Monday, April 11, 2011

Kepimpinan Ulama : Meredah Badai Perubahan Zaman.

Oleh Agus Salim II

“Esei ini meneliti kekuatan dan kelemahan kepimpinan ulama yang meniti usia lebih 30 tahun”
Kepimpinan Ulama PAS dan Iran melebihi usia 30 tahun. Pelbagai dugaan telah ditempuhi membolehkan konsep ini membina kematangan dan seharusnya lebih dinamik dalam menangani cabaran perubahan yang semakin memcabar.

Kebangkitan Kepimpinan Ulama Dalam PAS
Muktamar Dewan Pemuda PAS yang diadakan di Bukit Mertajam meluluskan usul EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu PAS hendak mempelopori konsep kepimpinan ulama. Dalam muktamar PAS Pusat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Setiausaha Agung PAS telah mengumumkan pengunduran Dato Asri semasa waktu rehat muktamar. Dato Asri menyerahkan pemilihan baru kepada muktamar. Muktamar tanpa bahas menyerahkan kepada Timbalan DYP PAS dari pihak pro perubahan, Tuan Guru Yusof Rawa. Perkara ini berlaku tanpa dirancang. Pengunduran 13 orang Anggota Jawatankuasa Pusat PAS ketika itu memudahkan proses peralihan kuasa.

Pihak Pro perubahan yang berakar kepimpinan ulama sudah lama berperanan dalam pentadbiran PAS mula tercabar kerana keahlian PAS adalah terbuka dan kemasukkan manusia yang bervariasi aliran pemikiran dan budaya hidup menyukar kawalan kepimpinan terhadap jemaah. Kepimpinan Ulama PAS pernah berkonflik apabila golongan IRC cuba mempengaruhi proses pentarbiahan jemaah. Setelah gagal,golongan ulama IRC mula mengundur diri dan aktif dalam NGO atau menjadi ahli akademik. Golongan profesional IRC masih setia bersama jemaah.

Kedatangan ramai profesional dalam jemaah dilihat menggugat kepimpinan ulama. Ia ditambah lagi dengan kehadiran ulama muda yang bergaya PROTAZ dan anak muda yang menyikapi keterbukaan dan demokrat-liberalis muda dalam jemaah. Pada era tahun 2000an, golongan profesional semakin membina pengaruh sehingga mencetuskan polemik Ulama vs Profesional setiap kali muktamar bersidang.

Akar-akar Jemaah Islam yang semakin longgar
Gerakan Islam mengalami masalah besar apabila faham liberal semakin menusuk ke dalam pemikiran, pendekatan dan pegangan manusia zaman moden. Keahlian PAS yang mengharapkan kemasukkan ahli baru menyebabkan mereka menyertai PAS dengan mudah. Faham liberal ini sukar dielakkan kerana ia melibatkan latar belakang seseorang. Persekitaran proses pendidikan dan akademik serta keindahan produk-produk idea faham liberal menyebabkan ramai pimpinan dan anak muda terpengaruh dengan faham ini. Kita hanyut dengan sifat anti feudal, antikemapanan, rasionalisasi akal, bebas merdeka, keterbukaan, mabuk kehebatan diri, longgar keterikatan dan autonomi dalam berkehidupan. Keliberalan di bawah kawalan syariat dan beraqidah masih perlu tetapi janganlah merajai liberalisme.

Satu lagi faham yang semakin menular dalam zaman keselesaan ini ialah faham material. Faham material mula menyerang pimpinan-pimpinan utama PAS. Kemewahan dan kehidupan elit telah muncul dalam PAS sehingga mencetus 2 darjat antara golongan marhaen dengan pimpinan jemaah.

Proses pentarbiahan sudah tidak menjadi penting. Usrah-usrah melalui saluran struktur organisasi parti mula ditinggalkan dengan alasan ia adalah proses indoktrinisasi yang menjumudkan akal. Impaknya, lahirlah usrah bersifat kepentingan kumpulan atau tokoh tertentu. Tema politik dipertuhankan dalam proses pentarbiahan gelap yang berlaku dalam jemaah. Fenomena ini mempercepatkan kewujudan budaya jemaah dalam jemaah. Usrah-usrah arus perdana dalam jemaah pula hilang seri. Usrah mestilah tempat perkongsian ilmu, mini wacana pemikiran berasaskan dialog, ukhwah kekeluargaan, sentuhan jiwa sampai ke hati[hubungan bukan setakat dalam usrah], kepedulian terhadap anggota usrah yang tinggi dan saluran maklumat atau arahan atasan jemaah. Para naqib yang sehala interaksi, menutup pintu dialog, dan tidak meraikan perbedaan menyebabkan usrah kaku.

Sifat Gerakan Islam mula ditelan oleh sifat parti politik. Perlembagaan parti digunakan sepenuhnya menghalalkan proses mempartaikan jemaah/gerakan Islam. Akibatnya, proses pentarbiahan dijadikan ‘warung politik’. Budaya politik luar ‘realpolitik’ mula meresap. Perebutan kuasa bagi jawatan mula dipestakan tanpa kawalan iman. Fitnah, berburuk sangka, sikap ingin menjatuhkan pimpinan sendiri adalah buah ‘realpolitik,. Perebutan jawatan ini juga melahirkan kumpulan berkepentingan.

Prinsip-prinsip tradisi sesebuah jemaah Islam mula luntur dan terhakis. Prinsip-prinsip ini cuba dibunuh fungsinya. Ia digambarkan kekolotan dan penjajahan minda serta proses penjumudan dan taksub. Antara prinsip itu ialah syura, tsiqah, thabat, wa’la, hazar dan al intima’. Tradisi inilah yang berjaya memperkasakan jemaah Islam. Prinsip ini juga melahirkan pimpinan-pimpinan hebat sehingga jarang sekali pimpinan tertinggi meninggalkan PAS yang tiada kuasa dan projek ini. Malangnya ada juga sesetengah pimpinan menggunakan kebiasaan ini demi kepentingan peribadi dan kumpulannya. Akhirnya, kebiasaan ini dijadikan bahan ejekkan.

Ketaksuban juga menjadi penyakit dalam kalangan ahli jemaah Islam. Ahli jemaah Islam perlu meraikan perbedaan pendapat. Perbedaan pendapat diwacanakan melalui seminar atau ‘sidang meja bulat’. Lazimnya, taksub itu datang daripada pihak yang menuduh. Jangan tuduh orang taksub, kelak nanti kitalah yang taksub. Elakkan taksub dengan menyelidik al Quran dan hadith. Berhati-hati dengan permainan akal dan manis mulut serta kewibawaan fantasia yang mengarahkan kepada taksub pimpinan atau kelompok tertentu.

Antara asas pentarbiahan jemaah Islam ialah penerapan risalah ta’alim[Rukun Bai’ah] Imam Hasan al Banna ke dalam diri dan jemaah Islam semakin tidak dihayati. Akibatnya, ramai ahli jemaah Islam mahu menjadi bos dan berlagak pandai. Mereka tenggelam dalam kehebatan diri dan kepentingan kumpulan tertentu.
Tiada pengamalan tasawuf dalam pentarbiahan jemaah Islam. Tasawuf ini dikomponenkan kepada tiga iaitu zikir, akhlaq mahmudah dan kawalan nafsu. Sifat-sifat mazmumah ahli datang daripada ketiadaan pendidikan hati dengan ilmu-ilmu tasawuf. Zikir al mathurat kurang dilazimi. Ruang masa dihabiskan masa untuk berwarung kopi, cerita politik, berblog, bola sepak bahkan ada menonton cerita porno. Masa zikir memperkuatkan jiwa kita dan mengharapkan harapan daripada Allah.

Kebanjiran informasi juga melonggarkan akar-akar asasi kekuatan jemaah Islam. Informasi yang pelbagai menyebabkan kita mabuk dengan maklumat dan ilmu. Mabuk ini menyebabkan kita lemas dalam ilmu tanpa keaktivisan. Kita mabuk dengan ilmu tanpa amalan yang istiqamah. Kita juga mabuk dengan keindahan pemikiran-pemikiran yang mengasyikkan dan palsu. Pemikiran qurani ditinggalkan kerana lemas dalam pemikiran kafiri. Anak muda yang mencari identiti dan akal serta nafsu masih bergoyang mencari tapak yang kukuh mudah sekali terpengaruh dengan ‘fitnah’ informasi ini.

Definisi Ulama dan Konsep Kepimpinan Ulama
Definisi ulama sangat luas. Ia tidak terhad kepada agamawan sahaja. Ulama merangkumi semua disiplin ilmu. Dalam kontek kepimpinan ulama PAS, ulama adalah agamawan.

Definisi ulama boleh berubah berdasarkan keadaan dan siapa yang menafsirkan definisinya. Apapun paling penting ialah definisi ulama berdasarkan firman
“Sesungguhnya, yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” [Faathir 35: 28]

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menyatakan ulama ialah orang berilmu. Tidak hanya mengkhususkan kepada agamawan sahaja. Ianya mencakupi ilmu yang lebih luas. [harakah 19-21/9/2008]

Ustaz Nasrudin at Tantawi menyatakan Ulama' yang tinggi ilmunya , beriman , bertaqwa dan beramal dengan ilmunya . Ulama' yang turun ke medan berjuang menegakkan agama Allah swt disamping itu , ulama' ini berkeupayaan menggerakkan jentera dan organisasi . Mengurus gerakkerja dan mengatur pentadbiran parti .

Perkara ini bermakna, ulama bukan sahaja perlu bertaqwa dan alim tetapi mempunyai keupayaan dalam pengurusan dan mempunyai pengaruh dalam organisasi. Sesuai dengan firman

Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambilah dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi dipercayai” [al-Qasas 28: 26]

Pada tahun 1982, Dewan Pemuda PAS mahu ulama dan institusi ulama dalam jemaah Islam diperkasa dan didaulatkan. Peranan ulama diperluaskan dan ulama dibantu oleh non ulama. PAS telah mengekalkan fungsi Dewan Ulama sebagai sayap penting PAS. Kemudian PAS membentuk Majlis Syura Ulama yang dinstitusikan sebagai badan tertinggi dalam jemaah yang bertanggungjawab kepada muktamar. MSU boleh membatalkan keputusan jawatankuasa PAS Pusat dan Presiden. MSU diketuai oleh Mursyidul Aam.

Konsep ulama PAS bukanlah terletak kepada seorang pimpinan perlu seorang ulama tetapi kawalan secara kolektif institusi yang dinamakan Majlis Syura Ulama dalam proses membuat keputusan dalam PAS.


Polemik Dalam Kepimpinan Ulama
Berlaku polemik Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden mestilah dijawat oleh ulama. Pertarungan ini mewujudkan 2 kelompok dalam PAS iaitu golongan profesional dan golongan ulama. Pada muktamar yang lepas(2009), golongan profesional ini dikenali kelompok Erdogan sempena nama Perdana Menteri Turki.

Jawatan Presiden dan Timbalan PAS tidak semestinya dijawat oleh ulama. Perlembagaan PAS tidak menyatakan syarat Presiden dan timbalannya adalah ulama. Oleh sebab itu, pimpinan non ulama boleh bertanding atau menjawat jawatan tersebut. Presiden atau timbalan bukan ulama tidak menjadi masalah kerana kuasa Presiden masih dibawah pantauan MSU.

Menurut Ustaz Hassan Shukri, oleh kerana sejarah pengasasan PAS oleh para ulama, ia menjadi pegangan dan menjadi roh dalam pemilihan pucuk pimpinan adalah seorang ulama. Beliau secara peribadi menyatakan golongan profesional boleh menjadi pimpinan tertinggi dengan syarat tahu dan arif tentang agama, dapat menafsir al Quran, mengetahui fiqh atau syariat Islam. Sebabnya sudah ramai profesional mempunyai ilmu dan amal mengalahkan seseorang berkelulusan agama.

Jika dilihat perkembangan semasa, anggota PAS masih belum mampu memcuba meletakkan kelompok profesional sebagai Presiden PAS. Diharap pada masa depan, pemikiran anggota PAS berubah dan bersedia menerima golongan profesional sebagai Presiden. Sebenarnya, pemilihan profesional sebagai presiden PAS dapat memperkasakan MSU. MSU kelihatan tidak berkuasa kerana Presiden dan Timbalan Presiden PAS dalam kalangan ulama. MSU tidak cuba mevetokan keputusan Presiden dalam jenis mereka sendiri. Mahmoud Ahmadnejab adalah bukti bahawa keputusan presiden dapat dipantau dan dikawal oleh institusi ulama.

Golongan pro ulama daripada neo tradisionalis dan generasi pengasas masih mahu Presiden dan Timbalan adalah ulama. Menurut Tuan Guru Haron Taib, “kalau kita bercakap hendak jadi pemandu, dia mesti tahu jalan dan jika tidak tahu susah.”[Harakah 13-16 Oktober 2008] Begitu juga pendapat Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man, ulama yang memimpin PAS ada asasnya kerana sumber rujukan yang termaktub dalam Perlembagaan PAS ialah ak Quran, sunnah, Ijmak dan Qiyas. Yang nak memandunya siapa kalau bukan ulama?.”[siasah 17-23 Mei 2009].

Pak Subky Latif mencadangkan agar diperincikan dalam perlembagaan bahawa jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan salah seorang Naib Presiden adalah ulama. MSU boleh merundingkan jawatan yang diperuntukkan untuk ulama. Presiden dan timbalan Presiden yang sudah tamat tempoh jangan menganggap diri mereka akan dicalonkan semula, bagi memberi kebebasan MSU menilai prestasi kepimpinan mereka sama ada dicalonkan semula atau menamakan calon lain.

Tidak timbul isu ulama vs profesional kerana PAS memang cuba memprofesionallkan ulama, dan mengulamakan profesional sebagaimana ucapan Tuan Guru Fadzil Noor. Menurut TG Tuan Ibrahim, PAS berjaya mengabung jalinkan ulama yang profesional dan profesional yang ulama.. Maknanya, ulama tahu mengendali atau mengawal dasar dan profesional mampu mengurus.

Pada penulis, kewujudan kubu-kubu berasaskan pemikiran dan pendekatan adalah normal. Cuma ia mestilah berada dalam ruang ‘mangkuk’ kepimpinan ulama. Mereka mahu perubahan gaya kepimpinan, pemikiran dan pendekatan politik. Serahlah kepada perwakilan muktamar dengan kempen, manifesto dan pemilihan ikon tanpa memburukkan pihak lawan. Ada juga mahu merubah kepimpinan ulama tetapi ia bukanlah cuba menjatuhkan atau membenci kepimpinan ulama secara total. Mereka mahu cuba idea perubahan seperti kepimpinan bertaqwa atau kepimpinan Islam. Ada setengah mempunyai konflik peribadi dengan membenci pimpinan tertentu. Ini telah menimbulkan ketegangan berpuak dalam PAS. Apapun ia masih terkawal dengan prinsip ‘memaki[mengkritik] secara tak nampak[melalui blog atau wakil tokoh] tanpa memutuskan hubungan persaudaraan sesama pimpinan jemaah’.

Majlis Syura Ulama: Benteng Terakhir Pelindung Kepimpinan Ulama
MSU akan perkasa dan berpengaruh kerana ada tokoh berpengaruh seperti TGHH dan TGNA. Jika kedua-duanya tiada, MSU kelihatan lembek. MSU sepi dan tak bermaya apabila Presiden PAS adalah seorang ulama. MSU gagal menunjukkan kuasa dan wibawa. Sebelum kedua-duanya tokoh ini tiada, MSU perlu disuntik dengan vaksin wibawa dan pengaruh.
Tugas utama MSU ialah memantau supaya PAS sentiasa dinamik sesuai dengan keperluan semasa dan memastikan PAS berada dalam kepimpinan ulama.

MSU adalah lambang utama kepimpinan ulama. Ia juga lambang ulama diinstitusikan. Tanpa MSU, kepimpinan ulama akan lembik.

Keanggotaannya terdiri daripada wakil Jawatankuasa PAS Pusat, Wakil Dewan Ulama, wakil Dewan Pemuda dan wakil Dewan Muslimat. Penyertaan muslimat dalam MSU adalah sesuatu perubahan dalam PAS. Cuma penulis menyaran agar Dewan Himpunan Penyokong PAS perlu melantik mereka dalam kalangan ulama ke MSU. Selain itu, keanggotaannya wajar ditambah kepada 50-80 orang dengan ahlinya turut dipilih oleh perwakilan muktamar.

Kepimpinan Ulama Perlu Bersedia Menghadapi Badai Perubahan.

Para ulama dalam PAS perlu menyedari bahawa perubahan akan berlaku. Sebagai manusia akhir zaman, mereka kaya dengan kelemahan walaupun mereka alim, beristiqamah dan ikhlas. Mereka perlu bersedia dicabar, ditikam dan berubah selaras dengan realiti zaman. Kelemahan terbesar generasi pengasas kepimpinan ulama ialah menghidap sindrom mubarak[lama mentadbir]. Kita mengakui kealiman, ikhlas, ilmu, amal, jasa, akhlak mulia, kebolehan, idea, gaya kepimpinan, pengaruh para pimpinan generasi pengasas tetapi mereka perlulah ingat bahawa mereka bukanlah Umar Bin Abdul Aziz atau Muhammad al Fateh. Bina batas tempoh agar generasi pelapis dapat mengambil alih pengurusan jemaah.

Allah mewafatkan Rasulullah setelah berusia 63 tahun dan memerintah 10 tahun. Abu Bakar, Umar al Khattab, Umar Abdul Aziz dan Imam Hassan al Banna tidak lama dalam memegang takhta kuasa. Mereka ditarik nyawa oleh Allah sebelum 10 tahun memerintah atau sebelum usia 63 tahun. Sahabat besar seumpama Saidina Uthman diberi peluang memerintah 14 tahun. Kroni dan nepotisme mula menular ke dalam kerajaan Islam Madinah. Oleh sebab itu, penulis menyarankan agar pimpinan hanya menjadi Menteri Besar selama 2 penggal[10 tahun] atau sebagai Presiden PAS selama 3 penggal sebelum usia 63 tahun. Kalau tidak, Islam akan terpalit dengan kelemahan pimpinan umat Islam.

TGNA dan TGHH mestilah bersedia dengan pelan peralihan kuasa. Ketiadaan ulama berpengaruh seperti mereka dibimbangi mengulangi sejarah ABIM tanpa Anwar. Penulis melihata cabaran paling besar bukanlah menumbangkan BN tetapi cabaran Anwarisme[liberal,plural] dan Anwar sendiri. Pada waktu sekarang, hanya TGHH yang berupaya menghadapi pengaruh Anwar . Tanpa TGHH, Anwar boleh mempengaruhi PAS dengan lebih luas lagi.

Ada blogger yang mahu YB Dato Husam bertanding melawan TGHH. Saya secara peribadi menyetujui pertandingan ini. Saya percaya, budaya bertanding perlu disegarkan dalam PAS. Sesiapa sahaja boleh mencabar Presiden.

Hapuskan jawatan Timbalan Presiden PAS. Dulu ada orang bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan alasan mahu perubahan dalam jemaah. Perubahan dibuat bukan dengan jawatan Timbalan Presiden tetapi dengan jawatan Presiden. Jawatan Timbalan Presiden telah menjadi duri dalam daging kepada MCA dan UMNO serta PAS. Jawatan Timbalan Presiden PAS menjadi medan kontroversi para ulama vs pro perubahan dalam PAS. Pada pendapat saya, jawatan ini dihapuskan. Hanya jawatan Presiden dipertandingkan dan Presiden berhak melantik 3 Timbalan Presiden. Timbalan Presiden adalah pembantu Presiden harus dilantik kerana beliau pelaksana idea Presiden. Timbalan Presiden tidak boleh mempunyai gagasan untuk menandingi gagasan Presiden kecuali dengan izin Presiden.

PAS bukan dimiliki oleh individu dan pihak tertentu. Setiap keputusan mesyuarat dibuat secara kolektif. Kesalahan dalam membuat keputusan bukan milik individu tetapi keputusan bersama. Jangan sesekali membawa ketidakpuasan hati yang peribadi dalam mesyuarat ke luar mesyuarat. Kebulatan majoriti keputusan mesyuarat perlu dihormati dan dilaksanakan walaupun kita tidak bersetuju.

PAS masih kurang ulama pelapis. TGNA menyifatkan PAS ramai ulama tetapi ulamanya tidak berkembang. Ulama muda[bawah 40 thn] dalam PAS tidak berkesan dan tidak menguasai ilmu-ilmu kontemporari. Penguasaan ilmu perlu melahirkan kesedaran diri bagi mentaati Allah. Ulama muda mesti mendekati masyarakat. Jangan berkampung dalam kelompok suci sahaja. Ulama muda yang terlibat dalam bidang profesional seperti ekonomi dan perbankan perlu dikedepan.

PAS telah melakukan proses tranformasi dengan meluaskan wilayah pemilihan daripada negeri kepada peringkat bahagian. Wakil-wakil bahagian dapat menentukan hala tuju dan memilih pemimpin yang dirasakan layak. Ini adalah bertepatan dengan pendemokrasian dalam PAS.

Kehadiran Dewan Penyokong PAS juga antara perubahan yang berlaku. Diharapkan pada masa depan, Dewan ini menghantar wakil mereka melalui ulama yang dipilih oleh mereka ke MSU. Menurut TGNA, PAS bersedia melantik Menteri Besar atau Perdana Menteri dalam kalangan non Melayu dengan syarat tokoh itu Islam.

PAS juga mengadakan persepakatan dengan parti lain dalam usaha menentang kezaliman di bawah Pakatan Rakyat. Bersepakat dengan persamaan, menghormati atas perbedaan pendapat. Sejarah membuktikan PAS memang gemar mengadakan persepakatan politik demi menumbang kezaliman atau menstabilkan negara.

PAS juga semakin menerima peranan muslimat dan non muslim. Ikon-ikon muslimat seperti Siti Zailah, Dr Mariah dan Dr Loq Loq antara yang aktif. Di Pakistan, al Maududi pernah membawa Jamaati Islami berpakat dengan Fatimah Jinnah dalam usaha menjatuhkan Ayub Khan. Selain itu, PAS juga menerima non muslim sebagai calon mereka. Perkara menjadi perubahan besar bagi gerakan Islam.

Cadangan terhebat PAS pada era Tuan Guru Haji Hadi ialah idea kerajaan perpaduan(UG). Ia ini bersifat futuristik tetapi tidak sesuai pada waktunya dan disalahtafsir oleh ahli-ahli dan pimpinan PAS. Di Sudan, Dr Hassan Turabi berkerjasama dengan Jeneral Numeiri dalam membentuk kerajaan. Pada saya, gagasan UG lebih baik daripada pendekatan tidak bermoral melalui lompat parti. Konsep hampir sama dengan UG pernah dikemuka oleh Dr Mujahid Yusof dengan nama Kerajaan Perpaduan Nasional atau Kerajaan Persetujuan Nasional.

Budaya perundingan dengan pihak lawan perlu diperluaskan. Ia juga adalah usaha dakwah. Berunding bukannya menyetujui, cuma ia proses penerangan dan perbincangan. Menurut Ustaz Hassan Shukri, berunding adalah salah satu cara PAS menjinakkan pihak lawan. Tidak timbul persoalan ada pertemuan rahsia pihak PAS dengan BN untuk berunding. Jangan kita nak menyibuk tentang urusan tertinggi parti atau urusan rahsia parti.

Perubahan juga berlaku apabila keanggotaan MSU disertai oleh wakil Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda. Penjenamaan kembali MSU dalam usaha meremajakan idea-idea MSU kerana penyertaan ulama muda dan ustazah dari Dewan Muslimat. Cuma, perwakilan Dewan Pemuda datang daripada kelompok neo tradisionalis yang pro ulama. Oleh itu, penulis menyarankan pihak pro perubahan mencabar jawatan tertinggi dalam Dewan Pemuda PAS Pusat demi menghantar wakil mereka ke MSU. Penghantaran ini penting bagi menyalurkan suara pro perubahan di peringkat tertinggi jemaah. Jika mahu perubahan, tokoh umpama DR Mujahid Yusof perlu mencabar kepimpinan neo tradisionalis sekarang.

PAS perlu peka dengan struktur kuasa dalam jemaah. Contoh, apabila Mursyidul Aam atau Presiden memegang jawatan Pesuruhanjaya PAS Negeri, ia akan menyukarkan MSU dan PAS Pusat menasihati dan memantau pemegang kuasa apatah lagi pemegang kuasa adalah Menteri Besar. Cadangan agar PAS melaksanakan polisi ala PKS di Indonesia dimana sesiapa yang memegang jawatan dalam kerajaan seperti EXCO perlu meletak jawatan dalam jemaah kecuali keahlian jemaah.

PAS cuba sedang bergelumang dalam politik Demokrasi-Sekular yang menyukarkan kewujudan Negara Islam. Oleh itu, PAS harus mengunakan kebijakkan dalam menangani masalah ini. AKP dan PKS menggunakan pendekatan yang lebih liberal. Liberal yang saya maksudkan ialah liberal relatif iaitu lebih terbuka sedikit dan tidak konservatif.[cadangan Prof Dr Abu Hassan] PAS kena lebih moderat, lebih pramatis dan praktikal. Kedinamikan ini berlakukan apabila PAS menerima perubahan tetapi tidak melanggar aqidah dan bersyariatik.

Rahsia Kekuatan Gerakan Islam
Rahsia kekuatan jemaah Islam ialah mendapat keredhaan Allah. Menurut Ustaz Hassan Shukri, ahli-ahli PAS dididik supaya membuat keputusan berlandaskan al Quran, sunnah, qias dan ijma’ ulama. Pentarbiahan juga menjadi aras kekuatan jemaah Islam.Pernyataan Ustaz Hassan bersamaan dengan tulisan YB Ir. Khalid Samad, rahsia kesatuan dan perpaduan semestinya terletak kepada rujukan yang satu iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (SAW), Ijma’ dan Qiyas. Pada masa yang sama, tarbiyyah amaliyah yang dilakukan PAS terhadap anggotanya menghasilkan kefahaman dan kematangan yang mantap dan padu. Secara amaliyah anggota PAS didedahkan kepada persoalan Siyasah Syariyyah, satu bidang ilmu politik Islam yang mencabar dan memerlukan kefahaman dan ilmu. Timbul darinya konsep ‘Tahaluf Siyaasi’ dan persoalan perubahan masyarakat secara ‘Tadarruj’ mengambil kira maslahah dan mafsadah. ‘Rahsia’ kesatuan PAS ini akan dapat dipertahankan sekiranya semua pihak walau apa sekalipun latar-belakang mereka berpegang teguh kepada konsep syura, ukhuwah Islamiyyah, Huznuz Zann dan rujukan yang sama seperti yang disebutkan tadi.[lihat blog Ir Khalid Samad]

Oleh sebab itu, kekuatan PAS ialah al Quran dan hadith. Pengaruh manusia hanya memudahkan pentafsirannya bukanlah kata putus tanpa tercabar.

Satu lagi kekuatan PAS ialah pentarbiahan. Proses Pentarbiahan telah melahirkan kader-kader yang berjuang sepenuh hati dengan PAS. Mereka sanggup hidup susah demi mendapat keredhaan Allah.

Kewibawaan ulama itu adalah rahsia kekuatan PAS. Pembinaan wibawa melalui proses penyampaian ilmu, pengamalan ilmu dan peranan media massa menyebabkan peningkatan para ulama PAS. Kewibawaan semakin merosot apabila ramai ulama berpengaruh mula uzur dan meninggal dunia.

Generasi Kepimpinan Ulama Masa Depan
Neo tradisionalis dan Liberal progresif serta kelompok anak muda akan mengulangi sejarah persaingan dalam kepimpinan ulama. Mereka mestilah kemuka idea-idea yang dimanifestokan untuk paparan perwakilan muktamar. Perubahan kepimpinan ulama hak milik muktamar. Muktamarlah yang memartabatkan kepimpinan ulama dengan menolak kepimpinan Dato Asri dan muktamarlah yang berhak mengekalkan atau melakukan perubahan.

Ulama muda sama ada kelompok neo tradisionalis atau liberalis progresif perlu mempunyai taraf Profesional Ustaz(PROTAZ) dalam menghadapi realiti zaman. Penampilan, pemikiran istiqamah, ilmu, bidang profesional dan interksi mesra rakyat perlu digabungjalinkan.

Antara watak-watak PROTAZ dalam PAS ialah Dr. Mujahid Yusof, Dr. Dzulkifli Ahmad, Dr Zuhdi Marzuki, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Ustaz Nazri Chik, Ustaz Mohd Ramadhan Fitri dan Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Manakala ulama ala tradisi yang berkepakaran terhadap dalam bidang agama seperti Ustaz Nasarudin Tantawi, Ustaz Nik Abduh, boleh menguatkan Dewan Ulama.

Solusi
Kepimpinan Ulama masih lagi relevan dengan beberapa suntikan perubahan untuk menambah kedinamikkan PAS sebagai organisasi tersusun.
Persaingan kuasa antara kelompok pro perubahan[kelompok liberalis-progresif] vs pro ulama[neo tradisionalis] akan berterusan. Pada masa ini, anak muda lebih memihak kepada pro perubahan.

Ulama dalam PAS perlu berwatak PROTAZ dalam menangani realiti zaman.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...