Sunday, October 23, 2016

Islamic Representative Council (IRC)

“Masa depan tidak bersama Islam politik, tidak bersama para Islamis, masa depan juga tidak bersama parti politik berasaskan Islam di negara-negara umat Islam. Itu hakikatnya. Masa depan adalah bersama masyarakat terbuka (open society). Islam politik mahupun Muslim demokrat tidak boleh hidup secara eksklusif,”
Maszlee Malik (Dr.)
Dalam bab ini, kita akan menelusuri beberapa perkara dibawah
1.                  Mengenali Sejarah IRC
2.                  Menyelusuri pendekatan yang digunakan oleh Tanzim Ikhwanul Muslimin Malaysia.
Membicarakan tentang IRC, ia bagaikan membicarakan kisah dongeng dan mitos. Benar atau tidak?. Ia disebabkan pimpinan lama IRC tidak mahu menulis secara jelas tentang kewujudan mereka.
Menjelang penubuhan Pertubuhan IKRAM Malaysia, pimpinan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah merungkaikan persoalan kewujudan jamaah yang selama ini disebut ‘IRC’ dalam Ucapan Dasar Presiden JIM  dalam PPN ke 20 (2010) dan PPN ke 21 serta Ucaptama Sempena Majlis Penubuhan IKRAM. Ketiga-tiga ucapan  ini menjadi penting kerana ia akuan rasmi mengesahkan kewujudan IRC yang rahsia selama ini. Bahkan akuan ini juga memungkinkan kita mengesah segala cakap orang dan kertas kerja wujudnya IRC selama ini.
IRC mempunyai proses pentarbiahan dan dakwah bukan politik yang terbaik. Ini tidak dapat dinafikan. Penulisan ini cuba menyelusuri liku-liku ‘dakwah politik’ IRC.
Satu Jemaah yang tidak bernama dikenali sebagai al Jemaah memuncul diri sebagai  Islamic Representative (IRC) pada akhir tahun 1970an. IRC dianggap sebagai Harakah Islamiaih Syumuliah (HIS) yang bermatlamat menegakkan Islam sebagai sistem hidup. IRC mempunyai tanzim dan kepimpinan rahsia.
Penulis mengunakan IRC dalam merujuk kepada Ikhwanul Muslimin Malaysia atau Ikhwan Melayu. IRC hasil gabungan Alami Mesir dan IRC UK.
Bermulanya Sebuah Tanzim
Tanzim Ikhwanul Muslimin[i] berkembang ke seluruh dunia sangat bergantung kepada pemikiran tokoh-tokoh dan cawangan Ikhwan di tempat seseorang itu belajar. Ikhwanul Muslimin (Ikhwan) Mesir ditindas oleh kerajaan Mesir. Penindasan ini menyebabkan kebangkitan radikalisme dalam Ikhwan. Radikalisme juga disebabkan oleh pemikiran Sayyid Qutb yang berlandaskan pelurusan dan kemantapan aqidah. Pemikiran Sayyid Qutb[ii] mendominasi pemikiran anak muda dalam Ikhwan sehingga menjadikan mereka radikal.
Mursyidul Aam selepas Imam Hassan al Banna, Imam Hassan al Hudaybi, Ustaz Umar Tilmisani, Ustaz Muhammad Hamid Abu Nasr dan  Ustaz Mustafa Masyhur cuba mengendurkan para pendamba pemikiran Sayyid Qutb yang keras. Walaubagaimanapun, usaha ini sukar dijalankan ekoran penindasan berterusan dan pengharaman terhadap Ikhwanul Muslimin oleh pemerintah Mesir.
Pada zaman Ustaz Umar Tilmisani, beliau cuba mengurangkan ketegangan politik dan konflik dengan kerajaan. Antara usaha beliau memberi tumpuan utama kepada pengkaderan, pentarbiahan dan penguasaan organisasi melalui penyusupan kader dan kawalan entiti yang dikuasai melalui pemayungan oleh ‘kerajaan ghaib’ atau daulah terpendam. Ustaz Umar dibantu oleh pakar tarbiah seperti Ustaz Abbas as Saisi.
Ikhwanul Muslimin juga berkembang di Barat apabila pemimpin Ikhwan berada dalam buangan menubuhkan Ikhwanul Muslimin Antarabangsa. Antara penggerak utama Ikhwanul Muslimin Antarabangsa ialah Ustaz Mustafa Masyhur di Jerman. Selain itu, ramai tokoh Ikhwan Iraq, Ikhwan Syria dan Ikhwan Mesir yang menjadi pelarian politik menyambung pelajaran dan mendapat PhD mengajar di Barat. Muktakhir ini, tokoh Ikhwan Tunisia, Syeikh Rashid Ghannosshi merupakan pemimpin buangan Ikhwan yang cukup berpengaruh kepada gerakan Islam pada hari ini.
Ikhwanul Muslimin juga tersebar ke seluruh negara umat Islam melalui penubuhan cawangannya. Cawangan Ikhwan yang berpengaruh ialah Ikhwanul Muslimin Cawangan Syria dan Iraq. Kedua-dua cawangan ini banyak melahirkan pemikir agung Ikhwanul Muslimin. Di Syria, antara pimpinan terkenal Mustafa as Sibaie dan Said Hawwa. Manakala Ikhwan Iraq terkenal dengan Abdul Karim Zaidan dan Abdul Aziz al Badri. Di Sudan, tokoh terkenal Ikhwan di sana ialah Hassan Turabi.  Pada muktakhir ini, Ikhwan Jordan dan Nahdah Tunisia banyak mempengaruhi pemikiran politik Ikhwan di seluruh dunia.
Fenomena Berbilang-bilang Jemaah: Pembentukan Tanzim dan Pengaruhnya di Malaysia
Pembentukan tanzim bergantung kepada tempat kader-kader Ikhwan belajar. Dalam pemikiran politik, Ikhwan Syria dan Ikhwan Iraq lebih ke depan berbanding induk mereka Ikhwan Mesir. Ikhwan Mesir mengutama pentarbiahan dan pengkaderan. Ikhwanul Muslimin Antarabangsa juga mengutamakan pentarbiahan dan pengkajian tentang ketamadunan Barat terutamanya demokrasi dan hak asasi manusia.
Kewujudan banyak Tanzim Ikhwan di sesebuah negara  juga dibentuk oleh pengaruh pemikiran tokoh-tokoh Ikhwan yang mentarbiah dan mementori para kader dakwah. Sudah tentu pemikiran tokoh-tokoh Ikhwan mempunyai perbezaan terutamanya dari segi pendekatan dakwah.
Penulis tertarik dengan pendapat Youssef Nada yang mengatakan ‘politik Timur Tengah penuh kerahsiaan, namun Ikhwan Muslimin ada di mana-mana di seluruh dunia. Ia bukan berasaskan sistem keahlian tetapi berdasarkan cara seseorang berfikir”. Cara seseorang berfikir melahirkan kesatuan mereka sekaligus membawa kesatuan amal yang bertujuannya kerana Allah. Walaupun ada pelbagai tanzim dan nama, mereka dapat disatukan dengan cara berfikir.
Ada yang bercerita di sesetengah negara, tanzim Ikhwan ada 10 buah. Ia bukanlah satu kepelikkan kerana pemikiran tokoh dan tempat belajar yang berbeza. Di Malaysia, antara tokoh awal mempunyai pemikiran Ikhwan ialah Prof. Dr Zulkifli Mohamad. Beliau belajar di Mesir dan pernah menjawat Timbalan Yang Dipertua PAS Pusat. Kemudian kelompok Ustaz Hassan Shukri menerapkan pemikiran Ikhwan dalam PAS dan sahabat beliau, Ustaz Dahlan Mohd Zain dalam ABIM. Diikuti oleh peranan Tuan Guru Yahya Othman dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ABIM. Kemudian kelompok tua Alami Mesir-IRC UK (IRC), Suara Islam UK (masuk PAS), HALUAN Malaysia dan kelompok muda Alami Mesir (ISMA).
Ikhwanul Muslimin mementingkan sofwatul mukhtarah iaitu pembinaan golongan terpilih (orang cerdik) dalam jemaah.[iii]  Alat pentarbiahan yang sangat penting adalah usrah. Usrah yang terkenal yang dikatakan ‘usrah ibu segala murabbi’ ialah usrah yang dipimpin oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa di Mesir. Antara yang dikatakan anggota usrah itu ialah Ustaz Zawawi Ali (IRC), Ustaz Mohd Parid Sheikh Ahmad(IRC), Ustaz Mohamad Kamil Majid (UM), Ustaz Abdul Rahim (Negeri Sembilan), Ustaz Darus Senawi (HALUAN), Dr Hatta Shaharom (IRC) dan Ustaz Alias Othman.  Usrah ini dikatakan diserahkan kepada Ustaz Mustafa Masyhur setelah Tuan Guru Abdul Hadi pulang ke Malaysia. Tokoh-tokoh ini menjadi murabbi jemaah Islam di Malaysia dan cukup berpengaruh dalam al jamaah-IRC-JIM-IKRAM, HALUAN, ABIM dan PAS.
Walaupun Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendapat pengaruh Ikhwan Mesir, beliau terlebih dahulu dipengaruhi oleh pemikiran tokoh Ikhwan Syria, Said Hawwa. Pemikiran politik dan tanggungjawab jemaah menyebabkan Tuan guru Abdul Hadi bergerak dalam PAS berbanding IRC[iv].
Tokoh unik yang mendapat celupan Ikhwanul Muslimin adalah Tuan Guru Yahya Othman (mantan ahli Majlis Syura Ulama PAS dan Majlis Syura ABIM). Beliau pernah berguru dengan pemimpin Ikhwan Syria yang terkemuka iaitu Ustaz Mustafa as Sibai. Kemudian beliau  mendapat tarbiah Ikhwan Iraq seterusnya mendapat tarbiah Ikhwan Mesir. Beliau pernah berikrar bersama sahabat beliau untuk memperjuangkan Islam di Malaysia semasa beliau di Mesir. Menariknya, Tuan Guru Yahya Othman pernah bergerak cergas dalam WAMY yang digerakkan oleh Ikhwanul Muslimin Antarabangsa.
Gelombang besar yang mendapat pengaruh Ikhwanul Muslimin Iraq ialah sekumpulan pelajar Malaysia yang dihantar belajar ke Iraq. Mereka adalah
1.      Hassan Shukri (PAS)
2.      Muhammad bin Daud (PAS)
3.      Abdul Rahim bin Muhammad Zain (pensyarah UM)
4.      Hasbullah Kasban (pensyarah UTM)
5.      Hashim Jasin (PAS)
6.      Azmi bin Ahmad (ABIM Kedah)
7.      Abdul Ghani bin Kasa (guru agama)
8.      Abdul Halim Yahya (pegawai agama FELDA)
9.      Isamuddin bin Ahmad  (ahli perniagaan)
10.  Dahlan Mohd Zain (ABIM Perlis-KUSDA-HALUAN)
Dalam membicarakan tentang pengaruh Ikhwanul Muslimin di Malaysia, adalah tidak adil tidak menyebut tentang peranan Dato Mohd Asri Muda. Beliau mempunyai hubungan baik dengan pimpinan gerakan Islam di dunia. Antaranya dengan Muhamad Natsir (MASYUMI) dan Kamal as Sananiri (Ikhwan Mesir, suami Hamidah Qutb).  Dengan hubungan baik ini jugalah, Dato Asri mendapat tajaan daripada Kerajaan Iraq(masa itu rapat dengan Ikhwan) kepada 10 pelajar di atas dan mendapat bantuan kader untuk membantu PAS atas saranan pimpinan gerakan Islam antarabangsa.
Dasar Ekonomi Baru membolehkan kelompok pelajar cemerlang kalangan bumiputera ditaja belajar ke luar negara terutamanya Britain. Kesedaran Islam semasa di sana membolehkan mereka merapati pemimpin Ikhwanul Muslimin dalam buangan. Selain itu, mereka juga mendekati tokoh Islam daripada Jamaati Islami Pakistan dan Jamaah Nur dari Turki. Di Britain, MISG sudah ada sejak 1971 dan bergabung dengan Kesatuan Pertubuhan-pertubuhan Pelajar Islam (FOSIS). FOSIS bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar Islam.
Perasaan tidak berpuas hati terhadap mula memutik apabila pelajar Malaysia tidak dapat menerima pendekatan Islam FOSIS dan penguasaan pelajar Islam daripada negara-negara Islam yang minoriti berbanding pelajar Malaysia yang majoriti dalam FOSIS. Isu-isu Malaysia kurang dicakna oleh FOSIS.
Pada awal tahun 1975, Suara Islam telah ditubuhkan oleh pelajar Malaysia. Suara Islam dipengaruhi oleh pemikiran Jamaati Islami Pakistan. Mentor Suara Islam ialah Javed Ansari, seorang tokoh Jamaati Islami yang menjadi pensyarah di sana. Javed mempunyai pemikiran radikal dan kritis. Beliau memberi penerangan perbandingan Islam dengan komunisme Mao dan Stalin. Antara kepercayaan Suara Islam ialah ‘revolusi Islam perlu dipimpin oleh sebuah parti politik’. Mereka bercadang ingin menubuhkan Parti Revolusi Islam(ada pendapat Parti Negara Islam) sekembali mereka ke Malaysia.[v]
Kemudian muncul IRC yang menggunakan pendekatan dakwah dan tarbiah. Mereka mengunakan pendekatan Ikhwan iaitu menembusi organisasi sedia ada dan cuba melakukan perubahan daripada dalam organisasi tersebut. IRC mengunakan usrah-usrah untuk merapat hubungan sesama anggota dan mengalakkan anggota mereka dalam penyertaan dalam pembangunan masyarakat.[vi]
Perkembangan Tanzim Ikhwan Di Malaysia.
Di Malaysia, Tanzim Ikhwan dikatakan terbahagi 3 iaitu Tanzim IKRAM, ISMA dan HALUAN Malaysia. Masing-masing mengaku dan menisbahkan mereka sebagai wakil sah  sebagai cawangan Ikhwan di Malaysia. Persaingan sengit antara IKRAM, ISMA dan HALUAN.
Dalam sejarah Tanzim Ikhwan di negara ini, kita wajar melihat siapa yang paling awal menceburi diri dalam Ikhwan. Setakat hari ini, sejarah membuktikan generasi semasa Prof Dr Zulkifli Mohamad adalah generasi awal yang mendapat pengaruh pemikiran Ikhwan. Prof Dr Zulkifli Mohamad sendiri mendapat tarbiah secara langsung melalui kuliah hari selasa yang diadakan oleh Ikhwan di Kaherah semasa beliau belajar.[vii] Cuma yang tidak dapat dibuktikan adalah keahlian beliau dalam Ikhwan.
Pengaruh pemikiran Ikhwan juga dikesan pada tahun 1957 apabila seorang pelarian dari Mesir, Syeikh Taqiyuddin datang mengajar pelajar sekolah agama di Kedah. Beliau mengunakan sistem usrah yang digilirkan antara rumah ahli usrah. Menariknya, antara ahli usrah ini adalah Ustaz Jais Anwar yang kelaknya menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 1968/70.[viii]
Peringkat yang penting adalah pada tahun 1963 apabila 10 orang pelajar Malaysia dihantar ke Iraq atas saranan Dato Mohd Asri Muda dengan kerjasama Presiden Iraq pro Ikhwan, Muhamma Arif Abdul salam. Antara mereka ialah Ustaz Hassan Shukri (PAS), Ustaz Muhammad Daud al Iraqi (PAS) dan Ustaz Dahlan Muhammad Zain (ABIM Perlis-KUSDA-HALUAN Malaysia). Kelompok PAS dalam kumpulan ini menyebarkan pemikiran Ikhwan dalam PAS dalam ceramah dan penulisan mereka. Ustaz Dahlan Mohamad Zain pimpinan ABIM Perlis tidak bersetuju pendapat ABIM yang ‘melepaskan’ Anwar Ibrahim masuk UMNO. Akibatnya, beliau menubuhkan kumpulan sendiri yang dikenali Kumpulan Ustaz Dahlan atau KUSDA dan kemudiaanya menjadi HALUAN.
Kelompok ketiga ialah kelompok Alami Mesir dan diikuti oleh IRC UK[ix].
Sebenarnya ada satu lagi kumpulan usrah di London yang diusahakan oleh pimpinan PKPIM. Usrah ini dipimpin oleh Ustaz Razali Nawawi di London ini diadakan pada tahun 1968. Anggota lain usrah ini ialah Syed Ibrahim Abdul Rahman , Wan Ismail Wan Ibrahim dan Hishamuddin Yahya. Cuma kita kekurangan maklumat tentang hubungan Ikhwan dengan usrah ini. Adakah ia dipengaruhi setakat pertemuan dan bahan bacaan atau tidak mendapat pengaruh daripada Ikhwan.
IRC bermula daripada kumpulan pelajar yang pulang daripada luar negara[x] pada tahun 1970an. Mereka hidup dalam organisasi yang tidak berdaftar melalui  usrah-usrah. Ramai kalangan mereka menyerap-masuk atau menyusup ke dalam ABIM. Pendekatan mereka adalah dakwah dan tarbiah[xi]. IRC (atau al jamaah atau sebuah pertubuhan tidak diberi nama) mengetepikan untuk bergerak di bawah gerakan dibina sendiri demi menjaga kesatuan ummah.[xii] Pada tahun 1990, baru sebuah entiti yang dikenali JIM ditubuhkan untuk meneruskan usaha IRC dalam dakwah.
Abdul Hadi Awang, Yahya Othman,  PAS dan Ikhwanul Muslimin.
Baru-baru ini heboh berita di Mesir yang mendakwa Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Ikhwanul Muslimin Antarabangsa. Kemudian berita ini dinafikan oleh PAS. Ada yang mendakwa Abdul Hadi menganggotai Ikhwan sejak akhir 1960an.
Abdul Hadi Awang kurang bersetuju dengan pemikiran dan pendekatan konsep Ikhwan Alami. Konsep  Ikhwan Alami bukanlah fikrah Ikhwan yang asal dan tidak dipersetujui oleh senior-senior dalam Ikhwan. Ikhwan Alami digerakkan oleh tokoh muda Ikhwan yang pernah mengerakkan Ikhwan di negara Barat. Ikhwan Alami mahu menubuhkan jemaah baru walaupun di negara tersebut sudah ada jemaah Islam yang sedia ada.
Menurut Abdul Hadi Awang, asal usul Ikhwan Alami Malaysia apabila beliau memperkenalkan sekelompok pelajar Melayu lepasan Nilam Puri (kemudian menjadi tokoh Alami) kepada pihak Ikhwan. Abdul Hadi  bersangka baik dengan mereka kerana mereka datang daripada Nilam Puri yang dibawah PAS.[xiii]
Apabila mereka pulang ke Malaysia, mereka mahu menubuhkan Ikhwan di Malaysia. Abdul Hadi tidak bersetuju dengan mereka. Menurut Abdul Hadi,  mereka ini tidak ihtiram (menghormati) orang yang lebih khibrah (berpengalaman) dalam memahami waqie' (realiti).
Murabbi umat celupan Ikhwan Mesir, Ikhwan Syria dan Ikhwan Iraq serta Ikhwan Antarabangsa(melalui WAMY), Tuan Guru Yahya Othman juga tidak bersetuju dengan penubuhan jemaah baru. Beliau pernah dijemput untuk menjadi murabbi atau mas’ul tarbiah sebuah jemaah tetapi beliau menolak. Beliau memberitahu bahawa beliau dan sahabat beliau dinasihati oleh Ikhwanul Muslimin menyertai PAS dalam usaha memperkuatkan PAS khususnya dalam bidang tarbiah dan dakwah. Nasihat Yahya Othman, ‘PAS ini terbuka akhi, sesiapa sahaja boleh masuk PAS, tak perlu tubuh jemaah baru”. Begitu nasihat Yahya Othman kepada pemimpin sebuah jemaah.[xiv]
Kamal Helbawy pernah menyarankan HALUAN, ISMA dan JIM memilih PAS sebagai platform perjuangan dalam memastikan suasana politik yang adil. Kumpulan-kumpulan Islam ini bergerak bersama-sama dengan PAS dalam kondisi saling memahami antara satu sama lain. Jangan bersikap melampau dan provokatif antara satu sama lain.[xv]
Hassan al Banna sendiri mengakuri dan bersetuju pendapat Raja Saudi, al Malik Faisal tidak membenarkan Ikhwan ditubuhkan di sana kerana menganggap beliau juga sebahagian daripada Ikhwan. Abdul Hadi bersetuju dengan idea mentor beliau, Said Hawwa yang mengkritik pendekatan Ikhwan Alami yang dianggap tidak perlu. Sudah cukup dengan adanya front antarabangsa untuk menyatukan ikhwan daripada seluruh  bukannya menubuhkan Ikhwan di negara yang sudah ada jemaah Islam.
Kepimpinan Ikhwanul Muslimin Antarabangsa menjadi  wakil jemaah seluruh dunia. Front ini berperanan membuat qarar (ketetapan) yang dipersetujui bersama. Semua jamaah di negara-negara umat Islam tadi wajib melaksanakan qarar-qarar tersebut semampu mungkin. Namun jika bertembung dengan realiti di negara masing-masing  mengekang, maka qarar itu boleh untuk tidak dilaksana.[xvi]
Dalam mengatasi permasalahan perbezaan antara jemaah Islam, pendekatan sederhana, berhikmah  dan lembut wajib digunakan. Seteruk mana sekalipun mereka, mereka tetap anasir-anasir Islam. Mereka sendiri bukan musuh. Dalam keluarga, setiap anggotanya ada fungsi. Ada yang berwatak emak, watak ayah dan watak anak.  Ibu garang, ayah menasihati.[xvii]
Kemunculan HALUAN, JIM, ISMA dan IKRAM
Jemaah Islah Malaysia (JIM) ditubuhkan 27 Julai 1990. JIM merupakan salah satu atau sebahagian entiti Tanzim Ikhwan Malaysia. Setelah 15 tahun bergerak tanpa organisasi sendiri, satu keperluan untuk IRC bergerak dalam ruang terbuka.
 Visi JIM ialah membangun sebuah negara Malaysia yang melaksanakan sepenuhnya syariat Islam menjelang 2020.  Motto JIM yang berbunyi "Bersama Islam Membina Masyarakat". Presiden pertama JIM ialah Ir. Saari Sungip dikatakan salah pimpinan IRC UK. Antara kejayaan penting JIM ialah
1.      Kedudukannya (positioning) kalangan NGO Islam
2.      Kedudukan JIM dalam kalangan NGO lain dan masyarakat Madani
3.      Kedudukan dalam parti politik
4.      Jaringan dengan pelbagai agensi kerajaan
5.      Dikenali dengan institusi seperti sekolah al Amin.
Pertubuhan IKRAM Malaysia(IKRAM) diluluskan pendaftaran pada 22 Oktober 2009. Antara tujuannya ialah menyatukan entiti IRC yang bertaburan yang menyukarkan arahan pusat. Presiden pertama ialah Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad. Cogan kata IKRAM ialah “Ukhuwah Teras
Kegemilangan”. Dasar IKRAM ialah  Islam, dan asas pegangannya ialah Al-Qur’an, As-Sunnah, Ijma’ dan Ijtihad.
Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia(HALUAN Malaysia) mempunyai susur galur  daripada ABIM Perlis atau ABIM Utara. Ada juga mengenali kelompok ini sebagai ‘Sahabat Utara’ atau Kumpulan Ustaz Dahlan (KUSDA). Pada tahun 1988, kumpulan ini menjelmakan diri sebagai HALUAN Malaysia. Haluan Malaysia lebih menumpukan kepada kebajikan dan pentarbiahan. Pusat pengajian popular mereka ialah Ma’had Attarbiyah al Islamiyyah (MATRI) diasaskan oleh Ustaz Dahlan Mohamad Zain[xviii].  Motto iaitu  “berakhlak, mendidik dan berbakti”.
Ikatan Siswazah Muslim Malaysia (ISMA) ditubuhkan pada tahun 1997 yang menjadi sebahagian daripada Tanzim IRC. Pada tahun 2005, penjenamaan ISMA berlaku. Ia dikenali sebagai Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan menarik diri daripada pengaruh IRC. ISMA berasal usul daripada kelompok Alami Mesir kalangan anak muda. Diketuai oleh Ustaz Abdullah Zaik bin Abdul Rahman. ISMA mempunyai dua motto iaitu ‘Membangun Umat Beragenda’ dan ‘Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’. Pada pilihanraya umum 2013, ISMA telah melakukan ijtihad dengan menghantar calon-calon mereka melalui parti BERJASA. Dalam bidang bantuan kemanusiaan, agensi ISMA iaitu Aman Palestin  terkenal di Malaysia.
IRC-JIM-IKRAM  dan Politik Malaysia
Pada pertengahan 1970an, kader dakwah Alami Mesir dan IRC UK  pulang ke Malaysia. Ramai kalangan mereka menjadi pensyarah universiti. Tumpuan mereka kepada pentarbiahan dan pengkaderan. Oleh kerana ABIM dan PAS sudah lama bertapak, mereka tidak menubuhkan gerakan baru tetapi diarahkan untuk memperkuatkan organisasi mata rantai gerakan Islam yang sedia ada. Pada waktu itu PAS berada dalam BN, kader dakwah ini mula menyusupi ABIM. Mereka mengunakan pendekatan rahsia dan tidak mendedahkan identiti mereka.
Pendekatan kerahsian, pemayungan dan penyusupan dalam organisasi dilakukan semasa zaman ustaz Umar Timisani bagi mengelakkan Ikhwan ditindas. Anggota Ikhwan Mesir telah menyusup masuk ke dalam banyak pertubuhan profesional di Mesir. Pertubuhan-pertubuhan ini diletakkan dibawah kawalan Ikhwan dan cuba mengaburi pihak berkuasa. Ia menjadikan pertubuhan tersebut hanya proksi.
Ada pihak mendakwa terdapat Konsep Harakah Islamiyyah Syumuliah (HIS) diaturkan oleh IRC (al jamaah) dimana menjadikan  PUM(ulama), ABIM (NGO) dan PAS (sayap politik) sebagai proksi dimana kekuasaan sebenar terletak kepada Amir IRC bukan kepimpinan PUM, PAS dan ABIM.[xix]
IRC cuba menguasai pentarbiahan ABIM[xx] tetapi kurang berkesan apabila ABIM cuba menjarakkan diri mereka daripada pemikiran Sayyid Qutb[xxi]. Penguasaan ini juga tidak berjaya kerana pentarbiahan ABIM didominasi oleh Anwarinas (setia dengan Anwar Ibrahim). Penguasaan IRC dalam ABIM sangat berjaya sehingga berjaya menghuni ‘Majlis Syura’ ABIM. Perkara ini jelas sesudah Anwar Ibrahim masuk UMNO dimana ada kalangan mereka mula menunjukkan imej sebenar mereka dengan meninggalkan ABIM.
Kebanyakan pemimpin IRC cuba menyusupi gerakan mahasiswa Islam[xxii] dan PAS yang kesedihan kerana kemasukkan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO. Lujnah Tarbiah PAS Pusat telah menjemput dua anggota Majlis Syura IRC untuk bersama mereka pada pertengahan tahun 1980an[xxiii]. Peluang ini diambil oleh anggota IRC untuk memperkukuhkan kedudukan mereka ke dalam PAS.
IRC bukan sahaja mentarbiahkan anggota PAS dan gerakan mahasiswa Islam tetapi telah memilih unsur terpilih dan terbaik dalam PAS untuk diserapkan ke dalam IRC secara rahsia. Gerakan jemaah dalam jemaah ini berjaya dikesan oleh Dewan Pemuda PAS dan akar umbi menolak kehadiran mereka. Dewan Pemuda PAS Pusat sendiri hampir terperangkap apabila pemimpin yang dikatakan proksi IRC Ir. Mustafa Kader antara calon yang dicadangkan sebagai Ketua DPPP. Syura DPPP telah memilih Ustaz Abdul Halim Arshad sebagai Ketua DPPP. Mereka juga cuba menguasai peringkat kawasan.
Jemaah Islam Malaysia dikatakan diusahakan pada tahun 1988[xxiv] dan ditubuhkan pada 29 Julai 1990. Ia ditubuhkan pengislahan secara dakwah tidak berkesan dan dakwah tidak terpimpin. Justeru, IRC(al jamaah) memutuskan ‘jamaahlah HIS’ dimana sebuah jamaah yang mengambarkan identiti IRC diwujudkan. Ada berpendapat JIM bukan IRC tetapi ia sebahagian IRC.
Menariknya, pada bulan Mac 1990, didakwa satu dokumen bertajuk ‘Pembentangan Usul Pendekatan Terhadap UMNO’ dibentangkan oleh wakil Majlis Syura Jemaah(MSJ).[xxv] Melalui usul ini, IRC mahu menghalalkan dan mewujudkan penglibatan anggota mereka ke dalam  UMNO. Tetapi usul ini telah ditolak.
Zaman reformasi pada tahun 1998 ekoran pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim membuka peluang JIM untuk mengunakan pendekatan politik. Presiden JIM, Ir Saari Sungip dan Sahri Bahri berserta ramai lagi pimpin JIM masuk Parti Keadilan Nasional berketuakan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Menariknya, pemimpin yang ada kaitan dengan IRC seperti Dr Dzulkefly Ahmad masuk PAS.
Pendekatan politik IRC-JIM selepas tahun 1998 sangat berjaya apabila pimpinan mereka berjaya menduduki tampuk kepimpinan tertinggi dalam PAS dan PKN(PKR). Antaranya Fuziah Salleh sebagai Ketua Wanita PKN dan Ir Sahri Bahri sebagai Setiausaha Agung PKN. Dalam PAS, Dr Dzukefly Ahmad dilantik sebagai Ketua Dewan Penyelidikan PAS Pusat. Dalam pilihanraya pula, ramai daripada pemimpin yang bersusur galurkan Ikhwan di Malaysia iaitu IRC-JIM dan Suara Islam terpilih sebagai calon. Antaranya Ir Khalid Samad (SI), Ir Mohamad Nizar (SI), Saari Sungip (JIM) dan ramai lagi.
Perpecahan PAS pada tahun 2015 menyebabkan tertubuhnya Parti Amanah Nasional. Sebahagian besar kelompok IRC-SI-JIM-ABIM dalam PAS yang kecewa dan kalah dalam pemilihan  bertindak menubuhkan sebuah parti Islam baru.  Menariknya ada wakil IKRAM, Ustaz Hassanudin Mohd Yunus telah dilantik sebagai Naib Presiden PAN. Dalam PAN, ramai pemimpin mantan pimpinan senior IRC-JIM dan IKRAM , anak kepada pimpin IRC-JIM  disamping ada yang mendapat tarbiah IRC semasa di alam kampus.
Pada masa yang sama, JIM-IKRAM memperkuatkan cengkaman mereka dalam PKR dengan menghantar Syed Ibrahim yang dilantik sebagai ketua Penerangan PKR dan seorang lagi dikatakan turut dikaitkan dengan IKRAM ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.  Selain, pimpinan muda IKRAM turut menyertai Angkatan Muda Keadilan (AMK). Antaranya ialah Wan Abdullah Mujahid Hasanuddin dan Mohd Mustaqim Abdul Jalil. Kedua-duan mereka adalah anggota Parlimen Belia Malaysia.
JIM, Demokrasi dan Hak Asasi Manusia
JIM mahu berada dalam barisan hadapan dalam kalangan organisasi Islam dan dalam kalangan masyarakat madani.[xxvi] JIM mempunyai pendekatan yang unik dalam menangani demokrasi, hak asasi manusia, urus tadbir baik kerajaan, masyarakat madani dan penglibatan dalam NGO berasaskan sekularisme. JIM membina hubungan yang baik dengan NGO-NGO dan aktif dalam penglibatan dalam isu-isu yang diperjuangkan oleh NGO terbabit. Antara NGO terbabit ialah BERSIH, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Malaysians for Free And Fair Election (Mafrel), dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM). Terbaru wakil JIM-IKRAM terlibat dalam Gerakan Rakyat Untuk Menebus Kembali Negara Malaysia( Negara-ku).
JIM berusaha meletakkan kedudukan mereka di kalangan NGO lain dan masyarakat madani. Walau pun pegangan JIM jelas, memperjuangkan pelaksanaan syariah, JIM tetap bersama dan diterima oleh NGO lain dalam usaha sama memperjuangkan keadilan, hak asasi manusia, good governance dan kebaikan, untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.
JIM-IKRAM juga mengutamakan pengunaan secara optimun sumber tenaganya dalam pelbagai NGO. Ia dapat meningkatkan lagi kerjasama dan permuafakatan dengan pelbagai NGO. dan menambah pengalaman anggota JIM-IKRAM.
Persoalan yang timbul pula, ada pertubuhan atau pemimpin[xxvii] yang jelas menentang pelaksanaan Islam dalam pemerintahan. Adakah JIM-IKRAM bertaqiyah pendirian pelaksanaan syariah dalam masa yang sama bergerak dalam pertubuhan pro sekularisme dan hak asasi manusia?.
Peranan PAS Penyatuan Tanzim-tanzim Ikhwan di Malaysia.
Tuan Guru Fadzil Noor  berpendapat tidak boleh ada dua wadah politik Islam.[xxviii]  Kewujudan dua parti Islam boleh mengundang perpecahan masyarakat dan ia boleh melemahkan gerakan Islam itu sendiri. Dalam sejarah politik gerakan Islam, penubuhan parti baru lebih mejuruskan pertembungan sesama sendiri. Umpamanya, Parti Saadet dengan AKP di Turki dan FJP dengan Parti an Nur di Mesir.
IRC-JIM-IKRAM mempunyai pengalaman  tiada penyatuan dalam organisasi. Betapa pentingnya keperluan sebumbung, satu nama, satu tanzim, satu kepimpinan dan satu tumpuan wala’ dan tiada pertindihan penggunaan sumber. Setelah 15 tahun, IRC tanpa wadah, ia memberi kesan negatif. Antaranya
1.      Tiada wadah utama dan tiada ‘rallying point’ untuk dakwah.
2.      Tidak dapat mengamal sepenuhnya semua piawaian, best practices dan urus tadbir baik dalam organisasi.
3.      Kewujudan tidak dapat dirasai oleh masyarakat umum.
4.      Terbentuk pandangan yang insular (eksklusif dan dalaman) kalangan sebahagian anggota.
5.      ramai memilih bertebaran dalam pelbagai organisasi tanpa perancangan.
6.      Tidak optimun sumber tenaga dan program kerana berlaku pertindihan.
Pengalaman ini wajar memberi pengajaran kepada IRC agar mereka meleburkan diri ke dalam PAS dan ABIM seperti yang mereka pernah lakukan dahulu. Apabila sudah ada jemaah Islam yang berpandukan al Quran dan hadith, tradisi Ikhwan ialah anggota mereka menjadi pembantu dan tentera kepada jemaah yang sedia ada. Mereka perlu membuang matlamat mahu menguasai jemaah lain, berdengki dan dendam lama dalam menyatukan gerakan Islam di Malaysia.
Usaha penyatuan tanzim Ikhwan Malaysia pernah diusahakan pada tahun 1995 di Kelana Jaya. Ia dikenali sebagai  peristiwa “indimaj” antara tanzim Abu Urwah dan tanzim Ustaz Dahlan tetapi gagal. Menurut THTL[xxix], Tanzim Ikhwan Malaysia tidak berjaya disatukan disebabkan oleh
1. masing-masing kumpulan mendapat latihan dari tempat yang berbeza dan mendapat penekanan latihan dan ilmu yang diterima tidak sama
2. masing-masing kumpulan mempunyai strategi politik dan manhaj operasi dakwah dan tarbiyah yang berbeza.
3. sikap kepada pemerintah yang tidak sama
4. taksub kepada pemimpin kumpulan masing-masing
5. Tidak ada kepercayaan antara satu sama lain.
Pendekatan terbaik penyatuan tanzim ialah menyertai PAS. Sebagai gerakan Islam berasal daripada Ikhwanul Muslimin, ‘hakikat politik’ ada tersemai dalam perjuangan mereka. Justeru, mereka perlu memasuki sebuah organisasi yang kukuh, bersifat politik dan mempunyai sejarah yang cukup lama dalam politik. Tiada lain selain PAS. Apabila memasuki PAS, wajar mereka memulakan perjuangan mereka daripada bawah. Sifat perjuangan bukannya menyusup atau mewujudkan jemaah dalam jemaah tetapi bersifat pembantu. PAS era Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dekat dengan pimpinan Alami Mesir sewajarnya diambil peluang oleh IRC untuk merapatkan hubungan dan meleburkan diri mereka ke dalam PAS dengan membuang imej IRC mereka.
Penyusupan dalam parti politik Islam oleh kader dakwah jemaah Islam adalah satu kaedah yang terbaik. Cuma masalah yang berlaku apabila kewujudan mereka menjuruskan kepada jemaah dalam jemaah. Sebaiknya kesetiaan dan sifat berkumpulan berdasarkan jemaah lain perlu dileburkan. Perkara ini pernah berlaku dalam Parti Keadilan Nasional(PKN) apabila ABIM dikatakan melakukan proses PengABIMAN PKN. IRC juga didakwa pernah cuba menguasai kepimpinan pemuda PAS. Menariknya, penyertaan pimpinan ABIM ke dalam PAS pada akhir 1970an dulu membuktikan keupayaan mereka meleburkan jemaah lama mereka setelah masuk ke dalam PAS.
Di Indonesia terdapat pebagai parti beraspirasi Islam. Tanpa penyatuan, kepelbagaian parti itu merugikan perjuangan Islam. Kader Muhammadiyyah dan Nahdatul Ulama dihantar ke GOLKAR, Parti Amanat Nasional, Parti kebangkitan Umat dan lain-lain. Dalam konteks tersebut, sewajarnya, Muhammadiyyah dan Nahdatul Ulama berbincang dan menghasilkan sebuah parti politik Islam di Indonesia.
Dua wala’ perlu diharamkan dalam gerakan Islam. Dua wala’ berlaku apabila jemaah menghantar kader mereka ke dalam jemaah islam yang lain dengan tujuan membantu dan ada bertujuan menguasai jemaah tersebut. Persoalan yang timbul, apabila berlakunya pertembungan pendapat antara jemaah asal dengan jemaah sekarang, dimanakah wala’ kader dakwah, jemaah baru atau jemaah lama?. Apa yang akan dilakukan oleh anggota PKR yang berasal daripada JIM-IKRAM jika berlaku pertembungan wala’ antara IKRAM dengan PKR?. Apa yang akan berlaku jika PAN yang mempunyai anggota IKRAM bertembung dengan PKR yang turut disertai oleh anggota IKRAM, kepada siapakah  wala’ anggota JIM-IKRAM yang berada dalam PAN dan PKR? Jemaah atau parti?.
Kewujudan jemaah dan ‘front’ atau proksi bukanlah suatu yang baik dalam tempoh masa yang panjang. Ia boleh menghasilkan penentangan bahkan pertembungan antara jemaah dengan proksi. Perkara ini pernah berlaku di Sudan apabila Proksi yang dipimpin oleh Hassan Turabi menentang keputusan jemaah.
IRC  dan Gerakan Mahasiswa Islam
Pada awal 1980an, kedua-dua kumpulan iaitu Ikhwan Alami dan IRC UK bergabung membentuk IRC. Perjuangan mereka secara rahsia dan melalui proses pentarbiahan.
Pertembungan antara IRC(baca:JIM atau IKRAM)  dengan PAS bermula sejak peringkat sekolah melalui proses pentarbiahan, pengkaderan dan penguasaan persatuan pelajar(BADAR). Ada pengaruh utama yang menyebabkan pertembungan ini ialah terdapat mentor dalam kalangan guru dan pentadbir sekolah, anak anggota JIM dan PAS dan penyertaan pelajar dalam pertubuhan pelapis (Kelab Remaja JIM). Antara medan utama pertembungan ini adalah di sekolah berasama penuh terutamanya sekolah agama seperti Kolej Islam Klang (KISAS).
Kemudian anak-anak JIM/IKRAM/IRC melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan bergiat dalam kegiatan universiti. Pembawaan ‘ideologi’ JIM/IRC/IKRAM turut sama dibawa bersama mereka. Di universiti, selain daripada anak-anak anggota, ada juga pelajar universiti yang sememang dilatih dan diindoktrinasi di sekolah-sekolah milik JIM/IKRAM, ABIM, HALUAN dan PAS. Mereka ini turut berpengaruh dalam mengerakkan aktiviti gerakan Islam di kampus.
IRC pernah memegang tampuk pentarbiahan mahasiswa terutamanya pentarbiahan mahasiswa di Universiti Malaya. Penyusupan mereka secara rahsia. Pentarbiahan mereka untuk memilih kader berkualiti untuk diserapkan dalam IRC bukannya PAS yang menguasai Jemaah Islam Kampus(JIK).
Pada era tahun 1986-1988, berlaku perselisihan faham antara kelompok pro PAS dengan pro IRC. Akibatnya, IRC disingkirkan dalam PMIUM. Ekoran penyingkiran ini, IRC bertindak balas menyingkirkan kelompok pro PAS daripada Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam UM(PMAPIUM). Kemudian kelompok pro PAS berjaya menguasai PMAPIUM pada sesi 1988/89. Pada  tahun seterusnya, IRC menghantar wakil dalam Barisan Mahasiswa Bersatu(BMB) yang pro HEP. Antara pimpinan IRC terkenal ialah Nazman Mustafa.
Di UKM, IPU pernah membentuk Majlis Syura hasil gabungan mahasiswa pro PAS dan pro IRC. Lujnah tarbiah dipegang oleh IRC manakala lujnah politik oleh IPU. Pada tahun 1987, berlaku pengeseran apabila IPU mendakwa IRC menarik ahli-ahli IPU untuk masuk dalam IRC dan melakukan program untuk kepentingan IRC tanpa pengetahuan Majlis Syura.
Pada mesyuarat agung Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan Islam UKM(PMFPI) sesi 1988/89, IRC  bertanding untuk melawan calon-calon IPU. Perkara ini berlanjutan dalam muktamar ISIUKM dimana calon IPU dan IRC bertarung secara terbuka sehingga terpaksa dilakukan dua kali kerana kehadiran yang luar biasa.
Di UTM, IRC gagal menguasai PMUTM dan PMIUTM tetapi mereka kembali bangkit apabila Syed Mohd Famy dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor HEP. IRC cuba menguasai kolej melalui HEP. Pada sesi muktamar PMIUTM sesi 1988/89, ada juga berlaku pertembungan antara IRC dengan pro PAS. Kekalahan mereka menyebabkan mereka berundur daripada PMIUTM.
Tindakan IRC menarik keanggotan  PMI sehingga membentuk Jemaah dalam Jemaah adalah satu tindakan terkutuk. Ia satu penyusupan yang tidak beradab dalam berjemaah, apatah lagi mengunakan kekuatan orang lain untuk memperkuatkan diri sendiri tanpa pengetahuan pihak terbabit.
Kesimpulan
Tanzim Ikhwanul Muslimin Malaysia terdiri daripada IRC-JIM-IKRAM, HALUAN, Suara Islam dan ISMA. IRC terdiri Alami Mesir dan IRC UK yang didominasi oleh IRC UK dalam pentadbirannya, syuranya oleh Ikhwan Alami. Kewujudan IKRAM mengangkatkan memaparkan pemimpin Alami Mesir sebagai ketua.
ISMA ialah kelompok muda Alami Mesir manakala HALUAN lebih kepada tanzim Ustaz dahlan.
Tanzim Ikhwanul Muslimin Malaysia dipecahkan kepada tiga pengaruh iaitu Ikhwan Mesir, Ikhwan Iraq-Syria dan Ikhwan Antarabangsa. Pemikiran dan pendekatan mereka cukup berbeza dalam menangani permasalahan.
Penulisan ini mengakui jasa dan perjuangan semua tanzim Ikhwan Malaysia. Cuma paling baik mereka bersatu dibawah satu bumbung iaitu dalam PAS atas hakikat sebenar mereka adalah politik Islam.
Ibrah daripada pengkisahan ini ialah
1.      Jika kita seorang Islamis, dalam politik kita perlu menjadi pembantu bukannya bercita-cita tinggi mahu pemimpin atau menguasai jemaah Islam yang lain. Jika kita mengejar jawatan dalam kepimpinan, kita membuka ruang kepada permusuhan dalaman.
2.      Keaktifan kita di peringkat lujnah negeri dan kawasan. Atau berjuang berdasarkan isu seperti alam sekitar, pengguna, hak pekerja dan orang asal. Jangan sangka keaktifan peringkat negeri atau kawasan itu tidak bermakna, Dato Husam Musa umpamanya, hanya tokoh Pemuda peringkat Negeri Kelantan yang akhirnya dipilih sebagai Naib Presiden PAS.
3.      Tanzim Ikhwan Malaysia perlu menjadikan PAS sebagai wadah penyatuan mereka. Tuan Guru Abdul Hadi Awang merupakan naqib usrah kepada murabbi IRC-JIM-IKRAM dan HALUAN. kedekatan ini sewajarnya merapatkan lagi hubungan PAS dengan tanzim Ikhwan. Alternatifnya leburkan organisasi dan sertai PAS. Menjadi tentera dan pembantu bukannya menyimpan cita-cita menjadi pemimpin atau menguasai PAS.
4.      Tanzim Ikhwan perlu menjadikan pengalaman dulu sebagai ibrah penting. Penyatuan dan perpaduan organisasi perlu diutamakan.


[i] Pembacaan awal boleh merujuk, Riduan Mohamad Nor, Sejarah&Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, KL:MHI, 2007.
[ii] Pemikiran Sayyid Qutb bersifat revolusioner dimana ia sangat mementingkan pemantapan dan kelurusan aqidah tanpa kompromi. Pemikiran ini bertunjang La ilaha illallah. Ia menolak secara tuntas menolak dan menentang terhadap toghut dan  jahilillah moden. Pemikiran ini tidak memberikan pilihan lain kepada orang beriman dan bukan Islam dalam konsep kemasyarakatan dapat dilihat pembahagian konsep masyarakat iaitu masyarakat Islam atau tidak.
[iii] Mohd Nazeli Ahmad Arifin, Ustaz Yahya Othman, PJ: ILHAM, 2014.
[iv] Adakah TGHH juga antara pimpinan IRC?. Kenapa TGHH membenarkan secara mudah tokoh-tokoh IRC berada dalm Lujnah Tarbiah PAS?. Seorang tokoh dakwah memberitahu bahawa TGHH cuba menguasai pentarbiahan ABIM tetapi gagal.
[v] setelah mereka pulang ke Malaysia, mereka mengerakkan penubuhan Parti Negara Islam tetapi gagal. Mereka berkeputusan bergerak dalam PAS.
[vi] Zainah Anwar, Kebangkitan Islam Di Kalangan Pelajar, PJ: IBS, 1990.
[vii] Kisah ini pernah dinukilkan oleh Maulana Abu Hassan an Nadwi semasa menziarahi Mesir.
[viii] Riduan Mohd Nor, Pengaruh Ikhwanul Muslimin Terhadap PAS, Tanpa Penerbit, 2004.
[ix] Ditubuhkan dalam bulan April 1974. Lihat Ucapan Dasar Presiden JIM, ke 21.
[x] Dari United Kingdom, Mesir, Amerika Syarikat, Autralia, Kuwait, India, Maghribi, Jordan dan beberapa negara lain. Lihat Ucapan Dasar Presiden JIM dalam PPN ke 20 (2010).
[xi] Mereka ditarbiah oleh gerakan Islam Antarabangsa iaitu Ikhwanul Muslimin, Jemaat Islami dan Jemaah Nursi. Lihat Ucapan Dasar Presiden JIM ke 20.
[xii] Ucapan Dasar Presiden JIM ke 20.
[xiii] Catatan Hazmi Dibok
[xiv] Mohd Nazeli Ahmad Arifin, Ustaz Yahya Othman.
[xv] Majalah Tarbawi edidi 4.
[xvi] Catatan Hazmi Dibok.
[xvii] Ibid.
[xviii] Hilal Asyraf, Menegang Murabbi Ustaz Dahlan Mohd Zain, Batu Caves: Langitman, 2013.
[xix] Rduan Mohamad Nor, Menerjang Badai, KL: Jundi, 2011.
[xx] Ada pendapat bahawa pentarbiahan ABIM juga dikuasai oleh Abdul Hadi Awang.
[xxi]  Pada akhir 1970an, ABIM mendekati diri dengan pemikiran Pak Natsir dan fikrah asal Ikhwan iaitu pemikiran al banna.
[xxii] Antara yang seringkali memberi kuliah dalam program PMIUM dan PMAPIUM ialah Ustaz Darus Senawi (HALUAN) dan Ustaz Alias Othman (JIM-IKRAM).
[xxiii] Ada pendapat bahawa tindakan Lujnah Tarbiah PAS Pusat tersebut setelah dinasihati oleh Abdul Hadi Awang. Persoalan yang timbul, adakah Abdul Hadi Awang juga seorang anggota IRC atau Alami Mesir?.
[xxiv] Pada tahun 1988 juga, HALUAN ditubuhkan.
[xxv] Mohd Fuad Mohd Salleh, Liku-liku Gerakan Islam di Malaysia, Shah Alam: IMAP, 2015.
[xxvi] Ucapan Dasar Presiden JIM, PPN ke 21.
[xxvii] Majlis Peguam Malaysia antara pertubuhan yang banyak menentang pelaksanaan Islam. Selepas PRU ke 12, Majlis Peguam mengadakan satu majlis makan malam. Tun Abdul Hamid, mantan Ketua Hakim Negara mencatatkan “Encik Cecil Rajendra, peguam-penyair dari Pulau Pinang itu, menulis sebuah puisi memuji peguam-peguam yang memenangi pilihanraya atas tiket DAP dan Keadilan. Sebelum membaca puisinya, beliau memanggil mereka naik ke pentas dan mengisytiharkan mereka sebagai “Our heroes”. Tokoh Majlis Peguam yang aktif dalam BERSIH dan Negara-Ku ialah Dato Ambiga. Lihat Tun Abdul Hamid Mohamad, “PEMBANGKANG, MAJLIS PEGUAM DAN COMANGO “MERAMPAS” MKPN (NUCC”).
[xxviii] https://www.youtube.com/watch?v=mYvrcKDPF3o durasi 0.53 saat dan 1.43 minit.
[xxix] Pengasas laman web ah Ahkam dan Forumthtl. Beliau merupakan mantan anggota Majlis Syura HALUAN.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...