Di pintu besar Penjara Air Molek, sebelum memasuki kawasan kurungan, kami beratur duduk mencangkung. Kemudian seorang demi seorang dibogelkan. Cara inilah proses pertama untuk merendahkan martabat kemanusiaan seseorang insan. Pombogelan ialah ujian awal untuk memaksa tahanan "mengikut dan mematuhi" perintah. Sesudah dibogelkan, kami ditimbang, diukur dan diberi celana pendek dengan kamiz penjara. Kerana waktu ini bulan puasa, maka semua tahanan reman yang berugama Islam dikumpulkan di dalam dua lokap. Saya bersama Yunus Ali kini dipisahkan daripada tiga kawan kami, mungkin kerana kami mahasiswa. Saya kini menginap bersama sembilan remaja Melayu yang direman kerana kesalahan-kesalahan kecil - menghisap ganja, mencuri basikal atau menjual barang curi. Bersama saya juga ada seorang lelaki, Abang Din dari Tangkak, yang agak berumur.
Saya perhatikan, dia telah menjadi "taiko" lokap kami. Dia mengarahkan tahanan yang lain agar kami tidak diganggu dan diberikan tempat. Dia juga menerangkan bahawa di lokap ini tidak ada tandas. Hanya ada satu baldi, tempat untuk membuang air kecil dan besar. Najis dan kecing wajib dibuangkan setiap pagi. Telah ada jadual tersusun untuk tugas ini. Tidak banyak masalah untuk kami bermesra - bersalaman sambil memperkenalkan diri dan kes tuduhan. Mereka terperanjat kerana kami ini anak mahasiswa dari universiti. Dengan serta-merta mereka berkumpul untuk mendengar surah kami tentang Tasek Utara. Kemesraan membawa keyakinan - lalu Abang Din bercerita bahawa dia ditangkap tanpa apa-apa tuduhan. Abang Din, tuan punya sebuah kedai runcit, tetapi hati dan jiwanya tidak bersama Umno.
Dia juga selalu bercakap tentang kepincangan Umno. Kerana ini, dua minggu sebelum pilihanraya dia telah ditahan dibawah Ordinan POPO. Menurut Abang Din, lokap di sebelah ada 11 orang Cina, penyokong Partai Buruh, yang juga ditahan di bawah ordinan yang sama. Mereka ini telah hampir dua bulan ditahan tanpa sebarang tuduhan. Pintu penjara hanya dibuka dua kali sehari. Pukul 8 pagi, ia dibuka untuk membawa keluar tong najis. Waktu ini semua tahanan mengambil peluang untuk membersih diri. Bilik mandi dan tandas sengaja dibuat tanpa pintu. Pada hari pertama, kepada mereka yang tidak berpengalaman, pasti akan berasa janggal tetapi di hari kedua berbogel dan mencangkung di dalam tandas di hadapan teman-teman menjadi satu kemestian. Akhbar berlubang di penjara Kali kedua pintu dibuka pada sebelah petang. Ia dibuka agak lama sedikit.
Pada waktu ini kami berkumpul dan bertukar-tukar cerita. Kami juga meminta akhbar dari warden kerana kami tahu ini adalah hak kami. Maka terpaksalah warden mengambil akhbar di pejabat. Saya dapati banyak halaman akhbar telah dipotong. Ini bermakna kami tidak tahu langsung apa-apa berita yang sedang berlaku di luar. Dua hari kemudian, pada waktu malam kami dipindahkan ke bilik penjara untuk banduan yang sedang menjalani hukuman. Kali ini, tiga orang untuk sebilik. Saya, Yunus dan Syed Hamid dimasukkan ke dalam sebuah bilik. Kami tidak tahu kenapa pihak penjara membuat perubahan ini. Tapi esoknya di waktu pagi kami ternampak lima orang kawan, termasuk seorang mahasiswa dari Universiti Singapuara, dibawa keluar dari bilik tahanan. Mereka hanya sempat melambai-lambai tangan. Kami langsung tidak dapat bertemu atau bercakap dengan kawan-kawan kami yang ditahan, jadi kami terus tidak tahu apa yang sedang berlaku di luar. Kami hanya membuat andaian bahawa telah ramai orang ditangkap.
Hari keempat di dalam tahanan, bapa saudara saya Amajal, tuan punya restoran di hadapan kampus Universiti Malaya, dan sepupu saya telah datang melawat. Mereka membawa berita bahawa kampus Universiti Malaya sedang bergolak. Tetapi dia tidak dapat memberikan maklumat yang teliti. Dalam masa yang sama, perbualan kami agak terhad kerana seorang warden tercegat berdiri di hadapan meja kami. Seminggu kemudian kami pun dibawa kembali ke mahkamah. Kali ini lebih ramai orang telah datang untuk mendengar perbicaraan ini berbanding hari kami ditangkap. Wartawan-wartawan dari luar negara, termasuk Singapura, telah mula berkerumun. Di bilik mahkamah saya ternampak ibu, ayah dan datuk saudara saya telah duduk di ruang orang ramai. Kami dibicarakan dan diberikan ikat jamin diri dengan menandatangani perjanjian bahawa kami akan hadir pada 2-3 April 1975, tahun hadapan. Sebaik sahaja keluar dari mahkamah saya terus menemui kawan-kawan dan orang ramai yang berpusu-pusu mengelilingi kami. Saya tidak ada pilihan, terus berdiri di atas kerusi dan memberikan ucapan (foto atas).
Universiti dirampas tanda protes Saya diberitahu "perkampungan" baru kami di Bukit Timbalan telah dirobohkan. Barang-barang, khemah, termasuk wang kutipan derma lebih 2000 ringgit telah dirampas. Seramai 44 orang peneroka ditangkap. Satu lagi berita yang menyedihkan ialah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), telah diharamkan pada 22 September 1974. Saya menjadi Setiausaha Agungnya dan baru saja mengangkat sumpah sebagai Presiden majlis ke-17 badan pelajar itu. Kawan-kawan saya yang datang dan tertangkap di Johor Bahru - Adi Satria, Khoo Soo Wan, Bhaskaran dan Hassan Karim cuba menerangkan apa yang terjadi selama satu minggu saya ditahan. Pada awalnya saya tidak dapat memahami apa yang telah berlaku. Kini, saya sedar kenapa akhbar di dalam penjara banyak yang terpotong-potong muka surat beritanya. Esoknya saya terus pulang ke Kuala Lumpur dan terus ke bangunan nombor 37, Jalan Abdullah, Bangsar. Saya menumpang di rumah Abu Yacob, wakil Al-Fatah (PLO), yang telah berkahwin dengan kenalan saya Rohana Ariffin. Petang itu secara kebetulan saya bertemu dengan seorang anak muda terpelajar yang baru pulang dari Universiti Australia, Abdul Ghani Othman (sekarang Menteri Besar). Ghani singgah di rumah ini kerana kenalannya, Jamilah Ariffin ialah adik Rohana. Kerana Ghani merupakan anak Johor, maka dia begitu tertarik untuk mendengar "berita" Tasek Utara daripada saya. Bulan September 1974, kira-kira 25 tahun dahulu telah menjadi sebahagian dari sejarah perjuangan mahasiswa tanah air.
Kesedian para mahasiswa untuk membantu dan menolong penduduk miskin kota adalah tanda setiakawan anak-anak muda pada zaman itu terhadap mereka yang ditindas dan dianiaya. Tasek Utara telah menjadi sebahagian daripada mitos, legenda dan ingatan kolektif generasi saya. Ketika ini, 25 tahun dahulu saya sedang ditahan di Air Molek. Ribuan pelajar dari UM telah mengadakan demonstrasi di pejabat Perdana Menteri, meminta supaya tuntutan para setinggan dilayan dan kami dibebaskan. Kerana gagal atas tuntutan mereka, para mahasiswa di bawah pimpinan Kamaruzaman Yacob telah merampas Universiti Malaya pada 21 September 1974. Rampasan ini sebagai tanda bantahan mereka kerana tindakan kerajaan yang ganas terhadap setinggan Tasek Utara. Terbiar selepas 25 tahun Hari ini, saya mengingatkan kembali masyarakat umum terhadap Tasek Utara. Saya juga ingin mengingatkan kawan-kawan saya yang sama berjuang mempertahankan hak penduduk miskin kota bahawa pennduduk Tasek Utara masih lagi belum mendapat rumah yang mereka tuntut. Kira-kira 200 keluarga Tasek Utara yang berkhemah di Bukit Timbalan, 25 tahun dahulu, masih lagi tinggal di rumah panjang di pinggir Johor Bahru. Johor telah menerima empat Menteri Besar tetapi masalah peneroka Tasek Utara, semuanya Melayu, masih gagal diselesaikan. Apabila saya menulis surah ini, saya tidak mempunyai apa-apa jawapan kenapa hal ini berlaku.Segala ilmu pengetahuan yang saya pelajari dan pengalaman yang ada pada saya tidak dapat menerangkan kenapa ini terjadi. Foto-foto yang masih tersimpan kini menjadi arkib sejarah.
Gambar-gambar yang saya tatapi 25 tahun kemudian mengembalikan kepada detik-detik keremajaan saya. Setiap kali saya menatapi gambar-gambar ini, saya bertanya di manakah kawan-kawan saya ini sekarang? Ribuan pelajar yang berdemonstrasi kerana Tasek Utara, di manakah mereka hari ini? Apakah mereka tahu bahawa penduduk itu masih menumpang di rumah panjang?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment