Monday, November 23, 2020

KENANG-KENANGAN POLITIK PAS-IRC-ABIM (Siri 1)

 

BAB 1

PENUBUHAN PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS)

 

Mesyuarat Jawatankuasa Agung UMNO pada 16 Julai 1949 bersetuju menubuhkan jawatankuasa bahagian agama yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim. Beliau dibantu oleh Sheikh Abdul Jalil Hassan, Ustaz Salleh Osman, Tuan Guru Haji Mohamad bin Haji Hitam, Tuan Guru Ahmad Mahir, Tuan Guru Abdul Rahman Merbuk, Haji Mohamad Bin Sidin dan Haji Abdul Aziz bin Abdul Salam.

 

Pada tahun 1951, UMNO dikecohkan oleh kesanggupan Tunku Abdul Rahman menerima dana daripada hasil loteri. Sheikh Abdulllah Fahim dan anaknya, Ahmad Badawi menentang penerimaan tersebut.

 

Sebelum itu, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan ilmuwan yang berasal dari Terengganu dan rapat dengan Dato Onn Jaafar tewas dalam pemilihan UMNO tahun 1951. Beliau selaku Pengerusi Badan Agama UMNO menetapkan loteri adalah haram. Pada November 1951, satu panitia penaja ‘kesatuan ulama’ diltubuhkan di Bangunan Kelab Melayu Bagan, Seberang Prai. Ahmad Badawi dan Tuan Guru Fuad Hassan antara yang turut terlibat.  Pada waktu itu, Ahmad Badawi merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO manakala Tuan Guru Fuad Hassan merupakan anggota Jawatakuasa Agung UMNO. Antara ulama lain yang terbabit ialah Tuan Guru Tuan Ahmad Tuan Husein, Tuan Guru Ahmad Maliki dan Tuan Guru Mansor.

 

Apabila Tuan Guru Ahmad Fuad Hassan  melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertuan PAS, markaz PAS dipindahkan daripada madrasah Masriyah ke madrasah Daeratul maarif Wataniyah hasil cadangan Ahmad Badawi.

 

Pensejarahan diatas membuktikan bahawa PAS adalah sebuah parti berasaskan ulama. Kepimpinan ulama pada tahun 1981 merupakan proses pemugaran kembali ulama dalam PAS.

 

Ulama, Pondok dan Politik Kepartian

 

 

 

 

 

 

 

 


Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz Nik Mat (no. 2) menziarahi Almarhum Tuan Guru Hj Omar Zuhdi Pondok Lanai,Baling,Kedah (no. 1). Turut bersama antaranya adalah ulama' pondok Kedah yakni Almarhum Tuan Guru Hj Yahya Junid (no. 4),Tuan Guru Hj Salleh Musa Pondok Sik,Kedah (no. 3) & Tuan Guru Hj Abd Wahab Hassan/Tuan Guru Hj Awang Lanai (anak murid kepada Almarhum Tuan Guru Hj Omar Zuhdi/no. 5)

 

  1. Ulama dan politik kepartian tidak dapat dipisahkan. Sekitar tahun 1945, Tuan Guru Haji Husein Che Dol daripada Madrasah al Akhlak al Islamiyyah, Guar Chempedak, Kedah menjadi Presiden Kesatuan Melayu Kedah. KMK disertai oleh Haji Abdullah Abas Nasution (Tanjung Pauh) dan Haji Yahya Junid. Di Terengganu, Haji Wan Abdul Latif aktif dalam PKMM,
  2. Ulama Kedah sangat proaktif dalam organisasi. Mereka menubuhkan Persatuan Ulama Kedah pada 9 Februari 1946 yang berpusat di Maktab Mahmud, Alor Setar.
  3. Para ulama juga menentang Malayan Union. Di Kedah, Haji Abdul Rahman Merbok, Haji Husein Langgar, Haji Ahmad Kodiang,  Haji Idris Nor Alor Mengkudu, Haji Omar Langgar dan Haji Yahya Kupang. Di Pulau Pinang, Haji Abdullah Fahim manakala di Perak, Haji Abdul Samad Noh. Di Kelantan, Haji Ahmad Mahir.
  4. Apabila UMNO ditubuhkan, para ulama menjadi pendokong kuat UMNO. Antara ulama yang menyertai UMNO ialah Haji Abdullah Fahim, Haji Yahya Junid, Haji Ahmad Fuad, Haji Ahmad Maliki, Haji Ahmad Badawi, Haji Wan Abdul Latif.
  5. Ada ulama memilih tidak bersama UMNO seperti Haji Abu Bakar al Baqir. Beliau melahirkan organisasi Islam seperti Pusat Perekonomian Melayu Semalaya (PEPERMAS), Majlis Agama Tertinggi SeMalaya (MATA), Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) dan Hizbul Muslimin (Parti Islam Pertama di Malaya).
  6. Anggota penting MATA  ialah Abdullah Fahim, Abu Bakar al Baqir, Ahmad Hussein dan Hussein Che Dol.
  7. PEPERMAS merancang menubuhkan Bank Pertanian dan Bank Kebangsaan Melayu.
  8. PAS dilahirkan di ibupejabat UMNO Butterworth pada bulan Ogos 1951 ketika berlangsung Persidangan Alim Ulama UMNO ketiga. Ia bertujuan menyatupasukan ulama agar dapat membimbing UMNO ke arah cita-cita Islam disamping tempat kepada anggota PKMM dan Hizbul Muslimin yang dibubar. Persidangan ini dibuka oleg Abdullah Fahim. Ucapan pembukaan Yang Dipertua, Ahmad Badawi telah dibaca oleh Ahmad Maliki. Dalam persidangan ini, nama Persatuan Islam SeMalaya dipilih dan Jawatankuasa dilantik dengan Haji Ahmad Fuad selaku Yang Dipertua pertamanya.
  9. Banyak nama dicadangkan. Menurut TG Haji Mat Saman Kati, bekas Ketua Hizbul Muslimin Kelantan antara nama dicadangkan adalah Nahdatul Ulama Malaya (NA’AM). Nahdatul Ulama berada dalam gabungan parti MASYUMI. Ini menunjukkan betapa kuat pengaruh ulama pondok dan aliran tradisionalisme dalam PAS.
  10. Perlembagaan PAS yang merujuk kepada al Quran, as Sunnah, Ijma’Ulamak dan Qiyas itu berakarkan kepada Perlembagaan Nahdatul Ulama Indonesia. Ini menunjukkan PAS berpegang kuat pada Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  11. Persidangan pertama PAS diadakan di Madrasah Dairatul Maarif, Kepala Batas. Ahmad Fuad dikekalkan sebagai YDP. Dalam Mesyuarat Agung Khas (1953) di Tanah Liat, Bukit Mertajam, Ahmad Fuad meletak jawatan sebagai YDP kerana PAS tidak mahu menyertai  National Conference anjuran Dato Onn. Disebaliknya PAS menyokong National Convention anjuran UMNO-MCA. National Convention turut disokong oleh Ahmad Badawi dan Ahmad Maliki.
  12. Pada Persidangan PAS Ketiga (1954), di Titi Serong, Krian, Perak, Dewan Ulama PAS ditubuhkan. Pada 15 Jun 1955, Persatuan Islam SeMalaya didaftar sebagai Parti Islam SeMelaya. Dalam Pilihan Raya Umum pertama Malaya, Haji Ahmad Hussein menang di Parlimen Krian, Perak mengalahkan Haji Sulaiman Palestin (UMNO)
  13. Abu Bakar al Baqir tidak menyertai PAS. Abdullah Fahim Mufti Pulau Pinang dan Seberang Prai (Sejak 1951) tidak aktif politik kepartian sebelum pilihan raya umum 1955 lagi. Walaubagaimanapun, kemenangan Ahmad Hussein di Krian dikatakan berpunca daripada fatwa Abdullah Fahim dimana dinyatakan haram memilih calon Bukan Islam. Ini menyebabkan UMNO marah. Tetapi Abdullah Fahim menafikan fatwa daripada beliau.
  14. Agak sukar memisahkan Ulama Pondok daripada politik kepartian. Daripada dulu, mereka  menyokong PAS atau UMNO.
  15. Kebanyakan ulama pondok yang mulanya menyokong UMNO berhijrah ke dalam PAS. Kebanyakan pimpinan PAS menganggotai lebih dari satu parti. Pada 14 Ogos 1954, PAS telah menetapkan supaya pimpinannya tidak boleh menjadi ahli parti lain serentak. Pada tahun 1954, Haji Yahya Junid Pondok Padang Lumat dan Haji Othman Yunus dari Madrasah an Nahdah, Bukit Besar meninggalkan UMNO dan menyertai PAS. Ada juga pimpinan PAS seperti Haji Ahmad Badawi dan Ahmad Maliki memilih untuk kekal bersama Umno.
  16. Tuan Guru Haji Daud Meranti Kelantan, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payong (menantunya Tuan Guru Haji Hussein Rahimi) dan Tuan Guru Haji Abdul Ghani Kubang Bembam menyertai PAS.
  17. Haji Abdullah Tahir dikenali guru kepada para guru bagi kebanyakan para ulama di Kelantan. Beliau adalah murid tua Tok Kenali. Mesyuarat Agung PAS keempat pada tahun 1955 diadakan di Madrasah Ahmadiah Bunut Payung. Ini antara penyebab ramai ulama Kelantan tertarik dengan perjuangan PAS.
  18. Pondok terbesar di Kelantan rapat dengan PAS disebabkan pengasas pondok Tuan Guru Haji Mustafa dan Tuan Guru Abdul Aziz dalam kalangan pendokong PAS. Begitu juga Pondok Lubok Tapah dibawah Tuan Guru Haji Abdullah dan Pondok Sungai Durian, Kuala Krai dibawah Tuan Guru Abdul Rahman.
  19. Di Terengganu, TG haji Abdul Kadir Padang Midin, TG Haji Abdul Latif Besut, TG Haji Abbas Tok Jiring, Haji Zainal Abidin Sura, TG Mat Shafie Losong, TG Haji Umar Kampung Raja, TG Haji Shafie Durian Guling telah menyertai PAS.
  20. Jaringan Pondok seringkali dikaitkan dengan [1] hubungan perkahwinan antara keluarga para guru dan [2] hubungan guru dengan murid [3] hubungan Manhaj ASWJ, Asya’irah-Maturidiyyah, feqah Mazhab Shafie dan tasawuf Imam al Junaid al Baghdadi-Imam al Ghazali [4] mazhab politik ialah PAS.
  21. Parti Politik Islam perjuangan untuk umat termasuk bukan Islam. Maka, ia tidak boleh terikat dengan aliran tertentu. Secara perlembagaannya, PAS diikat dengan merujuk al Quran, as Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qiyas. Walaupun elemen Ijma’ Ulama dan Qiyas dikatakan kurang dilazimi, secara hakikatnya ia masih wujud dalam perlembagaan. Dalam politik, kepelbagaian di luar konteks parti politik dan perbezaan aliran boleh memusnahkan politik umat Islam. Maka, pertembungan mestilah dalam konteks parti politik dan diselesaikan oleh Majlis Syura Ulama.
  22. Kita tidak nafi usaha baik organisasi baru seperti NA’ AM dan Ruwaq Jawi yang cuba memisahkan antara pengajian ilmu dengan politik kepartian. Usaha ini bukannya baru. Percayalah penubuhan  sesebuah organisasi baru tidak menyelesaikan masalah sebaliknya ia menambah ruang mewujudkan perpecahan dalam politik umat Islam. Lebih teruk, kelak berlaku pertembungan sesama sendiri dalam organisasi. Inilah yang berlaku dalam Jemaah Tabligh (antara Amir vs Syura Alami) dan Madrasah Darul Ulum Deoband.
  23. Kita risau melihat organisasi berasaskan pengajian ilmu sendiri akan menjadi organisasi berpolitik dan berpihak yang membentuk pengaruh, kecenderungan dan proksi politik baru. Ia membetulkan kenyataan kata orang tua, ‘yang kata tidak bermazhab itu juga adalah satu mazhab’. Yang kata tidak berpolitik itu juga adalah berpolitik. Sememang secara perlembagaan dan zahirnya bukan kelompok politik tetapi kelompok mereka boleh berpihak.
  24. Kehadiran kelompok-kelompok baru berasaskan pengajian ilmu sahaja menyebabkan mereka tertumpu kepada literal teks bukannya konteks. Mereka melihat dari segi kitab tetapi tidak mampu mendepani realiti situasi dan dinamika ijtihad politik yang ‘pragmatik’. Perbalahan mereka juga di luar lingkungan adab boleh menjerumus agama ke lembah fitnah. Akhirnya, perseteruan antara aliran pemikiran dan kelompok politik berterusan.

 

Bagaimana Menghadapi Politik Kepartian?

 

  1. Dalam politik kepartian berasaskan Islam seperti PAS, kita tidak boleh meletakkan satu manhaj atau aliran kelompok tertentu dalam perlembagaan atau agenda perjuangan parti kerana sesebuah parti Islam mengikut realiti Malaysia dianggotai oleh pelbagai kelompok berasaskan fikrah atau manhaj yang tersendiri. Setiap kelompok hanya perlu mendominasi parti melalui persaingan dalaman tetapi tidak boleh menguasai parti. Majoriti anggota parti perlu diberi penerangan bukannya menjadi penghukum kepada sesiapa dalam parti Islam.
  2. Setiap kelompok dalam parti Islam perlu faham bahawa tujuan parti politik Islam ialah menegakkan pemerintahan Islam (Negara atau Masyarakat Islam), menerapkan perundangan Islam dan memakmurkan wilayah agar lebih berkebajikan, sejahtera dan maju di bawah keredhaan Allah SWT. Parti Islam untuk umat Islam dan rakyat daripada pelbagai kaum dan kelompok bukannya kelompok atau aliran tertentu sahaja.
  3. Kita melihat tokoh-tokoh ulama ASWJ yang tegas dalam bab manhaj aqidah Asya’irah seperti Arwah Tuan Guru Haji Salleh Sik masih kekal dalam PAS kerana mereka tahu kelompok ASWJ Manhaj Asya’irah masih mendominasi PAS berbanding kelompok lain seperti Syiah, Wahabi-Salafi dan lain-lain.

 

 

 

Bagaimana Para Tuan Guru Menyelesaikan Masalah?

  1. [1]Mereka tsiqah, wala’ dan akur keputusan Syura Ulama. [2] Pertemuan peribadi antara ulama secara individu (selesai sendiri masalah sesama mereka. Ini dilakukan oleh TG Nik Abdul Aziz dan TG Haji Abdullah Lubuk Tapah jika mereka bertentangan pandangan ) dan [3] tawaquf (mereka berehat) serta [4] mereka keluar daripada parti Islam.
  2. Ulama-ulama Alam Melayu, mereka bukan sekadar ulama tetapi para pejuang politik di kawasan masing-masing. Syeikh Wan Ahmad al Fatani dan Syeikh Daud al Fatani adalah pejuang politik.
  3. PRU Pertama Malaya pada tahun 1955 di kerusi Parlimen Krian, TG Ahmad Hussein dicabar oleh murid beliau Haji Sulaiman Palestin. Semasa pemilihan YDP PAS (belum didaftar) kali pertama, berlaku pertembungan antara TG Abdullah Fahim dengan TG Ahmad Fuad. Haji Ahmad Fuad menang. Ini menunjukkan pertembungan antara para ulama dalam politik kepartian adalah perkara biasa.

 

Pertembungan ASWJ vs Wahabi-Salafi Dalam PAS

  1. Kehadiran kaum muda, kelompok Islah, kelompok wahabi dan kelompok salafi dapat dikesan daripada awal penubuhan PAS lagi. Antara tokoh awal tokoh Islah dalam PAS ialah Ustaz Abu Bakar  al Asy’ari, Sheikh Ibrahim Aqibi (1952) dan Ustaz Ahmad Long.
  2. Tahun 1952, Dewan Ulama PAS dibawah Abdullah Fahim menganjurkan Perjumpaan Sekolah Sekolah Agama Rakyat untuk menyatukan kedua-dua aliran. Usaha ini menampakkan positif tetapi dikhianati dengan melaga-laga isu isu khilaf seperti tahlil dan lain-lain.
  3. Kemudian Ahmad Fuad menganjur satu muzakarah (1953) tetapi gagal kerana kaum muda tidak hadir.  Muzakarah menetapkan pendirian PAS adalah bermazhab dan memutuskan ketetapan terhadap 16 masalah khilafiah. Begitulah juga  satu lagi muzakarah dianjurkan oleh Ibrahim Aqibi tetapi tidak dihadiri oleh kaum tua. Penyatuan kedua-dua aliran dilihat gagal sehingga muncul zaman Dr Burhanuddin al Helmy.
  4. Dr Burhanuddin menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1956. Beliau merupakan tokoh islah dan kaum muda kerana pernah bersama Haji Wan Musa dan Haji Abbas Mohd Taha dalam isu talfiq pada tahun 1937 di Kelantan. Beliau dikatakan kembali kepada kelompok tradisionalisme setelah mengamalkan kembali tareqat. Timbalan YDP, Prof Zulkifli Muhammad pula mendapat tarbiah Ikhwan.
  5. Peralihan kepimpinan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat daripada TG Haji Husein Rahimi kepada Ustaz Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun 1968 dan kembalinya pelajar lulusan agama lepasan universiti luar negara yang diasuh oleh ‘tarbiah Ikhwan’ mengukuhkan lagi pemikiran salafi dalam PAS.
  6. Penyatuan kedua-dua aliran boleh berlaku disebabkan oleh:

a)      Faktor pemimpin. Dr Burhanuddin al Helmy sendiri mempunyai hubungan rapat dengan kelompok Islah dan kelompok tradisionalisme. Tulisan bertajuk, ‘Bagaimana Islam Berpolitik’ dan ‘Ideologi Politik Islam’ dilihat satu regalia untuk menyatukan semua puak dalam PAS.

b)      Bermazhab Syafie dan Asya’irah yang dianuti oleh majoriti anggota PAS mengendurkan radikalisme salafi-kaum islah dalam PAS.  Tokoh besar kaum Islah, Ustaz Abu Bakar Ashaari yang dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama Perlis dilihat semakin kurang radikal.

c)      Matlamat dan keutamaan kedua-dua kelompok ialah menegakkan masyarakat Islam dan perundangan Islam membolehkan kedua-dua meninggalkan perbezaan diantara mereka.

d)      Berpegang dan merujuk kepada sumber al Quran, As Sunnah, Ijma’ Ulamak dan Qiyas yang dijadikan hujah dan dalil mengukuhkan kesepakatan dan permuafakatan kedua-dua kelompok. Segala permasalahan dibawa ke dalam mesyuarat/muzakarah Dewan Ulama PAS untuk ditarjihkan.

  1. Al Banna menulis, ‘Sesungguhnya perselisihan faham umat Islam ini bukan lagi seperti perselisihan ahli falsafah dengan salafi dulu, Tiada guna lagi kita mencetuskan perselisihan faham tersebut. Tinggalkan perselisihan tersebut. Dan kembali kepada al Quran dan as Sunnah’.

  1. Perselisihan ‘kaum muda vs kaum tua’ mesti dihindari dan dihentikan. Perselisihan faham diantara kelompok Islam pada hari ini semakin ‘halus’ dan mengelirukan. Kita telah menghadapi era ‘Islam vs Sekularisme: Nasionalisme dan Materialisme’ dan ‘Islam vs Liberalisme dan Pluralisme’. Kini kita masuk era ‘Islam vs Islam’. Islamis vs Islamis maksudnya ialah semua mahu Islam tetapi perbezaan dari segi pelaksanaan dan pendekatan.

 

  1. Era ‘Islamis vs Islamis’  mengembalikan kita kepada zaman Khalifah Saidina Ali vs  Saidatina Aisyah-Talhah-Zubair. Zaman yang penuh fitnah yang mengelirukan dan mencelarukan pendirian politik umat Islam. Setiap kelompok mempunyai dalil dan hujah berdasarkan al Quran, as Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qiyas. Dalam kedua-dua pihak Islam vs Islam ini bertempur sesama sendiri, kelompok ‘musuh’ Islam bertepuk tangan dan mengukuhkan kuasa.

 

  1. Kesepakatan dan permuafakatan dengan musuh musuh Islam dalam politik demi kesejahteraan dan kebaikan rakyat secara keseluruhan dibenarkan. Ia satu strategi ampuh bagi gerakan Islam. Tetapi mesti bersyarat. Asasnya jangan segan dan malu mengemukakan hujah Islam. Jangan segan dan malu mempertahankan Islam dalam perbincangan dengan musuh-musuh Islam tersebut.

 

Politik Takfir

  1. Pada tahun 1963, kerajaan Pusat menahan ulama pondok pro PAS dibawah ISA. Antara ulamak tersebut ialah Haji Che Hassan, TG Mohd Nor Teliar (didakwa pencetus fenomena takfir), Ustaz Nik Abdullah Arsyad, TG Omar Daud dan Haji Abu Bakar. Mereka ditahan berikutan pengeluaran fatwa mengkafirkan orang Islam yang melantik orang kafir sebagai pemimpin mereka atau bersubahat dengan orang kafir.

 

  1. Haji Mohd Nor But dan Haji Mustafa Pasir Tumboh berada dalam PAS.

 

  1. PRU 1959, UMNO membawa ulama pondok seperti Haji Idris Alor Mengkudu, Haji Omar Langgar dan Haji Tajudin Melaka untuk membantu kempen.

 

  1. Haji Abbas Tok Jiring dan Haji Abdul Kadir menyertai UMNO Terengganu.

 

  1. PRU 1964, Haji Wan Abdul Latif Besut dan Haji Muhammad Kuala Besut  masuk UMNO. Haji Mohd Nor Teliar dan Haji Omar Daud masuk UMNO setelah dibebaskan tahanan ISA.  Che Hussein dan Nik Abdullah dalam pilihanraya walaupun masih dalam tahanan.

 

Kesimpulannya

  1. Pengajian ilmu dan politik kepartian mesti seiring sejalan. Bukannya bersifat terpisah antara kedua-duanya. Ia saling kuat memperkuat bukannya saling lemah-melemahkan.
  2. Secara tradisinya, politik kepartian tidak dapat dielak oleh ulama pondok.
  3. Pertembungan mesti diselesaikan melalui majlis syura dan muzakarah para ulama.

 

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...