Monday, November 13, 2006

GERAKAN MAHASISWA DI UNIVERSITI MALAYA 1970-1986

GERAKAN MAHASISWA DI UNIVERSITI MALAYA 1970-1986

Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias*
tokawang_sufi@yahoo.com

GERAKAN PELAJAR SEBELUM 1970


‘belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu
tidak maju tanpa pemimpin pengalaman(mencabar) dan terpelajar’
Ungku Aziz


1.0 PENDAHULUAN

Gerakan pelajar merupakan satu gerakan yang dipelopori segolongan anak muda yang menuntut di universiti. Gerakan pelajar muncul apabila ketidak-adilan sosial yang berlaku dalam masyarakat termasuk tribulasi dalaman yang dilakukan oleh penguasa universiti. Akibat tekanan yang hebat, mahasiswa telah mengambil langkah drastik bagi menonjolkan protes mereka melalui demonstrasi jalanan. Mahasiswa mempunyai falsafah perjuangan yang tersendiri berasaskan kesedaran dan kepekaan dalam permasalahan politik dan isu massa negara.

Menurut Mohamad Abu Bakar, falsafah perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai pelajar universiti, fungsi mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa dan situasi mereka sebagai kumpulan individu yang seringkali terdedah kepada dunia semasa.[1] Elemen ini memberi kesan kepada kehidupan mereka di dalam masyarakat khususnya di kampus. Oleh itu, pengaruh kemanusiaan ini mewujudkan aspirasi mahasiswa bagi menegakkan gagasan keadilan, kebenaran dan kebebasan.

Gagasan yang didokongi oleh gerakan pelajar ini diperjuangkan melalui proses interaksi gerakan pelajar dengan kerajaan dan penguasa universiti melalui medium diplomasi dan kekerasan. Tindakan lagha kerajaan dan penguasa universiti telah memberi alasan kepada gerakan pelajar mengambil langkah kekerasan seperti berdemonstrasi. Tindakan demonstrasi dilabelkan sebagai golongan kiri yang cuba menumbangkan kerajaan. Gerakan pelajar yang dilabel aliran kiri ini cukup penting dalam proses pembinaan sesebuah negara. Menurut Lipset, pelajar merupakan elemen penting dalam revolusi Jerman dan Austria pada tahun 1848 dan aktivis pelajar dilihat sebagai ‘Professors Parliament’ dalam usaha menumbangkan rejim monarki.[2] Gambaran ini menjelaskan gerakan pelajar berperanan sebagai jurubicara masyarakat dan sedia menegak kepentingan masyarakat.

Oleh itu, dalam bab satu penulis memaparkan sejarah awal gerakan pelajar di Malaysia yang menjadi antara asas nasionalisme negara. Penulis juga cuba memperlihatkan indikasi-indikasi yang menyebabkan kebangkitan gerakan pelajar.

2.0 SEJARAH PENUBUHAN UNIVERSITI MALAYA

Universiti Malaya diwujudkan pada 8 Oktober 1949 oleh Ordinan Enated Legislatures of Federation of Malaya di Singapura. Maklumat daripada Report of Commission on University Education in Malaya di bawah Dr. Sir Alexander Carr Sauder yang mengatakan ia diwujud pada March 1947 oleh Secretary of State untuk kolonial dirujuk;

‘to make recommendation, in the light of Report of the Commission of
1939 on Higher Education in the colonies, for the development of university
education in Malaya’

Kenyataan ini merujuk kewujudan universiti baru hasil gabungan King Edward VII College of Medicine yang dibina pada tahun 1905 dan Raffles College(aliran Sains dan sastera) yang dibina pada tahun 1929 dalam pengajaran bahasa Inggeris. Pada peringkat awal Universiti Malaya ingin dibina di Johor Bahru pada tahun 1954 dengan keluasan 1000 ekar tetapi telah dibina di Kuala Lumpur di tapak 650 ekar.[3] Di Kuala Lumpur, pembelajaran Universiti Malaya bermula pada tahun 1957 dengan mengambil 285 orang pelajar tahun pertama aliran sastera daripada kampus Singapura ke kampus Kuala Lumpur.

Pada tahun 1959, Universiti Malaya dibahagi dua divisyen iaitu satu di Kuala Lumpur dan satu di Singapura. Setiap divisyen mempunyai dekan dan Majlis Senat tersendiri tetapi universiti masih ditadbir oleh seorang Naib Canselor dan Majlis Pusat.[4] Fakulti Sastera dan Sains terdapat di kedua-dua kampus. Fakulti Perubatan, Undang-undang, Pengajian China dan bidang falsafah hanya ada di Singapura dan di Kuala Lumpur pula terdapat Fakulti Kejuteraan(dimulai pada tahun 1958), Pengajian Melayu, Pengajian India dan Geologi.

Penubuhan universiti menyebabkan peningkatan taraf keilmuan dan kesedaran terhadap persekitaran[5] terutamanya nasib masyarakat pribumi di luar bandar, isu bahasa dan masalah kebajikan pelajar serta penindasan golongan minoriti di negara tertentu. Universiti Malaya merupakan medan utama dan basic camp bagi gerakan pelajar menjalankan kegiatan mereka dalam usaha menyuarakan aspirasi pelajar dalam sesuatu isu.


3.0 PERKEMBANGAN PERSATUAN PELAJAR DI MALAYSIA.

Gerakan pelajar bermula seiring dengan perkembangan pendidikan di negara ini. Pada tahun 1816, sekolah pertama dibina oleh British iaitu Penang Free School. Pada tahun 1937, dunia pendidikan Tanah Melayu dikejutkan kelulusan pertama graduan Melayu dalam Senior Cambridge dan beliau adalah Abdul Wahab Mohd. Ariff. Beliau telah dianugerah Penang Free School Centenary Gold Medal pada tahun 1938 atas kecemerlangan pertama anak Melayu. Kejayaan Abdul Wahab mendorong rakan-rakan mendesak beliau memberi nasihat agar mereka turut cemerlang. Hasilnya Abdul Wahab menubuhkan pertubuhan pertama pelajar Melayu iaitu Malay Boys League yang bertujuan melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang tetapi terpaksa dibubar kerana larangan pengetua.

Semasa menuntut di Singapura, Abdul Wahab telah menjadi Presiden Mahasiswa Islam Kolej Raffles dan Perubatan Singapura iaitu sebuah pertubuhan Melayu Islam. Pertubuhan pelajar Melayu penting bagi menyatukan pelajar Melayu.[6] Jumlah pelajar yang kecil menyebabkan Abdul Wahab menyeru agar pelajar Melayu bersatu demi pelajaran.[7] Persatuan Mahasiswa Islam Kolej di Singapura juga mendesak agar kerajaan menubuhkan Majlis Pelajaran Tinggi yang diletakkan di bawah penyeliaan seorang pegawai Melayu sebagai Ketua Pengarah Pendidikan.

Pada bulan April 1946, Aminuddin Baki seorang pelajar menengah atas Sekolah Anderson, Ipoh menubuhkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf(PERMI). Pada bulan Ogos 1947 PERMI cawangan Perak ditubuhkan. Perkembangan gerakan pelajar semakin pesat dengan penubuhan Kesatuan Persuratan Penuntut Melayu Selangor(KPPMS) pada tahun 1946 dan Kesatuan Penuntut Melayu Pahang pada tahun 1947. Kesatuan Penuntut Melayu berkembang pesat pada tahun 1949 dengan penubuhan cawangan di negeri seperti Kelantan, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka dan Johor. Abdul Wahab telah mengetuai Jawatankuasa Persiapan Kongres Pelajar bagi menyatukan seluruh gerakan pelajar di Malaya.

Kongres Pelajar Melayu berlangsung di Maktab Teknik, Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos 1949. Pertubuhan yang hadir dalam kongres ini adalah Persatuan Penuntut-penuntut Muslim Maktab Teknik, PERMI(Perak), Persatuan Penuntut Melayu(Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Kajang) dan Persatuan Penuntut-penuntut Melayu Maktab Tanam-tanaman. Mereka membincangkan permasalahan pelajar Melayu dan bagaimana untuk bekerjasama. Pada jam 12 tengah hari, 15 Ogos 1949, kongres bersetuju menubuhkan Gabungan Penuntut-penuntut Melayu Semenanjung(GPMS) yang diketuai oleh Abdul Wahab.[8] Apabila Universiti Malaya ditubuhkan di Singapura, GPMS mendesak agar Dr. G.V. Allen sebagai Naib Canselor kerana beliau bersimpati dengan orang Melayu. Tampuk pimpinan GPMS dikuasai oleh pelajar Universiti Malaya seperti Lokman Musa, Musa Hitam dan Abdullah Ahmad Badawi.

Kewujudan kampus Universiti Malaya di Kuala Lumpur telah mengalakkan perkembangan gerakan pelajar. Sebenarnya banyak persatuan yang telah ditubuhkan tetapi penulis menumpukan kepada persatuan yang berpengaruh di Universiti Malaya iaitu PMUM, PBMUM dan PMIUM. Semua pelajar di Universiti Malaya bernaung di bawah PMUM atau UMSU mula ditubuh pada 1 Januari 1962 seiring dengan hari penubuhan Universiti Malaya yang ditubuh di bawah Akta Universiti Malaya. Maka Persatuan Mahasiswa yang ditubuh pada 15 Januari 1959 telah berakhir pada penghujung 1961.[9]

Tujuan PMUM ialah memupuk kebajikan am badan mahasiswa, memajukan kegiatan sosial, kebudayaan dan mengadakan hubungan rasmi dengan badan lain.[10] PMUM adalah badan pelajar yang diberikan kuasa untuk mewakili mahasiswa dalam semua perkara yang menyentuh kepentingan mahasiswa. PMUM[11] diakui sebagai suara rasmi pelajar oleh pihak Universiti Malaya. PMUM adalah pertubuhan yang lantang bersuara memperjuangkan isu kampus, antarabangsa dan nasional.

PMUM mempunyai kuasa menjalinkan hubungan rasmi dengan badan pelajar yang lain sama ada di dalam atau di luar negara. PMUM menyertai Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia(PKPM) yang merupakan wakil badan pelajar Malaysia dalam arena antarabangsa. PKPM telah ditubuhkan pada tahun 1958 dengan nama National Union of Federation Student(PKPPTM) dan ditukar nama kepada PKPM pada tahun 1962.[12] PKPM yang didominasi oleh tokoh PMUM juga bergabung di bawah International Student’ Council yang berpusat di London dan menyambut 17 November setiap tahun sebagai Hari Pelajar Antarabangsa.

PBMUM pula ditubuhkan pada 29 Januari 1955 di Singapura dengan ahli seramai 27 orang semasa tahap awal. Di Singapura, PBMUM dikenali Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan perkataan persekutuan diganti dengan persatuan pada tahun 1969.[13] Penubuhan PBMUM adalah hasil usaha pensyarah dan pelajar fakulti Sastera seperti Lokman Musa, Noh Abdullah, Tahir Abdul Rahman dan Fatimah Hasyim. Walau bagaimanapun, idea penubuhan PBMUM telah dicetuskan oleh Ungku Aziz dan Za’ba sejak tahun 1954 lagi.[14] Pada tahun 1956, keahlian PBMUM seramai 202 meningkat kepada 721 orang pada tahun 1965. Pada sesi 1970/1971, keahlian PBMUM adalah 3123 orang[15] menjadi antara persatuan berpengaruh di Universiti Malaya.

PBMUM tidak bergabung dengan PMUM kerana hala tuju PMUM tidak selaras dengan perjuangan bahasa dan kebudayaan Melayu.[16] Pengabungan akan membatasi peranan PBMUM. Teras perjuangan PBMUM berdasarkan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada tahun 1954 yang mendesak Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Hasrat ini bertambah kukuh apabila Majlis Undangan Persekutuan Tanah Melayu yang bersidang pada 31 Mei 1955 bersetuju menjadi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pada tahun 1969, PBMUM meminda perlembagaan dengan menambah isu perjuangan iaitu mengambil berat dan memperjuangkan pelajaran dalam Bahasa Melayu dan berusaha memperjuangkan keadaan bangsa dan negara. PBMUM mendakwa mereka adalah penyambung lidah rakyat bukanlah perjuangan perkauman tetapi perjuangan nasional.[17] Menurut Kochiko Mazilo, pendekatan PBMUM bukan emosional dan radikal tetapi bagi batu timbang setiap pergerakan yang menyeleweng daripada aspirasi nasional. Bahasa Melayu dan dasar pelajaran adalah cita-cita rakyat yang taat kerana bahasa bukan soal politik dan pelajaran bukan persoalan ekonomi.[18]

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM) diwujudkan pada pertengahan tahun 1950an hasil inisiatif Syed Muhamad Naquib al Attas, seorang pelajar Islam di Universiti Malaya, Singapura. Walau bagaimanapun, peranan PMIUM mula menonjol dan rancak apabila Universti Malaya berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, PMIUM di bawah pimpinan Hussein Ahmad berjaya mendapat tanah untuk Masjid ar-Rahman yang dibina pada tahun 1963. Pada tahun 1962, PMIUM bergabung di bawah PKPIM dengan menubuhkan Badan al Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan Islam SeMalaysia.

Pada tahun 1964, Syed Naquib pulang ke Tanah Air dan menjadi pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu. Kepulangan Syed Naquib merancakkan lagi kegiatan PMIUM apabila beliau cuba menyerap idea ‘faham Islam’ ke dalam pemikiran pelajar. Beliau telah berjaya menangkis hujah yang dikemukakan oleh golongan Sosialis dan Nasionalis. PMIUM cuba melahirkan mahasiswa yang memahami al Quran dan Sunnah yang melaksanakan prinsip Islam dan menyatukan persaudaraan Islam. Pejuangan PMIUM tersebar melalui makalah seperti Suara PMIUM dan Jurnal Sejahtera.



4.0 GERAKAN PELAJAR DAN POLITIK

Politik melibatkan satu keadaan perebutan kuasa, satu sistem bagi mengadakan peraturan asas, penglibatan pemerintah dan pembangkang dalam usaha mewujudkan masyarakat yang sempurna.[19] Gerakan protes adalah satu tindakan politik bagi menyaingi kekuasaan kerajaan.[20] Sifat intrinsiknya sukar dinyatakan tetapi ia harus ditangani dengan penuh bijaksana. Walau bagaimanapun, kondisi masyarakat tempatan antara alasan bagi organisasi pelajar mendesak untuk melakukan perlawanan sosial.[21]

Gerakan pelajar dan politik mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain. Keterlibatan gerakan pelajar dalam politik terbahagi dua iaitu tahap dalaman kampus dan politik luar terutamanya politik nasional. Menurut Khong Kim Hoong, pelajar mesti aktif dalam politik supaya terlibat secara langsung dalam proses pembinaan bangsa dimana pelajar perlu berupaya menganalisis tentang persoalan demokrasi, kebebasan dan equality.[22] Beberapa pertubuhan pelajar mempunyai jalinan ideologi yang rapat dengan pertubuhan politik dan pertubuhan bukan kerajaan. Perkara ini terbukti kumpulan Republik Islam yang pro-PAS mengalahkan kumpulan PKPIM-ABIM dalam pemilihan tampuk kuasa PMIUM pada tahun 1983.[23] Politik juga merangsang kematangan para pelajar dalam memperjuangkan permasalahan rakyat dan membentuk bakat kepimpinan.

Isu politik dan penyertaan dalam parti politik merupakan unsur yang berbeza. Bagi mengelakkan para pelajar terlibat secara langsung dalam parti politik, pihak universiti wajar menubuhkan Current Affair Club iaitu kelab perbincangan politik.[24] Dalam kelab perbincangan ini digalakkan perbezaan pendapat. Kritikan dan perbezaan dalam memberi pendapat akan memugarkan demokrasi yang berasaskan kebebasan bersuara dan pengetahuan hak asasi manusia.[25] Secara idealnya, kezahiran Kelab Sosialis boleh mempertingkatkan kesedaran politik di kalangan pelajar tetapi momentum kesedaran politik masih terhad pada lingkaran pelajar berjiwa kiri sahaja.[26]

Kewujudan arena politik kampus mewujudkan fenomena persaingan dalam mencari pengaruh demi kepentingan pertubuhan pelajar yang diwakili. Menurut Maurice Duverger,[27] proses ini dikenali sebagai ideological decentalization. Penyebaran ideologi merangsang suasana diskusi, persaingan intelektual, perdebatan dan kemahiran berpolitik. Pertubuhan pelajar yang berpengaruh sering menghangatkan suasana politik kampus Universiti Malaya ialah Kelab Sosialis(1960an-1974), PBMUM(1960an-1974), PMIUM(1971-2003), Barisan Mahasiswa Bersatu(1990an), Gagasan Mahasiswa(1997-2003).



5.0 ISU DAN PENDEKATAN: MERINTIS JALAN KE PUNCAK

Secara umumnya, gerakan pelajar muncul di institusi pendidikan seperti universiti, maktab dan pondok. Pada awal 1930an, beberapa lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda yang menentang penjajah British dan menuntut kemerdekaan.[28] Penubuhan Universiti Malaya membawa perspektif baru bagi gerakan pelajar dalam berorganisasi dan berjuang. Di bawah adalah sebahagian isu utama[29] dan pendekatan gerakan pelajar secara progresif dalam penyelesaian isu kampus dan masyarakat sekitar akhir 1960an.

5.1 Isu Tanah di Teluk Gong.

Dalam bulan September 1967, PBMUM telah mengadakan Simposium ‘Masalah Penduduk Luar Bandar’ bertujuan membincangkan dan mengkaji masalah yang dihadapi oleh penduduk luar bandar. Permasalahan yang dibincang mencakupi persoalan pendidikan, nasib wanita, kemudahan dan ekonomi orang Melayu di luar bandar. PBMUM telah menggunakan platform simposium ini bagi menyuarakan pembelaan yang harus dilakukan ke atas rakyat miskin dan terbiar di desa.[30]

Walaupun perjuangan PBMUM dilihat dalam konteks positif, sesetengah pihak berpandangan PBMUM di bawah pimpinan Sanusi Osman terpengaruh dengan cita-cita fahaman Sosialis. Impak simposium ini, PBMUM bersama dengan PMUM[31] telah memperjuangkan isu Teluk Gong. Pada 10 Ogos 1967, Hamid Tuah[32] bersama pengikutnya telah membuka tanah haram untuk petempatan dan pertanian di Teluk Gong. Pada 21 Ogos 1967, seramai 530 petani telah menanam sayur-sayuran dan membina penempatan di atas tanah 1000 ekar.[33] Pada bulan September 1967, kerajaan memberi amaran supaya tanah tersebut dikosongkan dalam tempoh seminggu. Kerajaan telah bertindak menangkap Hamid Tuah[34] dan pengikutnya[35] yang enggan menurut perintah dan memusnahkan petempatan haram tersebut.

Pada 14 Oktober 1967, pelajar mengadakan sudut pidato membidas pihak kerajaan Selangor dan mendesak agar Hamid Tuah dan rakan-rakannya dibebaskan. Mereka telah berarak dan berpiket di depan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Perarakan itu dapat disuraikan oleh FRU setelah pihak PMUM melalui Setiausaha Agung PMUM, Syed Hamid Ali berjaya menghantar memorandum.

Pada 15 Oktober 1967, sudut pidato diadakan lagi dengan luahan isteri Hamid Tuah, Syarifah Aini dan Dam Huri(anak beliau) di hadapan kira-kira 200 orang pelajar. Pelajar telah mengutip derma sebanyak RM500, pakaian dan susu untuk diagihkan kepada pengikut Hamid Tuah.


5.2 Isu Penglibatan Pelajar Dalam Pilihanraya 1969.

Gerakan pelajar mengalami tranformasi secara radikal dalam politik apabila melibatkan diri dalam pilihanraya Umum 1969. Pada bulan April dan Mei, PMUM telah bersedia dengan membuat persiapan bagi menyertai kempen pilihan raya. PMUM cuba memberi gambaran sebenar tentang politik nasional dengan menggunakan pedekatan non racial. Pada 19 April 1969, PMUM telah mengeluarkan satu manifesto yang dikenali Manifesto Mahasiswa[36] sebagai asas perjuangan.

PMUM telah menyediakan manifesto yang bebas daripada sifat perkauman yang diamalkan dalam politik nasional. Pembebasan daripada unsur perkauman dalam manifesto diakui oleh Jawatankuasa MAGERAN Mengkaji Kehidupan Penuntut-penuntut Di Kampus Universiti Malaya.[37] PMUM dalam manifestonya memperjuangkan isu-isu masyarakat seperti hak-hak demokrasi, perpaduan nasional, reformasi pelajaran, kesihatan, gaji minimun, reformasi pertanian dan dasar luar.[38] Pelajar ingin melahirkan masyarakat yang adil dan seimbang dimana penindasan manusia ke atas manusia lain tidak kedapatan.

PMUM telah turun padang dalam kempen pilihanraya 1969 dengan mengadakan rapat umum secara besar-besaran di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Klang, Ipoh dan Petaling Jaya. Rapat umum mempamerkan bakat politik dari segi idealis dan karismatik pimpinan pelajar seperti Syed Hamid Ali, Khong Kim Hoong dan Yoong Suan.[39] Sebanyak 13 rapat umum diadakan dengan kehadiran 100,000 orang rakyat menunjukkan betapa besar pengaruh gerakan pelajar di kalangan rakyat sehingga pimpinan PMUM tidak dibenarkan ke negeri Pantai Timur.


5.3 Impak Peristiwa 13 Mei.

PBMUM mengadakan sidang tergempar pada 11 Julai 1969 telah meletakkan kesalahan di bahu pucuk pimpinan negara ekoran peristiwa hitam itu dengan meluluskan undi tidak percaya terhadap Tunku. PBMUM bersama kumpulan anti Tunku telah menyatakan kegagalan Tunku melalui pelbagai wasilah seperti banner, surat layang dan Berita PBMUM. Penemuan banner yang tergantung di Masjid ar Rahman dengan slogan ‘Regim Tengku Imperialis dan Feudalis’ dan ‘Tengku, berhentilah’ pada 17 Julai 1969 mengecewakan hati Tunku.[40]

Pada peringkat awal PMUM tidak terlibat dalam pertikaian mahasiswa dengan Tunku tetapi Tunku telah menuduh Presiden PMUM, Syed Hamid Ali terlibat dalam menguruskan perarakan mayat pemuda Cina yang ditembak oleh polis di Kepong.[41] Syed Hamid Ali menyangkal tuduhan Tunku[42] dan mengajak Tunku berdebat. Kerajaan telah mula mengendurkan keadaan dengan mengubah kenyataan daripada mengurus perarakan kepada bersama-sama berada di balai polis untuk meminta kebenaran.[43] Syed Hamid menjelaskan beliau hanya jurubahasa antara penganjur dengan polis.[44]

Pada 28 Ogos 1969, pelajar mengadakan sudut pidato yang ditaja oleh PBMUM sempena Konferensi Internasional mengenai Drama dan Muzik Tradisonal telah mengutuk Tunku. Seramai 1000 orang pelajar berarak ke Dewan Tunku Canselor dan bertembung pasukan FRU yang telah menembak 10 das gas pemedih mata. Pelajar tidak berpuashati telah mendakwa pihak polis mencabul hak autonomi universiti.[45]

Pada 29 Ogos 1969, demonstrasi diadakan bagi mendesak agar hak autonomi dikekalkan telah dihadiri 1000 orang pelajar di sudut pidato. Pada malam hari tersebut, polis menahan Naib YDP PBMUM, Hanafiah Ishak, Aziz Deraman(Setiausaha Penerbitan PBMUM), Yusuf Embi(ahli PBMUM) dan Syed Hamid di bawah undang-undang Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah 1969. Pada 2 September 1969, pelajar tersebut dibebaskan setelah perbincangan diadakan antara wakil pihak pelajar dengan kerajaan[46] dan desakan 10 badan pelajar antarabangsa seperti Federation of United Kingdom and Eire Malaysian and Singapore Student Organization(FGEMSO).

Pada 27 September 1969, suasana kembali tegang apabila PBMUM mengadakan sudut pidato di depan perpustakaan yang telah dihadiri oleh 300 orang pelajar. Sudut pidato pada hari tersebut bertujuan membincangkan buku yang dihasilkan oleh Tunku iaitu 13 Mei: Sebelum dan Selepasnya. Pelajar telah membakar buku ini sebagai tanda protes dengan alasan ia bersifat mitos dan subversif yang menimbulkan sifat perkauman dan satu tuduhan yang melulu.[47] Anwar Ibrahim(YDP PBMUM), protes yang diadakan pada hari itu berikutan tuduhan Tunku dalam buku tersebut adalah tidak tepat.[48] Tunku meletakkan jawatan[49] pada 22 September 1970 dan diganti oleh Tun Razak.

5.4 Isu Bahasa dan Dasar Pelajaran.

Isu Bahasa sangat penting bagi menjamin survival orang Melayu dan menguatkan lagi perpaduan rakyat di Malaysia. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu terjamin selaras dengan perlembagaan negara dimana bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu dan orang bukan Melayu diberi peluang sekurang-kurang 10 tahun untuk bertranformasi dari berbahasa Inggeris kepada berbahasa Melayu.[50] Bahasa Melayu dilihat sebagai wahana bagi negara mencapai perpaduan diantara rakyat yang pelbagai kaum. Dalam Penyata Razak telah dijelaskan matlamat dasar pendidikan adalah menyatukan segala bangsa dibawah sistem pendidikan nasional yang menggunakan bahasa kebangsaan.[51]

Bagi memenuhi agenda bahasa kebangsaan, pada 28 hingga 29 September 1968, PBMUM mengambil inisiatif dengan mengadakan Simposium Dasar Pelajaran Kebangsaan merupakan lanjutan Seminar Bahasa Kebangsaan pada tahun 1966. Simposium ini dihadiri oleh 30 buah pertubuhan dan menyatakan resolusi agar penubuhan Universiti Kebangsaan diwujudkan selewat-lewat pada tahun 1970 dan kerajaan perlu tegas dalam pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Perjuangan menegak Bahasa Melayu merupakan perjuangan berterusan. Bahasa Melayu adalah sumber adipenting bagi nasionalisme.[52] Secara umumnya, gerakan pelajar bersetuju pelaksanaan dasar Bahasa Melayu. Cuma berlaku dikotomi dalam kaedah pelaksanaan. PBMUM mahukan perubahan secara drastik dimana Bahasa Melayu perlu digunakan secara meluas dalam kursus di Universiti Malaya bukan hanya di fakulti Sastera yang dimulakan pada tahun 1970. Tuntutan PBMUM disokong oleh Kelab Sosialis. PMUM pula mahu pelaksanaan dilakukan berperingkat-peringkat. Kenyataan PMUM dikecam oleh PBMUM sebagai satu propanganda dan helah. PBMUM mecabar Setiausaha Agung PMUM, Encik Oon meletakkan jawatan.[53] Isu bahasa telah memberi impak kepada dua demonstrasi;


a. Bantahan Peletakan Jawatan Abdul Rahman Yaakob.

Menteri Pelajaran Dato Abdul Rahman Yaakob akan meletakkan jawatan untuk menjawat jawatan Ketua Menteri Sarawak. Pada 7 Julai 1970, wakil PBMUM dan PMIUM pergi kediaman Tun Razak ingin mengetahui keadaan sebenar. Pada 9 Julai 1970, seramai 2000 ahli PBMUM melakukan demonstrasi mendesak supaya perletakan jawatan ditarik balik. Pelajar berarak ke luar kampus disertai pelajar Universti Kebangsaan. Demonstrasi bersurai setelah mendapat mesej bahawa Abdul Rahman datang ke Kuala Lumpur untuk menjelas isu ini. Pada 10 Julai 1967, Abdul Rahman menjelaskan Dasar Bahasa Melayu tidak akan berubah walaupun beliau tiada.

b. Demontransi Papan Tanda.

Pada 5 Oktober 1970, PBMUM memcabar tindakan pensyarah yang tidak mahu mengajar dalam Bahasa Melayu dalam bilik kuliah A di fakulti Sastera.[54] PBMUM curiga tentang pelaksanaan Bahasa Melayu di universti. Menurut Anwar Ibrahim, surat kepada Naib Canselor kepada PBMUM bertarikh 4 Julai 1969 menjelaskan penggunaan Bahasa Melayu dalam proses perbincangan oleh Majlis Senat. PBMUM juga kecewa sikap pentadbir Universiti Malaya yang meremeh pelaksanaan Bahasa Melayu walaupun pentadbir universiti berjanji memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu.[55]

Pada jam 10.00 pagi hari tersebut, PBMUM mengadakan sudut pidato dan berarak yang disertai 3000 orang pelajar. Mereka menyerbu fakulti Sains, Sastera, Pendidikan dan pusat petadbiran dengan mengecat kenyataan berbahasa Inggeris termasuk perkataan ‘UMSU’ yang terdapat pada bas PMUM dan no parking dengan warna merah dan hitam. Pelajar juga membakar surat berbahasa Inggeris.

5.5 Isu Antarabangsa: Pencerobohan Rusia ke atas Czekslovakia

Selain isu tempatan, gerakan pelajar juga mempunyai daya responsif terhadap isu antarabangsa. PMUM selalu memainkan peranan utama dalam persoalan isu antarabangsa. Pimpinan PMUM yang menguasai tampuk pentadbiran PKPM yang merupakan wakil badan pelajar di Malaysia mempunyai hubungan dengan badan pelajar negara lain di peringkat antarabangsa. Pada bulan Ogos 1968, pakatan Warsaw yang diketuai oleh Rusia memceroboh Czekslovakia. Gerakan pelajar di seluruh dunia menyatakan penentangan terhadap tindakan Rusia.

Pendudukan Rusia selama 6 minggu[56] mencabul kedaulatan sesebuah negara yang bebas telah menyemarak semangat protes di kalangan pelajar. Pelajar Universiti Malaya dan Singapura mengutuk tindakan Rusia walaupun Rusia beralasan menghapuskan puak deviationist di Czekslovakia.[57] Sebenarnya kemasukan berpunca apabila Alexender Dubcek(Setiusaha Agung Parti Komunis) mahu melakukan reformasi dalam Parti Komunis Czekslovakia. Perubahan itu disokong oleh golongan pelajar negara itu. Pada 28 Ogos 1968, seramai 150 pelajar Universiti Malaya berarak mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Rusia bagi mengecam tindakan Rusia. Perarakan itu berjaya disurai oleh FRU setelah menggunakan gas pemedih mata.

Pada 27 Ogos 1969, seramai 1000 orang pelajar menunjukkan perasaan di hadapan Kementerian Dalam Negeri dibawah pimpinan Syed Hamid Ali. Reaksi pelajar Malaysia terbit apabila pertubuhan pelajar Czekslovakia iaitu Czech Student Union menolak perjanjian dengan Rusia;
‘never resign themselves to result of the Moscow negotiations’[58]

6.0 KESIMPULAN

Sebelum tahun 1970, aktiviti pelajar boleh dibahagikan dua era iaitu sebelum tahun 1965 yang bersifat kebudayaan dan ilmiah dan selepas tahun 1965 hingga 1970, kemunculan pelajar progresif yang mahu perubahan terutamanya dalam masyarakat. Keterlibatan pelajar dalam masyarakat memperluaskan objektif sosial pelajar agar tidak terkongkong dalam bidang akademik semata-mata. Bakat kepimpinan yang dimiliki oleh Syed Hamid Ali dan Anwar Ibrahim membolehkan pelajar menjadi jurubicara masyarakat agar suara rakyat didengari oleh penguasa politik. Asas gerakan pelajar pada akhir 1960an akan mempengaruhi suasana politik kampus pada dekad seterusnya.



* Gerakan Mahasiswa Universiti Malaya 1970-1986 adalah latihan ilmiah Jabatan Sejarah Universiti Malaya pada tahun 2004. Ia ditulis oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias di bawah seliaan Prof Mohamad Redzuan Othman, mantan Naib Presiden ABIM. Penulis dikenali sebagai mamat_com di alam maya.
[1] Mohamad Abu Bakar, “Falsafah Perjuangan Mahasiswa” dlm. Majalah Varsiti 1981/82, Kuala Lumpur: Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, hlm. 137.
[2] S.M Lipset, “ Students and Politic in Comparative Perspective”, dalam S. M Lipset and P. G Altbach(ed.), Student in Revolt, Boston: Houghton Mifflin Company, 1969, hlm. xv.
[3] Dr. R.S. Aitken(ketua), Report of The University Malaya Commission of Enquiry 1957, Singapore: Govt. Print. Office, 1957, hlm. 9-10.
[4] “ The University of Malaya: A Short History”, dlm. Majalah Varsity 1970, Kuala Lumpur: PMUM, 1970. hlm. 10-11.
[5] Hussain Mohamed, “Gerakan Pelajar di Malaysia: Satu Sorotan” dlm., Hussain Mohamed(ed.), Belia di Malaysia: Masalah, Gerakan dan Masa Depan, Kuala Lumpur: Aneka Publishing, 1997, hlm. 76.
[6] Jumlah Pelajar Melayu
Kolej Perubatan 25 orang daripada 312 orang pelajar
Kolej Raffles 33 orang daripada 300 orang pelajar
United Kingdom 38 orang
Maklumat ini dirujuk daripada; M.A. Fawzi Basri, “1948 GPMS Sebagai Badan Pelajar Kebangsaan” dlm. Cenderamata Jubli Perak GPMS, 1973, hlm. 59.
[7] The Sunday Tribune, 30.5.1948. Dirujuk daripada karya; Mohd Tajuddin, Aminuddin Baki, Petaling Jaya: Pelanduk Publication, 1987, hlm. 11.
[8] Mohd Tajuddin, Aminuddin Baki, hlm. 14.
[9] Buku Panduan PMUM 1974, Kuala Lumpur: PMUM, 1974, hlm. 8.
[10] “Satu Pengenalan: Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya”, dlm. Majalah Varsity 1970, hlm. 8.
[11] Sebanyak 32 pertubuhan pelajar yang bergabung dengan PMUM dan 13 lagi pertubuhan pelajar tidak bergabung termasuk sebuah kelab politik pelajar(Kelab Sosialis). Lihat, Laporan Jawatankuasa Majlis Gerakan Negara Mengkaji Kehidupan Penuntut-penuntut di Kampus Universiti Malaya 1971, Kuala Lumpur: MAGERAN, 1971, hlm. 17.
[12] Mariam Lim(ed.), Union Perspective 1969, Kuala Lumpur: PMUM, 1969, hlm. 72.
[13] Noordin Razak, PBMUM: Satu Kajian tentang Perubahan Sikap Mahasiswa Melayu, Latihan Ilmiah, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1971, hlm. 7.
[14] Adnan Nawang, Za’ba: Patriot dan Pendeta Melayu, Kuala Lumpur: Yayasan Penataran Ilmu, 1994, hlm. 167.
[15] Lapuran Tahunan PBMUM 1970/1971. Kenaikan keahlian PBMUM disebabkan peningkatan jumlah kemasukkan pelajar Melayu ke Universiti. Lihat juga Laporan Jawatankuasa Majlis Gerakan Negara Mengkaji Kehidupan Penuntut-penuntut di Kampus Universiti Malaya 1971, hlm. 46-47.
[16] Laporan Jawatankuasa Majlis Gerakan Negara Mengkaji Kehidupan Penuntut-penuntut di Kampus Universiti Malaya 1971, Kuala Lumpur: MAGERAN, 1971, hlm. 16.
[17] Berita PBMUM. 28. Mei. 1971.
[18] Kochiko Mazilo, “Bahasa Bukan Soal Politik, Pelajaran Bukan Soal Ekonomi”, Utusan Malaysia, 23.10.1970.
[19] “Mahasiswa dan Politik”, Kongres Kepimpinan Perdana Kebangsaan, 16-17 Oktober 1996, Jitra: Persatuan Sains Politik UUM.
[20] Qasim Ahmad, Kekerasan Dalam Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, hlm. 9.
[21] Ernest Mandels, “Gerakan Mahasiswa Revolusioner”, http://idealismahasiswa.com.my.
[22] Khong Kim Hoong adalah Presiden PMUM sesi 1969. Lihat Mariam Lim(ed.), Union Perspective 1969, hlm. 4.
[23] Zainah Anwar, Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, Petaling Jaya: IBS Buku, 1990, hlm. 69.
[24] Laporan Jawatankuasa Majlis Gerakan Negara Mengkaji Kehidupan Penuntut-penuntut di Kampus Universiti Malaya 1971, hlm. 58.
[25] F. H. T. Rhodes, ‘The University and its Critics’ dlm. W.G. Brow & H.T. Shapiraled(ed.), University and Their Leadership, New Jersey: Princeton University Press, 1998, hlm. 4.
[26] Temuramah Mohamad Abu Bakar, 2.1.2003. Pelajar harus bebas membicarakan tentang ideologi dan mengkritik. Lihat, Majalah Varsity, 1965, hlm. 13.
[27] Maurice Duverger, Political Parties: Their Organization and Activity in the Modern State, London: Methuen, 1967, hlm. 54.
[28] Hasan Karim, “Perjuangan Pelajar Di Malaysia” dlm. Hasan Karim(ed.), Bersama Rakyat: Gerakan Mahasiswa 1967-74, Petaling Jaya: INSAN, 1984, hlm. 1.
[29] Sebenarnya banyak isu yang diperjuang oleh pelajar. Penulis memilih isu yang penting sahaja kerana terdapat isu luar daripada lingkaran kajian penulis. Bagi mengetahui lebih lanjut, lihat Mohamad Abu Bakar, Mahasiswa Menggugat.
[30] Mohamad Abu Bakar, Mahasiswa Menggugat, hlm. 57.
[31] PMUM dengan PBMUM dapat bekerjasama kerana pimpinan kedua-dua pertubuhan dikuasai oleh pemimpin Kelab Sosialis iaitu Sanusi Osman dan Syed Hamid Ali.
[32] Wira petani yang memperjuang isu tanah rakyat. Beliau adalah cucu Sheikh Abdul Wahab, guru agama Sultan Langkat yang berasal dari Babus Salam, Tanjung Pura, Langkat Sumatera Utara. Ramai murid Abdul Wahab berhijrah ke Selangor pada tahun 1930an telah meminta bantuan beliau dalam penyelesaian isu penerokaan tanah. Selain Teluk Gong, Hamid Tuah juga terlibat memimpin rakyat dalam isu tanah di Bukit Ceraka, Subang(1950an), Batu 5, Jalan Banting(1961) dan Merbau Berdarah(1969).
[33] Sanusi Osman, Kelaparan Tanah di Kalangan Kaum Tani Malaya, Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya, 1968, hlm. 95.
[34] Utusan Malaysia. 27. 9. 1967.
[35] Pengikut Hamid Tuah ditahan selepas beberapa hari beliau ditahan. Lihat Utusan Malaysia. 12.10.1967. Antara ditahan adalah Yahya Zainuddin dan Dam Huri(anak Hamid Tuah).
[36] Manifesto dibuat oleh Majlis Sementara PMUM yang dianggotai 7 ahli yang dipilih pada bulan Disember 1968 berikutan pembubaran Majlis PMUM ke 11 dan diluluskan dalam Mesyuarat Agong Tahunan Majlis PMUM ke 12 sebagai panduan dan penyataan sikap PMUM terhadap politik. Lihat, Laporan Jawatankuasa Majlis Gerakan Negara Mengkaji Kehidupan Penuntut-penuntut di Kampus Universiti Malaya 1971, hlm. 29.
[37] Laporan Jawatankuasa Majlis Gerakan Negara Mengkaji Kehidupan Penuntut-penuntut di Kampus Universiti Malaya 1971, hlm. 57.
[38] Manifesto Mahasiswa 1969. Manifesto ini bersalahan dengan Ordinan Kesalahan Pilihanraya 1954 yang melarang badan bukan politik terlibat dalam politik.
[39] Mohamad Abu Bakar, Mahasiswa Menggugat, hlm. 81.
[40] Luahan perasaan Tunku boleh dilihat dalam memoirnya. Tunku Abdul Rahman, 13 Mei: Sebelum dan Selepasnya, Kuala Lumpur: Utusan Melayu, 1969, hlm. 145-147.
[41] Mingguan Malaysia, 20.7.1969. Pemuda itu bernama Lim Sun Seng, lihat Berita Harian, 5.5.1969.
[42] Utusan Malaysia, 21.7.1969. Walau bagaimanapun, PMUM bersimpati dalam peristiwa kematian ahli Parti Buruh tersebut. Lihat, Berita Harian, 6.5.1969.
[43] Utusan Malaysia, 21.7.1969.
[44] Utusan Malaysia, 22.7.1969.
[45] Mohamad Abu Bakar, Mahasiswa Menggugat, hlm. 95.
[46] PBMUM menghantar delegasi yang diketuai Syed Naquib al Attas(Dekan Fakulti Sastera) manakala delegasi PMUM diketuai oleh Pemangku Presiden PMUM, Toh Kim Chye untuk bersemuka dengan Menteri Dalam Negeri, Tun Dr. Ismail.
[47] Mohamad Abu Bakar, Mahasiswa Menggugat, hlm. 102.
[48] Utusan Malaysia, 3.10.1969.
[49] Walaupun Tunku meletakkan jawatan, PBMUM masih mengkritik Tunku. Contoh, isu pencen, seramai 200 berdemonstrasi membantah pembayaran $4000 sebulan dan saguhati sebanyak $200,000 kepada Tunku. Pembayaran ini tidak relevan kerana Tunku masih memperolehi gaji sebagai Setiausaha Agong OIC. Lihat Utusan Malaysia, 1.10.1970.
[50] Report of Federation of Malaya Constituitional Commission 1957, hlm. 74. Penggunaan Bahasa Melayu di kampus cuba diusahakan oleh golongan Nasionalis sejak 1960 dengan mengadakan minggu bahasa. Varsity, 1961, hlm. 60.
[51] Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956, hlm. 3
[52] Berita Pelajar, November/Disember 1968.
[53] Utusan Malaysia, 9.4.1970.
[54] Mohamad Abu Bakar, Mahasiswa Menggugat, hlm. 108.
[55] Utusan Malaysia, 31. 12. 1969.
[56] Berita Pelajar Special, Oktober 1968.
[57] Mohamad Abu Bakar, Mahasiswa Menggugat, hlm. 70.
[58] Berita Pelajar Special, Oktober 1968.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...