PBMUM: SATU PERJUANGAN
Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias*
tokawang_sufi@yahoo
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBM) dan Universiti Malaya adalah dua nama yang tidak dapat dirungkai dalam sejarah gerakan pelajar. PBM telah membuktikan keunggulan mereka dalam gerakan pelajar terutamanya mendaulatkan Bahasa Melayu. Kini, PBM semakin sunyi, sepi dan lesu sehingga maqam yang dimilikinya ketika dahulu semakin luntur. Artikel ini bertujuan mengimbau kembali kenangan PBM sebagai gerakan pelajar yang terunggul di negara ini.
PBM ditubuhkan pada 29 Januari 1955 di Singapura dengan ahli seramai 47 orang. Kelahiran utama PBM disebabkan mahasiswa Melayu terasa tercabar dengan cadangan segelintir pemimpin mahasiswa Melayu dalam forum radio yang menggesa sekolah Melayu dihapus dan diperluaskan penggunaan bahasa Inggeris. Pemimpin guru Melayu telah memcabar mahasiswa Melayu lain agar membuat respon terhadap isu ini pada tahun 1953.
Pada peringkat awal iaitu tahun 1955-1965, aktiviti PBM lebih kepada aktiviti bahasa dan kebudayaan. Mereka lebih banyak mengadakan forum dan aktiviti kebudayaan. Aktiviti PBM untuk menghidupkan kembali kebudayaan Melayu dengan aktiviti bahasa, seni dan sastera. Kegiatan pada tahap ini tertumpu di dalam kampus sahaja.
Pada tahun 1965-1971, zaman perjuangan PBM telah bermula. Pada tahap ini perjuangan PBM berimej nasionalis-sosialis yang bebas daripada pengaruh luar. ‘...perjuangan PBMUM sekarang ialah merangkumi setiap aspek perjuangan termasuk politik, ekonomi, pelajaran, sosial dan sebagainya.’[1] Antara isu yang diperjuangkan oleh PBM adalah isu Bahasa Melayu, Dasar Pelajaran Kebangsaan, isu rakyat luar bandar (penerokaan tanah diTeluk Gong) dan penubuhan UKM. Pada waktu inilah munculnya Sanusi Osman, seorang mahasiswa sosialis yang bersama-sama berjuang dengan wira tanah rakyat negara, Pak Hamid Tuah. Episod ini menandakan zaman radikal gerakan pelajar.
Pada tahun 1971-1974 kita dipaparkan dengan dua tahap pengaruh dalam PBM. Pada tahap pertama PBM telah dikawal oleh PKPIM dan ABIM melalui pengaruh Anwar Ibrahim dan Noordin Razak. Pada tahap ini, PBM berimejkan Nasionalis-Islamis lebih banyak bersama PKPIM dan ABIM. Mereka bersama-sama telah memperjuangkan Isu Penindasan Orang Pathani oleh kerajaan Thai. Pada tahap kedua, team Anwar Ibrahim telah tumpas kepada Mahadzir Khir[2] yang bersifat nasionalis yang cuba merapati kerajaan dan universiti. Team PBM nasionalis pro universiti ini telah menunjuk taring apabila mengagalkan rampasan kuasa universiti oleh PMUM setelah peristiwa Tasek Utara.[3] PBM di bawah pimpinan Aziz Shamsuddin[4] mewujudkan Majlis Tindakan Negara(MTN) mengagalkan usaha Majlis Tindakan Sementara(MTS) yang didokongi oleh PMUM.[5] MTN bersama kerajaan dan penguasa varsity telah membantai MTS (PMUM) di bawah pimpinan Kamarazaman Yaacob dan Hishamuddin Rais.
Perbalahan ini cukup hebat kerana ia melibatkan peperangan ideologi Nasionalis-Melayu vs Sosialis. Kolej yang dikuasai oleh juak sosialis seperti kolej kelima telah menghalang lawatan juak MTN dan hampir mencetus pengaduhan. Kekuatan PBM ketika ini cukup hebat kerana berjaya menghindari pengaruh Anwariyyun dan menentang golongan popular universiti, Kelab Sosialis Universiti Malaya yang menguasai PMUM.
Pada tahun 1974-1980, PBM tampak lesu seperti persatuan lain ekoran dimandulkan oleh Akta Universiti dan Kolej (AUKU) 1975. Imej nasionalis berkurangan dan aktiviti PBM lebih kepada kemasyarakatan dan diskusi ilmiah. Idealis gerakan pelajar yang murni hampir tiada. Suasana lesu berterusan sepanjang tahap ini.
Pada tahap 1980-1990, PBMUM mula melakukan respon terhadap isu semasa. Unsur Islamis kembali kelihatan dalam PBMUM, contoh Husam Musa[6] selaku Setiausaha Agung PBMUM telah membidas kenyataan bertulis seorang ahli parlimen UMNO yang meremeh ajaran Islam. Selepas kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO, pengaruh PKPIM dan ABIM berjaya ditumbang dalam saf pimpinan PMIUM oleh team PMIUM revolusi Iran yang Pro PAS.[7] Sebagai alternatif anasir-anasir PKPIM dan ABIM cuba menyusupi PBM setelah lama mendominasi PMIUM dan berjaya mengawal keseluruhan PBM pada tahun 1990-2000. Tahap ini muncullah Saifuddin Abdullah, Fuad Zakarshi (tokoh UMNO Johor) dan Fakrulrazi.
Pada tahun 1990-2000, pada awal dan pertengahan 1990an, PBM telah menjadi sarang PKPIM-UM di Universiti Malaya. Imej PBM lebih Islamis ala ABIM-PKPIM. Sokongan PBM hampir seimbang dengan PMIUM dan pada satu masa wakil PMIUM (Nadi) dan PBM (melalui BMB) saling tumbang-menumbang dalam pilihan raya kampus. PBM pro universiti ekoran hero mereka iaitu Anwar Ibrahim bersama kerajaan.
Perjuangan PBM [proksi PKPIM-UM] kembali bersifat oposisi apabila Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan. PBM bersama Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya (GMUM) telah mengalahkan calon-calon pro Hal Ehwal Pelajar (HEP) – Majlis Gerakan Mahasiswa Universiti Malaya (MGMUM). Walau bagaimanapun, taring PBM semakin tumpul pada akhir 1990an. Ketiadaan pelapis dalam barisan kepimpinan menghilang suara PBM dalam perjuangan isu kampus dan nasional. Anasir PKPIM juga semakin pudar warnanya dalam mempengaruhi PBM dan PKPIM-UM sendiri gagal membekal benih-benih pimpinan yang berkualiti secara berterusan untuk PBM. Kini, arah idealis PBM perlu diberikan nafas baru oleh pimpinan PBM agar terus relevan di UM.
Isu Bahasa Melayu.
PBM dan BM bagai isi dengan kuku. Nama PBM pasti tersemat dalam perjuangan mendaulatkan BM di bumi Malaysia ini. PBM telah mencela kenyataan Tunku Abdul Rahman dan Khir Johari kerana mengatakan BI akan dijadikan bahasa rasmi disamping BM. PBM memberi amaran ‘jika hendak mengelak pertumpahan darah, soal BM sebagai bahasa kedua tidak harus ditimbulkan.’
Isu Penduduk Luar Bandar.
Pada tahun 1967, PBM mengadakan Simposium Penduduk Luar bandar bagi mengkaji masalah masyarakat luar bandar. PBM pada masa ini dibawah pimpinan Sanusi Osman[8] yang berfahaman sosialis (ahli Kelab sosialis Universiti Malaya). Hasil daripada simposium ini telah menyedarkan mahasiswa tentang keadaan masyarakat luar bandar. Respon utama adalah peristiwa Teluk Gong.
Jelas, PBM dulunya sebuah gerakan pelajar radikal telah berevolusi menjadi gerakan pelajar ‘biasa’. Zaman telah meluruskan perubahan agar PBM bersama-sama arus perdana. Perkataan lawan dan kritik gerakan pelajar dianggap propembangkang dan menentang universiti. Inilah kedangkalan pemikiran orang kita walaupun berderet-deret kepingan ijazah. Kini, keunggulan PBM menjadi sejarah, sejarah bisu yang menjadi agenda telah melahirkan ramai lagenda..
* Penulis pernah menjadi EXCO PBMUM dan kini berkhidmat sebagai pendidik. Mengenang saat indah bersama PBMUM. Terima kasih kepada para pimpinan PBMUM spt Osman, huda, ida dan pimpinan PKPIM sdri Amani, Helmi, Man, mamat. Aku merindui korang..
[1] Suara PBMUM, 1966.
[2] Setiausaha Parlimen Kemen. Pendidikan (2003)
[3] Pada masa ini, kekuatan PMUM dihalakan ke Tasek Utara.
[4] Timbalan Menteri Pendidikan (2003)
[5] Tindakan PMUM disokong oleh semua persatuan anak negeri dan persatuan di UM kecuali Persatuan silat Gayung dan PBMUM. MTN telah menculik Presiden PMUM. Lihat Kamaruzaman Yaakob, Bersama Anwar Ke Penjara.
[6] Aktif dalam PAS.
[7] PAS didokongi oleh ahli ABIM yang thiqah terhadap perjuangan asal ABIM seperti Fadzil Noor, Haji Abdul Hadi Awang, Haji Nakhaie Ahmad.
[8] Aktif dalam Parti Rakyat Malaysia(PRM).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment