Monday, November 30, 2020

Kenang-Kenangan Politik PAS-ABIM-IRC (S14)

 

BAB

CINTA ANWAR IBRAHIM MEKAR DALAM TAMAN UMNO

 

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada 29 Mac 1982 mencetuskan kegemparan dunia politik terutamanya kalangan anggota gerakan Islam. Gerakan Islam mengalami perpecahan yang teruk. Kemasukan Anwar Ibrahim dikatakan tertarik dengan keikhlasan Dr Mahathir dalam melaksanakan ‘Islam dari dalam kerajaan’. Anwar menyatakan sebab kemasukan beliau, ‘kerana kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Dato Seri Dr Mahathir Mohammad’. [1] Anwar mahu merealisasikan idealisme perjuangan Islam sebagai cara hidup dalam kerajaan. Pada pandangan Anwar, UMNO tiada ideologi yang kuat dan bergantung kepada siapa yang memimpinnya. Majlis Syura ABIM menolak pandangan Anwar sekalipun melepaskan Anwar daripada jawatan Presiden ABIM.

 

Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tetap membawa cita-cita ABIM dan tidak ada sama sekali berniat meninggalkan jemaah. Kemasukan beliau bersifat ijtihad fardi atau atas perhitungan sendiri untuk mengurangkan pertentangan antara kelompok Islamis dengan Nasionalis. Sheikh Azmi Ahmad menegaskan kemasukan Anwar perlu dilakukan secara kolektif bukannya perseorangan.

           

Pada peringkat awal, semua pemimpin ABIM menolak keinginan Anwar Ibrahim menyertai UMNO. Dalam satu mesyuarat, Kamarudin Mohd Nor dan Ustaz Niamat Yusuf membantah keras tindakan Anwar Ibrahim mahu menyertai UMNO. Anwar Ibrahim terus degil mahu menyertai UMNO. Dua orang tokoh yang dikatakan disegani oleh Anwar Ibrahim iaitu Ustaz Niamat Yusuf dan Ustaz Fadzil Nor gagal memujuk Anwar Ibrahim. Selama 6 jam, ustaz Fadzil Nor cuba menasihati Anwar tetapi gagal. Anwar Ibrahim dikatakan menjanjikan tempoh 6 bulan untuk beliau mengubah UMNO. Jika gagal, beliau akan masuk UMNO. Sanggup menjadi kucing kurap.[2]

 

Anwar Ibrahim dikatakan dipengaruhi oleh Almarhum Prof Dr Ismail Faruqi, yang datang ke Malaysia pada 1981 dan mengadakan rundingan dengan Dr Mahathir untuk membincangkan kemasukan Anwar ke dalam UMNO.[3] Anwar Ibrahim perlu dimasukkan dalam kabinet Dr Mahathir. Ada yang mendakwa Dr Mahathir mengemukakan beberapa syarat (dalam surat bertarikh 11 januari 1981) iaitu

1: ABIM mesti menghentikan semua hubungan dengan PAS atau parti politik lain; tidak boleh ada ahli dari mana-mana kumpulan yang lain, dan juga anggota ABIM tidak boleh bertanding atas tiket PAS.

2: ABIM tidak seharusnya mengecam Dasar Ekonomi Baru sebagai tidak Islamik tetapi sebaliknya harus dengan jelas dan terang menyokong usaha kerajaan untuk memperbaiki banyak orang Melayu / Islam dan bumiputra dalam bidang ekonomi dan pendidikan;

 

3: ABIM tidak boleh mengutuk dasar Pendidikan Melayu.

Ketika Anwar Ibrahim dalam UMNO, ABIM tidak berani mengutuk dan memaki UMNO-BN. ABIM bagaikan melutut kepada UMNO-BN. Pendekatan radikal terhadap UMNO dikendurkan. ABIM mula menjadi rakan pembangunan UMNO-BN. Pelbagai gagasan dikemukakan untuk melembutkan hubungan dengan UMNO-BN.



[1] Utusan Malaysia, 30 Mac 1982

[2] Video ceramah Ustaz Niamat Yusuf. Dalam cerita Ustaz Niamat Yusuf kelihatan sebak dan mahu menitis air mata. Itu suasana mesyuarat pada hari itu.

[3] Anwar Ibrahim bersama Almarhum Prof Ismail al Faruqi, Sheikh Taha Jabir Al-Elwani dan Dr A. Hamid Abu Sulaiman, Dr Jamal Barzinji, mengasaskan IIIT (The International Institute of Islamic Thought ) yang berpusat di Amerika Syarikat. Ia satu badan pemikir bagi menjadi jambatan antara Islam dengan Barat melalui jalan dialog peradaban. Bagi Haji Mohamad Sabu, IIIT pengamal mazhab ‘Islam Amerika’ iaitu Islam mengikut kehendak Barat dan Islam tanpa syariat dan Islam tanpa negara.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...