Thursday, November 22, 2007

bab 3: Gerakan mahasiswa 1976-1980

GERAKAN PELAJAR 1976-1980

“sila bertindak dan berbuat seperti yang pernah saya buat ketika menjadi
mahasiswa. Tapi bersedialah seperti saya dulu untuk masuk penjara”
Anwar Ibrahim


1.0 PENDAHULUAN

Sikap progresif pelajar pada tahun 1974 membawa satu impak negatif kepada kerajaan sehingga kerajaan membuat perancangan menghalang student power ini. Gerakan pelajar dianggap mengancam kestabilan negara walaupun isu-isu yang diperjuangankan adalah permasalahan rakyat. Kekangan yang dihadapi oleh gerakan pelajar ekoran keaktifan mereka dalam politik dan selalu mempersoalkan kelemahan kerajaan boleh mengancam status quo kerajaan. Dalam bab ini penulis cuba mengarapkan pengaruh luar dalam politik kampus, tindakan kerajaan dan kesan perjuangan gerakan pelajar selepas pindaan AUKU 1975.


2.0 PERSOALAN POLITIK DALAM GERAKAN PELAJAR

Dalam pembikinan AUKU, kerajaan secara rasionalnya bimbang peningkatan kesedaran berpolitik dalam masyarakat pelajar. Kebimbangan ini menjadi fobia kepada kerajaan dalam mentadbir negara kerana banyak persoalan yang ditimbulkan oleh pelajar. Pada tahun 1974, tradisi mencabar golongan pelajar telah menggugat kestabilan politik kerajaan dalam mengekalkan status quo.

Dalam bab satu, penulis menjelaskan secara ringkas persoalan politik dalam gerakan pelajar. Persoalan politik pelajar dinukilkan oleh Raja Azlan, Pro Canselor Universiti Pulau Pinang. Menurutnya, mahasiswa harus bertanggungjawab terhadap masyarakat dan perlu melakukan sesuatu untuk rakyat.[1] Oleh itu, gerakan pelajar haruslah menggunakan tenaga-idea mereka bagi mendepani permasalahan masyarakat dan negara.

Kerajaan seharusnya memberi kelonggaran dalam politik. Khoo Kay Kim mencadangkan agar kerajaan hanya mengawal gerakan pelajar bukannya menghalang penglibatan pelajar dalam gelanggang politik kerana pelajar adalah sebahagian daripada masyarakat yang mempunyai hak mengundi.[2] Tekanan yang diberikan oleh kerajaan menaikkan semangat pelajar bangkit melawan kerajaan yang mencabar hak mereka. Mereka mahu mengekalkan image the student dan sebarang gelombang yang menganggu perjuangan mereka akan ditentang.[3]

Kerajaan selalu berpandangan negatif terhadap kehadiran student power di negara ini dengan tuduhan militan, revolusioner dan mengucar-kacir masyarakat.[4] Sikap revolusioner perlu bagi membangunkan sebuah negara yang adil dan maju. Shahnon Ahmad mendefinisi sikap revolusioner;

‘Revolusioner adalah bersuara keras dan bertindak keras meruntuh
dan menghancur sesuatu itu disertakan pula dengan daya cipta
untuk membina yang baru sebagai ganti yang lapuk yang diruntuh
dan dirubah’[5].

Pelajar sebagai golongan intelektual perlu bersikap pemberani yang berlandaskan ilmu dan pengalaman yang dijernihkan oleh kebenaran yang diyakini bukannya bersikap surealis; bersuara kuat untuk meruntuh dan menghancur tanpa penciptaan dan pembinaan semula. Seorang revolusioner mengharapkan jiwa tertekan kerana dengan itulah dia akan bangun untuk mengantikan penindas-penindas.

Oleh itu sikap radikal dan militan pelajar tidak perlu dibimbangi. Tun Razak pernah berkata;
“Jikalau kita tinjau belakang semasa kita masih menuntut, tentulah kita
dapat melihat perkara itu dari sudut yang betul”[6]

Kebangunan sesuatu bangsa akan dicerakin oleh pelajar yang sedar akan tanggungjawab mereka pada masyarakat dan negara kerana hidup biar berjasa.


3.0 PENGARUH POLITIK LUAR DALAM GERAKAN PELAJAR.

Penegasan kerajaan dalam melaksanakan AUKU kerana kemasukan gelombang parti politik luar ke dalam gerakan pelajar. Penulis akan membincangkan kehadiran pengaruh Parti Komunis Malaya(PKM) dan Parti Sosialis Rakyat Malaya dalam gerakan pelajar di kampus Universiti Malaya.

3.1 Pengaruh Parti Sosialis Rakyat Malaya(PSRM)

Ideologi Sosialis bukanlah satu yang asing dalam politik kampus Universiti Malaya kerana Kelab Sosialis telah ditubuhkan sejak bulan Disember 1967 lagi. Kelab Sosialis sendiri mempunyai hubungan dengan PSRM ranting Lembah Pantai. Pelajar Sosialis ini telah menguasai Majlis PMUM bagi menyuarakan isu rakyat seperti isu kemiskinan, pertempatan setinggan, penguasaan kapitalis dan kemunculan imperialis moden. Keterlibatan mereka dalam pilihanraya 1969 dan 1974 membimbangkan kerajaan terutamanya penyertaan mereka dalam rapat umum.[7]

Keterlibatan mereka dalam pilihan raya 1974 adalah kesinambungan penyertaan mereka semasa pilihan raya 1969. Penyertaan Kelab Sosialis dalam rapat umum dan majlis anjuran PSRM secara kerap menyebabkan Tun Razak menuduh PSRM menggalakkan pelajar mewujudkan suasana tegang di dalam negara terutamanya dalam peristiwa bulan Disember 1974 dan Januari 1975.[8] Penyertaan pelajar Sosialis dalam pilihan raya 1974 adalah jelas. PMUM dan PMUSM secara terbuka mengisytiharkan manifesto mahasiswa[9] dan menyediakan bas PMUM ke Terengganu, Kelantan dan Melaka. Kepimpinan PMUM dan PMUSM terdiri daripada Hishamuddin Rais(Setiausaha Agung PMUM) dan Fatimah Sham[10](Presiden PMUSM) sememangnya mengimani fahaman Sosialis.

Penyertaan PMUM dalam pilihan raya mendapat bantahan daripada golongan pelajar Nasionalis seperti PBMUM, Kelab Silat Gayung, Organisasi Mahasiswa Kelantan dan PMIUM kerana PMUM cuba menyeret pelajar dalam kancah politik parti tertentu.[11] Hasil gabungan pelajar Sosialis dengan PSRM terbukti berkesan apabila pengaruh PSRM di Terengganu meningkat sebanyak 30 peratus undi popular.[12] Sebenarnya PSRM menafikan keterlibatan mereka dalam mempengaruhi pelajar dalam sesuatu isu. Isu Tasek Utara[13] sebagai contoh, perjuangan PSRM dan gerakan pelajar berkebetulan sama dalam isu kemiskinan dan rumah setinggan. Perjuangan ini perlu ditangani secara bersama antara gerakan pelajar dengan PSRM.

Penulis melihat gelombang Sosialis dalam gerakan pelajar agak tersusun dan terancang sebagaimana pendapat Mahathir Mohamad[14] dan Abdullah Ahmad.[15] Penyusunan proksi pelajar Sosialis peringkat nasional mula dikesan pada awal tahun 1974. Pada 16 Februari 1974, golongan pelajar Sosialis mencadangkan agar ditubuhkan Front Bertindak Pelajar Malaysia bagi menjamin kepentingan badan pelajar[16] dan cadangan diusulkan oleh PKPM. Pada 9 Mac 1974, wakil 50 buah pertubuhan pelajar berkumpul di DTC[17] bagi membincangkan permasalahan antarabangsa, nasional dan kampus.[18] Pada 11 Mac 1974, Front Pelajar melalui wakil mereka Idris Jusi menyatakan memorandum pertama mereka menaikkan taraf Institut Teknologi MARA, tapak Institut Teknologi Kebangsaan dan biasiswa.[19]

Penubuhan Front Pelajar ini dapat dipersoalkan kerana hanya dihadiri oleh golongan pelajar Sosialis sahaja bagi mencerakinkan agenda yang lebih besar. Persoalan ini ditegaskan oleh Pemangku Presiden GPMS, Fawzi Basri yang mempersoalkan Front Pelajar tidak disertai oleh GPMS dan PKPIM.[20] Tanpa kehadiran PKPIM dan GPMS, Front Pelajar cuba menolak pengaruh golongan Islamis dan Nasionalis[21] dalam Front Pelajar sendiri.

3.2 Pengaruh Parti Komunis Malaya(PKM)

Kemenangan pro Komunis di Vietnam sangat membimbangkan tentang kezahiran teori domino[22] di rantau Asia Tenggara. Kebimbangan kerajaan Malaysia terbukti apabila mengambil tindakan keras dengan mengharamkan Persatuan Bahasa Tionghua/Cina Universiti Malaya(PBCUM) kerana diserapi anasir-anasir komunis.[23] Dalam serbuan polis pada 14 Disember 1974, polis menemui senapang kayu dan dokumen dianggap bukti penyertaan pelajar Cina dalam komunis. Namun, Kamarazaman Yaakob menjelaskan peralatan seperti senapang kayu digunakan dalam pementasan drama.[24] Pihak kerajaan menegaskan aktiviti kebudayaan merupakan alat propaganda PKM.[25]

Sebelum peristiwa Baling, kerajaan telah memberi amaran tentang kehadiran pihak anti nasional dan subversif dalam memanipulasi kenaikkan harga getah untuk mengancam kestabilan negara.[26] Gerakan pelajar dilihat bekerjasama dengan pihak komunis dalam peristiwa Baling. Menurut Mahathir Mohamad, gerakan pelajar yang berdemonstrasi dalam peristiwa Baling bagi mengalihkan tumpuan kerajaan dalam membanteras pihak komunis dan melemahkan tenaga polis.[27]

Penyusupan anasir komunis dalam PBCUM dikesan pada pertengahan 1970an dimana jawatan setiausaha penerbitan dimenangi oleh seorang pro komunis. Pada bulan Jun 1971, kumpulan Sosialis Muda berjaya menguasai Jawatankuasa Kerja PBCUM dengan pemimpinnya berjaya memenangi jawatan presiden. Pada 14 Oktober 1974, pasukan keselamatan menjumpai dokumen pada seorang penganas komunis yang dibunuh di kampung Tanah Hitam, Perak. Dokumen itu menjelaskan pelantikan Tham Ah Mok sebagai agen komunis dalam PBCUM.[28]

Pada 26 Januari 1974, satu lagi dokumen dijumpai pada seorang lagi penganas komunis yang ditembak di Behrang, Slim River, Perak. Dokumen itu menjelaskan PKM cuba menyusupi pertubuhan Cina iaitu Kheng Chew, Ting Song dan PBCUM.[29] Namun, komplot komunis dibocorkan oleh Quah Lai Chee.[30] Pengaruh komunis cuba diterap melalui aktiviti kebudayaan(drama ‘Musim Bunga Datang Daripada Dunia Manusia’) dan penulisan(majalah Penyuluh dan Sastera Universiti). Perkara ini terbukti apabila konsert ‘Persatuan Besar Kilat Musim Bunga’ dibatalkan, radio Suara Revolusi milik PKM mengutuk tindakan kerajaan. Pengaruh komunis lumpuh dalam PBCUM apabila polis menyerbu pusat kegiatan PBCUM di Sea Park, Petaling Jaya pada 9 Disember 1974.[31]

4.0 SEJARAH PENUBUHAN AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI(AUKU).

Peningkatan kesedaran berpolitik, impak peristiwa 13 Mei dan pengaruh parti luar ke dalam pertubuhan pelajar membimbangkan kerajaan. Kerajaan berkeputusan mengawal aktiviti politik di kampus. AUKU[32] diwartakan pada 24 Februari 1971 dan diluluskan oleh parlimen pada 17 Mac 1971[33] dan diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong pada 29 April 1971.[34] Kebangkitan pelajar pada tahun 1974 secara militan dan radikal mendesak kerajaan melakukan pindaan pada AUKU. Pada 8 April 1975, Dr. Mahathir Mohamad mengusulkan agar AUKU dipinda[35] dan ianya dikuatkuasa pada 12 Mei 1975.[36]

Pengarahan kepada AUKU berlaku apabila kerajaan menegaskan pelajar tidak dibenarkan bergabung atau menyokong mana-mana parti politik dan kesatuan sekerja. Penegasan ini merupakan satu kesedaran kerajaan bagi mencegah ketidakstabilan melalui perundangan.[37] Larangan ini termaktub dalam Undang-undang Darurat(kuasa perlu) no. 74, Artikel 150(2) yang dipinda pada 18 Februari 1971.[38] PMUM membantah perundangan ini, Jai Mohan(Setiausaha Agong) menjelaskan larangan ini akan menjauhkan pelajar dengan rakyat dan menyekat idea pelajar untuk menyumbang ke arah pembangunan.[39] Sokongan pihak pelajar kepada mana-mana pertubuhan politik tidak bermakna pelajar menyokong pertubuhan politik tersebut.[40]

AUKU diusulkan setelah kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 yang tidak berkesan mengekang peranan pelajar terutamanya keterlibatan pelajar dalam pilihanraya 1969.[41] Para pimpinan parti oposisi dan pelajar membidas AUKU terutamanya Bahagian III(fasal 15 dan Fasal 16) dan Bahagian V(Seksyen VI Fasal 48, Seksyen VI Fasal 50 dan Seksyen VI Fasal 51). Di Parlimen, Dato Asri meminta AUKU ditangguhkan[42] manakala Lim Kit Siang dan Dr. Tan Chee Khoon mempersoalkan prosedur penubuhan persekutuan pelajar peringkat nasional dan antarabangsa.[43] Kerajaan bersedia melonggar perkara tertentu[44] dalam AUKU tetapi AUKU perlu diteruskan bagi menghalang anasir-anasir subversif dalam gerakan pelajar.[45]

Pada 6 Julai 1971, PBMUM dan PKPM menghantar memorandum kepada kerajaan. Gan Yap Swe, Setiausaha Agung PKPM dan Noordin Razak, Presiden PBMUM yang mewakili 15 pertubuhan pelajar menyatakan AUKU akan membantut pemikiran kritikal dan rasional pelajar.[46] PMUM pula mengadakan forum pada 23 Ogos 1971 dan 9 Disember 1971 disamping sudut pidato pada 4 Disember 1971. Namun, reaksi pelajar tidak berjaya memujuk kerajaan menlonggarkan AUKU.[47]

Pada tahun 1975, kerajaan memugarkan kembali AUKU agar lebih tegas bagi mengekang budaya politik pelajar yang semakin radikal dan revolusioner. Perkara ini terbukti dalam tindakan pelajar sepanjang tahun 1974 terutamanya isu Tasik Utara dan Baling. Menurut Dr. Mahathir Mohamad, AUKU adalah alat mengekang pelajar daripada membuat kacau apabila sesi 1975/76 bermula.[48] Usul agar pindaan AUKU 1975 ditangguh ditolak.[49] Penolakkan penangguhan ini memulakan era baru bagi gerakan pelajar dalam perjuangan mereka.


5.0 ISU DAN PEDEKATAN: MENANGANI ARUS PERUBAHAN

Pelaksanaan AUKU menyebabkan perubahan besar pendekatan gerakan pelajar dalam menyelesaikan isu-isu perjuangan. Persatuan pelajar lebih banyak mengadakan program khidmat masyarakat, berforum dan program kepimpinan. Di bawah penulis menukilkan beberapa isu utama gerakan pelajar yang berlaku dalam era 1976-1980;

5.1 Pendirian PMIUM Dalam Krisis Institut Teknologi Mara.

Selepas pindaan AUKU 1975, gerakan pelajar semakin permisive terhadap isu nasional dan kampus. Walau bagaimanapun, dunia pelajar digemparkan apabila pelajar ITM Shah Alam dan kampus Jalan Othman, Kuala Lumpur merampas kuasa pada 6 Januari 1976. Kejadian ini merupakan peristiwa pertama bagi gerakan pelajar menggugat kembali keabsahan kuasa AUKU. Rampasan ini berlaku apabila pelajar tidak berpuas hati terhadap pimpinan Dato Lokman Musa mengetatkan disiplin pelajar terutamanya etika pemakaian yang melarang pelajar berambut panjang.

Mulai 5 Januari 1976, peraturan tatatertib baru bagi pelajar ITM akan dikuatkuasakan. Ramai pelajar tidak bersetuju kerana bertentangan dengan hak asasi seseorang pelajar. Bagi pelajar lelaki, potongan rambut tidak melebihi kolar, dilarang memakai selipar dan baju panas semasa kuliah, dilarang memakai pakaian olahraga di dewan makan. Pelajar lelaki harus memakai tali pinggang hitam, baju kemeja dan kasut. Pelajar wanita tidak dibenarkan memakai pakaian menjolok mata seperti mini skirt, pakaian jarang atau terlalu ketat. Dato Lokman memberi amaran sesiapa yang ingkar akan dihukum seperti dilarang daftar, amaran, denda $200, gantung atau disingkir.[50]

Cadangan Dato Lokman dikecam hebat oleh KSITM.[51] Pelajar mempersoalkan tindakan Dato Lokman kerana hanya golongan minoriti yang berambut panjang. Dato Lokman hanya mementingkan perkara remeh dan pemakaian seseorang padahal persoalan ini bukanlah penentu moralnya. Pemimpin KSITM, Rosman Abdul Hamid menegaskan KSITM telah melakukan perubahan drastik dengan mengharamkan judi, majlis tari menari pada tahun 1972. Mantan Presiden KSITM, Ibrahim Ali, menyatakan pihak pentadbir perlu menyeru dan menggalakkan pelajar mengikuti peraturan bukannya mengambil tindakan sekeras itu. Apa gunanya dilakukan di dalam kampus jika di luar kampus terdapat arak, rasuah dan tarian bogel di kelab malam masih dibenarkan.[52] Tindakan Dato Lokman dilihat tidak perlu kerana KSITM telah menubuhkan kumpulan dakwah bagi mengatasi gejala sosial. Kebebasan pelajar telah disekat dan pelajar telah menjadi remaja ke sekolah[53] telah menjatuhkan imej ITM sebagai institusi pengajian tinggi yang berasaskan kebebasan intelektual.

Pada 5 Januari 1976, ITM dibuka untuk penggal pertama, pelajar senior mula tunjuk perasaan bagi membantah cara pentadbir melaksanakan peraturan disiplin. Mereka bertindak tidak mendaftar diri untuk kuliah kecuali pentadbir menarik balik arahan sebagaimana dituntut KSITM.[54] Seramai 1000 orang pelajar terlibat dalam demonstrasi di dataran berhampiran Pejabat Pentadbiran ITM pada pukul 9.00 pagi. Presiden KSITM, Abdullah Baba menyatakan tindakan pentadbir ITM tidak berunding terlebih dahulu dengan KSITM menyebabkan protes tersebut. Sebaliknya peraturan tersebut diperbesarkan dalam media massa dan ia memberi gambaran buruk kepada pelajar dan KSITM.[55] KSITM telah memperjuangkan pemurnian akhlak dikalangan pelajar sejak tahun 1971. Perkara yang dituntut KSITM adalah;
a. denda $200 adalah keterlaluan sedangkan pelajar hanya menerima elaun $20
sebulan.
b. Jumlah wakil pelajar telah dikurangkan dalam jawatankuasa[56] tersebut
daripada 6 kepada 3 adalah tidak relevan
c. Jawatankuasa itu dipengerusi oleh Dato Lokman sendiri adalah sesuatu
yang tidak adil.
Menurut Syed Osman,[57] KSITM tidak menentang keseluruhan cadangan tersebut tetapi cara pelaksanaan kurang baik terutamanya ia diluluskan oleh pihak pentadbiran tanpa perbincangan dengan KSITM.[58]

Pada 7 Januari 1976, ITM Kuala Lumpur telah ditutup apabila pelajar telah menguasai dan mengambil alih kampus di Shah Alam dan Jalan Othman di Petaling Jaya. Seramai 4000 hingga 5000 pelajar menguasai kampus. Dato Mansor sebagai Pemangku Pengerusi Majlis Pentadbir ITM menjelaskan tindakan itu disebabkan pelajar menggunakan ‘tindakan paksaan’ dalam proses pendaftaran pelajar senior selama dua hari.[59] Pelajar di dalam kampus kekurangan bekalan makanan dan pelajar yang ingin membeli makanan telah dihalang oleh pelajar senior. Para pemberita yang cuba mendekati pagar telah dikejar oleh pelajar.

KSITM telah menafikan keterlibatan mereka dalam penguasaan kampus itu. Presiden KSITM, Abdullah Baba menyatakan pihaknya tidak menghalang pelajar dan pensyarah balik ke kampus. Walau bagaimanapun, KSITM tidak mengiktiraf keputusan Dato Lokman berikutan sidang tergempar pada 6 Januari oleh Dewan Siswa KSITM.[60] KSITM kesal dan terperanjat apabila Dato Mansor menutup ITM. KSITM telah meminta Menteri Dalam Negeri, Dato Ghazali Shafie[61] tidak menggunakan badan beruniform dalam menyelesaikan isu ini. KSITM hanya bertindak sebagai pentadbir keselamatan dan kebajikan pelajar apabila pihak pentadbiran meninggal kampus jam 2.30 petang pada 6 Januari.

Pada 9 Januari, seramai 3000 orang pelajar telah keluar dari kampus jam 4 pagi tetapi pihak pentadbir masih tidak dibenarkan masuk. Pelajar yang meninggalkan kampus telah dicaci. Pihak pentadbir cuba memujuk pelajar yang belum meninggalkan kampus dan memberi amaran mereka tidak akan dibenarkan mendaftar diri bila kampus dibuka.[62] KSITM telah menyerah kepada Dato Mansor bagi menyelesaikan isu ini setelah perbincangan selama 5 jam. Pelajar mengemukakan beberapa penyelewengan seperti masalah keciciran pelajar dan penggunaan duit pelajar mesyuarat pentadbiran di Bukit Fraser.[63]

Pada 10 Januari 1976, perwakilan pelajar bersama Pemangku Presiden Majlis Belia Malaysia, Azaham dan Dato Lokman cuba memujuk pelajar. Dato Lokman merayu sebanyak dua kali agar 120 pelajar menyerah diri dan kedegilan mereka menyebabkan mereka disingkir. Semasa suasana tegang ini, polis menyerbu masuk ke dalam kampus terutamanya di asrama kedua iaitu pusat gerakan pelajar.[64]

Dr Mahathir selaku Menteri Pelajaran mengelarkan pelajar tersebut Gestapo yang memakai kain kuning di kepala sebagai pengecut kerana cabut lari meninggalkan kumpulan dakwah dan wanita.[65] Gestapo seramai 200 orang ini mengugut menelanjang dan mencincang perempuan.[66] Gestapo ini adalah sekumpulan pelajar radikal dan militan. Perkara ini terbukti dengan penemuan senjata seperti kapak dan peluru.[67]

Tindakan pelajar ITM merampas kuasa dengan isu rambut mengecewakan kerajaan kerana kerajaan kerugian $100,000 sehari.[68] Tindakan pelajar itu dikecam oleh badan bukan kerajaan seperti PERTIWI dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam. Ketua Satu PERTIWI(Zakiah Hanum) sebagai contoh mengatakan pelajar berambut panjang tidak manis[69] dan melanggar tatasusila orang Melayu. Kenyataan PERTIWI bersifat hipokrit kerana PERTIWI sendiri pernah mendesak kerajaan membatalkan arahan pemakaian tudung di sekolah kerana tidak praktikal dan mahal.[70] PMIUPM turut mengkritik keras tindakan pelajar ITM. Setiausaha Agung PMIUPM, Zaki Ayoub menjelaskan tindakan pelajar ITM itu mempertahankan amalan menyimpan rambut panjang sebagai amalan jahiliah.[71]

Walau bagaimanapun, PMIUM dam PMUKM telah menyokong tindakan pelajar ITM. PMIUM telah menyatakan tindakan pentadbir ITM sebagai mencabul hak kebebasan pelajar.[72] Sokongan terbuka PMIUM dinyatakan dengan menghantar surat bantahan[73] kepada akhbar tempatan dan pihak pentadbir ITM. PMIUM melihat krisis tersebut tidak mengancam keselamatan dan boleh diselesaikan dengan diplomasi. Penjelasan PMIUM disokong dengan kenyataan pengawal keselamatan yang menyatakan pelajar tidak melakukan perkara buruk dan pelajar hanya tidak menyukai Dato Lokman. Walaupun pos pengawal di pos bulatan, asrama 1 dan 2 diambil alih oleh pelajar, pengawal keselamatan tetap dibenarkan bertugas.[74]

PMIUM menyokong usaha KSITM mendapat hak sebagai kesatuan yang mewakili pelajar ITM. PMIUM juga mendesak Dato Lokman meletakkan jawatan dan menerima pandangan KSITM yang tidak mengiktiraf kepimpinan Dato Lokman.[75] Sokongan PMIUM merupakan sokongan yang berterusan. PMIUM kesal penyingkiran 45 pelajar ITM pada 10 Februari 1976[76] yang disyaki perancang rampasan kuasa tersebut. Tindakan menemuduga semula pelajar adalah tidak adil dan bertujuan buruk yang jelas bertentangan dengan hak pelajar yang sah di sisi undang-undang perlu dihentikan.

Pada 9 Februari 1976, Menteri pelajaran telah menubuh Jawatankuasa Penyiasat Krisis ITM bagi menyiasat kejadian itu.[77] PMIUM meragui ketelusan jawatankuasa ini sebagai badan bebas. PMIUM mengusulkan agar satu badan bebas yang dianggotai badan pelajar dan belia kerana golongan ini dilihat bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian yang adil.[78]



5.2 Isu Afghanistan

Fenomena penentangan terhadap penaklukan Soviet Union ke atas Afghanistan merupakan fenomena sedunia. Isu ini tercetus apabila Presiden Afghanistan, Hafizullah Amin digulingkan oleh bekas Naib Presiden, Babrak Karmal yang dibantu oleh gerila Islam.[79] Majlis Revolusi[80] telah mengambil alih sementara kuasa pentadbiran setelah golongan Marxis dari kumpulan Khalq(kumpulan yang diimani oleh Hafizullah) ditumbangkan oleh kumpulan Parcham.[81] Bagi membendung gelombang hijau[82] daripada mengakari bumi Afghanistan, pihak Beruang Merah mengatur langkah mencerobohi Afghanistan dengan menggerakkan 15,000 orang anggota tentera[83] ke sempadan dan memasuki Afghanistan pada 31 Disember 1979.[84]

Kemasukan Rusia ke wilayah Afghanistan dikutuk oleh warga dunia seperti di India,[85] Iran,[86] Jerman,[87] Indonesia,[88] dan Sudan.[89] Di Malaysia, ABIM,[90] PMUKM dan PKIPM[91] mengutuk kelakuan durjana Soveit dan meminta umat Islam di negara ini bersatu menghadapi musuh.[92] Presiden PMUKM, Fadullah Shuib meminta agar bantuan segera dikumpul bagi membantu perjuangan rakyat Afghan semasa demonstrasi aman di kampus UKM.[93]

Pada 8 Januari 1980, gabungan persatuan pelajar dan belia termasuk PMUM dan ABIM merancang mengadakan perhimpunan raksasa. Perhimpunan ini di bawah pimpinan saudara Anwar Ibrahim. Seramai 5000 orang hadir memberi sokongan dan melaungkan kalimah Allahu Akbar. Pidato malam tersebut diberikan oleh tetamu-tetamu khas termasuk Mufti Kuwait dan mereka secara muafakat mendesak agar Soviet berundur daripada Afghanistan. Sebanyak $6100 dikumpulkan bagi sumbangan Tabung Afghanistan.[94]

Keesokkan paginya, Perhimpunan Perpaduan Islam Anti Soviet diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru dan slogan-slogan seperti ‘Hapuskan Soviet’ dan ‘Hari ini Afhganistan, esok Malaysia’ terus bergema.[95] Perjuangan gerakan pelajar diteruskan di kampus masing-masing terutamanya oleh PMUTM,[96] KSITM[97] dan PMUM.[98]


6.0 KESIMPULAN

Kewujudan AUKU dilihat bagi mengekang keterlibatan pelajar universiti dalam politik nasional. Kemaraan pengaruh komunis dalam gerakan pelajar juga membimbangkan kerajaan. AUKU mempunyai impak pro dan kontra ke atas gerakan pelajar di Universiti Malaya. Secara idealnya, AUKU telah melesukan gerakan pelajar daripada membicarakan tentang isu nasional. Imej bersama rakyat dan jurubicara masyarakat semakin luntur di kalangan pelajar universiti. Kebanyakan kegiatan pelajar bercorak kemasyarakatan hanya berbentuk tempelan yang ingin memenuhi tentatif program. Kegiatan kebudayaan dan kesenian mula mendominasi aktiviti di kampus terutamanya di kolej-kolej. Kebangkitan pelajar ITM merupakan satu kegemparan dalam dunia pelajar setelah AUKU dikuatkuasa, manakala isu Afghan pula memperlihatkan kebangkitan awal kelompok Islamis dalam gerakan pelajar semasa era 1980an.
[1] Utusan Malaysia, 18.10.1971.
[2] Utusan Malaysia, 23.9.1971.
[3] Lipset S.M., Student Politics, New York: Basic Books Inc, 1967, hlm. 58. Golongan pelajar tidak tahan diremehkan dan gusar jika tidak dilayan dengan adil. Mereka tidak mementingkan wang. Lihat, Lipset, S. M., “Politik Mahasiswa dan Politik Sesudah Mahasiswa” dlm. Dewan Masyarakat, Mac 1975, hlm. 75.
[4] Lihat perbincangan Mahathir dalam bukunya. Mahathir Mohamad, Cabaran, Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1976, hlm. 101-104.
[5] Shahnon Ahmad, Ponggang Sastera, Shah Alam: Fajar Bakti, 1995, hlm. 82.
[6] Utusan Malaysia, 4.12.1973.
[7] Utusan Malaysia, 22.7.1974.
[8] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 31.3.1975. Tun Razak pernah memberi amaran kepada pelajar Sosialis agar tidak terlibat dalam rapat umum pilihanraya 1974. Lihat Utusan Malaysia, 22.7.1974.
[9] Utusan Malaysia, 30.8.1974.
[10] Anak kepada Hamid Tuah. Presiden pertama persatuan mahasiswa di kalangan siswi di Malaysia.
[11] Utusan Malaysia, 6.8.1974.
[12] R.S. Milne & D.K. Mauzy, Politik dan Kerajaan di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm. 230.
[13] Lihat kenyataan Syed Hamid Ali(Setiausaha Agung PSRM) dlm. Utusan Malaysia, 27.9.1974.
[14] Mahathir Mohamad, “Awasi Student Power”, dlm. Utusan Malaysia, 4.3.1975.
[15] Abdullah Ahmad, “Satu Analisa Demonstrasi Pelajar”, dlm. Mastika, Februari 1974, hlm. 34.
[16] Utusan Malaysia, 17.2.1974.
[17] Utusan Malaysia, 10.3.1974.
[18] Utusan Malaysia, 11.3.1974.
[19] Utusan Malaysia, 12.3.1974. Ahmad Shah Mohd. Noh menyifatkan golongan pelajar ini sebagai golongan meresah-gelisah dan bercita-cita mengubah dunia. Lihat, Dewan Masyarakat, bulan Mac 1974, hlm. 20.
[20] Utusan Malaysia, 14.3.1974.
[21] Idris Jusi menyatakan GPMS tidak perlu dijemput dalam Front Pelajar 1974 kerana selalu mengasingkan diri. Lihat, M.A. Fawzi Basri, “GPMS Wajib Mengkaji dan Menyusun Semula Kegiatan, Pentadbiran dan Hubungan dalam Keperihalan Kegiatan dan Politik Belia Hari Ini” Surat bertarikh 27.7.1974. Sempena Mesyuarat Agong GPMS, bulan Jun 1974.
[22] Teori Domino dikemukakan oleh John Foster Douglas Dulles, Setiausaha Negara Amerika bagi menjaga kepentingan Kolonialis dan Imperialis Barat di Asia Tenggara. Lihat, Said Zahari, Meniti Lautan Gelora, Kuala Lumpur: Utusan Publication, 2001, hlm. 163.
[23] Mingguan Malaysia, 15.12.1974.
[24] Kamarazaman Yaakob, Bersama Anwar ke Penjara, Petaling Jaya: Transgrafik, 1994, hlm. 163.
[25] Kertas Putih, “Kegiatan PKM dalam PBTUM”, Kuala Lumpur: Pencetakan Kerajaan, 1974, hlm. 2. Mao Tse Tung menggunakan budaya dalam menyebar fahaman Komunis. Lihat juga, Utusan Malaysia, 20.12.1974.
[26] Kenyataan Tun Dr. Ismail dlm. Utusan Malaysia, 30.11.1974.
[27] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 8.4.1975.
[28] Kertas Putih, “Kegiatan PKM dalam PBTUM”, hlm. 17.
[29] Ibid., hlm. 22.
[30] Beliau tidak mengimani fahaman komunis. Lihat Utusan Malaysia, 16.12.1974.
[31] Kertas Putih, “Kegiatan PKM dalam PBTUM”, hlm. 25.
[32] Rang Undang-Undang AUKU(1971) dicadang Hussein Onn mengandungi Ordinan no.74(kuasa perlu) Darurat 1971. Pada asas AUKU dizahirkan bagi menubuh, menyelenggara dan mentadbir universiti. Lihat Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 17 Mac 1971, hlm. 1402.
[33] Utusan Malaysia, 19.3.1971.
[34] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 30.7.1971, hlm. 4188.
[35] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 8.4.1975, hlm. 4390.
[36] Rohani (dll.), Hak dan Tanggungjawab AUKU, Bangi: Penerbit UKM, 1992, hlm. 19.
[37] Lihat Laporan Tragedi 13 Mei 1969, Kuala Lumpur: Pencetakan Kerajaan, 1969, hlm.iii. Seramai 196 orang terbunuh dalam peristiwa itu dan 172 daripada 196 orang di Selangor di samping yang cedera seramai 293(lihat, hlm. 88-90).
[38] Utusan Malaysia, 2.5.1971. Lihat juga, R.S. Milne & D.K. Mauzy, Politik dan Kerajaan di Malaysia, hlm. 109.
[39] Utusan Malaysia, 1.3.1971.
[40] Mahasiswa Negara, 24.5.1971. Dipetik daripada Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 8.4.1975.
[41] Junaidi Abu Bakar, Mahasiswa Politik dan Undang-Undang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, hlm. 26-27.
[42] Utusan Malaysia, 19.3.1971. Bagi Dr. Sanusi Osman, AUKU akan menjejaskan kematangan fikiran dan kesedaran golongan pelajar mengenai tanggungjawab mereka terhadap masyarakat. Lihat, Sarina, Mei 1986. Bagi Pemangku Presiden PMIUM sesi 1982/83, Azami Zaharin, AUKU menyebabkan pelajar pasif dalam isu nasional, kampus dan antarabangsa. Lihat, Watan, 22.7.1983.
[43] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 30.7.1975. PMIUM sendiri secara automatik terbubar daripada PKPIM berdasarkan Seksyen 15(1) pada 12 Mei 1975.
[44] Dr. Ismail sedia memberi pelonggaran dalam persoalan penubuhan Persekutuan Pelajar terutamanya Persatuan Pelajar Asia(ASA). Lihat, Utusan Malaysia, 11.3.1975.
[45] Lihat kenyataan Tunku tentang anasir subversif dalam Berita Harian, 20.8.1970. Lihat kenyataan Dr. Ismail berkaitan aktiviti subversif, Utusan Malaysia, 6.4.1971.
[46] Utusan Malaysia, 7.7.1971.
[47] Utusan Malaysia, 16.8.1972.
[48] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 8.4.1975. Lihat juga, Utusan Malaysia, 9.4.1975.
[49] Usul dikemuka oleh Lim Kit Siang dan disokong oleh Fan Yew Tong melalui 9 undi DAP dan 1 undi PEKEMAS tetapi ditolak oleh kerajaan. Lihat Utusan Malaysia, 9.4.1975.
[50] Utusan Malaysia, 23. 12. 1975.
[51] Utusan Malaysia, 2. 1. 1976.
[52] Utusan Malaysia, 23. 12. 1976.
[53] Zainuddin Ayip, ‘Tatatertib ITM harus dikaji semula’ dlm. Utusan Malaysia, 5. 1. 1976. Lihat juga, “Pelajar-pelajar Universiti Macam Murid Sekolah” dlm. Budiman, 15.1.1978., hlm. 5.
[54] Utusan Malaysia, 6. 1. 1976.
[55] Ibid.
[56] Jawatankuasa yang dimaksudkan adalah Jawatankuasa Pengubalan Etika Pelajar ITM.
[57] Setiausaha Agung KSITM.
[58] Utusan Malaysia, 23. 12. 1975.
[59] Utusan Malaysia, 8. 1. 1976.
[60] Utusan Malaysia, 9. 1. 1976.
[61] Mantan Pegawai Pentadbir ITM.
[62] Utusan Malaysia, 10. 1. 1976.
[63] Utusan Malaysia, 11. 1. 1976.
[64] Ibid.
[65] Utusan Malaysia, 12. 1. 1976.
[66] Utusan Malaysia, 9. 1. 1976.
[67] Utusan Malaysia, 19. 2. 1976.
[68] Ibid.
[69] Utusan Malaysia, 26. 1. 1976.
[70] Utusan Malaysia, 28.2.1974.
[71] Utusan Malaysia, 29. 1. 1976.
[72] Laporan Tahunan PMIUM sesi 1975/1976.
[73] SU. KTA/PMI 75/76, surat PMIUM bertarikh 9. 1.1976. Surat ini adalah kenyataan rasmi PMIUM dalam krisis ITM dan ia tidak tersiar dalam akhbar-akhbar tempatan.
[74] Utusan Malaysia, 17. 1. 1976.
[75] SU. KTA/PMI 75/76, Surat PMIUM bertarikh 9.1.1976.
[76] SU. KTA/PMI 75/76, Surat PMIUM bertarikh 11.2.1976.
[77] The Malay Mail, 10.2.1976. Dirujuk dalam Laporan Tahunan PMIUM sesi 1975/1976.
[78] SU. KTA/PMI 75/76, Surat PMIUM bertarikh 11.2.1976. Kenyataan akhbar yang diberikan kepada akhbar tempatan.
[79] Utusan Malaysia, 29.12.1979. Bantuan gerila Islam secara tidak langsung kerana gerila Islam menguasai beberapa wilayah(contohnya, wilayah Herat) daripada kerajaan pusat. Gerila Islam tetap menentang kerajaan Babrak Karmal.
[80] Utusan Malaysia, 30.12.1979. Pengolakkan politik di Afghanistan tercetus ekoran krisis dalaman dalam proksi komunis yang menguasai Afghanistan. Gerila Islam pula sedang mara ke ibukota, Kabul. Sebenarnya, krisis dalaman dalam proksi komunis bermula pada zaman Presiden Muhamad Daud Khan lagi. Muhamad Daud yang mulanya pro Rusia digulingkan oleh Noor Muhamad Taraki pada 27 April 1978 kerana cuba menjalin hubungan dengan China(pertembungan fahaman Mao dengan Stalin) dan Amerika. Lihat, “Afghanistan: Kebangkitan Islam Mencabar Kabul”, Risalah, Bil. 3, 1979, hlm. 9. Lihat juga, Mohamad Redzuan Othman, “Afghanistan Sejarah Sebuah Duka” dlm. Dewan Budaya, April 2002, hlm. 20-23.
[81] Walaupun kumpulan Khalq lebih dominan dalam politik Afghan tetapi Rusia lebih merapati kumpulan Parcham. Lihat, Mohd Sidin Ahmad Ishak & Nizal Mohamad, Afghanistan: Fajar Era Baru, Kuala Lumpur: ABIM, 1989, hlm. 16.
[82] Kebangkitan Islam adalah reaksi daripada tindakan Raja Dharir Shah yang melantik Mohamad Daud yang cenderung kepada fahaman komunis sebagai Perdana Menteri pada tahun 1953. Ketua Ikhwanul Muslimin Afghanistan, Ahmad Niazi dan mahasiswa Islam Universiti Kabul mula mengerakkan kelompok pelajar Islam yang dikenali Juanan Muslim(kemudian dikenali Jamiyyah al Islamiyyah) pada tahun 1969. Pada tahun 1972, kelompok pelajar Islam berjaya menguasai kerusi di Dewan Mahasiswa Universiti Kabul dan ia menakutkan pendokong komunis. Pada tahun 1975, Mohamad Daud mempenjarakan Ahmad Niazi dan ramai pemimpin pelajar termasuk Rabbani dan dan Sayyaf berjaya melarikan diri ke Pakistan. Lihat, Muhamad Abdul Quddus, Bersama Mujahidin Afghanistan, Kuala Lumpur: Thinker Library, 1988, hlm. 101.
[83] Utusan Malaysia, 31.12.1979. Babrak Karmal gagal memenuhi aspirasi Rusia menyebabkan Rusia mencerobohi Afghanistan. Kebanyakan tentera Afghan berpaling tadah menyokong gerila Islam. Lihat, Khalid Jaafar, “Rampasan Kuasa Baru”, dlm. Panji Masyarakat, April 1980.
[84] Utusan Malaysia, 1.1.1980.
[85] Pelajar Afghan menawan kedutaan mereka di New Delhi. Lihat, Utusan Malaysia, 3.1.1980.
[86] Tunjuk perasaan di depan kedutaan Soviet di Iran. Lihat, Utusan Malaysia, 2.1.1980.
[87] Pelajar Afghan menawan kedutaan mereka. Lihat, Utusan Malaysia, 3.1.1980.
[88] Pelajar Indonesia berarak di jalanan, Lihat, Utusan Malaysia, 4.1.1980.
[89] Seramai 500 orang pelajar Sudan membakar bendera Soviet. Lihat, Utusan Malaysia, 5.1.1980.
[90] Osman Bakar, Setiausaha Agung ABIM mengutuk tindakan Soviet. Lihat, Utusan Malaysia, 7.1.1980.
[91] Presiden PKPIM, Fuad Hasan mengutuk tindakan Soviet. Lihat Utusan Malaysia, 8.1.1980.
[92] Fatwa jihad di Afghanistan telah dikeluarkan oleh Dr. Abdullah Azzam dengan persetujuan Mufti Saudi, Ibnu Baz dan pimpinan Ikhwanul Muslimin seperti Said Hawwa. Lihat, Dr. Abdullah Azzam, Jihad: Afghanistan Bukti Terang dan Perjajahan Dunia Moden, Kuala Lumpur: Pustaka Syuhada, 1988, hlm. 4-7.
[93] Demonstrasi aman itu dihadiri oleh 1000 orang pelajar di kampus UKM. Lihat, Utusan Malaysia, 8.1.1980.
[94] Utusan Malaysia, 9.1.1980.
[95] Utusan Malaysia, 10.1.1980. Perhimpunan ini adalah susulan demonstrasi oleh PMUM yang melahirkan sikap tegas terhadap pencerobohan Rusia. Lihat Risalah, Bil. 1. 1980, hlm. 6.
[96] Seramai 200 berkumpul di Dewan Besar UTM jalan Gurney yang diketuai oleh Presiden PMUTM, Dzulkifli Mohamad. Lihat Utusan Malaysia, 11.1.1980.
[97] Seramai 3000 orang pelajar ITM diketuai oleh Khalid Jaafar berdemonstrasi secara aman. Lihat, Utusan Malaysia, 10.1.1980.
[98] PMUM mewakili pelajar menderma sebanyak $ 971.55 sen bagi Tabung Afganistan Utusan Malaysia. Lihat, Budiman, 1 April 1980.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...