Monday, October 24, 2016

Garis Besar Pegangan Asasi Manusia Baik

“Tiada nikmat paling besar bagiku iaitu hidayahNya, cara hidup berdasarkan panduan daripada Allah dan RasulNya. Cukuplah Islam bagiku. Perangilah segala pemikiran bersandarkan humanisme dan sekularisme agar pemikiran dan cara hidup manusia kembali kepada Tuhan Yang Hak dengan dalil dan pendekatan berhikmah
Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias
Perkara yang digariskan di bawah rumusan yang biasa dibuat oleh para ulama, sarjana-pemikir Islam dan tokoh-tokoh Islam. Ia bukanlah suatu yang baru melainkan dihimpunkannya sekali dalam satu ‘cawan’. Maka, 10 Garis Besar Pegangan Asasi Manusia Baik kita ambil sebagai pegangan asasi kita dalam Kerangka Pemikiran, Pandangan Alam dan Pendekatan kita dalam berfikir dan bertindak. Pertahankan Garis Besar Pegangan Asasi Manusia Baik agar kita tidak terbabas mengikut nafsu syahwat, naluri, persepsi, ramalan dan fitnah yang meliar dalam kalangan manusia pada hari ini.
“Manusia Baik ialah manusia yang beradab yakni orang yang insaf sepenuhnya bertanggungjawab dirinya kepada Tuhan Yang Hak; memahami dan menyelenggarakan penunaian keadilan terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; yang terus berupaya meningkatkan setiap aspek dalam dirinya menuju kesempurnaan sebagai insan adabi”[i]
Garis Besar Pegangan Asasi Manusia Baik memberi satu garis yang bukannya taksub kepada aliran pemikiran, tokoh dan kelompok tertentu. Ketaatannya hanya kepada Allah SWT, Rasulullah SWT dan Islam itu sendiri.
Maka, teliti dan genggamnya dengan bara api, tanam dalam kerangka pemikiran, semat dihati dan tekad dalam tindakan kita semua.
1.      Islam adalah Addin (cara hidup) bukan sekadar agama.
2.      Islam adalah Syumul (Keseluruhan) mencakupi keseluruhan kehidupan manusia secara kebersamaan dan holistik sama ada melalui individu, dalam keluarga, masyarakat dan negara.
3.      Islam adalah kekuatan dalil , hujah dan sumber hujah. Dalil dan hujah Islam bersumber al Quran dan al Sunnah diikuti dengan ijtihad ulama yang muktabar.
4.      Islam adalah kesederhanaan (wasatiyyah) bukannya kezaliman dan penindasan
5.      Islam adalah mudah sesuai mengikut kemampuan seseorang manusia. Islam mensejahterakan rakyat dan negara tanpa mengira darjat, agama dan kaum.
6.      Islam adalah suri teladan daripada Rasulullah SAW (akhlak dan pendekatan berhikmah). Tiada taksub kepada para ulama, tokoh Islam atau sarjana Islam terutamanya yang masih hidup kerana hati manusia sentiasa berbolak balik.
7.      Islam adalah Islah. Membaiki diri, keluarga, masyarakat dan negara ke arah lebih baik dan beraqidah.
8.      Islam adalah keadilan dan samarata serta sama taraf. Tiada kasta dalam Islam.
9.      Islam adalah relevan sepanjang zaman dan sepanjang masa serta dimana sahaja Islam berada.
10.  Islam bernegara dengan bersumberkan kemahuan rakyat. Kedaulatan Tuhan berdasarkan ketuanan Rakyat. Oleh itu, kehendak majoriti rakyat, sejarah dan situasi semasa (realiti) sangat penting dalam kewujudan sebuah Negara Islam.
Islam bergerak membawa iman dan taqwa bersumberkan al Quran dan al Sunnah dalam pemeringkatan hidup kita dari hati dan akal sebagai individu, keluarga Islam, masyarakat, daulah, khalifah, empayar dan ustaziatul alam dinamakan maratib amal.
Manusia Baik kembali kepada Tuhan Yang Hak. Dengan pengembalian kepada Tuhan Yang Hak, darjat kemanusiaan itu telah dimartabatkan.


[i] Rujuk tulisan Dr Syed Muhammad Naquib al Attas.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...