Monday, November 30, 2020

Kenang-Kenangan Politik PAS-ABIM-IRC (S17)

 

BAB

ABIM DALAM PKR

Pada 3 Ogos 2003 Keadilan dan PRM melancarkan Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur. Penubuhan PKR disebabkan kepelbagaian keahlian dalam PKN yang masih belum ada pengalaman politik dan belum ada pandangan politik yang jelas. Anwar Ibrahim mengharapkan kerjasama daripada PRM mengatasinya. PRM pula mengalami masalah perkembangan organisasi yang terbantut ekoran kekurangan ahli yang aktif. Pengaruh PRM sendiri semakin merosot jika dibanding dengan zaman Barisan Sosialis.

 

Penulis berpendapat Anwar Ibrahim mula dapat mengesani bibit-bibit pertembungan antara kelompok dalam PKN disebabkan kelompok ABIM sangat aktif dipelbagai peringkat parti dengan seakan-akan mahu menguasai PKN. Idea pencantuman PRM-PKN sendiri mendapat bantahan sekelompok pimpinan daripada PRM dan kelompok ABIM dalam PKN. Dalam satu warkah dari penjara berjudul "Pakatan Pembangkang Digeruni Kerajaan" pada Ogos 2003, Anwar sengaja mengungkap lembaran sejarah perjuangan PRM menentang penjajahan dan imperialisme dalam memperlihatkan aspek relevan dalam perjuangan kini terutama dalam konteks penggabungan KeADILan dan PRM.

 

Kelompok ABIM menentang idea pencantuman kerana tidak mahu PKN dikuasai oleh ‘orang kiri’ dan kelompok sosialis. Syed Husin Ali dan PRM terpaksa mengambil risiko dengan membubarkan PRM dan bercantum dengan PKN, turut dipertikaikan oleh beberapa orang rakan seperjuangan dalam partinya. Sesetengah pemimpin PRM tetap meragui keikhlasan Anwar, yang dijangkakannya akan kembali ke pangkuan UMNO.

 

Syed Husin Ali menegaskan,

"Saya pasti dia (Anwar) tak masuk UMNO”. "Pertama, komunikasi saya dengan dia (Anwar). Sesetengah surat dia masih saya simpan..." Syed Husin Ali meneruskan, "Kedua, mereka (UMNO) sudah begitu menghina dia dengan keluarga dia, tak mungkin dia kembali ke situ." "Saya kenal dia dah lama, sebagai student (pelajar), sebagai kawan, sebagai orang tahanan sama, sebagai orang yang sama-sama berjuang..."

 

Setelah pencantuman PKN-PRM berlangsung, pengaruh ABIM semakin merosot didalam PKR. Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata barisan baru kepimpinan PKR itu menunjukkan pengaruh ABIM dalam parti itu telah 'merosot'. Barisan kepimpinan terbaru itu juga memberi positif kerana ia mencerminkan 'berakhirnya pergolakan dalaman antara pelbagai faksi dalam PKR". Hanya Bekas Setiausaha Agung PKR, Mustaffa Kamil Ayub, yang dilantik sebagai naib presiden PKR, merupakan satu-satunya pemimpin yang dikaitkan dengan ABIM, yang memegang jawatan tinggi dalam barisan kepimpinan parti itu.

 

Manakala seorang lagi pemimpin yang dikaitkan dengan ABIM, Abdul Rahman Yusof, yang gagal dalam percubaannya untuk merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu, dilantik sebagai ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) PKR.

 

Muktahir ini, wakil ABIM dipilih sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR disifatkan ingin ambil hati kelompok ABIM yang setia bersama Anwar Ibrahim daripada dulu. Shamsul Iskandar Md Akin (PKPIM) dipilih oleh perwakilan sebagai Naib Presiden manakala Shaharuddin Badaruddin dilantik ke jawatan Naib Presiden.

 

Kegagalan kelompok ABIM memberi ruang dan peluang kepada kelompok bekas UMNO dan kelompok JIM mengukuhkan kedudukan dalam PKR. Dalam PKR, persaingan berlaku 2 kelompok iaitu kartel Azmin Ali dan kartel Rafizi.

 

Krisis dalaman PKR bermula apabila Langkah Kajang yang digerakkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution pada 2014 untuk menyingkirkan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan menobatkan Anwar tergendala kerana Anwar Ibrahim dihukum bersalah dalam kes Liwat 2.0. Akhirnya Mohamed Azmin Ali dilantik Sultan Selangor sebagai ketua negeri itu.

 

Dalam satu kenyataan media, Rafizi Ramli menyenaraikan dua kem berbeza dalam PKR:

Kem Azmin: Chua Tian Chang, Shamsul Iskandar(PKPIM) dan Xavier Jeyakumar, Dr Shaharuddin Badaruddin (ABIM), Zuraida Kamaruddin (ketua wanita), anggota biro politik Sivarasa Rasiah, Saifuddin Abdullah, Kamaruddin Jaafar(ABIM), Fahmi Fadzil (pengarah komunikasi), N Surendren, serta pemimpin utama parti Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aishah Sheikh Ismail, Mohamad Nur Manuty(ABIM), Latheefa Koya, Dr Afif Bahardin dan Haniza Talha (JIM).

Kem Rafizi: Sim Tze Tzin (pengarah strategik), Fariz Musa (ketua setiausaha pengelola), Abdul Hadi Al-Khatab (pengerusi Lembaga Disiplin) dan Christina Liew (pengerusi Sabah), pemimpin exco negeri Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail(JIM), Fuziah Salleh(JIM), S Manivannan, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...