Followers

Wednesday, November 02, 2016

Diaspora Cina


Utusan Malaysia melaporkan,
 
JUDUL ini dipilih untuk menggambarkan kekuatan persatuan Cina yang sentiasa mementingkan persatuan tidak kira di mana mereka berada. Secara simboliknya, kita ingin membandingkan bagaimana Melayu sukar bersatu dan pergerakan Melayu jika tumbuh hanya diprasangkakan berkepentingan peribadi atau mempunyai agenda tertentu. 

Sedangkan persatuan Cina secara tradisi dan sejarahnya sangat kental dengan kehidupan berpersatuan, walaupun mereka sebenarnya dalam diam-diam lebih halus beragenda. Ia seumpama seni Sun Tzu yang diamalkan sejak 2,400 tahun lalu sebagai satu seni strategi dalam kebudayaan masyarakat Cina.

Oleh itu, desakan mereka sentiasa didengar oleh pemerintah. Sikap tribal walaupun ke tahap kongsi gelap menjadi asas penting kaedah masyarakat Cina dalam berorganisasi sekali gus mampu menggerakkan secara kolektif hasrat kumpulan mereka. Negara Tanah Besar China memanfaatkan ketaatan berorganisasi atau sistem tribal ini untuk berhadapan dengan kemelesetan ekonomi, selain dimanfaatkan untuk membantu pembangunan negara China sejak 'Dasar Buka Pintu' mereka.

Secara sejarah, gerakan Diaspora Cina mula diiktiraf oleh negara China sejak abad ke-16 dan ke-17. Kebanyakan mereka merupakan penghijrah yang berasal dari daerah pesisir sebelah Tenggara dan Selatan China, iaitu dari wilayah Guangdong, Fujian dan Hainan.

Dianggarkan majoriti daripada 42 juta Diaspora Cina berhijrah ke Asia Tenggara. Paling ramai ke Singapura, dan selebihnya menjadi warga di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam. Atas faktor perkembangan pembangunan dan ekonomi dunia yang baik menyebabkan mereka juga berhijrah ke Amerika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Hawaii, Kanada, dan sebahagian besar negara-negara Eropah.
Penghijrahan ini berlaku secara berperingkat pada abad ke-19 dan ke-20. Namun demikian tanpa disedari, data-data mutakhir menunjukkan masyarakat Diaspora Cina yang terbesar dari segi peratusan sekarang ini, iaitu kira-kira 12.1 peratus yang berada di benua Asia mendiami negara Malaysia. Berbanding dengan masyarakat Diaspora Cina yang berada di Singapura yang hanya sekitar 4.3 peratus daripada jumlah keseluruhan di Asia. (Data statistik New World Encyclopedia).
Kekuatan hidup berpersatuan menyebabkan Diaspora Cina sentiasa menjalin jaringan antara mereka. Dalam sistem perbankan, ditubuhkan Chinese Overseas Bank sejak 1942 untuk menjaga sistem kewangan pemodal-pemodal berbangsa Cina. Hubungan ini bukan sahaja secara wilayah dan etnik yang pelbagai dari Tanah Besar China, malahan hubungan kekeluargaan yang berasaskan tradisi kebudayaan. Chinese Overseas atau masyarakat Diaspora Cina ini menggerakkan persatuan-persatuan kecil dari peringkat pekerja, peniaga kecil, etnik, kekeluargaan sehinggalah perniagaan yang bersifat makro.

Mereka mengadakan Festival Diaspora secara besar-besaran di seluruh dunia. Daripada pertandingan kraf sehinggalah lagu-lagu moden untuk menyatukan jutaan perasaan kolektif bangsa Cina. Malah, pertandingan sebelum menyambut Tahun Baru Cina akan diadakan di seluruh dunia secara sepakat dengan menjemput masyarakat Cina dari Tanah Besar dan masyarakat Cina yang berdiaspora. Sydney dan New York pernah mengadakan program ini.

Kekentalan rasa penyatuan ini bukan lagi rahsia bagi masyarakat global kerana masyarakat Cina sejak awal tamadun manusia telah mencatatkan pergerakan rasa kekitaan yang tinggi sesama mereka.
Oleh kerana penyatuan itu juga, dunia menyaksikan masyarakat Diaspora Cina menguasai ekonomi di seluruh negara di Asia Tenggara. Mereka memegang peranan penting dalam pembangunan ekonomi Asia Tenggara dan memainkan peranan penting dalam memastikan kekuasaan politik kaum Cina. Malahan dengan kuasa ekonomi, mereka juga membantu memberikan sumbangan dana yang besar kepada Tanah Besar China sejak berlakunya Revolusi China pada 1911.

Justeru itu, kita menyaksikan kekuasaan masyarakat Cina dijana oleh kuasa ekonomi dan kuasa politik. Masyarakat Diaspora Cina sehingga hari ini mempunyai hubungan yang rapat dengan anggota Kabinet serta ahli politik di China. Buktinya kepentingan masyarakat Diaspora Cina ini diiktiraf dengan adanya setiap jabatan dalam kementerian dalam kerajaan China yang menubuhkan bahagian-bahagian yang menjaga kepentingan Diaspora Cina di seluruh dunia.

Wilayah-wilayah yang mendapat bantuan secara langsung dari ahli-ahli perniagaan Cina seberang laut termasuklah wilayah Guangdong, Fujian dan Hainan. Sewaktu kemelesetan ekonomi dunia pada 2008 dan 2009, China dapat keluar dari kemelut kemelesetan ekonomi kerana faktor-faktor aliran masuk pelaburan luar yang dibawa oleh Diaspora Cina global itu. China dengan pantas mencapai pertumbuhan KDNK lebih 10 peratus setahun.

Namun kesetiaan Diaspora Cina secara berterusan mengalirkan pelaburan mereka ke Tanah Besar. Ia merupakan satu suntikan dana berbilion dolar sekali gus menyelamatkan ekonomi China daripada merudum. Dari Asia Tenggara sahaja dipercayai ahli perniagaan mereka yang terdiri daripada Raja Gula, Raja Getah, Raja Keluli dan Raja Hartanah telah membawa keluar wang secara besar-besaran untuk melabur ke negara China. Ia secara tidak langsung menyelamatkan nilai mata wang mereka berbanding dengan nilai mata wang Asia Tenggara yang merosot teruk akibat daripada krisis gadai janji yang melanda Amerika baru-baru ini.

Dipercayai sistem yang sama akan digunakan apabila krisis kewangan yang sedang melanda negara-negara Eropah berlaku, kesan krisis teruk di Greece dan Itali.

Dengan itu juga, jika kita melawat wilayah-wilayah Selatan dan Timur China sekarang ini, kita dapat menyaksikan pembangunan pesat dalam pelbagai sektor terutama hartanah, perkilangan dan pembangunan perkhidmatan awam. China sejak akhir-akhir ini juga menjadi fokus seluruh dunia. Bolehkah China menjadi gergasi ekonomi dunia dalam masa terdekat? Dengan kadar pertumbuhan KDNK setiap tahun melebihi 10 peratus, China akan menyaingi Amerika dalam segenap segi atas dasar kedudukan ekonomi yang stabil.

No comments:

Nota Diri

Nama: Mohamad Ridhwan Bin Alias

Pendidikan

+ Mendapat pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (Major: Sejarah, Minor: Antropologi dan Sosiologi)

+ Diploma Pendidikan, MPTAA

Fokus Penulisan

+ Sejarah dan politik terutamanya di Malaysia, Timur Tengah, Gerakan Islam dan Gerakan Mahasiswa/Anak Muda.

Penafian

+ Penulis bukan ustaz
+ Penulis bukan pakar
+Segala pembacaan perlu dibuat lebih lanjut untuk pemurnian fakta.
+ Segala penulisan adalah pendapat peribadi.