BAHAGIAN 3 ---------- Pada pagi 18 September 1974, semua peneroka telah bersedia. Anak-anak kecil memakai baju sekolah walau mereka tidak akan bersekolah pada hari ini. Sang ibu mengendung anak-anak kecil di dalam kain batik. Si ayah membawa barang-barang - harta yang terselamat daripada serangan "pengganas" MPJB semalam. Setelah semuanya terkumpul, sebuah kereta Ford tua datang. Empunya kereta ini bersimpati dengan kami. Dia berulang-alik mengangkut peneroka Tasek Utara untuk pergi ke Bukit Timbalan. Saya dan beberapa kawan telah pergi dengan "teski sapu," pemandunya pula memberikan khidmat itu percuma sebagai tanda simpati. Hampir jam 10, kami semua telah sedia berkumpul di sebelah bangunan perpustakaan. Anak-anak mahasiswa juga telah mula menyusur datang. Dari sini, kami berarak menuju ke Bukit Timbalan.
Sesampai saja kami di hadapan pejabat Menteri Besar, wakil setinggan mengajukan permintaan untuk bertemu dengan Datuk Osman Saat. Malangnya, kami diberitahu, pemimpin Umno itu tidak akan masuk pejabat hari itu. Sebagai ketua peneroka yang tidak rasmi, Abang Amin telah berbincang dengan setinggan. Mereka mengambil keputusan untuk menunggu Datuk Osman. Kami pun berkumpul di bawah pokok di seberang jalan. Ibu dan anak-anak kecil mula berehat. Gendong pakaian dijadikan bantal. Kain batik dan surat khabar dijadikan tikar. Untuk berteduh sambil menunggu kedatangan MB, kami berusaha mencari khemah. Sebaik sahaja khemah terpasang, maka orang ramai yang lalu-lalang mula datang menjenguk dan tertanya-tanya. Kami pun memasang sepanduk untuk menerangkan kepada orang ramai tentang tujuan kami berkumpul. Anak-anak mahasiswa mula mengadakan sudut pidato. Keadaan ini menjemput lebih ramai orang lagi untuk mendengar kisah penderitaan peneroka Tasek Utara. Pelajar antarabangsa kirim sokongan Pada sebelah petang, datang pula seorang hamba Allah mendermakan seguni beras.
Akhbar Cina siaran petang memberikan liputan yang adil terhadap kes setinggan itu. Melalui berita ini, beberapa kumpulan dan persatuan orang Cina di sekitar Johor Bahru mula memberikan sokongan. Ikan sardin, gula, susu, tepung dan barang makanan mula sampai. Orang ramai yang lalu lalang mula menghulurkan derma. Khemah di bawah pokok di atas Bukit Timbalan terus kami jadikan kawasan perkampungan baru. Wanita dan anak-anak tinggal di satu khemah khas. Peneroka, mahasiswa dan penyokong setinggan tidur di luar khemah. Untuk orang ramai yang hairan melihat "kampong baru" ini, mereka diterangkan melalui satu poster besar (foto) bahawa penduduk miskin kota itu telah berkampung kerana rumah mereka dirobohkan. Setinggan itu sedang menunggu MB mereka yang baru saja mereka pilih. Sokongan datang mencurah-curah.
Kes peneroka Tasek Utara telah menjadi berita dunia. Persatuan Pelajar Politeknik Singapura (SPSU) telah menghantar pimpinan mereka untuk bersama kami di Johor Bahru. Pelajar-pelajar Malaysia di Australia, Britain dan New Zealand menghantar telegram sokongan melalui PMUM dan mula memungut derma. Kestuan Pelajar Australian (AUS), Kesatuan Gabungan Pelajar New Zealand (NZUSA), Kesatuan Pelajar Universiti Hong Kong (HKUSU), Persekutuan Pelajar Hong Kong (HKFS), Persatuan pelajar Asia (ASA) adalah antara puluhan persatuan pelajar antarabangsa yang memberikan sokongan. Semua sokongan ini memperkuatkan semangat kami. Setiap telegram yang diterima, saya bacakan, dengan terjemahan, kepada peneroka dan orang ramai. Peneroka berasa hairan dan bangga. Hairan kerana tidak menyangka bahawa mereka akan mendapat sokongan begitu hangat. Bangga kerana mereka, walaupun miskin tetapi sanggup bangun untuk menuntut hak mereka. Setelah berbuka puasa, para mahasiswa terus memulakan siri ceramah terbuka. Lilin-lilin dan pelita terpasang di sekeliling khemah. Suasana menjadi ceria dan hidup.
Sesiapa saja boleh bercakap untuk mengeluarkan pandangan dan sokongan. 'Diserang' ketika sedang nyenyak Tangga pejabat MB kami jadikan pentas. Ratusan penduduk Johor Bahru dan dari kampung-kampung di sekitar bandar telah datang berkumpul untuk mendengar perjuangan penduduk miskin kota Tasek Utara. Lewat tengah malam orang ramai mula pulang. Sang ibu dan anak-anak telah nyenyak tidur. Pemimpin peneroka dan beberapa orang mahasiswa berkumpul dan berbincang tentang tindakan seterusnya. Wang derma telah terkumpul melebihi 2000 ringgit. Derma makanan telah membusut. Lalu diputuskan bahawa kami esoknya akan meneruskan perkampungan ini sehingga peneroka dapat bertemu dengan Datuk Osman. Hampir jam 1 pagi, kami pun mencari tempat di sekitar khemah untuk meletakkan kepala. Saya sedang nyenyak tidur apabila dikejutkan. Apabila membuka mata, di hadapan saya berdiri seorang pegawai polis Benggali berserban. Pada mulanya saya terasa seperti sedang bermimpi tetapi suara tangisan dan jeritan kaum ibu dari dalam khemah menyedarkan saya bahawa khemah kami telah dikepung "musuh." Saya, Yunus Ali, Syed Hamid, Abang Amin dan Abang Kaliman ditangkap dan dibawa ke rumah pasung (balai polis) Johor Bahru. Jam telah lewat 3 pagi apabila kami semua dimasukkan ke dalam lokap. Inilah malam pertama saya tidur di dalam lokap - di atas simen, berbantalkan lengan sendiri dan merengkuk sejuk kerana saya hanya memakai seluar pendek. Bilik nombor 4, lokap rumah pasung Johor Bahru ini, tidak akan saya lupakan.
Pengalaman 25 tahun dahulu di bilik ini telah mendidik dan menyediakan diri untuk menjadi saya yang wujud pada hari ini. Bilik lokap ini mengajar saya makna kebebasan. Malam ini juga saya didewasakan dengan pengajaran bahawa polis, penjara dan mahkamah adalah sebahagian daripada sistem daulah yang mempertahankan kaum pemodal. Diheret ke mahkamah Kami berlima tidak banyak bercakap. Kami telah bersedia untuk menghadapi mahkamah. Cuma kami berasa runsing apakah yang sedang terjadi kepada para peneroka yang telah kami tinggalkan di Bukit Timbalan. Apakah khemah perkampungan kami masih selamat? Soalan tanpa jawapan ini terus berlegar-legar di kepala saya sehingga terlelap. Saya tertidur kembali setelah diganggu Benggali berseban pada jam 3.15 pagi tadi. Esoknya, 19 September 1974, kami dibawa ke mahkamah. Ratusan orang ramai telah berkumpul mengelilingi mahkamah. Dari dalam lori polis Black Maria, saya ternampak anak-anak muda, penduduk miskin kota, pakcik warung, pekerja dan pegawai kerajaan datang, mungkin kerana simpati atau kerana ingin mengetahui dan mendengar sendiri perbicaraan kami. Saya juga ternampak mahasiswa dari Universiti Malaya - mereka telah berkumpul dalam satu kumpulan. Bersama mereka Juliet Chin dan Tan Wah Piow, pimpinan mahasiswa dari Universiti Singapura. Apabila Black Maria menghampiri mahkamah, orang ramai mara ke hadapan tetapi telah dihalang oleh polis. Saya nampak dan terdengar laungan "hidup perjuangan rakyat" daripada kawan-kawan saya di luar mahkamah. Di dalam mahkamah, Abdul Razak Ahmad, seorang peguam muda, juga bekas pimpinan gerakan mahasiswa universiti yang telah "dihalau" keluar dari Universiti Singapura oleh Lee Kuan Yew, telah bersedia untuk membantu kami. Perbicaraan kami cepat dan ringkas. Magistret wanita itu telah menolak permohonan untuk ikat jamin. Kami terus direman selama satu minggu. Dan kami berlima pun dipindahkan masuk ke dalam Penjara Air Molek.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment