Monday, November 30, 2020

Kenang-kenangan Politik PAS-ABIM-IRC (S18)

 

BAB

ABIM VS IRC

 

1. Kisah IRC berjaya mengambil-alih Malaysian Islamic Study Group (MISG) di Amerika Syarikat daripada ABIM. IRC berjaya dikhabarkan berjaya menyingkirkan Muhammad Nur Manuty daripada kepimpinan MISG.

2. Kisah elemen IRC dan PAS merampas kepimpinan PMIUM daripada ABIM pada awal tahun 1980an.

3. Cubaan mengambil-alih ABIM setelah kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO. Mereka membuat bantahan terhadap Majlis Syura ABIM dalam Muktamar ABIM.

4. Peranan aktivis IRC-JIM dalam PKN dan PKR.

 

Kelompok bekas pemimpin UMNO dan kelompok JIM berjaya menghalang pengABIMan Parti Keadilan Nasional (PKN). Pengaruh ABIM diganti oleh pengaruh kelompok JIM. Bekas pemimpin JIM, Sahri Bahri dilantik sebagai SUA PKN mengantikan Mohd Anuar Tahir (ABIM). Sahri Bahri pemimpin JIM yang aktif dalam UMNO. Begitu juga Timbalan Presiden PKN, Abdul Rahman Othman adalah pemimpin JIM yang aktif dalam UMNO Bahagian Muar.

 

Kesetiaan ABIM dan Jaringan IRC

 

ABIM terkenal setia bersama Anwar Ibrahim dalam apa jua keadaan. Tetapi Anwar Ibrahim lebih selesa melantik pegawai beliau bukan kalangan aktivis ABIM. ABIM hanyalah teman ketika susah.  Ia berbeza dengan kelompok IRC yang diberi kepercayaan besar oleh Anwar Ibrahim.

Antara pemimpin IRC yang menyertai UMNO ialah Abdul Rahim Ghouse, Sahri Bahri dan Wan Hasni Wan Sulaiman. Abdul Rahim Ghouse[1] dan Wan Hasni Wan Sulaiman adalah tulang belakang Anwar Ibrahim dalam jaringan antarabangsa dan dana.

 

Abdul Rahim Ghouse (1986-1987) dan Wan Hasni(1988- 1990) merupakan mantan pemimpin mahasiswa dalam Malaysian Islamic Study Group (MISG) yang ditubuhkan Peoria, Illinois, Amerika Syarikat pada 1976. MISG USA pada awalnya dikuasai oleh juak ABIM yang akhirnya disingkirkan oleh juak IRC.

 

Ketika Anwar Ibrahim dipecat pada tahun 1998, Abdul Rahim Ghouse merupakan Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang  dan EXCO Majlis Ekonomi Pergerakan Pemuda UMNO manakala Wan Hasni pula Timbalan Ketua Pemuda UMNO Kelantan.

 

Rahim Ghouse dan Wan Hasni merupakan orang penting dalam ABRAR Group. Pada 25 September 1998, Rahim Ghouse meletakkan jawatan Pengarah Eksekutif Abrar Group International Sdn. Bhd. (Abrar).

 

IKRAM dan PAN

Tanzim Abu Urwah sungguh kuat dalam IKRAM. Memang kita sukar nama jumpa nama Abu Urwah dalam struktur rasmi IKRAM tetapi ia tidak mustahil ada struktur sebalik tabir-tersembunyi ‘jemaah dalam jemaah’ dalam IKRAM dan aspirasi leluhur warisan Tanzim Abu Urwah sejak zaman JIM lagi. Penubuhan GHB, Harapan Baru dan PAN direstui oleh IKRAM.

 

IKRAM mengalu-alukan penubuhan PAN. Menurut Timbalan Presiden IKRAM, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus; “IKRAM mengalu-alukan kemunculan sebuah parti baru yang ingin memainkan peranannya yang tersendiri; demi memastikan sistem dwi-parti  dapat terus diperkukuhkan.”

 

Hasanuddin Mohd Yunus juga menyatakan menyatakan “Di atas pendirian ini, IKRAM menyatakan kesediaan untuk menjadi sebahagian dari gelombang harapan baru untuk membina Malaysia yang lebih rahmah, demokratik dan sejahtera.”

 

Hasanuddin Mohd Yunus sekali lagi menyatakan “GHB akan menjadi suara untuk rakyat, dengan membawakan idea dan pemikiran untuk kebaikan negara dan ummah.”

 

Setelah melihat tiga kenyataan Timbalan Presiden IKRAM, Hasanuddin Mohd Yunus jelas menunjukkan IKRAM menyokong penubuhan parti baru yang kemudiannya dikenali sebagai PAN. Hasanuddin Mohd Yunus sendiri telah dilepaskan  oleh IKRAM untuk menjawat Naib Presiden PAN.

 

Penubuhan PAN yang menyertai Pakatan Harapan lebih disukai oleh IKRAM kerana pengamalan sistem politik dwiparti. Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden IKRAM menyatakan “IKRAM percaya Pakatan Harapan akan dapat mengukuhkan sistem dwiparti di Malaysia yang telah terbukti memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen melalui proses semak dan imbang (check and balance) yang berkesan.”

 

Penubuhan PAN membuka ruang dan peluang kepada IKRAM (al-jamaah-IRC-HIS-JIM) menguasai PAN pada masa depan kerana otai IKRAM sejak zaman al-jamaah, HIS, IRC, Alami dan JIM bersatu dalam kepimpinan PAN. PAN boleh dijadikan sayap politik IKRAM. Inilah cita-cita IRC yang sudah lama. Kehadiran anggota al-jemaah-IRC-Alami-JIM yang diposisikan pada jawatan tertentu dipelbagai peringkat, anak muda IKRAM juga mengaktifkan cawangan-cawangan (akar umbi) dan program-program PAN dan sistem pemilihan PAN memudahkan IKRAM meletakkan proksi mereka.

Adakah berlaku konflik dalaman dalam PAN? Masa akan menentukan. Prestasi IKRAM dan PAN dalam pilihan raya ke 14 akan dibincangkan dalam satu artikel selepas PRU 14 nanti. Insya Allah.

 

Kelemahan Pemimpin Gerakan Islam Dalam Politik Kepartian

 

1. Kehakisan Istilah-Konsep Dalam Politik Gerakan Islam

Dalam politik kepartian, istilah-konsep politik Islam yang termaktub dalam gerakan Islam seperti wala’ dan syura telah terhakis dan hilang. Suasana politik dalam jemaah dan politik kepartian cukup berbeza. Dalam gerakan Islam, wala’, baiah dan keputusan syura dihormati untuk mencari keredhaan. Tetapi dalam politik kepartian, semua mencari KUASA dan DUIT.

2. Pintar dan Licik Dalam Permainan Politik

Seorang politikus sejati mempunyai sifat ‘true political animal’ yakni orang yang pintar dan licik dalam permainan politik. Mereka mempunyai sifat ‘matlamat menghalalkan cara’ demi mengaut kekuasaan dan harta.

Kelompok Islamis adalah pemain politik yang jujur seringkali tewas dengan politik kebinatangan. Kelompok Islamis mula berbaik sangka sehinggar akhirnya terjerumus ke dalam telaga penipuan.

3. Kekuatan ‘Pengkalan’ Sokongan dan Akar Umbi

Kelemahan pemimpin gerakan Islam yang menyertai politik kepartian, mereka tidak mempunyai pengkalan yang menjadi tapak sokongan akar umbi kepada diri mereka. Anwar Ibrahim dan Khary Jamaludin membina pengkalan sokongan dan akar umbi mereka daripada Pergerakan Pemuda UMNO selain restu kepimpinan utama.

Kelemahan pengkalan sokongan akar umbi kelihatan pada Dato Dr Asyraf Wajdi Dasuki seorang pemimpin mahasiswa-belia yang hebat dalam PKPIM. Cuma beliau tiada pengkalan sokongan akar umbi sehingga sukar bertapak dalam politik kepartian dan gagal memenangi pilihan raya.



[1] Rahim  Ghouse, Saifudin Nasution dan Johari Abdul antara watak yang memainkan misi rahsia Anwar Ibrahim.

Kenang-Kenangan Politik PAS-ABIM-IRC (S17)

 

BAB

ABIM DALAM PKR

Pada 3 Ogos 2003 Keadilan dan PRM melancarkan Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur. Penubuhan PKR disebabkan kepelbagaian keahlian dalam PKN yang masih belum ada pengalaman politik dan belum ada pandangan politik yang jelas. Anwar Ibrahim mengharapkan kerjasama daripada PRM mengatasinya. PRM pula mengalami masalah perkembangan organisasi yang terbantut ekoran kekurangan ahli yang aktif. Pengaruh PRM sendiri semakin merosot jika dibanding dengan zaman Barisan Sosialis.

 

Penulis berpendapat Anwar Ibrahim mula dapat mengesani bibit-bibit pertembungan antara kelompok dalam PKN disebabkan kelompok ABIM sangat aktif dipelbagai peringkat parti dengan seakan-akan mahu menguasai PKN. Idea pencantuman PRM-PKN sendiri mendapat bantahan sekelompok pimpinan daripada PRM dan kelompok ABIM dalam PKN. Dalam satu warkah dari penjara berjudul "Pakatan Pembangkang Digeruni Kerajaan" pada Ogos 2003, Anwar sengaja mengungkap lembaran sejarah perjuangan PRM menentang penjajahan dan imperialisme dalam memperlihatkan aspek relevan dalam perjuangan kini terutama dalam konteks penggabungan KeADILan dan PRM.

 

Kelompok ABIM menentang idea pencantuman kerana tidak mahu PKN dikuasai oleh ‘orang kiri’ dan kelompok sosialis. Syed Husin Ali dan PRM terpaksa mengambil risiko dengan membubarkan PRM dan bercantum dengan PKN, turut dipertikaikan oleh beberapa orang rakan seperjuangan dalam partinya. Sesetengah pemimpin PRM tetap meragui keikhlasan Anwar, yang dijangkakannya akan kembali ke pangkuan UMNO.

 

Syed Husin Ali menegaskan,

"Saya pasti dia (Anwar) tak masuk UMNO”. "Pertama, komunikasi saya dengan dia (Anwar). Sesetengah surat dia masih saya simpan..." Syed Husin Ali meneruskan, "Kedua, mereka (UMNO) sudah begitu menghina dia dengan keluarga dia, tak mungkin dia kembali ke situ." "Saya kenal dia dah lama, sebagai student (pelajar), sebagai kawan, sebagai orang tahanan sama, sebagai orang yang sama-sama berjuang..."

 

Setelah pencantuman PKN-PRM berlangsung, pengaruh ABIM semakin merosot didalam PKR. Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata barisan baru kepimpinan PKR itu menunjukkan pengaruh ABIM dalam parti itu telah 'merosot'. Barisan kepimpinan terbaru itu juga memberi positif kerana ia mencerminkan 'berakhirnya pergolakan dalaman antara pelbagai faksi dalam PKR". Hanya Bekas Setiausaha Agung PKR, Mustaffa Kamil Ayub, yang dilantik sebagai naib presiden PKR, merupakan satu-satunya pemimpin yang dikaitkan dengan ABIM, yang memegang jawatan tinggi dalam barisan kepimpinan parti itu.

 

Manakala seorang lagi pemimpin yang dikaitkan dengan ABIM, Abdul Rahman Yusof, yang gagal dalam percubaannya untuk merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu, dilantik sebagai ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) PKR.

 

Muktahir ini, wakil ABIM dipilih sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR disifatkan ingin ambil hati kelompok ABIM yang setia bersama Anwar Ibrahim daripada dulu. Shamsul Iskandar Md Akin (PKPIM) dipilih oleh perwakilan sebagai Naib Presiden manakala Shaharuddin Badaruddin dilantik ke jawatan Naib Presiden.

 

Kegagalan kelompok ABIM memberi ruang dan peluang kepada kelompok bekas UMNO dan kelompok JIM mengukuhkan kedudukan dalam PKR. Dalam PKR, persaingan berlaku 2 kelompok iaitu kartel Azmin Ali dan kartel Rafizi.

 

Krisis dalaman PKR bermula apabila Langkah Kajang yang digerakkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution pada 2014 untuk menyingkirkan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan menobatkan Anwar tergendala kerana Anwar Ibrahim dihukum bersalah dalam kes Liwat 2.0. Akhirnya Mohamed Azmin Ali dilantik Sultan Selangor sebagai ketua negeri itu.

 

Dalam satu kenyataan media, Rafizi Ramli menyenaraikan dua kem berbeza dalam PKR:

Kem Azmin: Chua Tian Chang, Shamsul Iskandar(PKPIM) dan Xavier Jeyakumar, Dr Shaharuddin Badaruddin (ABIM), Zuraida Kamaruddin (ketua wanita), anggota biro politik Sivarasa Rasiah, Saifuddin Abdullah, Kamaruddin Jaafar(ABIM), Fahmi Fadzil (pengarah komunikasi), N Surendren, serta pemimpin utama parti Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aishah Sheikh Ismail, Mohamad Nur Manuty(ABIM), Latheefa Koya, Dr Afif Bahardin dan Haniza Talha (JIM).

Kem Rafizi: Sim Tze Tzin (pengarah strategik), Fariz Musa (ketua setiausaha pengelola), Abdul Hadi Al-Khatab (pengerusi Lembaga Disiplin) dan Christina Liew (pengerusi Sabah), pemimpin exco negeri Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail(JIM), Fuziah Salleh(JIM), S Manivannan, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron.

Kenang-Kenangan Politik PAS-ABIM-IRC (S15)

 

BAB

PENYINGKIRAN ABIM DALAM PARTI KEADILAN NASIONAL

 

Parti Keadilan Nasional (PKN) berasal daripada sebuah NGO yang bernama ADIL ditubuhkan dan diketuai oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 10 Disember 1998.

 

Pada 4 April 1999, Parti Keadilan Nasional (PKN) dilancarkan dengan mengunakan singkatan KeADILan. Parti Keadilan Nasional atau (KeADILan-selepas ini PKN) adalah sebuah pertubuhan politik yang didaftarkan pada tahun 1990. Nama asalnya adalah Ikatan Masyarakat Islam dan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa pada tahun 1999, parti ini dipinda namanya kepada Parti Keadilan Nasional (KeADILan), sesuai dengan aspirasi perjuangan semasa. Misi perjuangan adalah jelas: menegakkan keadilan dan kebenaran.

 

KeADILan adalah parti berbilang kaum dan agama yang terbuka keahliannya kepada semua warga Malaysia. PKN disertai oleh pemimpin gerakan reformasi. Pemimpin gerakan reformasi ini terdiri daripada mantan pemimpin UMNO, pemimpin ABIM[1], pemimpin JIM, pemimpin NGO bukan Islam[2], cendikiawan dan reformis (sebelum ini tidak berparti) serta sahabat-sahabat lama Anwar Ibrahim[3]. Walau bagaimanapun, kepimpinan PKN didominasi oleh kelompok ABIM. Perkara ini menimbulkan keresahan kepada kelompok lain yang menganggap Dr Wan Azizah cuba dikuasai oleh kelompok ABIM.

Sebelum Persidangan Agung PKN  dari 9 hingga 11 November 2001, terdapat beberapa isu yang mencengkam PKN. Antaranya

1. Dr. Wan Azizah menghadapi krisis kepercayaan dalam kepimpinannya.

Timbalan Presiden, Dr. Chandra Muzaffar telah mengumumkan dia tidak akan bertanding mempertahankan jawatannya diikuti Naib Presiden Zainor Zakaria yang turut berbuat demikian. Pemimpin-pemimpin lain yang berundur dan membayangkan hasrat ingin berundur ialah Ruslan Kassim (Ketua Penerangan), Hamdan Taha (Naib Ketua Pemuda Keadilan) dan Abdul Wahid Ahmad Shuhaimi (Pengerusi Perhubungan Keadilan Pahang). Sebelum itu, PKN kehilangan Marina Yusof keluar parti tidak lama selepas pilihan raya umum 1999.

2. Pemimpin Utama PKN yang Ditahan

Dengan beberapa pemimpin PKN berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti Ezam Mohd. Noor (Ketua Pemuda Keadilan), Tian Chua (Naib Presiden) dan Saari Sungib (Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi).

3. Wan Azizah Hanya Simbol Kekuasaan Anwar Ibrahim

Wan Azizah sebagai Presiden PKN hanya simbol. Sebalik tabirnya adalah Anwar Ibrahim. Pada zaman awal PKN, Anwar tidak memegang kuasa apa-apa jawatan dalam PKN tetapi kuasanya melampaui kuasa Presiden PKN. Pemilihan kepimpinan dalam PKN berdasarkan simbol bukannya kelebihan dan prestasi kepimpinan. Menyingkir Wan Azizah bermakna menyingkirkan Anwar.

Wan Azizah adalah simbol kekuasaan Anwar Ibrahim terhadap PKN. Wan Azizah dibantu oleh proksi Anwar Ibrahim yang paling setia dan dipercayai oleh Anwar Ibrahim  iaitu pengikut setia dalam UMNO dan kerajaan dahulu iaitu Mohamed Azmin Bin Ali, Ezam Mohd. Noor (dan Khalid Jaafar.

4. Kelemahan Birokrasi

Urusan pentadbiran parti itu yang dikawal oleh bekas Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Anuar Tahir gagal meningkatkan jumlah keahlian parti. Selepas dua tahun enam bulan ditubuhkan, PKN kini hanya mempunyai keanggotaan sebanyak 200,000. Jumlah itu amat kecil bagi sebuah parti politik nasional berbanding UMNO yang mencatatkan keahlian seramai 2.8 juta orang.

Terdapat dakwaan kononnya banyak cawangan PKN tidak mengadakan mesyuarat secara tetap kerana kegagalan pengurusan parti memprojekkan PKN sebagai sebuah parti massa.

5. Peng’ABIM’an Parti Keadilan Nasional

Dominasi kepimpinan PKN oleh kelompok ABIM meresahkan kelompok lain dalam PKN. Jawatan tertinggi PKN dikuasai oleh kelompok ABIM. Antaranya  Dr Muhammad Nur Manuty (anggota MPT Undangan dan Pengerusi PKN Bahagian Larut), Mohd Anuar Tahir (SUA), Ruslan Kasim  (Ketua Penerangan) dan Mustaffa Kamil Ayub (Timbalan Ketua Pemuda). Tidak kurang 5 anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKN daripada kelompok ABIM. Ketua-ketua negeri dan bahagian-bahagian menyaksikan kelompok ABIM mendominasi pucuk kepimpinan PKN terutamanya di Perlis, Kedah, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan. Keadaan yang sama berlaku dalam biro-biro dalam PKN termasuk dalam Biro Politik dan Biro Pengurusan PKN.

Isu PengABIMan ini mencetuskan label-melabel, fitnah dan tuduh menuduh dalam PKN sehingga berlaku konflik dalaman dalam PKN. Gambaran yang muncul sebelum persidangan ialah ABIM vs. The Rest (atau Ahli Keadilan-PKN).

Dalam  Kongres Nasional di Kemaman, PKN terbahagi dua kelompok. Pertama, kumpulan ABIM. Kedua, kumpulan lain yang terdiri daripada bekas-bekas ahli UMNO, aktivis-aktivis NGO termasuk pertubuhan hak asasi manusia dan Jemaah Islah Malaysia (JIM), golongan cendekiawan dan profesional dan kumpulan reformis tidak berparti sebelum PKN ditubuhkan.

Pertembungan antara mereka didakwa menjadi antara punca beberapa pemimpin dalam PKN mengundurkan diri daripada pemilihan parti itu sebelum persidangan. Mereka tidak dapat menerima hakikat ahli-ahli ABIM cuba ‘mencuri’ PKN daripada mereka. Mereka mendakwa, satu ciri ahli-ahli ABIM ialah persaudaraan dikalangan mereka yang sangat rapat.

Ciri-ciri Persaudaraan ABIM (sebenar ciri yang ada dalam sesebuah gerakan Islam) mencetuskan perkara yang boleh dirumuskan dalam ayat dibawah;

``Sama ada ahli-ahli ABIM berada di dalam Keadilan, UMNO mahupun Pas, mereka berkongsi persaudaraan ABIM. Persaudaraan inilah yang mencetuskan masalah dalam bentuk memecahkan Keadilan(PKN) kepada puak dan kabilah,'' .

``Seorang ahli ABIM (pemimpin yang ditarbiah oleh gerakan Islam-penulis) yang berada dalam UMNO mahu melihat ahli ABIM menguasai Keadilan (PKN) atau Pas. Demikian juga ahli ABIM dalam Keadilan (PKN) dan Pas, mereka ingin melihat ahli ABIM menjadi pemimpin penting UMNO. Masalah persaudaraan ABIM ini yang meresap dalam parti telah meresahkan kumpulan lain dalam Keadilan (PKN).''

6. Isu Pencantuman PKN dengan Parti Rakyat Malaysia

Kemenangan ahli-ahli ABIM dalam jawatan-jawatan utama akan menyukarkan proses percantuman Keadilan (PKN) dan Parti Rakyat Malaysia. Mohd. Anuar sendiri mengakui tiada agenda khusus membincangkan soal penggabungan secara rasmi dalam persidangan itu. Mohd Anuar berkata, meskipun 63.7 peratus perwakilan Keadilan-PKN dalam persidangan agung khas 24 Jun lalu, bersetuju bergabung dengan PRM, namun parti masih tidak dapat meminda perlembagaan kerana kurang dua pertiga yang bersetuju. Pindaan perlembagaan yang akan dibuat pada persidangan nanti cuma akan menyentuh aspek berkaitan keorganisasian parti. Terpulanglah kepada para pemimpin parti (yang baru) untuk meneruskan agenda pencantuman dengan PRM.


Dr. Wan Azizah (Presiden PKN) dan Mohamad Ezam (Ketua Pemuda PKN) pula mahukan pergabungan Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dipercepatkan. Mohamad Ezam dalam usul Pemuda mendesak percantuman disegerakan dalam tempoh lebih tiga bulan persidangan agung parti selesai manakala Dr. Wan Azizah berkata, partinya akan terus memperluaskan penyertaan dalam pelbagai kelompok, kaum dan penganut agama.

 

Kata Dr Wan Azizah,

``Dalam rangka ini, usul yang perwakilan luluskan pertengahan tahun ini untuk menyegerakan penggabungan dengan PRM memenuhi matlamat yang disebutkan,''

Manakala Abdul Rahman dalam interviu dengan lidah rasmi Keadilan-PKN menyatakan bahawa gabungan Keadilan-PKN dan PRM akan mewujudkan sebuah parti yang cukup kuat.

7. Isu Perbezaan Kelas dalam PKN

Perdebatan mengenai cara Keadilan-PKN harus bertindak sebagai sebuah parti politik. Golongan cendekiawan dalam PKN yang hanya mampu berinteraksi dengan kumpulan kelas menengah tetapi gagal memahami politik akar umbi. Manakala kelompok reformis dan aktivis ‘jalanan’ cenderung untuk mengamalkan pendekatan matlamat menghalalkan cara menerusi siri demonstrasi dan rusuhan.

 

Berbalik kepada penyingkiran ABIM daripada PKN dalam pada Persidangan Agung PKN dari 9 hingga 11 November 2001 di Dewan Majlis Daerah Kemaman, Terengganu.

 

Dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKN, Dr. Muhammad Nur Manuty (bekas Presiden ABIM) tewas 44 undi di tangan Bendahari Agung, Abdul Rahman Othman (Pengerusi Majlis Perhubungan PKN Johor)[4]. Sebelum pertandingan, Dr Muhammad[5] adalah nama yang disebut-sebut sebagai Timbalan Presiden PKN kerana beliau berpengalaman dalam aktivisme, ada hubungan luar dengan gerakan Islam antarabangsa, seorang cendikiawan dan bekas dekan.

Kegagalan beliau dilihat apabila pada saat-saat akhir, gelombang anti-ABIM berjaya mempengaruhi rentak pemilihan dalam pertandingan tersebut. Perwakilan sendiri kelihatan berkecamuk untuk menentukan siapakah calon pilihan, adakah Dr. Muhammad atau Abdul Rahman pada pemilihan itu. Kemenangan Abdul Rahman yang bukanlah calon popular, dan ia mungkin`dibantu' oleh salah faham perwakilan bahawa ``dia juga ahli ABIM''. Padahal Abdul Rahman telah keluar ABIM pada 1983 dan menyertai Jemaah Islah Malaysia (JIM).

 

Kata seorang pimpinan ABIM, ``Hasilnya, kita melihat tokoh ilmuwan ditolak. Walaupun di peringkat induk parti ada seorang mewakili ABIM, hakikatnya dia tidak boleh diharapkan untuk merencanakan perjuangan Islam progresif ini,''. Dr Muhammad mewakili pemikiran Islam progresif yang diharap dapat membantu Dr Wan Azizah sebagai Presiden PKN.

 

Dalam pertandingan jawatan Naib Presiden, ia dimenangi oleh Mohd. Azmin Ali, Tian Chua dan Datuk Sheikh Azmi. Kemenangan Abdul Rahman dan Azmin Ali memperlihatkan bahawa pemilihan ini dicaturi oleh kelompok bekas pimpinan UMNO dan JIM. Mantan SUA ABIM merangkap SUA PKN Mohd. Anuar Tahir cuma meraih tempat kelima manakala Ruslan Kasim menduduki tempat keempat dalam pertandingan jawatan Naib Presiden. Perbezaan undi Ruslan Kassim dengan Sheikh Azmi Ahmad hanyalah lapan undi. Sheikh Azmi Ahmad mempunyai latarbelakang ABIM dan seorang ulamak (Hakim Mahkamah Syariah).

 

Kekalahan Mohd. Anuar misalnya banyak dikaitkan dengan kecaman ke atas kegagalannya melicinkan pentadbiran parti sehinggakan lokasi persidangan agung di Kemaman turut dipersoalkan. Pada mulanya persidangan hendak diadakan di Genting Resort tetapi kerana masalah tertentu ia dialihkan ke Terengganu yang dikatakan atas kepentingan politik.

 

Kemenangan Tian Chua yang mewakili NGO Bukan Islam, aktivis hak manusia dan evengelis. Penguasaan ABIM dalam barisan 20 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) turut gagal. Begitu juga dalam kepimpinan Pemuda. Mustaffa Kamil Ayub tewas jawatan Timbalan Ketua Pemuda kepada Saifuddin Nasution Ismail tetapi jawatan Naib Ketua Pemudanya dimenangi oleh Shamsul Iskandar Md. Akin (berasal daripada PKPIM[6]).

 

Kempen berpasukan dan terdapat ‘cai’ ini mengetepikan ahli ABIM. Kempen pemilihan puak bekas Umno dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM), sibuk menghebahkan PKN akan hilang identiti pelbagai kaumnya jika bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menerajui parti itu.

 

Kelompok ABIM bagaikan ‘dikhianati’ dan diketepikan dalam ucapan dasar Presiden Keadilan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semasa perasmian persidangan agung yang terang-terang mengajak perwakilan menolak politik kabilah dan berpuak-puak.

Dr Wan Azizah berkata,

``Yang akan dipilih adalah pemimpin parti, bukan kabilah, puak atau aliran. Janganlah sampai kita ketelanjuran dalam kempen yang menjejaskan etika sihat,''

 

Penolakan terhadap ahli ABIM bermula apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Lunas, Saifuddin Nasution Ismail memenangi jawatan Timbalan Ketua Pemuda, sehari sebelum pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Pesaing Saifuddin, Mustaffa Kamil Ayub (ahli ABIM) tersingkir, kesilapan Mustaffa sendiri sengaja berkempen untuk Saifuddin semasa membacakan teks ucapan dasar Ketua Pemuda, Mohamad Ezam Mohd. Noor dikatakan mengundang kekalahannya.

 

Dr. Wan Azizah dalam sidang akhbar selepas ucapan penggulungannya menegaskan: ``Kemenangan bekas ahli- ahli UMNO dalam jawatan-jawatan utama Keadilan tidak bermakna Keadilan telah di``UMNO''kan. ``Kita semua adalah Keadilan yang datang daripada pelbagai kelompok, ABIM, Jemaah Islah Malaysia, NGO dan bekas ahli UMNO yang bersatu membentuk reformasi''.

 

Ada pandangan pihak ABIM tidak ditolak dalam persidangan tersebut. Ahli Parlimen Kemaman, YB Abdul Rahman Yusof, antara 20 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang terpilih, lapan adalah pemimpin yang berkaitan dengan ABIM. Mereka adalah Dr Mohd Nor Nawawi, Mohd Mustafa, Hamzah Zain, Rosli Ibrahim, Yahya Saari, Sheikh Azmi dan Abdul Rahman Othman.

 

Dr Wan Azizah sendiri melantik bekas Presiden ABIM, Dr. Muhammad Nur Manuty serta beberapa lagi ahli pergerakan itu seperti Mohd. Anuar Tahir, Ruslan Kasim dan Mustafa Kamil Ayub sebagai pemimpin PKN. Pelantikan ini ditolak oleh 4 pemimpin ABIM tersebut. Menurut mereka, kepimpinan baru tetap diterima dengan hati terbuka walaupun kesahihan persidangan agung tahunan telah menjadi pertikaian ahli peringkat akar umbi.

 

Dr Wan Azizah mengadakan sidang akhbar mengumumkan jawatan Bendahari Agung disandang oleh Christina Liew manakala jawatan Setiausaha Agung yang sebelum ini disandang oleh Anuar Tahir pula dijawat oleh Sahri Bahri (JIM). Lima calon yang mengisi jawatan ahli MPT Keadilan yang dilantik ialah Animah Ferrar, N. Gopalakrishnan, Khalid Jaafar, Dr. Pratap Singh Man dan Saari Sungib (JIM) yang masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

 

Presiden ABIM, Ahmad Azam Abdul Rahman kesal dengan apa yang berlaku dalam persidangan agung PKN, gerakan lobi-melobi, label-melabel, dan meletakkan orang tertentu dalam kelompok tertentu ini menyebabkan ramai ahli ABIM kalah kerana mereka diletakkan dalam satu kelompok menentang kelompok yang pelbagai - ABIM vs ahli Keadilan. Akhirnya sebahagian besar pemimpin ABIM yang berjasa kepada Keadilan telah ditolak oleh perwakilan yang terkeliru oleh strategi tersebut. Akibatnya nama ABIM terpalit, imejnya digambarkan sebagai kabilah, konservatif, tidak mampu berinteraksi dengan golongan bukan Islam, gila dan tamak kuasa, dan mahu menguasai parti.

 

Daripada pandangan Ahmad Azam, bolehlah kita merumuskan pemilihan tersebut:

1. Jasa Pemimpin ABIM tidak dihargai

Ramai ahli ABIM menawarkan diri ini boleh difahami kerana ketika penubuhan Keadilan-PKN, ramai ahli ABIM yang menyumbang ke arah penubuhannya. Bila ramai, tak semestinya ABIM berusaha untuk ambil alih Keadilan-PKN.

Jika ramai bekas ahli UMNO, ahli JIM dan NGO bukan Islam masuk menawarkan diri. Mengapa tak timbul isu ahli UMNO ingin ambil alih Keadilan. Mengapa pula timbul isu ahli ABIM sedangkan ini penglibatan individu. ABIM menghormati semua parti politik. Kita tak ada perancangan atau cita-cita untuk ambil parti tertentu.

Keputusan pemilihan parti Keadilan-PKN menampakkan seolah-olah sumbangan ABIM ketika awal penubuhan parti itu termasuk `jasa' para pemimpin ABIM yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dikatakan menyokong gerakan reformasi pada 1998 tidak dihargai langsung.

2. Kempen Dengan Fitnah dan Label-Melabel

Ahmad Azam dan ABIM mengharapkan berlaku politik baru yang menghormati kepimpinan berilmu dan hormati etika pemilihan kepimpinan. Tetapi apa yang berlaku, gerakan lobi-melobi dan isu label-melabel dan meletakkan orang tertentu dalam kelompok tertentu. Ini menyebabkan ramai ahli ABIM kalah kerana mereka diletakkan dalam satu kelompok menentang kelompok yang pelbagai. ABIM vs ahli Keadilan.

 

Strategi inilah menyebabkan ramai ahli Keadilan terkeliru dan menolak sebahagian besar pemimpin ABIM yang  banyak menyumbang dalam penubuhan dan menjayakan usaha Keadilan. Politiking yang berlaku secara langsung dan tidak langsung mengheret nama ABIM menjadikan ABIM seperti bola dan akhirnya nama ABIM terpalit, imej digambarkan sebagai kabilah, konservatif, tidak mampu berinteraksi dengan bukan Islam, gila dan tamak kuasa, nak mengawal parti.

 

Ini tuduhan-tuduhan yang memburukkan imej ABIM. Rupa-rupanya Keadilan-PKN ini nampaknya tak ada beza dengan parti lain. Sebagai pemimpin ABIM, Ahmad Azam berasa kecewa kerana imej ABIM diperlakukan sedemikian rupa dengan tidak mengira langsung sumbangan awal ABIM kepada Keadilan. Mereka tolak ahli ABIM dengan isu-isu tak benar, hanya untuk menang dalam pemilihan parti.

 

Setelah penyingkiran ini, ABIM kembali dengan idea Penyatuan Ummah dan idea pengkongsian kuasa ala Rashid Ghannousshi.



[1] ‘Walaun’ dan pentaksub Dato Seri Anwar Ibrahim . Kepercayaan atas batang tubuh Anwar ekoran pengaulan dengan Anwar. Mencipta hujah-hujah untuk menghalalkan segala perbuatan Anwar dengan prinsip ‘Aku lebih mengenali Anwar’ dan ‘Aku mengenali Anwar sudah lama’.

[2] Pemimpin PKN dalam kalangan NGO Bukan Islam kebanyakan berlatarbelakang aktivis hak asasi manusia, feminis dan evangilis.

[3] Terdiri daripada mantan pelajar MCKK, Yayasan ANDA dan mantan pemimpin gerakan mahasiswa.

[4] Bekas ahli jawatankuasa bahagian UMNO Muar. Dia dijangka meraih undi solid terbanyak daripada perwakilan Johor yang merupakan kedua terbesar selepas Perak. Dr.Muhammad Nur tidak memperoleh sokongan padu daripada badan perhubungan Perak diketuai Khalil Shah Jamaludin yang mencalonkan diri ke jawatan Naib Presiden. Jelas disini Dr. Muhammad tiada ‘pengkalan’ atau kubu kuat untuk beliau bertapak kukuh pada peringkat bawah dalam PKN. Dr. Muhammad mempunyai ramai kenalan dalam kalangan pemimpin tetapi kurang berpengaruh dalam kalangan ahli dan perwakilan.

[5] Walaupun Dr Muhammad tidak mempunyai pengalaman politik tetapi dijangka mendapat sokongan 80 peratus daripada pengerusi-pengerusi perhubungan negeri yang rata-rata terdiri daripada ahli ABIM. Antara bekas dan ahli ABIM ialah Pengerusi Keadilan Kedah, Datuk Sheikh Azmi Ahmad, Mohd. Anuar (Perlis), Omar Jaafar (Melaka), Ruslan Kassim (Negeri Sembilan) dan Ketua Pemuda Keadilan Sarawak, Zul Rusdi Talib

[6] Pada permulaan penubuhan Pemuda PKN. Antara penggerak utamanya ialah mantan Presiden PKPIM, Asyraf Wajdi Mohd Dasuki. Beliau menarik diri atas tekanan Tun M melalui bapa beliau.

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...