Sunday, November 29, 2020

Kenang-Kenangan PAS-ABIM-IRC (Siri 11)

 

IKRAM dan Politik[1]

 

Penglibatan IKRAM skala besar secara langsung ialah menerusi penglibatan strategiknya dalam memacu penglibatan ahli-ahlinya dalam kedudukan strategik dalam kerajaan pusat, kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan-kerajaan tempatan, penglibatan ahli-ahlinya sebagai anggota dewan perundangan atau kehakiman syariah sekurang-kurangnya bagi mempersiapkan negara dengan pelbagai polisi dan solusi yang mampu membawa negara keluar daripada situasi kemelut dalam berbagai-bagai bidang kepada situasi kembali berkembang maju dalam semua bidang penglibatan, kegiatan dan kehidupan.

 

Ia perlu lebih proaktif lagi sejajar dengan visi dan misinya, membangunkan negara Malaysia sebagai Negara Rahmah Mithali yang disasarkan pada tahun 2035 menerusi usaha-usaha pengislahan negara yang menyeluruh, berterusan, meningkatkan pencapaiannya dalam semua lapangan dan bidang yang akan meletakkannya sebagai sebuah negara yang paling berkembang maju secara holistik dan berimbang, negara yang makmur di bawah lembayung syariah.

 

Memanfaatkan dan merangsang pengislahan berterusan dalam siasah negara:

1.         Usaha mengambil tempat dan peranan dalam jentera kerajaan dan parti-parti agar gerak kerja dakwah dan perubahan dapat dilonjak ke tahap yang lebih tinggi.

2.         Menggerakkan pelbagai program dan inisiatif secara kerjasama dengan pihak kerajaan.

3.         Memanfaatkan sumber dan kemudahan yang ada pada kerajaan untuk memajukan dakwah.

4.         Memastikan kerajaan dan parti-parti terus komited kepada agenda pengislahan masyarakat dan negara melalui reformasi institusi, polisi, sistem dan amalan.

5.         Membantu mengukuhkan parti-parti PH, agar lebih berdaya saing dan efektif di persada siasah negara.

Perkara 5 memberi gambaran bahawa IKRAM menyokong PH secara tidak langsung.

 IKRAM kenalah menumpukan usaha-usaha perjuangan IKRAM berasaskan hala tuju IKRAM yang telah disepakati di mana matlamatnya ialah “Memacu Pembinaan Negara Rahmah”. Sasaran strategiknya pula ialah: “Membina Negara Malaysia Baharu”.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ciri-ciri Negara Rahmah Mithali yang impikan ahli jemaah IKRAM ialah:

1.         Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti

2.         Sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan

3.         Tadbir urus yang baik

4.         Undang-undang yang adil

5.         Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang

6.         Institusi keluarga yang utuh

7.         Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni

8.         Ekonomi yang mampan

9.         Agihan kekayaan yang saksama

10.       Pembangunan yang lestari

11.       Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat yang terpelihara

12.       Menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat

 

 

Kecelaruan Fikrah IRC-JIM-IKRAM: Antara Fikrah atau Strategi Politik[2]

 

Dalam ucapannya antara lain Syeikh Rasheed Ghanoushi menggariskan halatuju baru partinya: “We want religious activity to be completely independent from political activity. We are leaving political Islam and entering democratic Islam. We are Muslim democrats who no longer claim to represent political Islam.” (Kami mahu aktiviti keagamaan hendaklah bebas daripada aktiviti politik. Kami telah tinggalkan politik Islam dan memasuki Islam demokrat. Kami adalah muslim demokrat yang bukan lagi mewakili politik Islam).

 

Dr Azzam mengkritik apabila disebalik ketiadaan wakil Ikhwanul Muslimin dalam majlis Perasmian Himpunan Parti An-Nahdhah dan Syeikh Ghanoushi tidak menyebut tentang perjuangan Palestin adalah satu tindakan yang tidak sengaja, tetapi untuk membuktikan bahawa An-Nahdhah sudah beralih daripada Politik Islam kepada Islam Demokrat.

 

Islamisme telah mati!” laung Said Ferjani, pemimpin progresif kanan Ennahda. Ferjani, seorang bekas perancang utama yang merancang untuk merampas kuasa regim Presiden Zine el-Abidine Ben Ali. Menurut Ferjani, Islamisme sangat berguna ketika di bawah kepimpinan kuku besi Ben Ali apabila “identiti dan tujuan kita” diancam negara autoritarian. Kini, setelah an Nahdah bergerak secara terbuka sebagai parti politik yang sah di bawah Perlembagaan baru – yang ia sendiri bantu gubal dan bertanding untuk kepimpinan – label Islam dilihat sebagai beban berbanding manfaat.

 

Berkenaan Islamisme telah mati. Pengasas bersama dan pemimpin parti an Nahdah, Rachid Ghannouchi, lebih berhati-hati menyatakan pandangan. Beliau cuba menafikannya. “Saya tidak akan kata seperti itu,” kata beliau. Tetapi beliau menolak label tersebut, katanya, “Kami tidak ada apa-apa sebab untuk membezakan diri kami daripada Muslim yang lain.” Ghannouchi dan Ferjani lebih gemar menggunakan terma “Demokrat Muslim” – yang mana berulang kali menggunakan analogi dengan parti-parti Demokratik Kristian di Eropah Barat untuk menjelaskan identiti baru, pasca-Islamisme.

 

Gagasan pemikiran ‘Muslim Demokrat’ lahir daripada lubang pemikiran orientalis. Pada tahun 1998,  Pusat Kajian Islam dan Demokrasi (CSID) ditubuhkan dalam usaha senior-senior Ikhwanul Muslimin cuba merapatkan hubungan dengan Jabatan Negara, Amerika Syarikat (Barat). Antara anggota awal Lembaga Pengarah CSID ialah Jamal Barzinji dan Taha Al-Alwani, kedua-duanya dikaitkan dengan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT). Antara  pengasas utama IIIT ialah Dato Seri Anwar Ibrahim. CSID telah berhujah bahawa kerajaan AS perlu menyokong gerakan Islam di negara-negara asing, mempertemukan sarjana-sarjana dan aktivis-aktivis bagi menggalakkan demokrasi dalam dunia Islam. CSID menerima sokongan kewangan daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat dan National Endowment for Democracy. CSID telah menerbitkan risalah Muslim Demokrat untuk menerangkan dan mempromosikan Muslim Demokrat.

 

CSID mengemukakan tokoh terkemuka yang boleh dicontohi ialah Anwar Ibrahim (Malaysia),  Saadeddine Al-Othmani (Maghribi) dan Abdurrahman Wahid (Indonesia). Anwar Ibrahim pernah dinobatkan dengan Anugerah Muslim Moderat 2005 oleh CSID. Konsep Muslim Demokrat adalah evolusi daripada konsep Muslim Moderat yang digerakkan oleh CSID untuk mendekatkan demokrasi dengan umat Islam seterusnya agenda mendekatkan Islam dengan Barat dan Islam mesti mengikut kehendak Barat.

 

Kelompok ini mula menerima sekularisme yang dianggap sekularisme baik. Ya Sekularisme, tidak sekularisasi kata mereka. Mereka menerima orientalis yang kononnya ada orientalis pro Islam. Mereka menerima pluralisme yang dikatakan pluraliti. Liberal dikatakan keterbukaan, kesederhanaan dan rasional. Mereka menolak konsep Negara Islam dan Perundangan Islam atas konsep maqasid syariah dan rahmat untuk semua.

 

Sikap bermudah-mudahan menerima pemikiran dan pendekatan mengikut kehendak Barat atau memenuhi aspirasi Barat banyak menghasilkan pemikiran yang diteledorkan daripada prinsip amal Islami yang bertunjangkan kebenaran nas al-Quran dan as-Sunnah. Akhirnya, kemuliaan atau izzah Islam sebagai satu sistem peraturan hidup mula tergadai dinodai oleh pemikiran ciptaan manusia berdasarkan kehendak akal dan nafsu manusia. Hak Allah telah dinafikan.

 

Model Politik Kepartian Gerakan Islam

Terdapat beberapa model politik kepartian gerakan Islam. Antaranya ialah

1.      Model Parti Sekular iaitu sebuah parti demokrat yang mendokong nilai sekular, pluralisme dan liberalisme.

2.      Model Parti Politik merangkap Jemaah. Parti politik adalah jemaah

3.      Model Proksi Politik

4.      Model memperposisikan individu dalam parti politik

 

Model parti sekular berjaya dilakukan oleh Erdogan, Abdullah Gul dan kader politik gerakan Islam di Turki dengan menubuhkan sebuah parti sekular iaitu AKP. AKP parti sekular pelbagai latarbelakang anggota parti tetapi terasnya adalah kader dakwah yang pernah dipimpin oleh Erbakan. Harga pengorbanan strategi politik Erdogan dan kawan-kawan beliau sangat tinggi kerana dipulau oleh parti berasaskan jemaah Islam Saadet Parti. Di Malaysia, pada peringkat awal penubuhan Parti Keadilan Nasional, teras keahlian PKN terdiri daripada kader dakwah JIM dan ABIM. Perebutan kuasa dalaman ekoran pengabungan dengan Parti Rakyat Malaysia – akhirnya membentuk PKR – menyebabkan proksi JIM, sosialis, evangelis, proksi NGO hak asasi manusia dan bekas pemimpin UMNO jaringan Anwar melakukan pembersihan kepimpinan dengan mengusir keluar kader ABIM daripada kepimpinan PKN/PKR. Kebanyakan mereka memilih untuk merajuk. Perjuangan dalam model ini bersifat individu yang tertumpu kepada pandangan alam, pendekatan, nilai dan akhlak. Ia bukan dasar parti.

 

Model kedua, parti politik adalah jemaah Islam seperti PAS di Malaysia dan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia. Matlamat perjuangannnya lebih jelas. PAS sangat jelas dalam matlamatnya mewujudkan Masyarakat Islam termasuk pelaksanaan Undang-Undang Islam. PAS juga merujuk kepada al Quran, as Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qiyas dalam setiap keputusan dasar parti.

 

Model ketiga, parti politik adalah proksi jemaah dilakukan oleh Ikhwan Mesir melalui FJP. Dalam sejarah perkembangan model ini, masalah besar yang berlaku apabila jemaah induk ditenggelam oleh proksi politik. Ia biasanya berlaku apabila pemimpin proksi politik lebih popular dan dilihat genius daripada amir jemaah.

 

Model keempat, ialah memperposisikan individu atau kem dalam parti politik. Individu sehebat Anwar Ibrahim boleh tenggelam dalam kebusukan UMNO. Individu seperti inilah yang berlagak seperti ‘mujtahid politik’ yang kononnya bebas daripada ikatan baiah dan keputusan syura jemaah. Manakala penyusupan kem banyak mengucar-kacirkan parti politik tersebut daripada keupayaan menguasai kepimpinan parti politik tersebut.

 

Model terbaik ialah parti politik adalah jemaah. Matlamat perjuangan Islam lebih jelas, strategi dan pendekatan politik lebih cerah. Ia tidak dijamin daripada sengketa dalaman. Tetapi fokus perjuangan tidak kabur dan lebih jelas serta tulen. Ilmu Islam dan budaya jemaah Islam dapat diaplikasi dalam parti politik dengan bebas.

 

Pendekatan Parasit IRC Dalam Politik

Sejak awal lagi, IRC membudayakan strategi politik yang busuk. Penyusupan dalam jemaah Islam sehingga menelurkan budaya jemaah dalam jemaah bermula sejak penyertaan anggota IRC ke dalam ABIM dan PAS. Ia menyebabkan perpecahan dalaman ABIM dan PAS. Kemudian berlaku cubaan sesetengah pemimpin IRC menghalalkan kemasukan ke dalam UMNO tetapi gagal apabila kertas kerja ditolak.

 

Anwar Ibrahim memulakan budaya lawan keputusan Syura Jemaah dan bertindak sebagai ‘mujtahid politikus’ yang bebas melakukan ijtihad peribadi berdasarkan kontek dan situasi semasa yang dihadapi. ‘Mujtahid Politikus’ melakukan ijtihad politik atas kadar ilmu yang mereka ada dan tindakan mereka tiada kaitan dengan keputusan jemaah. Tindakan ini jelas sekali keluar daripada budaya jemaah Islam yang tulen.

 

Dalam budaya jemaah Islam, pemimpin yang baik biasanya membuat keputusan secara syura kecuali dalam perkara yang memerlukan keputusan segera, barulah kebijaksanaan peribadi seorang ketua dijadikan dalil dan hujah dalam bertindak. Mereka itu mujtahid politik, tidak boleh lagi terikat dengan jemaah. Mereka mesti mendahului kepentingan ummah daripada jemaah. Diri mereka milik ummah bukannya lagi jemaah.

 

Apabila kita berbicara tentang ijtihad politik dan kekurangan dalam keputusan-strategi-pendekatan politik (termasuk kesilapan dan kelemahan), kita tidak menafikan kadar ilmu, jasa dalam perjuangan, prestasi lampau, kebolehan peribadi, amalan dan ketaqwaan seseorang. Bahkan ia tidak menghilangkan sedikitpun kekaguman terhadap individu atau kumpulan terbabit.

 

Saari Sungib (Abu Urwah) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Abu Iman) antara pemimpin besar dalam IRC. Kemasukkan mereka ke dalam PAS dan PKN menimbulkan kecelaruan dalam pendekatan politik IRC walaupun kelihatan mereka cuba menguatkan proksi Islam dalam PKN dan meramaikan lagi profesional dalam PAS. Sepatutnya wadah sebenar penyatuan ummah dalam politik adalah memperkuatkan PAS bukannya melatakan pemimpin dalam pelbagai parti sehingga tenggelam nilai dan matlamat perjuangan Islam.

 

Saari Sungib dan Hasnul antara penggerak awal budaya melawan arahan Amir Jemaah dan mengkhianati parti alasan bersama keputusan muktamar. Saari sudah tentu lebih jelas bahawa dalam keadaan tertentu, arahan Amir Jemaah lebih perlu diakuri daripada keputusan muktamar. Saari adalah penulis buku risalah usrah yang sudah mantap dalam persoalan tarbiah dan dakwah.

 

Kader dakwah IRC-JIM melata dalam PKN dan PAS. Apabila PAS mengalami krisis dalaman, kem IRC-JIM-IKRAM keluar daripada secara berkelompok membentuk Parti Amanah Negara. Keluar setandan. Dimana konsep baiah, konsep wala’ dan konsep syura yang kalian hadam semasa zaman jemaah dahulu?

 

Dalam PKR, sebahagian bekas pimpinan JIM bersama kartel Azmin Ali bertembung dengan kem dinasti  Anwar. Dimanakah ukhwah yang dicanang ketika zaman jemaah dahulu? Atau anda bertaqiyah politik dalam kem kartel?

 

Parti Amanah Negara muncul sebagai parti kedua Islam selepas PAS. IKRAM menyalurkan pemimpin mereka untuk memperkuatkan AMANAH. Dalam AMANAH terdapat beberapa kem politik iaitu kem MAYO-Husam-UM, kem aktivis PAS (Mohamad Sabu-Mahfuz-Salahudin), kumpulan Pro-Syiah, bekas Suara Islam (Khalid-Izham-Nizar) dan kem IRC-JIM-IKRAM. Adakah kem IRC-JIM-IKRAM cuba menguasai AMANAH sehingga menjadikan ia sebagai proksi IRC-JIM-IKRAM?.

 

IRC-JIM-IKRAM mesti mempunyai matlamat perjuangan yang jelas melalui satu-satunya wadah yang tulen secara berpusat. Kehadiran pemimpin jemaah dalam pelbagai parti menghilangkan fokus utama kader dakwah menegak matlamat perjuangan jemaah yang tulen. Pemimpin-kader IRC-JIM-IKRAM tidak boleh hanyut dan tenggelam dalam lautan sekularisme-sekularisasi, pluralisme dan liberalisme. Jelas, strategi politik IRC-JIM-IKRAM dilihat gagal memenuhi matlamat politik perjuangan jemaah.



[1] Tulisan dalam subtopic ini diambil daripada laman IKRAM.

[2] Sumber tidak diketahui blog atau lamannya. Ia kutipan daripada pelbagai laman web.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...