Thursday, October 27, 2016

Berkiblat Ke Barat



Oleh Khalil Jibril
26/10/16

Syeikh Muhammad Abduh dilaporkan berkata,
“Saya pergi ke Paris, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim. Saya kembali ke Kaherah dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam!”

Syeikh Muhammad Ridha dilaporkan ditanya,
“mengapa muslim terbelakang dan umat yang lain maju?’ Beliau menjawab “Islam mundur kerana meninggalkan ajarannya, sementara Barat maju karena meninggalkan ajarannya.”

Indeks KeIslaman yang dijuarai oleh Barat
Kenyataan sebagaimana pandangan Syeikh Muhammad Abduh timbul apabila kita melihat nilai-nilai Islam dikatakan subur tertegak di Barat. Nilai keadilan, integriti, toleransi dan sebagainya menjadi amalan dalam budaya Barat mengatasi negara-negara Islam.

Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2010 melalui buku judul How Islamic are Islamic Countries? oleh Prof. Hossein Askari dan rakannya Scheherazade S. Rehman, pensyarah Hal Ehwal Antarabangsa dan Perniagaan Antarabangsa Universiti George Washington telah mengkaji dan mengukur Indeks keIslaman negara-negara yang mendeklarasikan sebagai negara Islam, khususnya pada penerapan prinsip-prinsip Islam.

            Menarik dan kontroversinya ialah negara paling tinggi ukuran Indeks KeIslamannya ialah Ireland, Luxembourg dan New Zeland manakala kedudukan pertama Negara Islam majoriti ialah Malaysia dengan kedudukan 33.

Dalam kedudukan Indeks Ekonomi KeIslaman, kedudukan pertama ialah New Zealand diikuti oleh Luxembourg, Ireland, Iceland, Finland, Denmark, Kanada, United Kingdom, Australia dan  Belanda. Kedudukan pertama Negara Islam majoriti ialah  Malaysia (38)  dan Kuwait (48).

Kehebatan negara-negara Barat menjadi penarik utama para pemuja Barat untuk mewujudkan suasana ‘Budaya Barat’ di negara-negara Umat Islam. Antara nilai-nilai Islam yang dikatakan diamalkan oleh Barat ialah
1. Good Governance (Urus Tadbir  Kerajaan yang Baik)
2. Demokrasi
3. Kebersihan
4. Hak Asasi Manusia
5. Cinta Alam Sekitar
7. Keadilan Sosial
8. Hak Bersuara
9. Ketelusan

Masyarakat Islam adalah Satu Perjuangan

Tan Malaka dilaporkan berkata,
 “Akuilah dengan hati bersih bahwa kalian dapat belajar dari orang Barat. tapi jangan sekali-kali kalian meniru dari orang Barat. Kalian harus menjadi murid-murid dari Timur yang cerdas…”  (dipetik daripada Kompasiana. Beliau seorang nasionalis Indonesia yang dikatakan seorang komunis)

‘Islamik tidak semestinya Islam, Islam sudah tentu Islamik. Muslim belum tentu Islamik, mukmin itu adalah Islamik’ – Khalil Jibril

Kehidupan adalah proses perjuangan yang mempunyai sifat bolak-baliknya. Seorang muslim ingin meningkatkan dirinya sebagai mukmin manakala seorang yang beriman mahu meningkatkan diri mereka sebagai seorang yang bertaqwa.

Darjah iman, Islam dan ihsan (taqwa) perlu dipertingkatkan untuk mencapai keredhaan Allah. Adakah pembentukan masyarakat Barat diukur dari segi darjah iman, Islam dan ihsan mereka?

Darjah akhlaq dalam Islam ialah berkeperibadian seunggul Rasulullah SAW. Itulah darjah tertinggi akhlak seorang mukmin. Justeru, umat Islam wajib berusaha ke arah meningkatkan darjah akhlak mereka sebagaimana Rasulullah SAW. Adakah masyarakat Barat berusaha memenuhi darjah akhlaq keunggulan Rasulullah SAW?.

Sumber ilmu dalam Islam adalah al-Quran dan as Sunnah. Proses pembentukan individu dan masyarakat Islam mesti bersumberkan al-Quran dan as Sunnah secara holistik. Ia bukan sekadar sebahagian tetapi secara holistik iaitu saling berkaitan antara satu sama lain. Adakah masyarakat Barat yang dikatakan mengamalkan sebahagian daripada Islam itu mengamalkan bahagian Islam (umpama pengharaman LGBT) yang lain?

Antara tujuan besar dakwah Gerakan Islam dan para ulama ialah berUSAHA mewujudkan Masyarakat Islam atau Negara Islam yang berpasak al-Quran dan as-Sunnah. Kewujudan Negara Islam atau Masyarakat Islam tidak hanya terhad kepada nilai-nilai tetapi paling penting  tauhid yang menjadi akar tunjangnya. Perjuangan mencapai tujuan ini akan menghadapi rintangan paling besar daripada musuh Allah dalam kalangan kafir dan orang Islam sendiri.

Perjuangan Islam tidak melihat pada hasilnya tetapi apa yang kita USAHAkan. Kegagalan dalam usaha di dunia tidak bermakna gagal dalam mencapai matlamat di akhirat kerana matlamat agung perjuangan Islam mendapat keredhaan Allah SWT. Justeru, perjuangan Islam terutamanya mendaulatkan Negara Islam adalah perjuangan yang berterusan tanpa titik noktah. Jalan terus merentasi persahabatan, negara, kaum, keluarga, dan parti politik.

Masyarakat Islam yang Ideal
Masyarakat Islam yang Ideal telah dimusnahkan oleh imperialis Barat dalam menjarah Kerajaan Islam di seluruh dunia. Kelemahan kepimpinan, perbalahan sesama sendiri dan kelekaan masyarakat Islam telah menyebabkan imperialis mudah menguasai kerajaan Islam [Sila baca: Syeikh Syakib Arslan, Kenapa Umat Islam Tertinggal]. Satu demi satu Kerajaan Islam ditumbangkan. Daulah Uthmaniyyah, Turki dan Daulah Mughal, India akhirnya tumbang.

            Tumbangnya Daulah Uthmaniyyah, merasmikan perpecahan wilayah-wilayah Islam berdasarkan kehendak Barat.  Selepas sekian lama memerintah, nasionalisme mula ditiup dalam kalangan pemimpin tempatan dan watak-watak kalangan proksi Barat mula dicipta. Akhirnya, wilayah umat Islam dibebaskan daripada imperialis dan kolonial tetapi diperintah oleh watak yang dilatih dan disokong oleh Barat.

            Para ulama berusaha mempertahankan Islam sedaya upaya menghadapi pelbagai kekangan. Gerakan Islam mula muncul dalam usaha mengembalikan al-Quran dan as Sunnah ke tengah masyarakat. Tiupan konsep negara Islam, masyarakat Islam dan perundangan Islam berkumandang. Ia tidak mudah kerana anak buah penjajah dan sekutu-proksi mereka bersiap siaga menentang kebangkitan Islam.

            Kebangkitan Islam ditanggapi dengan bercampur-bau. Ada yang menyokong dan menentang. Warganegara wilayah-wilayah Islam sudah lama menjauhi diri daripada agama Islam. Kejahilan dan sifat pengecut bermaharajalela. Nilai-nilai Islam sebahagian besar terkubur. Secangkir aqidah sahaja masih mampu bernyawa. Justeru, kebangkitan Islam agak lambat dan nilai-nilai Islam sukar subur dalam masyarakat.

Terus Berusaha
Kita tidak perlu lari ke Barat. Kita tidak perlu berkiblat ke Barat. Mari kita bangkit berusaha mengembalikan nilai-nilai Islam bersama aqidah Islam ke tengah-tengah masyarakat Islam.

            Kita tidak mahu hanya nilai kebersihan, disamping pada waktu yang sama menerima kekotoran nilai LGBT.

            Kita tidak mahu hanya memperjuangkan kebebasan kaum wanita, disamping pada waktu yang sama menghalalkan pelacuran dengan istilah pekerja seks.

            Berbanggalah dengan Islam, kita dimuliakan dengan Islam. Maju dan membangunlah dengan Islam.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...