“ Istilah Moderat Islam (Islam Sederhana) adalah hodoh
dan menyakitkan hati. Tidak ada Moderat Islam (Islam sederhana), Islam adalah Islam”
Rashid
Tayyid Erdogan
I
Gerakan mahasiswa adalah gerakan yang bebas
tetapi berpihak. Berpihak kepada kebenaran bukannya bersifat populis.
Gerakan mahasiswa adalah medan latihan kader
bukannya medan sebenar. Medan sebenar mempunyai hakikat politik. Politik yang
memihak kepada siapa. Beramal, berjasa dan berkhidmat dalam kadarnya sebagai
mahasiswa.
Gerakan mahasiswa adalah kecelaruan warna.
Bersifat Islamik di kampus belum tentu Islamik selepas alam kampus. Zaman
mahasiswa zaman mencari identiti dan pembinaan pemikiran seseorang.
Gerakan mahasiswa adalah perjuangan mahasiswa
pada zamannya bukannya mengikut arahan para senior dan parti politik kecuali
para mahasiswa yang bercenderungan atau menganuti ideologi dan pemikiran
tertentu.
II
Pemimpin mahasiswa mempunyai pengaulan dan
kecenderungan tertentu. Pengaulan dan
kecenderungan inilah yang banyak mempengaruhi pemikiran dan pendekatan para
pemimpin mahasiswa dan kader dakwah kampus.
Pengaulan dan kecenderungan ini tiada masalah
jika kefahaman yang kita jernih dan kita mempunyai dalil dan hujah yang kuat.
Para pemimpin mahasiswa perlulah ingat, hidup
ini berdasarkan hujah dan dalil. Hujah dan dalil ini disebut orang sebagai ilmu. Insan berilmu memerlukan rahsia dalam
keilmuan iaitu faham. Faham ialah kesedaran yang menghasilkan amalan
berpandukan ilmu yang benar dan sahih bersumberkan al Quran dan al Sunnah.
Gandingan faham ialah hikmah dalam tindakan. Inilah dinamakan kehidupan insan adabi.
Ikatan senior dengan junior sangat berpengaruh
dalam gerakan mahasiswa, bahkan mereka membentuk kelompok yang boleh mewarisi
legasi pemikiran para abang mereka dan mereka juga mampu mencaturkan
junior-junior mereka demi kesinambungan pemikiran dan kehendak selera politik
mereka dengan menidakkan pengaruh pihak penentang dalam gerakan mahasiswa Islam.
Disinilah antara datangnya kecenderungan bermula dengan pengaulan.
Pemimpin mahasiswa perlu mengutamakan hujah dan dalil daripada
kecenderungan dan pengaulan mereka.
III
Jalan keluar adalah jalan ketewasan dalam
gerakan Islam. Gerakan Islam yang mempunyai dasar Islam bertunjangkan al Quran
dan al Sunnah tidak boleh sewenangnya untuk kita memilih jalan keluar. Jika
kita sakit hati dan tidak sabar sekalipun, kita boleh pilih jalan tawaquf dan ‘tarik
nafas sebentar-rehat’. Jalan keluar kita perlu berdalil nas al Quran dan al
Sunnah.
Gerakan Islam mempunyai dua keahlian iaitu
keahlian berdaftar berdasarkan pengisian borang dan keahlian kesatuan pemikiran
tanpa mengisi borang (lebih dikenali sebagai simpatis).
Keahlian PAS pelbagai tidak sebagaimana
gerakan Islam yang lain datang daripada pengkaderan dan berpendidikan. Ahli PAS
ada yang nelayan, petani, cikgu bahkan ada yang main judi. Masuk PAS dengan
pelbagai niat. Marah UMNO tak dapat bantuan BRIM, marah polis kerana ganggu
judi dan pelbagai sebab.
Kepelbagaian niat dan ahli menghasilkan
pelbagai perangai. Dalam menilai gerakan Islam, tidak adil jika hanya menilai
kualiti dan prestasi ahli-ahlinya sahaja. Penilaian yang sebenar kepada dasar
gerakan Islam yang bertunjang al Quran dan al Sunnah. Tanda aras ini juga kita
gunakan dalam penilaian terhadap Islam, nak nilai Islam bukannya pada umat
Islam tetapi kepada ajaran Islam.
Jika kita diberi cangkul untuk mengali lubang,
kita galilah lubang. Ada yang gali dalam, ada yang gali tohor dan ada yang tak
gali langsung. Bukan silap cangkul tetapi silap orang yang menyangkul tersebut.
Sebab itulah, gerakan Islam adalah gerakan dakwah dan tarbiah yang mendidik
agar berlaku perubahan pemikiran dan sikap serta kemantapan aqidah dan amal dalam
kalangan anggotanya. Walaupun keadaan akhlak dalam gerakan Islam bersifat
huru-hara dan hodoh, kita wajar meneruskan agenda dakwah tanpa menoleh ke arah
situ. Paling penting Islam ditegakkan dan kita tidak menghuru-harakan gerakan
Islam.
IV
Kemunculan Parti Amanah Negara (Amanah atau
PAN) merancak lagi suasana demokrasi negara kita. Kemasukkan mantan pemimpin
gerakan mahasiswa Islam yang mempunyai ikatan dengan Jemaah Islam Kampus (JIK)
ke dalam PAN boleh membawa kepada perpecahan di kampus. Ke mana kami nak pergi?
PAN atau PKR atau PAS? Atau yang lebih berani memasuki DAP.
V
Sedikit panduan dalam menghadapi krisis dan
perpecahan;
1)
Jangan memulakan api fitnah. Fitnah terbesar
bagi umat Islam ialah perpecahan perpaduan sesama umat Islam.
2)
Ikut dalil dan hujah yang
bersumber paling benar dan sahih iaitu al Quran dan al Sunnah. Jangan sesekali
terikut dengan kecenderungan diri dan pengaulan dengan para sahabat.
3)
Perpecahan yang dibolehkan hanya dari
sudut aqidah
4)
Jangan memulakan permusuhan
sebelum musuh memulakan permusuhan.
5)
Setiap perselisihan dan perbalahan
perlu diselesai dan dihadapi secara dalaman. Memang pedih, melakukan perubahan
dalaman dengan sabar dan tawakal. Pilih cara damai bukannya cara ke arah
perpecahan dan fitnah yang tidak berakhlak. Kesabaran dalam gerakan Islam lebih
baik daripada perpecahan yang membuka pintu fitnah menfitnah, caci mencaci dan
kata mengata.
Akhir Kalam
Kembalilah kepada hujah dan dalil sebelum
kalian memilih jalan perjuangan bukan hanya mengikuti kecenderungan dan
pengaulan kalian.
“Politik
adalah permainan masa. Jika terlewat kamu kelihatan luput dan basi, jika
terawal kamu memasang angan-angan palsu. Jika berada pada saatnya, ada sesetengah kamu terkhayal bagai tercandu dengan
kehebatan pidato-retorik, idea dan keperibadian tokoh, dan ada yang bernasib ia menjadi.”
No comments:
Post a Comment