MAHASISWA SEBAGAI KARYAWAN ILMIAH MUDA: SATU CABARAN
MOHAMAD RIDHWAN BIN ALIAS
tokawang_sufi@yahoo.com
Karyawan merupakan insan istimewa yang mempunyai pengaruh agak luas di dalam masyarakat. Sesetengah karyawan yang mendominasi media massa dapat mengawal pengarahan fikiran rakyat. Karyawan lahir daripada gabungan idea insan pemikir dan penterjemah. Buah pemikiran karyawan dalam bentuk dan medium yang pelbagai mampu membentuk pemikiran, kepercayaan dan akhlak manusia.
Sebagai kelompok yang terdedah dengan kegiatan ilmiah, para mahasiswa seharusnya mengambil semangat keilmuan di universiti untuk berkarya. Perpustakaan universiti sendiri merupakan sumber keilmuan yang cukup perkasa dengan bahan-bahan rujukan. Selain itu, pendrafan awal hasil karya juga boleh dibincangkan dengan para sahabat dan pensyarah yang akan memberikan kepelbagaian maklumat dan kritikan. Kedua-dua kelebihan ini membolehkan hasil karya mahasiswa lebih berkualiti dan bersifat ilmiah. Oleh sebab itu, wajarlah mahasiswa ini digelarkan karyawan ilmiah muda yang membezakan dengan karyawan biasa yang hanya tertumpu kepada faham sastera sahaja.
Menurut Datuk Dr. Nik Safiah Karim, karyawan ilmiah adalah pekerja berilmu, berfikir, melakukan keputusan berteraskan ilmu pengetahuan dan menyerlahkan ciri-ciri kepimpinan. Mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda perlu berani tampil mendepani permasalahan sosial, politik dan ekonomi. Penghujahan karyawan ilmiah muda perlu berdasarkan kemapanan antara analisa, fakta dan cadangan membina. Kemapanan ini perlu bagi melahirkan hasil karya yang tidak dicemari unsur-unsur prasangka, dendam dan tuduhan melulu.
Karyawan ilmiah muda perlu mempunyai dimensi penulisan yang agak luas. Hasil karya mereka bukan terhad kepada bidang kesusasteraan sahaja tetapi mencakupi keseluruhan fakulti keilmuan seperti ilmu astronomi, teknologi, agama, kesihatan atau sains sosial. Kebolehan karyawan ilmiah muda yang multidimensi membolehkan mereka bersifat dinamika semasa memdiskusikan sesuatu isu.
Dalam satu wawacara, Fatimah Busu seorang pensyarah ilmu kemanusiaan USM telah membicarakan tentang penerapan teori 3 Darma ke dalam gerak kerja mahasiswa sosialis di USM pada tahun 1970an. Teori 3 Darma meliputi dasar mengkritik, mengintegrasi dan mengkaji. Penulis berpendapat teori ini boleh digarap dalam penulisan para karyawan ilmiah muda. Mahasiswa perlu bersikap kritikal terhadap isu-isu massa dengan melakukan kritikan di samping memberi cadangan membina untuk mengatasi isu tersebut. Antara isu yang boleh mahasiswa tangani adalah isu pengangguran, isu masyarakat pinggir bandar dan isu peningkatan kualiti rakyat di desa.
Penulisan mahasiswa juga perlu bersifat integrasi dimana isu-isu yang diperjuangkan seharusnya merentasi sempadan kaum, ras, agama dan geografi. Dengan ini perjuangan mahasiswa akan diterima oleh masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk. Sesuai dengan status mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda, elemen mengkaji menjadi tunjang kepada penghasilan karya mahasiswa. Satu kajian terperinci dan berterusan perlu dilakukan terhadap fakta-fakta dengan analisis yang jitu. Hasil kajian ini akan diterjemahkan ke dalam karya untuk santapan masyarakat.
Perterjemahan idea mahasiswa boleh dilakukan dalam pelbagai genre termasuk puisi, novel, cerpen atau rencana. Presiden Persatuan Bahasa Melayu USM, Fatimah Sham Hamid Tuah pernah mengkritik dasar-dasar universiti melalui cerpennya yang bertajuk Surat Dari Minden dalam Dewan Sastera pada tahun 1970an. Kritikan ini secara halus dan tersirat agak sukar ditangani oleh pihak penguasa kerana hasil sastera merupakan cerita kreatif. Kritikan yang menarik dalam hasil karya sastera dapat dilihat dalam tulisan karyawan profesional seperti Azizi Abdullah, Shahnon Ahmad dan Affandi Hasan.
Hasil karya merupakan satu wasilah kepada permindahan ilmu, maklumat dan amanat pimpinan kepada audien pembaca dan para pengikut sesuatu aliran atau jemaah. Mata pena merupakan senjata yang amat tajam dan paling lama dapat bertahan. Syed Naquib al Attas menyatakan hasil karya merupakan sumbangan yang bersifat kekal abadi daripada kerajaan, negara, dan tindakan manusia yang akan lupus. Di Mesir, pemerintah Mesir berjaya menghukum as Syahid Iman Hasan al Banna dan as syahid Syed Qutb secara fizikal, dan menumbangkan institusi seperti Ikhwanul Muslimin seranap mungkin tetapi pemerintah Mesir gagal mematikan gagasan pemikiran Ikhwanul Muslimin yang terus hidup dalam hasil karya seperti Petunjuk Sepanjang Zaman dan Risalah Ta’alim.
Walaupun karyawan bukan seorang pemimpin institusi, tetapi karyawan dalam setiap institusi merupakan tonggak yang begitu berpengaruh tanpa kuasa pimpinan. Lihatlah hasil karya Syed Qutb, Said Hawwa, Malek Bennabi, Syed Naquib al Attas, Ismail al Faruqi, dan Yusuf al Qaradawi yang banyak mempengaruhi pemikiran gerakan Islam di seluruh dunia. Kebanyakan karyawan ilmiah ini dianggap tokoh ideolog yang merancang halatuju perjuangan gerakan tanpa kuasa arahan yang dimiliki oleh pimpinan institusi.
Keterlibatan mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda pernah memeriahkan dunia penulisan semasa zaman kegemilangan gerakan mahasiswa pada tahun 1970an. Mahasiswa mempunyai medium yang tersendiri seperti akhbar Mahasiswa Negara, Berita Pelajar, Suara PBMUM dan Berita Kampus. Akhbar ini merupakan suara perjuangan mahasiswa dengan hasil karya mahasiswa dalam bentuk sastera dan rencana yang bersifat responsif terhadap isu-isu antarabangsa, nasional dan kampus. Dalam dimensi inilah lahirnya karyawan ilmiah muda berbakat yang kini telah mencipta nama dalam persada akademik, politik, kebudayaan dan pentadbiran. Antaranya ialah Muhamad Abu Bakar, Ahmad Sebi, Johan Jaafar dan Mansor Ahmad Saman.
Kini kegemilangan akhbar mahasiswa dilihat layu, selayu dengan perkembangan mahasiswa generasi baru. Ketiadaan medium di dalam kampus menyebabkan mahasiswa bertindak mencari medium di luar kampus yang bersifat simpatis kepada nasib gerakan mahasiswa seperti akhbar Watan, Eksklusif, Tamadun, Tunas Cipta dan MINDA. Maka muncullah segelintir mahasiswa sebagai karyawan ilmiah generasi baru yang berbakat dan berstatus pemimpin mahasiswa seperti Mukthar Suhaili [UIA], Muhd Raimi Abdul Rahim [PKPIM] dan Muhamad Ramadan Fitri [UM]. Selain itu, terdapat juga mahasiswa sebagai karyawan muda yang non-pimpinan dan menumpukan kepada penulisan sastera kreatif dan rencana sastera seperti saudara Dahri Zakaria, Anjan Ahzana dan Jimadie Shah atau penulis dari Kelab Intelektual Muda UIA, Sekretariat Muda GAPENA, dan Kelab Seni Jalan Telawi.
Sebenarnya, ketiadaan akhbar atau majalah di peringkat kampus telah memandulkan bakat mahasiswa dalam penulisan, membantut keintelektualan para mahasiswa untuk berdialog dengan pelbagai sumber keilmuan dan menghilangkan kebersamaan mahasiswa dalam menyelesaikan isu-isu masyarakat. Akibatnya, tenaga-idea mahasiswa diarahkan kepada perkara yang bersifat remeh ala ‘pelajar TABIKA KEMAS’ seperti festival nyanyian dan perbarisan hari kemerdekaan di dalam kampus yang dilakukan pada waktu malam. Bukan tidak boleh melakukan perkara tersebut tetapi biarlah mahasiswa melakukan perkara yang lebih gah sesuai dengan tahap keintelektualan mereka.
Karyawan ilmiah muda harus kenal diri, memahami tanggungjawab dan peranan bakal mereka pikul. Peranan dan tanggungjawab mereka perlu dibina di atas status mereka sebagai muslim atau berpaksi nilai-nilai ketimuran. Karyawan ilmiah muda yang baik adalah karyawan yang mempunyai ketinggian mutu dalam budaya, akhlak dan pemikiran serta berupaya membentuk watak manusia melalui penanya. Mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda tidak seharusnya tahu bermuluk-muluk dengan pena sahaja tetapi perlu menunjangkan penulisan mereka kepada kesedaran dan penghayatan nilai-nilai moral dan agama yang semakin tercabar ke dalam kelakuan amali.
Cabaran karyawan ilmiah muda ialah membebaskan diri daripada kejahilan yang dipelopori karyawan komersial. Karyawan jenis ini menyalurkan maklumat picisan dan hiburan ke dalam penulisannya. Kisah gosip, sensasi dan cacian menjadi teras hasil karya karyawan komersial yang hanya mencari populariti dan habuan material. Karyawan ilmiah muda perlu menghasilkan karya yang sarat dengan ilmu yang murni dan bermanfaat. Ilmu yang bertunjang fakta dan kajian serta tunduk kepada arahan al Quran dan hadis. Mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda tidak seharusnya bersifat fakir ilmu yang digambarkan sebagai ‘rubbish in, rubbish out’. Tanpa kekuatan ilmu, hasil karya mereka akan dianggap sampah pemikiran yang mengelirukan akal budi pembaca.
Hasil karya karyawan ilmiah muda haruslah dibersihkan daripada sifat mencari kenikmatan dunia melalui habuan material. Seorang karyawan agung adalah karyawan yang membebaskan dirinya daripada penggadaian ilmu, akhlak, bersifat profesionalisme dan menjaga maruahnya bukan untuk keuntungan dunia yang sementara. Sifat tamak dunia ini disifatkan oleh Iman Ibnu Athaillah al Iskandari dalam kitab Matan al-Hikam, sebagai memanjang dahan kehinaan manusia dimana biji tamak akan bercabang-cabanglah dahannya dan ranting-rantingnya. Mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda mesti memerdekakan diri dan minda agar tidak terpengaruh dengan pujukan yang bersifat material. Kejujuran dalam hasil karya akan melahirkan karyawan yang berautoriti dan berwibawa.
Karyawan ilmiah muda perlulah bertunjangkan kepada tradisi Melayu-Islam iaitu melahirkan hasil karya yang disuluhi oleh ajaran al Quran, hadis dan tradisi ketimuran. Penularan fahaman humanisme yang ekstrem di kalangan karyawan muda sangat membimbangkan terutamanya karyawan muda yang bernaung di bawah Kumpulan Universiti Bangsar Utama [KUBU]. Kekaguman ini terserlah dalam hasil karya mereka yang bersifat erotik, mempersoalkan agama dan memuja idea-idea humanisme secara taksub. Tanpa suluhan agama, karyawan muda akan mengutip hasil keringat mereka hanya di dunia yang bersifat sementara dan habuan di negeri akhirat ditinggalkan demi fantasia faham humanisme mereka yang mengelirukan akal pembaca.
Karyawan ilmiah muda juga perlu mempunyai jalur perjuangan yang tersendiri dimana mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda perlu tegas dengan idealis dan pendirian yang tersendiri tanpa dibelenggu idealis kelompok-kelompok berkepentingan. Mereka perlu menyedari tentang seni perbezaan pendapat dan berfikiran rasional dengan pendapat yang menentang pendapat mereka. Ingatlah setiap hujah yang bertentangan adalah rahmat kerana karyawan ilmiah muda boleh berdialog dengan sumber yang lain dan sekaligus mempertahankan hujah karyawan ilmiah muda dengan fakta ilmiah. Jika hujah karyawan ilmiah muda tersilap, akuilah kesilapan dengan sifat keterbukaan. Inilah sifat karyawan yang unggul hati nuraninya.
Akta Universiti dan Kolej Universiti[AUKU] dilihat satu regalia yang menghalang pengarapan idealis mahasiswa di dalam media massa. Bahagian III Perkara 15 dan 16 dalam AUKU telah memandulkan pemikiran dan aktiviti mahasiswa di universiti termasuklah menyekat hak mahasiswa membuat kenyataan akhbar dan menulis dalam media massa. Sebenarnya, setiap penulisan perlu mendapat kebenaran daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar akan mengancam kebebasan akademik mahasiswa. Mahasiswa perlu berani menongkah arus AUKU selagi tiada unsur propaganda atau hasutan yang mengancam keselamatan negara dalam penulisan mereka. Justeru, keberanian beberapa pimpinan mahasiswa telah membuktikan mereka boleh menangani isu politik dengan baik perlulah dipuji dan dikagumi. Kita harus membezakan antara isu politik dengan politik kepartaian. Perbedaan ini diharap menjadi indeks bagi karyawan ilmiah muda dalam menyelusuri isu-isu politik semasa.
Keseluruhannya, mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda adalah satu cita-cita yang belum mantap dalam pelaksanaannya. Mahasiswa perlu pantas mengambil peluang di universiti bagi menggarap potensi diri supaya kelahiran karyawan ilmiah muda yang berkualiti, berakhlak, berilmu dan bertakwa dapat direalisasikan. Pengayuh sampan ditangan mahasiswa, atas budibicara mahasiswalah untuk mendayung sampan kehidupan ini ke arah positif atau negatif.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment