabbaniyyin yang terbina tradisi pengajaran dan pemelajaran al kitab [Siddiq Fadil].


c. Mahasiswa Progresif Dan Masyarakat

Mahasiswa progresif perlu mengekalkan mereka sebagai jurubicara masyarakat di kalangan rakyat Malaysia. MP terutamanya beraliran Islamis perlu lebih aktif berperanan dalam isu kemasyarakatan. Di Malaysia, satu kekurangan yang terdapat dalam program Islamisasi ialah langkah-langkah lebih sistematis dan berkesan bagi mengatasi masalah dan penyakit sosial [Mohamad Abu Bakar]. Masalah-masalah seperti pengangguran, keciciran, penyalahgunaan dadah, pelacuran dan seumpamanya lebih didominasi oleh golongan non muslim. Alangkah indah jika mahasiswa progresif terutamanya yang berjiwa Islamis mengambil cakna tentang problem masyarakat ini. Mahasiswa Progresif perlu terjun ke dalam masyarakat tanpa memilih isu-isu popular sahaja. Mahasiswa progresif lebih selesa bermanjaan dengan isu seperti keadilan pilihan raya, isu Anwar Ibrahim, kebebasan media dan AUKU daripada isu-isu terpinggir seperti tekanan jiwa orang tua dan anak yatim, nasib orang Asli yang masih membuang air besar di sebalik pohon lalang dan kemiskinan rakyat di Sik. Ya, memang benar isu nasional mesti diutamakan tetapi isu-isu rakyat marhaen janganlah dikesampingkan. Mungkin agak sukar untuk kita mengatasi permasalahan rakyat marhaen kerana ketiadaan jentera organisai yang benar-benar mantap dan kekurangan dana kewangan tetapi mereka akan berasa puas hati setelah melihat kedatangan anak-anak muda yang bergelar mahasiswa cuba memahami suara hati nurani mereka dan mengambil berat tentang nasib mereka.




d. Mahasiswa Progresif Dalam Aktiviti Kebudayaan.

Mahasiswa perlu menjadi insan atau manusia yang memahami sifat dan kehendak fitrah manusia itu sendiri. Walaupun dunia sekarang mengejar kepentingan material melalui peluang pekerjaan, pembangunan, duit, sains dan bidang teknologi, jiwa insani mereka pada suatu masa nanti akan merasai begitu gersang sehingga berlakunya tekanan psikologi. Akibatnya mereka, pemuja material akan kembali kepada fitrah manusia itu sendiri iaitu agama dan elemen humanisme seperti seni dan budaya. Oleh sebab itu amalan spiritual mula mendapat tempat kembali di kalangan masyarakat Barat yang telah tepu dan mencapai tahap klimak dalam pembangunan material. Mahasiswa progresif seharusnya menjadi manusia nahdah dengan akal bukannya dengan jasad. Manusia nahdah mempunyai kefahaman terhadap seni berhujah dan falsafah, sastera dan muzik. Mereka juga bersifat mutafannin atau renaissane man [manusia pelbagai bidang] yang menjiwai ilmu kemanusiaan dan studi humanitatis [Anwar Ibrahim]. Bagi pelajar aliran Islam, bidang kebudayaan perlu didampingi dan perlu memahami asas pemikiran atau falsafah dan amalan harian setiap aktiviti kebudayaan berasaskan kemanusiaan serta mampu pula mengemukakan perspektif Islam dengan cara yang sebaik-baiknya [M. Salleh Yaapar]. Oleh sebab itu, dalam permasalahan cabang [selagi tidak menyalahi prinsip Islam], mahasiswa progresif terutamanya pelajar Islamis perlu menyediakan alternatif bukan menentang secara semberono aktiviti kebudayaan. Bacaan puisi dan teater boleh dijadikan medium utama untuk berdakwah. Dan bolehlah kita melihat mahasiswa progresif aliran Islamis akan bertempur dengan golongan nasionalis atau sosialis bukannya dalam pilihan raya kampus tetapi di atas ranjang aktiviti kebudayaan.

Rumusan.

1. Mahasiswa Progresif akan terus wujud bagi memperjuangkan isu-isu semasa dengan pendekatan berbeda.

2. Mahasiswa progresif beraliran Islamis akan terus berpengaruh di dalam kampus walaupun golongan Islamis tidak lagi menguasai tampuk MPP.

3. Hala tuju Mahasiswa Progresif memerlukan pengarahan semula agar suara mahasiswa progresif terus relevan disebalik dinamika zaman.

2.7.04

Friday, November 23, 2007

Kepimpinan Intelektual Mahasiswa

KEPIMPINAN INTELEKTUAL MAHASISWA: SATU GAGASAN

Oleh MOHAMAD RIDHWAN BIN ALIAS
tokawang_sufi@yahoo

Kepimpinan dan komuniti mahasiswa merupakan satu ikatan yang tidak dapat dirungkai. Dalam sejarah mahasiswa sendiri, kemunculan pemimpin mahasiswa tertentu begitu kuat mencorak perjuangan para mahasiswa di kampus. Menurut Mohamad Abu Bakar dalam artikelnya Kepimpinan dan Komuniti Mahasiswa, pemimpin adalah individu yang berprinsip, berinisiatif dan berfikiran tentang keperluan hidup berorganisasi sama ada dalam keadaan mencabar atau tidak mencabar. Sebenarnya, kekuatan gerakan mahasiswa bergantung kepada kekuatan pimpinan yang berkarisma dalam mengembleng tenaga-idea mahasiswa untuk memperjuangkan sesuatu isu. Perjuangan seseorang pemimpin dilatari dengan pengalaman dan pendidikan yang diperolehi oleh pemimpin tersebut. Universiti sendiri adalah gudang untuk melahirkan pemimpin-pemimpin pada masa depan. Di universiti, bakat dan potensi diri diasuh agar diri mahasiswa tersebut lebih berprestatif dalam kepimpinan organisasi.
Kepimpinan mahasiswa dikatakan lesu sejak kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada tahun 1971. Sebenarnya, kita tidak boleh menafikan AUKU telah memberikan impak negatif ke atas gerakan mahasiswa termasuk ke atas proses kepimpinan mahasiswa. AUKU telah menumpulkan sifat keberanian pimpinan mahasiswa dan menelurkan kesan psikologi yang negatif seperti pengantungan kepada pihak atasan dan bermentaliti subsidi. Keadaan bertambah teruk apabila pemimpin mahasiswa yang aktif selalu dilabelkan sebagai anti establishment. Oleh sebab itu, kebanyakan mahasiswa lebih selesa menjadi ulat buku atau menceburi aktiviti berfoya-foya di luar kampus.
Kepimpinan mahasiswa sewajarnya tidak melihat AUKU sebagai alasan kelesuan gerakan mahasiswa pada masa kini. AUKU sendiri memberi ruang untuk mahasiswa aktif dalam aktiviti berpersatuan dan bermasyarakat. Mahasiswa perlu rasional bahawa suasana pada hari berbeda dengan suasana pada tahun 1970an dimana pada masa itu isu kemiskinan, kedaulatan Bahasa Melayu dan isu antarabangsa berada pada suhu yang hangat. Kini, interprestasi gerakan mahasiswa memerlukan satu anjakan paradigma. Mohamad Abu Bakar dalam artikelnya Kepimpinan dan Komuniti Mahasiswa memberi contoh yang amat menarik dimana para pemimpin mahasiswa Universiti Oxford melakukan satu demonstrasi bersifat intelektual dan rekreasi dengan mengadakan debat dan perlumbaan perahu secara tradisi dengan pemimpin mahasiswa Universiti Cambridge. Disinilah para pemimpin mahasiswa diuji dengan kemahiran berhujah, ketahanan mental, fizikal dan ketinggian ilmu pengetahuan.
Dalam konteks Malaysia, penganjuran seminar atau program lawatan sambil belajar boleh dikatakan menguji potensi diri pimpinan mahasiswa. Para pimpinan mahasiswa perlu mengetahui kos kewangan, pemilihan tempat, publisiti dan sebagainya. Tanpa persediaan yang cukup dari segi mental, emosi dan fizikal, perjalanan program mungkin akan gagal. Dalam program seumpama ini, pembahagian tugas, kemahiran berkomunikasi dan kerjasama berkumpulan merupakan nadi kejayaan program. Untuk menguruskannya, para pemimpin mahasiswa perlu mempunyai ilmu-ilmu bantu yang bukan subjek pelajarannya di universiti dan pemimpin mahasiswa perlu merancang dengan teliti untuk menambahkan keberkesanan program.
Dalam konteks masyarakat kampus pada hari, isu politik menjadi dominan padahal isu politik ada pasang surutnya bergantung pada sesuatu isu. Kita harus sedar, budaya intelektual lebih kekal dan serasi dengan suasana di kampus yang dianggap lembah keilmuan bahkan budaya intelektual boleh mempengaruhi suasana politik kampus dan nasional. Para pimpinan mahasiswa seharusnya mengambil peluang membangun dan memupuk sebuah aliran pemikiran atau School of Thought yang tersendiri. Menurut Mohamad Abu Bakar, para pemimpin mahasiswa boleh menjalankan aktiviti keilmuan yang membabitkan sebahagian mahasiswa dalam rancangan berfikir, berdiskusi, berdialog dan berseminar secara berkumpulan, kemudian mereka membentang dan menyebarkan fahaman mereka.
Aliran pemikiran mahasiswa ini membolehkan mahasiswa berinteraksi dalam kerangka tersendiri walaupun membahaskan isu-isu luar kampus. Kekuatan aliran pemikiran yang tersendiri begitu terserlah semasa kewujudan Kelab Sosialis Universiti Malaya [KSUM]. KSUM mempunyai ideologi yang tersendiri begitu aktif memdiskusikan persoalan masyarakat, kampus, nasional dan internasional dalam ruang pemikiran sosialisme. Keberkesanan aliran pemikiran KSUM cukup mengkagumkan apabila kader-kadernya berjaya menguasai Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dengan penerapan idea sosialisme bahkan KSUM merupakan pembekal utama pimpinan untuk Parti Rakyat Sosialis Malaya (PRSM) dengan kehadiran Syed Hamid Ali dan Dr. Sanusi Osman.
Sebenarnya, secara sedar atau tidak golongan mahasiswa Islamis juga mempunyai kumpulan pemikir tertentu semasa awal tahun 1980an. Kumpulan Islamis tersebut dikenali Kumpulan Republik Islam [RI] yang berpengaruh di Universiti Malaya. Pada peringkat awal, kumpulan ini dikenali kumpulan Enam Kerinchi yang terdiri daripada Mohamad Hussein, Mohd Taib Ahmad, Syed Putra Syed Ahmad, Mohd Fuad Zakarshi, Takiyuddin Hasan dan Azmi Ali telah mengagaskan idea kepimpinan ulama. Kumpulan RI berjaya menumpaskan proksi ABIM-PKPIM untuk memenangi kerusi kepimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya [PMIUM] pada tahun 1983. Kumpulan RI atau Kumpulan Universiti Malaya merupakan pembekal pemimpin-pemikir kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan menguasai kepimpinan PAS dengan kehadiran Husam Musa, Mohamad Hussein, Takiyuddin Hasan dan Mohd Taib Ahmad.
Kekuatan pemikiran kumpulan Republik Islam begitu mantap dilakarkan dalam artikel Aliran Modenisme Dalam Islam oleh Azmi Ali, mahasiswa Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya. Kumpulan Republik Islam mengagaskan aliran pemikiran Islam yang syumul dan murni yang mengkritik keras pemikiran modernisme yang begitu berbahaya dan mengancam akidah Islam. Azmi Ali mengarahkan aliran pemikiran Islam Kumpulan RI iaitu ‘kembali kepada prinsip-prinsip asali Islam’ yang murni.
Kini, trend pemikiran Islam menjadi dominan di kampus-kampus nasional selaras proses kebangkitan semula Islam pada awal tahun 1970an. Jika dulu, trend pemikiran di kampus dihayati oleh organisasi luar tetapi sekarang idealis organisasi luar menjadi ikutan para pemimpin mahasiswa. Oleh sebab itu, masyarakat, media massa dan kerajaan seringkali melabel pemimpin mahasiswa sebagai agen parti oposisi. Dari trend pemikiran berubah kepada ikutan penghayatan ideal politik parti oposisi menyebabkan para pemimpin mahasiswa diikat dan dibelenggu dengan isu-isu perjuangan parti oposisi. Kondisi ini menyebabkan gerakan mahasiswa sukar menjalankan aktiviti-aktiviti keilmuan di kampus.
Para pemimpin mahasiswa kini seharusnya menghayati gagasan kepimpinan intelektual dan mempraktikkan dalam kehidupan amali di kampus dan luar kampus. Gagasan kepimpinan intelektual adalah gagasan berterusan dalam kehidupan kampus bukannya protes politik. Walau bagaimanapun, tuntutan-tuntutan sosial dan politik yang lain perlu juga diambil perhatian dan diterjemahkan gagasan kepimpinan intelektual dalam persoalan tersebut. Contoh, dalam isu kemiskinan, para pemimpin mahasiswa bergayakan gagasan kepimpinan intelektual menyediakan penyelesaian melalui kertas cadangan, debat, khidmat masyarakat dan memorandum kepada pihak berkenaan. Penyelesaian perlu dicari dengan suasana kondusif dimana kaedah demonstrasi jalanan dilihat kurang berkesan kerana mahasiswa dan masyarakat Malaysia sekarang berada dalam keadaan selesa sehingga sukar untuk kebanyakan mahasiswa dan rakyat turun ke jalanan untuk memprotes pihak berkenaan.
Kepimpinan intelektual mahasiswa perlu mengarap fahaman dan ideologi, mengolahnya dan kemudiannya berusaha melaksanakan objektif yang terkandung dalam ideologi tersebut. Peringkat pencambahan minda ini boleh dimulakan dengan pendiskusian buku Risalah Untuk Kaum Muslimin, karangan Syed Naquib al Attas yang cukup bernas membicarakan persoalan aliran pemikiran moden pada hari ini. Sebagai cadangan, buku ini perlu dijadikan bahan bacaan wajib bagi pemimpin mahasiswa. Asahan minda cukup bermaya jika disuntik dengan perdebatan ilmiah yang mencetuskan idea baru atau menyelesaikan polemik yang sedia ada.
Gagasan kepimpinan intelektual mahasiswa yang dihangatkan oleh Mohamad Abu Bakar ini perlu diambil cakna oleh para pemimpin mahasiswa pada hari ini. Mandat besar yang diperolehi oleh parti pemerintah membuktikan rakyat Malaysia belum berkeyakinan melakukan perubahan dan masih berkeinginan berada dalam zon selesa. Oleh sebab itu, kaedah demonstrasi bukanlah jalan terbaik untuk menyelesaikan isu-isu kampus, nasional atau internasional. Para pemimpin mahasiswa perlu menterjemahkan suara intelektual dalam seminar, forum atau penulisan dalam akhbar dan majalah. Penulisan dalam media massa sendiri merupakan kaedah alternatif yang paling murah dan berkesan untuk mengerakkan pemikiran mahasiswa dan masyarakat massa. Keberkesanan ini terbukti apabila kaum muda yang dipelopori oleh Syed Sheikh al Hadi berjaya menyebar-luaskan idea Islah kaum muda melalui akhbar al Iman.
Sebagai konklusi, penulis memetik pendapat Mohamad Abu Bakar dalam artikelnya Falsafah Perjuangan Mahasiswa menyatakan pergerakan mahasiswa seumpama air dari gunung yang mengalir, kadangkala mengalir deras kadangkala perlahan. Air yang mengalir diserap masuk ke dalam tanah dan pada satu masa nanti ia akan keluar dari tanah. Perumpamaan ini mengambarkan perjuangan gerakan mahasiswa terutamanya dalam isu politik ada pasang-surutnya. Suasana dan isu semasa banyak mempengaruhi hala tuju gerakan mahasiswa tetapi pembudayaan intelektual merupakan hala tuju hakiki dan berterusan bagi gerakan mahasiswa di kampus selaras dengan peranan universiti sebagai taman keilmuan.

Disiapkan pada 16 Ogos 2004, 10.36 P.M.

Oh Dzulkhairi: Warkah Untuk Pak Alim

OH DZULKHAIRI…Warkah Untuk Pak Alim
Oleh mamat.com

Penulis ada membaca beberapa nukilan saudara Mohd Dzulkhairi Mohd Nor, Presiden PMIUM, tergeli hati memikir betapa sakitnya kepala saudara dzul yang dikhabarkan warak dan alim ini. Kebanyakan tulisan dzul mengambarkan kekecewaan dan kesedihan pak alim ini. Pak alim ini cuba mendapatkan hasil tergesa-gesa dalam perjuangannya tetapi kurang berjaya. Kesian.

Dalam akhbar siasah, pak alim ini telah mengulang kembali idea gerakan dakwah yang popular pada awal abad ini iaitu menggerakkan gerakan dakwah berteras kebajikan. Satu cadangan yang baik. Pak alim ini menyatakan edaran risalah, nadwah dan ceramah tidak memberi impak yang besar. Dalam konteks ini, kaedah tradisi ini tidak boleh dikesampingkan tetapi dijalin bersama dengan kaedah kebajikan yang dikatakan.

Saudara dzul sebagai pimpinan harus menjelaskan kebajikan semacam mana yang dingini oleh Gerakan Mahasiswa Islam pimpinan saudara. Saudara harus ingat setiap kebajikan yang dilakukan memerlukan pengorbanan yang tinggi terutama dari segi tenaga, kewangan dan masa. Mampukah saudara?. Saudara harus menunjukkan cara bukannya menyatakan dalam bentuk umum yang boleh ahli-ahli pimpinan saudara sama-sama menghentak-hentak kepala bersama saudara akibat kedogolan mereka. Sanggupkah saudara menjadi orang pertama berdiri mengurusi aktiviti kebajikan yang saudara ingini?.

Pak alim menyatakan “pendakwah nampaknya kaya strategi tetapi agak lembap menggerakkannya.” Siapa pendakwah tu?. Saudarakah?. Saudara mesti ingat, saudara berani mengambil tampuk Presiden PMIUM dan GAMIS, oleh sebab itu, saudara harus berani bertanggungjawab menggerakkan aktiviti PMIUM dan GAMIS. Saat lucu atau tidak itulah adalah hasil usaha aktiviti di bawah kepimpinan saudara. Sepatutnya saudara akan dinilai sama ada layak atau tak menjadi Mr.Bean bagi GAMIS dan PMIUM ini.

Persoalan yang menghantui sekarang, sejauh mana peranan pak alim ini melakukan lonjakan usaha untuk mengerakkan GAMIS sebagai badan mahasiswa Islam terbesar di Negara ini? Saudara mesti ingat, saudara adalah ideolog bagi gerakan ini. Maju-mundur gerakan ini terletak diatas kebijaksanaan saudara. Tak usah saudara nak salahkan metode Hasan al Banna. Cipta dan laksanakan metode baru saudara jika mampu. Jangan nanti nama saudara terpapar dalam sejarah pimpinan mahasiswa yang meneruskan lagi kelucuan yang dilaksanakan oleh saudara Ahmad Shabery Cheek, Mohd Fuad Zakarshi dan kekanda saudara, Nazree Yunos.

23/11/07

Thursday, November 22, 2007

MAHASISWA SEBAGAI KARYAWAN ILMIAH

MAHASISWA SEBAGAI KARYAWAN ILMIAH MUDA: SATU CABARAN
MOHAMAD RIDHWAN BIN ALIAS
tokawang_sufi@yahoo.com



Karyawan merupakan insan istimewa yang mempunyai pengaruh agak luas di dalam masyarakat. Sesetengah karyawan yang mendominasi media massa dapat mengawal pengarahan fikiran rakyat. Karyawan lahir daripada gabungan idea insan pemikir dan penterjemah. Buah pemikiran karyawan dalam bentuk dan medium yang pelbagai mampu membentuk pemikiran, kepercayaan dan akhlak manusia.

Sebagai kelompok yang terdedah dengan kegiatan ilmiah, para mahasiswa seharusnya mengambil semangat keilmuan di universiti untuk berkarya. Perpustakaan universiti sendiri merupakan sumber keilmuan yang cukup perkasa dengan bahan-bahan rujukan. Selain itu, pendrafan awal hasil karya juga boleh dibincangkan dengan para sahabat dan pensyarah yang akan memberikan kepelbagaian maklumat dan kritikan. Kedua-dua kelebihan ini membolehkan hasil karya mahasiswa lebih berkualiti dan bersifat ilmiah. Oleh sebab itu, wajarlah mahasiswa ini digelarkan karyawan ilmiah muda yang membezakan dengan karyawan biasa yang hanya tertumpu kepada faham sastera sahaja.

Menurut Datuk Dr. Nik Safiah Karim, karyawan ilmiah adalah pekerja berilmu, berfikir, melakukan keputusan berteraskan ilmu pengetahuan dan menyerlahkan ciri-ciri kepimpinan. Mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda perlu berani tampil mendepani permasalahan sosial, politik dan ekonomi. Penghujahan karyawan ilmiah muda perlu berdasarkan kemapanan antara analisa, fakta dan cadangan membina. Kemapanan ini perlu bagi melahirkan hasil karya yang tidak dicemari unsur-unsur prasangka, dendam dan tuduhan melulu.

Karyawan ilmiah muda perlu mempunyai dimensi penulisan yang agak luas. Hasil karya mereka bukan terhad kepada bidang kesusasteraan sahaja tetapi mencakupi keseluruhan fakulti keilmuan seperti ilmu astronomi, teknologi, agama, kesihatan atau sains sosial. Kebolehan karyawan ilmiah muda yang multidimensi membolehkan mereka bersifat dinamika semasa memdiskusikan sesuatu isu.

Dalam satu wawacara, Fatimah Busu seorang pensyarah ilmu kemanusiaan USM telah membicarakan tentang penerapan teori 3 Darma ke dalam gerak kerja mahasiswa sosialis di USM pada tahun 1970an. Teori 3 Darma meliputi dasar mengkritik, mengintegrasi dan mengkaji. Penulis berpendapat teori ini boleh digarap dalam penulisan para karyawan ilmiah muda. Mahasiswa perlu bersikap kritikal terhadap isu-isu massa dengan melakukan kritikan di samping memberi cadangan membina untuk mengatasi isu tersebut. Antara isu yang boleh mahasiswa tangani adalah isu pengangguran, isu masyarakat pinggir bandar dan isu peningkatan kualiti rakyat di desa.

Penulisan mahasiswa juga perlu bersifat integrasi dimana isu-isu yang diperjuangkan seharusnya merentasi sempadan kaum, ras, agama dan geografi. Dengan ini perjuangan mahasiswa akan diterima oleh masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk. Sesuai dengan status mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda, elemen mengkaji menjadi tunjang kepada penghasilan karya mahasiswa. Satu kajian terperinci dan berterusan perlu dilakukan terhadap fakta-fakta dengan analisis yang jitu. Hasil kajian ini akan diterjemahkan ke dalam karya untuk santapan masyarakat.

Perterjemahan idea mahasiswa boleh dilakukan dalam pelbagai genre termasuk puisi, novel, cerpen atau rencana. Presiden Persatuan Bahasa Melayu USM, Fatimah Sham Hamid Tuah pernah mengkritik dasar-dasar universiti melalui cerpennya yang bertajuk Surat Dari Minden dalam Dewan Sastera pada tahun 1970an. Kritikan ini secara halus dan tersirat agak sukar ditangani oleh pihak penguasa kerana hasil sastera merupakan cerita kreatif. Kritikan yang menarik dalam hasil karya sastera dapat dilihat dalam tulisan karyawan profesional seperti Azizi Abdullah, Shahnon Ahmad dan Affandi Hasan.

Hasil karya merupakan satu wasilah kepada permindahan ilmu, maklumat dan amanat pimpinan kepada audien pembaca dan para pengikut sesuatu aliran atau jemaah. Mata pena merupakan senjata yang amat tajam dan paling lama dapat bertahan. Syed Naquib al Attas menyatakan hasil karya merupakan sumbangan yang bersifat kekal abadi daripada kerajaan, negara, dan tindakan manusia yang akan lupus. Di Mesir, pemerintah Mesir berjaya menghukum as Syahid Iman Hasan al Banna dan as syahid Syed Qutb secara fizikal, dan menumbangkan institusi seperti Ikhwanul Muslimin seranap mungkin tetapi pemerintah Mesir gagal mematikan gagasan pemikiran Ikhwanul Muslimin yang terus hidup dalam hasil karya seperti Petunjuk Sepanjang Zaman dan Risalah Ta’alim.

Walaupun karyawan bukan seorang pemimpin institusi, tetapi karyawan dalam setiap institusi merupakan tonggak yang begitu berpengaruh tanpa kuasa pimpinan. Lihatlah hasil karya Syed Qutb, Said Hawwa, Malek Bennabi, Syed Naquib al Attas, Ismail al Faruqi, dan Yusuf al Qaradawi yang banyak mempengaruhi pemikiran gerakan Islam di seluruh dunia. Kebanyakan karyawan ilmiah ini dianggap tokoh ideolog yang merancang halatuju perjuangan gerakan tanpa kuasa arahan yang dimiliki oleh pimpinan institusi.

Keterlibatan mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda pernah memeriahkan dunia penulisan semasa zaman kegemilangan gerakan mahasiswa pada tahun 1970an. Mahasiswa mempunyai medium yang tersendiri seperti akhbar Mahasiswa Negara, Berita Pelajar, Suara PBMUM dan Berita Kampus. Akhbar ini merupakan suara perjuangan mahasiswa dengan hasil karya mahasiswa dalam bentuk sastera dan rencana yang bersifat responsif terhadap isu-isu antarabangsa, nasional dan kampus. Dalam dimensi inilah lahirnya karyawan ilmiah muda berbakat yang kini telah mencipta nama dalam persada akademik, politik, kebudayaan dan pentadbiran. Antaranya ialah Muhamad Abu Bakar, Ahmad Sebi, Johan Jaafar dan Mansor Ahmad Saman.

Kini kegemilangan akhbar mahasiswa dilihat layu, selayu dengan perkembangan mahasiswa generasi baru. Ketiadaan medium di dalam kampus menyebabkan mahasiswa bertindak mencari medium di luar kampus yang bersifat simpatis kepada nasib gerakan mahasiswa seperti akhbar Watan, Eksklusif, Tamadun, Tunas Cipta dan MINDA. Maka muncullah segelintir mahasiswa sebagai karyawan ilmiah generasi baru yang berbakat dan berstatus pemimpin mahasiswa seperti Mukthar Suhaili [UIA], Muhd Raimi Abdul Rahim [PKPIM] dan Muhamad Ramadan Fitri [UM]. Selain itu, terdapat juga mahasiswa sebagai karyawan muda yang non-pimpinan dan menumpukan kepada penulisan sastera kreatif dan rencana sastera seperti saudara Dahri Zakaria, Anjan Ahzana dan Jimadie Shah atau penulis dari Kelab Intelektual Muda UIA, Sekretariat Muda GAPENA, dan Kelab Seni Jalan Telawi.

Sebenarnya, ketiadaan akhbar atau majalah di peringkat kampus telah memandulkan bakat mahasiswa dalam penulisan, membantut keintelektualan para mahasiswa untuk berdialog dengan pelbagai sumber keilmuan dan menghilangkan kebersamaan mahasiswa dalam menyelesaikan isu-isu masyarakat. Akibatnya, tenaga-idea mahasiswa diarahkan kepada perkara yang bersifat remeh ala ‘pelajar TABIKA KEMAS’ seperti festival nyanyian dan perbarisan hari kemerdekaan di dalam kampus yang dilakukan pada waktu malam. Bukan tidak boleh melakukan perkara tersebut tetapi biarlah mahasiswa melakukan perkara yang lebih gah sesuai dengan tahap keintelektualan mereka.

Karyawan ilmiah muda harus kenal diri, memahami tanggungjawab dan peranan bakal mereka pikul. Peranan dan tanggungjawab mereka perlu dibina di atas status mereka sebagai muslim atau berpaksi nilai-nilai ketimuran. Karyawan ilmiah muda yang baik adalah karyawan yang mempunyai ketinggian mutu dalam budaya, akhlak dan pemikiran serta berupaya membentuk watak manusia melalui penanya. Mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda tidak seharusnya tahu bermuluk-muluk dengan pena sahaja tetapi perlu menunjangkan penulisan mereka kepada kesedaran dan penghayatan nilai-nilai moral dan agama yang semakin tercabar ke dalam kelakuan amali.

Cabaran karyawan ilmiah muda ialah membebaskan diri daripada kejahilan yang dipelopori karyawan komersial. Karyawan jenis ini menyalurkan maklumat picisan dan hiburan ke dalam penulisannya. Kisah gosip, sensasi dan cacian menjadi teras hasil karya karyawan komersial yang hanya mencari populariti dan habuan material. Karyawan ilmiah muda perlu menghasilkan karya yang sarat dengan ilmu yang murni dan bermanfaat. Ilmu yang bertunjang fakta dan kajian serta tunduk kepada arahan al Quran dan hadis. Mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda tidak seharusnya bersifat fakir ilmu yang digambarkan sebagai ‘rubbish in, rubbish out’. Tanpa kekuatan ilmu, hasil karya mereka akan dianggap sampah pemikiran yang mengelirukan akal budi pembaca.

Hasil karya karyawan ilmiah muda haruslah dibersihkan daripada sifat mencari kenikmatan dunia melalui habuan material. Seorang karyawan agung adalah karyawan yang membebaskan dirinya daripada penggadaian ilmu, akhlak, bersifat profesionalisme dan menjaga maruahnya bukan untuk keuntungan dunia yang sementara. Sifat tamak dunia ini disifatkan oleh Iman Ibnu Athaillah al Iskandari dalam kitab Matan al-Hikam, sebagai memanjang dahan kehinaan manusia dimana biji tamak akan bercabang-cabanglah dahannya dan ranting-rantingnya. Mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda mesti memerdekakan diri dan minda agar tidak terpengaruh dengan pujukan yang bersifat material. Kejujuran dalam hasil karya akan melahirkan karyawan yang berautoriti dan berwibawa.

Karyawan ilmiah muda perlulah bertunjangkan kepada tradisi Melayu-Islam iaitu melahirkan hasil karya yang disuluhi oleh ajaran al Quran, hadis dan tradisi ketimuran. Penularan fahaman humanisme yang ekstrem di kalangan karyawan muda sangat membimbangkan terutamanya karyawan muda yang bernaung di bawah Kumpulan Universiti Bangsar Utama [KUBU]. Kekaguman ini terserlah dalam hasil karya mereka yang bersifat erotik, mempersoalkan agama dan memuja idea-idea humanisme secara taksub. Tanpa suluhan agama, karyawan muda akan mengutip hasil keringat mereka hanya di dunia yang bersifat sementara dan habuan di negeri akhirat ditinggalkan demi fantasia faham humanisme mereka yang mengelirukan akal pembaca.

Karyawan ilmiah muda juga perlu mempunyai jalur perjuangan yang tersendiri dimana mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda perlu tegas dengan idealis dan pendirian yang tersendiri tanpa dibelenggu idealis kelompok-kelompok berkepentingan. Mereka perlu menyedari tentang seni perbezaan pendapat dan berfikiran rasional dengan pendapat yang menentang pendapat mereka. Ingatlah setiap hujah yang bertentangan adalah rahmat kerana karyawan ilmiah muda boleh berdialog dengan sumber yang lain dan sekaligus mempertahankan hujah karyawan ilmiah muda dengan fakta ilmiah. Jika hujah karyawan ilmiah muda tersilap, akuilah kesilapan dengan sifat keterbukaan. Inilah sifat karyawan yang unggul hati nuraninya.

Akta Universiti dan Kolej Universiti[AUKU] dilihat satu regalia yang menghalang pengarapan idealis mahasiswa di dalam media massa. Bahagian III Perkara 15 dan 16 dalam AUKU telah memandulkan pemikiran dan aktiviti mahasiswa di universiti termasuklah menyekat hak mahasiswa membuat kenyataan akhbar dan menulis dalam media massa. Sebenarnya, setiap penulisan perlu mendapat kebenaran daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar akan mengancam kebebasan akademik mahasiswa. Mahasiswa perlu berani menongkah arus AUKU selagi tiada unsur propaganda atau hasutan yang mengancam keselamatan negara dalam penulisan mereka. Justeru, keberanian beberapa pimpinan mahasiswa telah membuktikan mereka boleh menangani isu politik dengan baik perlulah dipuji dan dikagumi. Kita harus membezakan antara isu politik dengan politik kepartaian. Perbedaan ini diharap menjadi indeks bagi karyawan ilmiah muda dalam menyelusuri isu-isu politik semasa.

Keseluruhannya, mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda adalah satu cita-cita yang belum mantap dalam pelaksanaannya. Mahasiswa perlu pantas mengambil peluang di universiti bagi menggarap potensi diri supaya kelahiran karyawan ilmiah muda yang berkualiti, berakhlak, berilmu dan bertakwa dapat direalisasikan. Pengayuh sampan ditangan mahasiswa, atas budibicara mahasiswalah untuk mendayung sampan kehidupan ini ke arah positif atau negatif.

HALA TUJU PEMIMPIN PELAJAR ISLAM

HALA TUJU PEMIMPIN PELAJAR ISLAM..
Oleh MOHAMAD RIDHWAN BIN ALIAS


Pemimpin pelajar merupakan icon penting dalam sesebuah organisasi mahasiswa. Mereka adalah suri tauladan dan sumber utama ideologi yang mengarah pemikiran dan tindakan setiap ahli dalam organisasi. Begitulah juga pemimpin pelajar Islam [PPI] yang memegang tampuk pimpinan organisasi mahasiswa Islam. Seperti yang kita maklumi organisasi mahasiswa Islam yang aktif di Malaysia terdiri daripada Persatuan Mahasiswa Islam [PMI], Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia [PKPIM] dan Kelab Rakan Islah Mahasiswa [KARISMA].

Pemimpin pelajar Islam di kampus bukanlah pemimpin yang sebarangan kerana mereka dibaiah oleh pendukung perjuangan Islam di kampus. Orang selalu memburuk-burukkan konsep baiah sebagai perbuatan taksub dan ekstrem. Sebenarnya, kita selalu tertipu oleh propaganda musuh Islam, baiah adalah warisan Islam yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam perjanjian Aqabah dan Baitul Ridhwan. Baiah tidak boleh dilakukan kepada sebarangan orang. Baiah hanya boleh diberi kepada pemimpin yang alim, beramal dengan ilmunya dan berakhlak mulia. Cuma terdapat golongan ekstrem yang menyalah-gunakan baiah untuk kepentingan peribadi mereka. Oleh sebab itu, as Syahid Iman Hasan al Banna membentuk rukun baiah al Ikhwan bagi dihayati oleh para pengikut al Ikhwan yang mahu baiah kepadanya. Baiah jenis ini dapat mengurangkan ketaksuban tanpa ilmu pengikut kepada pemimpin sesebuah organisasi Islam.

Masyarakat luar, media massa dan mahasiswa selalu keliru tentang konsep baiah. Sebenarnya, kebanyakkan pemimpin pelajar Islam yang dibaiah adalah seorang yang alim, mempunyai pencapaian akademik yang baik dan berupaya berhujah dan mengurus organisasi dengan baik tetapi fitrah dunia membuktikan setiap kebaikan akan ditentang. Kalau Muhammad SAW yang diakui al-amin dan berbudi bahasa ditentang, apatah lagi insan kerdil yang dinamakan pemimpin pelajar Islam. Begitu juga Iman Hasan al Banna, keperibadian dan kealiman beliau telah berjaya menyinari roh perjuangan pengikutnya. Maka lahir insan kental dalam perjuangan Islam seperti Hajjah Zainab al Ghazali, Aminah Qutb, Musthafa al Masyhur dan Makmon al Hudaybi yang begitu hebat dizalimi.

Jika kita meneliti kebanyakkan pemimpin pelajar Islam, kita terpaksa mengakui kelebihan mereka. Jangan kita membenci mereka sehingga kita melupai kebaikan yang dimiliki oleh mereka. Permasalahan taksub terjadi apabila golongan ‘thaliban’[gelaran bagi golongan ekstrem dalam gerakan mahasiswa Islam] dalam gerakan pelajar Islam telah menyalah-gunakan semangat baiah ini untuk mencapai matlamat secara tergesa-gesa. Mereka ini selalu tersilap langkah dalam perencanaan dakwah sehingga perjuangan mereka tercalit dengan persepsi negatif daripada kerajaan, penguasa kampus dan masyarakat. Fenomena ekstrem ini berlaku dalam setiap organisasi dan ia adalah wahana semula jadi bagi memperseimbangkan kuasa dalam sesebuah organisasi. Dalam parti pemerintah pun terdapat golongan ekstrem, masih ingat lagi siapa yang memanjat tembok Dewan Perniagaan Cina Selangor atau siapa yang mendesak Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatannya melalui surat layang dan golongan yang membangkitkan peristiwa 13 Mei dalam setiap perhimpunan agung partinya.

Dalam penelitian penulis, para pemimpin pelajar Islam tidak seradikal seperti yang diwar-warkan dalam media massa pro-pemerintah bahkan kita dapat merasai nilai persaudaraan begitu kuat ketika bersama mereka. Penulis mengakui ada di kalangan mereka yang tegas dan tergesa-gesa sehingga kadang-kala mereka tersilap langkah kerana terlalu sayangkan Islam. Pemimpin agung kita, Tun Dr. Mahathir sendiri seorang tegas seperti menolak pakej ekonomi Tabung Kewangan Antarabangsa [IMF]. Impaknya sehingga kini ekonomi kita dapat bertahan.

Pemimpin pelajar Islam haruslah menyalurkan semangat baiah ahli kepada mereka melalui wadah perjuangan yang positif. Adalah sedih jika pemimpin pelajar Islam mempergunakan pengikut dan persatuan untuk kepentingan survival politik mereka. Mereka cuba menonjolkan diri mereka dalam pimpinan organisasi, memimpin demonstrasi dan mengkritik kerajaan dan HEP tetapi di dalam hati mereka terselit niat untuk mempromosi diri agar ‘dibeli’ oleh pihak tertentu. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika kita melihat ramai pemimpin pelajar Islam yang menjilat ludahan mereka kembali, siapa yang tidak mengenali Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Fuad Zakarshi, Che Johan Che Pa dan Ahmad Shaberry Cheek yang cukup lantang semasa di kampus.

Pemimpin pelajar Islam adalah manusia biasa yang mempunyai kepentingan semasa, mereka juga boleh jadi seorang mahasiswa yang tidak mahu menganggur. Kelantangan mereka di kampus untuk menonjolkan bakat politik mereka kepada pihak tertentu. Sejak di kampus lagi mereka melakukan ‘ziarah politik’ terhadap pimpinan parti pemerintah untuk menyalurkan kalimah indah untuk bersama parti pemerintah. Maka ada pemimpin pelajar Islam menjadi ‘orang-orang’ bagi tokoh tertentu dalam parti pemerintah. Mereka mula mengabaikan pengharapan tinggi pendukung gerakan pelajar Islam di kampus kepada mereka.

Penulis teringat bicara seorang pensyarah ekonomi di Universiti Malaya yang menyatakan ‘sokong PAS dapat apa?’. Anekdot ini cukup mengejutkan penulis apabila orang yang memiliki kelas ilmu yang tinggi bercakap persis orang kampung di Terengganu yang mendapat wang ehsan. Gejala material ini turut terkena kepada para pemimpin pelajar Islam. Akibatnya mereka menjauhkan diri daripada gerakan Islam setelah tamat belajar. Mereka mengatakan mereka sokong perjuangan Islam dari dalam dan senyap-senyap. Inilah janji pemimpin pelajar Islam yang palsu. Selepas mendapat kuasa, gerakan Islamlah yang mereka caci dan cemuh.

Platform perjuangan Islam bukan disempitkan dengan menyertai PAS sahaja, pemimpin pelajar Islam boleh menyertai gerakan Islam atau organisasi yang mengislahkan masyarakat Islam yang lain seperti ABIM, JIM, PUM, PERKIM atau Persatuan Pengguna Islam. Perjuangan Islam melalui pendekatan politik bukanlah segala-galanya. Pemimpin pelajar Islam juga boleh menyertai elemen-elemen pentarbiyahan Islam dengan menjadi guru, pensyarah universiti atau menyertai organisasi kerajaan yang dapat membantu proses dakwah Islam. Pantang bagi pendukung gerakan Islam mengherotkan idealis Islami mereka kepada idealis sekular-nasionalisme.

Pengkhianatan dalam gerakan Islam bukanlah sesuatu yang baru. Hasan al Baquri, seorang ulama al Azhar yang disebut-sebut menjadi calon bakal Mursyidul Aam al-Ikhwan kedua, apabila diberikan jawatan menteri dalam kabinet Mohamad Naquib sanggup mengabaikan arahan Majlis Syura al Ikhwan dan Mursyidul Aam al-Ikhwan kedua, Iman Hasan al-Hudaybi supaya meletakkan jawatan. Dan siapa yang tidak mengenali Ustaz Nakhaie Ahmad, pakar pembuat kertas kerja yang mempertahankan organisasi yang disertainya telah menyertai parti pemerintah sewaktu memegang jawatan Naib Presiden PAS. Jika dulu beliau mempertahankan wira-wira Mamali dalam penulisannya, kini beliau mempertahankan parti pemerintah dalam isu Islam Hadhari. Tempias ini turut terkena kepada pemimpin pelajar Islam dimana ketika di kampus, mereka begitu kuat mempertahankan perjuangan Islam tetapi di dalam kerajaan mereka membisu seribu bahasa terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan bahkan mereka pula yang mencaci nasihat dan idealis pendukung Islam.

Tradisi melompat platform menjadi trend kepada pemimpin pelajar Islam yang ingin menikmati habuan dan kemudahan tertentu. Amatlah malang jika seseorang yang dulunya alim, faham agama itu syumul dan dicemuh kerana menggerakkan dakwah di kampus telah beralih ke lubuk sekular-nasionalisme. Mereka bukan sahaja bertukar platform tetapi bertukar idealis. Sesunggunhya memang benarlah bahawa iman kita boleh berubah-ubah dan hidayah hanya boleh dikurniakan oleh Allah SWT sahaja. Persoalannya sekarang, adakah anekdot pengkhianatan dan main politik pemimpin pelajar Islam akan terus berlangsung?. Kita menunggu langkah politik saudara Hishamuddin Abu Bakar, Muhamad Ramadan Fitri, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Mukthar Suhaili, MOHD DZULKHAIRI dan Mohd Fuad Mohd Ikhwan.

haramkan PMI?

HARAMKAN PMI: RELEVAN ATAU TAK?...
OLEH AGUS SALIM
tokawang_sufi@yahoo.com


Haramkan Persatuan Mahasiswa Islam [PMI] mungkin membawa persepsi yang berbeza di kalangan ahli masyarakat kampus. Persoalan utama yang timbul adakah wajar PMI diharamkan. Bagi pendokong PMI akan menyatakan ketidakwajarannya dan begitulah sebaliknya bagi pelajar pro HEP, pro-UMNO dan lain-lain pendokongnya. PMI wajar diharamkan disebabkan mereka memecahbelah masyarakat kampus, anti kerajaan dan tidak mahu bekerjasama dengan HEP kononnya. Di UKM, ISIUKM dikatakan akan dibubarkan manakala di UM, PMIUM sedang dibelasah oleh pihak HEP dengan pelbagai cara dengan harapan ia membawa kepada satu proses penentangan PMIUM secara besar-besaran bagi mewujudkan kewajaran pengharaman PMIUM. Di universiti lain, persatuan bercorak entiti perkauman, negeri dan agama cuba dibubar, ia ke arah membawa kepada pepecahan kata ‘mereka’, diadakan pula kelab penyayang, kelab perpaduan dan kelab wawasan sebagai alternatif kepada penyatuan. Terbaru kelab Islam Hadhari. Pengharaman ini diharapkan menjadi satu realiti bagi sesetengah pihak.

Sebenarnya, pengharaman PMI berpunca daripada persoalan politik bukannya perpaduan. Perpaduan hanyalah alat untuk orang politik. Kebetulan PMI mendasari prinsip Islam sebagai teras perjuangan bersamaan pula dengan dasar perjuangan PAS. Secara langsung dan tak langsung hubungan ‘satu ideologi’ [istilah ini tidak tepat] ini membawa satu kemarahan kepada parti pemerintah sehingga HEP cuba mengambil hati parti pemerintah dengan menghancur-lumatkan pengaruh anak seluang PAS di kampus. Oleh sebab itu, pertempuran di kampus dilihat satu perjuangan politik di antara PAS vs UMNO. Perkara ini tidak boleh dinafikan. Lihatlah penajaan parti-parti ini kepada anak seluang mereka di kampus.

Ramai orang terutamanya HEP dan anak seluang pro UMNO bersetuju agar PMI diharamkan. Haramkan PMI, penggugat kuasa kerajaan dan HEP. PMI sepatutnya diharamkan kerana mereka antiperpaduan, golongan pelampau agama, jumud, basi dengan fiqh tradisional dan berpandangan sempit. Ini antara tuduhan mereka. Tapi wajarkah PMI diharamkan sebagaimana ramai di antara politikus dan penyokong UMNO mengharapkan PAS diharamkan melalui proses menyifarkan pengaruh PAS di Selangor sebagai contoh. Bagi penulis pengharaman PAS atau PMI adalah tidak wajar. Kita telah mematikan demokrasi dan hak kebebasan bersuara. Kewujudan pembangkang sangat perlu bagi sesebuah negara demokrasi. Oleh sebab itu, Astora Jabat mahukan PAS menjadi pembangkang yang kuat bukannya lemah. Tanpa pembangkang, parti pemerintah akan menjadi diktaktor, paling kurang mengalami perpecahan sesama sendiri.

Tanya diri, tanpa musuh dengan siapa kita nak bermusuh jika musuh dihapuskan? Hidup kita ini umpama Yin dan Yan dalam kosmologi Korea. Hitam-putih, jantan-betina, lubang hidung kanan-lubang hidung kiri. Kan bertentangan. Bermusuh, bertentangan dan berbeza itu adalah fitrah alam bahkan ia satu rahmat. Seronokkah hidup seorang lelaki tanpa seorang perempuan? Musuh Islam adalah orang kafir. Lebih sempit musuh Islam adalah yahudi. Secara tasawuf pula adalah nafsu dan secara hakiki adalah syaitan. Bermusuh adalah keperluan dan kebiasaan dunia. Dalam bermusuh kita perlukan adab dalam bermusuh. Contoh, walaupun orang Islam sangat membenci Abu Jahal tetapi Nabi SAW melarang sahabat membangkit kejahatan abu Jahal di hadapan Ikrimah ibnu Abu Jahal yang telah Islam. Moralnya, jika bermusuh dengan ayahnya, jangan bersabit dengan ahli keluarga yang lain. PMI dianggap bermusuhan dengan pendokong HEP. Inilah adat perjuangan yang ada sifat bermusuhan. Bermusuhan tidak semestinya kita menghapuskan musuh kita terutamanya kebaikan musuhnya.

Politik kampus membawa satu pertarungan politik diantara dua pihak pelajar. Pertarungan ini akan berlangsung secara pesta demokrasi yang subur jika tiada campurtangan HEP. Peranan HEP pada asalnya bertujuan membimbing persatuan pelajar tetapi kini HEP cuba mengawal dan menguasai persatuan pelajar. Ingat!! persatuan mahasiswa bukan boneka atau barua HEP. Mereka bukan pelajar sekolah. Kebebasan perlu diberi kepada persatuan pelajar dalam beraktiviti dan HEP perlu menasihati persatuan pelajar atas perkara prosedur sahaja. Mahasiswa bukan robot berdagingkan manusia. Pertarungan politik ini bertujuan merebut kuasa. Kuasa, perempuan dan harta adalah legasi purba yang membawa kepada perebutan di antara manusia sehingga tertumpahnya darah pertama di muka bumi. Lihat peristiwa habil dan qabil berebut kerana seorang perempuan. Perebutan kuasa dalam politik kampus di antara pihak yang ingin menegakkan prinsip dan menjaga maruah ‘kaum mereka’ dengan pihak yang mahu sesuatu yang disokong oleh golongan pembodek yang ingin menunjuk ‘aku lebih berkuasa’. Pertarungan ini akan berlaku dan terus berlaku. Ia merupakan satu fitrah.

Pengharaman PMI tidak akan menyelesaikan masalah. Lihat Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Syria, mereka terus hidup dan hidup walaupun mereka diharamkan. PMI bukanlah tokoh individu tetapi PMI adalah sebuah institusi yang berprinsip dan mempunyai ‘ideologi’. Ketiadaan atau kematian pemimpin dan pengharaman fizikal pertubuhan tidak menjadi masalah bagi gerakan Islam termasuk PMI. Mungkin secara realiti kita dapat melihat PMI hilang tanpa jejak melalui perdaftaran atau aset persatuan tetapi roh perjuangan mereka akan terus membara dalam sanubari pendokong PMI. Lihat pendokong PMIUTM muncul kembali walaupun direhatkan oleh HEP ekoran kes nor hayati. Percayalah api perjuangan PMI tidak akan padam. Oleh sebab itu, biarlah PMI berjuang dengan caranya. Pihak HEP boleh bertempur dengan PMI dengan pelbagai cara yang unik dan bombastic. Saya percaya mereka dengan hati terbuka sanggup menerima cabaran HEP kerana mereka insan perjuangan, adat bejuang disakiti orang.

PMI bukan hanya wadah perjuangan pemimpin dan aktivis pelajar Islam yang ikhlas dan istiqamah dengan prinsip amal Islami yang dikatakan pro pembangkang tetapi PMI merupakan tiket untuk pemimpin mahasiswa tertentu mencari populariti sebelum menjejaki politik sama ada di pihak pemerintah atau oposisi. Agenda melahirkan lagenda. Pihak HEP perlu mengingati PMI bukan sahaja menghasilkan kader parti oposisi tetapi ramai pimpinan PMI terutamanya berjawatan dalam MPP telah berhijrah ke dalam parti pemerintah. Kebanyakan mereka semasa zaman mahasiswa dianggap radikal dan ekstrem. Lihatlah Che Johan Che Pa [aktif dalam UMNO Pasir Mas], tokoh PMUM yang ingin menyeret kerajaan ke mahkamah semasa membela Ahmad Lufti dalam kes purdah di UTM, lihat juga Ahmad Shabery Cheek[MP Kemaman] memimpin demonstrasi anti-AS, Mohd. Khir Toyo [MB Selangor] aktivis PMIUM. Pemimpin radikal yang menggugat kerajaan dan banyak mengecam kerajaan seperti Noordin Razak [Pengarah DBKL], Presiden PBMUM, Kamarazaman Yaakob [UMNO Temerloh], pemimpin PMUM yang rampas kuasa pentadbiran UM bahkan Anwar Ibrahim [nyaris menjadi PM Malaysia] adalah pimpinan PMIUM, PKPIM dan PBMUM. Kini, beberapa pimpinan mahasiswa PMI pasca peristiwa 1998 cuba berjinak-jinak dengan UMNO. Dalam PMI mereka ingin menonjol diri mereka agar dikenali oleh parti pemerintah sehingga mereka didatangi oleh anasir yang menawar pangkat, kuasa dan harta.Oleh sebab itu tidak relevan bagi HEP atau kerajaan menghukum PMI sebagai lubuk pembangkang.

Dari segi politik kampus, satu saranan agar pihak IPTA dan IPTS seperti KUKTEM, KUSTEM dan UiTM membenarkan penubuhan PMI di kampus masing-masing bagi menyegar kembali suasana politik kampus. PMI dapat memberi cabaran kepada pihak lawan agar bertindak lebih baik. Kemenangan tanpa bertanding menghilangkan kehangatan pesta demokrasi dalam pilhanraya kampus dan ia menyempitkan pemikiran mahasiswa yang menganggap kewujudan pembangkang membawa kehancuran kepada varsiti. Sebenarnya, PMI bukanlah pembangkang secara mutlak, mereka ada alasan tersendiri kadangkala bertentangan dengan HEP dan banyak juga yang bersamaan. Cuma politik punya pasal, PMI dikembirikan [dikambing-hitamkan]. Macam persoalan teroris di peringkat global, setiap keganasan akan dikaitkan kepada al Qaeda dan Osama Ben Ladin. Semua pihak kecuali mereka ini baik belaka. Tidak adil, bersikap prejudis. Jangan wujudkan suasana PMIfobia di kampus.

Penulis bukanlah pendokong kaedah politik kepartaian kerana ia banyak membawa dampak negatif dalam masyarakat kita tetapi penulis terpaksa menerima kaedah ini kerana inilah kaedah yang terbaik yang ada pada masa ini dalam berpolitik. Politik kepartaian menyempitkan pemikiran masyarakat dengan menyokong parti tertentu tanpa mengambil atau melihat kebaikan pihak yang dimusuhinya. Politik kita bertuhankan kaedah Barat menghancurkan nilai-nilai Islam. Inilah kebijaksanaan dan perancangan teliti oleh pejajah agar umat ini berbalah sesama sendiri. Penulis percaya politik dalam Islam mencakupi definisi yang lebih luas. Dan akhirnya penulis menegaskan pengharaman PMI bukanlah perbuatan yang relevan bahkan ia akan memburuk suasana. Ia akan mematikan kesuburan demokrasi politik kampus yang semakin lesu. Dan adalah baik, jika HEP membiarkan PMI bertarung dengan anak buah HEP tanpa campurtangan si ibu ‘HEP’. Barulah menarik. Kita nak bertarung tinju, biarlah bertarung dalam pemain tinju bukannya pemain gusti. Bertempur dengan cara yang elok, ambil tatatertib bermusuhan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW....


6.09.04

mahasiswi menggugat?

MAHASISWI ISLAM MENGGUGAT?
Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias.[*]
tokawang_sufi@YAHOO.com

Manusia Hawa dicipta dari tulang rusuk Adam
Bukan dari kepalanya untuk dijunjung,
Bukan pula dari kakinya untuk dijadikan alasnya,
Tetapi daripada sisinya untuk dijadikan teman hidupnya,
Dekat dengan lengannya untuk dilindungi,
Dekat dihatinya untuk dicinta

Begitulah keindahan bicara ditujukan kepada golongan wanita yang cuba dilupakan peranannya dalam sejarah sesebuah masyarakat. Perkara ini pernah diluahkan oleh Anna Davin pada tahun 1972 dalam artikelnya, Women and History menyatakan ‘sebaik-baik sahaja kita bertanya bagaimana kehidupan pada masa lalu, kita akan menyedari bahawa perkara ini begitu jarang disentuh’. Secara tradisi, sejarah perjuangan wanita selalu dikesampingkan bagaikan tidak bernilai. Sebenarnya kita silap, wanita adalah watak sebalik tabir mempunyai jasa yang amat besar dalam setiap perjalanan ketamadunan manusia. Jika kita menyelinap dalam buku Sejarah Melayu versi Winstedt, digambarkan ketika Sultan Mahmud Syah ingin melantik Bendahara, baginda sultan telah mendengar suara bondanya dari balik pintu yang menyuruh baginda melantik Tun Mutahir sebagai Bendahara. Suasana ini menunjukkan kuasa wanita Melayu cukup berpengaruh dalam pelantikan jawatan politik sejak Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Masyarakat Melayu mempunyai weltanschuung berasaskan tradisi lelaki yang cukup berpengaruh sehingga wanita Melayu-Islam selalu sahaja dibelenggu kerisauan tentang hak-hak sosial mereka dipermainkan. Perkara ini disuarakan secara sinis oleh Syed Syeikh al Hadi dalam karya saduran yang terkenal Hikayat Faridah Hanum dimana Faridah Hanum menyatakan ketidakpuasan hatinya berdasarkan dialognya ‘sekalian perempuan bahawa kita sekalian ini tidak berguna di dalam kehidupan perhimpunan kaum dan bangsa dan watan lain daripada kegunaan kuda tunggang atau tukang masaknya dan tukang basuh kain bajunya’. Syed Syeikh al Hadi mengambarkan bahawa selama ini wanita hanya alat yang tidak menyedari tentang hak-haknya sebagai wanita.

Dalam gerakan pelajar terutamanya di Malaysia, peranan mahasiswi juga turut dilupakan sedangkan mahasiswi banyak berjasa dalam gerak kerja gerakan pelajar. Dalam akhbar Mahasiswa dan laman web Idealis Mahasiswa, bagaikan satu pakatan membelasah mahasiswi Islam dengan pelbagai tohmahan. Isu yang paling menonjol adalah kisah mahasiswi Islam yang gagal membahagi masa antara berpersatuan dengan belajar iaitu Wan Norhayati Wan Alias [PMIUTM] dan Nuraimah Suratin [PMIUSM] yang mendakwa mereka telah dipergunakan oleh parti oposisi. Dan terbaru kisah perarakan bermotor mahasiswi Islam dalam pilihanraya kampus 2004 di Universiti Malaya. Walaupun kedua-dua media massa memberikan pandangan yang negatif, para mahasiswi Islam perlulah mencari formulasi yang berkesan untuk menjernihkan objektif dan metode perjuangan mereka di kampus.

Masalah utama mahasiswa dan mahasiswi sekarang adalah tidak mengenali pemaknaan falsafah perjuangan mereka sendiri. Mereka boleh mengenali elemen-elemen pembangunan fizikal tetapi buta daripada mengenali pembangunan insani diri mereka. Menurut Muhammad Abu Bakar dalam artikel Falsafah Perjuangan Mahasiswa, falsafah perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai pelajar universiti, fungsi mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa dan situasi mereka sebagai kumpulan individu yang seringkali terdedah kepada pengolakan dunia semasa. Ketiga-tiga elemen ini perlu memberi impak kepada pemaknaan diri mahasiswa yang merangkumi watak dan aspirasi mahasiswa. Persoalan yang timbul, berapa kerat mahasiswa yang memahami ketiga-tiga elemen berbanding longlai bersama aktiviti berseronok di universiti?

Golongan terpelajar terutamanya mahasiswi Islam seharusnya faham kedatangan mereka ke kampus bukan sahaja untuk belajar tetapi mengembangkan potensi diri ke arah menjadi manusia yang baik. Menurut Syed Naquib al Attas, manusia baik (good man) bukan sahaja bijak dalam pelajaran tetapi bijak juga dalam berakhlak dan tindakan. Kita juga harus memahami tugas kita sebagai rakyat, bukannya mabuk dengan sifat remaja yang gilakan hedonisme. Sewajar status sebagai pelajar universiti berjaya membedakan diri pelajar dengan remaja di luar kampus. Jika mahasiswi Islam memahami falsafah perjuangan mahasiswa ini, polemik mahasiswa dan politik akan sendirinya terhapus.

Sifat sesetengah pihak atasan yang mengambil sikap berkonflik menyebabkan pelajar tertekan sehingga menelurkan benih politik ekstrem di kalangan mereka. Kita tidak menafikan setiap organisasi mempunyai golongan radikal dan ekstrem yang dianggap pressure group kepada sesebuah organisasi. Tambahan pula, universiti sendiri merupakan sebuah badan politik, dimana persoalan kuasa dan decision-making [membuat keputusan] menjadi satu aspek penting, dan ini merancakkan lagi suasana konflik dan kerjasama yang terdapat di dalam kampus. Golongan ekstrem mahasiswi Islam yang selalu didiskriminatif ini akan mengambilkan tindakan yang radikal jika penguasa kampus melakukan provokasi terhadap mereka.

Budaya esktrem ini akan melahirkan mahasiswi Islam seperti Wan Norhayati sehingga gagal dalam pelajaran. Mereka mengikuti aktiviti persatuan tanpa kefahaman asas sehingga mereka berfikiran jumud dan taksub membuta-tuli. Kebiasaannya, golongan ekstrem ini secara automatiknya akan terkeluar daripada gerakan pelajar sesudah sampai waktunya. Paling malang, mereka sendiri menjilat segala tuduhan yang dilontar oleh mereka sendiri sewaktu bersama gerakan pelajar.

Selain kebiadapan penguasa universiti, sifat ekstrim mahasiswi Islam terjadi ekoran kejahilan mereka sendiri yang begitu cintakan aspirasi perjuangan Islam sehingga tidak dapat mengawal perasaan marah. Mereka bersemangat berkobar-kobar sehingga lupa batasan kelembutan adab seorang mahasiswi Islam. Keikhlasan dan cinta mereka kepada Islam menyebabkan mereka cuba mempertahankan aspirasi perjuangan Islam sehingga kadangkala melampaui adab dakwah, kaedah dan ilmunya. Justeru, pemimpin gerakan pelajar dan para mahasiswi Islam perlu memikir impak terakhir yang akan menimpa imej perjuangan mereka dalam setiap tindakan mereka. Jangan sampai tindakan yang drastik merosakkan kebaikan yang dilakukan selama ini.

Mahasiswi Islam boleh menggunakan pendekatan sebalik tabir melalui kerja-kerja pengurusan organisasi dan pentarbiyahan kader-kader yang taat kepada ajaran Islam. Sesuai dengan sifat perempuan yang lembut, lebih tekun dan beradab, mahasiswi Islam haruslah bertindak sebagai pembantu yang tidak menonjolkan diri agar mahasiswi Islam tidak menghadapi mehnah yang boleh menjatuhkan maruah mereka. Asiah Ali dalam bukunya Muslimat Pencorak Masyarakat menyarankan mahasiswi Islam berjihad melalui pendidikan dengan peranan menyebarkan ilmu agar kalimah Allah tertegak didalam kampus. Penyebaran ilmu boleh dilakukan dengan menceburi bidang penulisan. Jarang sekali kita melihat pimpinan mahasiswi Islam menulis dalam media massa. Sepanjang pemerhatian penulis hanya Ketua HEWI PMIUM sesi 2002/03 yang giat menulis dalam media massa termasuk dalam majalah Massa dan akhbar tempatan.

Menurut Iman Hasan al Banna, kerja yang dilakukan oleh wanita mestilah mengikut keperluan semasa jemaah. Mahasiswi Islam boleh menonjolkan beberapa figure tertentu sebagai jurucakap mereka yang dapat memaparkan imej dan kualiti kepimpinan mahasiswi Islam. Dalam gerakan Ikhwanul al Muslimin, figure muslimat yang dilihat jurucakap muslimat ialah Zainab al Ghazali yang begitu kejam diseksa oleh Rejim Nasser. Walau bagaimanapun, Hajjah Zainab cukup kental menahan seksa walaupun didesak bertalu-talu agar mengaku perbuatan mereka merancang pembunuhan Presiden Nasser. Gerakan pelajar Malaysia pula tidak gersang daripada melahirkan wirawati-wirawati seperti Fatimah Sham yang memimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Sains Malaysia dalam demonstrasi pada pertengahan tahun 1970an. Fatimah Sham merupakan anak kepada pejuang tanah Teluk Gong iaitu Hamid Tuah juga adalah presiden pertama di kalangan wanita dalam persatuan mahasiswa universiti di negara ini. Keterlibatan mahasiswi Islam secara terbuka haruslah bergantung kepada keperluan semasa.

Pada alaf baru ini, suka atau tidak akan menuntut mahasiswi Islam agar lebih bermakna dalam kepimpinan gerakan pelajar. Oleh sebab itu pentafsiran syariat secara klasikal mengenai peranan dan kedudukan tentang wanita yang tidak setepatnya dengan kehendak wahyu perlu diberikan pemaknaan kembali yang lebih realistik dengan aspirasi Islam. Mahasiswi Islam juga perlu memahami fiqh wanita yang berubah dan prinsip syariat yang kekal. Dengan pemahaman ini, diharapkan pemikiran mahasiswi Islam dapat dijernihkan daripada taboo tradisi yang menghalangi kecergasan mereka di dalam gerak kerja gerakan pelajar dengan tafsir amali yang baru dan tepat dengan kehendak wahyu Ilahi.

Perjuangan mahasiswi Islam dalam gerakan pelajar bergantung kepada quwwat al ruh wa al-‘aql [kekuatan jiwa dan minda] dan kefahaman yang sahih individu pada fikrah perjuangan mereka. Setiap langkah mahasiswi Islam dalam gerakan pelajar mestilah diatur dengan kebijaksanaan agar tidak tertewas dengan cabaran yang diterima. Pertama, mahasiswi Islam perlu menyalurkan semangat jihad melalui saluran yang betul dengan mengunakan perjuangan bertahap-tahap dan tidak tergesa-gesa untuk mencapai kejayaan. Pihak yang bertentangan jangan dimusuhi tetapi berusaha dengan mesra dan berbaik sangka semasa mendekati mereka. Jadilah diri anda sebagai model yang berakhlak mulia untuk dicontohi mahasiswi lain yang tidak sealiran.

Kedua, mahasiswi Islam perlulah ingat bahawa kampus hanya tapak untuk pentarbiyahan diri bukan melakukan kerja-kerja politik kepartaian. Jika berlaku perkara yang bertentangan, fiqh keutamaan yang bertunjangkan tugas asasi kita sebagai pelajar dan berkhidmat untuk masyarakat serta agama perlu diutamakan. Pilihan mahasiswi Islam perlu tepat dengan keperluan semasa supaya kita tidak menyalahkan orang lain ke atas kegagalan kita. Kes Norhayati sebagai contoh menunjukkan satu kegagalan para mahasiswi Islam menyuburkan kekuatan jiwa dan minda sehingga gagal menguruskan masa untuk berjemaah dan belajar. Akibatnya menyalahkan orang lain setelah gagal dalam pelajaran.

Ketiga, mahasiswi Islam memerlukan keterbukaan pemikiran dan menghormati pertentangan pendapat walaupun sekeras mana pun tekanan diterima. Iman Hasan al Banna menyatakan ‘jangan sekali-sekali ada unsur negatif [dendam] di hatimu terhadap seseorang tetapi jangan berhenti daripada mengharapkan petunjuk buatnya!’. Perkara ini penting agar budaya dendam dan ekstrim tidak membiak dalam diri mahasiswi Islam. Selain itu, mahasiswi Islam wajar memiliki keupayaan menerima idea dari luar lingkaran pemikiran mereka sendiri. Kepelbagaian idea daripada pelbagai sumber yang bersifat kontemporari perlulah dikaji, diteliti dan diamat-amati. Oleh sebab itu, kajian pemikiran jangan hanya terhad kepada pemikiran Iman al-Maududi, Iman Hasan al Banna dan Iman Syed Qutb sahaja tetapi meliputi pemikiran tokoh seperti Dr. Hasan Turabi, Rachid al Ghannouchi, Malek Bennabi dan Abul Hasan Ali an Nadwi.

Mahasiswi Islam menggugat?. Jawaban ini hanya mampu dijawab oleh mahasiswi Islam sendiri. Merekalah yang akan mencorakkan arah perjuangan dengan program pengisian mereka sendiri. Mahasiswi Islam menggugat tidak semestinya bersifat destruktif tetapi memerlukan satu pengarapan sifat alternatif dengan menunjukkan jalan penyelesaian masalah dan melakukan proses pengislahan diri dan masyarakat.
































[*] Penulis adalah mantan ahli pasif PMIUM, EXCO PBMUM dan AJK PSUM. Kini bergelar seorang guru. Antara tulisan Nazree Yunus dengan tulisan saya, hmm macam sama je. kebetulan.

bab 3: Gerakan mahasiswa 1976-1980

GERAKAN PELAJAR 1976-1980

“sila bertindak dan berbuat seperti yang pernah saya buat ketika menjadi
mahasiswa. Tapi bersedialah seperti saya dulu untuk masuk penjara”
Anwar Ibrahim


1.0 PENDAHULUAN

Sikap progresif pelajar pada tahun 1974 membawa satu impak negatif kepada kerajaan sehingga kerajaan membuat perancangan menghalang student power ini. Gerakan pelajar dianggap mengancam kestabilan negara walaupun isu-isu yang diperjuangankan adalah permasalahan rakyat. Kekangan yang dihadapi oleh gerakan pelajar ekoran keaktifan mereka dalam politik dan selalu mempersoalkan kelemahan kerajaan boleh mengancam status quo kerajaan. Dalam bab ini penulis cuba mengarapkan pengaruh luar dalam politik kampus, tindakan kerajaan dan kesan perjuangan gerakan pelajar selepas pindaan AUKU 1975.


2.0 PERSOALAN POLITIK DALAM GERAKAN PELAJAR

Dalam pembikinan AUKU, kerajaan secara rasionalnya bimbang peningkatan kesedaran berpolitik dalam masyarakat pelajar. Kebimbangan ini menjadi fobia kepada kerajaan dalam mentadbir negara kerana banyak persoalan yang ditimbulkan oleh pelajar. Pada tahun 1974, tradisi mencabar golongan pelajar telah menggugat kestabilan politik kerajaan dalam mengekalkan status quo.

Dalam bab satu, penulis menjelaskan secara ringkas persoalan politik dalam gerakan pelajar. Persoalan politik pelajar dinukilkan oleh Raja Azlan, Pro Canselor Universiti Pulau Pinang. Menurutnya, mahasiswa harus bertanggungjawab terhadap masyarakat dan perlu melakukan sesuatu untuk rakyat.[1] Oleh itu, gerakan pelajar haruslah menggunakan tenaga-idea mereka bagi mendepani permasalahan masyarakat dan negara.

Kerajaan seharusnya memberi kelonggaran dalam politik. Khoo Kay Kim mencadangkan agar kerajaan hanya mengawal gerakan pelajar bukannya menghalang penglibatan pelajar dalam gelanggang politik kerana pelajar adalah sebahagian daripada masyarakat yang mempunyai hak mengundi.[2] Tekanan yang diberikan oleh kerajaan menaikkan semangat pelajar bangkit melawan kerajaan yang mencabar hak mereka. Mereka mahu mengekalkan image the student dan sebarang gelombang yang menganggu perjuangan mereka akan ditentang.[3]

Kerajaan selalu berpandangan negatif terhadap kehadiran student power di negara ini dengan tuduhan militan, revolusioner dan mengucar-kacir masyarakat.[4] Sikap revolusioner perlu bagi membangunkan sebuah negara yang adil dan maju. Shahnon Ahmad mendefinisi sikap revolusioner;

‘Revolusioner adalah bersuara keras dan bertindak keras meruntuh
dan menghancur sesuatu itu disertakan pula dengan daya cipta
untuk membina yang baru sebagai ganti yang lapuk yang diruntuh
dan dirubah’[5].

Pelajar sebagai golongan intelektual perlu bersikap pemberani yang berlandaskan ilmu dan pengalaman yang dijernihkan oleh kebenaran yang diyakini bukannya bersikap surealis; bersuara kuat untuk meruntuh dan menghancur tanpa penciptaan dan pembinaan semula. Seorang revolusioner mengharapkan jiwa tertekan kerana dengan itulah dia akan bangun untuk mengantikan penindas-penindas.

Oleh itu sikap radikal dan militan pelajar tidak perlu dibimbangi. Tun Razak pernah berkata;
“Jikalau kita tinjau belakang semasa kita masih menuntut, tentulah kita
dapat melihat perkara itu dari sudut yang betul”[6]

Kebangunan sesuatu bangsa akan dicerakin oleh pelajar yang sedar akan tanggungjawab mereka pada masyarakat dan negara kerana hidup biar berjasa.


3.0 PENGARUH POLITIK LUAR DALAM GERAKAN PELAJAR.

Penegasan kerajaan dalam melaksanakan AUKU kerana kemasukan gelombang parti politik luar ke dalam gerakan pelajar. Penulis akan membincangkan kehadiran pengaruh Parti Komunis Malaya(PKM) dan Parti Sosialis Rakyat Malaya dalam gerakan pelajar di kampus Universiti Malaya.

3.1 Pengaruh Parti Sosialis Rakyat Malaya(PSRM)

Ideologi Sosialis bukanlah satu yang asing dalam politik kampus Universiti Malaya kerana Kelab Sosialis telah ditubuhkan sejak bulan Disember 1967 lagi. Kelab Sosialis sendiri mempunyai hubungan dengan PSRM ranting Lembah Pantai. Pelajar Sosialis ini telah menguasai Majlis PMUM bagi menyuarakan isu rakyat seperti isu kemiskinan, pertempatan setinggan, penguasaan kapitalis dan kemunculan imperialis moden. Keterlibatan mereka dalam pilihanraya 1969 dan 1974 membimbangkan kerajaan terutamanya penyertaan mereka dalam rapat umum.[7]

Keterlibatan mereka dalam pilihan raya 1974 adalah kesinambungan penyertaan mereka semasa pilihan raya 1969. Penyertaan Kelab Sosialis dalam rapat umum dan majlis anjuran PSRM secara kerap menyebabkan Tun Razak menuduh PSRM menggalakkan pelajar mewujudkan suasana tegang di dalam negara terutamanya dalam peristiwa bulan Disember 1974 dan Januari 1975.[8] Penyertaan pelajar Sosialis dalam pilihan raya 1974 adalah jelas. PMUM dan PMUSM secara terbuka mengisytiharkan manifesto mahasiswa[9] dan menyediakan bas PMUM ke Terengganu, Kelantan dan Melaka. Kepimpinan PMUM dan PMUSM terdiri daripada Hishamuddin Rais(Setiausaha Agung PMUM) dan Fatimah Sham[10](Presiden PMUSM) sememangnya mengimani fahaman Sosialis.

Penyertaan PMUM dalam pilihan raya mendapat bantahan daripada golongan pelajar Nasionalis seperti PBMUM, Kelab Silat Gayung, Organisasi Mahasiswa Kelantan dan PMIUM kerana PMUM cuba menyeret pelajar dalam kancah politik parti tertentu.[11] Hasil gabungan pelajar Sosialis dengan PSRM terbukti berkesan apabila pengaruh PSRM di Terengganu meningkat sebanyak 30 peratus undi popular.[12] Sebenarnya PSRM menafikan keterlibatan mereka dalam mempengaruhi pelajar dalam sesuatu isu. Isu Tasek Utara[13] sebagai contoh, perjuangan PSRM dan gerakan pelajar berkebetulan sama dalam isu kemiskinan dan rumah setinggan. Perjuangan ini perlu ditangani secara bersama antara gerakan pelajar dengan PSRM.

Penulis melihat gelombang Sosialis dalam gerakan pelajar agak tersusun dan terancang sebagaimana pendapat Mahathir Mohamad[14] dan Abdullah Ahmad.[15] Penyusunan proksi pelajar Sosialis peringkat nasional mula dikesan pada awal tahun 1974. Pada 16 Februari 1974, golongan pelajar Sosialis mencadangkan agar ditubuhkan Front Bertindak Pelajar Malaysia bagi menjamin kepentingan badan pelajar[16] dan cadangan diusulkan oleh PKPM. Pada 9 Mac 1974, wakil 50 buah pertubuhan pelajar berkumpul di DTC[17] bagi membincangkan permasalahan antarabangsa, nasional dan kampus.[18] Pada 11 Mac 1974, Front Pelajar melalui wakil mereka Idris Jusi menyatakan memorandum pertama mereka menaikkan taraf Institut Teknologi MARA, tapak Institut Teknologi Kebangsaan dan biasiswa.[19]

Penubuhan Front Pelajar ini dapat dipersoalkan kerana hanya dihadiri oleh golongan pelajar Sosialis sahaja bagi mencerakinkan agenda yang lebih besar. Persoalan ini ditegaskan oleh Pemangku Presiden GPMS, Fawzi Basri yang mempersoalkan Front Pelajar tidak disertai oleh GPMS dan PKPIM.[20] Tanpa kehadiran PKPIM dan GPMS, Front Pelajar cuba menolak pengaruh golongan Islamis dan Nasionalis[21] dalam Front Pelajar sendiri.

3.2 Pengaruh Parti Komunis Malaya(PKM)

Kemenangan pro Komunis di Vietnam sangat membimbangkan tentang kezahiran teori domino[22] di rantau Asia Tenggara. Kebimbangan kerajaan Malaysia terbukti apabila mengambil tindakan keras dengan mengharamkan Persatuan Bahasa Tionghua/Cina Universiti Malaya(PBCUM) kerana diserapi anasir-anasir komunis.[23] Dalam serbuan polis pada 14 Disember 1974, polis menemui senapang kayu dan dokumen dianggap bukti penyertaan pelajar Cina dalam komunis. Namun, Kamarazaman Yaakob menjelaskan peralatan seperti senapang kayu digunakan dalam pementasan drama.[24] Pihak kerajaan menegaskan aktiviti kebudayaan merupakan alat propaganda PKM.[25]

Sebelum peristiwa Baling, kerajaan telah memberi amaran tentang kehadiran pihak anti nasional dan subversif dalam memanipulasi kenaikkan harga getah untuk mengancam kestabilan negara.[26] Gerakan pelajar dilihat bekerjasama dengan pihak komunis dalam peristiwa Baling. Menurut Mahathir Mohamad, gerakan pelajar yang berdemonstrasi dalam peristiwa Baling bagi mengalihkan tumpuan kerajaan dalam membanteras pihak komunis dan melemahkan tenaga polis.[27]

Penyusupan anasir komunis dalam PBCUM dikesan pada pertengahan 1970an dimana jawatan setiausaha penerbitan dimenangi oleh seorang pro komunis. Pada bulan Jun 1971, kumpulan Sosialis Muda berjaya menguasai Jawatankuasa Kerja PBCUM dengan pemimpinnya berjaya memenangi jawatan presiden. Pada 14 Oktober 1974, pasukan keselamatan menjumpai dokumen pada seorang penganas komunis yang dibunuh di kampung Tanah Hitam, Perak. Dokumen itu menjelaskan pelantikan Tham Ah Mok sebagai agen komunis dalam PBCUM.[28]

Pada 26 Januari 1974, satu lagi dokumen dijumpai pada seorang lagi penganas komunis yang ditembak di Behrang, Slim River, Perak. Dokumen itu menjelaskan PKM cuba menyusupi pertubuhan Cina iaitu Kheng Chew, Ting Song dan PBCUM.[29] Namun, komplot komunis dibocorkan oleh Quah Lai Chee.[30] Pengaruh komunis cuba diterap melalui aktiviti kebudayaan(drama ‘Musim Bunga Datang Daripada Dunia Manusia’) dan penulisan(majalah Penyuluh dan Sastera Universiti). Perkara ini terbukti apabila konsert ‘Persatuan Besar Kilat Musim Bunga’ dibatalkan, radio Suara Revolusi milik PKM mengutuk tindakan kerajaan. Pengaruh komunis lumpuh dalam PBCUM apabila polis menyerbu pusat kegiatan PBCUM di Sea Park, Petaling Jaya pada 9 Disember 1974.[31]

4.0 SEJARAH PENUBUHAN AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI(AUKU).

Peningkatan kesedaran berpolitik, impak peristiwa 13 Mei dan pengaruh parti luar ke dalam pertubuhan pelajar membimbangkan kerajaan. Kerajaan berkeputusan mengawal aktiviti politik di kampus. AUKU[32] diwartakan pada 24 Februari 1971 dan diluluskan oleh parlimen pada 17 Mac 1971[33] dan diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong pada 29 April 1971.[34] Kebangkitan pelajar pada tahun 1974 secara militan dan radikal mendesak kerajaan melakukan pindaan pada AUKU. Pada 8 April 1975, Dr. Mahathir Mohamad mengusulkan agar AUKU dipinda[35] dan ianya dikuatkuasa pada 12 Mei 1975.[36]

Pengarahan kepada AUKU berlaku apabila kerajaan menegaskan pelajar tidak dibenarkan bergabung atau menyokong mana-mana parti politik dan kesatuan sekerja. Penegasan ini merupakan satu kesedaran kerajaan bagi mencegah ketidakstabilan melalui perundangan.[37] Larangan ini termaktub dalam Undang-undang Darurat(kuasa perlu) no. 74, Artikel 150(2) yang dipinda pada 18 Februari 1971.[38] PMUM membantah perundangan ini, Jai Mohan(Setiausaha Agong) menjelaskan larangan ini akan menjauhkan pelajar dengan rakyat dan menyekat idea pelajar untuk menyumbang ke arah pembangunan.[39] Sokongan pihak pelajar kepada mana-mana pertubuhan politik tidak bermakna pelajar menyokong pertubuhan politik tersebut.[40]

AUKU diusulkan setelah kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 yang tidak berkesan mengekang peranan pelajar terutamanya keterlibatan pelajar dalam pilihanraya 1969.[41] Para pimpinan parti oposisi dan pelajar membidas AUKU terutamanya Bahagian III(fasal 15 dan Fasal 16) dan Bahagian V(Seksyen VI Fasal 48, Seksyen VI Fasal 50 dan Seksyen VI Fasal 51). Di Parlimen, Dato Asri meminta AUKU ditangguhkan[42] manakala Lim Kit Siang dan Dr. Tan Chee Khoon mempersoalkan prosedur penubuhan persekutuan pelajar peringkat nasional dan antarabangsa.[43] Kerajaan bersedia melonggar perkara tertentu[44] dalam AUKU tetapi AUKU perlu diteruskan bagi menghalang anasir-anasir subversif dalam gerakan pelajar.[45]

Pada 6 Julai 1971, PBMUM dan PKPM menghantar memorandum kepada kerajaan. Gan Yap Swe, Setiausaha Agung PKPM dan Noordin Razak, Presiden PBMUM yang mewakili 15 pertubuhan pelajar menyatakan AUKU akan membantut pemikiran kritikal dan rasional pelajar.[46] PMUM pula mengadakan forum pada 23 Ogos 1971 dan 9 Disember 1971 disamping sudut pidato pada 4 Disember 1971. Namun, reaksi pelajar tidak berjaya memujuk kerajaan menlonggarkan AUKU.[47]

Pada tahun 1975, kerajaan memugarkan kembali AUKU agar lebih tegas bagi mengekang budaya politik pelajar yang semakin radikal dan revolusioner. Perkara ini terbukti dalam tindakan pelajar sepanjang tahun 1974 terutamanya isu Tasik Utara dan Baling. Menurut Dr. Mahathir Mohamad, AUKU adalah alat mengekang pelajar daripada membuat kacau apabila sesi 1975/76 bermula.[48] Usul agar pindaan AUKU 1975 ditangguh ditolak.[49] Penolakkan penangguhan ini memulakan era baru bagi gerakan pelajar dalam perjuangan mereka.


5.0 ISU DAN PEDEKATAN: MENANGANI ARUS PERUBAHAN

Pelaksanaan AUKU menyebabkan perubahan besar pendekatan gerakan pelajar dalam menyelesaikan isu-isu perjuangan. Persatuan pelajar lebih banyak mengadakan program khidmat masyarakat, berforum dan program kepimpinan. Di bawah penulis menukilkan beberapa isu utama gerakan pelajar yang berlaku dalam era 1976-1980;

5.1 Pendirian PMIUM Dalam Krisis Institut Teknologi Mara.

Selepas pindaan AUKU 1975, gerakan pelajar semakin permisive terhadap isu nasional dan kampus. Walau bagaimanapun, dunia pelajar digemparkan apabila pelajar ITM Shah Alam dan kampus Jalan Othman, Kuala Lumpur merampas kuasa pada 6 Januari 1976. Kejadian ini merupakan peristiwa pertama bagi gerakan pelajar menggugat kembali keabsahan kuasa AUKU. Rampasan ini berlaku apabila pelajar tidak berpuas hati terhadap pimpinan Dato Lokman Musa mengetatkan disiplin pelajar terutamanya etika pemakaian yang melarang pelajar berambut panjang.

Mulai 5 Januari 1976, peraturan tatatertib baru bagi pelajar ITM akan dikuatkuasakan. Ramai pelajar tidak bersetuju kerana bertentangan dengan hak asasi seseorang pelajar. Bagi pelajar lelaki, potongan rambut tidak melebihi kolar, dilarang memakai selipar dan baju panas semasa kuliah, dilarang memakai pakaian olahraga di dewan makan. Pelajar lelaki harus memakai tali pinggang hitam, baju kemeja dan kasut. Pelajar wanita tidak dibenarkan memakai pakaian menjolok mata seperti mini skirt, pakaian jarang atau terlalu ketat. Dato Lokman memberi amaran sesiapa yang ingkar akan dihukum seperti dilarang daftar, amaran, denda $200, gantung atau disingkir.[50]

Cadangan Dato Lokman dikecam hebat oleh KSITM.[51] Pelajar mempersoalkan tindakan Dato Lokman kerana hanya golongan minoriti yang berambut panjang. Dato Lokman hanya mementingkan perkara remeh dan pemakaian seseorang padahal persoalan ini bukanlah penentu moralnya. Pemimpin KSITM, Rosman Abdul Hamid menegaskan KSITM telah melakukan perubahan drastik dengan mengharamkan judi, majlis tari menari pada tahun 1972. Mantan Presiden KSITM, Ibrahim Ali, menyatakan pihak pentadbir perlu menyeru dan menggalakkan pelajar mengikuti peraturan bukannya mengambil tindakan sekeras itu. Apa gunanya dilakukan di dalam kampus jika di luar kampus terdapat arak, rasuah dan tarian bogel di kelab malam masih dibenarkan.[52] Tindakan Dato Lokman dilihat tidak perlu kerana KSITM telah menubuhkan kumpulan dakwah bagi mengatasi gejala sosial. Kebebasan pelajar telah disekat dan pelajar telah menjadi remaja ke sekolah[53] telah menjatuhkan imej ITM sebagai institusi pengajian tinggi yang berasaskan kebebasan intelektual.

Pada 5 Januari 1976, ITM dibuka untuk penggal pertama, pelajar senior mula tunjuk perasaan bagi membantah cara pentadbir melaksanakan peraturan disiplin. Mereka bertindak tidak mendaftar diri untuk kuliah kecuali pentadbir menarik balik arahan sebagaimana dituntut KSITM.[54] Seramai 1000 orang pelajar terlibat dalam demonstrasi di dataran berhampiran Pejabat Pentadbiran ITM pada pukul 9.00 pagi. Presiden KSITM, Abdullah Baba menyatakan tindakan pentadbir ITM tidak berunding terlebih dahulu dengan KSITM menyebabkan protes tersebut. Sebaliknya peraturan tersebut diperbesarkan dalam media massa dan ia memberi gambaran buruk kepada pelajar dan KSITM.[55] KSITM telah memperjuangkan pemurnian akhlak dikalangan pelajar sejak tahun 1971. Perkara yang dituntut KSITM adalah;
a. denda $200 adalah keterlaluan sedangkan pelajar hanya menerima elaun $20
sebulan.
b. Jumlah wakil pelajar telah dikurangkan dalam jawatankuasa[56] tersebut
daripada 6 kepada 3 adalah tidak relevan
c. Jawatankuasa itu dipengerusi oleh Dato Lokman sendiri adalah sesuatu
yang tidak adil.
Menurut Syed Osman,[57] KSITM tidak menentang keseluruhan cadangan tersebut tetapi cara pelaksanaan kurang baik terutamanya ia diluluskan oleh pihak pentadbiran tanpa perbincangan dengan KSITM.[58]

Pada 7 Januari 1976, ITM Kuala Lumpur telah ditutup apabila pelajar telah menguasai dan mengambil alih kampus di Shah Alam dan Jalan Othman di Petaling Jaya. Seramai 4000 hingga 5000 pelajar menguasai kampus. Dato Mansor sebagai Pemangku Pengerusi Majlis Pentadbir ITM menjelaskan tindakan itu disebabkan pelajar menggunakan ‘tindakan paksaan’ dalam proses pendaftaran pelajar senior selama dua hari.[59] Pelajar di dalam kampus kekurangan bekalan makanan dan pelajar yang ingin membeli makanan telah dihalang oleh pelajar senior. Para pemberita yang cuba mendekati pagar telah dikejar oleh pelajar.

KSITM telah menafikan keterlibatan mereka dalam penguasaan kampus itu. Presiden KSITM, Abdullah Baba menyatakan pihaknya tidak menghalang pelajar dan pensyarah balik ke kampus. Walau bagaimanapun, KSITM tidak mengiktiraf keputusan Dato Lokman berikutan sidang tergempar pada 6 Januari oleh Dewan Siswa KSITM.[60] KSITM kesal dan terperanjat apabila Dato Mansor menutup ITM. KSITM telah meminta Menteri Dalam Negeri, Dato Ghazali Shafie[61] tidak menggunakan badan beruniform dalam menyelesaikan isu ini. KSITM hanya bertindak sebagai pentadbir keselamatan dan kebajikan pelajar apabila pihak pentadbiran meninggal kampus jam 2.30 petang pada 6 Januari.

Pada 9 Januari, seramai 3000 orang pelajar telah keluar dari kampus jam 4 pagi tetapi pihak pentadbir masih tidak dibenarkan masuk. Pelajar yang meninggalkan kampus telah dicaci. Pihak pentadbir cuba memujuk pelajar yang belum meninggalkan kampus dan memberi amaran mereka tidak akan dibenarkan mendaftar diri bila kampus dibuka.[62] KSITM telah menyerah kepada Dato Mansor bagi menyelesaikan isu ini setelah perbincangan selama 5 jam. Pelajar mengemukakan beberapa penyelewengan seperti masalah keciciran pelajar dan penggunaan duit pelajar mesyuarat pentadbiran di Bukit Fraser.[63]

Pada 10 Januari 1976, perwakilan pelajar bersama Pemangku Presiden Majlis Belia Malaysia, Azaham dan Dato Lokman cuba memujuk pelajar. Dato Lokman merayu sebanyak dua kali agar 120 pelajar menyerah diri dan kedegilan mereka menyebabkan mereka disingkir. Semasa suasana tegang ini, polis menyerbu masuk ke dalam kampus terutamanya di asrama kedua iaitu pusat gerakan pelajar.[64]

Dr Mahathir selaku Menteri Pelajaran mengelarkan pelajar tersebut Gestapo yang memakai kain kuning di kepala sebagai pengecut kerana cabut lari meninggalkan kumpulan dakwah dan wanita.[65] Gestapo seramai 200 orang ini mengugut menelanjang dan mencincang perempuan.[66] Gestapo ini adalah sekumpulan pelajar radikal dan militan. Perkara ini terbukti dengan penemuan senjata seperti kapak dan peluru.[67]

Tindakan pelajar ITM merampas kuasa dengan isu rambut mengecewakan kerajaan kerana kerajaan kerugian $100,000 sehari.[68] Tindakan pelajar itu dikecam oleh badan bukan kerajaan seperti PERTIWI dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam. Ketua Satu PERTIWI(Zakiah Hanum) sebagai contoh mengatakan pelajar berambut panjang tidak manis[69] dan melanggar tatasusila orang Melayu. Kenyataan PERTIWI bersifat hipokrit kerana PERTIWI sendiri pernah mendesak kerajaan membatalkan arahan pemakaian tudung di sekolah kerana tidak praktikal dan mahal.[70] PMIUPM turut mengkritik keras tindakan pelajar ITM. Setiausaha Agung PMIUPM, Zaki Ayoub menjelaskan tindakan pelajar ITM itu mempertahankan amalan menyimpan rambut panjang sebagai amalan jahiliah.[71]

Walau bagaimanapun, PMIUM dam PMUKM telah menyokong tindakan pelajar ITM. PMIUM telah menyatakan tindakan pentadbir ITM sebagai mencabul hak kebebasan pelajar.[72] Sokongan terbuka PMIUM dinyatakan dengan menghantar surat bantahan[73] kepada akhbar tempatan dan pihak pentadbir ITM. PMIUM melihat krisis tersebut tidak mengancam keselamatan dan boleh diselesaikan dengan diplomasi. Penjelasan PMIUM disokong dengan kenyataan pengawal keselamatan yang menyatakan pelajar tidak melakukan perkara buruk dan pelajar hanya tidak menyukai Dato Lokman. Walaupun pos pengawal di pos bulatan, asrama 1 dan 2 diambil alih oleh pelajar, pengawal keselamatan tetap dibenarkan bertugas.[74]

PMIUM menyokong usaha KSITM mendapat hak sebagai kesatuan yang mewakili pelajar ITM. PMIUM juga mendesak Dato Lokman meletakkan jawatan dan menerima pandangan KSITM yang tidak mengiktiraf kepimpinan Dato Lokman.[75] Sokongan PMIUM merupakan sokongan yang berterusan. PMIUM kesal penyingkiran 45 pelajar ITM pada 10 Februari 1976[76] yang disyaki perancang rampasan kuasa tersebut. Tindakan menemuduga semula pelajar adalah tidak adil dan bertujuan buruk yang jelas bertentangan dengan hak pelajar yang sah di sisi undang-undang perlu dihentikan.

Pada 9 Februari 1976, Menteri pelajaran telah menubuh Jawatankuasa Penyiasat Krisis ITM bagi menyiasat kejadian itu.[77] PMIUM meragui ketelusan jawatankuasa ini sebagai badan bebas. PMIUM mengusulkan agar satu badan bebas yang dianggotai badan pelajar dan belia kerana golongan ini dilihat bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian yang adil.[78]



5.2 Isu Afghanistan

Fenomena penentangan terhadap penaklukan Soviet Union ke atas Afghanistan merupakan fenomena sedunia. Isu ini tercetus apabila Presiden Afghanistan, Hafizullah Amin digulingkan oleh bekas Naib Presiden, Babrak Karmal yang dibantu oleh gerila Islam.[79] Majlis Revolusi[80] telah mengambil alih sementara kuasa pentadbiran setelah golongan Marxis dari kumpulan Khalq(kumpulan yang diimani oleh Hafizullah) ditumbangkan oleh kumpulan Parcham.[81] Bagi membendung gelombang hijau[82] daripada mengakari bumi Afghanistan, pihak Beruang Merah mengatur langkah mencerobohi Afghanistan dengan menggerakkan 15,000 orang anggota tentera[83] ke sempadan dan memasuki Afghanistan pada 31 Disember 1979.[84]

Kemasukan Rusia ke wilayah Afghanistan dikutuk oleh warga dunia seperti di India,[85] Iran,[86] Jerman,[87] Indonesia,[88] dan Sudan.[89] Di Malaysia, ABIM,[90] PMUKM dan PKIPM[91] mengutuk kelakuan durjana Soveit dan meminta umat Islam di negara ini bersatu menghadapi musuh.[92] Presiden PMUKM, Fadullah Shuib meminta agar bantuan segera dikumpul bagi membantu perjuangan rakyat Afghan semasa demonstrasi aman di kampus UKM.[93]

Pada 8 Januari 1980, gabungan persatuan pelajar dan belia termasuk PMUM dan ABIM merancang mengadakan perhimpunan raksasa. Perhimpunan ini di bawah pimpinan saudara Anwar Ibrahim. Seramai 5000 orang hadir memberi sokongan dan melaungkan kalimah Allahu Akbar. Pidato malam tersebut diberikan oleh tetamu-tetamu khas termasuk Mufti Kuwait dan mereka secara muafakat mendesak agar Soviet berundur daripada Afghanistan. Sebanyak $6100 dikumpulkan bagi sumbangan Tabung Afghanistan.[94]

Keesokkan paginya, Perhimpunan Perpaduan Islam Anti Soviet diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru dan slogan-slogan seperti ‘Hapuskan Soviet’ dan ‘Hari ini Afhganistan, esok Malaysia’ terus bergema.[95] Perjuangan gerakan pelajar diteruskan di kampus masing-masing terutamanya oleh PMUTM,[96] KSITM[97] dan PMUM.[98]


6.0 KESIMPULAN

Kewujudan AUKU dilihat bagi mengekang keterlibatan pelajar universiti dalam politik nasional. Kemaraan pengaruh komunis dalam gerakan pelajar juga membimbangkan kerajaan. AUKU mempunyai impak pro dan kontra ke atas gerakan pelajar di Universiti Malaya. Secara idealnya, AUKU telah melesukan gerakan pelajar daripada membicarakan tentang isu nasional. Imej bersama rakyat dan jurubicara masyarakat semakin luntur di kalangan pelajar universiti. Kebanyakan kegiatan pelajar bercorak kemasyarakatan hanya berbentuk tempelan yang ingin memenuhi tentatif program. Kegiatan kebudayaan dan kesenian mula mendominasi aktiviti di kampus terutamanya di kolej-kolej. Kebangkitan pelajar ITM merupakan satu kegemparan dalam dunia pelajar setelah AUKU dikuatkuasa, manakala isu Afghan pula memperlihatkan kebangkitan awal kelompok Islamis dalam gerakan pelajar semasa era 1980an.
[1] Utusan Malaysia, 18.10.1971.
[2] Utusan Malaysia, 23.9.1971.
[3] Lipset S.M., Student Politics, New York: Basic Books Inc, 1967, hlm. 58. Golongan pelajar tidak tahan diremehkan dan gusar jika tidak dilayan dengan adil. Mereka tidak mementingkan wang. Lihat, Lipset, S. M., “Politik Mahasiswa dan Politik Sesudah Mahasiswa” dlm. Dewan Masyarakat, Mac 1975, hlm. 75.
[4] Lihat perbincangan Mahathir dalam bukunya. Mahathir Mohamad, Cabaran, Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1976, hlm. 101-104.
[5] Shahnon Ahmad, Ponggang Sastera, Shah Alam: Fajar Bakti, 1995, hlm. 82.
[6] Utusan Malaysia, 4.12.1973.
[7] Utusan Malaysia, 22.7.1974.
[8] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 31.3.1975. Tun Razak pernah memberi amaran kepada pelajar Sosialis agar tidak terlibat dalam rapat umum pilihanraya 1974. Lihat Utusan Malaysia, 22.7.1974.
[9] Utusan Malaysia, 30.8.1974.
[10] Anak kepada Hamid Tuah. Presiden pertama persatuan mahasiswa di kalangan siswi di Malaysia.
[11] Utusan Malaysia, 6.8.1974.
[12] R.S. Milne & D.K. Mauzy, Politik dan Kerajaan di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm. 230.
[13] Lihat kenyataan Syed Hamid Ali(Setiausaha Agung PSRM) dlm. Utusan Malaysia, 27.9.1974.
[14] Mahathir Mohamad, “Awasi Student Power”, dlm. Utusan Malaysia, 4.3.1975.
[15] Abdullah Ahmad, “Satu Analisa Demonstrasi Pelajar”, dlm. Mastika, Februari 1974, hlm. 34.
[16] Utusan Malaysia, 17.2.1974.
[17] Utusan Malaysia, 10.3.1974.
[18] Utusan Malaysia, 11.3.1974.
[19] Utusan Malaysia, 12.3.1974. Ahmad Shah Mohd. Noh menyifatkan golongan pelajar ini sebagai golongan meresah-gelisah dan bercita-cita mengubah dunia. Lihat, Dewan Masyarakat, bulan Mac 1974, hlm. 20.
[20] Utusan Malaysia, 14.3.1974.
[21] Idris Jusi menyatakan GPMS tidak perlu dijemput dalam Front Pelajar 1974 kerana selalu mengasingkan diri. Lihat, M.A. Fawzi Basri, “GPMS Wajib Mengkaji dan Menyusun Semula Kegiatan, Pentadbiran dan Hubungan dalam Keperihalan Kegiatan dan Politik Belia Hari Ini” Surat bertarikh 27.7.1974. Sempena Mesyuarat Agong GPMS, bulan Jun 1974.
[22] Teori Domino dikemukakan oleh John Foster Douglas Dulles, Setiausaha Negara Amerika bagi menjaga kepentingan Kolonialis dan Imperialis Barat di Asia Tenggara. Lihat, Said Zahari, Meniti Lautan Gelora, Kuala Lumpur: Utusan Publication, 2001, hlm. 163.
[23] Mingguan Malaysia, 15.12.1974.
[24] Kamarazaman Yaakob, Bersama Anwar ke Penjara, Petaling Jaya: Transgrafik, 1994, hlm. 163.
[25] Kertas Putih, “Kegiatan PKM dalam PBTUM”, Kuala Lumpur: Pencetakan Kerajaan, 1974, hlm. 2. Mao Tse Tung menggunakan budaya dalam menyebar fahaman Komunis. Lihat juga, Utusan Malaysia, 20.12.1974.
[26] Kenyataan Tun Dr. Ismail dlm. Utusan Malaysia, 30.11.1974.
[27] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 8.4.1975.
[28] Kertas Putih, “Kegiatan PKM dalam PBTUM”, hlm. 17.
[29] Ibid., hlm. 22.
[30] Beliau tidak mengimani fahaman komunis. Lihat Utusan Malaysia, 16.12.1974.
[31] Kertas Putih, “Kegiatan PKM dalam PBTUM”, hlm. 25.
[32] Rang Undang-Undang AUKU(1971) dicadang Hussein Onn mengandungi Ordinan no.74(kuasa perlu) Darurat 1971. Pada asas AUKU dizahirkan bagi menubuh, menyelenggara dan mentadbir universiti. Lihat Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 17 Mac 1971, hlm. 1402.
[33] Utusan Malaysia, 19.3.1971.
[34] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 30.7.1971, hlm. 4188.
[35] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 8.4.1975, hlm. 4390.
[36] Rohani (dll.), Hak dan Tanggungjawab AUKU, Bangi: Penerbit UKM, 1992, hlm. 19.
[37] Lihat Laporan Tragedi 13 Mei 1969, Kuala Lumpur: Pencetakan Kerajaan, 1969, hlm.iii. Seramai 196 orang terbunuh dalam peristiwa itu dan 172 daripada 196 orang di Selangor di samping yang cedera seramai 293(lihat, hlm. 88-90).
[38] Utusan Malaysia, 2.5.1971. Lihat juga, R.S. Milne & D.K. Mauzy, Politik dan Kerajaan di Malaysia, hlm. 109.
[39] Utusan Malaysia, 1.3.1971.
[40] Mahasiswa Negara, 24.5.1971. Dipetik daripada Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 8.4.1975.
[41] Junaidi Abu Bakar, Mahasiswa Politik dan Undang-Undang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, hlm. 26-27.
[42] Utusan Malaysia, 19.3.1971. Bagi Dr. Sanusi Osman, AUKU akan menjejaskan kematangan fikiran dan kesedaran golongan pelajar mengenai tanggungjawab mereka terhadap masyarakat. Lihat, Sarina, Mei 1986. Bagi Pemangku Presiden PMIUM sesi 1982/83, Azami Zaharin, AUKU menyebabkan pelajar pasif dalam isu nasional, kampus dan antarabangsa. Lihat, Watan, 22.7.1983.
[43] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 30.7.1975. PMIUM sendiri secara automatik terbubar daripada PKPIM berdasarkan Seksyen 15(1) pada 12 Mei 1975.
[44] Dr. Ismail sedia memberi pelonggaran dalam persoalan penubuhan Persekutuan Pelajar terutamanya Persatuan Pelajar Asia(ASA). Lihat, Utusan Malaysia, 11.3.1975.
[45] Lihat kenyataan Tunku tentang anasir subversif dalam Berita Harian, 20.8.1970. Lihat kenyataan Dr. Ismail berkaitan aktiviti subversif, Utusan Malaysia, 6.4.1971.
[46] Utusan Malaysia, 7.7.1971.
[47] Utusan Malaysia, 16.8.1972.
[48] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 8.4.1975. Lihat juga, Utusan Malaysia, 9.4.1975.
[49] Usul dikemuka oleh Lim Kit Siang dan disokong oleh Fan Yew Tong melalui 9 undi DAP dan 1 undi PEKEMAS tetapi ditolak oleh kerajaan. Lihat Utusan Malaysia, 9.4.1975.
[50] Utusan Malaysia, 23. 12. 1975.
[51] Utusan Malaysia, 2. 1. 1976.
[52] Utusan Malaysia, 23. 12. 1976.
[53] Zainuddin Ayip, ‘Tatatertib ITM harus dikaji semula’ dlm. Utusan Malaysia, 5. 1. 1976. Lihat juga, “Pelajar-pelajar Universiti Macam Murid Sekolah” dlm. Budiman, 15.1.1978., hlm. 5.
[54] Utusan Malaysia, 6. 1. 1976.
[55] Ibid.
[56] Jawatankuasa yang dimaksudkan adalah Jawatankuasa Pengubalan Etika Pelajar ITM.
[57] Setiausaha Agung KSITM.
[58] Utusan Malaysia, 23. 12. 1975.
[59] Utusan Malaysia, 8. 1. 1976.
[60] Utusan Malaysia, 9. 1. 1976.
[61] Mantan Pegawai Pentadbir ITM.
[62] Utusan Malaysia, 10. 1. 1976.
[63] Utusan Malaysia, 11. 1. 1976.
[64] Ibid.
[65] Utusan Malaysia, 12. 1. 1976.
[66] Utusan Malaysia, 9. 1. 1976.
[67] Utusan Malaysia, 19. 2. 1976.
[68] Ibid.
[69] Utusan Malaysia, 26. 1. 1976.
[70] Utusan Malaysia, 28.2.1974.
[71] Utusan Malaysia, 29. 1. 1976.
[72] Laporan Tahunan PMIUM sesi 1975/1976.
[73] SU. KTA/PMI 75/76, surat PMIUM bertarikh 9. 1.1976. Surat ini adalah kenyataan rasmi PMIUM dalam krisis ITM dan ia tidak tersiar dalam akhbar-akhbar tempatan.
[74] Utusan Malaysia, 17. 1. 1976.
[75] SU. KTA/PMI 75/76, Surat PMIUM bertarikh 9.1.1976.
[76] SU. KTA/PMI 75/76, Surat PMIUM bertarikh 11.2.1976.
[77] The Malay Mail, 10.2.1976. Dirujuk dalam Laporan Tahunan PMIUM sesi 1975/1976.
[78] SU. KTA/PMI 75/76, Surat PMIUM bertarikh 11.2.1976. Kenyataan akhbar yang diberikan kepada akhbar tempatan.
[79] Utusan Malaysia, 29.12.1979. Bantuan gerila Islam secara tidak langsung kerana gerila Islam menguasai beberapa wilayah(contohnya, wilayah Herat) daripada kerajaan pusat. Gerila Islam tetap menentang kerajaan Babrak Karmal.
[80] Utusan Malaysia, 30.12.1979. Pengolakkan politik di Afghanistan tercetus ekoran krisis dalaman dalam proksi komunis yang menguasai Afghanistan. Gerila Islam pula sedang mara ke ibukota, Kabul. Sebenarnya, krisis dalaman dalam proksi komunis bermula pada zaman Presiden Muhamad Daud Khan lagi. Muhamad Daud yang mulanya pro Rusia digulingkan oleh Noor Muhamad Taraki pada 27 April 1978 kerana cuba menjalin hubungan dengan China(pertembungan fahaman Mao dengan Stalin) dan Amerika. Lihat, “Afghanistan: Kebangkitan Islam Mencabar Kabul”, Risalah, Bil. 3, 1979, hlm. 9. Lihat juga, Mohamad Redzuan Othman, “Afghanistan Sejarah Sebuah Duka” dlm. Dewan Budaya, April 2002, hlm. 20-23.
[81] Walaupun kumpulan Khalq lebih dominan dalam politik Afghan tetapi Rusia lebih merapati kumpulan Parcham. Lihat, Mohd Sidin Ahmad Ishak & Nizal Mohamad, Afghanistan: Fajar Era Baru, Kuala Lumpur: ABIM, 1989, hlm. 16.
[82] Kebangkitan Islam adalah reaksi daripada tindakan Raja Dharir Shah yang melantik Mohamad Daud yang cenderung kepada fahaman komunis sebagai Perdana Menteri pada tahun 1953. Ketua Ikhwanul Muslimin Afghanistan, Ahmad Niazi dan mahasiswa Islam Universiti Kabul mula mengerakkan kelompok pelajar Islam yang dikenali Juanan Muslim(kemudian dikenali Jamiyyah al Islamiyyah) pada tahun 1969. Pada tahun 1972, kelompok pelajar Islam berjaya menguasai kerusi di Dewan Mahasiswa Universiti Kabul dan ia menakutkan pendokong komunis. Pada tahun 1975, Mohamad Daud mempenjarakan Ahmad Niazi dan ramai pemimpin pelajar termasuk Rabbani dan dan Sayyaf berjaya melarikan diri ke Pakistan. Lihat, Muhamad Abdul Quddus, Bersama Mujahidin Afghanistan, Kuala Lumpur: Thinker Library, 1988, hlm. 101.
[83] Utusan Malaysia, 31.12.1979. Babrak Karmal gagal memenuhi aspirasi Rusia menyebabkan Rusia mencerobohi Afghanistan. Kebanyakan tentera Afghan berpaling tadah menyokong gerila Islam. Lihat, Khalid Jaafar, “Rampasan Kuasa Baru”, dlm. Panji Masyarakat, April 1980.
[84] Utusan Malaysia, 1.1.1980.
[85] Pelajar Afghan menawan kedutaan mereka di New Delhi. Lihat, Utusan Malaysia, 3.1.1980.
[86] Tunjuk perasaan di depan kedutaan Soviet di Iran. Lihat, Utusan Malaysia, 2.1.1980.
[87] Pelajar Afghan menawan kedutaan mereka. Lihat, Utusan Malaysia, 3.1.1980.
[88] Pelajar Indonesia berarak di jalanan, Lihat, Utusan Malaysia, 4.1.1980.
[89] Seramai 500 orang pelajar Sudan membakar bendera Soviet. Lihat, Utusan Malaysia, 5.1.1980.
[90] Osman Bakar, Setiausaha Agung ABIM mengutuk tindakan Soviet. Lihat, Utusan Malaysia, 7.1.1980.
[91] Presiden PKPIM, Fuad Hasan mengutuk tindakan Soviet. Lihat Utusan Malaysia, 8.1.1980.
[92] Fatwa jihad di Afghanistan telah dikeluarkan oleh Dr. Abdullah Azzam dengan persetujuan Mufti Saudi, Ibnu Baz dan pimpinan Ikhwanul Muslimin seperti Said Hawwa. Lihat, Dr. Abdullah Azzam, Jihad: Afghanistan Bukti Terang dan Perjajahan Dunia Moden, Kuala Lumpur: Pustaka Syuhada, 1988, hlm. 4-7.
[93] Demonstrasi aman itu dihadiri oleh 1000 orang pelajar di kampus UKM. Lihat, Utusan Malaysia, 8.1.1980.
[94] Utusan Malaysia, 9.1.1980.
[95] Utusan Malaysia, 10.1.1980. Perhimpunan ini adalah susulan demonstrasi oleh PMUM yang melahirkan sikap tegas terhadap pencerobohan Rusia. Lihat Risalah, Bil. 1. 1980, hlm. 6.
[96] Seramai 200 berkumpul di Dewan Besar UTM jalan Gurney yang diketuai oleh Presiden PMUTM, Dzulkifli Mohamad. Lihat Utusan Malaysia, 11.1.1980.
[97] Seramai 3000 orang pelajar ITM diketuai oleh Khalid Jaafar berdemonstrasi secara aman. Lihat, Utusan Malaysia, 10.1.1980.
[98] PMUM mewakili pelajar menderma sebanyak $ 971.55 sen bagi Tabung Afganistan Utusan Malaysia. Lihat, Budiman, 1 April 1980.

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...