Monday, November 30, 2020

Kenang-Kenangan Politik PAS-ABIM-IRC (S16)

 

BAB

ANWAR LEMAS DALAM PELUKKAN UMNO

 

Anwar Ibrahim bukan sahaja membawa masuk pemimpin ABIM (antaranya Kamarudin Mohd Nor, Kamaruddin Jaafar dan Fuad Hassan) ke dalam UMNO tetapi sahabat-sahabat beliau ketika di MCKK, dalam gerakan mahasiswa-belia, Yayasan ANDA dan membina jalur anak muda untuk menjadi pengikut beliau ketika dalam Pergerakan Pemuda UMNO. Orang ABIM diposisikan dipelbagai tempat sebagai Setiausaha Menteri, IKD, UIA dan Yapeim. ABIM mula mengantuk dalam pelukan UMNO.

 

Anwar Ibrahim telah memposisikan para pengikut beliau dipelbagai peringkat kepimpinan dalam UMNO, kerajaan, GLC dan media massa.

 

Dalam mesyuarat bahagian-bahagian UMNO sesi 1998-2000, 90 Ketua Bahagian UMNO berjaya mengekalkan kedudukan mereka tanpa pertandingan, 60 orang mengekalkan dengan pertandingan dan 12 orang tewas. Dua bahagian diarah mengadakan pemilihan semula. Pertukaran pemimpin berlaku di 24 daripada 165 bahagian UMNO. Seramai 12 daripada 24 muka baru mendapat kedudukan dengan menewaskan ketua bahagian yang sedia ada.

 

Proksi Anwar memenangi Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO melalui Zahid Hamidi dan Dato Zaharah Sulaiman. Dalam Perhimpunan Agung UMNO 1997, Zahid Hamidi telah berucap tentang Korup, Kronisme dan Nepotisme yang merimaskan Dr Mahathir ketika itu.

 

Anwar Ibrahim juga memposisikan orang beliau untuk menguasai media massa.  Johan Jaaffar sebagai Ketua Pengarang Utusan Malaysia manakala Ahmad Nazri Abdullah sebagai Ketua Pengarang Berita Harian. Begitu Pengarah Urusan Sistem Televisyen Malaysia (TV3). Dalam sektor korprat, Anwar Ibrahim juga memasang kroni beliau. Antara yang terkenal ialah Tan Sri Yahaya Ahmad yang menguasai DRB-HICOM.

 

Pada 2 September 1998, Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pemecatan Anwar Ibrahim turut membawa kepada penangkapan beberapa orang UMNO yang rapat dengannya dibawah ISA. Antara yang ditahan ialah Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Ruslan Kassim (mantan pemimpin PMIUM dan yayasan ANDA), Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Kamaruddin Jaafar(mantan pemimpin ABIM), Pengerusi Institut Kajian Dasar, Ahmad Azam Abdul Rahman, Presiden ABIM, Mukhtar Redhuan, Timbalan Presiden ABIM, Abdul Halim Ismail, Naib Presiden ABIM, Shaharuddin Badarudin, Setiausaha Agung ABIM, Dr.Sidek Baba (mantan pimpinan ABIM),Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa, Tamunif Mokhtar, Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Kamaruddin Mohd.Noor (mantan pemimpin ABIM), Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Amidi Abdul Manan, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan Dr. Zamri Abdul Kadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Lumut, Perak. Di samping itu beberapa minggu selepas pemecatan Anwar Ibrahim, dua orang rakan rapat beliau telah diarah meletakkan jawatan daripada memegang jawatan ketua editor akhbar utama negara iaitu Utusan Malaysia dan Berita Harian. Mereka ialah Johan Jaaffar dan Ahmad Nazri Abdullah. Hal ini diikuti perletakan jawatan Pengarah Urusan Sistem Televisyen Malaysia (TV3). Sahabat Anwar Ibrahim dalam kelompok ABIM dan kelompok Bekas UMNO banyak membantu memperjuangkan Anwar dalam mengerakkan Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) dan GERAK.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...