Lumrah
sebuah parti politik, konflik dalaman mendewasakan dan mematangkan kepimpinan
dan organisasi parti.
Dalam konflik dalaman, terdapat dua puak yang biasanya
menimbulkan masalah iaitu puak progresif yang mahu perubahan secara radikal dan
revolusi dan puak yang kecewa dengan kepimpinan dan pendirian parti. Asasnya
ialah mereka merasakan aqal dan nafsu mereka betul. Mereka sombong dengan ilmu,
kebolehan, prestasi dan pengetahuan yang mereka ada. Mereka bersifat dengki sesama
mereka. Mereka menolak konsep syura, musyarawarah, keakuran kepada ketua yang dipilih
yang memegang amanah kuasa dalam membuat keputusan dan budaya kepengikutan.
Setiap organisasi, kita tiada banyak pilihan kecuali
SETIA kepada parti melalui budaya dengar dan taat arahan ketua yang dipilih,
berehat daripada parti atau keluar parti. Kita boleh menegur ketua dan parti,
kita boleh menolak dan tidak bersetuju dengan keputusan ketua dan parti tetapi
kita tidak boleh melanggar arahan ketua dan melawan parti. DIAM, akur dan doa
hidayah itu lebih baik daripada melawan. Ikutlah parti atau jemaah yang
dipimpin oleh orang yang bertaqwa, alim dan berakhlak. Insya Allah selamat.
Jika mahu menurunkan pemimpin, gunalah kaedah yang
dibenarkan oleh parti iaitu dalam pemilihan parti. Kita tidak menafikan terasa
ruang demokrasi, kebebasan bersuara, budaya musyawarah dan menegur semakin
sempit disebabkan kita bekerja untuk menjadi pemimpin bukannya bekerja untuk
Islam dan rakyat. Ruang dan peluang untuk perubahan kepimpinan perlu mengikut
lunas yang betul dan jangan pernah kecewa dengannya. Sabar dan terus berusaha
dalam pemilihan. Jika kamu bekerja untuk mendapat jawatan kamu mendapat beban
berat jika menang dan kecewa jika kalah. Jika kamu bekerja demi Islam dan
rakyat dengan sabar, kamu akan istiqamah dengan perjuangan. Keredhaan Allah
lebih kita suka daripada kemenangan yang melalaikan.
Berbalik kepada tajuk, pertembungan antara kem Rafizi
dengan kem Azmin dalam pemilihan PKR pada tahun 2018 cukup menarik dimana kem
Azmin telah memenangi hampir semua jawatan dilantik. Untuk mengimbangi
kedudukan kem Azmin, Anwar Ibrahim telah melantik kumpulan yang tewas sebagai
pemimpin termasuk Rafizi sebagai Naib Presiden. Ini membangkitkan kemarahan kem
Azmin yang menyebabkan Azmin merajuk dan banyak tidak menghadiri mesyuarat
sebagai protes. Walaupun itu pelantikan tersebut hak Presiden, tanpa
perbincangan dengan kem yang menang, nilai demokratik dalam parti tergugat.
Kem Azmin mengalami beberapa perpecahan.
1.
Keluarnya Anwar Ibrahim daripada penjara telah menyebabkan
pemimpin seperti Shamsul Iskandar dan Xavier Jeyakumar berpindah ke kem Anwar.
2.
Selepas Kongres Nasional PKR 2019, sebahagian pemimpin pro
Azmin kembali kepada kem Anwar.
3.
Kemudian kem Azmin berpecah lagi apabila Azmin dan setengah
pemimpin PKR keluar parti. Ia mungkin disebabkan Azmin tidak menubuhkan parti
pelbagai kaum sebaliknya memilih menyertai PPBM. Ramai pemimpin pro Azmin
memilih setia dan kekal bersama parti atau menghabiskan mandat rakyat yang
diamanah atas nama PKR.
Pengunduran Azmin memberi ketenangan kepada kem Anwar
setelah begitu dalam struktur kepimpinan PKR dikuasai oleh kem Azmin. Satu
proses 'ethnic cleansing' telah
dilakukan dalam PKR. Kem Azmin diberi surat gantung, tunjuk sebab, amaran dan
ada dipecat.
Dibawah adalah kem Rafizi dan kem Azmin yang asal yang
dinamakan oleh Rafizi:
Kem Azmin: Chua Tian Chang, Shamsul Iskandar(PKPIM)
dan Xavier Jeyakumar, Dr Shaharuddin Badaruddin (ABIM), Zuraida Kamaruddin
(ketua wanita), anggota biro politik Sivarasa Rasiah, Saifuddin Abdullah (MBM-PBMUM),
Kamaruddin Jaafar(ABIM), Fahmi Fadzil (pengarah komunikasi), N Surendren, serta
pemimpin utama parti Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aishah Sheikh Ismail,
Mohamad Nur Manuty(ABIM), Latheefa Koya, Dr Afif Bahardin dan Haniza Talha
(JIM).
Kem Rafizi: Sim Tze Tzin (pengarah strategik), Fariz
Musa (ketua setiausaha pengelola), Abdul Hadi Al-Khatab (pengerusi Lembaga
Disiplin) dan Christina Liew (pengerusi Sabah), pemimpin exco negeri Abdullah
Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail(JIM), Fuziah Salleh(JIM), S Manivannan,
Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim
dan Aminuddin Haron.
Kem Azmin didokong oleh kelompok SEPILIS, kelompok hak
asasi manusia, Generasi Lama ABIM dan kelompok evangelis. Manakala kem Rafizi
didokong oleh kelompok otai reformasi dan irc-jim. Dalam kem Rafizi, ramai politikus sejati
manakala dalam kem Azmin, ramai pemikir dan aktivis kemanusiaan. Tikam-menikam
sesama sendiri menunjukkan kejujuran
telah mati. Masing-masing hanya jaga diri sendiri.
Dalam PAS pula, puak progresif dan puak yang kecewa
dibersihkan secara demokratik oleh perwakilan muktamar peringkat kawasan dan
pusat. Hanya sebahagian kecil dipecat. Selain itu, mereka terasa dipinggir dan keluar parti secara
sukarela.
Pertembungan antara kem mesti diselesaikan mengikut
kaedah parti. Pada penulis, kita kembalikan kepada mandat perwakilan dalam muktamar
atau persidangan parti untuk melantik pemimpin yang mesti kita dengar dan taat
kepada arahannya. Kita juga kena akur keputusan parti. Kesetiaan kita pada
parti bukannya pada pemimpin sebagai individu. Tindakan pemimpin seperti Sivarasa
Rasiah, Tian Chua dan siti Aisyah kekal bersama parti itu adalah betul. PAS
pula melontarkan slogan ISTIQAMAH. Kita mesti nasihat dan tegur ketua dan parti
sehingga dipecat atau mati. Kita juga boleh mencabar ketua dalam pertandingan
selagi ada yang menyokong. Keluar parti jangan sesekali. Ubahlah parti dengan
nasihat dan sabar.
Lompat parti atau tubuh parti baru bukanlah kaedah
yang baik untuk menyelesaikan masalah. Ia banyak gagal daripada berjaya.
Akhirnya, ia menghasilkan perbalahan dan sengketa baru. Ya, kita tidak nafikan
kejayaan AKP dan PKR, ia juga terpalit dengan sengketa.
Istiqamah Dalam Politik
Pertama, betulkan niat. Muhasabah diri dengan melihat
apakah matlamat kita menceburi parti politik. Mahu menjadi pemimpin, atau calon
pilihan raya atau apa?.
Dalam politik, kita hanya ada dua pilihan iaitu
bekerja untuk menjadi pemimpin/ketua dan mendapat habuan/ghanimah politik.
Kedua, bekerja untuk kebaikan dan bermanfaat kepada Islam dan rakyat.
Percayalah, jika sabar dan istiqamah bekerja untuk Islam dan rakyat, perjuangan
kita akan diredhai oleh Allah kerana kita mengharap habuan dan ganjaran
daripada Allah bukannya ganjaran dan habuan daripada manusia.
Apabila kita mengalami krisis seperti kewangan,
keyakinan dan kelemahan yang lain, berehatlah sekejap daripada politik.
Bekerja di kawasan lebih baik daripada di peringkat
pusat. Lagi dekat dengan lapangan rakyat, lagi baik. Bekerja bukan untuk
menjadi pemimpin, dikenali atau popular.
Ingatlah, pemimpin itu dilantik bukannya dipilih. Maka, jangan mencalonkan diri, paling baik
dicalonkan oleh perwakilan. Pilih pemimpin secara syura dan musyawarah, jika
tidak dapat dielak, barulah bertanding. Dalam syura, jika ada calon lebih baik
dari segi taqwa, ilmu dan akhlak, undurlah diri kita.
No comments:
Post a Comment