Thursday, December 28, 2017

Hala Tuju Pendidikan yang Mengujakan


Sepanjang hampir 4 hari berkampung dengan mesyuarat, penulis dapat mengetahui pelbagai dasar, polisi dan perancangan pihak KPM. Ia sangat mengujakan dan disokong 100%. Sangat baik. Moga perancangan yang cantik pada dokumen ini tidak dirosakkan oleh ‘tangan-tangan ghaib’ yang bermain politik dan komisen.
Penulis sangat mendambakan sistem pendidikan yang tidak berorientasikan pendidikan. Menurut perancangan, 9 tahun pertama, orientasi peperiksaan bukan lagi tunjang utama pendidikan negara. Pencapaian akademik hanya dipentingkan ketika bermula usia 16 tahun dimana murid mula berusaha menghadapi peperiksaan SPM dan STPM.
Untuk menghakiskan orientasi peperiksaan, elemen seperti pengutamaan GPS, TOV, headcount, penggredan sekolah dalam kumpulan tertentu dan sekolah kawalan perlu dihapuskan pada peringkat menengah rendah dan sekolah rendah.
Pentaksiran pula secara holistik dan seimbang antara unsur psikometrik, tubuh yang sihat (SEGAK), keaktifan (KOKO) dan akademik.
Ada beberapa perkara yang masih boleh ditambah-baik ialah
1. Masih kurang unsur sahsiah, disiplin dan akhlak dalam pentaksiran holistik.
2. Pengubalan Peraturan Sekolah Nasional perlu dilakukan bersama pihak polis, jabatan peguam negara, kpm, kesatuan guru dan majlis permuafakatan PIBG serta pakar pendidikan agar peraturan sesuai dengan murid dan dapat mendisiplinkan murid serta melindungi guru-guru melaksanakannya.
3. Pembantu guru dan jurulatih Sukan dan Kokurikulum (SUKOM) perlu diwujudkan.
4. Setiap sekolah perlu mempunyai kenderaan sekolah sekurangnya van untuk mengangkut murid dalam aktiviti  dan program dianjurkan bukanlah mengunakan kenderaan persendirian para guru.
Keberanian Menteri, KPM dan Ketua Pengarah KPM untuk mentranformasikan sistem pendidikan adalah terpuji dan diucapkan ribuan terima kasih.

Cuma sesetengah pihak di JPN, PPD, pentadbir sekolah dan para guru perlu berubah cara berfikir  selaras dengan hala tuju baru KPM.

Tuesday, December 26, 2017

Pemikiran TGHH


1. Sumber pemikiran:
a) Al-Quran,
b) As-Sunnah, 
c) Pandangan ulamak
d) Sejarah perjuangan Rasulullah SAW- Khalifah-Daulah-pemimpin-ulamak Islam.
Hampir tiada tulisan atau ucapan TGHH menempelkan hujah-hujah sarjana Barat atau Timur dalam menyokong hujah-hujah beliau. Sesetengah orang berpandangan, 'lekeh' jika tidak mengunakan hujah-hujah sokongan sarjana Barat dan Timur itu.
Sebenarnya, inilah kekuatan yang dimiliki oleh beliau dalam melihat kejelasan dan keaslian pemikiran Islam daripada sumber yang berwibawa dan berautoriti serta sahih kebenaran disisi Allah dan RasulNya.
2. Tema Pemikiran
a) Aqidah Sebagai Tunjang Perjuangan
b) Islam Sebagai Addin
c) Islam Sebagai Jalan Penyelesaian
d) Islam Mentadbir dan Memimpin Umat Manusia
Empat tema pemikiran beliau sudah bermain sejak awal kemunculan beliau sebagai ulama muda dan pemimpin gerakan Islam pada awal tahun 1980an dahulu. Ia konsisten selari dengan istiqamah beliau dalam perjuangan dan jalan yang diyakininya.
Tema pemikiran beliau disaluti dengan kesuaian dan kearifan zaman. sebagai contoh gagasan kerajaan teknorat.
Selain itu, tema pemikiran beliau disaluti dengan keutamaan paling penting dan sesuai dengan konteks semasa. Ini dapat dilihat kenapa PAS boleh bersama dengan DAP pada zaman BA kemudian berpisah dan kembali bertaut pada zaman PR dan berpisah kembali. Nampak macam 'pragmatis' tetapi ia berdasarkan nas.
Beliau juga seorang 'demokrat', memilih jalan pilihan raya dan pelbagai eksperimen politik yang selari dengan ajaran Islam.

Zaman Pil Kuda



Sebenarnya, suka menggalakkan anak-anak menjadi seorang hafiz dan ustaz-ustazah. Bukan tujuan utama mahu amalan anak membuka peluang kita ke syurga tetapi pengalaman peribadi yang tohor agama dan ‘degil-malas’ tak dengar nasihat ibubapa ketika dulu membuat diri mahu anak-anak sedar dan dididik dengan sentuhan ilmu agama daripada kecil.

Ya, ilmu Islam bukan semestinya menjadikan anak-anak kita sebagai ustaz atau ustazah tetapi ilmu ini diharapkan dan didoakan agar memimpin anak-anak kita kekal berhidayah (insan saleh) dan istiqamah dalam amalan mereka dengan Islam serta memiliki akhlak terpuji. Sudah tentu kita cuba mengubah diri ke arah Islami agar anak-anak juga mentaudani secangkir amalan kita yang saleh itu.

Cuma, apabila melihat gelagat dan perangai pak lebai dan mak lebai pada hari ini, besarnya dugaan dan fitnah yang dihadapi oleh mereka dan agama Islam, tersemat pula rasa gerun.

Ujian terbesar pak lebai dan mak lebai pada hari ini, mahu hidup mewah-kaya (materialistik) dan mahu dikenali (berwatak selebriti-populis). Maka, muncullah adegan penipuan, ambil kesempatan dan manipulasi. Akhirnya, agama Islam itu terfitnah ekoran para penunggang agama yang mempergunakan agama untuk kepentingan diri sendiri.

Dalam berorganisasi termasuk perkhidmatan awam, mulut becok, batu api, tikam belakang dan suka mengumpat, mak lebai dan pak lebai turut berenang bersama-sama dalam kolam dosa ini.

Jika kita masuk ke dalam alam politik, tak usah nak tulis dengan pena, tak cukup dakwat. Fitnah menfitnah, ambil kesempatan dengan hujah agama dan lain-lain. Lihat sahaja watak lebai PAS vs lebai PAN, macam rancangan gusti dihoskan oleh DAP dan UMNO.

**

Punbegitu kita percaya hanya segelintir sahaja mak dan pak lebai sebegini. Jika ia ada sekalipun disisi kita, berwaspada dan anggap ia sebagai ujian Allah kepada kita sahaja.


Dunia akhir zaman umpama suatu ketika dalam usia kita akan menelan ubat darah tinggi dan kencing manis jua apabila waktu sudah tiba. Edannya zaman akan muncul, lambat atau cepat sahaja.  Fitnah ke atas ulama dan Islam semakin menjadi-jadi, paling malang para ustaz-ustazah merelakan diri mereka terjerumus ke dalam malapetaka ini.

Sunday, December 24, 2017

Al Quran dan As Sunnah: Pentafsiran dan Kefahaman yang Berbeza


Pentafsiran dan Kefahaman berbeza muncul ketika aplikasi ilmu disebabkan latar belakang orang, tempat, konteks, masa dan keadaan yang berbeza.
Pada pandangan ambe, dalam mengatasi pentafsiran dan kefahaman agama yang berbeza, kita mesti kembali kepada dalam agama Islam ada yang Perkara Tetap dan Perkara Berubah-ubah.
Dalam Perkara Tetap, semua pihak perlu mengakurinya suka atau tidak. Cuma dari segi pelaksanaan boleh mengikut keutamaan, secara berfasa-fasa dan maqasid syariah selagi niat dan kaedahnya betul. Nak menghukum orang yang menafikan Perkara Tetap memerlukan kita bersifat adil dan berilmu. Paling baik diam daripada menjatuhkan penghukuman kerana kekurangan ilmu dan jika tidak berani menghadapi perbicaraan di mahkamah Allah semasa di Akhirat.
Perkara Berubah-ubah. Kita perlu menerima segala pandangan selagi ada nas daripada al-Quran dan As Sunnah daripada mana-mana pihak. Ia perlu dilakukan  dalam suasana beradab dalam memahami perbezaan. Semua pihak mengakui mereka benar dan tidak boleh memaksa orang lain menerima pandangan mereka. Disini kena ada sifat saling hormat menghormati.
Jika kita memahami kedua-dua ini, tiada alasan untuk kita bermusuh dan berdebat tanpa noktah.

Aplikasi Islam dalam kehidupan memerlukan keseimbangan antara teks dan konteks. Paling penting, niat dan kaedah yang betul. Maka semua orang mesti terus belajar.

Zaman Muda

Zaman Muda

Zaman Muda
Sewaktu kehidupan penuh berimpian
kenakalan masih bermahajalela
keberanian tiada pertimbangan
kebodohan berpanjangan
mahu mengubah dunia.

Zaman muda
Hidup penuh warna-warni
antara keceriaan dan mencabar
antara mahu tampan-cantik dan menggugat
antara beragama, berideologi atau memetik gitar
memilih hidup beriman dan berjasa atau hanyut dengan hedonisme.

Zaman muda
kebodohan fikir dan tindakan itu biasa
kerna terlebih dos semangat, tenaga dan idealis
kerna kurang pengalaman tiada hikmah.

Zaman muda
Zaman serba buat
segala mahu mencuba
tanpa fikir panjang.

Zaman muda
penuh keseronokan dan kebahagiaan
maka pilihlah keseronokan dan kebahagiaan abadi
yang bahagia ‘di sini’ dan bahagia ‘ di sana’.

25.12.17

Pekan

Isu Kesusahan Rakyat Dalam PRU 14 dan Budaya Politik Revolusi Industri 4.0



Kita berada dalam tempoh 100 hari menghadapi Pilihan Raya ke 14 (PRU 14) dilihat paling sengit dan dramatik. Ini disebabkan kehadiran gabungan Tun Mahathir dan DS Anwar Ibrahim dalam Pakatan Harapan (PH), PAS dan Gagasan Sejahtera pada paksi tengah dan UMNO-BN terpalit dengan pelbagai isu. Rakyat pula mengalami kesusahan dan kesempitan hidup. Pada masa yang sama, perkembangan internet dan gajet mengubah pemikiran dan budaya politik masyarakat Malaysia.

Dalam pilihan raya, para pengundi biasanya berdasarkan [1] parti politik, [2] calon dan [3] isu semasa.

Dalam persoalan [1] dan [2], ia sangat berkaitan dengan ideologi, keahlian dalam parti, sealiran pemikiran, kaum, tradisi keluarga, pengkaderan dan agama. Manakala persoalan [3], para pengundi yang melihat isu semasa, populisme, prestasi parti dan calon, dan tawaran manifesto.

Ciri-ciri Era politik RI 4.0 yang boleh dilihat ialah [1] jentera politik media sosial, [2] pengimejan populariti, [3] manipulasi maklumat dan menimbulkan persepsi yang mengelirukan dan meresahkan masyarakat. Semuanya berasaskan pengunaan maksimun internet dan gajet.

[4] Populisme bakal meruntuhkan pegangan politik berasaskan ideologi, agama, kaum dan tradisi keluarga. Pengundi memilih tokoh yang popular dan parti-parti yang berjaya memainkan dan memanipulasi isu-isu popular yang dekat dengan hati rakyat. Anak muda tidak lagi melihat kepada keahlian sesebuah parti.

[5] Sealiran. Kelompok berpendidikan bakal memilih calon yang sesuai dengan pemikiran mereka tanpa mengira parti mereka. Kelompok agama daripada kaum salafi akan mengundi calon-calon sealiran tidak kira sama ada daripada UMNO, PAS atau Amanah. Begitu juga kelompok liberalis akan memilih calon sealiran mereka tak kira sama ada daripada BN atau PH.

PRU 14 dilihat sebagai pilihan raya yang sengit dan mengelirukan serta sukar dijangka pilihan rakyat. [1] berlakunya pertembungan 3 penjuru, [2] kewujudan parti Amanah Nasional dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia bakal mengalih undi PAS dan UMNO dan [3] isu kesusahan rakyat dan isu-isu besar negara boleh mengalih sokongan rakyat kepada pembangkang dan [4]  penolakan orang Melayu-Islam terhadap DAP. Keempat-empat ini menyebabkan PRU 14 sukar dijangka keputusan.

Punbegitu sesetengah pandangan menyatakan BN akan kekal menang akibat daripada pertembungan 3 penjuru dimana undi pembangkang telah berpecah.

Isu terbesar dalam PRU 14 ialah isu kesusahan rakyat dengan kenaikan kos kehidupan. Isu ini dekat dengan rakyat berbanding isu-isu penyelewengan lain yang bersifat negara seperti FELDA dan 1 MDB. Isu-isu besar negara tidak dirasai oleh rakyat walaupun mereka tahu dan mengutuk tindakan kebodohan dan kebebalan sesetengah pendekatan kerajaan yang menyeleweng dan salah urus tadbir.

Pemenang PRU 14 ditentukan oleh keberkesanan kerajaan mengurangkan kesusahan rakyat dan sejauh mana pihak pembangkang (PAS dan PH) memanipulasikan isu kesusahan rakyat.


Apapun akhirnya, kita mendoakan kepada Allah SWT mengurniakan Malaysia para pemimpin yang beriman, berakhlak dan mampu mentadbir negara dengan amanah.

Pemimpin Islam



Setiap struktur organisasi mesti mempunyai pemimpin. Walaupun tidak menyertai organisasi secara aktif, kita masih perlu MELETAK dan menyokong pemimpin Islam ke tampuk pemerintahan sama ada dalam organisasi dan negara.

Pemimpin Islam perlu mempunyai ciri aqidah yang sahih, akhlak Islami, amal salehnya istiqamah, fikrah yang jelas bukan kabur dan mampu memimpin (dengan amanah, sihat fizikalnya, genius).


# Pendirian

Organisasi Islam



Tanpa penyertaan aktif didalamnya pun kita masih boleh membantu mereka menegakkan Islam. Islam disatukan atas fikrah – fikir untuk Islam bukannya keahlian sahaja dalam sesuatu organisasi Islam.

Sudah tentu maqam pahalanya berbeza antara orang menyokong dengan menyertai organisasi Islam. Dikalangan orang yang menyertainya juga mempunyai maqam yang berbeza berdasarkan niat dan amal mereka.

Sekurang-kurangnya, jadilah elemen-elemen kecil yang mencintai Islam walaupun khidmat kita sebesar zarah.

# Pendirian


...

Kecenderungan Kepada Parti Islam



Menyokong, simpati, cenderung atau menganggotai parti politik bernuasa Islam yang sudah tentu memiliki syarat-syarat tentu membolehkan ia dikelompokkan sebagai parti Islam. Antara syaratnya adalah:

1. Dasar dan Perlembagaan Parti ialah Islam yang bersumberkan Al-Quran, As Sunnah, Ijma’ Ulamak dan Qiyas.

2. Matlamat parti Islam ialah menegakkan Negara Islam (dengan pelbagai istilah-konsep: Negara Islam, Masyarakat Islam, Masyarakat Madani dan lain-lain) dan didalamnya ditegakkan perundangan Islam (dilaksanakan dengan pelbagai pendekatan dan berfasa-fasa). Matlamatnya mesti jelas bukannya kabur.

3. Politik untuk Akhirat bukannya membawa rakyat ke neraka dan kemurkaan Allah SWT.
4. Pemimpin beraqidah Islam (Ahlul Sunnah Wal Jamaah) dan berakhlak Islami.
5. Didalamnya ramai ulamak
6. Didalamnya ramai orang saleh yang mencintai Islam dan ikhlas dalam perjuangan Islam walaupun mereka miskin.
7. Paling minima mudharat daripada parti-parti lain dari segi permasalahan aqidah, kebejatan akhlak dan kemanusiaan.


Kerosakan dalam Organisasi Islam (termasuk parti Islam) berlaku disebabkan oleh kekeliruan, kecelaruan dan kebejatan dalam kefahaman ilmu dan akhlak oleh mereka yang bersifat pelampau (taksub/fanatik), kurang pengalaman (gopoh, nak menang cepat), mempunyai niat dan tujuan yang salah/buruk/jahat (oportunis, tamak, liberalis, plural,  korupsi, kronis dan nepotis)  dan salah dalam manhaj (penghalalan atas nama agama, mengutamakan aqal berbanding al Quran).

Pemimpin organisasi Islam, ahli, pendokong, simpatis, penyokong dan yang cenderung perlu sentiasa berwaspada terhadap kelompok di atas. ‘Syaitan’ dan ‘Malaikat’, atau ‘orang saleh’ dan ‘orang munafik’ bercampur-gaul dalam organisasi Islam, pilih sahabat dan pandangan yang mendekati pandangan dan seruan al-Quran dan as Sunnah.

Kita mesti ikhlas, berjiwa besar, bersabar dan istiqamah atas niat menegakkan Islam tanpa menghirau kemuncup mendatang.

# Pendirian


****

Politik Islam



Politik Islam perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas merentasi politik kepartian dan politik kesukuan. Politik Islam diikat dengan ikatan aqidah (kalimah syahadah) dan ukhwah (persaudaraan) Islam. Justeru, kita perlu membawa politik yang lebih matang, sejahtera dan muafakat dengan seruan penyatuan ummah dalam sesuatu isu.

Dalam politik, kita tidak perlu bersifat ‘hitam’putih’ atau mudah menjadi penghukum. Disinilah pendokong gerakan Islam yang menyertai politik kepartian seringkali terherot dengan pandangan yang berpihak kepada parti atau tokoh mereka sahaja bukannya kepada nama kebenaran. Kebenaran mesti mengatasi emosi dan kebencian.

Dalam Perkara Tetap, semua pihak perlu mengakurinya suka atau tidak. Cuma dari segi pelaksanaan boleh mengikut keutamaan, secara berfasa-fasa dan maqasid syariah selagi niat dan kaedahnya betul. Nak menghukum orang yang menafikan Perkara Tetap memerlukan kita bersifat adil dan berilmu. Paling baik diam daripada menjatuhkan penghukuman kerana kekurangan ilmu dan jika tidak berani menghadapi perbicaraan di mahkamah Allah semasa di Akhirat.

Perkara Berubah-ubah. Kita perlu menerima segala pandangan selagi ada nas daripada al-Quran dan As Sunnah daripada mana-mana pihak. Ia perlu dilakukan  dalam suasana beradab dalam memahami perbezaan. Semua pihak mengakui mereka benar dan tidak boleh memaksa orang lain menerima pandangan mereka. Disini kena ada sifat saling hormat menghormati.


Dalam kaedah gerakan Islam, keputusan syura ulama/pemimpin yang berdalil nas al-Quran dan hadith mesti diikuti daripada pandangan minoriti sesetengah ulama/pemimpin atau ulama/pemimpin secara individu.

ALAM POLITIK


 Kita memerlukan pembangkang yang konstruktif (membina) bukannya destruktif (meruntuhkan). Pembangkang bertindak sebagai penasihat, pengawas, penegur dan pemberi idea. Ia penting dalam membangunkan ummah dan mengelakkan kerajaan melakukan kezaliman. Pembangkang hanya menurunkan kerajaan dalam gelanggang pilihanraya bukan menumbangkan kerajaan melalui jalanan dan revolusi.

Kita memerlukan rakyat yang kritis bukannya hanya mengekor kerajaan. Rakyat yang kritis bukannya kaya dengan kritikan tetapi membantu kerajaan dengan khidmat social dan berbudaya sukarelawan. Rakyat perlu berdikari mengatasi masalah melalui komuniti setempat bukannya mengharapkan subsidi dan bantuan kerajaan sahaja. Rakyat perlu mewujudkan ‘gerakan’ atau NGO untuk mewujudkan solidarity dalam sesuatu perkara dan isu.

Pemimpin kerajaan perlu seorang demokratis dimana mereka bukan sahaja memberi idea tetapi sanggup menerima idea daripada sesiapa jua termasuk daripada pembangkang dan rakyat. Sifat ‘pembuli’ kepada pembangkang yang kalah pilihan raya atau kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang mesti dielakkan. Kerajaan mesti menjauhi Korupsi (rasuah), Kronisme dan Nepotisme (KKN). Begitu juga sifat diktator-zalim dan menjadikan negara sebagai ‘darul’ cukai mesti dijauhi untuk memberi kesejahteraan dan berkebajikan kepada rakyat.


# Pendirian

Siapakah Pengkritik?



Pengkritik
adalah penegur yang jujur
dalam menggigit ada santunnya
bertaring tidak mengerkah
berkuku tidak mencakar
tetapi tegurannya tetap berbisa.

Pengkritik
adalah penasihat yang setia
dengan sabar dia menghulurkan kata
kerasnya tidak tertakik
lembutnya tidak tersudu
mengerti waktu mahu buka langkah silat atau tika perlu bersekutu.

Pengkritik
adalah pendekar yang menikam
tidak terlalu dalam
cedera tidak mati
masih boleh diubati
untuk menginsafi dan menyedarkan.

Pengkritik
adalah pembangkang sifatnya kontruktif
bukannya bersifat destruktif
menghulurkan kebersamaan
membangunkan ummah.

22.12.17

Pekan

Rangkaian ‘Islam Amerika’



Pada dekad tahun 1990an, muncul istilah Islam Amerika yang seringkali digunakan oleh para pemimpin gerakan Islam tertentu menyindir para pemimpin gerakan Islam yang pro kerajaan.

Rangkaian ‘Islam Amerika’ (RIA) muncul di Barat (Eropah dan AS) apabila pemimpin Ikhwanul Muslimin Generasi Muda dari Mesir, Syria dan Iraq berhijrah ke sana. Ia juga dibantu oleh pimpinan muda Jamaati Islami dari Pakistan.

Mereka telah menubuhkan pelbagai organisasi Islam dan berkhidmat dalam pelbagai institusi pendidikan di sana. Secara fikrah dan aspirasi,  mereka membawa Ikhwanul Muslimin dalam bentuk baru yang sesuai dan serasi dengan kebudayaan dan ketamadunan Barat.

Pemimpin Ikhwanul Muslimin Generasi Baru ini juga menubuhkan organisasi Islam peringkat antarabangsa terutamanya sayap belia, pemuda dan mahasiswa seperti World Assembly of Muslim Youth (WAMY)[1] dan The International Islamic Federation of Student Organizations (IIFSO)[2]. Anwar Ibrahim terlibat dalam WAMY[3] dan IIFSO[4]. Mereka dibiayai oleh Arab Saudi terutamanya pada zaman Raja Faysal (memerintah sejak 2 November 1964 – 25 Mac 1975) yang pro Ikhwanul Muslimin.

Pada akhir tahun 1970an,  pemimpin muda tadi menjarakkan diri mereka daripada gerakan haraki-siasah beralih kepada gerakan intelektualisme. Ketika inilah munculnya The International Institute of Islamic Thought (IIIT) pada tahun 1981. Antara pengasas IIIT ialah Dr. Jamal Bazinji, Dr. Hisham Yahya Altalib, Dr. 'Abdul Hamid Ahmad Abu Sulayman. Mereka semua adalah pemimpin Ikhwanul Muslimin Generasi Muda.

Sejurus Anwar Ibrahim berada dilantik Menteri Pendidikan, pendokong RIA dilantik dalam kepimpinan Universiti Islam Antarabangsa. Antaranya Rektor UIA ialah Dr. 'Abdul Hamid Ahmad Abu Sulayman. Pejabat IIIT Malaysia diwujudkan di UIA Petaling Jaya.  ISTAC pula ditubuhkan pada tahun 1987 dibawah kepimpinan Syed Muhammad Naquib al Attas.

Perubahan gerakan haraki-siasah kepada gerakan intelektualisme dilihat satu usaha menjarakkan pemikiran Sayyid Qutb berubah kepada pemikiran Malik Ben Nabi yang bertunjangkan ketamadunan, kebudayaan, keilmuan dan pendidikan.

Punbegitu RIA masih mempunyai harapan politik mereka kepada Anwar Ibrahim dalam usaha mereka menjadikan Malaysia sebagai model kenegaraan mereka. Mereka cuba mengaplikasikan gagasan pemikiran mereka melalui Anwar Ibrahim.

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO dilihat atas usaha pemimpin IIIT, Dr Ismail al-Faruqi yang menasihati Dr Mahathir menerima Anwar Ibrahim sebagai anggota UMNO. Adakah benar Anwar Ibrahim menjadi agenda RIA? Hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Secara pastinya, perhubungan RIA dengan Anwar Ibrahim kelihatan ada dan terancang.

Perkara ini dapat dilihat apa sahaja agenda RIA menjadi agenda Anwar Ibrahim seperti [1] Islamisasi, [2] Masyarakat Madani dan [3] Muslim Demokrat. Cuba kita telusuri gagasan pemikiran ini dan kita akan ketemui perkaitan yang tak pasti sama ada kebetulan atau tidak sengaja.

Antara sifat RIA ialah

1. Mengutamakan istilah, konsep dan teori berbanding praktikal
2. Mengutamakan ilmu dan pendidikan daripada kenegaraan dan perundangan Islam
3. Mengutamakan dialog peradaban, pengkongsian dan kebersamaan dengan Barat berbanding perseteruan dan jalan jihad dengan Barat.
4. Mencari keserasian Islam dengan prinsip-prinsip Barat. Kebanyakan hasilnya ialah nilai dan prinsip Islam seringkali tunduk dengan aspirasi dan kehendak Barat. Contoh, konsep Muslim Demokrat.
5. Kerjasama dengan Barat dari pelbagai aspek termasuk dana, sokongan moral dan lain-lain.
6. Islamisasi





[1] WAMY diasaskan Arab Saudi pada tahun 1972. WAMY dipimpin oleh Sheikh Hassan Abdullah (Presiden) dan Dr Abdullah Omar Nasief (Naib Presiden). Kedua-dua dari Arab Saudi. Tunggak utama adalah Dr Abdullah Omar Nasief yang merupakan Setiausaha Agong MWL (Muslim World Leage) dan bekas rektor Universiti King Abdul Aziz.

Setiausaha Agong dan Timbalan Setiausaha Agong dijawat oleh Dr Ahmad Abdul Kadir Bahafzallah dan Dr Ahmad Totonji.

Manakala Ahli Jawatankuasa WAMY terdiri daripada; Anwar Ibrahim (Perwakilan dari Asia), Dr Abdul Hamid Abu Sulaiman (Perwakilan Amerika Syarikat), Dr Muhamad Yaqub Mirza (Perwakilan Amerika Syarikat), Dr Jamal Barzanji (Perwakilan Amerika Syarikat) dan Mustafa Al Tahan (Perwakilan dari IIFSO).
[2] The International Islamic Federation of Student Organizations (IIFSO) hasil inisiatif pelajar Universiti Ibadan, Negeria pada tahun 1966. Pada tahun 1969 berlaku perbincangan di Mekah, Arab Saudi dan pada tahun 1971 ‘dilancarkan’ di Aachen, Jerman yang dikenali sebagai pusat gerakan Ikhwanul Muslimin Syria. Dr. Ahmed Totonji dilantik sebagai SUA  IIFSO yang pertama.
[3] Anwar Ibrahim menjadi wakil/Ahli Jawatankuasa WAMY di peringkat Asia Tenggara selama 6 tahun bermula pada tahun 1976
[4] Anwar Ibrahim dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa IIFSO

Parti Amanah Nasional


 Dalam kolum Tekad Budaya, Mingguan Amanah edisi 81 tulisan Pak Dinsman menyatakan

‘dan saya menyatakan harapan agar tokoh-tokoh pimpinan yang disingkirkan dari parti politik PAS tidak tergesa-gesa hendak menubuhkan parti baru’

Penulis bersetuju dengan pandangan Pak Dinsman. Mereka yang disingkirkan adalah pemimpin berpotensi, berpengalaman dan berjasa sewajarnya menyelesaikan masalah mereka dalam gelanggang muktamar pemilihan yang akan datang bukannya menubuhkan parti baru yang tidak menyelesaikan masalah bahkan menghasilkan perseteruan berpanjangan, perpecahan, saling pecah-memecahkan pekung peribadi dan politik sebalik tabir.

Jika mereka marah TGHH sekalipun, mereka boleh TAWAQUF sementara menunggu TGHH berundur berikutan usia dan kesihatan TGHH semakin merosot. Barangkali, ketergesaan mereka untuk memburu kemenangan politik dalam PRU 14 mengelapkan pandangan mereka terhadap betapa pentingnya politik sepakat dan politik penyatuan ummah.

Hasil penubuhan Parti Amanah Negara (AMANAH) pada hari ini dapat dilihat pada:

1. Kemunculan pemimpin PAS yang merajuk, terpencil dan muka lama yang menyepi menjadi pemimpin Amanah. Mereka cukup beremosi dengan PAS dan pemimpin tertentu dalam PAS terutamanya TGHH. Dengan kemudahan ICT terutamanya media sosial, serangan berbentuk pembunuhan karekter dan pembodohan dilakukan padahal merekalah yang sering memperjuangkan perbezaan pandangan dan adab dalam perbezaan pandangan.

2. Anak muda dan pemimpin gerakan mahasiswa yang mengkritik PAS dengan garang dan suara lantang telah diberi jawatan dan kedudukan dalam kepimpinan parti Amanah. Adakah mereka sudah melaksanakan idea-idea perubahan yang mereka laungan seperti zaman anak muda dan mahasiswa ketika dulu?

3. Parti Amanah gagal menumpukan kepada agenda dan polisi yang diperjuangkan oleh mereka. Mereka lebih banyak melakukan serangan politik terhadap PAS dan mempertahankan diri daripada serangan politik PAS. Sewajarnya, Parti Amanah menatarkan agenda-agenda perjuangan mereka kepada rakyat jelata.

4. Watak generasi tua PAS yang memimpin Parti Amanah tidak mengambarkan politik baru. Mereka mewarisi sifat-sifat mereka semasa dalam PAS. Mereka suka sifat ‘2 x 5’ dengan PAS.

Parti Amanah kena terus berubah memenuhi kehendak politik baru di Malaysia.

1. Perbanyakan calon-calon anak muda dalam PRU 14.
2.  Jadikanlah pemimpin hari ini sebagai transisi sahaja sebelum menyerahkan kepada pemimpin yang lebih muda. Pemimpin muda seperti Ustaz Mohd Ramadhan Fitri Elias perlu dipersiapkan untuk tampuk pimpinan seterusnya.

3. Lebih banyak mempromosikan agenda-agenda yang dibawa oleh parti Amanah bukannya menumpukan serangan kepada PAS.

4. Memperbanyakkan aktiviti bersama dengan rakyat jelata.


5. Memperbanyakkan dialog dan pertemuan dengan kelompok berkepentingan di negara ini seperti kesatuan guru dan sekerja.

Saturday, December 16, 2017

PAS, IKRAM dan ABIM Dalam Politik Kepartian

Kelemahan Seni Politik Dalam Gerakan Islam Di Malaysia: Penglibatan PAS,  ABIM dan IKRAM Dalam Politik Kepartian
Oleh
Abdullah al Helmy
Semua gerakan Islam mempunyai fikrah yang sama dimana sumber pegangan sejati mereka al-Quran, al Sunnah, Ijma’ Ulamak, Qiyas, Sirah Rasulullah SAW dan sejarah Islam. Perbezaan diantara mereka ialah pendekatan dan ijtihad mereka dalam sesuatu persoalan. Ada gerakan Islam bermusuh sesama mereka ekoran daripada persoalan kekuasaan, politik dan peribadi. Permusuhan ini mencetuskan persaingan dalaman sehingga mencetuskan konflik dan boleh merebak menjadi perang (sebagaimana berlaku di Afghanistan).
Ada sesetengah anggota IKRAM menafikan mereka adalah JIM atau al-Jamaah atau IRC. Ada sesetengah mantan pemimpin ABIM dalam sesebuah parti politik menafikan kehadiran mereka sebagai proksi ABIM tetapi kehadiran mereka adalah atas tiket individu. Suka atau tidak, mereka terikat secara fikrah, aspirasi (tujuan atau matlamat) dan ukhwah (pengaulan)  kerana mendapat pentarbiahan daripada jemaah tersebut. Pentarbiahan itu menjadikan diri mereka sebagai kader jemaah tersebut.
Pemikiran seseorang kader boleh berubah disebabkan oleh persoalan kepentingan,  cita-cita, mendapat mentor-penasihat yang salah, suasana persekitaran (dalam organisasi atau tempat belajar), secara spontan, pengaulan, pembacaan dan unsur-unsur ‘gelap’(contoh: rasuah dan seks). Perkara ini menggugat pemikiran dan pegangan kader-pemimpin gerakan Islam, akhirnya kader tersebut terjerumus dalam lembah kesesatan, kekeliruan, keraguan dan kecelaruan serta kemaksiatan.
RANGKAIAN ‘ISLAM AMERIKA’
Rangkaian ‘Islam Amerika’ dibentuk oleh generasi baru pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin yang berhijrah ke Amerika Syarikat. Ia ditaja oleh Arab Saudi terutamanya pada zaman Raja Faisal yang pro Ikhwanul Muslimin.
Pada tahun 1970, Ahmad al-Haj Totonji[1] seorang rakyat Iraq yang berhijrah  ke Arab Saudi telah melawat Malaysia dan membantu Anwar  Ibrahim untuk menubuhkan ABIM. Ketika itu, Totonji adalah pegawai WAMY (World Assembly of Muslim Youth), organisasi baru yang dibentuk oleh Arab Saudi. Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman[2] dilantik sebagai Setiausaha Agung yang pertama WAMY.
IIIT (The International Institute for Islamic Thought), berpengkalan di Herndon Virginia, ditubuhkan pada tahun 1980 oleh Anwar Ibrahim, Ismail Faruqi dan Abu Sulayman. IIIT banyak didanai oleh Arab Saudi.
IIIT berperanan menggerakkan gagasan ‘Islamisasi Pengetahuan’ (Islamization of Knowledge), satu konsep yang menuntut semakan semula terhadap semua pengajaran dan teks pandangan dunia Islam (world view).
Para pemimpin IIIT juga menggagaskan gagasan Muslim Demokrat.
Rumusannya Rangkaian ‘Islam Amerika’:
1. Pemimpin muda Ikhwanul Muslimin yang berhijrah ke Amerika Syarikat tentang membentuk pemikiran baru yang boleh dinamakan sebagai ‘Islam Amerika’.
2. Organisasi Islam di Amerika Syarikat dibawah pengaruh Ikhwanul Muslimin dan didanai oleh Arab Saudi.
3.   WAMY, ABIM dan IIIT mempunyai hubungan yang kuat dalam rangkaian ‘Islam Amerika’. Pemimpin belia dari Malaysia, Anwar Ibrahim termasuk dalam rangkaian Islam Amerika ini.
4. Pemimpin daripada rangkaian Islam Amerika inilah yang menggagas Muslim Demokrat
5. Kepimpinan IRC USA yang menguasai MISG terpengaruh dengan pemikiran baru rangkaian Islam Amerika. Kebanyakan mereka membantu Anwar Ibrahim dalam UMNO.


PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
Pendirian PAS
PAS adalah sebuah gerakan Islam mencakupi siasah, dakwah dan tarbiah. Pendirian politik PAS adalah jelas berdasarkan Perlembagaan PAS.
Perjuangan PAS mewujudkan Negara Islam dan Pelaksanaan Perundangan Islam berterusan sehingga ke hari ini (2017) walaupun dengan pendekatan yang berbeza.
Dari segi perkembangan dalam politik kepartian, PAS jauh meninggalkan Ikhwanul Muslimin. Bahkan tidak segan dikatakan PAS paling berjaya, dinamik dan ‘progresif’ dalam perkembangan politik kepartian dan proses demokrasi.
Dikala Gerakan Islam lain terpaksa menyembunyi agenda Islam dan memisahkan politik kepartian dengan gerakan Islam, PAS masih istiqamah dengan PAS sebuah gerakan Islam yang didalamnya ada agenda politik, sosial dan ekonomi Islam walaupun berdaftar sebagai parti politik. Bahkan PAS membawa model kepimpinan ulamak –dimana ulama memimpin negara – yang hanya berani melakukannya hanya pihak Syiah dan melawan arus konsep kepimpinan yang tradisional-sunni.
Sebagai parti politik, PAS mudah menerima ahli daripada latarbelakang. PAS juga mudah memberi kepercayaan kepada para pemimpin yang berpotensi dan berpengalaman untuk menjawat  jawatan tertentu dalam PAS dan menjadi calon pilihan raya. Pemimpin tertentu diberi jawatan tertinggi seperti Tan Sri Muhammad sebagai Timbalan Ketua Penerangan dan Dr Hassan Ali sebagai Naib Presiden. PAS juga menganggap mereka hanya satu-satunya wadah politik Islam bagi gerakan-gerakan Islam di Malaysia berpolitik.
Terdapat dua gelombang kemasukan pemimpin gerakan Islam lain ke dalam PAS iaitu Pemecatan Anwar Ibrahim daripada Kerajaan Malaysia dan isu pencantuman PKN dengan PRM yang akhirnya membantuk PKR. Pemimpin seperti Mohd Anuar Tahir (Pemimpin ABIM yang masuk PKN dan keluar PKN untuk masuk PAS), Amirudin Hamzah (JIM), Dzulkefly Ahmad (Amir IRC UK dan YDP JIM Kelantan) dan Saari Sungip (Presiden JIM) diberi peluang untuk menjadi calon pilihan raya dan diberi jawatan dalam parti. Disini kita dapat mengesan pemimpin IRC-JIM dan ABIM yang pro Anwar Ibrahim atau rangkaian ‘Islam Amerika’ cuba menguasai PAS. Mereka banyak berada diposisi kawasan dan badan perhubungan negeri. Perkara ini paling menyerlah di Johor apabila kebanyakan pemimpin utama PAS Johor menyertai PAN.
Permasalahan yang timbul ialah pemimpin yang mempunyai latar belakang daripada gerakan Islam lain tidak memberi sepenuh wala’ kepada pemimpin PAS sebagaimana mereka ditarbiah dalam jemaah masing-masing agar wala’ kepada Amir Jemaah dan keputusan Majlis Syura Jemaah. Para pemimpin gerakan tersebut menganggap PAS sebagaimana parti politik lain. PAS berada dalam lingkungan gerakan Islam merangkap parti politik. Perkara ini terbukti setelah Muktamar Tahunan PAS 2015, kelompok JIM dalam PAS keluar secara ‘berjemaah’. Para pemimpin ABIM dan JIM melanggar bai’ah pilihan raya dan melompat masuk ke dalam parti lain. Kegagalan pemimpin jemaah tertentu dalam PAS seperti Saari Sungip (ADUN Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (ADUN Morib) menunjukkan mereka mempunyai kepentingan lain dan tiada wala’ kepada Presiden PAS sebagai Amir Jemaah.

ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) suatu gerakan anak muda yang radikal terhadap kerajaan UMNO yang sekular. Pada peringkat awal, ABIM dipengaruh oleh tokoh Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) Indonesia, Mohd Imaduddin Abdul Rahim, Sayyid Qutb dan Syed Muhammad Naquib al-Attas membentuk sikap yang keras terhadap sekularisme. Pengarang Risalah merangkap Timbalan Presiden ABIM, Siddiq Fadzil seringkali mengunakan istilah taghut, jahiliah, zalim dan sebagainya terhadap gejala-gejala kemungkaran dan modernisme yang berlaku di Malaysia. ABIM pernah mendesak Kerajaan Malaysia melaksanakan  syariah sepenuhnya dalam Deklarasi 6 Zulhijah 1395 yang diluncurkan pada bulan September 1977. Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO mengendurkan sifat radikal dan vokal ABIM terhadap UMNO-BN.


ABIM Dalam Pelukan UMNO
Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada 29 Mac 1982 mencetuskan kegemparan dunia politik terutamanya kalangan anggota gerakan Islam. Gerakan Islam mengalami perpecahan yang teruk. Kemasukan Anwar Ibrahim dikatakan tertarik dengan keikhlasan Dr Mahathir dalam melaksanakan ‘Islam dari dalam kerajaan’. Anwar menyatakan sebab kemasukan beliau, ‘kerana kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Dato Seri Dr Mahathir Mohammad’. [3] Anwar mahu merealisasikan idealisme perjuangan Islam sebagai cara hidup dalam kerajaan. Pada pandangan Anwar, UMNO tiada ideologi yang kuat dan bergantung kepada siapa yang memimpinnya. Majlis Syura ABIM menolak pandangan Anwar sekalipun melepaskan Anwar daripada jawatan Presiden ABIM.
Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tetap membawa cita-cita ABIM dan tidak ada sama sekali berniat meninggalkan jemaah. Kemasukan beliau bersifat ijtihad fardi atau atas perhitungan sendiri untuk mengurangkan pertentangan antara kelompok Islamis dengan Nasionalis. Sheikh Azmi Ahmad menegaskan kemasukan Anwar perlu dilakukan secara kolektif bukannya perseorangan.
Anwar Ibrahim bukan sahaja membawa masuk pemimpin ABIM (antaranya Kamarudin Mohd Nor, Kamaruddin Jaafar dan Fuad Hassan) ke dalam UMNO tetapi sahabat-sahabat beliau ketika di MCKK, dalam gerakan mahasiswa-belia, Yayasan ANDA dan membina jalur anak muda untuk menjadi pengikut beliau ketika dalam Pergerakan Pemuda UMNO. Orang ABIM diposisikan dipelbagai tempat sebagai Setiausaha Menteri, IKD, UIA dan Yapeim. ABIM mula mengantuk dalam pelukan UMNO.
Anwar Ibrahim telah memposisikan para pengikut beliau dipelbagai peringkat kepimpinan dalam UMNO, kerajaan, GLC dan media massa.
Dalam mesyuarat bahagian-bahagian UMNO sesi 1998-2000, 90 Ketua Bahagian UMNO berjaya mengekalkan kedudukan mereka tanpa pertandingan, 60 orang mengekalkan dengan pertandingan dan 12 orang tewas. Dua bahagian diarah mengadakan pemilihan semula. Pertukaran pemimpin berlaku di 24 daripada 165 bahagian UMNO. Seramai 12 daripada 24 muka baru mendapat kedudukan dengan menewaskan ketua bahagian yang sedia ada.
Proksi Anwar memenangi Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO melalui Zahid Hamidi dan Dato Zaharah Sulaiman. Dalam Perhimpunan Agung UMNO 1997, Zahid Hamidi telah berucap tentang Korup, Kronisme dan Nepotisme yang merimaskan Dr Mahathir ketika itu.
Anwar Ibrahim juga memposisikan orang beliau untuk menguasai media massa.  Johan Jaaffar sebagai Ketua Pengarang Utusan Malaysia manakala Ahmad Nazri Abdullah sebagai Ketua Pengarang Berita Harian. Begitu Pengarah Urusan Sistem Televisyen Malaysia (TV3). Dalam sektor korprat, Anwar Ibrahim juga memasang kroni beliau. Antara yang terkenal ialah Tan Sri Yahaya Ahmad yang menguasai DRB-HICOM.
Pada 2 September 1998, Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pemecatan Anwar Ibrahim turut membawa kepada penangkapan beberapa orang UMNO yang rapat dengannya dibawah ISA. Antara yang ditahan ialah Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Ruslan Kassim (mantan pemimpin PMIUM dan yayasan ANDA), Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Kamaruddin Jaafar(mantan pemimpin ABIM), Pengerusi Institut Kajian Dasar, Ahmad Azam Abdul Rahman, Presiden ABIM, Mukhtar Redhuan, Timbalan Presiden ABIM, Abdul Halim Ismail, Naib Presiden ABIM, Shaharuddin Badarudin, Setiausaha Agung ABIM, Dr.Sidek Baba (mantan pimpinan ABIM),Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa, Tamunif Mokhtar, Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Kamaruddin Mohd.Noor (mantan pemimpin ABIM), Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Amidi Abdul Manan, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan Dr.Zamri Abdul Kadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Lumut, Perak. Di samping itu beberapa minggu selepas pemecatan Anwar Ibrahim, dua orang rakan rapat beliau telah diarah meletakkan jawatan daripada memegang jawatan ketua editor akhbar utama negara iaitu Utusan Malaysia dan Berita Harian. Mereka ialah Johan Jaaffar dan Ahmad Nazri Abdullah. Hal ini diikuti perletakan jawatan Pengarah Urusan Sistem Televisyen Malaysia (TV3). Sahabat Anwar Ibrahim dalam kelompok ABIM dan kelompok Bekas UMNO banyak membantu memperjuangkan Anwar dalam mengerakkan Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) dan GERAK.

Penyingkiran ABIM Dalam Parti Keadilan Nasional
Parti Keadilan Nasional (PKN) berasal daripada sebuah NGO yang bernama ADIL ditubuhkan dan diketuai oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 10 Disember 1998.
Pada 4 April 1999, Parti Keadilan Nasional (PKN) dilancarkan dengan mengunakan singkatan KeADILan. Parti Keadilan Nasional atau (KeADILan-selepas ini PKN) adalah sebuah pertubuhan politik yang didaftarkan pada tahun 1990. Nama asalnya adalah Ikatan Masyarakat Islam dan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa pada tahun 1999, parti ini dipinda namanya kepada Parti Keadilan Nasional (KeADILan), sesuai dengan aspirasi perjuangan semasa. Misi perjuangan adalah jelas: menegakkan keadilan dan kebenaran.
KeADILan adalah parti berbilang kaum dan agama yang terbuka keahliannya kepada semua warga Malaysia.
PKN disertai oleh pemimpin gerakan reformasi. Pemimpin gerakan reformasi ini terdiri daripada mantan pemimpin UMNO, pemimpin ABIM[4], pemimpin JIM, pemimpin NGO bukan Islam[5], cendikiawan dan reformis (sebelum ini tidak berparti) serta sahabat-sahabat lama Anwar Ibrahim[6]. Walau bagaimanapun, kepimpinan PKN didominasi oleh kelompok ABIM. Perkara ini menimbulkan keresahan kepada kelompok lain yang menganggap Dr Wan Azizah cuba dikuasai oleh kelompok ABIM.
Sebelum Persidangan Agung PKN  dari 9 hingga 11 November 2001, terdapat beberapa isu yang mencengkam PKN. Antaranya
1. Dr. Wan Azizah menghadapi krisis kepercayaan dalam kepimpinannya.
Timbalan Presiden, Dr. Chandra Muzaffar telah mengumumkan dia tidak akan bertanding mempertahankan jawatannya diikuti Naib Presiden Zainor Zakaria yang turut berbuat demikian. Pemimpin-pemimpin lain yang berundur dan membayangkan hasrat ingin berundur ialah Ruslan Kassim (Ketua Penerangan), Hamdan Taha (Naib Ketua Pemuda Keadilan) dan Abdul Wahid Ahmad Shuhaimi (Pengerusi Perhubungan Keadilan Pahang). Sebelum itu, PKN kehilangan Marina Yusof keluar parti tidak lama selepas pilihan raya umum 1999.
2. Pemimpin Utama PKN yang Ditahan
Dengan beberapa pemimpin PKN berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti Ezam Mohd. Noor (Ketua Pemuda Keadilan), Tian Chua (Naib Presiden) dan Saari Sungib (Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi).
3. Wan Azizah Hanya Simbol Kekuasaan Anwar Ibrahim
Wan Azizah sebagai Presiden PKN hanya simbol. Sebalik tabirnya adalah Anwar Ibrahim. Pada zaman awal PKN, Anwar tidak memegang kuasa apa-apa jawatan dalam PKN tetapi kuasanya melampaui kuasa Presiden PKN. Pemilihan kepimpinan dalam PKN berdasarkan simbol bukannya kelebihan dan prestasi kepimpinan. Menyingkir Wan Azizah bermakna menyingkirkan Anwar.
Wan Azizah adalah simbol kekuasaan Anwar Ibrahim terhadap PKN. Wan Azizah dibantu oleh proksi Anwar Ibrahim yang paling setia dan dipercayai oleh Anwar Ibrahim  iaitu pengikut setia dalam UMNO dan kerajaan dahulu iaitu Azmin Ali (bekas Setiausaha Sulit Anwar, kini Pengerusi Perhubungan Keadilan Selangor), Ezam Mohd. Noor (bekas Setiausaha Politik Anwar, kini Ketua Pemuda Keadilan) dan Khalid Jaafar (bekas Setiausaha Akhbar Anwar, sekarang menjaga Bahagian Penerbitan Keadilan) .
4. Kelemahan Birokrasi
Urusan pentadbiran parti itu yang dikawal oleh bekas Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Anuar Tahir gagal meningkatkan jumlah keahlian parti. Selepas dua tahun enam bulan ditubuhkan, PKN kini hanya mempunyai keanggotaan sebanyak 200,000. Jumlah itu amat kecil bagi sebuah parti politik nasional berbanding UMNO yang mencatatkan keahlian seramai 2.8 juta orang.
Terdapat dakwaan kononnya banyak cawangan PKN tidak mengadakan mesyuarat secara tetap kerana kegagalan pengurusan parti memprojekkan PKN sebagai sebuah parti massa.
5. Peng’ABIM’an Parti Keadilan Nasional
Dominasi kepimpinan PKN oleh kelompok ABIM meresahkan kelompok lain dalam PKN. Jawatan tertinggi PKN dikuasai oleh kelompok ABIM. Antaranya  Dr Muhammad Nur Manuty (anggota MPT Undangan dan Pengerusi PKN Bahagian Larut), Mohd Anuar Tahir (SUA), Ruslan Kasim  (Ketua Penerangan) dan Mustaffa Kamil Ayub (Timbalan Ketua Pemuda). Tidak kurang 5 anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKN daripada kelompok ABIM. Ketua-ketua negeri dan bahagian-bahagian menyaksikan kelompok ABIM mendominasi pucuk kepimpinan PKN terutamanya di Perlis, Kedah, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan. Keadaan yang sama berlaku dalam biro-biro dalam PKN termasuk dalam Biro Politik dan Biro Pengurusan PKN.
Isu PengABIMan ini mencetuskan label-melabel, fitnah dan tuduh menuduh dalam PKN sehingga konflik dalaman dalam PKN. Gambaran yang muncul sebelum persidangan ialah ABIM vs. The Rest (atau Ahli Keadilan-PKN).
Dalam pemilihan itu, PKN secara longgarnya boleh dibahagikan kepada dua. Pertama, kumpulan ABIM. Kedua, kumpulan lain yang terdiri daripada bekas-bekas ahli UMNO, aktivis-aktivis NGO termasuk pertubuhan hak asasi manusia dan Jemaah Islah Malaysia (JIM), golongan cendekiawan dan profesional dan kumpulan reformis tidak berparti sebelum PKN ditubuhkan.
Pertembungan antara mereka didakwa menjadi antara punca beberapa pemimpin dalam PKN mengundurkan diri daripada pemilihan parti itu sebelum persidangan. Mereka tidak dapat menerima hakikat ahli-ahli ABIM cuba ‘mencuri’ PKN daripada mereka. Mereka mendakwa, satu ciri ahli-ahli ABIM ialah persaudaraan dikalangan mereka yang sangat rapat.
Ciri-ciri Persaudaraan ABIM (sebenar ciri yang ada dalam sesebuah gerakan Islam) mencetuskan perkara yang boleh dirumuskan dalam ayat dibawah;
``Sama ada ahli-ahli ABIM berada di dalam Keadilan, UMNO mahupun Pas, mereka berkongsi persaudaraan ABIM. Persaudaraan inilah yang mencetuskan masalah dalam bentuk memecahkan Keadilan(PKN) kepada puak dan kabilah,'' .
``Seorang ahli ABIM (pemimpin yang ditarbiah oleh gerakan Islam-penulis) yang berada dalam UMNO mahu melihat ahli ABIM menguasai Keadilan (PKN) atau Pas. Demikian juga ahli ABIM dalam Keadilan (PKN) dan Pas, mereka ingin melihat ahli ABIM menjadi pemimpin penting UMNO. Masalah persaudaraan ABIM ini yang meresap dalam parti telah meresahkan kumpulan lain dalam Keadilan (PKN).''
6. Isu Pencantuman PKN dengan Parti Rakyat Malaysia
Kemenangan ahli-ahli ABIM dalam jawatan-jawatan utama akan menyukarkan proses percantuman Keadilan (PKN) dan Parti Rakyat Malaysia. Mohd. Anuar sendiri mengakui tiada agenda khusus membincangkan soal penggabungan secara rasmi dalam persidangan itu. Mohd Anuar berkata, meskipun 63.7 peratus perwakilan Keadilan-PKN dalam persidangan agung khas 24 Jun lalu, bersetuju bergabung dengan PRM, namun parti masih tidak dapat meminda perlembagaan kerana kurang dua pertiga yang bersetuju. Pindaan perlembagaan yang akan dibuat pada persidangan nanti cuma akan menyentuh aspek berkaitan keorganisasian parti.. Terpulanglah kepada para pemimpin parti (yang baru) untuk meneruskan agenda pencantuman dengan PRM.
Dr. Wan Azizah (Presiden PKN) dan Mohamad Ezam (Ketua Pemuda PKN) pula mahukan pergabungan Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dipercepatkan. Mohamad Ezam dalam usul Pemuda mendesak percantuman disegerakan dalam tempoh lebih tiga bulan persidangan agung parti selesai manakala Dr. Wan Azizah berkata, partinya akan terus memperluaskan penyertaan dalam pelbagai kelompok, kaum dan penganut agama.
Kata Dr Wan Azizah,
``Dalam rangka ini, usul yang perwakilan luluskan pertengahan tahun ini untuk menyegerakan penggabungan dengan PRM memenuhi matlamat yang disebutkan,''
Manakala Abdul Rahman dalam interviu dengan lidah rasmi Keadilan-PKN bahawa gabungan Keadilan-PKN dan PRM akan mewujudkan sebuah parti yang cukup kuat.
7. Isu Perbezaan Kelas dalam PKN
Perdebatan mengenai cara Keadilan-PKN harus bertindak sebagai sebuah parti politik. Golongan cendekiawan dalam PKN yang hanya mampu berinteraksi dengan kumpulan kelas menengah tetapi gagal memahami politik akar umbi. Manakala kelompok reformis dan aktivis ‘jalanan’ cenderung untuk mengamalkan pendekatan matlamat menghalalkan cara menerusi siri demonstrasi dan rusuhan.
Berbalik kepada penyingkiran ABIM daripada PKN dalam pada Persidangan Agung PKN dari 9 hingga 11 November 2001 di Dewan Majlis Daerah Kemaman, Terengganu.
Dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKN, Dr. Muhammad Nur Manuty (bekas Presiden ABIM) tewas 44 undi di tangan Bendahari Agung, Abdul Rahman Othman (Pengerusi Majlis Perhubungan PKN Johor)[7]. Sebelum pertandingan, Dr Muhammad[8] adalah nama yang disebut-sebut sebagai Timbalan Presiden PKN kerana beliau berpengalaman dalam aktivisme, ada hubungan luar dengan gerakan Islam antarabangsa, seorang cendikiawan dan bekas dekan.
Kegagalan beliau dilihat apabila pada saat-saat akhir, gelombang anti-ABIM berjaya mempengaruhi rentak pemilihan dalam pertandingan tersebut. Perwakilan sendiri kelihatan berkecamuk untuk menentukan siapakah calon pilihan, adakah Dr. Muhammad atau Abdul Rahman pada pemilihan itu. Kemenangan Abdul Rahman yang bukanlah calon popular, dan ia mungkin`dibantu' oleh salah faham perwakilan bahawa ``dia juga ahli ABIM''. Padahal Abdul Rahman telah keluar ABIM pada 1983 dan menyertai Jemaah Islah Malaysia (JIM).
Kata seorang pimpinan ABIM, ``Hasilnya, kita melihat tokoh ilmuwan ditolak. Walaupun di peringkat induk parti ada seorang mewakili ABIM, hakikatnya dia tidak boleh diharapkan untuk merencanakan perjuangan Islam progresif ini,''. Dr Muhammad mewakili pemikiran Islam progresif yang diharap dapat membantu Dr Wan Azizah sebagai Presiden PKN.
Dalam pertandingan jawatan Naib Presiden, ia dimenangi oleh Mohd. Azmin Ali, Tian Chua dan Datuk Sheikh Azmi. Kemenangan Abdul Rahman dan Azmin Ali memperlihatkan bahawa pemilihan ini dicaturi oleh kelompok bekas pimpinan UMNO dan JIM. Mantan SUA ABIM merangkap SUA PKN Mohd. Annuar Tahir cuma meraih tempat kelima manakala Ruslan Kasim menduduki tempat keempat dalam pertandingan jawatan Naib Presiden. Perbezaan undi Ruslan Kassim dengan Sheikh Azmi Ahmad hanyalah lapan undi. Sheikh Azmi Ahmad mempunyai latarbelakang ABIM dan seorang ulamak (Hakim Mahkamah Syariah).
Kekalahan Mohd. Annuar misalnya banyak dikaitkan dengan kecaman ke atas kegagalannya melicinkan pentadbiran parti sehinggakan lokasi persidangan agung di Kemaman turut dipersoalkan. Pada mulanya persidangan hendak diadakan di Genting Resort tetapi kerana masalah tertentu ia dialihkan ke Terengganu yang dikatakan atas kepentingan politik.
Kemenangan Tian Chua yang mewakili NGO Bukan Islam, aktivis hak manusia dan evengelis. Penguasaan ABIM dalam barisan 20 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) turut gagal. Begitu juga dalam kepimpinan Pemuda. Mustaffa Kamil Ayub tewas jawatan Timbalan Ketua Pemuda kepada Saifuddin Nasution Ismail tetapi jawatan Naib Ketua Pemudanya dimenangi oleh Shamsul Iskandar Md. Akin (berasal daripada PKPIM[9]).
Kempen berpasukan dan terdapat ‘cai’ ini mengetepikan ahli ABIM. Kempen pemilihan puak bekas Umno dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM), sibuk menghebahkan PKN akan hilang identiti pelbagai kaumnya jika bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menerajui parti itu.
Kelompok ABIM bagaikan ‘dikhianati’ dan diketepikan dalam ucapan dasar Presiden Keadilan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semasa perasmian persidangan agung yang terang-terang mengajak perwakilan menolak politik kabilah dan berpuak-puak.
Dr Wan Azizah berkata,
``Yang akan dipilih adalah pemimpin parti, bukan kabilah, puak atau aliran. Janganlah sampai kita ketelanjuran dalam kempen yang menjejaskan etika sihat,''
Penolakan terhadap ahli ABIM bermula apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Lunas, Saifuddin Nasution Ismail memenangi jawatan Timbalan Ketua Pemuda, sehari sebelum pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Pesaing Saifuddin, Mustaffa Kamil Ayub (ahli ABIM) tersingkir, kesilapan Mustaffa sendiri sengaja berkempen untuk Saifuddin semasa membacakan teks ucapan dasar Ketua Pemuda, Mohamad Ezam Mohd. Noor dikatakan mengundang kekalahannya.
Dr. Wan Azizah dalam sidang akhbar selepas ucapan penggulungannya menegaskan: ``Kemenangan bekas ahli- ahli UMNO dalam jawatan-jawatan utama Keadilan tidak bermakna Keadilan telah di``UMNO''kan. ``Kita semua adalah Keadilan yang datang daripada pelbagai kelompok, ABIM, Jemaah Islah Malaysia, NGO dan bekas ahli UMNO yang bersatu membentuk reformasi''.
Ada pandangan pihak ABIM tidak ditolak dalam persidangan tersebut. Menurut,  Ahli Parlimen Kemaman, YB Abdul Rahman Yusof, antara 20 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang terpilih, lapan adalah pemimpin yang berkaitan dengan ABIM. Mereka adalah Dr Mohd Nor Nawawi, Mohd Mustafa, Hamzah Zain, Rosli Ibrahim, Yahya Saari, Sheikh Azmi dan Abdul Rahman Othman.
Dr Wan Azizah sendiri melantik bekas Presiden ABIM, Dr. Muhammad Nur Manuty serta beberapa lagi ahli pergerakan itu seperti Mohd. Anuar Tahir, Ruslan Kasim dan Mustafa Kamil Ayub sebagai pemimpin PKN. Pelantikan ini ditolak oleh 4 pemimpin ABIM tersebut. Menurut mereka, kepimpinan baru tetap diterima dengan hati terbuka walaupun kesahihan persidangan agung tahunan telah menjadi pertikaian ahli peringkat akar umbi.
Dr Wan Azizah mengadakan sidang akhbar mengumumkan jawatan Bendahari Agung disandang oleh Christina Liew manakala jawatan Setiausaha Agung yang sebelum ini disandang oleh Anuar Tahir pula dijawat oleh Sahri Bahri (JIM). Lima calon yang mengisi jawatan ahli MPT Keadilan yang dilantik ialah Animah Ferrar, N. Gopalakrishnan, Khalid Jaafar, Dr. Pratap Singh Man dan Saari Sungib (JIM) yang masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Presiden ABIM, Ahmad Azam Abdul Rahman kesal dengan apa yang berlaku dalam persidangan agung PKN, gerakan lobi-melobi, label-melabel, dan meletakkan orang tertentu dalam kelompok tertentu ini menyebabkan ramai ahli ABIM kalah kerana mereka diletakkan dalam satu kelompok menentang kelompok yang pelbagai - ABIM vs ahli Keadilan. Akhirnya sebahagian besar pemimpin ABIM yang berjasa kepada Keadilan telah ditolak oleh perwakilan yang terkeliru oleh strategi tersebut. Akibatnya nama ABIM terpalit, imejnya digambarkan sebagai kabilah, konservatif, tidak mampu berinteraksi dengan golongan bukan Islam, gila dan tamak kuasa, dan mahu menguasai parti.
Daripada pandangan Ahmad Azam, bolehlah kita merumuskan pemilihan tersebut:
1. Jasa Pemimpin ABIM tidak dihargai
Ramai ahli ABIM menawarkan diri ini boleh dimengertikan kerana ketika penubuhan Keadilan-PKN, ramai ahli ABIM yang menyumbang ke arah penubuhannya. Bila ramai, tak semestinya ABIM berusaha untuk ambil alih Keadilan-PKN.
Biasalah sepertimana ramai bekas ahli UMNO, ahli JIM dan NGO bukan Islam masuk menawarkan diri. Mengapa tak timbul isu ahli UMNO ingin ambil alih Keadilan. Mengapa pula timbul ahli ABIM sedangkan ini penglibatan individu. ABIM menghormati semua parti politik. Kita tak ada perancangan atau cita-cita untuk ambil parti tertentu.
Keputusan pemilihan parti Keadilan-PKN menampakkan seolah-olah sumbangan ABIM ketika awal penubuhan parti itu termasuk `jasa' para pemimpin ABIM yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dikatakan menyokong gerakan reformasi pada 1998 tidak dihargai langsung.
2. Kempen Dengan Fitnah dan Label-Melabel
Ahmad Azam dan ABIM mengharapkan berlaku politik baru yang menghormati kepimpinan berilmu dan hormati etika pemilihan kepimpinan. Tetapi apa yang berlaku, gerakan lobi-melobi dan isu label-melabel dan meletakkan orang tertentu dalam kelompok tertentu. Ini menyebabkan ramai ahli ABIM kalah kerana mereka diletakkan dalam satu kelompok menentang kelompok yang pelbagai. ABIM vs ahli Keadilan.
Strategi inilah menyebabkan ramai ahli Keadilan terkeliru dan menolak sebahagian besar pemimpin ABIM yang saya rasa banyak menyumbang dalam penubuhan dan menjayakan usaha Keadilan. Politiking yang berlaku secara langsung dan tidak langsung mengheret nama ABIM menjadikan ABIM seperti bola dan akhirnya nama ABIM terpalit, imej digambarkan sebagai kabilah, konservatif, tidak mampu berinteraksi dengan bukan Islam, gila dan tamak kuasa, nak mengawal parti.
Ini tuduhan-tuduhan yang memburukkan imej ABIM. Rupa-rupanya Keadilan-PKN ini nampaknya tak ada beza dengan parti lain. Sebagai pemimpin ABIM, saya berasa kecewa kerana imej ABIM diperlakukan sedemikian rupa dengan tidak mengira langsung sumbangan awal kita kepada Keadilan. Mereka tolak ahli ABIM dengan isu-isu tak benar, hanya untuk menang dalam pemilihan parti.
ABIM Dalam PKR
Pada 3 Ogos 2003 Keadilan dan PRM melancarkan Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur. Penubuhan PKR disebabkan kepelbagaian keahlian dalam PKN yang masih belum ada pengalaman politik dan belum ada pandangan politik yang jelas. Anwar Ibrahim mengharapkan kerjasama daripada PRM mengatasinya. PRM pula mengalami masalah perkembangan organisasi yang terbantut ekoran kekurangan ahli yang aktif. Pengaruh PRM sendiri semakin merosot jika dibanding dengan zaman Barisan Sosialis.
Penulis berpendapat Anwar Ibrahim mula dapat mengesani bibit-bibit pertembungan antara kelompok dalam PKN disebabkan kelompok ABIM sangat aktif dipelbagai peringkat parti dengan seakan-akan mahu menguasai PKN. Idea pencantuman PRM-PKN sendiri mendapat bantahan sekelompok pimpinan daripada PRM dan kelompok ABIM dalam PKN. Dalam satu warkah dari penjara berjudul "Pakatan Pembangkang Digeruni Kerajaan" pada Ogos 2003, Anwar sengaja mengungkap lembaran sejarah perjuangan PRM menentang penjajahan dan imperialisme dalam memperlihatkan aspek relevan dalam perjuangan kini terutama dalam konteks penggabungan KeADILan dan PRM.
Kelompok ABIM menentang idea pencantuman kerana tidak mahu PKN dikuasai oleh ‘orang kiri’ dan kelompok sosialis. Syed Husin Ali dan PRM terpaksa mengambil risiko dengan membubarkan PRM dan bercantum dengan PKN, turut dipertikaikan oleh beberapa orang rakan seperjuangan dalam partinya. Sesetengah pemimpin PRM tetap meragui keikhlasan Anwar, yang dijangkakannya akan kembali ke pangkuan UMNO.
Syed Husin Ali menegaskan,
"Saya pasti dia (Anwar) tak masuk UMNO”. "Pertama, komunikasi saya dengan dia (Anwar). Sesetengah surat dia masih saya simpan..." Syed Husin Ali meneruskan, "Kedua, mereka (UMNO) sudah begitu menghina dia dengan keluarga dia, tak mungkin dia kembali ke situ." "Saya kenal dia dah lama, sebagai student (pelajar), sebagai kawan, sebagai orang tahanan sama, sebagai orang yang sama-sama berjuang..."
Setelah pencantuman PKN-PRM berlangsung, pengaruh ABIM semakin merosot didalam PKR. Pengarah Merdeka, Ibrahim Suffian berkata barisan baru kepimpinan PKR itu menunjukkan pengaruh Abim dalam parti itu telah 'merosot'. Barisan kepimpinan terbaru itu juga memberi positif kerana ia mencerminkan 'berakhirnya pergolakan dalaman antara pelbagai faksi dalam PKR". Hanya Bekas Setiausaha Agung PKR, Mustaffa Kamil Ayub, yang dilantik sebagai naib presiden PKR, merupakan satu-satunya pemimpin yang dikaitkan dengan ABIM, yang memegang jawatan tinggi dalam barisan kepimpinan parti itu.
Manakala seorang lagi pemimpin yang dikaitkan dengan ABIM, Abdul Rahman Yusof, yang gagal dalam percubaannya untuk merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu bulan lalu, dilantik sebagai ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) PKR.
Muktahir, wakil ABIM dipilih sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR disifatkan ingin ambil hati kelompok ABIM yang setia bersama Anwar Ibrahim daripada dulu. Shamsul Iskandar Md Akin (PKPIM) dipilih oleh perwakilan sebagai Naib Presiden manakala Shaharuddin Badaruddin dilantik ke jawatan Naib Presiden.
Kegagalan kelompok ABIM memberi ruang dan peluang kepada kelompok bekas UMNO dan kelompok JIM mengukuhkan kedudukan dalam PKR. Dalam PKR, persaingan berlaku 2 kelompok iaitu kartel Azmin Ali dan kartel Rafizi.
Krisis dalaman PKR bermula apabila Langkah Kajang yang digerakkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution pada 2014 untuk menyingkirkan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan menobatkan Anwar tergendala kerana akhirnya Mohamed Azmin Ali dilantik Sultan Selangor sebagai ketua negeri itu.
Dalam satu kenyataan media, Rafizi menyenaraikan dua kem berbeza dalam PKR:
Kem Azmin: Chua Tian Chang, Shamdul Iskandar(PKPIM) dan Xavier Jeyakumar, Dr Shaharuddin Badaruddin (ABIM), Zuraida Kamaruddin (ketua wanita), anggota biro politik Sivarasa Rasiah, Saifuddin Abdullah, Kamaruddin Jaafar(ABIM), Fahmi Fadzil (pengarah komunikasi), N Surendren, serta pemimpin utama parti Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aishah Sheikh Ismail, Mohamad Nur Manuty(ABIM), Latheefa Koya, Dr Afif Bahardin dan Haniza Talha (JIM).
Kem Rafizi: Sim Tze Tzin (pengarah strategik), Fariz Musa (ketua setiausaha pengelola), Abdul Hadi Al-Khatab (pengerusi Lembaga Disiplin) dan Christina Liew (pengerusi Sabah), pemimpin exco negeri Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail(JIM), Fuziah Salleh(JIM), S Manivannan, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron.

PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
IKRAM berasal daripada leluhur al-Jamaah. Ia lebih popular dengan nama IRC hasil gabungan kelompok IRC (kelompok Melayu yang ditarbiah oleh Ikhwanul Muslimin di UK-USA) dan kelompok ALAMI (kelompok Melayu yang ditarbiah oleh Ikhwanul Muslimin di Mesir). Pada awal 1990an, mereka muncul sebagai Jemaah Islam Malaysia (JIM) dan HALUAN Malaysia.
Ketika era IRC, mereka menumpang organisasi mahasiswa dan pertubuhan beliau. Mereka bukan sekadar menumpang tetapi cuba menguasai organisasi terbabit sehingga mencetuskan konflik dalaman.
Kisah lagenda IRC yang sering dimomokkan ialah
1. Kisah IRC berjaya mengambil-alih Malaysian Islamic Study Group (MISG) di Amerika Syarikat daripada ABIM. IRC berjaya menyingkirkan Muhammad Nur Manuty daripada kepimpinan MISG.
2. Kisah elemen IRC dan PAS merampas kepimpinan PMIUM daripada ABIM pada awal tahun 1980an.
3. Cubaan mengambil-alih ABIM setelah kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO. Mereka membuat bantahan terhadap Majlis Syura ABIM dalam Muktamar ABIM.
4. Cuba mengambil alih kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat.
IRC Dalam UMNO
Antara pemimpin IRC yang menyertai UMNO ialah Abdul Rahim Ghouse, Sahri Bahri dan Wan Hasni Wan Sulaiman. Abdul Rahim Ghouse[10] dan Wan Hasni Wan Sulaiman adalah tulang belakang Anwar Ibrahim dalam hubungan dengan gerakan Islam antarabangsa terutamanya Ikhwanul Muslimin dan IIIT.
Abdul Rahim Ghouse (1986-1987) dan Wan Hasni(1988- 1990) merupakan mantan pemimpin mahasiswa dalam Malaysian Islamic Study Group (MISG) yang ditubuhkan Peoria, Illinois, Amerika Syarikat pada 1976. MISG USA pada awalnya dikuasai oleh juak ABIM yang akhirnya disingkirkan oleh juak IRC.
Dalam UMNO, Abdul Rahim Ghouse merupakan Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang  dan EXCO Majlis Ekonomi Pergerakan Pemuda UMNO ketika Anwar dipecat. Wan Hasni pula Timbalan Ketua Pemuda UMNO Kelantan.
Rahim Ghouse dan Wan Hasni merupakan orang penting dalam ABRAR Group. Pada 25 September 1998, Rahim Ghouse meletakkan jawatan Pengarah Eksekutif Abrar Group International Sdn. Bhd. (Abrar).
Syarikat Abrar merupakan sebuah syarikat yang disifatkan ‘kroni’ Anwar Ibrahim.
IKRAM-JIM Dalam PKN dan PKR
Kelompok bekas pemimpin UMNO dan kelompok JIM berjaya menghalang pengABIMan Parti Keadilan Nasional (PKN). Tumbangnya kelompok ABIM dalam PKN, pengaruh kelompok JIM kelihatan apabila Sahri Bahri dilantik sebagai SUA PKN mengantikan Mohd Anuar Tahir (ABIM). Sahri Bahri pemimpin JIM yang aktif dalam UMNO. Begitu juga Timbalan Presiden PKN, Abdul Rahman Othman adalah pemimpin JIM yang aktif dalam UMNO Bahagian Muar.
Sayap wanita PKN dikuasai oleh Wanita JIM  sejak awal penubuhan PKN. Mereka banyak membantu kelompok aktivis NGO dalam mengerakkan Sayap Wanita PKN. Penguasaan JIM secara tuntas dalam tampuk kepimpinan Sayap Wanita PKN kerana Sayap HELWA ABIM kurang bersinergi dalam pergerakan ini. Ketua Wanita PKN ialah Fuziah Salleh (JIM). Pemimpin utama Wanita PKN ialah Haniza Talha(JIM) dan Rodziah Ismail (JIM).
Pada zaman IKRAM, antara  tokoh mereka yang dihantar ke dalam PKR ialah Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan PKR). Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga mula dibanjiri oleh pimpinan muda daripada IKRAM termasuk Ahli Parlimen Belia.
Nasib kelompok IKRAM (IRC-JIM) dalam PKR samar. Ia bergantung IKRAM bersama siapa atau puak yang mana. Kelompok yang paling berpengaruh dalam PKR pada hari ini ialah kelompok bekas UMNO. Lebih tepat kelompok Azmin Ali yang menguasai Kerajaan Negeri Selangor (ada kuasa dan dana) telah memposisikan pengikut beliau dipelbagai peringkat dalam PKR. Kelompok kedua adalah kelompok Rafizi. Kelompok JIM seakan-akan tersempit dalam berpendirian dalam persoalan konflik antara kartel dalam PKR tetapi mereka kelihatan lebih cenderung kepada kelompok Rafizi. Manakala kelompok ABIM cenderung kepada kumpulan Azmin yang mengula-gulakan para pemimpin ABIM dengan penubuhan Institut Darul Ehsan (IDE) dan meletakkan para pemimpin ABIM di institusi tertentu seperti UNISEL.
IKRAM dan PAN
Tanzim Abu Urwah sungguh kuat dalam IKRAM. Memang kita sukar nama jumpa nama Abu Urwah dalam struktur rasmi IKRAM tetapi ia tidak mustahil ada struktur sebalik tabir-tersembunyi ‘jemaah dalam jemaah’ dalam IKRAM dan aspirasi leluhur warisan Tanzim Abu Urwah sejak zaman JIM lagi. Penubuhan GHB, Harapan Baru dan PAN direstui oleh IKRAM.
IKRAM mengalu-alukan penubuhan PAN. Menurut Timbalan Presiden IKRAM, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus; “IKRAM mengalu-alukan kemunculan sebuah parti baru yang ingin memainkan peranannya yang tersendiri; demi memastikan sistem dwi-parti  dapat terus diperkukuhkan.”
Hasanuddin Mohd Yunus juga menyatakan menyatakan “Di atas pendirian ini, IKRAM menyatakan kesediaan untuk menjadi sebahagian dari gelombang harapan baru untuk membina Malaysia yang lebih rahmah, demokratik dan sejahtera.”
Hasanuddin Mohd Yunus sekali lagi menyatakan “GHB akan menjadi suara untuk rakyat, dengan membawakan idea dan pemikiran untuk kebaikan negara dan ummah.”
Setelah melihat tiga kenyataan Timbalan Presiden IKRAM, Hasanuddin Mohd Yunus jelas menunjukkan IKRAM menyokong penubuhan parti baru yang kemudiannya dikenali sebagai PAN. Hasanuddin Mohd Yunus sendiri telah dilepaskan  oleh IKRAM untuk menjawat Naib Presiden PAN.
Penubuhan PAN yang menyertai Pakatan Harapan lebih disukai oleh IKRAM kerana pengamalan sistem politik dwiparti. Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden IKRAM menyatakan “IKRAM percaya Pakatan Harapan akan dapat mengukuhkan sistem dwiparti di Malaysia yang telah terbukti memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen melalui proses semak dan imbang (check and balance) yang berkesan.”
Penubuhan PAN membuka ruang dan peluang kepada IKRAM (al-jamaah-IRC-HIS-JIM) menguasai PAN pada masa depan kerana otai IKRAM sejak zaman al-jamaah, HIS, IRC, Alami dan JIM bersatu dalam kepimpinan PAN. PAN boleh dijadikan sayap politik IKRAM. Inilah cita-cita IRC yang sudah lama. Kehadiran anggota al-jemaah-IRC-Alami-JIM yang diposisikan pada jawatan tertentu dipelbagai peringkat, anak muda IKRAM juga mengaktifkan cawangan-cawangan (akar umbi) dan program-program PAN dan sistem pemilihan PAN memudahkan IKRAM meletakkan proksi mereka.
Adakah berlaku konflik dalaman dalam PAN? Masa akan menentukan. Prestasi IKRAM dan PAN dalam pilihan raya ke 14 akan dibincangkan dalam satu artikel selepas PRU 14 nanti. Insya Allah.
Kelemahan Pemimpin Gerakan Islam Dalam Politik Kepartian
1. Kehakisan Istilah-Konsep Dalam Politik Gerakan Islam
Dalam politik kepartian, istilah-konsep politik Islam yang termaktub dalam gerakan Islam seperti wala’ dan syura telah terhakis dan hilang. Suasana politik dalam jemaah dan politik kepartian cukup berbeza. Dalam gerakan Islam, wala’, baiah dan keputusan syura dihormati untuk mencari keredhaan. Tetapi dalam politik kepartian, semua mencari KUASA dan DUIT.



2. Pintar dan Licik Dalam Permainan Politik
Seorang politikus sejati mempunyai sifat ‘true political animal’ yakni orang yang pintar dan licik dalam permainan politik. Mereka mempunyai sifat ‘matlamat menghalalkan cara’ demi mengaut kekuasaan dan harta.
Kelompok Islamis adalah pemain politik yang jujur seringkali tewas dengan politik kebinatangan. Kelompok Islamis mula berbaik sangka sehinggar akhirnya terjerumus ke dalam telaga penipuan.
3. Kekuatan ‘Pengkalan’ Sokongan dan Akar Umbi
Kelemahan pemimpin gerakan Islam yang menyertai politik kepartian, mereka tidak mempunyai pengkalan yang menjadi tapak sokongan akar umbi kepada diri mereka. Anwar Ibrahim dan Khary Jamaludin membina pengkalan sokongan dan akar umbi mereka daripada Pergerakan Pemuda UMNO selain restu kepimpinan utama.
Kelemahan pengkalan sokongan akar umbi kelihatan pada Dato Dr Asyraf Wajdi Dasuki seorang pemimpin mahasiswa-belia yang hebat dalam PKPIM. Cuma beliau tiada pengkalan sokongan akar umbi sehingga sukar bertapak dalam politik kepartian dan gagal memenangi pilihan raya.

Kesimpulan
1. Rangkaian ‘Islam Amerika’ melalui proksi Anwar Ibrahim menjalar dalam ABIM, IKRAM, UMNO,PAS, PKR dan PAN.
2. Tindakan Anwar Ibrahim masuk UMNO menimbulkan penentangan dalam kalangan IRC daripada tarbiah Ikhwanul Muslimin Mesir, Iraq dan Syria yang digelar Alami. Sebahagian anggota tanzim ini dikenali ABIM Perlis atau ABIM Utara atau Kumpulan Ustaz Dahlan (KUSDA) yang akhir membentuk HALUAN Malaysia. IRC dan sebahagian ‘anggota’ Alami yang mula kendur dengan Anwar Ibrahim akibat ditendang oleh kumpulan ulamak dalam PAS telah membentuk Jemaah Islah Malaysia (JIM). Pada peringkat awal perbincangan mereka, ada cadangan masuk UMNO tetapi cadangan ini gagal. Akhirnya JIM ditubuhkan.
3. IRC bersifat ‘parasit’ dari segi politik kepartian. Tiada kejujuran melainkan mahu membawa agenda jemaah mereka. Akibat, berlaku perbalahan dalaman dimana sahaja mereka berada. Sifat jemaah dalam jemaah banyak merosakan politik kepartian.
4. Para pemimpin ABIM wajar menginsafi keberadaan mereka dalam politik banyak dipermainkan oleh Anwar Ibrahim walaupun mereka dalam kalangan intelektual.
5. PAS mesti berwaspada dalam menerima mantan pemimpin jemaah Islam sebagai pemimpin atau calon pilihan raya parti mereka.

Rujukan
Malaysiakini, 23 November 2001.
Mohd Izani Mohd Zain, Demokrasi dan Dunia Islam, KL: Penerbit UM, 2007.
Majalah Tamadun, Mei 1998





[1] Totonji, seorang jurutera petroleum, belajar di AS pada tahun 1960-an, merupakan individu yang terlibat membantu menubuhkan organisasi pelajar Islam, Muslim Student Association (MSA). MSA ditubuhkan di Universiti Illinois, Champaign Urbana, USA. MSA dibawah pengaruh Ikhwanul Muslimin.
[2] Pada tahun 1972, Abu Sulayman ketika belajar PhD di Universiti Pennsylvania, bergabung dengan Ismail Raji al-Faruqi menubuhkan the Association of Muslim Social Scientists (AMSS).
[3] Utusan Malaysia, 30 Mac 1982
[4] ‘Walaun’ dan pentaksub Dato Seri Anwar Ibrahim . Kepercayaan atas batang tubuh Anwar ekoran pengaulan dengan Anwar. Mencipta hujah-hujah untuk menghalalkan segala perbuatan Anwar dengan prinsip ‘Aku lebih mengenali Anwar’ dan ‘Aku mengenali Anwar sudah lama’.
[5] Pemimpin PKN dalam kalangan NGO Bukan Islam kebanyakan berlatarbelakang aktivitis hak asasi manusia, feminis dan evanggilis.
[6] Terdiri daripada mantan pelajar MCKK, Yayasan ANDA dan mantan pemimpin gerakan mahasiswa.
[7] Bekas ahli jawatankuasa bahagian UMNO Muar. Dia dijangka meraih undi solid terbanyak daripada perwakilan Johor yang merupakan kedua terbesar selepas Perak. Dr.Muhammad Nur tidak memperoleh sokongan padu daripada badan perhubungan Perak diketuai Khalil Shah Jamaludin yang mencalonkan diri ke jawatan Naib Presiden. Jelas disini Dr. Muhammad tiada ‘pengkalan’ atau kubu kuat untuk beliau bertapak kukuh pada peringkat bawah dalam PKN. Dr. Muhammad mempunyai ramai kenalan dalam kalangan pemimpin tetapi kurang dalam kalangan ahli dan perwakilan.
[8] : Walaupun Dr Muhammad tidak mempunyai pengalaman politik tetapi dijangka mendapat sokongan 80 peratus daripada pengerusi-pengerusi perhubungan negeri yang rata-rata terdiri daripada ahli ABIM. Antara bekas dan ahli ABIM ialah Pengerusi Keadilan Kedah, Datuk Sheikh Azmi Ahmad, Mohd. Anuar (Perlis), Omar Jaafar (Melaka), Ruslan Kassim (Negeri Sembilan) dan Ketua Pemuda Keadilan Sarawak, Zul Rusdi Talib
[9] Pada permulaan penubuhan Pemuda PKN. Antara penggerak utamanya ialah mantan Presiden PKPIM, Asyraf Wajdi Mohd Dasuki. Beliau menarik diri atas tekanan Tun M melalui bapa beliau.
[10] Rahim  Ghouse, Saifudin Nasution dan Johari Abdul antara watak yang memainkan misi rahsia Anwar Ibrahim.

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...