Bertahun-tahun sudah
dia berteka dengan angka
dan bermain-main dengan
impian dan angan-angan
ramalan dan harapan
takdir masa depan
(T.Alias Taib)
Kesudahannya adalah hampa dan air mata. Begitulah nasib peneka angka. Ahli politik salah seorang peneka angka. Demi kelangsungan politik peribadi, setiap politikus perlu mencari kabilah (kem atau kartel) politik untuk bertaut. Apabila situasi politik negara tidak stabil, kabilah politik dalam semua parti politik tidak tenteram dan selamat. Mereka mencari sekutu politik.
Politik Malaysia berakar politik nombor. Setiap kabilah atau parti politik perlu mencari sekutu untuk mencukupkan nombor (jumlah kerusi) dan menaikkan tokoh yang didokong. Tokoh ini ditampilkan sebagai watak berwibawa dan hero menyelamat keadaan. Untuk mencukupkan nombor, pelbagai tawaran politik dan janji dikemukakan. Jawatan dan nasib kes menjadi taruhan.
UMNO merupakan parti terbesar berpecah belah ekoran persengketaan para warlord dan kebilah-kabilah politik. Nasiblah tradisi setia kepada parti UMNO dan pemimpin semasa masih bertahan. Sejauh-manakah ia mampu bertahan, itu persoalan yang perlu dijawab oleh pimpinan UMNO.
Kita tidak menafikan, persoalan pada hari ini bukan lagi pertembungan antara Tun M dengan DSAI tetapi persoalan siapakah pemilik nombor yang paling banyak dan majoriti. Perpecahan PH dan pembangkang disebabkan oleh satu kelompok mahu bersekutu dengan UMNO manakala satu kelompok lagi menolak bersama dengan UMNO. Setakat hari ini, Tun M, Warisan, DAP dan Amanah kelihatan menolak bersama UMNO manakala DSAI dilihat bersedia menerima sokongan dan bersama UMNO. Ini menyebabkan berlaku ketidak-stabilan politik dalam Amanah dan membawa kemunculan semula pertembungan klasik antara Tun M dengan DSAI. Dalam UMNO sendiri, ada kelompok mahu bersama DSAI, ada pihak berpegang kepada prinsip 'No Anwar, No DAP'. Penentuan siapa berpihak kepada siapa atau mencari sekutu ini sangat rumit kerana ia boleh menyebabkan DAP, Amanah, PKR dan UMNO berpecah.
Kita sebagai orang awam tidak perlu tertipu dengan drama atau kenyataan politik. Ia hanyalah bersifat propanganda dan strategi politik. Orang politik berjuang demi kelangsungan politik peribadi mereka. Mereka sanggup menikam orang lain sebelum diri sendiri ditikam oleh orang lain. Tanpa waspada dan warak, kita akan ditikam oleh sahabat rapat sendiri. "Bukan kurang sayangku terhadap Julius Caesar kurang, melainkan sayangku kepada Rom lebih besar". Percayalah, politik ini hanyalah sekitar apa yang anda dapat melalui habuan material, kekuasaan dan jawatan.
No comments:
Post a Comment