Sunday, October 23, 2016

Pertembungan Konservatif dengan Reformis: Ibrah Dari Ikhwanul Muslimin

“Pertembungan cara terakhir untuk menyelesai krisis boleh membuka pintu krisis baru. Pertembungan itu sendiri adalah krisis yang menguriskan hati” Khalil Jibril

Ruang politik adalah medan penghasilan pelbagai ijtihad. Dalam berpolitik kita perlu meraikan kepelbagaian ijtihad. Antara masalah yang timbul ekoran daripada kepelbagaian ijtihad ini adalah pertembungan kelompok-kelompok yang bertentangan dalam sesebuah organisasi.
Pertembungan antara kelompok konservatif dengan reformis dalam sesebuah organisasi adalah bersifat normal dan semulajadi. Pelbagai nama dan istilah digunakan, pokoknya adalah sama iaitu pertembungan.
Kebanyakan pertembungan berjaya dimenangi oleh kelompok konservatif. Jika kelompok reformis menang, biasanya organisasi akan menjadi liberal, plural dan pragmatik. Adakalanya, salah satu kelompok terpaksa keluar untuk mendirikan organisasi lain.
Ada juga kelompok reformis yang masih setia dalam organisasi terbabit walaupun mereka gagal menguasai organisasi berkenaan.
Ada reformis keluar daripada organisasi atau mengundur diri. Perkara sebegini banyak berlaku dalam organisasi termasuk jemaah Ikhwanul Muslimin yang merupakan gerakan Islam paling tersohor di dunia.
 
Demokrat Muslim (Demokrat Islamis)  dan Pasca Islamisme
Kalangan bukan Islam, politik hanyalah sekitar pembangunan negara, penindasan pemerintah, kestabilan ekonomi, urus tadbir yang baik, keadilan sosial, ruang kebebasan bersuara dan mengikut lunas hak asasi manusia. Dalam Islam pula, politik itu bukan sahaja perkara di atas tetapi melibatkan aqidah. Politik merupakan salah satu cabang dalam kehidupan beragama dalam masyarakat Islam.
Gerakan Islam melalui politik kepartian bukan sahaja mahu membersihkan kezaliman, rasuah dalam negara dan memperbaiki ekonomi negara tetapi ingin menegakkan Negara Islam dan pelaksanaan hukum Islam.
Perbezaan pendapat antara politik Islam dengan politik sekular membuahkan hasil apabila istilah Islamisme dan Pasca Islamisme digunakan. Malangnya, istilah Islamisme dikambing-hitamkan sebagai ektremis, terorisme, jumud, eksklusif, tidak toleransi dan tidak rasional. 
Kalau Pasca Islamisme itu kuda, penunggangnya adalah Demokrat Muslim atau Demokrat Islamis. Kita boleh melihat objektif Persidangan Demokrat Muslim Sedunia  pada tahun 2014 (di Kuala Lumpur) adalah “meredam suara negatif ekstremisme, eksklusivisme dan sikap tidak toleransi, digantikan dengan suara kesederhanaan, toleransi, saling memahami dan inklusivisme.” Gerakan Islam seringkali dilabel berkiblatkan Islamisme dan perlu mengubah kiblat kepada Pasca Islamisme. Itu dilaksanakan oleh Demokrat Muslim.
Penulis memerhati sejak tahun 2001, Lim Kit Siang memuji Rashid Ghannoushi. Pada tahun 2014, sekali lagi beliau memuji Rashid Ghannoushi  yang “optimisme terhadap kemanusiaan dan ideal-ideal yang saya(Lim Kit Siang) sebut tadi juga berakar dalam Islam, seperti yang ditonjolkan pemimpin gerakan Islam Tunisia Sheikh Rachid Ghannouchi berkenaan konsep negara Islam yang progresif – sebuah negara sivil berasaskan keadilan, kesaksamaan, hak asasi dan demokrasi, di mana negara bukan sahaja melindungi kebebasan agama tetapi juga kebebasan nurani.
Kata kunci yang menarik ialah Islam Progresif dan pemikiran Rashid Ghannoushi dinyatakan oleh Lim Kit Siang. Dan dalam PAS ada beberapa tokoh gerakan Islam Malaysia sangat meminati konsep Pasca Islamisme dan Demokrat Islamis.
 
Kejayaan Kelompok Reformis di Turki
Selepas kerajaan campuran Turki, pimpinan Perdana Menteri Erbakan ditumbangkan. Parti Refah dibubarkan dan diganti dengan parti baru, Fezilet pada tahun 1998. Malangnya, parti Fezilet juga terpaksa dibubarkan pada tahun 2001 ekoran menyalahi prinsip sekularisme Turki. Kelompok muda reformis yang digerakkan oleh Raced Tayyid Erdogan dan Abdullah Gul mengkritik pendekatan politik Erbakan. Akhirnya mereka bertindak menubuhkan Parti Keadilan dan Pembangunan Turki (AKP). Pihak yang kekal bersama Erbakan telah menubuhkan Parti Saadet dipimpin oleh Rucai Kutan.
AKP bukannya gerakan Islam walaupun mereka mempunyai aspirasi Islam melalui para pemimpinnya. Aspirasi Islam tersebut bersifat individu yang memimpin bukannya dasar parti. Mereka adalah sebuah parti yang sekular, nasionalis, liberal, pragmatik, realistik dan tidak mahu menegakkan ‘Negara Islam’(dan kita tidak menafikan usaha Islamisasi mereka).  Menariknya, AKP berjaya mendominasi pilihanraya Turki sehingga terus kekal memerintah dan berjaya menjadikan Erdogan sebagai Presiden Turki. Kejayaan Turki ini menjadi model sesetengah pemimpin refomis gerakan Islam.
AKP sendiri menjauhi sistem Islam(baca; Syariat) dan menjadi sekular. Mereka tidak memperjuangkan Negara Islam dan dasar-dasar Islam. Mereka cuba melakukan penerapan nilai-nilai Islam institusi kenegaraan dan Perlembagaan secara evolusi. Bertindak sebagai sekularis menyebabkan pihak pengawal sekularisme Turki, Angkatan Tentera Turki gagal menjatuhkan AKP.
Kejayaan AKP menjadi tauladan kepada para pendokong Gerakan Islam seantero dunia. Gerakan Islam mula menubuhkan sayap politik masing-masing. Di Maghribi, Parti Keadilan dan Pembangunan Maghribi ditubuhkan. Bagi gerakan Islam merangkap parti politik, dasar-dasar Islam dan pendekatan semakin diliberalkan dan dilonggarkan bahkan ada yang diketepikan. Sebagaimana Parti an Nandah Tunisia pimpinan Rasid Ghannoushi lebih kedepan dengan slogan masyarakat madani berbanding negara Islam.  Perjuangan gerakan Islam masa kini dilihat paling sesuai mengunakan ‘formula AKP-Rashid Ghannoushi’.
Persoalan yang timbul, apakah nasib Islam dalam parti-parti reformis di negara-negara umat Islam?.
 
Reformis dalam Ikhwanul Muslimin
Selepas mengalami dugaan yang cukup dahsyat pada zaman Imam Hassan al Banna dan Imam Hassan Hudaybi, Mursyidul Aam yang baru, ustaz Umar Tilmisani telah menggunakan pendekatan baru iaitu sistem pemayungan dimana kader-kader Ikhwan dihantar ke dalam NGO-NGO dan badan kerajaan. Tujuannya ialah menguasai NGO-NGO dan badan kerajaan tersebut sekaligus mentarbiah secara tidak langsung. Ustaz Umar Tilmisani dibantu oleh Ustaz Abbas al Siisi.
Ustaz Umar Tilmisani dan Ustaz Abbas telah berjaya mentarbiah ramai kader dalam kalangan mahasiswa dan profesional. Antaranya, Essam Al-Erian, Abdul Mun’im Abul Futuh, Muhammad Habib, Ibrahim Al-Za’farany, Issam Sultan, Kamal El-Helbawy, Mokhtar Nouh dan Abul A’la Al-Mady. Kelompok reformis ini mempunyai idea-idea yang lebih moderat.
Pembantaian Kerajaan Mesir juga menyebabkan ramai tokoh Ikhwanul Muslimin merantau di luar negara. Mereka telah menubuhkan cawangan Ikhwanul Muslimin di tempat mereka. Antara mereka ialah  Mustafa Masyhur yang dikatakan pengasas kepada Ikhwanul Muslimin Antarabangsa. Berpusat  di Jerman, beliau menyusun dan mengerakkan Ikhwanul Muslimin Antrabangsa. Kewujudan Ikhwanul Muslimin Antarabangsa juga banyak mempengaruhi kelompok reformis kerana pemikiran mereka ditranformasikan oleh persekitaran baru mereka yang liberal, moderat dan pragmatik.
Mereka mempunyai ciri-ciri seperti logik, rasional, liberal, pragmatis-realistis, terlibat dalam politik dengan tingkat profesionalisme tinggi, dan mereka berusaha untuk mengintegrasikan Ikhwan dalam kehidupan politik negara-bangsa dan masyarakat sivil.
Kemunculan kelompok muda yang berpendidikan dan terdedah dengan budaya kosmopolitan juga menguatkan pengaruh kelompok reformis. Idea dan pendekatan kelompok reformis sangat disukai oleh kelompok anak muda. Sokongan padu mereka menyebabkan kelompok reformis ada keyakinan untuk mendominasikan kepimpinan Ikhwanul Muslimin.
 
Kelompok Konservatif
Semasa pembantaian, ramai pimpinan utama Ikhwan dipenjara. Anggota mereka terbiar tanpa tanzim dan arahan pimpinan pusat. Akibatnya, muncul kelompok-kelompok yang terpisah membentuk pemikiran dan pendekatan yang tersendiri.
Kelompok Konservatif dipengaruhi oleh pemikiran Ustaz Sayyid Qutb yang merupakan ideolog Ikhwanul Muslimin. Ramai anak muda terpengaruh dengan beliau termasuklah Mursyidul Aam sekarang(2015), Ustaz Dr Muhammad Badie. Pendapat mereka dikatakan keras dan melawan akibat daripada tekanan pemerintah Mesir.
Buku Sayyid Qutb  yang terkenal Ma’alim fi Thariq telah membangkitkan ‘semangat jihad’ kalangan orang muda.  Kewujudan pemikiran Sayyid Qutb ini telah mengusarkan Mursyidul Aam ketika itu kerana sesetengah pengikut pemikiran ini mudah menjadi pelampau dan mengunakan kaedah melawan kerajaan. Ustaz Hassan al Hudaybi menulis buku Du’at Laa Qudhat bagi mengendurkan ketegangan apabila anak muda yang dipengaruhi oleh pemikiran Sayyid Qutb mula mengkafir orang. Kebanyakan yang ektrem telah terkeluar daripada Ikhwan sama ada dipecat atau keluar menubuhkan wadah mereka tersendiri.
 
Pertembungan Konservatif dengan Reformis Dalam Ikhwanul Muslimin
Pertembungan antara kelompok Konservatif dengan kelompok Reformis berlaku sepanjang zaman sama ada sengit atau tidak bahkan telah membawa krisis dalaman.
Pada 1996, kelompok reformis telah membentuk Parti Wasat yang dipimpin oleh  Issam Sultan dan El-Madi. Ada sesetengah pendapat, parti ini direstui oleh Ustaz Mustafa Masyhur.
Memberi peluang dan ruang kepimpinan dalam kalangan anak muda dan mengelakkan kediktatoran serta ketaksuban menyebabkan Ustaz Mustafa Masyhur sendiri menghadkan tempoh memegang jawatan Mursyidul Aam selama 5 tahun. Ia membuka ruang dan peluang akan Ikhwan sentiasa dinamik dan sesuai dengan zaman.
Pemberian ruang dan peluang timbul lagi apabila Mursyidul Aam ketujuh, Ustaz Muhammad Mahdi Akef mahu kelompok reformis mengambil tampuk kepimpinan Ikhwan. Beliau pernah memperkenal dan mempromosi Essam al-Erian antara bakal pemimpin utama Ikhwan. Beliau mahu kepimpinan Ikhwan berasaskan kepimpinan institusional bukannya kepimpinan individu.
Ustaz Mahdi Akef juga mahu meletak jawatan Mursyidul Aam dan mahu mewakilkan kuasa kepada timbalan beliau daripada kalangan reformis iaitu Dr Muhammad Habib.  Tindakan ini membangkitkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan anggota senior Ikhwan.
Dalam pemilihan pimpinan, kelompok Konservatif berjaya menguasai Maktab Irsyad dan memilih Ustaz Dr Muhammad Badie sebagai Mursyidul Aam yang baru. Bekas Timbalan Mursyidul Aam, Dr Muhammad Habib, Sabri Arafa, Ustaz Abdullah Khatib dan tokoh idola anak muda, Dr Abdel Monem Abul Fotouh telah tersingkir daripada anggota Maktab Irsyadi. Hanya Dr Essam El Erian yang terpilih.
 
Kelompok anak muda yang mendokong perubahan mula mengunakan media sosial sebagai wasilah perjuangan mereka. Medium seperti blog, FB digunakan secara maksima. Pada mulanya bersifat individu kemudian bertukar kepada ‘Kumpulan Tanpa Organisasi’, ‘Kumpulan tanpa Kepimpinan(seakan anarki)’ atau komuniti maya. Akhirnya kelompok inilah mengerakkan Gerakan 6 April.
 
Antara mereka adalah Saad Magdi dari Yalla Mesh Mohem, Abd al-Moneim Mahmoud, Mohamed Hamza, Mohammed Adel, Islam Lutfi, Abd al-Rahman Rashwan dan Mustafa al-Naggar. Kemunculan media sosial menyebabkan semua manusia bebas menyatakan pendapat tanpa batasan. Pengunaan internet dan alat komunikasi seperti telefon bimbit menyebabkan maklumat tersebar begitu pantas dan membangkitkan unsur popular yang boleh mengerakkan manusia untuk melawan.
Mustafa al-Naggar umpamanya sangat keras mengkritik para pimpinan Ikhwan. Antara yang beliau kritik adalah kaedah pencalonan dan pemilihan kepimpinan yang berasaskan kesetiaan dan wala’ kepada pemimpin dan ideologi  bukannya kepada prestasi dan idea seseorang pemimpin. Mereka adalah anak muda Ikhwan tetapi merdeka daripada penguasaan kepimpinan. Lebih moderat dan mahu perubahan dalam budaya jemaah seperti wala’ dan lain-lain.
Ada mantan pimpinan Ikhwan mengunakan forum politik untuk bergerak. Antara parti yang digerakkan oleh mantan pimpinan pemuda Ikhwanul Muslimin ialah ‘parti’ Al-Masry al-Tayar, ditubuhkan oleh Islam Lotfy dan Mohammad al-Qassas Ahmad Nazily dan Ammar al-Beltagy (anak  Mohammad al-Beltagy).
 
 Manakala mantan pimpinan senior Ikhwanul Muslimin  menubuhkan ‘parti’ Al-Nahda dipimpin oleh Ibrahim al Zafarani dan Mohamed Habib. ‘Parti’ al Reyada dipimpin oleh Daoud Khaled, Haitham Abu Khalil, Abu Amr-Khalil dan Khalid al-Zafarani. Parti-parti baru ini cuba memisahkan antara peranan jemaah dengan parti. Menariknya, ‘Parti’ al Nahda telah melakukan tahaluf siyasi dengan kelompok sosialis dan liberalis.
 
Bukanlah semua kelompok reformis keluar jemaah. Ada yang masih tinggal. Antara yang terkenal adalah Dr. Essam El Erian dan Mohamad al Beltagy.  Kebanyakan mereka berjuang  melalui FJP, sayap politik Ikhwan. Dalam pemilihan Presiden FJP, Essam al Erian kalah kepada Saad el Katatny. Punbegitu mereka tetap bersama FJP dan Ikhwan sehingga dipenjara.
 
Kenapa Krisis dalam boleh berlaku?:  Jawapan Ibrahim al Hudaybi
Krisis dalaman berlaku apabila para pimpinan Ikhwan mula berebut jawatan politik. Perkembangan bernuansa politik  semakin menular dalam kalangan elitis Ikhwan. Mereka saling berebut jawatan dalam jemaah.
 
Menurut Ibrahim Al-Hudhaibi (2009),  “Ancaman terbesar yang sedang mengelilingi Ikhwan bukanlah dari pihak keselamatan (Mesir). Kerana Pihak Keselamatan Mesir tidak akan mampu mempengaruhi pemikiran dan manhajnya (Ikhwan). Akan tetapi ancaman terbesar terhadap Ikhwan ialah yang datang dari dalam, yakni saat anggota jemaah Ikhwan sudah menjadi kesetiaan kepada diri sendiri dan tidak mahu menerima pendapat para Ulama, kecuali yang sesuai dengan agendanya."
Pada akhirnya, agenda-agenda itu akan menjadi dasar sedangkan para Ulama hanya alat untuk melayani agenda-agenda itu. Saat itulah Ikhwan sebenarnya  seperti yang diungkapkan musuh-musuhnya sebagai memperalat agama untuk melayani politik, bukan sebaliknya. Semoga hal itu tidak terjadi.”
 
Pengolakan yang berlaku dalam Ikhwan ketika itu adalah pencaturan dalam kalangan elitis dalaman yang saling berebut kekuasaan organisasi. Penguasaan politik negara atau kemenangan dalam pilihanraya telah menjadi penarik dalam usaha merebut jawatan.
Pentarbiahan dan dakwah tidak lagi menjadi uslub asasi kepada gerakan Islam. Inilah yang dikatakan sekularisme yang menular dalam gerakan Islam. Pengejaran jawatan membikin fitnah dan mematikan ukhwah serta memandulkan wala’ kepada kepimpinan jemaah.
 
Faktor Krisis Dalaman
Gerakan Islam tidak berupaya menghadapi sistem pemilihan terbuka. Mereka hanya mampu menggunakan sistem pemilihan dalaman dan tertutup. Proses pemilihan secara terbuka memberi ruang kepada kempen yang melanggar adab jemaah dan menghilangkan kesantunan peribadi individu. Mereka gagal berfikir waras sehingga lupa akan dosa dan pahala.
Gerakan Islam yang terlibat dengan politik kepartian berasaskan demokrasi akan memayungi pelbagai pemikiran yang bertentangan seperti Islamisme Liberal, Salafi, wahabi, fundementalisme bahkan Syiah. Mereka mempunyai kepentingan sendiri. Kebanyakan mereka menubuhkan kem masing-masing sehingga berlaku pengeseran antara satu sama lain. Ada juga kem ditubuhkan atas dasar persahabatan dan bersifat jemaah dalam jemaah.
 
Kepelbagaian latarbelakang individu menyebabkan gerak-fikir adalah berbeza dalam menafsir dan bertindak dalam sesuatu perkara. Perbezaan ini kurang berjaya diuruskan sehingga menghasilkan persaingan dan perebutan kuasa. 
 
Kurangnya dialog dalaman. Seseorang pemimpin perlu lebih banyak berinteraksi dengan anggota bawahan melalui pertemuan berkala dan dialog dalaman. Selain mengeratkan ukhwah, ia juga dijadikan pentas untuk menjelaskan isu-isu semasa dan cara menanganinya.
Revolusi maklumat yang melanda manusia pada hari ini mengubah landskap pemikiran dan pendekatan manusia. Maklumat yang banyak dan bercampur aduk perkara benar dan tidak benar menyebabkan manusia kehilangan pertimbangan yang adil dan sahih dalam memilih pendapat. Sangat berbahaya jika mereka memilih pendapat popular walaupun pendapat tidak benar dan tidak sahih. Tanpa iman yang kukuh, akhlak yang baik dan pengkajian dengan teliti terhadap sesuatu maklumat, manusia termasuk pimpinan dan anggota gerakan Islam bakal terjatuh ke dalam lubang fitnah.
 
Kelemahan kepimpinan disebabkan oleh pimpinan tidak dapat mengawal dan tidak berjaya mempengaruhi anggota gerakan Islam. Kedegilan dan keingkaran terhadap arahan pimpinan dalam sesebuah organisasi menjadi lumrah dewasa ini. Gerakan Islam yang terkenal dengan disiplin dan wala’ juga terpalit dengan budaya ingkar arahan. Pemimpin tersohor, berbakat dan reformis Ikhwan, Dr Abdel Monem Abul Fotouh sendiri ingkar arahan dan mencabar keputusan Majlis Syura Ikhwan.  Beliau tidak bersetuju dengan Majlis Syura yang tidak mahu bertanding dalam pilihanraya Presiden Mesir. Beliau ingkar arahan dan bertanding dalam pilihanraya tersebut.
 
Kesimpulan
 
Ikhwan seringkali berjaya mengatasi krisis kerana keutuhan dasar-dasar Islam yang terkandung dalam perjuangan mereka. Mereka mungkin rebah dan jatuh tetapi bangkit kembali mendepani permasalahan yang berlaku. Mereka mungkin sakit tetapi tidak pernah mati. Pemimpin datang dan pergi, dasar-dasar Islam akan terus terpahat dalam Ikhwan. Memang setiap kejayaan sistem, organisasi dan perjuangan disebabkan oleh orangnya(pelaksana) tetapi keutuhan organisasi disebabkan oleh dasarnya.
 
Sifat istiqamah dalam apa jua cabaran juga melambangkan kekuatan mereka. Walaupun ramai pimpinan berbakat dan berpotensi mereka berundur daripada perjuangan, menubuh wadah sendiri bahkan ada yang menyokong musuh Ikhwan. Inilah yang berlaku kepada pejuang kental mereka diperingkat antarabangsa iaitu Dr Kemal Hebawi telah berundur menyokong lawan mereka di Mesir.
Pertembungan, suatu kebiasaan yang menyakitkan. Paling baik terus istiqamah menuju kemenangan.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...