“Islam tetap menang sama ada
kamu bersamanya atau tidak. Tetapi kamu takkan menang tanpa Islam” – Syeikh Ahmad Deedat
1. Pertamanya, penulis bukan sesiapa dalam gerakan
mahasiswa. Penulis hanya seorang pelajar Jabatan Sejarah Universiti Malaya yang
melakukan latihan ilmiah tentang gerakan mahasiswa dibawah seliaan Prof. Dr.
Mohd Redzuan Othman yang ketika itu Naib Presiden ABIM. Dalam aktivisme,
penulis terlibat sebagai EXCO dalam Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM) dan
Persatuan Sejarah UM (PASUM) serta terlibat beberapa aktiviti ABIM PJ. Pengemar
majlis ilmu yang ada di kampus dan luar kampus. Dan ulat buku di Perpustakaan
Utama UM.
2. Alhamdulillah, 16 tahun sudah berlalu, sehingga
hari ini penulis dikurniakan oleh Allah SWT minat dan mengambil perhatian
tentang alam kampus dan gerakan mahasiswa khususnya di Universiti Malaya. Allah
SWT memberikan penulis sifat kasih kepada anak muda dan mahasiswa.
3. Penulis berpegang, anak muda dan mahasiswa pemilik
zaman, mereka sendiri mencorakkan zaman mereka. Setiap zaman, gerakan mahasiswa
mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri. Tidak adil kita mengadili
zaman mereka membandingkan mereka dengan zaman yang lain.
4. Dalam 16 tahun ini, penulis memerhati bahawa ada
satu kumpulan yang membina kekuatan sendiri berdasarkan pemikiran tertentu dan
pengaulan mereka. Kumpulan ini adalah ‘alat’ generasi pengasas Jemaah Islam Kampus
(JIK) pada era 1980-an dikenali Republik Islam atau Kumpulan UM yang cuba
menonjolkan tokoh panutan mereka sebagai pemimpin masa depan gerakan Islam.
Mereka juga menonjolkan tokoh ulama tertentu sebagai murabbi mereka.
5. Para tokoh kumpulan ini cuba menguasai PAS dan kurang
berjaya mendominasi PAS sebelum tahun 1999. Apabila keahlian PAS sudah rencam
dan berlaku pengolakkan dalam PAS, kumpulan ini (dan kader-kader muda mereka)
bersama kelompok yang melawan arus, kelompok yang kecewa atau merajuk, kelompok
yang sekepala dalam pengaulan dan kelompok jemaah-jemaah yang ada dalam PAS
membentuk PASMA, G18 dan GHB sehingga
penubuhan Parti Amanah Negara.
5. Pada awal tahun 2000an, para pengasas JIK telah
merekrut kader-kader mereka yang menekankan kepentingan siasah dan kemenangan
pilihan raya. Mereka telah memposisikan kader-kader mereka dipelbagai jawatan dan
tempat dalam PAS. Kader-kader ini peringkat kampus mencetuskan jemaah dalam jemaah dalam JIK UM
dan menyebarkan pengaruh dalam JIK di kampus-kampus lain. Jika kita perhatikan,
sekitar tahun 2014-2015 pengaruh kader awal 2000an masih ada dalam merencana
politik kampus ketika itu. Kemuncaknya, apabila JIK UM dibubarkan apabila
memutuskan hubungan PAS.
6. JIK berperanan sebagai 'PAS' di kampus. Itu hakikat. JIK tidak
mampu menjadi mata rantai gerakan Islam, mudahnya JIK adalah cabang PAS di
kampus. Berbanggalah.
7. Di bawah beberapa pesanan untuk anak muda dan
mahasiswa
I.
Mahasiswa
perlu banyak membaca, berwacana dan menghadiri pelbagai program untuk
peningkatan pengetahuan. Belajar untuk pertingkatkan pengetahuan bukannya
menjadi kader pihak penganjur program. Mahasiswa yang menyertai Sekolah
Demokrasi (SEKDEM) dan sekolah politik IKD (SEKPOL) perlu kuat jatidiri agar
tidak mabuk dengan wacana tiada noktah dan keterbukaan tanpa batas sehingga
mereka menjadi sekularis, pluralis dan liberalis.
II.
Mahasiswa
mestilah menolak pemikiran sekularisme, pluralisme dan liberalisme. Terkini,
pemikiran ciptaan manusia dibaluti dengan faham Islam untuk mengelirukan
kefahaman anak muda atas nama maqasid syariah, rahmat Islam untuk semua,
reformis, islah dan progresif.
III.
Mahasiswa
perlu mengadakan kuliah mingguan berdasarkan kitab-kitab turath. Keberkatan
ilmu terletak kepada belajar, faham dan amal.
IV.
Mahasiswa
wajib mengetahui sejarah gerakan mahasiswa. Mengetahui sejarah bukannya
tenggelam dalam suasana romantisme tetapi mengetahui bagaimana sejarah itu
bermula agar kita tidak tertipu.
V.
Mahasiswa
perlu lebih bijak menapis arahan senior yang berkepentingan. Para senior juga
mempunyai kepentingan peribadi dan agenda kumpulan tertentu.
VI.
Mahasiswa
perlu menjauhi kumpulan dalam kumpulan atau sifat selesa berkelompok dalam satu
aliran pemikiran dan pengaulan.
VII.
Mahasiswa
jangan mudah teruja dengan tokoh mahasiswa, tokoh politik dan tokoh popular.
Jangan tertipu dengan pandangan mata dan sifat mesra mereka. Nanti kalian mudah
menjadi macai mereka.
VIII.
Kita
menghormati pandangan, pendirian dan keputusan sahabat-sahabat yang
meninggalkan perjuangan. Kita akui kehebatan amalan, akhlak dan ketaqwaan
mereka. Diharapkan mereka memperjuangkan Islam dimana posisi mereka berada. Teruskan
perjuangan kita dan jalan terus, Islam sebagai Addin-holistik yang mengharapkan keredhaan Allah dan dibawah
bimbingan para ulama yang bersumber al Quran dan as Sunnah bukannya bersifat
pragmatis untuk kemenangan pilihanraya sahaja.
IX.
Mahasiswa
perlu menjauhi berkiblat kepada tokoh-tokoh tertentu dalam PAS yang memesrai
gerakan mahasiswa. Perjuangan PAS berdasarkan dasar Islam yang terkandung dalam
Perlembagaan PAS bukannya kemesraan pimpinan, kehebatan retorik tutur bicara,
kebernasan idea dan karisma seseorang pemimpin sahaja.
X.
Perjuangan
mahasiswa yang terbaik berdasarkan ilmu. Fokus kepada isu-isu kebajikan kampus,
politik kampus, pentadbiran MPP yang berkesan dan peningkatan kualiti diri
mahasiswa. Isu-isu negara ditangani dengan solidariti dengan NGO dan parti luar
bukannya menjadi pemimpin penggerak kepada isu-isu negara.
XI.
Pilihanraya
kampus (PRK) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah gelanggang latihan dan
medan politik para mahasiswa. Gunalah kedua-dua gelanggang itu untuk menambah
pengalaman dalam kepimpinan dan menajam seni politik masing-masing. Pihak
mahasiswa boleh menganjurkan seminar atau diskusi politik sama ada di dalam
atau di luar kampus.
XII.
Perjuangan
mahasiswa jangan sampai meletakkan diri dalam penjara. Ia tidak berbaloi dengan
ukiran nama popular dan hero ciptaan sementara. Jangan menjadikan dirimu
sebagai mangsa yang sadis akibat janji dan harapan palsu para politikus. Jangan
percaya harapan dan pujian politikus.
XIII.
Khidmat
mahasiswa kepada masyarakat ialah memandaikan mereka dengan PENDIDIKAN.
Maksudnya dengan kelas al-Quran, kelas bahasa dan kelas-kelas tambahan percuma
untuk anak-anak miskin di sekitar kampus.
8. Setelah 16 tahun berlalu, sejarah gerakan mahasiswa
terus berlalu. Ada pemimpin JIK yang menyepi, cergas dalam politik PAS, PKR,
DAP, AMANAH bahkan UMNO dan ada terlibat dalam profesional serta penglibatan
dalam pembangunan dan pentadbiran negara. Pengakhiran seseorang manusia bukan
pada saat ini tetapi pada penamatan usia mereka.
9. Kekuatan utama sesebuah batch yang ditarbiah ialah hubungan ukhwah mereka yang rapat. Ia
bagaikan hubungan kekeluargaan. Selepas alam kampus, ada dua jenis alumni
gerakan mahasiswa iaitu berdasarkan
tempat belajar dan batch.
Antara alumni universiti yang terkenal ialah JASA di UKM dan UKP di UM.
Manakala batch yang paling berjaya di
UM ialah batch Generasi Dinamik
dimana mereka telah menubuhkan NGO Kelab Generasi Dinamik yang aktif melebihi
induknya UKP. Sewajarnya setiap batch
menubuhkan NGO masing bagi meneruskan hubungan persaudaraan sesama mereka dan
membangunkan umat.
10. Walaupun ditarbiah oleh PAS, pimpinan mahasiswa
mempunyai akal untuk membuat pilihan halatuju mereka. Kepentingan semasa banyak
memposisikan siapa kita dan bagaimana. Jika ditanya kenapa perlu menganggotai
PAS atau menjadi simpatis atau penyokong PAS (tanpa keahlian)?. Jawapannya (1)
Dasar Islam, (2) ramai ulama didalamnya dan (3) keburukan PAS lebih kecil
berbanding keburukan parti-parti lain yakni tidak mahu mengamalkan Islam secara
holistik dan beralasan dalam melaksanakan Islam sebagai addin.
Mahasiswa berhati-hatilah pada
zaman mudamu agar perjalananmu pada alam dewasamu selamat dan bahagia.
No comments:
Post a Comment