Anak muda dan mahasiswa khususnya menghadapi krisis identiti dalam mencari kedewasaan dan kematangan hidup. Biasanya mereka diselimuti oleh [1] keterujaan terhadap suatu yang baru dan [2] kekecewaan terhadap tokoh, sejarah, budaya, sikap dan tradisi. Sifat ekstrem dan kebodohan muncul apabila mereka meletakkan semangat pada tempat yang salah.
Keterujaan anak muda terhadap ilmu, pengetahuan,
budaya, pengalaman dan pengaulan serta teknologi
baru menyebabkan mereka mahu melakukan perubahan secara mendadak. Begitulah
juga dengan kekecewaan mereka terhadap tradisi, tokoh dan budaya menyebabkan
mereka putus asa terhadap pihak tertentu dan menimbulkan penentangan terhadap
status quo.
Anak muda dan mahasiswa daripada gerakan Islam
biasanya terdiri daripada anak-anak pemimpin gerakan Islam, orang yang ditarbiah
daripada zaman sekolah, aktif persatuan remaja Islam dan berada dalam
lingkungan pengaulan dengan orang yang saleh dan alim. Mereka bukanlah sebarang
orang. Mereka adalah insan yang terpilih untuk ditarbiah.
Anak-anak pemimpin gerakan Islam ada yang mendapat
impak positif dan ada juga mendapat impak negatif setelah melihat dan merasai
menjadi anak pemimpin gerakan Islam yang sentiasa hidup berjuang. Ada anak mahu
meneruskan perjuangan ibubapa, ada yang tidak sanggup dan ada yang kecewa
ekoran berbelah bahagi kasih sayang (hilang kasih sayang). Akibat kehilangan
kasih sayang, mereka memprotes. Jemaah dan ibubapa mereka dalam kandang
pesalah.
Anak muda yang ditarbiah dan aktif persatuan remaja/pelajar
Islam. Pada masa ini, mereka tidak lagi merasai budaya ‘brutus tikam caesar’
secara realiti. Mereka hanya kenal tok guru dan ustaz yang diidola insan
terbilang tanpa kelemahan dan jauh daripada kesilapan. Akhirnya mereka silap,
tok guru dan ustaz panutan mereka hanyalah manusia biasa yang kaya dengan
kelemahan, kekurangan dan kesilapan. Perkara ini ditambah lagi apabila
mengetahui dan merasai keperitan peristiwa disebalik keindahan majlis/peristiwa
dan kepimpinan gerakan Islam.
Sepanjang sekolah dan universiti, mereka berada dalam
lingkungan orang yang satu jiwa, satu akhlak dan satu pemikiran. Fikrah mereka
terpelihara. Keluasan pengaulan dan pengalaman menyebabkan lingkungan kesalehan
terbuka ruang dicemari oleh kemaksiatan, kelaghaan dan aliran pemikiran yang
sesat. Mereka rimas, jiwa kacau dan ada yang terpengaruh dibuai badai
kemaksiatan dan kesesatan.
Ada anak muda gerakan Islam teruja dengan ilmu dan
pengetahuan baru. Selama ini hanya membaca buku haraki, peluang di universiti
membaca buku dan berwacana tentang
ateis, sekularisme, liberalisme dan pluralisme tanpa bimbingan ulama dan
dipengaruhi oleh kelompok berpemikiran orientalisme, evangelis kristian,
sekular, liberalis dan pluralis. Mereka merasakan diri mereka sudah genius mengungguli
kepimpinan. Mereka sudah menjadi manusia renaissance. Mereka teruja menyertai
kursus indoktrinisasi anjuran kelompok SEPILIS dan terpengaruh dengan
keseronokan wacana SEPILIS. Mereka mula merasakan bahawa ulama dan agama
seumpama agama Kristian dan paderi ketika zaman gelap. Mereka mula berpendapat
agama dan ulama yang mengongkong pemikiran mereka. Mereka mahu menjadi hero
melawan ketabuan agama dan ulama.
Anak muda gerakan Islam juga teruja dengan pengalaman
dan pengaulan baru mementingkan kepelbagaian, nilai hak asasi manusia
(kemanusiaan), keadilan sosial, demokratik dan nilai sekularisme-liberalisme-pluralisme
melangkaui pandangan alam Islam. Mereka mula terkeliru antara pluralisme dengan
pluraliti. Mereka terus terkeliru antara syariat dengan maqasid syariah. Mereka
tenggelam dalam keasyikan wacana ilmu yang palsu dan keliru. Mereka lemas
dengan nilai SEPILIS yang khayali dan sesat. Paling malang, mereka mula
mempertahankan SEPILIS dan ada yang menyertai perjuangan kelompok SEPILIS dan
Evangelis Kristian.
Anak muda yang kekal dengan fikrah asli dimaki dan
kritik sebagai ekstrem, konsevartif, jumud dan taksub manakala mereka merupaka
kelompok progresif, reformis dan islah. Ini bertambah buruk apabila kelompok
yang kekal bersama jemaah Islam tidak mahu mengimbangi dengan melakukan
perubahan berdasarkan semangat zaman dan mengambil kebijaksanaan daripada
tradisi lama. Bahkan ada yang bersemangat memarakkan sifat taksub, radikal,
keras dalam beragama, ekstrem dan kebodohan yang melampau dalam bercakap,
berfikir dan bertindak sehingga melepasi akhlak Islam.
Begitulah penulis nampak sebahagian besar yang berlaku
terhadap pemimpin besar gerakan mahasiswa, pelajar dan anak muda Islam. Adakah
amal dan berdisiplin beragama pada zaman tarbiah di sekolah lebih baik daripada
diri mereka pada hari ini?, cuba muhasabah diri. Malang diri kita apabila
kebergantungan kepada Allah semakin terhakis ekoran ilmu sudah banyak dan
pendapatan sudah tinggi.
Penulis juga melihat bagaimana Sheikh Umar kecewa
dengan puak progresif mereka sendiri setelah kecewa dengan kepimpinan ulamak
PAS, akhirnya menyertai DAP. Anak-anak muda
PAS di Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan yang ditarbiah oleh Ustaz Abdullah, Cikgu Anuar dan Cikgu Nasir
dengan penuh disiplin mula berubah arah apabila sudah ada ilmu dan luas
pengaulan. Lihat juga kekecewaan para pengasas Ameerah dan para pimpinan penjenamaan
semula Nisa kecewa dengan tokoh panutan mereka Ustazah Mumtaz. Dr Aziz Baru
kecewa dengan pendekatan PKR.
Begitulah kisah tentang teruja dan kecewa. Harapan dan
cita-cita tinggi, genius, banyak membaca, sikap progresif dan islah, semuanya
baik jika diletakkan pada landasan yang betul. Rahsianya pada ADAB dan DISIPLIN
serta AKUR arahan KETUA dan SYURA. Tiada perkara ini, tiada istiqamah dalam
perjuangan.
No comments:
Post a Comment