Tuesday, December 08, 2009

Taniah Dzul


Taniah saudara dzulkhairi dan pasangan kerana sudah berkahwin. Semoga bahagia di dunia dan akhirat.

Saya mula mencoret tentang gerakan mahasiswa pada zaman beliau ketika beliau mendakap jawatan Presiden PMIUM. satu promosi hebat, dikatakan bakal presiden PMIUM seorang hafiz dan ala Saudara ramadhan fitri.

Kemudian beliau menjadi Presiden GAMIS yang berjaya dan penuh kontroversi serta reformasi.

taniah saudara dzulkhairi. semoga bahagia di sini dan di sana.

mamat.com a.k.a Ridhwan

Thursday, December 03, 2009

Mahasiswa: Ilmu Vs Politik

Ilmu vs politik

Apabila saya memasuki kelas pertama, samada kuliyah atau tutorial hati saya berdebar-debar. Saya tidak kenal sesiapa. Saya memang bersendirian. Saya tahu ramai pelajar sangat teruja dengan gerakan mahasiswa, semua pelajar saya dengar mereka berbincang soal persatuan, aktiviti dan banyak perkara yang luar biasa bagi saya. Kampus UM begitu besar, pelbagai ragam dan rencam. Saya mula mengenali gerakan mahasiswa, tetapi saya masih keliru kenapa dikaitkan dengan politik, politik kampus dan politik negara.

Saya cuba memastikan setiap kali memasuki kuliyah atau tutorial, saya menyediakan diri. Subjek Pengantar Pemikiran Islam sedikit sebanyak membentuk pola fikir saya sehingga hari ini. Bagi saya subjek itu agak susah, tetapi amat menarik. Secara rawak pensyarah akan memilih pelajar membentangkan satu tajuk sewaktu kelas tutorial. Jadi setiap minggu pelajar perlu bersedia kerana tidak dipastikan siapa yang akan membentang.

Pada minggu pertama dan kedua seingat saya pelajar lelaki yang membentang, mereka senior saya. Suatu kali tutorial itu, pensyarah memanggil seorang pelajar lelaki juga, tetapi dia langsung tidak bersedia. Dia langsung tidak membaca sebarang muka surat di dalam kitab Al-Tauhid Ibn Taymiyyah itu. Dia tidak keruan di hadapan kelas, kami semua ketakutan. Pensyarah bertanya langsung tiada jawapan, dia diam.

Pensyarah saya tidak marah, tetapi saya tahu dia agak kecewa dengan pelajar yang tidak bersungguh. Satu kata-kata beliau yang saya masih ingat "Antum kenalah berlaku adil terhadap ilmu. Kalau politik antum terlalu memberi perhatian, ilmu sepatutnya lebih lagi". Kata-kata itu saya pegang sehingga kini.

Pengajaran

1. Petikan artikel diambil daripada blog kak diqma(albazrah.blogspot). kak Diqma terkenal pelajar yang bijak dan ‘unik’. Beliau seorang yang terlalu serius terhadap ilmu.

2. Tugas asasi pelajar adalah menuntut ilmu bukannya berpolitik kepartian. Jangan tinggal belajar demi politik kepartian.

3. Gerakan mahasiswa dilihat sebagai gerakan politik. Tidak bolehkah gerakan mahasiswa dilihat gerakan intelektual, gerakan pencegahan masalah sosial, gerakan dakwah(tanpa politik), gerakan kepenggunaan dan alam sekitar atau gerakan anti kemiskinan dan kebajikan. Boleh atau tidak?.

4. Mahasiswa perlu peka politik tetapi jangan berpolitik kepartian. Tanpa peka politik, kita akan buta tentang kejahatan orang politik. Boleh terima kenyataan ini?.

5. Kata kunci artikel tersebut "Antum kenalah berlaku adil terhadap ilmu. Kalau politik antum terlalu memberi perhatian, ilmu sepatutnya lebih lagi". Ini sebenarnya tanggungjawab pelajar.

Nota: Kak Diqma adalah senior isteri saya semasa di UM (kalau tak silap KISAS juga). Kini mengikut suami dan belajar di Sudan (PhD).

Tuesday, December 01, 2009

ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN: DINILAI PADA HARI KEMATIAN?


Manusia adalah makhluk yang akan berubah sama ada dalam bentuk fizikal, pemikiran, emosi dan paling besar ialah hidayah. Perubahan ke arah positif adalah terpuji, manakala perubahan ke arah negatif adalah mencelakakan. Inilah yang membimbangi kita jika kita tergolong dalam golongan yang mempunyai penghabisan nafas terakhir dalam golongan celaka bukannya berhidayah.

Terbaca saya dalam sebuah buku yang memetik kata masyhur daripada John Maynard Keynes:

‘Apabila fakta berubah, saya mengubah fikiran saya’

Jika memperolehi fakta yang baru, kebarangkalian seseorang untuk berubah pemikirannya adalah tinggi. Jika ditambah dengan dorongan material dan emosi (pujukan syaitan, nafsu dan orang tersayang dan berkepentingan), istiqamah dalam perjuangan akan layu. Teringat saya ketika TG Fadzil Noor meninggal dunia, TG Haji Hadi berkata dalam maksud lebih kurang begini ‘beruntung ustaz kerana matinya dalam perjuangan, kita belum tentu lagi’. Sejarah membuktikan Ustaz Nakhaie (mantan Naib YDP PAS Pusat), Ustaz Latif Besut, Ustaz Mustafa Taib, Ustaz Mohamad Nor Deris dan Dato Asri meninggalkan perjuangan sedangkan mereka bukan sebarangan pimpinan. Mehnah dan jasa mereka jangan kita persoalkan. Tak termampu dijangkaui kita.

Dalam soal pemikiran, ramai pemikir tidak istiqamah akan perjuangannya. Pemikir Islam seperti Nucholis Majid atau Cak Nur(mantan pimpinan Himpunan Mahasiswa Islam Indonesia-HMI) dididik oleh Buya HAMKA telah beralih arah kepada pemikiran liberal. Begitu juga Abdul Rahman Wahid atau Gus Dur (pimpinan Nadhatul Ulama) yang pada mulanya berfikiran tradisional Islam berubah kepada pemikiran liberal. Tidak terkecuali Dato Seri Anwar Ibrahim yang dididik-bersahabat oleh ramai pemikir dan ulama ternama seperti Syed Naquib al Attas (ideolog utama Anwar semasa zaman mahasiswa), Dr Yusof Qaradhawi dan Dr Ismail al Faruqi telah beralih arah kepada pemikiran liberal.

Dalam politik, tokoh-tokoh pro mahasiswa menggugat seperti Johan Che Pa, Saifudin Nasution, Mustafa kamil Ayub, Asraf Wajdi Dasuki, Ahmad Shabery Cheek, Saifudin Abdullah( Presiden PBMUM yang dipayungi PKPIM-ABIM), Ibrahim Ali, Kamarudzaman Yaakob, Ahmad Zahid Hamidi, semuanya menongkah arus menyokong parti nasionalis-kapitalis yang ditentang mereka.

Amat sukar untuk kita mengagumi tokoh yang belum mati kerana mereka boleh berubah. Kekaguman kita harus bertempat dan berkadar serta cuba memahami mereka boleh berubah. Jika mereka berubah, kita tentang!.

Untuk mengkaji dan mengagumi idea tokoh luaran daripada pemikiran kita, tiada masalah. Mengkaji dan mengagumi mereka bukan bermakna kita menyokong mereka. Apapun terlebih afdal kita menolak terus idea berasaskan pemikiran manusia yang bernafsu tersebut.

Saturday, November 21, 2009

Falsafah yang Melemaskan

Imam al Ghazali pernah tenggelam dalam dunia falsafah dan material sehingga akhirnya beliau kembali mencari Tuhan.

Perbincangan persoalan falsafah dan fahaman tertentu selalu diadakan oleh PKPIM dan mahasiswa aliran kiri. Pada zaman saya, mahasiswa aliran kiri(anataranya mahasiswa sosialis, nak jadi marxis-komunis) mereka bertapak di Bangsar Utama di bawah payung Universiti Bangsar Utama dimentori oleh Hishamuddin Rais. Manakala PKPIM lebih menyukai idea kupasan intelektual muslim seperti Syed Muhammad Naquib al Attas dan Dr Yusof Qaradhawi. Perbincangan seronok, mengerakkan akal dan dapat idea baru tetapi sampai bila kita nak bercengkerama dalam bilik kuliah sahaja.

Kebaikan mengkaji falsafah atau fahaman inii ialah ia dapat membentuk ‘akar-tiang’ sesuatu gerakan. Dengan akar-tiang ini kita bangkit membentuk pendekatan. Kesatuan melalui resolusi pemikiran yang dibina kita akan laksanakan. Persoalan yang timbul, berapa keratkah resolusi pemikiran yang telah diseminarkan, dikuliahkan dan berada dalam buku itu dipraktikalkan?.

Maknanya, perbincangan tersebut hanya untuk memuaskan nafsu keseronokan minda dan bermegah-bijak sahaja.

Ya, untuk melawan falsafah dan fahaman kafirin seperti sekular dan Islam Liberal, kita harus mempelajari falsafah. Tidak semua orang perlu mempelajarinya. Boleh belajar, jangan sampai lemas didalamnya.

Imam Hassan al Banna hanya mengambil resolusi pemikiran daripada al Quran dan hadith sahaja dan laksanakannya. Sebab itu kita mengatakan Imam Hassan al Banna, TG Haji Hadi dan TG Nik Aziz tiada idea bernas sebagaimana kita membaca idea Anwar Ibrahim, Khalid Jaafar dan saudara Yusmadi kerana idea pimpinan-ulama Islam dicedok terus daripada al Quran dan hadith bukannya idea pemikir-pemikir Barat dan Timur.
Ilmu penting, tetapi aksi orang berilmu lagi penting...

Saturday, October 24, 2009

NASIHAT UNTUK MAHASISWA 2


Para sahabat MAHASISWA,

Dalam meniti perjuangan, kalian haruslah mempunyai:

1. Jangan fanatik terhadap tokoh, kumpulan atau ideologi tertentu

2. Perluaskan jaringan persahabatan

3. Aktif dalam pelbagai persatuan

4. Kerap Menyertai majlis ilmu dan seminar

5. Utamakan tarbiyyah bukannya pengkaderan siasah

6. Mesti belajar, bukan seratus peratus berpersatuan.

Fanatik

Fanatik merupakan penyakit yang paling bahaya untuk akal kita. Fanatik dan taksub ini membawa kita kepada kejumudan dan gelap mata kepada kepelbagaian aliran.

Kepelbagaian aliran pemikiran merupakan satu wasilah untuk kita menggerakkan gagasan baru atau membina hujah. Mengkaji aliran pemikiran lain tidak semestinya kita menerima aliran tersebut.

Jaringan Persahabatan/Pengaruh

Berjumpa dan bersahabat dengan orang hebat akan melahirkan jiwa besar. Pengaruh juga akan tersebar. Paling menguntungkan ia adalah asas ukhwah kepada kerjaya dan perjuangan masa depan.

Aktif Dalam Persatuan

Aktiflah dalam teras gerakan mahasiswa Islam seperti PMIUM, Kelab Maaruf atau PKPIM. Selain daripada itu aktif juga dalam persatuan fakulti dan persatuan lain. Konteks UIA ialah Kelab Penulisan atau Kelab Pemikir.

Dengan berPersatuan, kita dapat menambah kenalan, ilmu dan menyerah diri untuk ditarbiyyah. Cuma proses pengkaderan dalaman perlu lebih pro kebenaran bukannya pro parti atau tokoh tertentu. Sayang dengan taksub harus dibezakan dengan tepat.

Majlis Ilmu/Seminar

Mahasiswa harus sertai majlis ilmu dan seminar. Wajibkan diri kalian. Jangan disibukkan dengan siasah sehingga meninggalkan aktiviti keilmuan.

Tarbiyyah Bukan hanya siasah

Ada orang mabuk siasah meninggalkan tarbiyyah. Akibatnya, politik menghalalkan cara untuk mencapai matlamat tertentu. Di kampus, utamakan tarbiyyah.

Belajar, Jangan Sibuk berpersatuan sahaja

Belajar adalah tugas asasi. Cemerlang berpersatuan, Cemerlang Akademik. Ini insan GM yang berkualiti. Jika pointer semakin lemah, sila bercuti berpersatuan(siasah bukan tarbiyyah) dan tumpu kepada tugas asasi. Jangan memalukan GMI.

Ustaz Ramadhan Fitri dan Ustaz Izwan serta Ir Mukhtar Suhaili antara pimpinan mahasiswa yang hebat berpersatuan, hebat akdemiknya.

JANGAN TAKUT DENGAN UGUTAN.


Jangan takut dengan ugutan

Jangan takut dengan AUKU

Atasinya dengan bijaksana dan bermuslihat

Terima nasihat HEP

Terima pemberian mereka

Guna dengan bijaksana dan bermuslihat

Wahai sahabat mahasiswa,

Jangan takut dengan ugutan kerana ia bersifat sementara. Jangan takut dengan pekeliling kerana kita adalah pelakunya, manusia yang bijaksana. Guna kemudahan dan kelebihan untuk mengangkat agama, itu adalah kebijaksanaan dalam berdakwah.

Lihat ratusan pimpinan mahasiswa yang diugut, akhirnya diterima juga bekerja dengan kerajaan. Sama ada kerajaan nak menutup suara mereka atau nak menggunakan karisma mereka, itu soal lain. Pentingnya mereka diiktiraf oleh kerajaan. Ramai pimpinan kampus berkerjaya cukup hebat seperti PTD dan Jurutera petroleum. Jangan kisah sangat dengan ugutan. Uruskan dengan bijaksana.

Cuma pimpinan seperti Ustaz ramadhan fitri berjaya mereka cantas semasa beliau dapat SLAB.

Tapi rezeki milik Allah SWT. Ustaz ramadhan sambung MA dan berjaya menjadi pegawai syariah di sebuah bank. Rezeki milik Allah bukannya kerajaan.

Dapat biasiswa JPA, ambil. Dapat bantuan zakat, ambil. Jadilah aktivis mahasiswa yang bijaksana dan bermuslihat.

Perjuangan adalah muslihat. Orang mempunyai muslihat, mereka akan berjaya.

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...