Saturday, December 26, 2020

Konsep Nasihat PM kepada YDPA

Penulis tertarik dengan istilah 'nasihat PM' kepada YDPA. Pada zaman British, dikatakan  nasihat Residen atau penasihat kepada sultan MESTI dituruti kecuali dalam hal ehwal adat istiadat Melayu dan agama Islam. Adakah konsep 'nasihat PM' kepada YDPA diguna-pakaikan sebagaimana nasihat residen kepada sultan?


Institusi Yang di-Pertuan Agong penjaga Perlembagaan

 

Oleh Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil - Jun 8, 2020 (BH)

KEDUDUKAN Yang di-Pertuan Agong satu-satunya jawatan unik di dunia. Yang di-Pertuan Agong dipilih Majlis Raja-Raja dalam kalangan sembilan Raja Melayu bagi tempoh lima tahun, sekali gus tidak memegang jawatan itu seumur hidup seperti raja lain di dunia.

 

Institusi Yang di-Pertuan Agong sangat signifikan bagi rakyat kerana ia disanjung tinggi dan berperanan penting dalam kestabilan politik, ekonomi serta sosial negara. Ia bukan hanya bersifat ceremonial dan rubber stamp, sebaliknya institusi tertinggi berdasarkan Perlembagaan bagi mengetuai Persekutuan Malaysia.

 

Menurut Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Tertinggi yang kedudukannya mengatasi semua orang lain di Persekutuan Malaysia dan tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah kecuali di Mahkamah Khas diwujudkan mengikut Bahagian XV Perlembagaan Persekutuan.

 

Kewujudan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja berperanan sebagai juruaudit tambahan dari segi Perlembagaan seperti dibuktikan dalam Laporan Suruhanjaya Reid yang menyebut peranan sebagai penjaga Perlembagaan Persekutuan, pelindung hak baginda, mempertahankan agama Islam, bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan hak kewarganegaraan orang bukan Melayu.

 

Malaysia mewarisi sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen daripada sistem Westminster dari England. Dalam menjalankan tugas, Yang di-Pertuan Agong dikehendaki mendengar nasihat Perdana Menteri.

 

Baginda tidak diberi kuasa secara Perlembagaan menjalankan tugas sesuka hati, sebaliknya bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri kecuali dalam perkara disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

 

Yang di-Pertuan Agong ialah ketua negara, tetapi bukan ketua badan eksekutif. Kuasa eksekutif itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang diperuntukkan dalam Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan (Perkara 39). Namun, baginda boleh menggunakan budi bicara, melantik Perdana Menteri mengetuai Kabinet.

 

Bagaimanapun, dalam melantik seseorang Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong perlu memastikan individu dilantik mendapat kepercayaan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen. Selepas pelantikan itu, baginda hendaklah atas nasihat Perdana Menteri melantik Jemaah Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen sama ada Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

 

Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, kecuali atas permintaannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen, beliau perlu meletak jawatan daripada Kabinet.

 

Apabila Perdana Menteri didapati tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan tidak mahu meletakkan jawatan, undi tidak percaya boleh dibuat di Dewan Rakyat.

 

Sekiranya undi itu menunjukkan Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, beliau hendaklah meletak jawatan dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. Namun, baginda boleh atau tidak, mengikut budi bicara membubarkan Parlimen.

 

Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa memecat Perdana Menteri. Namun, Perdana Menteri berkuasa memecat menteri Kabinet yang boleh dibuat dengan surat dikeluarkan Perdana Menteri dengan memaklumkannya kepada baginda tanpa perlu kepada perkenan. Ia boleh dirujuk dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim lawan Perdana Menteri [1995] 5 MLJ 193.

 

Begitu juga, apabila Perdana Menteri meletak jawatan, seluruh anggota Kabinetnya juga akan terungkai. Ini kerana, Perdana Menteri ialah Ketua Kabinet, manakala Kabinet dilantik Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati baginda dalam menjalankan tugas baginda. Kabinet secara kolektifnya bertanggungjawab kepada Parlimen.

 

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa budi bicara dalam perkara pembubaran Parlimen. Hak ini tidak perlu diikuti walaupun dinasihati Perdana Menteri. Kuasa perkenan atau tidak adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

 

Dalam menjalankan tugas, Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa perlu memanggil Parlimen untuk bersidang dan hendaklah memastikan persidangan Parlimen tidak melangkaui tempoh enam bulan daripada persidangan lalu. Satu kuasa besar diberi kepada baginda ialah boleh menangguh atau membubar Parlimen.

 

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa mutlak dalam memperkenankan perisytiharan darurat. Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menyebut, Yang di-Pertuan Agong selepas berpuas hati keselamatan, kehidupan ekonomi rakyat dan ketenteraman awam tergugat, boleh membuat perisytiharan darurat. Namun, perisytiharan itu tidak semestinya mengikut nasihat Perdana Menteri. Baginda boleh menolaknya.

 

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dan tanggungjawab melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak, selain melindungi kepentingan komuniti lain.

 

Dalam hubungan dengan kehakiman, Yang di-Pertuan Agong mempunyai fungsi tertentu dan mempunyai hubungan dengan badan itu dalam beberapa perkara, antara lain merujuk kepada Mahkamah Persekutuan dalam mendapatkan pandangan mengenai sebarang persoalan Perlembagaan.

 

Baginda juga berfungsi melantik hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan termasuk Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Borneo, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara.

 

Baginda juga mempunyai kuasa untuk melucut atau menggantung Hakim Mahkamah Persekutuan tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, selain berkuasa melantik ahli Suruhanjaya Kehakiman dan Undang-Undang.

 

Yang di-Pertuan Agong juga pemerintah tertinggi angkatan tentera Persekutuan, iaitu jawatan kanan tertinggi dalam struktur pemerintahan angkatan bersenjata Malaysia.

 

Justeru, sebagai Ketua Negara, baginda berperanan penting dalam memastikan pentadbiran negara berada dalam landasan betul mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan. Baginda bertindak sebagai penyemak dan pengimbang supaya ketua bagi ketiga-tiga badan eksekutif, perundangan dan kehakiman menjalankan tugas dengan adil serta penuh tanggungjawab demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.

 

Meskipun Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, baginda mempunyai kuasa besar diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan negara stabil dan aman.

 

Tanpa prejudis, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara menggantung Parlimen dan mengisytihar darurat bagi memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terpelihara. Ini demi memastikan keamanan, kepentingan dan kesejahteraan rakyat umum terpelihara.

 

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

 

 

Maksud nasihat mengikut Perlembagaan Persekutuan

 

Oleh Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain - Jun 7, 2018 (BH)

 

'NASIHAT' di bawah Perlembagaan secara umum merujuk kepada Perkara 40 yang menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memerintah menurut nasihat melainkan dalam perkara terletak pada budi bicara baginda.

 

Peruntukan itu berbunyi: "Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini ataupun undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali seperti diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri". Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan pula mensyaratkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

 

Sebelum membahaskan maksud 'nasihat' dalam Perkara 40 di atas, perlu ditegaskan bahawa Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara. Justeru, sebarang undang-undang, dasar, keputusan, nasihat atau pelaksanaan yang dibuat tidak boleh bercanggah dengan peruntukanPerlembagaan. Sekiranya ada, ia terbatal setakat percanggahan itu.

 

Sumpah Seri Paduka

 

1. Taat setia pada menjalankan pemerintahan menurut Perlembagaan.

 

2. Ikrar untuk memelihara pada bsetiap masa agama Islam.

 

3. Berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.

 

 

Bahkan, setiap ahli Jemaah Menteri, Ahli Majlis Parlimen, hakim mahkamah, ahli suruhanjaya di bawah undang-undang Persekutuan, wajib mengikrarkan sumpah jawatan sebelum melaksanakan fungsi masing-masing. Sumpah itu seperti dalam Jadual Keenam mempunyai lafaz "bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya".

 

Sumpah itu bermaksud setiap daripada mereka hendaklah menjunjung prinsip kedaulatan dan Perlembagaan dengan taat setia. Berdasarkan kedudukan di atas, maka nasihat di bawah Perkara 40 di atas adalah tidak mutlak.Setiap nasihat itu hendaklah diperhalusi dari sudut inti pati, tujuan dan implikasi. Sifat tidak mutlak itu selaras dengan ketinggian Perlembagaan Persekutuan seperti dijelaskan Perkara 4(1).

 

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong, tertakluk pada undang-undang. Jemaah Menteri dan pihak yang diberi kuasa di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan ialah pelaksana fungsi kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong.

 

Tidak salah untuk merumuskan bahawa Perkara 40 di atas ialah manifestasi kepada Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Atas prinsip itu, Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak di atas nasihat sekiranya fungsi kuasa eksekutif itu sudah diwakilkan menurut undang-undang.

 

Prinsip nasihat

 

Raja bertindak atas nasihat satu daripada prinsip dalam Raja Berperlembagaan. Raja Berperlembagaan itu menuntut bukan sahaja Raja perlumemerintah berdasarkan undang-undang, bahkan hal yang sama ke atas setiap pelaksana fungsi kuasa eksekutif Persekutuan. Justeru, mereka terikat dengan prinsip kedaulatan yang dijunjung oleh Yang di-Pertuan Agong.

 

Lantaran, sebelum suatu nasihat dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, menjadi tanggungjawab kepada penasihat di bawah Perlembagaan untuk memastikan nasihatnya itu mematuhi peruntukan undang-undang.Ringkasnya, nasihat di bawah Perkara 40 dan 40(1A) juga tertakluk pada prinsip tadbir urus baik dan menjunjung kedaulatan undang-undang. Kedaulatan undang-undang itu bermaksud suatu nasihat itu hendaklah dalam kerangka kedaulatan seperti termaktub dalam Perkara 181(1) dan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

 

Sumpah Yang di-Pertuan Agong yang dimulai dengan "wallahi,wabillahi, watallahi" berserta lafaznya ialah manifestasi kepada kedaulatan negara yang berkonsepkan Raja-Raja Melayu sebagai pemegang amanah bersumberkan ajaran Islam, yang perlu dilaksanakan menurut peruntukan Perlembagaan. Sekiranya nasihat itu mematuhi syarat di atas berserta peruntukan berkaitan dengannya, itulah kedaulatan undang-undang.

 

Tanggungjawab untuk memastikannasihat yang betul terletak pada mereka yang dikehendaki oleh undang-undang menasihati Yang di-Pertuan Agong atas suatu perkara tertentu.

 

Kuasa tersimpan

 

Satu perkara yang sering dilontarkan ialah apabila berlaku keadaan Yang di-Pertuan Agong tidak bersetuju dengan nasihat Perdana Menteri dalam perkara yang bukan dalam budi bicara baginda.Sekiranya keadaan itu berlaku, sebaik-baiknya Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri diberi ruang seluas-luasnya untuk melanjutkan rundingan.

 

Secara prinsipnya, Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak menurut nasihat Perdana Menteri sekiranyaundang-undang memperuntukkan sedemikian. Sebaliknya, Yang di-Pertuan Agong boleh meminta Perdana Menteri untuk menimbangkan semula suatu nasihat sekiranya pada timbangan baginda nasihat itu tidak menepati atau bercanggah dengan mana-mana peruntukan undang-undang. Perlembagaan membenarkan Yang di-Pertuan Agong untuk merundingi Majlis Raja-Raja di bawah butiran 6 Jadual Kelima atau merujuk kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan pandangan.

 

Prinsip itu ialah prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang dijamin oleh Perkara 181(1) dan Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan. Ia dinamakan kuasa tersimpan. Dalam menguruskan perbezaan pandangan di antara Yang di-Pertuan Agong dengan Perdana Menteri, satu perkara perlu dihormati ialah Perdana Menteri dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memimpin kerajaan baginda. Setiap pandangan Yang di-Pertuan

 

Agong perlu dihormati dengan saksama dan wajar diberi pertimbangan oleh Perdana Menteri kerana akhirnya Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atasnasihat Perdana Menteri. Hubungan di antara Yang di-Pertuan Agong sebagai pemegang kuasa eksekutif Persekutuan dengan pelaksana fungsi kuasa eksekutif baginda pastinya menuntut kerjasama yang erat kerana kedua-duanya diamanahkan untuk menjunjung kedaulatan undangundang, seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Dalam apa juga keadaan, kedaulatan undang-undang itu perlu ditegakkan. Justeru, menjadi prinsip undang-undang bahawa setiap nasihat hendaklah sentiasa mematuhi dan menjunjung keluhuran Perlembagaan dan undang-undang negara.

 

Nasihat PM kepada Agong

 

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR | | 01 Mac 2020

PERLEMBAGAAN Persekutuan memperuntukkan kuasa pemerintahan atau eksekutif sebenar bagi Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong. Hal ini dinyatakan di dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Namun, Perkara 40 mengkehendaki Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas dan fungsi baginda atas nasihat Perdana Menteri.

 

 

Sewaktu menulis artikel ini, persoalan banyak dikemukakan kepada saya dalam situasi sekarang, adakah Yang di-Pertuan Agong perlu mendapat nasihat Perdana Menteri jika mahu membubarkan Parlimen? Saya cuba memberi penjelasan di sini tanpa merujuk kepada mana-mana blok politik dalam pendirian sebegini. Ulasan saya hanya berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa memberi sokongan atau sanggahan kepada mana-mana pihak.

 

Di Malaysia, pembubaran Parlimen diperincikan dengan lebih lanjut dan jelas dalam Perkara 55 iaitu antara lain Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari masa ke masa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya. Selanjutnya Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

 

 

Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.Apabila Parlimen bubar, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh ​60 hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh itu.Oleh itu, adalah jelas Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 55 mempunyai tiga kuasa yang utama iaitu:

 

1. Memanggil sidang Parlimen

 

2. Memprorog Parlimen

 

3. Membubarkan Parlimen

 

Perkara 55(2) di atas secara spesifik tidak menyatakan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri. Hal ini juga hanya terhad kepada memprorog dan membubar Parlimen.Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Seri Paduka Baginda boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Seri Paduka juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen.

 

Membubarkan Parlimen begitu biasa bagi kita. Walau bagaimanapun memprorog Parlimen masih belum lazim dicatatkan dalam sejarah perundangan negara sepertimana tindakan yang diambil Perdana Menteri Britain baru-baru ini dan juga Raja James di Britain pada tahun 1600 selain di Malaysia pada tahun 1969. Peruntukan mengenai memprorog Parlimen ini masih belum diuji di mahkamah Malaysia dan tiada penghakiman telah dibuat mengenainya sebelum ini.

 

Berbalik kepada isu keperluan nasihat Perdana Menteri sebelum membubarkan Parlimen, persoalan timbul adakah Perkara 40 dan Perkara 55 di atas perlu dibaca bersama yang menjadikan satu keperluan untuk nasihat Perdana Menteri tersebut? Pada pandangan saya Perkara 40 menyentuh isu tanggungjawab berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong manakala Perkara 55 berkaitan kuasa Seri Paduka Baginda. Ia dua perkara berbeza dan tidak boleh dibaca bersama.

 

Malah berdasarkan prinsip undang-undang yang menyatakan perkara spesifik mengatasi perkara umum, boleh juga dikatakan Perkara 55 (yang merupakan hal spesifik berkaitan prorog dan bubar Parlimen) tidak menyebut keperluan nasihat Perdana Menteri mengatasi Perkara 40 yang bersifat umum.

 

Penggunaan perkataan-perkataan yang berlainan dalam Perkara 39 dan Perkara 40 juga perlulah diteliti. Perkara 39 menyatakan tentang kuasa Yang di-Pertuan Agong manakala Perkara 40 menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri apabila menjalankan tugas-tugas dan fungsinya di bawah Perlembagaan, bukan dalam melaksana kuasa yang ada pada Seri Paduka.

 

 

 

Oleh yang demikian, pada pandangan saya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa yang jelas sekiranya Seri Paduka Baginda berkenan membubarkan Parlimen walaupun tanpa nasihat daripada Perdana Menteri.

 

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/72021/KOLUMNIS/Nasihat-PM-kepada-Agong

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

 

 

MENJUNJUNG KASIH KEBIJAKSANAAN RAJA-RAJA MELAYU

Zulaika Yusuf by Zulaika Yusuf  October 26, 2020 (Editor Malaysia)

Keputusan Yang DiPertuan Agong, setelah berbincang dengan Raja-Raja Melayu yang lain, menolak nasihat Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat pada masa ini disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat.

 

Saya perhatikan Raja-Raja Melayu sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah banyak memainkan peranan aktif baginda dalam menyempurnakan salah satu fungsi semak dan seimbang (check and balance) bagi mengelakkan kezaliman penindasan dan penyalahgunaan kuasa.

 

Keputusan Yang DiPertuan Agong menolak nasihat Perdana Menteri ini dikatakan kali pertama berlaku dalam sejarah negara. Sebagai payung kepada rakyat, Raja-Raja Melayu menjadi benteng kepada rakyat dan negara bagi mempastikan keadilan dapat ditegakkan.

 

Perkembangan terbaru ini memberi isyarat yang jelas bahawa konsep Raja BerPerlembagaan ini bukanlah dekorasi atau retorik semata-mata. Ia adalah benar dan berpijak di bumi yang nyata, masih diaplikasi dalam negara, bukan sudah dihantar ke muzium sahaja.

 

Perkembangan ini juga sangat menarik khususnya apabila kita meneliti Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang sebelum ini dikatakan Yang DiPertuan Agong terikat dengan nasihat Perdana Menteri. Perkembagan ini juga akan mengajak ahli akademik, peguam dan mahkamah membaca dan mentafsir semula ratifikasi perundangan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan ini, sejauh mana nasihat Perdana Menteri mengikat Yang DiPertuan Agong dan apakah perkataan ‘nasihat’ itu perlu ditafsirkan atau diberi makna harfiahnya.

 

Hal ini hanya boleh diputuskan dengan tuntas jika ia dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk pertimbangan.

 

Darurat bukanlah pertama kali akan berlaku di Malaysia sekiranya ia dilaksanakan. Sebelum ini juga proklamasi darurat telah beberapa kali dibuat. Walaupun proklamasi darurat yang paling dimaklumi ialah Darurat 13 Mei 1969, tetapi ada juga proklamasi darurat yang berlaku di Kelantan, Sarawak dan lain-lain lagi.

 

Namun saya tidak berhasrat menulis mengenai darurat kerana ia tidak diperkenan oleh Yang DiPertuan Agong.

 

Bagi mereka yang berminat mengenai isu ini boleh membaca penghakiman-penghakiman seperti di dalam kes Stephen Kalong Ningkan v Abang Openg and Tawi Sli (1968) 2 MLJ 238 dan kes Teh Poh Cheng v PP [1979] 1 MLJ 150.

 

Bagi golongan anti-monarki pasti mereka kini berada di dalam ‘conundrum’ kerana dalam mereka tidak mahu darurat diisytiharkan, mereka juga mahu Yang DiPertuan Agong terikat dengan nasihat Perdana Menteri. Mereka tidak menerima kuasa yang lebih besar dimainkan oleh Raja-Raja Melayu walaupun konsep Raja Berperlembagaan itu dijunjung. Apa yang mereka mahu ialah konsep demokrasi dilaksanakan sepenuhnya.

 

Namun sedarlah di Malaysia negara yang kita cintai ini, Raja-Raja Melayu adalah salah satu struktur asas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tanpa baginda Perlembagaan itu sendiri tidak dapat dilaksanakan.

 

Kedua-dua konsep ‘Raja Berperlembagaan’ dan ‘Demokrasi Berparlimen’ tidak disebut secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi hal ehwal mengenai keduanya dihurai panjang di dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Apa juapun konsep yang dijunjung, kesejahteraan rakyat hendaklah diutamakan.

 

Sebenarnya sistem perundangan di Malaysia mempunyai kaedah semak dan seimbang melalui pembahagian kuasa. Pembahagian kuasa antara pihak eksekutif, legislatif dan kehakiman sangat penting untuk dilaksanakan dan tidak di campur adukkan. Di Malaysia pula, di atas ketiga-tiga agensi pemegang kuasa tersebut Raja-Raja memainkan kuasa untuk semak dan seimbang ketiga- tiga cabang tersebut.

 

Titah Yang DiPertuan Agong agar ahli politik mengenepikan perbezaan politik antara mereka juga perlu diberikan perhatian. Desakan agar Perdana Menteri meletak jawatan tidak selari dengan titah baginda yang mahukan tumpuan diberikan kepada melawan pandemik Covid-19, dan mempastikan kesejahteraan rakyat dengan berpolitik dengan matang dan bertanggungjawab.

 

Marilah kita bersama-sama membangunkan negara dan bersatu melawan pandemik Covid-19.

 

Begitu juga titah Baginda agar pembentangan Bajet 2021 dapat dilakukan dan diluluskan, perlu juga diberikan perhatian oleh semua ahli Parlimen. Ini adalah disebabkan jika Bajet 2021 tidak diluluskan kerajaan tidak boleh berbelanja untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat pada tahun 2021.

 

Oleh itu pada pandangan saya Perdana Menteri tidak kalah semua, tetapi tidak juga mendapat semua yang dihajatinya. Apa yang penting ialah kesejahteraan rakyat diberikan keutamaan.

 

Kemelut politik ini bukan semata-mata kerana terdapat golongan yang mahu merebut kuasa, ia juga hasil daripada kegagalan menguruskan kuasa itu sendiri.

 

Hal ini bukan sahaja berlaku di dalam Perikatan Nasional, tetapi juga dalam Pakatan Harapan dahulu. Malah Barisan Nasional juga menghadapi masalah yang sama. Apabila sudah berada di puncak kuasa rakyat diketepikan. Pemimpin hanya mahu mendengar apa yang mereka suka dengar, bukan yang sepatutnya mereka dengar.

 

Lebih teruk lagi, mereka hanya mahu mendengar dari golongan yang sealiran dengan mereka sahaja, meminggirkan golongan profesional, NGO, alim ulama dan mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik atau peribadi.

 

Dalam premis di atas, saya mengajak kepada semua ahli politik, badan profesional dan NGO, alim ulama bersama-sama mengenepikan kepentingan sendiri dan mengutamakan kesejahteraan rakyat bagi membangunkan negara yang kita cintai ini sejajar dengan titah Yang DiPertuan Agong. Berundinglah di luar Dewan dan bawalah pemuafakatan itu ke dalam Dewan demi negara yang kita cintai ini.

 

Titah baginda yang sarat dengan hikmah itu bukan sahaja mesti dibaca secara tersurat tetapi di sebalik bait-bait titah baginda terdapat ibrah yang sangat besar bagi kita fahami dan laksanakan.

 

Patik menjunjung kasih ke bawah Duli Tuanku. Daulat Tuanku. Allahuakbar.

 

Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar

 

Presiden

 

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

 

26 Oktober 2020


No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...