Sunday, December 27, 2020

Akar Negara Bangsa Malaysia

 

Akar Negara-Bangsa Malaysia[1]

 

Perpaduan rakyat negara Malaysia dilihat rapuh kerana ketumpulan kefahaman sejarah. Tanpa pengetahuan dan kefahaman sejarah, kita tidak tahu bagaimana Malaysia bermula. Kita juga akan mudah tertipu dengan ahli sejarah palsu dan politikus. Tanpa sejarah, kita tidak boleh faham zaman sekarang. Negara Bangsa tidak dibina dengan sains, negara bangsa dibina dengan ilmu sains sosial dan kemanusiaan..

 

***

 


Kefahaman Sejarah Rakyat Malaysia

Setiap kaum yang berada di Malaysia mesti memahami bahawa Tanah Melayu merupakan wilayah asal usul orang Melayu. Itu jelas. Sebanyak 9 buah kerajaan Melayu yang terdapat di Tanah Melayu. Mana ada dalam dunia ini, sebuah negara mempunyai dua orang Raja. Tanah Melayu mempunyai 9 orang Raja. Cukup aneh dan unik.

 

British ‘tidak menjajah’ 9 buah kerajaan Melayu tetapi mereka hanya menaungi Tanah Melayu melalui perjanjian untuk melindungi keselamatan dan membangunkan ekonomi wilayah ini. British hanya bekerja berdasarkan perjanjian untuk menolong mentadbir bagi pihak Raja-Raja Melayu (pemerintah). Kuasa kerajaan masih dibawah Raja Melayu. Hugh Clifford menyatakan British hanya penaung bukannya pemerintah. Setiap kerajaan ada Sultan.

 

British berjanji kepada Raja Melayu untuk menjaga kerajaan Melayu. Pada tahun 1910, imigran datang beramai-ramai ke Tanah Melayu untuk membeli tanah berikutan peningkatan harga getah. British telah mengubah enakmen Tanah Simpanan Melayu bagi melindungi jumlah pemilikan tanah orang Melayu agar tidak berkurang pada tahun 1913. Pada seksyen 2 enakmen, British telah mendefinisikan Melayu iaitu Melayu mesti Islam, bercakap dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan Budaya Melayu.

 

Tanah Melayu milik orang Melayu. Pada tahun 1931, Durbar (Persidangan Raja-Raja Melayu) telah memutuskan Malaya adalah tanah orang Melayu.

 

Tanah Melayu terbahagi tiga komponen negeri. Negeri-Negeri Selat merupakan tanah jajahan British. Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak) dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah dan Johor) merupakan negeri naungan British. Tiga komponen negeri ini banyak mempengaruhi perkembangan ekonomi, politik dan sosial masyarakat tempatan. Tiga komponen ini disatukan dibawah satu payung dengan penubuhan Pesekutuan Tanah Melayu 1948.

 

Sebelum tahun 1948, Tanah Melayu juga dikenali sebagai Malaya atau British Malaya. Malaya bukanlah istilah yang sah. Ia untuk memudahkan dalam pentadbiran kerana Tanah melayu mempunyai 9 buah kerajaan yang berlainan.

 

Secara perundangan, British ‘tidak menjajah’ Tanah Melayu walaupun pada hakikat sebenar, British adalah penjajah. British menjarah ekonomi Tanah Melayu secukup-cukupnya. Hasil penanaman getah dan bijih timah, hampir semuanya milik Kerajaan British.

 

Walaupun struktur  sosial tidak berubah, struktur politik Melayu diganggu-gugat dengan kewujudan para pentadbir British. Ramai pembesar tidak berpuas-hati dengan British.

 

Pengetahuan Tentang Perlembagaan Malaysia

Perlembagaan ialah undang-undang tertinggi dalam sebuah negara. Tiada pihak yang boleh mengatasinya. Di Malaysia, Raja Berperlembagaan bermaksud Raja yang menurut Perlembagaan Malaysia. Bagi menjamin kestabilan politik, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan negara yang berterusan, semua rakyat mesti hidup berdasarkan Perlembagaan Malaysia.

 

Di Malaysia, kita mengamalkan konsep pengasingan kuasa. Wakil Rakyat yang berada di Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan berbahas dan meluluskan undang-undang. Jika timbul masalah perundangan, badan kehakiman berperanan mentafsirkan undang-undang.

 

Perlembagaan Malaysia mengandungi unsur-unsur tradisi.

 

 

Tradisionalisme

British tidak mengubah struktur politik dan sosial tradisi orang Melayu. British hanya membalutkan struktur tradisional dengan pemodenan dan pembangunan. British hormat tradisi Kerajaan Melayu. Tradisi politik dan sosial orang Melayu menjamin kestabilan politik Tanah Melayu. British mahu Orang Melayu amal budaya British yang lemah lembut.

 

Tradisi politik Melayu tertumpu kepada Raja. Adanya Kerajaan kerana adanya Raja.  Kerajaan itu pada diri raja bukannya pada tanah/wilayah sebagaimana konsep feudalisme di Barat. Raja mempunyai kuasa dan wibawa disebabkan oleh konsep Daulat. Konsep ini berasal daripada konsep deva raja. Kemudian diIslamisasi sebagai Daulat. Ketaatan dan kesetiaan orang Melayu kepada raja mereka. Dalam tradisi Raja-Raja Melayu, kerajaan mula ditubuhkan oleh leluhur keturunan Raja Iskandar Zukarnain. Titisan leluhur keturunan Iskandar Zulkarnain cukup penting dalam penubuhan sesebuah kerajaan Melayu.

 

Dari segi penubuhan kerajaan, paling penting ialah siapa yang tubuh kerajaan bukannya siapa  paling awal datang dan tubuh kerajaan. Kerajaan Kedah lebih awal ditubuhkan daripada kerajaan Melaka. Tetapi Kerajaan Kedah hanya diabsahkan setelah mendapat pengiktirafan melalui pemberian nobat daripada Kerajaan Melaka. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mendapat mandat kuasa melalui pemberian nobat Kerajaan Kedah setelah dipohon oleh Tunku Abdul Rahman.

 

Pada tahun 1745, Bugis telah menguasai dan memerintah Selangor. Pemerintah Selangor bernama Raja Lumu tidak mengunakan gelaran Sultan. Raja Lumu pergi ke Kota Lumut, Perak menyembah ampun bertemu Sultan Perak untuk meminta izin menubuhkan Kerajaan Selangor. Selepas itu barulah Raja Lumu memakai gelaran Sultan. Leluhur Sultan Perak berasal daripada keturunan Sultan Melaka. Di Tanah Melayu, hanya Perlis dan Johor Moden tidak mendapat kekuasaan daulat daripada keturunan Sultan Melaka.

 

Johor Moden mendapat pengiktirafan Ratu Britain manakala Perlis mendapat pengiktirafan Kerajaan Siam.

 

 

 

Pendidikan dan Sukan

Pada tahun 1927, Tagore menyatakan, ‘untuk menubuhkan sebuah negara, lebih awal perlu menubuhkan sekolah’. Didik pelajar mengenal siapa diri mereka. Pendidikan bermula daripada latihan guru.

 

British sangat mementingkan undang-undang. Anak semua bangsa di Malaysia tidak memahami perlembagaan dan undang-undang negara. Ini merupakan satu kerugian dalam pembentukan jati-diri sebagai warganegara ini.

 

Ilmu sejarah adalah mementingkan rekod, bukti atau fakta yang boleh diuji. Tanpa bukti, ahli sejarah hanya mampu membuat kesimpulan sementara. Sejarah apa yang pernah wujud dan berlaku pada masa dahulu. Sejarah berasaskan rekod dan boleh dibuktikan.

 

Menurut Khoo Kay Kim, akar umbi masalah perpaduan Bangsa Malaysia disebabkan [1] kegagalan sistem persekolahan kebangsaan, [2] tiada penyertaan parti-parti politik dalam jawatankuasa perpaduan negara dan [3] Rakyat mengabai rukun kelima rukun negara.

 

Khoo Kay Kim menyatakan sistem persekolahan kebangsaan telah menjadi sekolah berasaskan komunal apabila didominasi oleh kaum Melayu sahaja. Justeru beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil sebagai pilihan di sekolah kebangsaan.

 

Pengajaran dan pembelajaran sejarah banyak difokuskan kepada sejarah politik bukannya sejarah budaya padahal dengan pengajaran dan pembelajaran sejarah budayalah kita dapat mengenali kaum-kaum dan etnik-etnik yang berada di Malaysia.

 

Khoo Kay Kim melihat aktiviti masa lapang seperti sukan bola sepak antara cara memupuk perpaduan pelbagai kaum di Malaysia.

 

Penulis bersetuju dengan pandangan Khoo Kay Kim. Bagi memupuk perpaduan didalam negara ini, setiap kaum mesti memahami [1] sejarah dan Perlembagaan negara ini dan [2] interaksi/pengaulan (paling berkesan iaitu sukan dan majlis makan-makan). Ubat paling mujarab untuk mengubati masalah perpaduan Bangsa Malaysia ialah reformasi pendidikan melalui pelaksanaan sistem persekolahan kebangsaan, memansuhkan sekolah vernakular dan kewajiban pengunaan Bahasa Melayu.

 

 

Konsep Negara-Bangsa

Negara: Tanah atau  kawasan yang ada sempadan

Bangsa: Semua rakyat yang ada dalam negara. Bangsa bukannya kaum. Di negara Malaysia, bangsanya dikenali Bangsa Malaysia.

 

Tamadun Melayu tidak mengunakan konsep negeri. Tamadun Melayu mengunakan konsep kerajaan (kingdom dan monarki). British bertanggungjawab menukar konsep pemerintahan Orang Melayu daripada konsep kerajaan kepada konsep negeri. Konsep kerajaan terletak kepada diri raja itu sendiri manakala konsep negeri terletak kepada sempadan negeri. Biasanya kerajaan Melayu akan mengunakan ayat seperti Kerajaan Terengganu dan tanah jajahan takluknya.  Sungai menjadi pusat kerajaan dan sempadan kerajaan.

 

Orang Melayu yang dilahirkan di negeri Melayu dikenali rakyat raja. Orang keturunan Indonesia yang merantau di negeri Melayu seperti Orang Kerinchi, Orang Jawa, Orang Banjar dan Orang Rawa dikenali orang Melayu yang lain (the Other Malayan). Manakala orang bukan Melayu dikenali sebagai orang tidak bernegara atau tanpa kerakyatan (stateless). Orang Melayu yang melakukan kesalahan berat akan dibuang negeri buat sementara manakala orang tanpa kerakyatan yang melakukan kesalahan berat akan dihantar pulang ke negara asal. Orang yang lahir di NNS adalah rakyat British termasuk orang Melayu.

 

Pada tahun 1927, Orang India Muslim menubuhkan Persatuan Melayu Pulau Pinang. Kesatuan Melayu Singapura mengetatkan keahlian kepada Orang Melayu sahaja. Pada tahun 1939, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu diadakan, Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Persatuan Melayu Pulau Pinang tidak dijemput. Menurut Khoo Kay Kim, beliau diberitahu oleh Samad Ahmad bahawa KMM tidak dijemput kerana anggotanya kebanyakan Boyan. Boyan, Banjar, Jawa, Maidaling, Kerinchi dan Rawa adalah the Other Malayan. Dari segi parti politik, orang Melayu menyertai UMNO manakala The Other Malayan menyertai PKMM.

 

Adakah orang Cina dan India itu kaum pendatang atau imigran? Ya, sebelum tahun 1948. Selepas tahun 1948, orang Cina dan India mendapat warganegara melalui jus soli. Mereka berhak mendapat semua perkara disisi Perlembagaan Malaysia. Mereka sebagai warganegara  tidak boleh dipanggil sebagai pendatang.

 

Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu tidak merdeka. Sebab negara ini tidak pernah dijajah dari segi perundangan. Negara kita hanya dinaungi. Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah menjadi satu Negara-Bangsa baru yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Pemindahan kuasa daripada Daulat Raja-Raja Melayu kepada ketuanan Rakyat yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Malaysia. Raja-Raja Melayu sendiri mesti mengikut Perlembagaan Malaysia.

 

Kesilapan British

British tidak mengubah struktur politik orang Melayu. Pada masa yang sama British cuba memodenkan orang Melayu terutamanya kelompok pemerintah iaitu kelompok bangsawan (Sultan dan pembesar). Kelompok bangsawan dilatih untuk menjadi pentadbir.

 

Kesilapan terbesar British ialah mereka menganggap orang Melayu itu sebagai petani. Mereka cuba melatih orang Melayu menjadi petani.

 

Orang Melayu bukan petani. Mereka adalah pedagang. Pada tahun 1885, di News York, orang Melayu dikenali sea nomad. British mahu orang Melayu menjadi petani. Disinilah bermulanya orang Melayu dikatakan sebagai pemalas.

 

Orang Melayu kalah disebabkan oleh modal dan teknologi. Penggunaan kapal api/wap menyebabkan orang Melayu tidak mampu berdagang di lautan. Mereka mula berdagang melalui jalan sungai.

 

Pembinaan jalan kereta api telah merosakkan ekonomi orang Melayu kerana menghapuskan jalan sungai. Ekonomi orang Melayu lumpuh.

 

Perkembangan bandar yang dipenuhi oleh kaum bukan Melayu juga merisaukan British. Bandar Kuala Lumpur diasaskan oleh Sutan Puasa. Sutan Puasa menjemput orang Cina dari Sungai Ujong ke Kuala Lumpur. Bagi mengatasi ketiadaan orang Melayu di KL, British menubuhkan kampung pertanian yang dikenali sebagai Kampung Baru.

 

Kesimpulan

Kestabilan politik dan ketenangan masyarakat Melayu kerana adanya RAJA. Raja melambangkan keutuhan kerajaan dan negara-bangsa. Semua warga negara Malaysia yang terdiri daripada anak-anak semua bangsa mesti melindungi institusi Raja Melayu di negara kita.

 

Pendidikan dan sukan merupakan alat penting memupuk perpaduan rakyat negara ini. Kefahaman terhadap sejarah dan perlembagaan negara penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat pada masa depan.



[1] Tulisan ini mengambil apirasi daripada gagasan pemikiran Prof. Emiritus Dr Khoo Kay Kim.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...