Sunday, January 21, 2018

Ukuran Politik


[1]
Jika iman boleh berbolak-balik, begitu juga niat ikhlas dan tujuan seseorang.
Kita seringkali alah-segan-kalah dengan budi, jasa dan pengaulan baik dengan seseorang sehingga mengelapkan kebenaran. Budi, jasa dan pengaulan telah membuta-tulikan diri kita.
Berapa para hero-WIRA yang berjuang dengan ikhlas pada awalnya berakhirnya dengan terperangkap dalam silauan kuasa, kemasyhuran dan material dengan menjadi sang diktator, penzalim dan pendosa.
Cukuplah al-Quran dan as Sunnah serta sejarah menjadi pedoman, petunjuk dan peringatan kepada kita semua.
[2]
‘Apabila Tun Hasmah berdiri dalam majlis politik, percayalah perjuangan Tun M untuk anak cucunya’
Ramai berpandangan kemunculan Tun M dalam politik adalah untuk memberi nafas panjang kepada Dato Seri Mukriz Mahathir dalam politik.
Mukriz tewas dalam pemilihan Naib Presiden UMNO dan ura-ura diturunkan daripada jawatan Menteri Besar Kedah menyebabkan Tun M bangkit kembali menentang DS Mohd Najib setelah berehat menurunkan Tun Abdullah.
DSMN sebagaimana Pak Lah tidak mengikut telunjuk Tun M. Jika Pak Lah mempunyai ‘budak tingkat empat’ telah berjaya ditewaskan oleh Tun M, DSMN lebih kebal dan degil dengan sokongan DSRM.
Perjuangan Tun M pada akhir-akhir ini untuk:
A. Menumbangkan DSMN
B. Menaikkan kembali pewaris beliau dalam politik iaitu DS Mukriz
C. Menaikkan kembali para taikun yang pro Tun M.
[3]
Disebalik tabir Perang antara tokoh politik adalah perang para taikun-taikun, para penguasa ekonomi negara kita.
Para taikun adalah sumber dana politik kepada tokoh dan parti politik. Timbal-balik adalah habuan projek mega kerajaan.
Pada zaman DSMN, para taikun pro Tun M dipinggirkan. Projek mega, DSMN serah kepada syarikat-syarikat dari Negara China manakala dana politik diperolehi daripada kabilah Saud. Para taikun tidak puas dan menyokong Tun M dalam pertempuran ini.
[4]
Desas-desus mengatakan berlakunya, pakatan Tun M dengan Tun Pehin Taib Mahmud. Jika benar, maka, PH bakal melengkapkan gabungan trio Korupsi, Kronisme dan nepotisme terbesar negara iaitu DSAI-Tun M-Taib Mahmud.
[5]
Malaysia Baru bukan dengan Tun M atau DSAI.
Malaysia Baru sepatutnya memberi peluang dan ruang kepada DS Mohamed Azmin sebagai PM dan Timbalannya adalah DS Mukriz. Tun M dilantik sebagai Menteri Mentor manakala DSAI sebagai Menteri Kanan. Kedua-dua jawatan ini berada dalam kabinet dan menasihati kabinet.
[6]
Ukuran politik kita adalah ISLAM.
Memilih pemimpin, ukurannya juga adalah ISLAM.
Pengundian kita, sejauhmanakah sesebuah parti  atau seseorang pemimpin itu mahu melaksanakan dan menegakkan Islam? Biar pengundian kita menambah pahala dan amalan saleh kita.

Politik untuk Akhirat menolak politik pragmatis atau politik berdasarkan matlamat menghalalkan cara.

Penjual Agama dan Penunggang Agama



[1]

“Kalimah itu benar tetapi tujuannya adalah batil”

Umumnya, kita menganggap Pejual agama dan penunggang agama adalah orang yang mengunakan dalil dan hujah bersumberkan al-Quran dan as Sunnah untuk kepentingan diri dan kelompok mereka. Lazimnya, mereka adalah kelompok lulusan pengajian agama yang mengunakan dalil-hujah agama untuk kepentingan perniagaan dan politik kepartian-organisasi. Punbegitu, ia tidak terhad kepada lulusan pengajian agama sahaja. Ia juga dilakukan orang lain.

Orang ramai mungkin keliru dan  dalam dilema antara hujah-dalil yang digunakan ikhlas kerana Allah atau mengunakan hujah-dalil atas kepentingan tertentu. Untuk mengetahui siapa pejual dan penunggang agama sukar kerana ia melibatkan persoalan niat dan suara hati seseorang serta tujuan sebenar orang tersebut. Hanya Allah SWT dan orang itu sendiri yang tahu apa yang diniatkan dalam hati mereka.

Begitu juga tentang orang yang mengakui dah insaf dan bertaubat. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu tahap keikhlasan dan keinsafan mereka.

[2]

Kita hanya menilai dan menghukum perkara yang zahir bukannya niat dan agenda tersembunyi yang kita tidak tahu. Niat dan agenda tersembunyi, kita serahkan kepada Allah SWT untuk menilai dan menghukum mereka.

Punbegitu, al-Quran dan as Sunnah ada mencirikan sifat-sifat manusia yang munafik. Sejarah juga menyatakan sifat-sifat dan tindakan yang ada pada pemimpin munafik Madinah, Abdullah Bin Ubai.
Kita juga diajar meminta maaf dan bertaubat. Jika bersalahan dengan manusia, kita kena minta maaf dan memperbaiki kesalahan dan kesilapan yang dilakukan. Sudah tentu kesilapan dan kesalahan yang besar adalah perkara disisi Allah.

[3]
Penjual dan penunggang agama boleh dikesan melalui
A. Pengaulan
B. Sejarah dan rekod yang lepas
C. Pandangan masa kini melalui tulisan dan lisan

[4]
Para pejuang dan pendokong kebenaran akan berpecah-belah disebabkan oleh sifat DENGKI. Sifat dengki akan menghasilkan DENDAM. Dengan dendam, maka perpecahan akan berlaku.

Perkara yang boleh diselesaikan dengan perbincangan dan hormat-menghormati pandangan dirosakkan oleh sifat DENGKI. Perbalahan berterusan dan dendam digenggam.
Silap sedikit, perang hujah-dalil berkumandang.

DENGKI
Membuta-tulikan kebenaran
Hati berpenyakit membuahkan dendam.

[5]

Dalam menghadapi fitnah ini, kita perlu

A. Akur terhadap apa yang ada dalam al-Quran dan as Sunnah. Segala penilaian dan ukuran dalam setiap keputusan dan tindakan berdasarkan al-Quran dan as Sunnah.
B. Utamakan persaudaraan Islam dan penyatuan ummah.
C. Sabar atas segala perangai manusia sekeliling
D. Menghormati segala pandangan dan ijtihad seseorang selagi tidak melanggar syariat Allah.
F. Serah urusan siapa yang benar kepada Allah SWT. Kita mati, mereka juga akan mati. Di Akhirat, kita semua akan dibicara di mahkamah Allah. Allah akan menghukumi kita bukannya suara atau pandangan manusia.

[6]

Penyakit nafsu
Perasaan loba yang berlebihan – TAMAK
Kemahuan nafsu yang tidak terkawal – BERNAFSU
Merasakan fikirannya sahaja yang betul – UJUD dan TERPERSONA

Penyakit hati
Hati berkarat dan hati tersumbat
Pengutamaan pada keduniaan

Lupa akhirat.

Saturday, January 20, 2018

Islam Sebagai Wasilah Penyelesaian Kemiskinan dan Masalah Ekonomi Negara.


[1]
Jika dilihat daripada mata kasar, orang Melayu masih miskin terutamanya penduduk di luar bandar dan kelas bawahan-menengah bawah di bandar.
Mereka miskin bukanlah bermaksud mereka bersifat pemalas dan bodoh kerana sifat malas dan bodoh itu bukanlah sifat bangsa tetapi seseorang individu tanpa mengira ia seorang Melayu, Cina, Jepun atau ‘Mat Salleh’.
[2]
Miskin tidak boleh dihapus atau dibasmi. Kemiskinan hanya mampu dikurangkan jumlahnya atau kadar kehidupan keluarga yang miskin.
Dalam Islam, miskin bukanlah satu masalah besar jika seseorang yang miskin itu bertaqwa dan redha dengan qada’ dan qadar Allah SWT. Redha dengan qada’ dan qadar Allah SWT bukan bermakna kita seorang ‘fatalis’ (berserah diri kepada nasib) kerana Islam mengajar kita supaya meluruskan niat, berusaha bersungguh-sungguh dan bertawakal kepada Allah dalam setiap perkara.
Kaya atau miskin adalah ketentuan Allah, jangan sampai kekayaan atau kemiskinan menjejaskan ketaqwaan diri kita kepada Allah sekaligus menjerumuskan diri ke dalam neraka.
[3]
Kehidupan asal orang Melayu adalah sederhana dan mengamalkan ekonomi ‘kampung’ atau sara diri. Ekonomi Kampung ini adalah pembekal kepada Ekonomi Perdagangan Melayu yang berada di pelabuhan utama dalam Daulah Melayu. Bangsa Melayu merupakan bangsa Tani-Pelaut-Pedagang dan berbudaya ‘kosmopolitan’ yang akhirnya dimusnahkan oleh kolonial Barat. Akhirnya, pelabuhan dan pedagang Melayu disekat, Orang Melayu hanya menjadi petani yang membekalkan hasil rempah ratus kepada penjajah Barat.
Kedatangan penjajah Barat, orang Melayu telah dipenjarakan dalam ‘struktur ekonomi’ mengikut pandangan Barat sehingga menjejaskan kekuasaan politik Melayu, kehidupan ekonomi dan kearifan tempatan Orang Melayu.
Tulisa Pendeta Za’ba, orang Melayu mengalami tiga masalah penindasan dari segi monopoli, gaji, sewa dan berhutang (riba-bunga), usaha yang kecil (modal) dan keadaan terbiar.
[4]
Pertanian sebagai satu perniagaan yang berpendapatan tinggi. Antara usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia pada hari ini. Jauh sebelum itu, Za’ba menyatakan, ‘...tanaman yang akan menghasilkan pendapatan tinggi’.
Untuk merealisasikan cita-cita pertanian sebagai satu perniagaan yang berpendapatan tinggi, kita mesti memecahkan monopoli terutamanya oleh orang tengah. Kerajaan perlu berperanan menghalang kaum kapitalis mendapat keuntungan yang berlebihan dan melampau.
Pemilihan pegawai yang menguruskan peningkatan pertanian sebagai perniagaan dalam kalangan orang yang betul dan amanah.
Kerajaan perlu menyediakan ruang dan peluang agar petani-usahawan tani dan usahawan kecil-sederhana berupaya menjana berpendapatan tinggi sekaligus mencipta peluang pekerjaan baru kepada orang lain.
Antara yang penting ialah [1] modal, [2] teknologi dan [3] pemasaran
[5]
Abdul Hadi Awang menyatakan:
A. Masalah berlaku apabila manusia tidak mengetahui hikmah tujuan mereka diciptakan
B. Masalah yang berlaku ddisebabkan oleh salah urus tadbir dengan pendekatan yang salah dan dasar yang salah.
C. Jalan penyelesaian terbaik ialah menukar pucuk kepimpinan yang lebih amanah dan adil dalam mengagihkan kekayaan negara kepada semua rakyat jelata. Kekayaan negara tidak wajar berputar dalam kalangan segelintir kelompok elit sahaja.
[6]
Penyelesaian kemiskinan boleh dilakukan dengan peranan komuniti dan ahli keluarga bukan hanya menunggu peranan kerajaan
Pada pandangan Nik Abdul Aziz Nik Mat, kemiskinan tidak boleh dibasmi tetapi boleh dikurangkan. kita boleh merumuskan bagaimana Islam mengurangkan kemiskinan;
A. Semangat keadilan dan saksama sesama manusia. Manusia tanpa mengira kaum dan agama serta negara berasal daripada Adam. Apabila manusia sedar mereka berasal daripada keturunan yang sama, timbullah rasa SIMPATI antara satu sama lain. Hilanglah benci dan dendam antara sesama manusia.
B.  Persaudaraan sesama mukmin. Hubungan kasih sayang sesama mukmin melalui pertalian aqidah.
C. Berumahtangga. Suami mengunakan tulang empat kerat untuk berusaha mencari nafkah keluarga. Kesabaran dalam mendidik anak-anak sehingga dewasa boleh melahirkan insan yang menjaga kedua-dua ibubapa mereka yang tua dan miskin. Ahli keluarga dan saudara mara kena bantu anggota keluarga yang miskin dan kesusahan.
D. Peranan Jiran.
E. Peranan Kerajaan.
[7]
PAS dalam janji PRU 14 akan mengagihkan kekayaan negara dengan lebih adil dan saksama mengikut Islam.
PRINSIP-PRINSIP ISLAM BERKAITAN PENGURUSAN PEREKONOMIAN NEGARA
Prinsip 1 : Harta negara tidak boleh berlegar di kalangan golongan kaya sahaja
Prinsip 2 : Cukai diambil daripada lebihan golongan kaya untuk diagihkan kepada golongan miskin
Prinsip 3 : Menaikkan taraf golongan miskin dan penurunan kos sara hidup adalah sasaran utama sistem ekonomi Islam
Prinsip 4 : Fardhu Kifayah dalam penyediaan keperluan masyarakat
Prinsip 5 : Anti Monopoli, anti ‘Ghulul’ dan anti ‘Buble’
[8]
CADANGAN PAS TERHADAP 3 PERMASALAHAN EKONOMI NEGARA
Permasalahan 1: Pelaksanaan GST ( Kejatuhan Harga Petroleum dan Kesilapan Kerajaan Malaysia Bergantung kepada GST sebagai Sumber Alternatif Pendapatan Negara )
Penyelesaian 1 Untuk Permasalahan 1: Cukai Atas Simpanan Syarikat dan Korporat (Taxation on Deposits)
Penyelesaian 2 Untuk Permasalahan 1: Cukai Perdagangan Keuntungan Saham Di Bursa Saham Malaysia (Tax On Share Trading Gain)
Permasalahan 2: Kejatuhan Matawang Ringgit dan Kesannya Kepada Perbelanjaaan Negara dan Rakyat
Penyelesaian 1 Untuk Permasalahan 2 : Penggantian Import (Import Substitution)
Penyelesaian 2 Untuk Permasalahan 2: Penelitian Semula Kontrak Kerajaan (Value Engineering)
Permasalahan 3: Kenaikan Kos Sara Hidup
Penyelesaian 1 Untuk Permasalahan 3: Program Mampu Memiliki Rumah (Affordable Home-Ownership) alternatif kepada Program Rumah Mampu Milik (Affordable Home)
a.Kaedah Musyarakah: Perkongsian Pemilikan bersama Kerajaan dengan Pembayaran Bertangguh
b.Kaedah Sukuk Al Ijarah Melalui Perkongsian Pemilikan dengan Individu atau Organisasi
Penyelesaian 2 Untuk Permasalahan 3: Elaun Kos Sara hidup (Cost of Living Allowance, COLA) Sementara oleh Majikan Swasta
untuk lebih lanjut, sila lihat Dokumen Hijau.
[9]
PAS konsisten tidak bersetuju dengan langkah Kerajaan Malaysia mengekalkan GST, sebaliknya PAS mencadangkan mekanisma percukaian lain yang boleh dikenakan sebagai alternatif kepada GST.
Pada pandangan penulis, kesilapan GST kerana [1] ia dibuat disebabkan kelemahan pengurusan ekonomi negara, [2] sudah terlambat kerana dilakukan dalam keadaan ekonomi merudum dan [3] terdapat pertindihan cukai sehingga terdapat dua cukai dalam suatu perkara.
Kebaikan GST, orang yang berpendapatan tinggi akan dikenakan cukai lebih tinggi. Mereka selama in menaut kelebihan subsidi kerajaan yang membantu golongan berpendapatan rendah.
GST tidak wajar dikenakan kepada barang keperluan utama yang seringkali digunakan oleh golongan berpendapatan rendah.
Seiring dengan GST, sewajarnya pendidikan percuma daripada tadika sehingga universiti dan kos kesihatan percuma.


Sunday, January 14, 2018

Pengkudusan Ulama



Aku sudah kurang percaya pada orang-orang yang disebut “pewaris-pewarisnya”. – Ahmad Wahib

Hassan al Banna menyatakan,

Kata-kata manusia boleh diterima dan boleh ditolak kecuali kata-kata manusia yang maksum iaitu Nabi s.a.w. Segala yang datang daripada generasi silam yang diredai Allah jika bertepatan dengan kitab dan sunnah kita akan terima. Jika tidak, kitab Allah dan sunnah rasulNya lebih utama untuk diikut. Walau bagaimanapun kita tidak akan mengecam atau mengkritik mana-mana individu yang tidak sependapat. Kita serahkan kepada niat mereka. Mereka telahpun menyampaikan apa yang telah mereka kemukakan.’

Para ulama tidak kudus, tidak sakral, tidak maksum.

Para ulama dan kelompok berpendidikan agama sudah tentu banyak melakukan kesilapan, kelemahan dan banyak kekurangan. Mereka hanya manusia biasa yang ada ilmu dan menyebarkan ilmu yang mereka ada.

Kita tidak menafikan ada sesetengah ulama bersifat jahat dan sesetengah berpendidikan agama yang menyalahgunakan agama Islam dan tidak beramal menurut Islam. Punbegitu kita tidak boleh menyalahkan agama atas kelemahan seorang ulama atau berpendidikan agama Islam.

Kata-kata dan hujah ulama akan diterima jika bertepatan dengan al Quran dan al Sunnah tetapi jika bersalahan dengan kedua-dua sumber utama Islam ini, secara automatiknya kita boleh menolak hujah mereka.

Walaupun para ulama mendidik dan menyuluh jalan kebenaran, kita tidak mestinya mengikuti mereka jika kita sudah tahu jalannya melalui buku peta [al Quran dan al Sunnah] yang ditanzilkan oleh Allah SWT.

Terus rujuk kepada al Quran dan al Sunnah. Beriman seseorang muslim bukan kerana mereka mengikuti ulama tetapi mereka menuruti ajaran Allah SWT dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.

Tidak berkekalan Islam seseorang jika tidak suka segala nas al Quran dan nas hadith serta tidak mengaku keabsahan kedua-dua nas tadi seperti membangkang atau tidak bersetuju dengan al Quran dan hadith dengan mengunakan pemikirannya.[1]

Ingatlah fungsi ulama ialah mendidik, membimbing dan memberi peringatan kepada diri kita. Penghormatan kita terhadap mereka atas dasar mereka bertaqwa kepada Allah, berakhlak, ilmu dan istiqamah dalam amalan saleh mereka. Jika mereka bersalahan dengan al-Quran dan hadith, justeru kita kena menolak mereka. Banyak belajar ilmu al-Quran dan hadith melalui pembacaan dan pembelajaran dengan ramai ulama agar pemikiran kita lebih terbuka dalam menerima perbezaan dan berada dalam landasan ilmu yang benar dan sahih.



[1] Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Mutalib al Indonesia al Mandili, Perisai Bagi Sekalian Mukallaf.

RUU 355: Kubur yang Biar Bernesan?



1. Pertamanya, RUU 355 bukanlah hukum hudud. RUU 355 adalah kunci asas pelaksanaan perundangan Islam secara menyeluruh pada masa akan datang termasuk didalamnya mengandungi hukum hudud. Perjuangan gerakan Islam seperti PAS menegakkan Islam melalui kaedah yang dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia, demokrasi dan pilihan raya.

2. Kita boleh perbezaan dalam konteks ilmu (termasuk istilah) dan teknikal dalam pelaksanaan dan proses pengubalan RUU335. Ia boleh dibincangkan dan diwacanakan segala masalah, kekuatan, kelemahan, idea dan penambahbaikan.

3.  Persoalan yang menimbul perbalahan, proses membawa RUU 355 ke parlimen. Sebahagian mahu melalui Majlis Raja-Raja Melayu dan sebahagian pendekatan usul persendirian yang diambil oleh TGHH pada hari ini. Persoalan ini ada pro-kontranya masing-masing. TGHH telah membuat ijtihad dengan caranya. Hormatilah ijtihad beliau sebagai ketua walaupun risiko kesilapan adalah besar dan usul persendirian tersebut banyak kelemahan.
4. Sebagai orang awam, saya melihat pendekatan TGHH ada relevannya juga. Antaranya ialah
a. TGHH, berkata kaedah usul persendirian yang dipilih pernah dilakukan semasa zaman TG Dato Fadzil Noor pada tahun 1996. Beliau hanya meminta izin TGFN sahaja. Maksudnya, usul persendirian bukanlah suatu yang asing sebagai pendekatan PAS.
b. Kita mahu RUU355 datang daripada suara rakyat bawahan bukannya daripada atas melalui Majlis Raja-Raja Melayu. Bayangkan MRRM menolak RUU355, apakah persepsi rakyat beragama Islam terhadap Raja-Raja Melayu yang merangkap Ketua Agama Negeri menolak perundangan Islam?. Tidak wajar kita memalukan dan menjatuhkan maruah MRRM. Sebagai gerakan Islam yang berjiwa rakyat dan menghormati Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Malaysia, wajar PAS memilih cara yang ada sekarang. Jika RUU 355 tersekat di Parlimen, sekurang-kurang RUU355 ‘bernesan’ di parlimen berbanding tanpa nesan jika ditolak oleh MRRM. Ia antara prestasi ‘kerdil’ yang terbaik pernah dilakukan oleh PAS dengan membawa usul RUU355 ke Parlimen.
c. persefahaman dengan UMNO atas nama Islam sebagai agama negara membolehkan RUU 355 dibawa ke Parlimen sekaligus berlakunya penataran RUU355 dalam kalangan rakyat lebih luas termasuk dalam akhbar dan khutbah jumaat di seluruh negara. Ia juga mendapat sokongan positif daripada pemimpin dan anggota UMNO yang selama ini negatif terhadap perundangan Islam. Penanaman RUU 355 dalam kotak pemikiran rakyat pada hari ini, insya Allah menghasilkan hasil yang lebih positif pada masa akan datang untuk menerima kesyumulan Islam dalam perundangan.

d. Orang mempersoalkan timbal-balik PAS yang akan berikan kepada UMNO. Adakah PAS akan membantu UMNO dalam PRU 14?. Berhukumlah dengan apa yang sudah berlaku, nampak pada zahirnya dan ada bukti yang sahih dan  kukuh bukannya sekadar andaian, persepsi dan fitnah.

5. Pelaksanaan perundangan Islam yang didalamnya ada hukum hudud adalah cita-cita kita. Kita doakan ia berjaya dalam melengkapkan dan menyempurnakan kehidupan kita sebagai insan kerdil yang bertaqwa.

Krisis Kepimpinan Jamaah Tabligh: Isyarat Dari Tonggi.


[1]
Ijtima’ (pertemuan) Tonggi sangat terkenal di dunia. Ia menjadi sebutan dibibir pendokong Jamaah Tabligh di dunia. Ijtima’ ini merupakan himpunan terbesar umat Islam selepas himpunan jemaah Haji di Padang Arafah. Ia juga dikenali himpunan lelaki Islam terbesar di dunia.

Ijtima’ Tonggi adalah Ijtima dunia yang lebih dikenal dengan nama “Ijtima Bishwa” pertama kali dibuat pada tahun 1966 di sebuah masjid di Tonggi. Kini ia dibuat seluas 77 hektar di tepi sungai Turag, di kawasan Tonggi dekat ibukota Bangladesh, Dhaka dan dihadiri lebih kurang 3-5 juta lebih pendokong JT dari 152 negara di dunia. Kehadiran jutaan pendokong JT ini menyebabkan panitia menganjurkan mengadakan ijtima’ sebanyak 2 fasa. Ijtima’ ini dilakukan selama 3 hari.

[2]
Perpecahan Jamaah Tabligh pada hari ini berpunca daripada beberapa sebab:

a. Isu pelantikan Amir dan Ahli Syura Alami
b. Kekecohan antara Orang Mewat dengan Orang Gujarat di Nizamuddin.
c. Watak Yasin. Yasin adalah pembantu Maulana Saad selama 17 tahun dikatakan mengkhianati Maulana Saad dengan menerima sumbangan jutawan tanpa pengetahuan maulana. Yasin rapat dengan para pimpinan Syura Alami. Dalang pengunduran beberapa orang ulama daripada Nizamuddin.
d. Kesilapan kenyataan Maulana Saad yang dikritik hebat oleh para ulama dari madrasah tersohor di India iaitu Madrasah Darul Ulom Deoband. Maulana Saad telah menarik balik kenyataan beliau tetapi beliau menjadi mangsa fitnah dan persepsi.

[3]
Pada zaman Maulana Inamul Hasan (1962-1996) telah dibentuk syura untuk menentukan amir berikutnya. Syura tersebut adalah : 5 dari india : Maulana izhar, Maulana Zubeir, Maulana Saad, Maulana Umar phalampuri, Meyaji Mehrob, 4 dari pakistan : Syaikh Abdul Wahab, Mufti Zaenal Abidin, Maulana Said Ahmad Khan, dan Bhai Afdhol, 1 dari bangladesh : Ir. Abdul Muqit. Setelah maulana inamul hasan meninggal maka Syura yang dibentuk bermusyawarah selama 3 hari 3 malam untuk mengeluarkan 1 nama menjadi amir. Tetapi gagal memutuskan seorang nama. Syura Dunia yang dibentuk Maulana Inamul Hasan telah memutuskan memilih 3 Faishalat(pemutus musyawarah) atau 3 amir musyawarah iaitu : Maulana Izhar, Maulana Saad, dan Maulana Zubeir. Kini anggota Syuro Dunia yang asal hanya tinggal 2 orang iaitu Syaikh Abdul Wahab dan Maulana Saad. Maulana Saad menjadi Faishalat atau Amir Dakwah tunggal.

Krisis kepimpinan Jamaah Tabligh meruncing pada ijtima’ Tonggi 2018 rentetan krisis yang berlaku pada tahun 2015 dimana Maulana Saad tidak bersetuju dengan saranan Orang Lama dalam JT semasa ijtima’ Raiwind di Pakistan(November 2015) yang bersetuju menambah bilangan ahli Syura Alami seramai 11 orang disamping dua ahli Syura yang asal iaitu Maulana Saad dan Syeikh Abdul Wahab. Mereka yang dilantik ialah 1. Muhtaram Hj Abdul Wahab DB (Raiwind) 2. Maulana Saad Kandahlawi DB (Nizamudin) 3. Maulana Ibrahim Dewla DB (Nizamudin) 4. Maulana Yaakob DB (Nizamudin) 5. Maulana Ahmad Lat DB (Nizamudin) 6. Maulana Zuhairul Hasan DB (Nizamudin) 7. Maulana Nazrur Rahman DB (Raiwind) 8. Maulana Abdurahman DB (Raiwind) 9. Maulana Ubaidullah Khursyid DB (Raiwind) 10. Maulana Ziaul Haq DB(Raiwind) 11. Qari Zubair DB (Kakrail) 12. Maulana Rabiul Haq DB (Kakrail) 13. Bhai Wasiful Islam DB (Kakrail).

Maulana Saad tidak bersetuju dan  tidak menandatanganipengakuan persetujuan tersebut. Seramai 4 orang dari 13 nama tersebut tidak setuju tentang pembentukan Syuro Alami iaitu 1. Maulana Saad Kandahlawi DB (Nizamudin) 2. Qari Zubair DB (Kakrail) 3. Maulana Rabiul Haq DB (Kakrail) 4. Bhai Wasiful Islam DB (Kakrail).

Maulana Saad mencadangkan ѕеtіар negara daerah ijtimaiyat dakwah supaya dipimpin оlеh Syura masing-masing.

Setelah pulang dari ijtima’ Raiwind, Maulana Saad telah membentuk Syura di Nizamuddin (6 Disember 2015) yang terdiri daripada orang orang Lama Da’wah Nizamuddin iaitu : (1) Maulana Ibrahim, (2) Maulana Yaqub, (3) Maulana Ahmad Lat, (4) Maulana Zuhairul Hasan, (5) Maulana Yusuf bin Saad, (6) Maulana Abdul Sattar, (7) Miyani Azmat, (8) Dr, Abdul Aleem.

Pada tahun 2016 berlaku kekecohan di Masjid Bangle Wali, Nizamuddin menyebabkan 4 dari 8 orang ahli Syura Nizamudin meninggalkan Markaz Nizamuddin. Ia berpunca daripada tindakan pembantu Maulana Saad menerima sumbangan jutawan tanpa pengetahuan Maulana Saad. Berlaku kekeliruan mengatakan bahawa Maulana Saad telah menerima sumbangan tersebut. Maulana Saad mengarahkan sesiapa yang mengambil wang tersebut menyerahkan balik.

Selang beberapa minggu, berlaku cubaan membunuh Maulana Saad di Markaz Nizamuddin oleh orang Gujarat. Seramai 5000 orang Mewat (orang didakwah oleh Maulana Ilyas dan rapat dengan keturunan Maulana Ilyas) turun ke Markaz Nizamuddin dan melakukan penghalauan terhadap orang Gujarat di sekitar Nizamuddin. Maulana Ahmad Lat, Maulana Ibrahim dan Maulana Yaakob keluar dari markaz Nizamuddin sebab malu dengan apa yang telah dilakukan oleh orang Gujarat. Kebetulan mereka pun keturunan Gujarat.

[4]

Ijtima’ Tonggi 2018.

Pada hari pertama (13.1.2018) Syura dari Negara-negara Arab dan Eropah, Amerika Syarikat, Malaysia dan Indonesia ke Markaz Kakrai telah bermesyuarat dan mendengar nasihat daripada Maulana Saad dan keesokkan harinya (14.1.2018), Maulana Saad terpaksa pulang ke India ekoran desakan dan halangan pihak tertentu. Menariknya, bayan Subuh telah diambil oleh Maulana Ahmad Lat.

Ijtima’ Tonggi kali ini dianggap telah disabotaj oleh pihak Syura Alami.

Adakah ijtima’ Tonggi berakhir buat selama-lamanya? Atau pada tahun depan ia sepenuhnya didominasi oleh Syura Alami dan menolak Maulana Saad?

[5]
Apa yang berlaku kepada JT memberi pengajaran kepada kita
a. betapa pentingnya pembinaan pelapis yang tersusun.
b. perebutan kuasa berlaku dimana-mana
c. berhati-hati dengan muslihat politik dalaman.
d. pihak yang merajuk, terpinggir dan opurtunis seringkali mengambil peluang merebut kekuasaan dan keuntungan peribadi.

[6]

Bagi mengatasi persoalan ini, antara solusinya ialah
a. Maulana Saad boleh menjadi watak pendamai sebagaimana dilakukan oleh Saidina Hassan Bin Ali. Berkorban diri demi kesejahteraan umat dan JT.
b. Kematian anggota Syura Alami perlu diganti secepat mungkin. Keanggotaan Ahli Syura Alami seramai 13 orang seperti yang dinyatakan oleh Maulana Inamul Hassan iaitu ada wakil daripada Raiwind, Kakrai dan Nizamuddin..
c. Pelantikan Amir Dunia dan 4 orang Naib Amir Dunia (Seorang wakil Asia, Afrika, Arab dan AS-Eropah) perlu dilakukan oleh Syura Alami.
d. Ijtima’ Raiwind, Kakrai dan Nizamudin medan Syura Alami membuat keputusan. Amir Dunia dan dibantu oleh dua orang Faishalat di Nizamudin.

[7]

Moga ada damai bagi JT.

Friday, January 12, 2018

Al Quran


Penyusun: Khalil Jibril


‘Tuhan, aku ingin tanya apakah nilai-nilai dalam agama-Mu tetap atau berubah-ubah? Tuhan, mana sajakah dari ajaran- Mu itu yang betul-betul merupakan fundamen yang tak bisa berubah-ubah lagi, yang harus menjadi pedoman dalam perkembangan nilai-nilai dalam masyarakat?’

‘Dan biarkanlah tiap orang memahamkan Qur’an dan Sunnah itu menurut dirinya sendiri.’ – Ahmad Wahib

[1]
Sejarah tamadun Islam membuktikan bahawa Al-Quran boleh ditafsir. Kita pernah mendengar pentafsiran al-Quran daripada Saidina Umar al Khattab dan Saidina Abdullah Abbas. Khazanah ilmu tafsir al-Quran sangat banyak seperti Kitab Tafsir Ibnu Katsir dan Tafsir Sayyid Qutb. Persoalan yang timbul ialah kelayakan orang yang mentafsirkan al-Quran.
Bukan semua orang boleh dan mampu mentafsir al-Quran. Tokoh agung dan berwibawa, Saidina Abu Bakar sendiri kurang mengeluarkan pandangan tentang pentafsiran ayat-ayat al Quran dibimbangi salah dalam mentafsirkannya.
“Siapa saja yang menafsirkan atau mengatakan sesuatu mengenai al-Qur’an tanpa landasan ilmu [yang memadai] atau dengan pandangannya sendiri maka ia telah menempah tempat duduknya di neraka” (HR Imam Tirmidzi).
Seorang yang layak mentafsirkan al-Quran mesti menguasai bahasa Arab dan ilmu hadis secara mendalam dan komprehensif, bukan setengah-setengah atau sepotong-sepotong. Jika prasyarat ini sudah dipenuhi, seseorang perlu mengikuti prosedur yang berlaku:
1. menafsirkan suatu ayat dengan ayat lain
2. menafsirkan ayat al-Qur’an dengan Sunnah/hadis Rasulullah SAW
3. menafsirkannya dengan keterangan para mufassirin dari kalangan Sahabat, Tabi’in, dan para ulama salaf.
[2]
Setelah membaca al-Quran, akal kita seringkali menghasilkan pertanyaan dan pandangan. Ia berlaku kerana al-Quran adalah sumber ilmu dan ‘rakan’ mengajak kita berfikir. Cuma hasil pandangan dan pemikiran kita tidak semestinya benar kerana ia perlu disahkan melalui kaedah-kaedah ilmu al-Quran. Dibimbangi pandangan dan pemikiran kita itu mengikut hawa nafsu diri sendiri.

Imam al-Ghazali telah membahagikan jenis penafsiran yang dilarang dan dikecam terbahagi kepada tiga. Pertama, jika kita menafsirkan al-Qur’an dengan pendekatan linguistik semata-mata, tanpa menghiraukan keterangan hadis dan riwayats.  Kedua, jika kita sengaja melompati dan menafikan tafsir literal seraya membuat tafsiran allegoris. Ketiga, apabila sebelum menafsirkan al-Qur’an kita sudah terlebih dulu mempunyai gagasan, teori, pemikiran, ideologi, keyakinan atau tujuan tertentu, lantas al-Qur’an kita tafsirkan sesuai dengan dan menurut apa yang kita yakini.
[3]
Kita mesti mempunyai niat yang ikhlas, tujuan yang baik, cara yang betul, ilmu dan kejujuran serta bertanggungjawab jika mahu mentafsir al-Quran.
Al-Quran tidak boleh ditafsir sebarangan mengikut akal dan nafsu kita sahaja. Atau ditafsirkan berdasarkan pandangan yang kita yakini dan gagaskan.
Justeru, kita mesti terus belajar jika mahu mentafsirkan al-Quran. Jika berilmu, kemudian mentafsirkan al-Quran secara yang tidak benar dan batil, ketidak-benaran itu akan terserlah jua pada akhirnya.
Maka, memahami al-Quran dan Sunnah menurut diri sendiri adalah kecurangan dalam memahami Islam yang benar dan sahih.
...
Rujukan dan Bacaan lanjut

KRITIK REINTERPRETASI DAN LIBERALISASI PENAFSIRAN tulisan Dr. Syamsuddin Arif

Dua Lelaki

Hikayat dua lelaki bermusuh
setelah bersahabat kemudian kembali
bermusuh kemudian kembali
berpakat.

Berpakat kononnya muafakat padahal ia satu
timbal-balik berhabuan kuasa dan kek ekonomi.

Janji diikat, habuan dipersetujui,
maka dua kleptokrat menentang kleptokrat berebut kuasa
mengadai kesejahteraan rakyat.

Para politikus
Engkau gadaikan jawatan PM dan kesejahteraan rakyat untuk 2 lelaki
yang mencetus bencana dan konflik politik kepada negara sepanjang 20 tahun ini.
Engkau hanya pentingkan kuasa melanggari segala kata yang dikotakan dan dijanjikan itu.
Rakyat menjadi mangsa ekoran perbalahan dua lelaki dan rakyat juga terpaksa memakan bali segala kezaliman, cacian, fitnah dan segalanya akibat perseteruan dua lelaki ini.

Dua lelaki
pengamal politik pragmatik, politik kebinatangan dan politik matlamat menghalalkan cara demi kekuasaan yang diidamkan.

Dua lelaki
pendahaga jawatan PM
haus kuasa, ketamakan projek ekonomi dan kepentingan legasi leluhur.

Ingatlah wahai rakyat!
Janganlah diperbodohkan dan diperalatkan lagi oleh dua lelaki ini
Pemimpin adalah cerminan rakyat
Jangan memilih para kleptokrat padahal disisimu ada pemimpin bertaqwa, dekat dengan Allah, berakhlak.

Para aktivis!
Peliharalah prinsip perjuangan dan kebenaran
Jika bercampur kebenaran dan kecurangan, bertawaquflah agar dirimu terselamat daripada fitnah.
Ingatlah!
Iman, pegangan, pendirian manusia itu berbolak-balik hatinya, pragmatis sifatnya dan terperangkap dalam godaan material, kesenangan dan jawatan.

Pilihlah mudharat lebih kecil berbanding mudharat lebih besar..

Para Taikun

Segalanya sekitar kuasa dan pengisian perut ekonomi yang
mengempis.

Segalanya sekitar memelihara legasi leluhur dalam
berpoitik.

Disebalik pertempuran politik ini
ada kelibat-kelibat para taikun penguasa
empayar ekonomi.

Para taikun pendana politik untuk menternak
boneka melahirkan
projek.

Rakyat?
Pi mampus nasib mereka

Rakyat?
Alat manipulasi para politikus yang dibonekakan oleh
para taikun.

Kini, reformasi telah menjadi reforbasi
Raja Kleptokrat dipilih kembali sebagai ketua
lawan tetap lawan dikembiri.

Sebalik Raja Kleptokrat
beraja para taikun yang mengering projeknya
akibat penangan sang PM.

Ini perang para taikun
sekitar kuasa dan perut ekonomi.

Ia sekitar duit dan kroni mendapat projek

Sekitar politik busuk sang minguel dan istana segambut.

Berfikir Sihat dan Membuat Pilihan.

1. Penulis tertarik dengan dialog antara orang sombong dengan pengikutnya dalam surah Gafir. Mereka adalah golongan yang masuk neraka dan menyesali kesalahan ketika di dunia. Kemudian mereka juga bertanya kepada penjaga neraka.

2. Pada penulis, 'orang sombong' ialah orang yang berpengetahuan, berilmu dan ada kuasa tetapi tidak mahu beramal dan melaksanakan apa yang mereka tahu dan mampu. Mereka tahu wujudnya Allah SWT tetapi mereka menolak melaksanakan arahan Allah SWT dengan pelbagai alasan.

3. 'Pengikut' pula ialah orang jahil dan bebal tidak mahu belajar dan mengikut pemimpin (termasuk orang berilmu) secara memBUTA-Tuli.

4. Orang sombong menyatakan bahawa mereka masuk neraka kerana ketetapan Allah SWT. Memang benar, Allah SWT sudah menetapkan segalanya pada diri kita tetapi ketetapanNya berlaku disebabkan oleh suatu 'proses' yang ada sebab-musabab dan ruang-peluang untuk kita membuat pilihan. Kita memilih untuk ke syurga atau neraka.

5. Sebagaimana kita tahu, para rasul dan nabi datang membawa bukti-bukti yang nyata memberi petunjuk dan peringatan kepada orang yang berfikir sihat.

6. Berfikir sihat adalah renungan kita terhadap sumber ilmu Islam: al-Quran dan Hadith disertai dengan doa dan keakuran terhadap apa sahaja kandungan dalam al-Quran dan hadith sahih.

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...