Saturday, November 28, 2020

KENANG-KENANGAN POLITIK PAS-IRC-ABIM (Siri 5)

 

BAB

MUKTAMAR 2015: KEMUNCAK PERTEMBUNGAN

Kita tidak bersetuju untuk menjadikan PAS parti sekular, ada kalangan kita hendak buang perkataan Islam, tidak boleh bercakap pasal Islam, itu kita tak boleh terima” Tuan Guru Abdul Hadi Awang [Utusan Malaysia, 20 Mei 2015].

Asas penolakkan DAP terhadap kepimpinan Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ialah [1] kelulusan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) pada 19 Mac 2015 dan [2] pendirian TGHH mahu membawa Usul Persendirian (Private Members Bill) ke Parlimen bagi membolehkan EKJS Kelantan dilaksanakan melalui pindaan RUU 355.[1]

6 Februari 2015 – TGHH menempelak Lim Guan Eng kerana terus meragui kehadiran beliau dalam Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 [SH, 7 Februari 2015]. TGHH hadir dalam mesyuarat tersebut [Harakah, 13-15 Februari 2015]

Awal bulan Februari 2015, Ketua Pemuda PAS Kuantan, Fadhli Ibrahim mendedahkan ada usaha menjatuhkan Presiden PAS. Ia dikatakan melibatkan Pasukan Gerak Saraf (PGS) PAS dan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat. Antara pemimpin yang dikatakan mengerakkan pengulingan Presiden PAS ialah Mohamad Sabu[2] (Timbalan Presiden PAS), Ir Phahrulrazi Zawawi (Presiden PASMA), Dr. Hatta Ramli[3], Husam Musa (Naib Presiden)[4] dan Aiman Athirah al-Jundi. Kenyataan ini dinafikan oleh SUA PAS, Dato Mustafa Ali dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub [Sinar Harian, 10.2.2015]. Presiden PASMA turut menafikan beliau menjadi dalang [Sinar Harian, 9.2.2015].

15 Mac 2015- Tuan Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS menyifatkan pengolakan dalam PAS adalah masalah kecil berbanding kewujudan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) sehingga PAS dapat 2 kerusi sahaja di Kelantan.

19 Mac 2015 – Dewan Undangan Negeri Kelantan sebulat suara (44 undi) yang merangkumi 31 undi PAS, 12 BN dan seorang PKR telah menyokong Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015). Pelaksanaan ini bergantung kepada Rang Persendirian meminda Akta 355 untuk membolehkan pelaksanaan hukuman  tersebut. PKR mengarahkan ADUN Guchil, Roslan Puteh tidak menghadiri  atau tidak berada dalam sesi pembentangan tersebut. YB Husam Musa menyokong bersyarat iaitu mahu RUU355 dibawa oleh kerajaan bukannya Rang Persendirian.

24 Mac 2015- DAP Buang Hadi (Sinar Harian). SUA DAP, Lim Guan Eng menyatakan DAP hilang kepercayaan pada Abdul Hadi sebagai pemimpin PR dan akan menghentikan kerjasama dengan beliau. Keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu disebabkan bantahan keras keinginan PAS membawa satu rang undang-undang persendirian berkenaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah ke Parlimen Malaysia.

1 April 2015 – PASMA bersedia menjadi parti politik[5]

18 Mei 2015 – Lim Kit Siang dalam soalan rasmi di Parlimen melakukan provokasi menyifatkan Undang-undang Jenayah Islam Kelantan adalah bertentangan dengan semangat kenegaraan dan boleh memecah-belah perpaduan negara.

3 Jun 2015 – Dewan Ulama PAS Pusat meluluskan usul tergempar supaya PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP. Usul ini dibentangkan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik ekoran serangan DAP terhadap Presiden PAS. Usul ini disokong oleh 644 perwakilan.

3 Jun 2015 – kumpulan pro-Presiden menang dalam pemilihan Dewan Pemuda PAS Pusat.

4 Jun 2015 – kumpulan pro-Presiden menguasai Dewan Muslimat PAS Pusat.

4 Jun 2015 – Kumpulan pro-Pakatan dan pro-Anwar kalah teruk. Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (928 undi) menewaskan Tuan Guru Ahmad Awang (233 undi) bagi jawatan Presiden PAS. Semua jawatan dimenang oleh kumpulan pro-Presiden kecuali Mazlan Aliman (593 undi). Mazlan Aliman kemudian meletakkan jawatan dan menyertai GHB-Parti Amanah.

 

Cubaan Kudeta Presiden PAS

 

7 SEPTEMBER 2014: Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menempelak Abdul Hadi kerana menyebabkan kehilangan dua negeri kepada Barisan Nasional dan kini mempersoalkan pula keupayaan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baru.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Teng Chang Kim pula berkata, fakta rekod kerja Hadi menceritakan keupayaan pentadbiran beliau untuk dinilai orang ramai kerana hilang Terengganu sewaktu menjadi Menteri Besar dan hilang Kedah sewaktu menjadi Presiden PAS.

27 JANUARI 2015: Lim Kit Siang berkata, “Serangan Umno ialah apabila pemimpinnya turut melompat menyokong Hadi bagi kenyataan ‘13 Mei jika kembalikan undi ketiga’, dan dalam masa beberapa hari ini, kenyataan Hadi diberikan keutamaan berbanding Presiden Umno dan Timbalan Presidennya di dalam Utusan Malaysia – pertama kali dalam sejarah lidah rasmi Umno itu!”

28 JANUARI 2015: Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, Abdul Hadi mempunyai hasrat untuk memecah-belah Pakatan Rakyat. Pelbagai isyarat yang diberikan Abdul Hadi termasuk keengganan menghadiri mesyuarat tertinggi pakatan, menolak resolusi yang dipersetujui bersama hinggalah membangkit isu pilihan raya kerajaan tempatan.

Abdul Hadi semakin konservatif telah membelakangkan nilai ‘parti untuk semua rakyat’ yang dipegang oleh PR. “Keadaan ini menyedihkan pengundi bukan Islam khususnya pengundi Cina yang memberi sokongan kepada PAS pada Pilihan Raya 2008 dan 2013. Jangan lupa bahawa tanpa sokongan pengundi bukan Islam khususnya pengundi Cina, PAS akan menerima kekalahan di banyak kawasan.”

6 FEBRUARI 2015: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan PR Ahad ini bagi membolehkan sebarang keputusan berhubung isu-isu berbangkit dibuat secara kolektif.

Pihaknya sedia berbincang perkara-perkara bernas yang melibatkan kepentingan rakyat berdasarkan fakta. “Di sini saya rasa pendirian DAP amat jelas dan yang paling penting adalah menyelesaikan perkara berbangkit berdasarkan fakta dan bukan fitnah. tanpa kehadiran Presiden Pas, mesyuarat itu tidak dapat diteruskan kerana Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) telah menetapkan bahawa semua keputusan harus dibuat secara kolektif dengan kehadiran semua pemimpin PR. Kami mendapat jaminan Hadi akan datang, jika tidak mesyuarat tidak diteruskan.”

Pada 8 Februari 2015, seramai 300 ahli PAS yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Kuantan, Fadhli Ibrahim telah berdemontrasi di hadapan Pejabat Agung PAS agar Dr Hatta Ramli yang didakwa menjadi dalang menjatuhkan Presiden PAS meletakkan jawatan.

Ketua Pegawai Operasi Dewan Penyelidikan PAS Pusat, Dr. Zuhdi Marsuki mendakwa usaha mengulingkan dan mensabotaj PAS sudah wujud sejak tahun 1998 lagi. Beliau juga menjangkakan selepas muktamar 2015, PAS berpecah dan sebuah parti baru akan terbentuk [Sinar Harian, 1 Mac 2015]. Kenyataan Dr Zuhdi disangkal oleh Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali.

Usaha mengulingkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS terbongkar dengan penyebaran klip audio percakapan pemimpin kanan PAS (Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS dan terdengar suara seakan-akan Hishamuddin Rais) bersama orang tertentu untuk menjatuhkan Presiden PAS [Berita Harian, 25 Februari 2015. Utusan Malaysia, 21 Februari 2015].

Peserta Multaqa Ulamak SeMalaysia II Dewan Ulamak PAS Pusat telah menghentam Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli yang menjadi dalang usaha mengulingkan Presiden PAS [Utusan Malaysia, 22 Februari 2015]. Dewan Ulama PAS mengambil berat persoalan wala’ kepada kepimpinan PAS yang semakin merosot.

21 MAC 2015: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang terus mengkhianati dan menghina Pakatan Rakyat dengan memungkiri janji yang dinyatakannya sendiri kepada Pakatan Rakyat berhubung isu hudud sebelum ini.

Pengkhianatan bersiri oleh kepimpinan utama PAS ini adalah satu tindakan provokasi yang dilakukan secara sengaja untuk memecahkan Pakatan Rakyat atau demi mengugut DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerah kepada PAS atau melihat Pakatan Rakyat berpecah.

Pendekatan sedemikian oleh Abdul Hadi tidak boleh menjadi sebahagian daripada pendekatan konsensus yang digunakan Pakatan Rakyat demi demokrasi yang sihat dan koalisi yang berfungsi dengan baik. Pimpinan DAP dikhianati oleh PAS Kelantan dan beberapa pimpinannya atas sikap tidak jujur, licik dan khianat mereka membelakangi Pakatan Rakyat.

Presiden PAS berkhayal jika menyangkakan bahawa sokongan kalangan bukan Islam terhadap PAS masih belum hilang selepas mereka dikhianati oleh parti itu. PAS bukan sahaja telah menamatkan Pakatan Rakyat malah prospek parti itu dalam pilihan raya akan datang.

22 MAC 2015: Lim Kit Siang berkata, Abdul Hadi bertindak dengan cara tidak jujur dan tidak bermaruah apabila membuat keputusan sendiri membelakangkan Pakatan Rakyat memohon kebenaran Parlimen membentang rang undang-undang persendirian hudud pada sesi Dewan Rakyat yang sedang berlangsung. Tindakan Abdul Hadi itu mencabuli keputusan Majlis Tertinggi PR kerana sebarang usul persendirian mesti terlebih dahulu dikemukakan kepada mereka sebelum dihantar ke Parlimen.“Ini mencabuli keputusan Majlis Tertinggi sendiri. ‘Hot honest and not honourable’. Sebab itu kita tidak boleh mempersetujuinya. PKR mengumumkan tidak bersetuju dan DAP pun tidak boleh bersetuju. Tapi PAS melanggarnya. Itulah masalahnya.”

24 MAC 2015: Lim Guan Eng berkata, “Jika Hadi terus nak bentangkan usul tersebut (hudud), lebih baik beliau tinggalkan Pakatan Rakyat, beliau tentu berhak sebagai seorang Ahli Parlimen untuk berbuat demikian. Kita tak persoalkan hak demokrasi Hadi untuk bentang apa-apa usul, beliau memang ada hak sebagai Ahli Parlimen… tapi kalau nak buat usul sedemikian, jangan laksana sebagai ahli Pakatan Rakyat kerana kalau dia buat sedemikian, lebih baik beliau tinggalkan pakatan.”

24 MAC 2015: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, “DAP kesal dengan pengkhianatan Abdul Hadi. Kami telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan beliau dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan sebarang kerjasama dengannya. Ini bukan kali pertama tetapi kali ketiga perkara membelakangkan dasar persefahaman berlaku. Beliau tidak jujur dan bermaruah. Pengundi yang menyokong PAS dalam pilihan raya umum lalu tidak mengundi untuk pelaksanaan hudud tetapi untuk dasar bersama yang dibawa oleh pakatan pembangkang. Yang melanggar dasar ini adalah PAS.”

23 MEI 2015: Lim Guan Eng berkata, Abdul Hadi semakin berkelakuan seperti ‘pemimpin Umno’ dengan memainkan sentimen perkauman dan menyerang DAP. Abdul Hadi semakin lama lebih dilihat sebagai pemimpin Umno, bukan pemimpin PAS. “Adakah ini kerana beliau nak kerajaan perpaduan? Beliau tetap sokong perdana menteri walaupun Lembaga Tabung Haji ada masalah? Kalau nak gabung, pergilah. Jangan cari alasan macam ni. Jangan hilang akal macam ni. Sekarang dia (Abdul Hadi) main sentimen perkauman untuk serang DAP. DAP tak pernah cakap nak memerintah negara secara sendirian. Jelas hati dia (Abdul Hadi) tak ada bersama Pakatan Rakyat lagi.

24 MEI 2015: Lim Kit Siang berkata, “Kalau bekas Mursyidul Am PAS (Nik Abdul Aziz) masih hidup, pasti beliau tidak akan membenarkan Pakatan Rakyat berhadapan krisis seteruk ini dan menentang rancangan pembentukan kerajaan perpaduan oleh pimpinan PAS sedia ada. Bekas pemimpin PAS pernah mendakwa idea pembentukan kerajaan perpaduan telah mendapat restu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi ia dihalang sendiri Nik Abdul Aziz. Bagaimanapun promoter konsep kerajaan perpaduan telah mengambil kesempatan daripada kematian Nik Abdul Aziz untuk meneruskan konspirasi politik itu.”

26 MEI 2015: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah tawar hati untuk bersama Pakatan Rakyat (PR). Abdul Hadi berkecenderungan terhadap Umno berbanding memberikan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh baru-baru ini. “Beliau bukan saja tidak hadir ke PRK Permatang Pauh lalu, malah turut tidak menyatakan sokongan terbuka kepada Wan Azizah. Hadi membuktikan walaupun tubuh badannya masih bersama PR, hatinya sudah bersama Umno.”

Mohamad Sabu menyindir Abdul Hadi Awang tak sehebat disangka kerana gagal mempertahankan Kerajaan PAS Terengganu pada PRU ke 11. PAS mesti berkerjasama dengan pembangkang yang lain jika mahu menang dalam pilihan raya [Sinar Harian, 31 Mei 2015].

Mohamad Nizar Jamaludin menyatakan. ‘selepas muktamar apa yang saya mahu lihat ialah muka presiden yang baharu. Presiden perlu baharu dan barisan kepimpinan perlu muka baharu’ [Utusan Malaysia, 1 Jun 2015]

 

Presiden PAS:  Ahmad Awang Mencabar  Abdul Hadi

 

Dato Seri Muhammad Nizar Jamaludin, AJK PAS Pusat dan mantan Menteri Besar Perak mengambarkan keperluan PAS menukar kepimpinan yang lebih berwibawa [Berita Harian, 21 Mac 2015]. YB. Ir. Khalid Samad juga mengesa perwakilan menukar kepimpinan yang lebih baik [Berita Harian, 18 April 2015].

Buat kali pertama dalam masa 13 tahun,  Abdul Hadi Awang dicabar oleh Ahmad Awang bagi jawatan Presiden PAS. Seorang lagi calon, YB Dato Husam Musa menarik diri daripada pertandingan jawatan tersebut [Berita Harian, 15 Mei 2015. Utusan Malaysia, 15 Mei 2015]. Ahmad Awang menyatakan 4 sebab kenapa beliau mencabar Abdul Hadi [Sinar Harian, 20 Mei 2015] iaitu

  1. Meraikan perbezaan pendapat dan mengurusnya dengan hikmah
  2. Mengeratkan ukhwah yang bertunjangkan kasih sayang kerana Allah
  3. Memperkukuhkan PAS di arena nasional
  4. Penglibatan aktif PAS dalam isu antarabangsa

 

Ahmad Awang menafikan dengan bersumpah bahawa beliau tiada kaitan dengan PASMA dan DAP [Berita Harian, 31 Mei 2015]. Jika kalah, Ahmad Awang tidak mahu menubuhkan parti baru. “Jika kalah, tujuan bertanding untuk menyatukan PAS, kalau tubuh parti lain itu keluar dari matlamat saya, saya tidak akan menubuhkan parti baru, yang salah bukan PAS” [Sinar Harian, 1 Jun 2015].

Menariknya, ada satu pengakuan yang direkodkan menyatakan Ahmad Awang direstui oleh Anwar Ibrahim bagi menentang Abdul Hadi Awang dalam jawatan Presiden PAS.[6] Persoalannya, kenapa Ahmad Awang perlu mendapat restu Anwar Ibrahim untuk menentang Abdul Hadi?.

 

Cubaan Membina Persepsi Buruk Terhadap Pemilihan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi mendakwa kempen kotor dan serangan peribadi semakin teruk dalam pemilihan PAS [Berita Harian, 21 April 2015]. Presiden PAS menafikan dakwaan yang mengatakan taktik kotor pemilihan PAS. Beliau menyatakan, ‘insya Allah tiada yang kotor. Siapa yang buat kotor kita tidak akan pilih’ [Sinar Harian, 19 April 2015].

            Dr. Zuhdi Marsuki mendakwa kenyataan Asmuni Awi mempunyai agenda tersirat terutamanya ekoran kekalahan sahabat Asmuni Awi, Mohamad Nizar Jamaludin di Kampar dan Dr Khairudin Abdul Malik di Tambun. Manakala Dr Kamarul Zaman Yusuf menyatakan lazimnya dakwaan kempen kotor dibangkit oleh kelompok yang kalah atau akan kalah dalam pemilihan nanti [Berita Harian, 22 April 2015].

 

Campurtangan DAP dalam Muktamar 2015

 

Tidak ada pertembungan dua aliran dalam PAS. Yang ada golongan suka ikut nasihat DAP dan mereka yang berpegang kepada dasar PAS. Jadi terpulang kepada ahli PAS, hendak bebaskan diri mereka. Hendak ikut dasar PAS atau ikut DAP’ Tuan Guru Abdul Hadi Awang[7]

DAP telah membuat keputusan yang aneh dan pelik apabila memutuskan hubungan dengan Presiden PAS dan pada masa yang sama masih mengekalkan hubungan rasmi dengan PAS. Pemimpin PAS seperti Mustafa Ali, Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar tidak bersetuju dengan cara DAP [Sinar Harian, 25 Mac 2015]. Dr Dzulkefly[8] juga turut membantah serangan DAP terhadap Presiden PAS.

Serangan DAP tidak menjejaskan Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS. Lim Guan Eng menuduh Abdul Hadi Awang condong kepada UMNO [Sinar Harian, 26 Mei 2015]. Abdul Hadi Awang dilihat menganggu kelancaran perancangan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat ekoran ketegasan beliau dalam mesyuarat. Antara isunya ialah ‘Pelantikan Baru Bian Sebagai Ketua Menteri Sarawak’, ‘Rancangan 16 September’, ‘Pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim’, ‘Pelantikan Datin Seri Wan Azizah Sebagai Menteri Besar Selangor’, ‘Langkah Kajang’ dan ‘Pembentukan Kerajaan Konsensus Nasional’.[9]

DAP mempersoalkan Abdul Hadi kerana mungkir janji komitmen bersama Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan enggan menyokong Wan Azizah dalam pilihan raya Permatang Pauh.[10] Abdul Hadi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi agar mengekal jawatan dan menolak desakan Tun Mahathir daripada meletakkan jawatan [Berita Harian, 13 Mei 2015]. Kenapa Abdul Hadi menyokong Perdana Menteri?, adakah Abdul Hadi mahu mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO dan mengisytihar kewajipan umat Islam marah terhadap DAP kerana membantah undang-undang hudud [Utusan Malaysia, 28 Mei 2015].

Lim Kit Siang mendakwa dalam masa 2 minggu selepas Muktamar PAS Tahunan 2015, Pakatan Rakyat akan berpecah.[11] Lim Guan Eng mendesak PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. Abdul Hadi seolah-olah ‘berjasad pembangkang tapi berhati UMNO’.[12] DAP mencabar Abdul Hadi membawa PAS bergabung dengan UMNO [Utusan Malaysia, 24 Mei 2015]. DAP sering menyebut keperluan PAS menukar kepimpinan [Sinar Harian, 31 Mei 2015].

 

Usul Membatalkan Tahaluf Siyasi DAP

 

Dewan Ulama PAS Pusat mengusulkan usul tergempar agar PAS membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP berbunyi, ‘mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat’[Harakah, 12-14 Jun 2015]. Walaubagaimanapun, keputusan muktamad terletak kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS [Sinar Harian 11 Jun 2015].

Malangnya yang berlaku ialah DAP telah mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah terkubur [Sinar Harian, 17 Jun 2015] sebelum MSU membuat keputusan. DAP telah keluar daripada Pakatan Rakyat. Kemudiannya, pada 10 Julai 2015, barulah MSU bersetuju keputusan membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP [Berita Harian, 12 Julai 2015]. Perkara ini membuktikan bahawa DAP yang pertama sekali memutuskan hubungan dengan PAS.

 

 

 

Parti Baru: Secara Kebetulan atau Dirancang?

Adakah penubuhan sebuah parti baru bernuasa Islam (akhirnya Parti Amanah Negara –PAN) sudah dirancang?

Penulis tertarik dengan kenyataan Wan Saiful Wan Jan yang mengatakan YB Aminolhuda pernah berbincang tentang pola kepimpinan PAS sebelum Muktamar 2015.[13] Sebelum itu, Dr. Zuhdi Marzuki juga menjangka bahawa sebelum parti Islam kedua muncul selepas muktamar. Begitu juga pertemuan rahsia di Bandung (dakwaan Dr. Azman).

 

Husam Musa: Tak Cukup Hanya Genius

 

YB Dato Paduka Husam Musa terkenal seorang tokoh politik yang  kaya dengan idea. Beliau dikenali ‘budak cerdik’, otak geliga dan murid politik kesayangan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dalam perjuangan, tidak cukup hanya dengan  kebijaksanaan. Paling penting ialah DISPLIN atau adab berjemaah dan TAAT kepada KETUA atau Amir Jemaah. Ini asas berorganisasi.

1.      Suara Dalaman Tidak Diendahkan

Husam pernah menyatakan bahawa beliau telah mengemukakan penyelesaian masalah secara dalaman tetapi tidak diendahkan.  Contoh isu tebang habis (balak) untuk dijadikan ladang. Beliau telah memaklumkan kepada Dato Seri Abdul Hadi Awang sebanyak 3 kali dan membawa ke dalam mesyuarat dalaman ADUN dan EXCO pada tahun 2012.[14]

Husam mendakwa UMNO menipu PAS apabila tidak memberi laluan dalam membentangkan RUU 355 di Perlimen. Husam tidak bersetuju kerana PAS dan Kerajaan Kelantan tidak ikut keputusan mesyuarat yang telah menetapkan PAS dan Kerajaan Kelantan tidak boleh membawa sendiri RUU 355 kerana ia tidak diluluskan lagi oleh Majlis Raja-Raja Melayu.[15]

2.      Debat Mustafa vs Husam

Husam sanggup sumpah talak isteri bagi membuktikan dakwaan terdapat usaha menyatukan UMNO dengan PAS.[16]

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato Mustafa Ali mengajak Husam dan Khalid (YB Ir Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam) bersemuka di majlis terbuka.

Husam cabar Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang bersumpah menafikan perkara tersebut.[17]

Ustaz Nasharudin Mat Isa, mantan Presiden PAS menyatakan bahawa pertemuan 2008 tidak membincangkan isu pengabungan PAS dengan UMNO atau Kerajaan Perpaduan. Pertemuan itu membincangkan maslahat politik PAS dan UMNO ketika itu.[18]

PAS melarang debat.[19]

3.      Selesai Secara Dalaman

Datuk Ahmad Yaakob, ‘sepatutnya apa-apa kritikan dan perkara dalaman, kita selesai dalamanlah’[20].

Isu-isu yang dikemukakan oleh Husam boleh dibahaskan atau dibincangkan dalam Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan kerana beliau merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Kerian adalah ahli tetap perhubungan.[21] Dikatakan Husam jarang hadir mesyuarat.

Kerajaan Negeri Kelantan mengunakan forum yang sesuai untuk menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Husam iaitu dalam sidang dewan dan mesyuarat parti. PAS Negeri Kelantan  juga menjelaskan isu diperingkat perhubungan, ahli dan wakil rakyat tentang isu yang dibangkitkan.[22]

 

4.      Peraturan Parti

Perjumpaan dengan Dewan Harian PAS Pusat[23]. Dewan Harian memutuskan mengadakan pertemuan dengan Husam pada 26 November tetapi Husam meminta agar ia ditangguhkan kepada tarikh yang lain selepas beliau pulang dari China (rawatan kesihatan).[24]

Husam telah bersemuka dengan pimpinan Dewan Harian PAS Pusat yang disertai oleh 14 orang termasuk 2 wakil Kerajaan Kelantan. Beliau bersetuju tidak menyerang pemimpin Kelantan kerana Dewan Harian PAS berjanji mengkaji pendakwaan yang dilakukan olehnya. Malangnya dalam pertemuan tersebut, Husam tidak menyerah bukti pendakwaan kerana ia berada pada Kerajaan Negeri. Jika terpaksa barulah beliau keluarkan bukti tersebut.[25]

5.      Husam dipecat

Dewan Ulamak PAS Pusat menyarankan agar Husam tinggalkan PAS. Kelantangan Husam mengkritik parti, kerajaan Kelantan dan tidak mendukung kepimpinan Presiden menunjukkan beliau tiada hati dengan PAS. PAS tidak mahu gunting dalam lipatan yang menjejaskan parti.[26]

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr. Sanusi Daeng Mariok memaklumkan kepada media pemecatan Husam berkuatkuasa pada 23 April lalu.

Keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa tersebut pada tarikh berkenaan selepas meneliti aduan salah laku terhadap Husam dan setelah mengambil kira kepentingan parti dan perjuangannya.

Jawatankuasa  Tatatertib PAS yang bersidang pada 23 April 2016 mendapati YB. Dato' Haji Husam bin Haji Musa melakukan tindakan dan perbuatan yang bersalahan dengan Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f), Perlembagaan PAS.

Jawatankuasa Tatatertib dengan sebulat suara bersetuju berdasarkan peruntukan Fasal 82(6)(d) Perlembagaan PAS (Pindaan 2011), memecat Husam sebagai ahli PAS berkuat kuasa pada 23 April.[27]

Husam sementara itu mengaku sedih dengan tindakan yang dikenakan ke atasnya. Husam mendakwa beliau tidak diberi notis pemecatan beliau.[28]

6.      Isu Husam Musa Dipecat

Beliau antara lain menggesa beberapa pemimpin kanan PAS letak jawatan kerana gagal membentangkan rang undang-undang hudud ke Parlimen.

Husam lantang menyerang parti dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terutama berkaitan isu kerjasama antara PAS dan UMNO.

Beliau juga pernah meminta Abdul Hadi memberi laluan kepada kepimpinan baharu yang boleh membawa perubahan kepada parti itu dan tanggungjawab yang digalas diganti dengan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengkritik isu pelaksanaan Enakmen Kanun Syariah II Kelantan dan Rang Undang-Undang 355 kerana tidak mengikut road map (landasan) yang asal dalam membawa RUU355 ke parlimen.[29]

Kehadiran dan ucapan di majlis anjuran PAN atas alasan meneruskan misi dan visi Tuan Guru Abdul Aziz Nik Mat iaitu bagi memastikan Malaysia melakukan perubahan politik.[30]

Husam bimbang PAS berpakat dengan UMNO untuk melindungi korupsi.[31]

Dato Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan tindakan Husam sebagai strategi membolehkan beliau dipecat sekaligus membebaskan diri daripada baiah talak tiga.[32]

7.      Husam Musa ditabal Sebagai Menteri Besar Kelantan Oleh DAP.

Lim Kit Siang mencadangkan Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan.[33]

Husam sendiri pernah mencadangkan Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai calon Menteri Besar Kelantan. Kata beliau, “Bagi saya Nik Omar adalah calon kita untuk menjadi menteri besar Kelantan selepas PRU14 nanti”.[34]

8.      Kelemahan Husam Musa

[1] Memilih pembantu yang salah dan [2] Sikap ‘Agas’, Bangga Diri dan Rasa Diri Hebat – terpukau dengan diri sendiri- . Dua kelemahan utama Husam Musa. Sejarah telah membuktikan bahawa pembantu Husam memegang banyak rahsia beliau. Beliau pernah berkrisis dengan pembantu beliau, Mohd Sayuti Omar dan Syed Azidi Syed Abdul Aziz (dikenali sebagai blogger Kickdefella). Kemudian Husam Musa dibantu oleh Jeming Hassan. Pembantu beliau banyak mencemarkan perjalanan politik beliau.



[1]  PAS cuba membawa usul ini melalui usul persendirian yang dikatakan tidak mengikut ‘road map’ asal Ahli Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Syariah Persekutuan yang mahu draf ini dibawa mengadap Raja-raja Melayu terlebih dahulu sebab bidang kuasa mahkamah syariah ini duduk bawah majlis raja-raja. Raja tandatangan, bentang di parlimen, tiada ahli parlimen Melayu bantah. Ada pandangan, tindakan PAS bagi menjauhi fitnah politik terhadap Raja-Raja Melayu. Ia juga selaras dengan lunas demokrasi.

[2] Terdapat bukti rakaman audio yang dikatakan Mohamad Sabu. https://www.youtube.com/watch?v=k6Cjkh1xGJI..Mohamad Sabu pernah menafikan usaha mengulingkan Presiden. Lihat https://www.youtube.com/watch?v=3wuVD_eYxYU.

[3] Dalang pembocoran maklumat daripada mesyuarat-mesyuarat PAS.

[4] Dikatakan dalang penubuhan PasMa

[5] Sinar Harian, 10 Jun 2015

[6] SinarTV dan Ahmad Lutfi, Parti Amanah Negara, KL: AL, 2018.

[7] Sinar Harian, 30 Mei 2015.

[8] Sinar Harian, 30 Mei 2015.

[9] Sinar Harian, 28 Mei 2015.

[10] Berita Harian, 28 Mei 2015.

[11] Sinar Harian 26, Mei 2015.

[12] Utusan Malaysia, 26 Mei 2015.

[13] “Pagi ini bersembang dengan Haji Ashaari Sidon, YDP PAS Sri Gading. Rumah di kanan tu ialah tempat pertemuan yang dianjurkan okeh YB Hj Aminolhuda Hassan sebelum muktamar 2015 untuk membincangkan pola pemilihan kepimpinan PAS pada muktamar itu. Hj Ashaari menyertai perbincangan, tetapi memilih untuk istiqamah dengan PAS.” FB Wan Saiful Wan Jan, 11 Mei 2017, 1.00 PM.

[14] Sinar Harian, 10 Oktober 2015.

[15] Sinar Harian, 6 Disember 2015

[16] Sinar Harian, 15 November 2015.

[17] Sinar Harian, 19 November 2015.

[18] Sinar Harian, 24 November 2015.

[19] Sinar Harian, 20 November 2015.

[20] Berita Harian, 21 November 2015.

[21] Harakah, 23-26 November 2015.

[22] Sinar Harian, 19 November 2015

[23] Sinar Harian, 22 November 2015

[24] Sinar Harian, 21 November 2015.

[25] Sinar Harian, 6 Disember 2015.

[26] Sinar Harian, 11 November 2015.

[27] https://www.bharian.com.my/node/150785

[28] http://www.astroawani.com/berita-politik/husam-dakwa-tidak-terima-notis-pemecatan-pas-104648

[29] Sinar Harian, 4 Februari 2016

[30] Sinar Harian, 3 Januari 2016.

[31] Sinar Harian, 3 Januari 2016.

[32] Sinar Harian, 4 February 2016.

[33] http://antarapos.com/bm/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WoaplnZQ==

[34] https://www.malaysianreview.com/156526/nik-omar-bakal-ganti-nik-aziz-kata-husam/

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...