Sunday, May 28, 2017

MENGAPA PAS MENJADI PILIHAN NIK AZIZ


Oleh Khalil Jibril

Walaupun Arwah Tuan Guru Dato Bentara Nik Abdul Aziz Nik Mat (ATGNA) mendapat pendedahan dan inspirasi daripada Ikhwanul Muslimin ketika di Mesir, beliau tidak menyertai Ikhwan.

ATGNA sedar martabat khair al-ummah. pemegang tampuk qiyadah al-bashar (teraju kepimpinan manusia) mampu dicapai seandainya suatu pergerakan menghayati [1] beriman kepada Allah, [2]penyeru makruf dan [3] pencegah mungkar. Semuanya adalah berpaksikan kepada iman kerana dengan beriman kepada Allah sahaja kita dapat mengenal nilai makruf dan yang mungkar. Iman juga memberi kekuatan dan pengupayaan menghadapi cabaran dalam perjuangan. Pergerakan itu juga mesti menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber perjuangan dan perundangannya.

Semasa kepulangan ATGNA, hanya PAS sahaja yang mampu menyempurnakan Iqamah ad-Din (menegakkan agama Islam) dan menyanjung tinggi kalimah-Nya. Sedangkan Perikatan ketika itu memperjuangkan nasionalisme.

PAS merupakan Harakah Islamiyyah yang memperjuangkan aqidah Islam. Prinsip dan dasar PAS berpandukan interprestasi kandungan al-Quran dan as Sunnah. ATGNA ingin berBAKTI kepada Harakah Islamiyyah. Cita-cita menegakkan daulah Islamiyyah adalah impian orang MUKMIN dan itulah perjuangan PAS. Dewan Ulama PAS Pusat telah meluluskan Resolusi PAS 1958:
  1.    .Bahawa hukum menegakkan Negara Islam yang dalamnya berjalan hukum Allah adalah WAJIB.
  2.     .Sebagai asas kami berpegang kepada ayat Surah Asy Syura: 13
  3.   .Oleh kerana agama Islam itu adalah meliputi soal-soal beragama dengan makna perhubungan hamba dengan Allah dan perhubungan hamba sesama hamba, maka segala-galanya tidak akan dijalankan melainkan dengan adanya Negara Islam yang mempunyai bentuk dan dasar Islam yang menjalankan hukuman Allah.
  4.  Keadaan seperti ini telah pun dilakukan oleh Rasul dan dengan yang demikian menjadi satu syarat yang WAJIB diikuti.


PAS mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kedudukan Islam sebagai satu sistem hidup yang syumul, maka ia perlu direalisasikan dalam keranngka masyarakat majmuk. Kedudukan Islam sebagai satu sistem hidup yang syumul ditegaskan lagi dalam Perlembagaan PAS.

Antara sebab lain ATGNA menyertai PAS kerana [1] tiada permisahan antara Islam dan politik, [2]PAS berjuang menegakkan sebuah negara berteraskan undang-undang ciptaan Allah melalui al-Quran dan al hadith sebagai hukum tertinggi yang merangkumi aspek pentadbiran, kehakiman dan sistem sosial masyarakat.


Sumber: Jamal Mohd Lokman Sulaiman, Biografi TGNA.

Krisis EXCO PAS Dalam Kerajaan Selangor 2017 (diedit)


Oleh Abdullah al-Helmy

PAS Putus Tahaluf Siyasi Dengan PKR
Usaha kelompok ulama agar kajian semula terhadap tahaluf siyasi sudah lama berlaku. Dalam Multaqa Ulama 2013, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Dato Harun Taib mencadangkan Majlis Syura Ulamak agar tahaluf siyasi dengan PKR dikaji semula.[1] Saranan ini dibantah dan tidak dipersetujui oleh Mursyidul Aam, Tuan Guru  Nik Aziz Nik Mat.[2]
Dewan Ulama PAS Pusat sebulat suara bersetuju usul memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR [Sinar Harian, 26 April 2017]  kemudiannya diterima tanpa bahas dalam Muktamar PAS ke 63 (2017).[3] Muktamar PAS memberi mandat kepada MSU menentukan keputusannya.
MAJLIS Syura Ulamak yang bersidang pada hari ini, 14 Sya’ban 1438 bersamaan 11 Mei 2017 memutuskan bahawa:
1. Dengan merujuk kepada begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat Tahaluf Siyaasi menurut pertimbangan hukum Syarak dan Akhlak Islam, maka hubungan politik Tahaaluf Siyaasi antara PAS dan PKR telah terbatal.
Antara perlanggaran tersebut ialah;
a. Tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU 355.
b. Melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.
c. Khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya dengan bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan Kerajaan Negeri Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
2. Sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran Negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat.
Isu Meletakkan Jawatan
Respon daripada parti-parti lain terhadap usul tersebut semuanya menjurus kepada nasib kerajaan Selangor. Pemimpin DAP, PKR dan PAN (Parti Amanah Nasional) kebanyakannya mendesak supaya PAS keluar dari kerajaan Selangor. Sebaliknya PAS pula menerusi kenyataan Ketua Pemudanya, Ustaz Khalil Abdul Hadi kelihatan masih mahu mengekalkan jawatan di Selangor kerana mendakwa kerajaan Selangor bukan milik PKR.[4]
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) mahu dengan kelulusan usul memutuskan hubungan tahaluf PAS  dengan DAP diluluskan oleh muktamar 2015  diakhiri dengan tindakan sesetengah pemimpin PAS seperti bekas Timbalan Presiden PAS dan Dr. Mujahid Yusuf telah meletakkan segala jawatan mereka di dalam Kerajaan Pulau Pinang. Malangnya perletakan jawatan ini dibuat secara peribadi bukannya arahan parti.[5] Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua memberi kata dua kepada YAB Dato Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor memilih PAS atau DAP.[6] SUA Agung, Saifuddin Nasution mengesa PAS tidak melengah-lengah keputusan tersebut dan perlu letakkan jawatan EXCO dengan segera.[7] Pada masa yang sama, Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail mahu menunggu keputusan MSU.
Timbalan Presiden PKR, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali merangkap Menteri Besar Selangor dalam respon awalnya menyatakan kedudukan PAS kekal dalam Kerajaan Negeri Selangor sehingga PRU 14.
Exco DAP, Dato' Teng Chang Kim juga berpandangan bahawa tidak ada masalah untuk Exco PAS kekal dalam Kerajaan Negeri.
Namun Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dan Pengerusi PAN Selangor, Ir Izham Hashim pula mendesak agar PAS dikeluarkan segera daripada Kerajaan Negeri Selangor.
9 Mei 2017 – PAS sifatkan PAN tidak bermaruah kerana menyatakan kesediaan mereka mengambil alih jawatan EXCO di Selangor.[8]
12 Mei 2017 – Azmin Ali menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan MSU. Keputusan Majlis Syura Ulama PAS untuk menamatkan hubungan politik dengan PKR disifatkan sebagai tindakan yang membelakangkan kehendak rakyat.[9]
13 Mei 2017 – Lim Guan Eng, SUA DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang menyokong penuh agar Azmin memecat 3 orang EXCO tersebut. Kedudukan ADUN Permatang Pasir PAS, Dato Salleh Man masih kukuh kerana menyokong beliau sebagai Ketua Menteri.[10]
13 Mei 2017 - Menurut Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS sedia melepaskan jawatan di Selangor. Beliau berkata "Bagi PAS, kita akur sebab pelantikan exco ini di bawah kuasa Tuanku Sultan Selangor (Sultan Sharafudin Idris Shah). Jadi pihak PAS kita akurlah kalau (benar) ia sudah dapat perkenan Tuanku Sultan[11]
13 Mei 2017 -Exco Selangor dari PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, beliau tidak menerima sebarang arahan daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali untuk meletakkan jawatan daripada kabinet negeri tersebut.[12]
13 Mei 2017 – Dalam kenyataan rasmi Anwar Ibrahim, beliau menyatakan “Saya mengulangi kenyataan Presiden KEADILAN bahawa KEADILAN tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik walaupun ada pihak yang mentohmah KEADILAN dengan tohmahan yang tidak adil dan tidak wajar”. Anwar telah menafikan hujah MSU PAS. Kenyataan Anwar Ibrahim dijawab oleh Syed Ahmad Fadhli, Pegawai Pusat Penyelidikan PAS dengan menyenaraikan kesalahan-kesalahan PKR.[13]
15 Mei 17 – Mahfuz Omar menyatakan amat tidak wajar PAS menyeret institusi istana dan mendapat perlindungan istana dalam usaha mempertahankan ghanimah kedudukan EXCO di Selangor. Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor membidas Mahfuz jangan menjadi wakil parti lain. Takiyuddin Hassan, SUA PAS menegaskan hanya Sultan Selangor ada kuasa memperkenankan sama ada EXCO itu meletak jawatan atau dipecat. Abdul Hadi Awang menasihatkan agar menjadikan Langkah Kajang sebagai pengajaran (Sinar Harian, 16.5.17)
16 Mei 17 - Mesyuarat Biro Politik PKR malam bermesyuarat tanpa Azmin yang berada di luar negara. Dua keputusan penting ialah [1] PKR membuat keputusan bahawa semua lantikan politik PKR di dalam Kerajaan Negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan-jawatan tersebut berkuatkuasa serta merta. Perkara ini telah disampaikan kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan. [2] Kedudukan PAS di dalam Kerajaan Negeri Selangor telah dibincangkan pada malam ini dan akan diputuskan pimpinan PKR bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor sekembalinya beliau dari lawatan rasmi ke luar negara.
17 Mei 2017 – Pengerusi PKR Negeri Kelantan, Ab. Aziz Ab. Kadir akur arahan keputusan mesyuarat Biro Politik PKR dengan melepaskan 75 jawatan yang disandang (lantikan politik) dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah berharap semua wakil PKR sudi mempertimbangkan untuk kekal jawatan terbabit sehingga ke hujung tahun. Pada masa yang sama, Pesuruh Jaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi menegaskan pihaknya tidak akan melayani kehendak pihak yang mendesak EXCO PAS meletak jawatan selagi tidak diputuskan oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sendiri.[14]
18 Mei 2017 - Mesyuarat PAS Pusat telah dipengerusikan oleh Pemangku Presiden PAS[15], Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man memutuskan bahawa Exco PAS kekal dalam Kerajaan Negeri Selangor selagimana diperkenan oleh Sultan Selangor. Ini adalah selaras dengan Fasal 53 (7) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
19 Mei 2017 – Anwar Ibrahim meminta Azmin berbincang dengan PAS dalam persoalan EXCO PAS.[16]
20 Mei 2017 – Azmin menyatakan bahawa pihak Istana Selangor belum diberitahu tentang penamatan tahaluf siyasi dengan PAS.[17]
20 Mei 2017 – PAS akan menyatakan pendirian tentang peletakkan jawatan 13 ADUNnya selepas 3 EXCO PAS dipecat. [18]
21 Mei 2017 - Kerajaan Selangor boleh mengikut jejak langkah Pulau Pinang dalam menangani isu hubungannya dengan PAS, kata Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin. Afif yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menimbulkan pandangan tersebut ketika Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali kini perlu memutuskan kedudukan tiga exco PAS di negeri itu."(Mengenai) tahaluf siyasi, saya nak cerita sikit kami di Pulau Pinang putus lebih awal dari Selangor. Di Pulau Pinang kita ada seorang ADUN dari parti PAS[19] Menteri Besar Selangor masih menegaskan bahawa 3 EXCO PAS masih kekal dalam kerajaan.[20]
22 Mei 17 - Kerajaan negeri Kelantan sudah melantik 39 wakil dari PKR sebagai ahli majlis di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini supaya mereka dapat bersama menyumbang demi kebaikan rakyat. Empat anggota PKR menolak tawaran pelantikan di Majlis Daerah Pasir Puteh.[21]
23 Mei 2017 - Biro Politik KEADILAN mengambil maklum penjelasan yang diberikan YAB Dato' Menteri Besar Selangor bahawa, walaupun mereka bukan sebahagian dari Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dari PAS telah bersetuju untuk terus menyokong dasar bersama Kerajaan Negeri Selangor berasaskan Buku Jingga, dan meneruskan keyakinan terhadap kepimpinan Dato' Menteri Besar Selangor YAB Dato' Seri Azmin Ali. Biro Politik KEADILAN turut bersetuju dengan pendekatan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri menjelang PRU 14 dan meneruskan usaha membangunkan Negeri Selangor selaras dengan mandat besar rakyat pada PRU 13.[22]
23 Mei 2017 - Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata terpulang kepada kerajaan negeri Kelantan untuk mengambil tindakan berhubung isu peletakan jawatan lantikan politik PKR di negeri itu. Ini susulan keputusan PKR pada 16 Mei lepas yang mengarahkan semua lantikan politik daripada parti itu dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan mereka serta-merta berikutan keputusan PAS membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR. "Saya tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dan percaya perkara ini (peletakan jawatan) boleh diselesaikan secara baik antara kerajaan negeri dan pimpinan PKR Kelantan,"[23]
25 Mei 2017 – Pihak Istana Selangor telah memperkenankan hasrat Menteri Besar Selangor mengekalkan ketiga-tiga EXCO PAS dalam kerajaan Selangor.[24] PAS Selangor menjunjung kasih atas kepercayaan Tuanku Sultan kepada EXCO PAS.[25]
Dengan kenyataan Tuanku Sultan Selangor, krisis Selangor boleh dikatakan selesai buat sementara waktu.

Krisis Selangor: Pentingnya Sebuah Parti Sebagai ‘King Maker’ [PAS Sebagai ‘King Maker’]
DAP dan PAN mendakwa mustahil DAP memerintah Malaysia dengan jumlah kerusi yang DAP tandingi. Bagaimanakah DAP boleh menguasai Malaysia? [1] Melalui proksi, boneka atau khadam mereka yang wujud sebagai sebuah parti atau individu dalam parti tertentu. [2] DAP sebagai king maker atau kuasa penentu yang berpengaruh dalam sesebuah kerajaan.
Ancaman sebenar bukanlah daripada DAP. DAP hanyalah wasilah kecil sahaja. Musuh sebenarnya kelompok Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme (SEPILIS) serta kelompok kristian yang melata dalam pelbagai organisasi termasuk dalam kerajaan sendiri. Ia bukanlah organisasi atau individu tetapi pandangan alam atau pemikiran seseorang. Mereka boleh bersatu atas pandangan alam walaupun berbeza organisasi. Di Malaysia, mereka berkubu di pelbagai tempat termasuk Majlis Peguam Malaysia, SIS dan HAKAM.  Dalam politik kepartian, mereka berkumpul dalam PKR dan DAP.
Dalam parti pembangkang, PKR merupakan parti paling besar jumlah pencalonannya di kerusi Parlimen. PKR bertanding di 99 kerusi Parlimen, PAS sebanyak 73 kerusi manakala DAP cuma 51 kerusi (atau 23% kerus) sahaja daripada 222 kerusi Parlimen. Dalam pembentukan kerajaan negeri pula, DAP hanya bertanding di 103 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Malaysia berbanding PAS sebanyak 236 kerusi dan PKR 172 kerusi.
TGHH menegaskan bahawa tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR hampir berjaya menjatuhkan Umno dan BN dengan mencapai peratus tinggi undi popular iaitu 89 kerusi pembangkang dan 132 kerusi kerajaan. Namun begitu, wujud keadaan tidak seimbang pada kedudukan politik dan jumlah kerusi Islam menyebabkan PAS melakukan muraja'ah semula terhadap tahaluf siyasi. Dari 89 kerusi pembangkang itu PAS 21 kerusi, PKR 30 kerusi, DAP 38 kerusi. Dari 89 kerusi itu juga, wakil Islam hanya 39 kerusi dan 50 kerusi bukan Islam. Dari segi kekuatan jentera PAS 25 peratus, parti lain bahagi-bahagi, (tapi) kerusi PAS begitu kedudukannya. Dengan mengambil 30 lagi kerusi bukan Islam dari BN, maka kerajaan boleh dijatuhkan, sekaligus terbentuk kerajaan baharu yang berkedudukan Islam 39 kerusi dan bukan Islam 80 kerusi.
Siapa yang menjadi King Maker, parti itulah yang berpengaruh dalam kerajaan tersebut. PAS juga sedar bahawa mereka sukar berkuasa jika bertanding bersendirian, sebab itulah mereka menubuhkan pakatan politik baru dikenali Gagasan Sejahtera yang dianggotai oleh PAS, IKATAN dan BERJASA. Pada masa yang sama PAS mengadakan pendekatan serampang dua mata iaitu pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang ‘mesra’ UMNO-BN dan NGO. Dengan NGO, PAS bekerjasama dalam Kongres Rakyat. Untuk menjadi king maker, PAS mensasarkan 40 kerusi Parlimen daripada 80 kerusi yang ditandingi dan memenangi 4 buah negeri.[26]
Oleh sebab itu PAS menganggap mereka sebagai king maker atau kuasa penentu yang berpengaruh dalam sesebuah kerajaan. PAS bertanding sebanyak 80 kerusi untuk menjadi king maker. King maker sangat bersesuai dengan konsep pengkongsian kuasa sebagaimana disarankan oleh Rashid Ghannousshi.
Datangnya anak murid Ghannousshi dan peminat Ben Bayyah dalam PAN mahu menumbangkan UMNO-BN sehingga mencetuskan konflik berterusan antara umat Islam. Mereka cuba membangkitkan juga isu aqidah melalui Amanat Haji Hadi dan menghidupkan kembali isu takfir. Lebih malang mereka mengkhawarijkan PAS.
Perang isu aqidah seperti takfir semakin berkurangan setelah UMNO dan rakyat mendapat pencerahan tentang Islam. UMNO dibawah pimpinan Tun Mahathir telah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam. Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Islam Hadhari. Begitu syiar Islam semakin subur memekar. Dan UMNO sendiri mula menerima syariat Islam dengan kelulusan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan. Terkini UMNO dan kerajaan memberi ruang dan laluan kepada pembentangan usul Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah 355. Ini adalah perubahan yang perlu dicakna dan ditangani oleh PAS. Fasa politik matang dan sejahtera sangat bersuaian dengan proses keinsafan dan kesedaran Islam dalam UMNO dan kerajaan.
Proses keinsafan dan kesedaran Islam dalam UMNO dan kerajaan tidak menandakan PAS-Gagasan Sejahtera memaafkan atau menerima ‘kedajalan’ yang UMNO-BN telah buat dalam penyelewengan kuasa: Korupsi, Kronisme, Nepotisme. PAS tetap menegur, menasihat dan mengkritik segala kesalahan dan kelemahan UMNO-BN dalam pemerintahan.
Apabila TGHH mahu menyarankan politik perpaduan dan damai, mereka menghina dan mengkritik kerana TGHH dan PAS dikatakan cuba berbaik-baik dengan UMNO dan merestui dosa-dosa serta kezaliman UMNO. Ia satu fitnah kepada TGHH dan PAS. PAS mengamalkan pendekatan serampang dua mata, menasihati pada masa yang sama mengkritik dan membuat teguran. ‘Dalam kelembutan nasihat ada bisanya’. Kedinamikan politik Haji Hadi sukar diterima oleh PAS berbanding usaha Ustaz Fadzil Noor, TG Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Anwar Ibrahim.
Dalam kerajaan Selangor sehingga ke hari ini (10.5.17) peranan PAS sebagai king maker menonjolkan apabila PAS memainkan peranan penting dalam kerajaan bukannya menguasai kerajaan Selangor. PAS sebagai king maker sangat berpengaruh dalam kestabilan kerajaan Selangor. Justeru, PAS mampu bertindak sebagai king maker dalam Kerajaan Persekutuan sama ada ia dipimpin oleh Barisan Nasional atau Pakatan Harapan. PAS menjadi kuasa tengah dan pengimbang agar kerajaan yang dipimpin oleh BN atau PH tidak terlalu berkuasa.
Model Sebuah Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Campuran
Pendirian PAS untuk terus berada dalam kerajaan sememangnya telah dijangka. Bukan kerana mereka sayangkan jawatan. Ini boleh dilihat apabila mereka sanggup memberikan laluan kepada PKR untuk menjadi MB sebanyak dua kali walaupun jumlah kerusi mereka di Selangor lebih banyak dari PKR. Tetapi mereka mempertahankan jawatan dalam kerajaan kerana memikirkan kuasa politik orang Islam. Umat Islam menjadi kuasa majoriti dalam sesebuah kerajaan. Jika tidak, negara ini menjadi tidak stabil dan huru-hara akan berlaku sekaligus mengundang campur tangan asing dari segi politik dan ekonomi.
Untuk membentuk kerajaan, 29 kerusi DUN diperlukan sebagai majoriti mudah. Jika dihitung jumlah kerusi DAP, PKR dan PAN sekarang, 17 daripadanya bukan Islam manakala Islam hanya 12 orang. Sudah tentu kerajaan yang bakal terbentuk selepas PAS keluar daripada kerajaan dibarisi oleh majoriti pemimpin bukan Islam. Berdasarkan sikap parti-parti komponen PH terhadap Islam kebelakangan ini, penguasaan bukan Islam tentu sekali boleh mengancam kedudukan Islam dalam negeri tersebut. PAS yang berjuang untuk memastikan Islam berkuasa pasti tidak akan bersetuju dengan kedudukan tersebut.[27]
Seperkara lagi yang perlu dirisaukan adalah mengenai kestabilan politik dalaman negeri. Perubahan pentadbiran akan menyebabkan krisis kestabilan politik bukan sahaja pada jawatan-jawatan yang disandang PAS, malah ia akan turut mengancam jawatan MB. Umum mengetahui bahawa Azmin Ali dan kartelnya tidak sebulu dengan Presidennya Wan Azizah dan beberapa pemimpin lain seperti Rafizi dan Saifudin. Sekarang sudah kedengaran desas-desus empat ADUN PKR mahu lompat parti. Tanpa PAS yang menjadi tongkat untuk Azmin mempertahankan kedudukannya, besar kemungkinan projek gila seperti Langkah Kajang yang mengheret campur tangan istana akan berlaku sekali lagi.
Azmin Ali kena berwaspada terhadap situasi dalaman politik PKR dimana pembantu-pembantu Azmin sedang digugat oleh kartel Azizah-Izzah-Rafizi-Saifuddin. Jawatan Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor menyebabkan Azmin Ali terlalu berkuasa dan populariti beliau mengatasi Presiden PKR bahkan boleh menjejaskan pengaruh Ketua Umum, Dato Seri Anwar Ibrahim dalam PKR. Kita sesekali jangan lupa nasib Dato Harun Idris, Ketua Pemuda UMNO merangkap Menteri Besar Selangor yang lebih popular daripada Yang Dipertua UMNO ketika itu dijatuhkan dengan isu rasuah.[28] Serangan dilakukan ke YB Zuraida Kamarudin, Ketua Wanita PKR merangkap orang kuat Azmin dalam kes kekayaan peribadi beliau. Begitu juga kes rasuah dalam pentadbiran Kerajaan Selangor pimpinan Azmin Ali termasuk habuan seks yang telah didedahkan oleh Rafizi.[29]
PAS telah menunjukkan sikapnya yang menolak ancaman terhadap kestabilan politik baik di peringkat nasional mahupun negeri dalam beberapa peristiwa sebelum ini. PAS menolak untuk menyertai kempen tolak Najib, projek genius Anwar Ibrahim ’16 September”,  menolak untuk membuat undi tidak percaya dan tidak menolak bajet yang dibentang atas alasan yang sama, menghormati government of the day dan menjaga kestabilan politik supaya tidak mahu menyusahkan rakyat. Alasan yang sama juga dipakai dalam isu Langkah Kajang. Ketika krisis kepimpinan Umno Terengganu yang menyebabkan bekas Menteri Besarnya Dato Seri Ahmad Said menggugut keluar parti, PAS tidak mengambil peluang untuk mengajak beliau menyertai mereka untuk membentuk kerajaan baharu, juga atas alasan sedemikian. Maka mustahil PAS akan membiarkan Selangor dalam keadaan tidak stabil selepas ini.[30]
Sebenarnya tiada apa yang pelik jika PAS masih dalam kerajaan walaupun tidak bergabung dengan PKR atau DAP. Model kerajaan seperti ini disebut Kerajaan Campuran. Malah Azmin juga boleh meminjam idea yang pernah dikemukakan sebelum ini, iaitu model Kerajaan Perpaduan atau Unity Government (UG), sebuah kerajaan tanpa parti pembangkang. Model ini pernah dipopularkan oleh Dato Seri Abdul Hadi di zaman Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi dahulu iaitu semua parti politik berada dalam kerajaan di posisi-posisi tertentu mengikut nisbah penguasaan kerusi di parlimen. Model Kerajaan Campuran ini telah dilakukan di UK dan Tunisia, manakala model UG pernah diamalkan oleh pemerintah Palestin. Walaupun setiap parti saling bersaing setiap kali pilihanraya, tetapi demi kestabilan politik mereka bersepakat membentuk kerajaan bersama berdasarkan komposisi sokongan rakyat terhadap mereka.[31]
Bentuk pemerintahan UG adalah sangat baik kerana ia tidak lagi berasaskan kepada satu pihak sahaja. Semua jentera kerajaan bebas untuk menilai antara satu sama lain tanpa terikat dengan disiplin parti tersendiri. Setiap parti akan berusaha melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin supaya tidak diserang oleh parti lain yang turut berada dalam kerajaan. Ini sudah tentu akan mewujudkan suasana check and balance yang amat baik untuk negeri dan rakyat.
PAS juga menitik-berat hubungan baik antara kerajaan negeri dengan pihak istana. Pihak istana tidak boleh diabaikan dalam pemerintahan. Setiap perubahan pucuk pimpinan mesti mendapat restu Sultan Selangor sebagai Ketua Negeri Selangor.

Akhir Kalam
1. Politik Islam-Melayu adalah jaminan kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara.
2. Peranan institusi Istana dalam politik Malaysia perlu dihormati. Restu dan perkenan Sultan sangat penting.




[1] Sinar Harian, 15 September 2013.
[2] Harakah, 20-22 September 2013
[3] Utusan Malaysia, 1 Mei 2017.
[4] http://www.sinarharian.com.my/politik/exco-pas-tak-perlu-letak-jawatan-kerajaan-selangor-1.666901
[5] kenyataan Penolong SUA PAS, Dato Takiuyuddin Hassan. Sinar Harian, 10 Jun 2015.
[6] Utusan Malaysia, 10 Jun 2015.
[7] Sinar Harian, 29 April 2017
[8] Sinar Harian, 10 Mei 2017
[9] Bernama, 12.5.2017
[10] Sinar Harian, 14.4.17
[11] Mstar, 13.5.17
[12] Malaysiakini, 13.5.17
[13] Sebahagian kenyataan Syed Fadhli. Antara perlanggaran tersebut ialah;
a. Tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU 355.
b. Melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.
c. Khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya dengan bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Negeri Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Selepas pada itu, hubungan PKR dengan PAS kian renggang apatah lagi apabila PKR memilih untuk bersama DAP dan PAN membentuk pula Pakatan Harapan pada 22 September 2015.
11. Terdapat 3 sebab yang dinyatakan oleh Majlis Syura Ulamak PAS. Mari kita hurai satu-persatu agar PKR dapat faham dan terima hakikat.
a) Tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU 355;
- Adakah Anwar tidak tahu bahawa precouncil Ahli Parlimen PKR pada pagi sebelum pembentangan RUU 355 sudah memutuskan untuk menolak RUU 355.?
Ia didedahkan sendiri oleh YB PKR Kelana Jaya di FB nya.
- Adakah Anwar tidak tahu antara yang bangun di dalam Dewan mempertikai dan menentang pembentangan RUU 355 ialah Ahli Parlimen PKR Gopeng dan Alor Setar.?
- Adakah Anwar tidak tahu bahawa YB Rafizi menjadi penganjur sidang Parlimen olok-olok bagi membahaskan RUU 355 yang disiar di FB secara live.? Rakyat dapat menyaksikan sendiri pendirian Ahli Parlimen PH yang menentang dan memperlekeh RUU 355.
- Kenyataan rasmi Anwar berkenaan RUU 355 tidak diendahkan oleh pimpinan PKR sendiri. Ini hakikatnya.
b. Melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.
- Adakah Anwar tidak tahu bahawa pemimpin PKR khususnya YB Rafizi dan Saifuddin si Penasihat Ketua Menteri Lim Guan Eng itu saban hari menyerang dan memfitnah PAS kononnya PAS berpakat dengan UMNO dan menjadi pembela PM Najib.?
- Adakah Anwar tidak tahu si YB Rafizi yang memfitnah PAS menerima dana 1 MDB sehingga sekarang tidak tampil mengemukakan bukti.? Hanya pandai memfitnah dan mendesak orang menyamannya.
c. Khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya dengan bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Negeri Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
- Adakah Anwar tidak tahu adanya pemimpin PKR yang datang berceramah di Kelantan dan berikrar bersama PAN untuk jatuhkan Kerajaan PAS di Kelantan.?
- Adakah Anwar tidak tahu bahawa kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar itu telah pun ditandingi PAS dalam PRU ke 13 yang lalu. PAS bertanding menentang UMNO.
Jadi, mengapa apabila PAS bertanding di kerusi tradisinya dituduh sebagai pengacau sedangkan PAN yang baru lahir itu yang datang menyibuk.?
[14] Utusan Malaysia, 18.5.17
[15] Haji Abdul Hadi Awang mendapat rawatan jantung
[16] http://www.malaysiakini.com/news/382810
[17] http://www.astroawani.com/berita-politik/istana-selangor-belum-dimaklum-penamatan-tahaluf-siyasi-pkr-pas-azmin-143383
[18] http://www.sinarharian.com.my/politik/tunggu-kena-pecat-baru-pas-nyatakan-pendirian-1.677759
[19] http://www.malaysiakini.com/news/382970
[20] Sinar Harian, 21.5.17
[22] Kenyataan Media Presiden PKR, 23 May 2017.
[24] Kenyataan Khas Istana Selangor
[25] Sejak dari awal mandat rakyat ini diperolehi melalui Kerajaan Pakatan Rakyat mei 2013, PAS Selangor begitu TEGUH DAN SETIA bersama-sama dengan semua Menteri Besar yang diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor.
Sama ada ketika Selangor dipimpin oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apatah lagi dengan Menteri Besar Selangor sekarang, Dato’ Seri Mohammad Azmin Ali. PAS Selangor percaya bahawa
KESETIAAN dan KEYAKINAN terhadap pemimpin yang diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan adalah asas penting untuk mempastikan KESTABILAN POLITIK dapat dipelihara dengan baik dan waktu yang sama KEPERCAYAAN RAKYAT dapat dilaksanakan dengan jayanya.
PAS Selangor telah mempertegaskan sebelum ini bahawa keputusan untuk putus Tahaluf Politik adalah yang berkaitan dengan persediaan menghadapai pilihanraya yang akan datang dan tidak berkait dengan urustadbir kerajaan negeri.
PAS Selangor juga mengambil pendirian bahawa putus tahaluf bukan bermakna putus silaturrahim, putus setiakawan, putus hubungan kerjasama dalam melakukan kebaikan (Taawun). Bahkan akan terus memperkukuhkannya. – Sebahagian daripada kenyataan akhbar PAS Selangor. Harakahdaily, 25.5.2017.
[26] Harakah, 3-5 February 2017
[28] Harun Idris dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun setelah didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM250,000 dari Hong Kong and Shanghai Banking Corporation.Beliau dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 6 bulan lagi setelah didapati bersalah menyalahgunakan wang Bank Kerjasama Rakyat sebanyak RM8 juta.Beliau ketika itu adalah Pengerusi Bank Rakyat . Kertas putih mengenai masalah Bank Rakyat dikeluarkan pada 1979.

Harun dipersalahkan kerana tuduhan rasuah berkaitan dengan Bank Rakyat. Pada tahun 1975, perlawanan tinju antarabangsa diadakan di Kuala Lumpur antara Muhammad Ali dari Amerika Syarikat dengan Joe Bugner dari Britain. Pertandingan ini tidak mendatangkan keuntungan, sebaliknya menyebabkan beliau dibicarakan dan dihukum penjara selama 8 tahun.

Pada 1 Mac 1977, Harun dipenjarakan di Penjara Pudu selama tiga setengah tahun, iaitu selepas menjalani setengah daripada hukumannya yang sepatutnya tamat pada tahun 1984. Beliau dibebaskan pada tahun 1981 selepas Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-4.

Harun dipenjarakan kerana Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, seorang yang tegas dan memegang prinsip undang-undang.Ketika itu pengerusi Biro Siasatan Negara (BSN)/ BPR / SPRM ialah Tan Sri Harun Hashim - juga seorang yang tegas. Penyokong Harun meminta jasa baik Tunku Abdul Rahman agar Harun dibebaskan. Sebenarnya pada 1969, Harun telah memalukan Tunku kerana tidak berjaya membela orang Melayu sehingga terjadi Peristiwa 1969 itu[perlu rujukan]. Tunku menasihati Harun menerima hukuman itu dan kemudian membuat rayuan.Rayuan dikemukakan kepada Tun Hussein selaku Perdana Menteri, tetapi rayuannya ditolak.
[29] http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/05/30/rafizi-buat-laporan-sprm-isu-rasuah-selangor/
[30] http://www.sinarharian.com.my/politik/tolak-najib-pas-tetap-mahu-guna-pru-1.494029
 http://www.agendadaily.com/Politik/pas-tolak-kerjasama-dengan-mat-said-guling-mb-terengganu.html
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/06/20/langkah-kajang-pelantikan-azmin-punca-perpecahan-pr-1200/
[31] https://en.wikipedia.org/wiki/United_Kingdom_coalition_government
https://www.opendemocracy.net/arab-awakening/anouar-jamaoui/impact-of-coalition-on-ennahda-and-nidaa-tounes
https://en.wikipedi.org/wiki/Palestinian_Unity_Government_of_June_2014

Saturday, May 27, 2017

Menuju Pilihan Raya Umum Ke 14: Memilih Antara PAS atau PAN


Oleh Khalil Jibril
Setiap individu mempunyai kebebasan memilih menyokong atau aktif dalam mana-mana parti. Masing-masing ada sebab-musabab tersendiri.
Antara ciri-ciri pemilihan seseorang ialah [1] perlembagaan parti, [2] siapa yang dicalonkan atau siapa pemimpin, [3] pendekatan yang digunakan oleh parti dan [4] manifesto parti.
Penulis adalah penyokong prinsip politik untuk akhirat, pra-syarat politik adalah ilmu dan akhlak, dan politik sebahagian daripada Islam. Kita menyokong mana-mana parti yang mahu mendaulatkan, menegakkan dan memperkasakan Islam. Islam bukan sekadar perjuangan PAS tetapi usaha secara kolektif semua elemen Islam merentasi organisasi dan individu termasuk dalam UMNO, Parti Amanah Negara(PAN) dan DAP. Islam mentadbir bukannya Islam ditadbir. Penulis meletakkan tanda aras politik kepartian dalam Islam  kepada [1] Termaktubnya Islam dalam perlembagaan parti dan sumbernya al-Quran, as Sunnah, Ijma’ Ulamak dan Qiyas., [2] pemimpinnya kalangan orang bertaqwa dan berakhlak. Keutamaannya adalah kepada para ulamak, [3] mewujudkan dan menegakkan masyarakat atau negara Islam secara syumul termasuklah didalamnya dilaksanakan perundangan Islam.
Sesetengah sahabat dalam kalangan Parti Amanah Negara (PAN) menyatakan paling utama ialah menghapuskan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Kita WAJIB menyentuh isu-isu rakyat. Penulis tidak menafikan semua perkara tersebut. Cuma sahabat PAN mesti ingat, perjuangan menegakkan Islam itu sendiri merangkumi semua perkara tersebut dan meletakkan aqidah satu perkara mendasar dalam menyelesaikan semua masalah termasuk masalah tersebut. Apabila kita menyebutkan aqidah, ia melibatkan politik dan pemerintahan berasaskan pertimbangan Syurga atau Neraka, Pahala atau Dosa dan Halal atau Haram.
Di Malaysia, kita akui dan bersependapat dengan pandangan sahabat PAN bahawa kemenangan dalam pilihan raya memerlukan kerjasama parti lain terutamanya dengan parti bukan Melayu-Islam. Cuma, kini PAS berseteru dengan DAP dan sahabat PAN disebabkan beberapa faktor yang memakan masa untuk memaafkannya. Antaranya, pengkhianatan melarikan kerusi PAS dan melanggar baiah (PAN), mencampuri urusan pemilihan PAS (DAP), melanggar prinsip bersetuju apa yang tidak dipersetujui terutamanya dalam kes perundangan Islam (DAP) dan mencabar sensitiviti umat Islam (DAP). Dalam masa terdekat, PAS sukar berbaik dan memaafkan PAN dan DAP. Alternatifnya ialah sebagaimana PRU 2008, Pakatan Harapan tidak boleh menganggu kerusi pilihan raya yang ditandingi oleh PAS jika mahu UMNO-BN tumbang. Perkara ini agak sukar kerana DAP menganggap PAN sebagai ganti PAS.
Fungsi akhlak mesti diutamakan sama ada oleh anggota, penyokong dan simpatis PAS atau PAN. Akhlak datang daripada peribadi bukannya ditentukan oleh organisasi. Akhlak diasuh oleh keluarga, keyakinan seseorang (agama) dan latarbelakang seseorang. Manipulasi bahasa atau ucapan seringkali dimainkan oleh musuh politik sehingga melahirkan persepsi dan pentafsiran berbeza dalam kalangan anggota masyarakat. Paling bahaya menghasilkan fitnah dan pembunuhan karekter seseorang. Contohi kebaikan pemimpin kita dan sisihkan kelemahan mereka daripada diri kita. Ingat, pahala atau dosa kita bersifat individu akan diadili di mahkamah akhirat yang akan menentukan syurga atau neraka untuk kita.
Politik matang dan sejahtera adalah politik sepakat dan politik damai. Menyatu bukan memecah, membina bukan meruntuh. PAS membawa pendekatan mesra dan menasihat-menegur UMNO, kerjasama antara kerajaan dan kebersamaan dalam isu umat disamping pada waktu yang sama mengkritik UMNO dalam isu lain termasuk penyelewengan kuasa, rasuah dan lain-lain. Konsep UG dan Kerajaan Teknorat yang dicadangkan oleh PAS antara cadangan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di Malaysia dengan merapatkan jurang pertembungan dalam politik dengan konsep pengkongsian kuasa. Malang jika kita agungkan gagasan pemikiran Rashid Ghannousshi dan Abdullah Ben Bayyah tetapi menolak pendekatan kedua-dua tokoh yang dilihat menggunakan pendekatan toleransi dan mendekati pemerintah.
Penulis secara peribadi berpandangan penubuhan PAN adalah ijtihad sesetengah ulama yang progresif, pro-PR, walaun Anwar Ibrahim, agenda al-jamaah-IRC-JIM-IKRAM dan pro-DAP. Penubuhan PAN lebih kepada perubahan pemikiran dan pendekatan baru para pengasas dan pengikut mereka.Ia melibatkan perbezaan dalam memahami sesuatu perkara.  PAN jangan sesekali mengikut pendekatan Ikhwanul Muslimin Alami yang banyak melakukan tindakan merugikan umat Islam sedunia. Mereka campurtangan dalam politik tempatan tanpa memahami situasi dan konteks setempat. Mereka membawa pemikiran yang dicanang oleh orientalis Barat sehingga mengelirukan pemikiran para pendokong Islam.
PAS dengan jelas bermatlamat mewujudkan sebuah masyarakat Islam melalui konsep Negara Islam dan menegakkan perundangan Islam. Rujukan utama PAS ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijma’Ulama dan Qiyas menjamin keaslian perjuangan Islam dalam kalangan pendokong PAS. Unsur-unsur pemikiran orientalis Barat dihalang masuk oleh sumber rujukan pemikiran PAS seperti di atas.
Sebahagian besar para pemimpin PAN bekerjasama dengan ulama muda PKR mengkhawarijkan PAS   dan menghidupkan kembali isu Takfir. Malangnya isu takfir ini menjadi program PAN. Ia mencontohi pendekatan UMNO-BN dan ABIM era Anwar Ibrahim dalam UMNO. Mengadili PAS berdasarkan perangai sesetengah pemimpin atau ahli PAS adalah tidak adil. Keahlian PAS hampir sejuta orang menghadirkan pelbagai perangai. Pandangan mereka bukanlah pendirian jemaah/PAS.
Kita mengalu-alukan keinsafan dan usaha Tun Dr. Mahathir ingin membetulkan kembali kelemahan dan kesilapan yang beliau lakukan dengan menentang pemerintahan UMNO-BN pada hari ini. Kita cuba bersangka baik dan memaafkan Tun Mahathir sebagaimana kita memaafkan Anwar Ibrahim dan pemimpin yang lain seperti Tan Sri Muhammad Taib. Tetapi sifat waspada perlu ada kerana tidak mahu keluar mulut harimau, masuk mulut buaya dan jangan terjerat dengan perangkap pihak yang berkepentingan. Tun Mahathir terkenal seorang politikus yang licik, pengamal prinsip matlamat menghalalkan cara dan pragmatis. Sejarah membuktikan siapa beliau. Jangan sampai kita masuk ke lubang perangkap beliau.
Tun Mahathir berkospirasi menurunkan Tunku Abdul Rahman, bagaimana Tun Mahathir mengenepikan Naib Presiden UMNO yang lain sehingga beliau berjaya mengantikan Tun Husein Onn sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri UMNO, beliau sanggup melihat UMNO diharamkan sehingga kewujudan UMNO Baru yang akhirnya mengeluarkan Tengku Razaleigh daripada UMNO, pemecatan Ketua Hakim Negara, beliau memecat Timbalan Perdana Menteri seperti Tan Sri Musa Hitam, Tun Ghaffar Baba dan Dato Seri Anwar Ibrahim, menyokong Tim Wawasan menguburkan kerjaya politik Tun Ghaffar Baba, memperkambing-hitamkan Tan Sri Musa Hitam dalam peristiwa Memali, membantai imuniti Raja-Raja Melayu, memecat Anwar Ibrahim dengan fitnah, menurunkan Tun Abdullah Badawi dan akhirnya cuba menurun Dato Seri Mohd Najib Tun Razak. Terkini, Tun Mahathir sedang cuba Memahathirkan Pakatan Harapan. Campurtangan beliau dalam kehakiman, perundangan, perlembagaan institusi diraja dan penyelewengan ekonomi cukup luar biasa. Tidak cukup buktikah menunjukkan Tun Mahathir seorang yang berbahaya dalam perjuangan rakyat?.
Dalam politik, mencari kesilapan dan kelemahan mudah sekali. Semua pihak termasuk PAS, DAP, PAN, PKR dan UMNO-BN mempunyai kesilapan dan kelemahan yang tersendiri. Paling kurang kita menyokong dan memilih pihak yang paling kurang mudharat daripada pihak yang banyak mudharat. Dari segi rekod, PAS paling minima dalam melakukan mudharat. Cari kes rasuah di Kelantan, umpamanya. UMNO-BN dan Tun Mahathir-PPBM sudah banyak terpalit dengan penyelewengan dan penyalah-gunaan kuasa. PKR dan DAP mempunyai masalah dalam pendirian terhadap Islam dan hak orang Melayu.  PAN hanya mengikut telunjuk DAP dan Anwar Ibrahim. PAN juga dari segi ideologi mudah berlaku pertembungan antara kelompok IRC dengan kelompok mantan aktivis PAS dan kelompok Husam Musa.

Masa depan dan harapan negara, rakyat dan umat Islam bersama PAS-Gagasan Sejahtera.

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...