Saturday, November 28, 2020

KENANG-KENANGAN POLITIK PAS-IRC-ABIM (Siri 4)

 

BAB

FAKTOR KONFLIK DALAMAN PAS TAHUN 2008-2015

 

Menurut Mohamad Sabu, mantan Timbalan Presiden PAS dan Presiden Parti Amanah Negara, antara punca perpecahan PAS ialah

  1. Masalah label melabel di kalangan anggota dan pimpinan dalam PAS
  2. Penguasaan segelintir kumpulan khusus sebagai anggota badan eksekutif PAS dalam Majlis Syura Ulama
  3. Pengaruh dan kemasukan graduan Timur Tengah ke dalam PAS yang membawa balik pemikiran dari Mesir dan negara lain tanpa melihat realiti di Malaysia

 

Mohamad Sabu juga ditanya, adakah kepimpinan Haji Hadi (punca ke IV perpecahan) juga menjadi punca perpecahan. Mohamad Sabu enggan menjawab dan ketawa sahaja.

Penulis bersetuju dengan pandangan (I) dan (II) Mohamad Sabu. Pandangan (III), pada pandangan penulis ia bukan sekadar masalah graduan pengajian Islam dari luar negara malah lebih luas lagi. Ia masalah sikap-akhlak lulusan pengajian agama dan ujian iman para agamawan akhir zaman. Penulis juga bersetuju corak kepimpinan Haji Hadi turut mempengaruhi perpecahan PAS disamping punca lain iaitu (V) campur tangan luar dalam politik dalaman PAS [DAP] dan (VI) agenda terancang kelompok tertentu dalam PAS.

Menurut YB Ir Khalid Samad pula, punca perpecahan dalaman PAS ialah

1.   ‘ketidak selesaan’ pimpinan utama PAS

2.   September 16 dan konsep UG

3.   menangani ‘masalah’ pemimpin dan ahli ‘terlalu’ pro-PR

 

Perpecahan dalaman PR memberi impak kepada pembangkang apabila kalah teruk dalam Pilihanraya Negeri Sarawak dan kalah dalam PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

 

Kelompok Pro-Pakatan terbahagi 3 iaitu kelompok aktivis PAS (Mat Sabu-Mahfuz-Salahudin), kelompok Madrasah Tarbiah Yahaya Othman (MARYO) dan kelompok IRC-JIM-IKRAM. Kelompok Pro-Pakatan dikatakan taksub dan wala’ kepada Anwar Ibrahim. Semua pandangan dan tindakan Anwar Ibrahim adalah benar belaka. Lihat sahaja kenyataan dan tulisan Dr. Dzukefly Ahmad. Dr. Dzulkefly Ahmad menyokong Konsensus Nasional [Harakah, 3-6 Februari 2014]. Dr. Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat merangkap Pengarah Dewan Penyelidikan PAS Pusat juga menulis beberapa artikel untuk menunjukkan beliau bersungguh-sungguh menyokong Langkah Kajang sedangkan Langkah Kajang adalah projek kospirasi menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim. Antara artikel tersebut ialah ‘Meniti Liku-liku Rencana Kajang’ [Suara Keadilan, edisi 161, 18 Februari 2014] dan ‘Mengapa saya menyokong Rencana Kajang’ [Suara Keadilan, edisi 160, 11 Februari 2014].

 

Perundangan Islam Batu Penghalang

 

Penulis bersetuju dengan pandangan Dr Dzulkefly Ahmad, setiap individu dan kumpulan mempunyai pandangan atau kefahaman yang berbeza tentang konsep dan kaedah pelaksanaan perundangan Islam. Menurut Dr. Dzulkefly Ahmad, hukum hudud itu wajib, kaedah pelaksanaan  adalah ijtihad manusia. Kekhuatiran tentang aspek teknikal, substantif atau prosedur perundangan yang dikhuatiri berlaku ketidak adilan kerana ia diadili oleh manusia yang tidak maksum dalam menjalankan hukuman Allah. Nanti boleh membawa fitnah kepada Islam.

 

Khalid Samad pula mempersoalkan pendirian Presiden PAS dalam isu hudud. Abdul Hadi membalas hujah dengan menyatakan bahawa pembentangan Rang Undang-undang Persendirian  berkaitan Hudud tidak perlu dimaklumkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat sebagaimana beliau pernah mengemukakan usul tersebut pada tahun 1996 dengan hanya memaklum secara peribadi kepada Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS ketika itu [Berita Harian, 19 April 2015. Sinar Harian, 19 April 2015].

 

Beberapa sebab ketidak-setujuan Dr. Dzulkefly Ahmad terhadap Perundangan Islam di Kelantan:

  1. Tentang fiqh keutamaan. Keutamaan kepada demokrasi yang subur dimana asasnya ialah berfungsi institusi semak dan imbang dalam pentadbiran awam. Lebih utama pengamalan tatakelola kerajaan yang baik berbanding penerapan perundangan Islam.
  2. Maqasid Syariah. Tujuan undang-undang Islam itu lebih utama dan paling atas mengatasi tujuan yang lain adalah mencapai keadilan dan keharmonian kepada semua.
  3. Persoalan pelaksanaan hukum. Proses taqnin atau legislatif disamping pelbagai aspek undang-undang substantif bukan sahaja tentang tafsiran nas. Mesti diambil dari segi undang-undang keterangan, undang-undang pentadbiran dan undang-undang tatacara. Kelantan belum bersedia dalam pelaksanaan Qanun Jina’iy.
  4. Bersetuju dengan mengambil pendekatan manhaj al-usuliyyah yang melihat bukan sahaja aspek nas (fiqh an nusus) tetapi mesti dipadankan dengan aspek pelaksanaan (fiqh at tadbiq) dengan mengambil kira suasana realiti (fiqh al waqi’). Kesan pelaksanaan mesti dihitung ke atas  umat dan negara. Itu dalam aspek maqasid syariah sebagai ma’alat al af’al (kesan dan risiko tindakan).

 

Berbalik kepada tajuk. Perundangan Islam menjadi ‘duri dalam daging’ hubungan PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat. Isu ini menjadi faktor semerta hubungan PAS dengan DAP terputus.

 

Kronologi peristiwa seperti dibawah.

18 Mac 2015 – Pembentangan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1993 (pindaan 2015)

 

19 Mac 2015 – Mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP Perak memutuskan untuk mengecam tindakan UMNO dan PAS atas pembentangan EKJS 1993.

 

20 Mac 2015 – Pemuda DAP Perak memutuskan hubungan dengan Dewan Pemuda PAS Perak selaras dengan keputusan Majlis Eksekutif Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang memutuskan hubungan dengan Dewan Pemuda PAS Pusat.

 

20 Mac 2015 – Lim Guan Eng sifatkan PAS pengkhianat. Beliau berkata, “isunya bukan semata-mata mengenai undang-undang hudud tetapi ia mengenai kepercayaan dan kejujuran beberapa pemimpin PAS. Adakah DAP boleh bekerjasama lagi dengan mereka sedangkan mereka kini sudah tiada beza dengan pemimpin UMNO?

 

20 Mac 2015 – Abdul Hadi Awang menyatakan, “kerjasama kita dalam pakatan pembangkang adalah kerjasama yang tidak membabitkan dasar parti. Tidak membabitkan halal dan haram bagi orang Islam. Sebagaimana kita tidak sentuh dalam perkara agama mereka, itu hak mereka, mereka juga tidak perlu menyentuh hal agama kita sendiri”. Hudud sendiri telah lama diperjuangkan oleh PAS. Pada tahun 1996/1997, PAS pernah membawa usul persendirian berkenaan hukum hudud di Parlimen.[1]

 

PASCA PILIHAN RAYA TAHUN 2008

 

Selepas Pilihan Raya Umum ke 12 pada 8 Mac 2008, berlaku kekeliruan dan pencanggahan pandangan di Selangor dan Perak. PAS dengan UMNO mengadakan beberapa pertemuan sulit [3 kali][2] yang akhirnya terbongkar dan mencetuskan perbalahan dalam PAS. Mursyidul Aam, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan tegas menolak muzakarah PAS dengan UMNO yang dikatakan perangkap untuk menyelamat UMNO.[3]

 

Penulis melihat perbezaan pandangan ini lumrah dan ia sekitar perbezaan ijtihad dalam memahami konteks. Cuma ia bagaikan diapi-apikan oleh pihak tertentu yang berada dikeliling Mursyidul Aam dan Presiden PAS.

 

Pada 9 Mac 2008, Mesyuarat Dewan Harian PAS telah bertemu di Kelantan telah bersetuju bahawa PAS akan hanya minta 3 jawatan exco di Selangor dan PKR akan memegang jawatan MB. Selepas mesyuarat tersebut, Ustaz Nasharudin Mat Isa mendakwa beliau dan Mustafa Ali ditugaskan ke Selangor dan ada ke Perak untuk bertemu beberapa pihak di sana.

 

Pada 10 Mac 2008, berlaku kekecohan di Pejabat Agung Jalan Raja Laut. Rombongan PAS akan bertemu dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mengikut satu versi, Setiausaha Agung PAS, Dato Kamarudin Jaafar telah memaklumkan kepada Khalid Samad bahawa rombongan PAS akan bertemu dengan wakil UMNO. Khalid Samad (bersama kelompok progresif) bergegas cuba menghalang pertemuan tersebut. Setelah berbincang, mereka bersetuju Mustafa Ali mengantikan Abdul Hadi Awang, Khalid Samad mengantikan Dato Hassan Ali.

 

PAS dikatakan telah menyatakan sokongan kepada calon Menteri Besar Selangor daripada PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim. UMNO menawarkan jawatan Menteri Besar Selangor kepada PAS jika PAS bekerjasama dengan UMNO. Penglibatan Khalid Samad dalam pertemuan dengan UMNO menyebabkan sukar menghasilkan keputusan yang memberangsangkan.[4]

 

Pada 24 April 2008, Majlis Syura Ulamak PAS merestui Presiden PAS, Timbalan Presiden PAS dan Setiausaha Agung PAS bertemu dan berbincang dengan mana-mana pihak bagi mengukuhkan Islam-Melayu, ‘keperluan untuk PAS mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak (termasuk  UMNO) dalam usaha mengukuhkan Islam-Melayu’.

 

Pada 21 Julai 2008, wartawan melaporkan pertemuan UMNO dengan PAS secara senyap dan menyatakan Presiden PAS berhak mengadakan pertemuan dengan UMNO tanpa merujuk kepada Pakatan Rakyat [Berita Harian, 21 Julai 2008]. Perkara ini telah membangkitkan kemarahan Mursyidul Aam PAS, dengan satu kenyataan balas mengatakan ia adalah perangkap UMNO dan satu pengkhianatan kepada PR.[5]

 

MSU telah berbincang dan memutuskan istilah Muzakarah ditukarkan kepada Muqabalah (pertemuan)  antara PAS dengan UMNO untuk  menyelesaikan masalah umat Islam dan rakyat Malaysia.[6]

 

Setelah mesyuarat selama 5 jam, mesyuarat bersama MSU dan Jawatankuasa PAS Pusat pada 31 Julai 2008 memutuskan [1] tidak akan ada kerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan, [2] pertemuan boleh dan akan dilakukan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira siapa mereka dan [3] PAS komited dengan Pakatan Rakyat dan akan bergiat aktif dan positif mempertahankannya.

 

Dalam isu Muzakarah, penulis berpandangan bahawa pertemuan (perundingan) politik adalah perkara biasa. Dalam kes ini, ia mungkin pertemuan peribadi[7] atau utusan Presiden PAS untuk bertemu dengan pihak lawan demi kepentingan Islam dan umat Islam. Permasalahan yang timbul, media massa, kelompok yang tergila-gila mahu jawatan Menteri Besar[8] dan kelompok tertentu telah mempolitikkan perkara ini untuk menjatuhkan kelompok yang lain dalam persaingan politik dalaman PAS. Pertemuan sebegini tidak wajar orang awam dan ahli biasa PAS mengetahuinya kerana menghasilkan fitnah yang  besar.

 

KERAJAAN PERPADUAN (UG)

Abdul Hadi Awang menyatakan PAS menjadikan syariat Islam sebagai asas penyatuan ummah (Harakah, 14-17 Disember 2015) dan Mursyidul Aam PAS Keempat, Tuan Guru Hashim Jasin menegaskan Islam mesti memimpin. Kerjasama politik mesti dibina berdasarkan Islam, dipimpin oleh Islam dan mesti menerima Islam sebagai pemimpin. Kerjasama politik mestilah berasaskan hablullah (tali Allah) yakni Islam (Harakah, 30 oktober 2016). Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS menegaskan UMNO perlu buktikan pelaksanaan pemerintahan atau pentadbiran menurut syarak, barulah ada penyatuan antara PAS dengan UMNO (SH, 15 Disember 2015).

 

Kerajaan Perpaduan (UG) dipercayai hasil idea yang dilontar oleh Dato Kamaruddin Jaafar, SUA PAS ketika itu yang dibincangkan dalam permukiman dalaman pemimpin PAS dan kemudiannya dilontarkan oleh Presiden PAS dikhalayak awam sebagai respon dan alternatif cadangan tidak berakhlak, tidak bermoral dan tidak beretika Dato Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan Rancangan 16 September dimana ahli parlimen pembangkang akan melompat masuk ke dalam parti kerajaan. Adakah UG satu perangkap kepada Presiden PAS?.

 

Projek genius Anwar Ibrahim, Projek 16 September adalah sebuah projek yang mendakwa 30 orang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan Sarawak melompat menyertai Pakatan Rakyat. Isu 16 September menyebabkan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi juga mengalami tekanan daripada Tan Sri Muhiyidin Yassin dan UMNO Johor.  Formula 16 September ialah 83 + 30 = 113 kerusi PR manakala kerusi BN akan berkurangan, 139-30 = 109. Gimik ini membawa kegemparan kepada BN. Anggota parlimen BN (41 orang) telah dibawa melancong ke luar negara (Taiwan) dan dikejar oleh beberapa ahli parlimen daripada PKR.

 

Kelompok pro-Dasar PAS atau ulama tidak bersetuju dengan cadangan lompat parti yang dicanang oleh Anwar Ibrahim. Pada 10 September 2008, Mustafa Ali mengatakan bahawa Projek 16 September akan gagal. Kenyataan beliau penuh kontroversi, ‘kita tengok, siapa betul, saya ke yang betul atau Dato Seri Anwar Ibrahim yang betul’. Punca kegagalannya disebabkan faktor politik dan teknikal. Dari segi faktor politik, belum pernah berlaku kejadian seumpama ini. Dari segi faktor teknikal, perubahan berlaku jika ada Perdana Menteri letak jawatan atau mesti ada satu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen. Formula kegagalan 16 September seperti dinyatakan oleh Mustafa Ali, 140-30= 110 kerusi BN, pembangkang ada 112 kerusi. Jika ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menyertai BN, keputusannya seri ialah 111-111.

 

Pandangan peribadi Mustafa Ali, Pesuruh Jaya PAS Terengganu dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat membangkitkan kemarahan Mursyidul Aam PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat walaupun terbukti kenyataan atau pandangan Mustafa Ali itu benar dan betul. Pada 18 September 2008, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ceramahnya di Kota Sarang Semut, Kedah menyatakan PAS akan menyertai perubahan kerajaan dengan syarat kerajaan baru dipandu oleh Islam dan orang Islam. Dengan maknanya, penting majoriti Melayu-Islam dalam sesebuah kerajaan ditubuhkan.

 

Reaksi Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS ketika itu, ‘selama 30 tahun saya berkempen minta orang sertai PAS, ajak orang berpakat sokong PAS, itu saya tahu. Nak suruh orang lompat parti, sukar untuk orang terima’. ‘..pandangan saya hanyalah rumours[9]

 

Kerajaan Perpaduan[10] dikatakan mula dipolemikkan setelah akhbar Siasah edisi 1-7 Mac 2009 menyiarkan wawancara Abdul Hadi Awang dengan tajuk ‘Negara Tanpa Pembangkang’.[11] Menurut Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir, idea UG bermula semasa Abdul Hadi Awang berbahas usul menjunjung kasih ucapan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung di Parlimen diikuti dengan wawancara akhbar Siasah dan laman web Malaysian Insider. Ada yang berpendapat cadangan ini dikemukakan jauh lebih awal didalam ceramah kemenangan Pakatan Rakyat di Stadium Melawati pada bulan April 2008.

 

Ramai ahli PAS dan pro-Pakatan Rakyat menganggap bahawa UG adalah kerjasama atau bergabung dengan UMNO kesinambungan isu Muzakarah. Kenyataan ini hanya fitnah bagi PAS dan ‘alat’ membunuh karekter pemimpin PAS tertentu termasuklah Abdul Hadi Awang sendiri. UG bukan Kerajaan Campuran atau  bergabung dengan UMNO-BN. Idea UG ialah kerajaan tanpa pembangkang hasil gabungan semua parti di Malaysia terutamanya BN dan PR. Menurut Khalid Samad, UG ialah sebagai maksud DS Presiden ialah kerajaan gabungan di antara BN dan PR. Gabungan ini akan menjadikan semua pihak sebahagian dari kerajaan yang memerintah dan tiada pembangkang buat seketika. Dengan itu persengketaan dapat dielak dan semua boleh tumpu kepada persoalan menghadapi dan mengatasi kegawatan ekonomi yang sedang menimpa.[12] Cadangan ini dikemukakan hasil dari suasana politik yang semakin tegang dan kegawatan ekonomi yang sedang menimpa. DS Presiden khuatir persengketaan politik yang sedang dialami sekarang ini, disebabkan persaingan yang begitu sengit di antara PR dan BN akan menyebabkan ketegangan semakin meruncing sehingga menjerumuskan negara ini ke dalam suatu suasana yang tidak terkawal.

 

Kes Muzakarah dan UG menyebabkan PAS terbahagi kepada dua kem iaitu kem Pro-Presiden (Erbakan) dengan kem Pro-Mursyidul Aam (Erdogan).[13] Berlaku fitnah ke atas Presiden PAS iaitu ‘ingin bawa PAS bergabung dengan UMNO’.

 

Dr. Dzulkefly Ahmad menolak gagasan UG kerana

  1. Dalam landskap politik negara nampak kecenderungan amalan ala westminster ke arah sistem dua parti iaitu Barisan vs Pakatan. Mana-mana yang bertentangan dengannya dilihat melawan arus.
  2. Tidak tepat dari segi ilmu fiqh. Mengambil kira kepelbagaian kemaslahatan untuk mengatasi kemelut dan krisis mendepani negara dan bermatlamatkan kepentingan rakyat.
  3. Tajribah (pengalaman) pahit PAS dengan UMNO-BN

 

Pada 21 April 2009, Presiden PAS telah menarik balik cadangan UG kerana ahli-ahli PAS belum memahaminya. Hasil pertemuan 8 mata, Mursyidul Aam PAS (Nik Abdul Aziz), Haron Din, Anwar Ibrahim dan Abdul Hadi Awang, barulah Mursyidul Aam menerima konsep kerajaan perpaduan. Malangnya, Harakahdaily melaporkan Nik Abdul Aziz menegaskan PAS sama sekali tidak setuju cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan bersama UMNO.[14]

 

Dalam sidang media pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55 di Shah Alam pada 5 Jun 2009, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mempertahankan idea UG yang dikemukakan oleh beliau pada Februari 2009 sebagai langkah terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik negara walaupun pandangan beliau ditolak oleh Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa yang menganggapnya sebagai tidak menguntungkan PAS.

 

Pada 6 Jun 2009, Presiden PAS pula mendakwa idea ini telah dikemukakan dan dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR), tetapi pemimpin PKR dan DAP menafikan diluar mesyuarat. Pada 7 Jun 2009, Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menyatakan keterbukaan Umno terhadap cadangan Presiden PAS itu. Sebenarnya, TGHH telah menegaskan bahawa beliau telah menarik balik cadangan UG dan isu tidak perlu timbul setelah Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Dato Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang baru perlulah bertanya kembali kepada DAP dan PKR sama ada mereka setuju dengan UG atau tidak.

Sejak 9 Jun 2009, Mursyidul Aam, Nik Abdul Aziz Nik Mat menyuruh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menyertai Umno. Pada 10 Jun 2009, Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar telah menjelaskan bagi pihak PAS Pusat bahawa tiada sebarang kerjasama antara PAS dan Umno.

 

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Harun Taib pada 18 Jun 2009 pula memperjelaskan UG ialah perpaduan semua parti termasuk PKR dan DAP untuk memerintah, bukannya perpaduan PAS-Umno. Keadaan bertambah hangat apabila 10 Ahli Parlimen PAS[15] pada 10 Jun 2009 bersepakat menolak cadangan UG tersebut.[16]

 

Pada 19 Jun 2009, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengadakan pertemuan dengan Dato' Dr Haron Din (Timbalan Mursyidul Am PAS), Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin (Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS) dan Ustaz Ahmad Awang (Ahli Majlis Syura Ulamak PAS merangkap Pesuruhjaya PAS Perak) di Rumah Sri Kelantan, Jalan Stonor, Kuala Lumpur kerana membincangkan isu kerajaan perpaduan (UG). Dalam pertemuan ini, Mursyidul Am PAS itu telah mengarahkan supaya isu UG ditamatkan kerana ia telah dimanipulasikan oleh media dalam suasana Pilihan Raya Kecil Manek Urai yang akan berlangsung pada 14 Julai 2009.

 

Pada 22 Jun 2009, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah bertemu dengan Jawatankuasa Harian PAS Pusat untuk menetapkan pendirian tersebut. Pada hari yang sama, Majlis Pimpinan PR bertemu di Bangunan Parlimen untuk mengambil pendirian serupa, diikuti oleh keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 28 Oktober 2009 untuk menutup isu UG tersebut.[17]

 

Anehnya, cadangan serupa dengan Abdul Hadi Awang dari DAP dan Anwar Ibrahim tidak dibantah bahkan disokong dengan hujah bergeliga daripada tokoh-tokoh kelompok progresif dalam PAS. Dr. Dzulkefly Ahmad dan Khalid Samad umpamanya dengan keras menyokong idea-idea tokoh di atas. Pada 26 Januari 2014, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencadangkan kerajaan Konsensus Nasional melibatkan PR dan BN dan manakala DAP dengan projek Selamatkan Malaysia dan Kerajaan Campuran antara PR dengan BN yang dicadang oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada 23 Mac 2015.

 

Lim Kit Siang menuduh Abdul Hadi Awang menolak Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia jika memenangi PRU ke 13. DAP juga menuduh PAS berunding secara sulit untuk melantik Tengku Razaleigh sebagai Perdana Menteri Malaysia bukannya Anwar Ibrahim. Dato Mustafa Ali, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat telah menempelak DAP dengan mengatakan DAP dan PKR terlebih dahulu berunding dengan Ku Li. Lim Kit Siang telah berbohong. Datuk Mustafa Ali berkata, PAS dan PKR sepakat memilih Ahli Parlimen Gua Musang itu dengan memberi tempoh menerajui tampuk pemerintahan negara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun sebagai Perdana Menteri sebelum diserahkan kepada Anwar Ibrahim.

 

Keputusan itu dibuat dalam perjumpaan antara kepemimpinan tertinggi Pas dan PKR di sebuah hotel di ibu negara beberapa bulan sebelum PRU-13. Dalam perbincangan itu, Pas diwakili oleh bekas Mursyidul Amnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; timbalannya yang kini Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; bekas timbalannya, Mohamad Sabu; Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Dr. Syamsuri Mokhtar dan Mustafa Ali sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS. PKR pula diwakili Anwar; Setiausaha Agung parti itu, Datuk Saifuddin Nasution serta dua orang lagi pemimpinnya, Datuk Johari Abdul dan Dr. Abdul Rahim Ghouse.

 

            Ku Li  bersetuju menerima tawaran untuk menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri sekali gus menyertai pakatan pembangkang. Keutamaan diberi kepada Tengku Razaleigh sebagai Perdana Menteri berdasarkan beberapa faktor termasuk ketokohan, pengalaman yang luas dan prestasi cemerlang dalam politik selain menghormatinya sebagai pemimpin lebih berusia daripada Anwar. Tetapi rancangan ini gagal.

 

LANGKAH KAJANG DAN PELANTIKKAN MENTERI BESAR SELANGOR

 

Sebagaimana projek 16 September, cadangan pakar strategi PKR yang genius ini bukannya memecah-belahkan PKR tetapi memecah-belahkan PAS. Inilah kehebatan pakar strategi PKR. Strategi kemenangan pilihan raya dan kekuasaan cuba mengatasi persoalan pahala-dosa dan syurga-akhirat sehingga mengetepikan amanah yang ditentukan oleh Allah dan mengorbankan mandat kuasa yang diberi oleh rakyat.

 

1.      Langkah Kajang

Krisis dalaman Pakatan Rakyat(PR) berpunca daripada krisis dalaman PAS, Langkah Kajang dan campurtangan DAP dalam urusan kepimpinan PAS.

 

Menurut Lim Sian See, PR berkrisis disebabkan oleh

1)         tiada keputusan konsensus pakatan dalam kes Langkah Kajang. PAS tidak bersetuju dan tidak dibawa berunding.

2)         fitnah terhadap bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

3)         PAS percaya PKR & DAP telah ‘mencuri’ 2 orang ADUN PAS.

4)         PAS percaya PKR & DAP telah mungkir janji & tidak menghormati keputusan konsensus untuk membenarkan pas melaksanakan kerajaan islam serta hudud.

 

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli telah mengemukakan projek ‘Kajang Move’ atau Langkah Kajang yang bertujuan menjadikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

 

Pada 27 Januari 2014, wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kajang bagi memberi laluan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim bertanding pada PRK kawasan itu.

 

Bagaimanapun, hasrat Anwar terbantut setelah gagal menjadi calon kerusi DUN Kajang selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas tuduhan liwat 2.0. Sebagai ganti, Presiden PKR yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan untuk kerusi itu.

 

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, mewakili Kerajaan Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan persekutuan pada 26 Februari untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang tertangguh sejak 2008. Tindakan itu mengecewakan pimpinan PKR yang mendakwa Abdul Khalid tidak membincangkan mengenai perkara tersebut dengan mereka.

Pada 26 Jun 2014, Khalid Ibrahim gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor dalam pemilihan parti apabila tewas kepada bekas anggota Parlimen Kapar, S.Manikavasagam.

 

Pada 21 Julai 2014, PKR mengumumkan nama Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Khalid Ibrahim. Khalid Ibrahim dalam kenyataan media berkata walaupun menghormati keputusan PKR yang mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai penggantinya, namun segala tatacara pelantikan perlu dibuat mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Khalid Ibrahim berkata sehingga proses tersebut berlaku dan selesai, beliau akan terus menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar[22 Julai 2014].

 

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor atas alasan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat [25 Julai 2014].

 

Pada 1 Ogos 2014, Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyuarakan sokongan penuh parti itu terhadap cadangan meletakkan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

 

Dalam usaha menurunkan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution mendedahkan nota setebal lebih 91 muka surat[18] mengenai dakwaan salah laku Khalid Ibrahim seperti isu penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor kepada Eco World dan projek pembinaan rumah mampu milik di Sungai Sering, Ukay Perdana [4 Ogos 2014]. Pada 5 Ogos 2014, Lembaga Disiplin PKR hantar surat tunjuk sebab kepada Khalid Ibrahim berhubung keengganannya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Khalid Ibrahim membalas surat tunjuk sebab [6 Ogos 2014]. PKR memecat Abdul Khalid daripada parti berkuatkuasa serta-merta [9 Ogos 2014]. Khalid Ibrahim dalam kenyataan media kemudian memberitahu bahawa beliau menerima keputusan PKR untuk memecatnya dari parti walaupun beliau mendakwa tindakan itu salah dan cacat dari segi undang-undang. Khalid Ibrahim memberitahu pemberita bahawa beliau akan meneruskan tugasannya seperti biasa sehingga mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor diadakan pada 11 Ogos 2014.

Pada 8 Ogos 2014, MSU menolak cadangan PKR untuk melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru. Pihak PKR dan DAP mula bermain isu gender dengan menyatakan PAS menolak Wan Azizah disebabkan beliau hanyalah seorang wanita. TGHH menolak tuduhan tersebut. Ia bukan persoalan gender atau usia, ia adalah persoalan (syarat) kelayakan seseorang menjadi pemimpin (khasnya jawatan Menteri Besar Selangor).

Pada 11 Ogos 2014, Khalid Ibrahim menghadap Sultan Selangor bagi memaklumkan pemecatannya daripada PKR selain membincangkan kemelut jawatan Menteri Besar. Dalam sidang media khas kemudiannya Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa beliau telah mendapat perkenan Sultan Selangor untuk terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Menteri Besar itu turut menyarankan supaya anggota Exco yang tidak menyokong kepimpinan beliau supaya meletak jawatan. Beliau juga berkata akan mengadakan pertemuan dengan barisan exco kerajaan negeri secara individu bagi mengetahui sokongan dan pendirian mereka terhadap kepimpinan beliau.

Empat anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada PAS berkata akan terus berkhidmat dibawah pentadbiran Khalid Ibrahim seperti yang diarahkan pucuk pimpinan parti itu [12 Ogos 2015]. Manakala enam anggota Exco daripada DAP dan PKR dalam kenyataan bersama berkata mereka akan terus menjalankan tugas masing-masing tetapi menegaskan tidak akan berjumpa dengan Khalid Ibrahim kecuali pada mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Selain itu, keenam-enam exco tersebut dilaporkan berkata dalam urusan melibatkan mereka, kedudukan dan fungsi Abdul Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang menteri besar daripada Pakatan Rakyat dilantik. Mereka juga berkata Khalid Ibrahim dan MMKN tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian.

Pada 12 Ogos 2014, Khalid Ibrahim mengumumkan telah menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi memohon perkenan untuk memecat enam anggota Exco kerajaan negeri daripada DAP dan PKR yang tidak menyokong pentadbirannya. Keenam-enam Exco terbabit bagaimanapun bertekad untuk datang ke pejabat masing-masing di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam esok kerana menganggap pemecatan itu tidak sah berikutan belum mendapat perkenan Sultan Selangor.

Abdul Khalid mengumumkan pemecatan lima anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada DAP dan PKR dibuat secara sah dan mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkuat kuasa pada 12 Ogos, Abdul Khalid turut menunjukkan surat balasan yang diterima beliau [13 Ogos 2014]. Sementara itu surat pemecatan Exco PKR, Rodziah Ismail masih belum dihantar kerana ADUN Batu Tiga bercuti di luar nrgara. Jumlah korum yang menghadiri mesyuarat MMKN memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2)(b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai empat anggota MMKN untuk mentadbir negeri secara sah.

Abdul Khalid menyatakan bahawa tindakan anggota-anggota Exco terbabit mengeluarkan kenyataan untuk tidak bekerjasama adalah bercanggah dengan 10 Akujanji dan Sumpah Kesetiaan yang dilafazkan ketika mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Pelantikan Menteri Besar Selangor.

‘saya ucapkan terima kasih kepada semua pemimpin yang berucap menyatakan sedia berdiri teguh di belakang saya tapi apa yang saya bimbang apabila saya pandang ke belakang, tidak ada orang’- Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Kemelut dalaman PKR membawa kepada pemecatan Abdul Khalid daripada parti itu pada 9 Ogos 2014 kerana mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat yang mencalonkan Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar yang baharu.

Abdul Khalid menerima pelbagai tekanan untuk menjelaskan isu berkaitan elaun baharu menteri besar; kenaikan cukai bagi lesen perniagaan; isu pinjaman beliau dengan Bank Islam dan cadangan pembinaan Lebuhraya  Kinrara-Damansara (Kidex). Beliau akur mahu berundur tetapi hasratnya terbantut apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguh untuk menerima peletakan jawatannya sehingga pelantikan baharu ditentukan pada 11 Ogos 2014.

Kehadiran empat EXCO Kerajaan Selangor dalam kalangan wakil PAS dalam Mesyuarat Mingguan EXCO pada 13 Ogos 2014 bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bagi mempertahankan Kerajaan Selangor daripada tumbang. PAS masih menganggap ia Kerajaan Pakatan Rakyat.

Kemelut dalaman PKR ini mencetuskan pengolakkan dalam Pakatan Rakyat  apabila empat anggota Exco kerajaan negeri daripada PAS digelar pengkhianat oleh DAP kerana masih bersama-sama Abdul Khalid dalam menjalankan pentadbiran negeri sedangkan enam lagi anggota Exco kerajaan negeri daripada DAP dan PKR telah meletak jawatan.

Pada 14 Ogos 2014, Datin Seri Wan Azizah telah menyatakan beliau telah mendapat sokongan 30 ADUN dalam DUN Selangor untuk melantik beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang baru. Ia turut disokong 2 ADUN PAS iaitu YB Ir. Saari Sungip (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib). Sokongan dua ADUN ini mencetuskan keributan dalam PAS kerana kedua-dua ADUN mengingkari arahan jemaah(Majlis Syura Ulama) yang menyokong kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim. Pada hari yang sama Lujnah Politik PAS bersidang menentu agenda dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos 2014. Nik Abdul Aziz Nik Mat telah membidas kedua-dua ADUN itu, ‘kalau dia nak keluar parti, itu dia punya pasal lah, ertinya dia akan berdepan dengan rakyat. Dulunya dia berkempen PAS, lepas itu parti lain pula, ini orang yang tidak siuman’.[19]

Pihak istana turut menerima tempias kemelut itu sehingga Sultan Sharafuddin menitahkan agar setiap parti dalam pakatan itu menghantar sekurang-kurangnya dua nama calon menteri besar baharu untuk pertimbangan baginda.

PKR dan DAP bagaimanapun tetap berdegil apabila hanya mempersembahkan nama Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal menteri besar baharu.

PAS sebaliknya akur dengan titah baginda dengan menghantar tiga nama calon menteri besar Selangor yang baharu tetapi nama Dr Wan Azizah tidak berada dalam senarai itu. Kedegilan PKR dan DAP menyebabkan Sultan Selangor amat dukacita dan krisis jawatan menteri besar itu menurut baginda, telah membuka mata dan hati serta pandangan baginda terhadap situasi politik Selangor.[20]

Majlis Syura Ulama (MSU) telah mengumumkan bahawa MSU menyokong kepimpinan Khalid Ibrahim. Ia seakan-akan mengikat keputusan Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos 2014. Pada 17 Ogos 2014, Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan menghantar dua nama Presiden KEADILAN, Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail dan Mohamad Azmin Ali untuk diperkenankan oleh Sultan Selangor sebagai Menteri Besar Selangor.[21]

Abdul Khalid tetap komited menjalankan tugas-tugas terakhirnya sebagai menteri besar dan pada 12 September lepas, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor memeterai Perjanjian Utama penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.[22] Pada 23 September 2014, YB Mohamed Azmin Ali dilantik menjadi Menteri Besar Selangor yang baru.

 

Menurut Mohamad Abduh, Presiden PAS dituduh khianati PR kerana namakan calon MB daripada PAS. Mari amati kisah pengkhianatan.[23] Hakikatnya, pengkhianatan lebih awal bermula daripada 2 gerangan yang saling berkerjasama;

1)      2 pengkhianat daripada ADUN PAS yang melompat memberi sokongan kepada PKR. Ia memulakan kerosakan kepada kestabilan dalaman PAS.

2)      Pengkhianatan PKR terhadap setiakawan dengan PAS dalam PR apabila menerima pengkhianatan 2 ADUN PAS dengan mengiktiraf sokongan mereka kepada PKR.

 

Sebagaimana 2 ADUN itu memutuskan wala' dan kesetiaannya kepada presiden, begitu juga PKR telah memutuskan kesetiakawanannya dengan PAS.

 

Siapa pun yang menginsafi, dia akan memahami apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh presiden PAS apabila;

1)      Partinya dikhianati dari dalam oleh ahlinya sendiri.

Anda sedang melihat apa yang sedang bergolak di dalam PAS sekarang. Ia sememangnya bermula daripada kisah pengkhianatan 2 ADUN ini.

2)      Partinya dikhianati dari luar oleh rakan sendiri.

 

Anda juga sedang melihat -akibat pengkhianatan PKR- pergolakan dalam PR akibat PAS kehilangan taruhan kuasanya di dalam menentukan kelangsungan kerajaan TSKI yang Majlis Syura Ulama PAS putuskan untuk mempertahankannya.

Apa pilihan yang harus dilakukan presiden? Ada 2 pilihan;

1)      Terus bertindak drastik dan keras dengan mendorong parti PAS ke arah keluar daripada PR. Pengkhianatan, daripada sudut hukum, semestinya menjadi faktor utama pembatalan Tahaluf Siyasi.

2)      Bersikap dan bertindak lebih budiman dengan memberi peluang dan masa agar mampu memperbaiki keadaan dan memulihkan dalaman PAS dan hubungan dengan PKR dan PR.

 

Presiden telah memilih pilihan kedua.

Tindakan itu telah menerima pujian awam apabila PAS melalui mesyuarat 17/8/14, memutuskan bersetuju memberikan sokongan sementara kepada TSKI (Ini pastinya dilihat bercanggah dengan keputusan asal MSU dan mengejutkan pihak yang menyokong TSKI) dan mengemukakan 2 nama calon MB baru, termasuk WAWI (yang juga dilihat bercanggah dengan keputusan asal MSU).

Lihat, alangkah berjiwa besarnya presiden. Beliau mampu mempengaruhi MSU agar menerima hakikat PR perlu diselamatkan.

Malang tak berbau!

Keputusan 'emas' itu hanya mampu bertahan 5 jam!

Petangnya, tanpa kehadiran presiden PAS, mesyuarat PR memutuskan hanya satu nama akan dipersembahkan kepada istana iaitu WAWI. Alasan penarikan diri Azmin Ali adalah menarik dan diterima.

Di sinilah bermula PAS dilabel sebagai parti U-Turn oleh BN.

Presiden kini berhadapan 2 kemelut yang tiba-tiba;

1)      Kegagalan wakil PAS ke mesyuarat PR yang diketuai Timbalan Presiden untuk mengembalikan semula keputusan penarikan diri Azmin Ali ke meja mesyuarat PAS. Menghantar hanya satu nama ke istana bukan sama sekali RUH keputusan mesyuarat PAS yang telah menetapkan 2 nama. Ia bermaksud presiden berhadapan situasi kritikan dalaman yang tajam akibat keputusan yang lemah dalam mesyuarat PR.

2)      Ketegangan dengan pihak istana yang memberi isyarat awal penolakan terhadap pencalonan WAWI. Tambahan pula, istana masih memberi sokongan padu kepada TSKI.

 

Menjaga hubungan dengan pihak istana adalah polisi PAS yang diterima masyarakat awam yang mahukan keharmonian di antara institusi kuasa diwujudkan.

Apa pula yang presiden harus lakukan selepas badai hanya mampu bertenang sekadar 5 jam?

Ya, presiden terus dengan sikap budiman. Beliau menerima hakikat bahawa kelemahan adalah daripada dalam partinya sendiri. Beliau segera ke Kota Bharu, bertemu Mursyidul Am untuk bergagah dengan nilai budimannya itu pada kekuatan suara putus daripada ketua MSU. Mursyidul Am telah memberi sokongan padu.

Keadaan mendung tidak berakhir dengan hari yang kembali cerah, malah kilat dan petir mula bersambaran. Tiba-tiba isu SD timbul.

13 ADUN PAS diasak oleh PKR agar menanda tangani SD menyokong WAWI sebagai Menteri Besar baru. Ia menimbulkan ketegangan dan kekeruhan yang bertambah di dalam dan di luar PAS.

Presiden mesti bertindak dan mestilah segera!

Mesyuarat PAS pada 25/8/14 keluar dengan keputusan baru yang mengejutkan. PAS memutuskan tidak menghantar sebarang nama dan menyerahkan kebijaksanaan memutuskan isu MB kepada pihak Istana.

Mesyuarat itu dilaporkan kemudiannya bahawa presiden menggunakan kata putusnya sendiri dan dilapor tidak menerima pandangan majoriti ahli.

Daripada pelabelan awal oleh BN, rakan PR mula turut menamakan PAS sebagai parti U-Turn!

PAS mula dipermainkan rakan-rakannya sendiri.

Kemudian, apabila istana membuat keputusan meminta setiap parti menghantar lebih 2 nama, PR terus gagal untuk bersatu.

Malah, kemelut dipanaskan dengan isu presiden PAS mengajak Azmin Ali belot terhadap partinya. Walaupun dinafikan, api itu enggan dipadamkan dan sengaja dibiarkan.

Sekarang, mari kita lihat;

1)      Adakah PKR melihat dan memuliakan sikap toleransi yang tinggi itu daripada presiden PAS? Tidak bukan?

2)      Adakah anda melihat sebarang usaha pengenduran daripada PKR di dalam mengurangkan ketegangan dengan PAS? Tidak bukan?

3)      Adakah tindakan budiman presiden PAS berjaya meredakan ketidakpuasan beberapa pemimpin PAS yang terus mengkritik beliau, malah terus memuja pengkhianatan 2 ADUN itu? Tidak bukan?

4)      Adakah dalam tempoh tu, DAP sebagai rakan PR berusaha memberi sedikit nafas kepada kestabilan PR? Tidak bukan?

5)      Adakah situasi ini berjaya memikat pihak istana untuk menerima penyelesaian daripada dalaman PR? Tidak bukan?

Jadi, siapakah yang memulakan pengkhianatan dan siapakah yang meneruskannya?

 

3.      Kemunculan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA)

Kemunculan PASMA pada tahun 2014 di Perpustakaan Zahra, Kota Bharu. Zuhdi Marsuki berpendapat PASMA hanya mewakili 1/3 daripada kumpulan baharu yang dibentuk [Utusan Malaysia, 30 Mei 2015].

Pada 11 Ogos 2014, PASMA telah ditubuhkan dengan tujuan merapatkan hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat. Dalam FB Nasrudin Hassan bertarikh 14hb September 2014, Ustaz Nasrudin menjelaskan agenda pertemuan PasMA di Pustaka Az Zahra Kota Bharu iaitu

  1. Sebuah pertemuan yang sarat dengan perbincangan dan kritikan kepada pucuk pimpinan PAS iaitu Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Malah mereka bincang bagaimana untuk menjatuhkan Tuan Guru Presiden.
  2. Pertemuan tersebut turut merencana Plan A dan Plan B sehingga menelurkan idea perlaksanaan konsep 1 Jamaah 2 Parti. Satu idea yang membawa maksud menubuhkan sebuah parti baru bagi menggantikan PAS di dalam Pakatan Rakyat.
  3. Shaikh Umar Bagharib bin Ali[24] mempersoalkan keupayaan 24 orang AJK PAS Pusat yang pro mereka (dari 36 orang keseluruhannya) kenapa tidak boleh menguasai keputusan PAS pusat.
  4. Fokus untuk dijatuhkan ialah Setiausaha Agung Musthafa Ali  yang menjadi tulang belakang Presiden PAS.
  5. Jatuhkan pemimpin yang tidak mahu turunkan Presiden PAS.
  6. Bai’ah yang dibuat oleh pimpinan PAS Pusat boleh dilanggar kerana ia dianggap batil dan melanggar baiah boleh diselesaikan dengan menyembelih seekor kambing ( sebagai membayar kifarah ).
  7. Majlis Syura Ulamak PAS hanya diperalat oleh Mustafa Ali.

 

Menariknya, dewan Pustaka Az Zahra Kota Bharu didakwa ditempah mengunakan nama sebuah organisasi dikenali  Madrasah Yahya Othman (MAYO) iaitu sebuah organisasi yang menyatukan anak-anak murid dan membawa gagasan pemikiran serta aspirasi Tuan Guru Yahya Othman. 

Struktur organisasi pada peringkat awal kemunculannya cuba mengelirukan masyarakat awam. Seorang penganalisa menyatakan PasMA mengunakan strategi tertentu dalam membentuk struktur organisasinya iaitu:

  1. Jawatankuasa Penaja (orang yang kurang dikenali)
  2. Jawatankuasa Awam (ini akan didedahkan jika ada musyakah. Pengerusinya adalah Phahrolrazi)
  3. Jawatankuasa Sebenar (Hidden) pengerusi dan jawatankuasa ini adalah yang sebenarnya dirahsiakan seumpama IRC.

 

Jika meneliti jawatankuasa PasMa, jelas bahawa gerakan ini mempunyai ‘fikrah’ dan ‘tanzim’ yang tertentu yang boleh dilihat dari segi pemikiran dan pengaulan. Dari segi perancangan, ia sudah lama dirancang dan bermula daripada penguasaan akar umbi atau pengkaderan di peringkat kampus.[25]  Manakala watak penggerak utama ialah Muhammad Hussin, Muhd Taib Ahmad, Hisomuddin Bakar dan Sheikh Omar Bagharib. Muhammad Hussin[26] dan Muhd Taib Ahmad penggerak utama Kumpulan UM yang mengasaskan Jemaah Islam Kampus pro PAS di kampus di Malaysia khususnya Universiti Malaya pada awal tahun 1980an. Antara anggota Kumpulan UM lain ialah Husam Musa, Takiyuddin Hasan, Syed Putra Syed Ahmad, Azmi Ali dan Fuad Zarkhashi. Hisomuddin[27] dan Sheikh Omar antara pengerak-pemikir[28] sebalik tabir gerakan mahasiswa dekad 2000-2010.

Majlis Syura Ulama telah melarang ahli PAS terlibat dalam  NGO PASMA melalui kenyataan media yang dinyatakan oleh Setiausaha MSU, Dato Nik Muhammad Zawawi Saleh pada 13 Oktober 2014. “Majlis Syura memantau dengan penuh prihatin tindak tanduk muktakhir ini yang boleh dilihat memecah-belah ahli-ahli PAS seperti yang dilakukan oleh sebuah NGO yang dinamakan PASMA’. ‘Maka  MSU memberi nasihat kepada ahli-ahli PAS supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti PASMA’. [SH, 14 Oktober 2014].

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA), YB.Dato Ir. Phahrolrazi Zawawi menolak pandangan MSU. “Mereka (MSU) hanya berperanan memberi pandangan supaya tidak lari dari perjuangan asal” dan “keputusan MSU tidak boleh diterima pakai kerana sebarang arahan hanya boleh diberikan oleh Jawatankuasa PAS Pusat”.

Kenyataan Phahrolrazi mengambarkan keingkaran perintah ‘arahan’ daripada MSU.

4.      Muktamar 2014: Riak-riak Perpecahan Mula Kelihatan

Peristiwa gambar Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu disimbah cat, Mat Sabu diboo dan dipulau sesetengah perwakilan pemuda dan ucapan doa laknat wakil Wilayah sehingga mencetus kekecohan apabila wakil Kuala Kedah merampas mikrofon. Namun Mat Sabu menafikan kewujudan sesetengah golongan yang mahu jatuhkan Presiden PAS (Harakah: 26-28 September 2014).

5.      Yayasan Darul Hijrah dan Gerakan Impian Kelantan.

Antara usaha yang baik daripada Dato Husam Musa ialah inisiatif penubuhan organisasi kebajikan yang dinamakan Yayasan Darul Hijrah (Yayasan Dato Husam?). YDH berperanan sebagai kuasa ketiga dan menggerakkan projek kebajikan Dato Husam Musa sekaligus mengangkat populariti beliau dalam kalangan rakyat. Menariknya, ramai aktivisnya dalam kalangan mahasiswa PMIUM.

Penubuhan Gabungan Impian Kelantan (GIK) dilihat bertujuan baik untuk membantu kebajikan mangsa banjir. GIK adalah manisfestasi semangat ‘Impian Malaysia’ yang dipelopori oleh DAP untuk berkongsi usaha dan bergerak bersama rakyat melalui pelbagai kegiatan kemasyarakatan. Program Impian Malaysia bermula sejak 2013 setelah pelancaran Impian Sarawak.

Gabungan Impian Kelantan (GIK) sebuah NGO yang ‘tidak direstui’ kerajaan negeri Kelantan pimpinan parti PAS. Majlis pelancaran GIK diadakan di Dewan Perniagaan Cina, Kota Bharu itu dihadiri oleh pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang, Liew Siew Fook, Theresa Kok, Anthony Loke, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, bekas Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Wan Rahim Wan Abdullah dan pemimpin NGO seperti Datuk S. Ambiga dan Datuk A. Samad Said.

6.      Gerakan Harapan Baru (GHB)

Boleh berkawan dengan kalangan DAP dan sepertinya, tetapi tidak boleh berwalikan DAP kerana tidak beriman dan budiman’ Tuan Guru Abdul Hadi Awang [Utusan Malaysia, 24 Julai 2015].

Mustafa Ali mengingatkan bekas pemimpin PAS agar tidak terperangkap dengan agenda DAP [Sinar Harian, 23 Julai 2015]. Asas pertikaian antara PAS dengan DAP ialah hudud (perundangan Islam). Adakah demi undi masyarakat Cina, pemimpin Islam sanggup meninggalkan perjuangan menegakkan masyarakat Islam dan perundangan Islam di negara ini?.

G18 sekelompok pemimpin yang merajuk dan kecewa dengan kekalahan dalam muktamar PAS 2015 telah bertindak menubuhkan Gerakan Harapan Baru. GHB disertai oleh PASMA dan dibantu oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli (SH, 16 Julai 2015).

Gerakan Harapan Baru (GHB) ditubuhkan oleh sekelompok pemimpin yang kalah dalam pemilihan Muktamar 2015. Husam Musa menyatakan GHB selari dengan perjuangan Nik Abdul Aziz Nikmat [Berita Harian, 21 Julai 2015]. GHB sebagai ganti PAS dalam sebuah pakatan yang baru.[29] Gerakan Harapan Baru memberi tempoh 100 hari untuk PAS membetulkan kepincangan. Jika tidak, GHB akan menubuhkan sebuah parti baru. Begitulah amaran Khalid Samad kepada PAS [Berita Harian, 21 Julai 2015]. PAS memberi amaran agar pemimpin GHB tidak melampau menghina PAS. Pada masa yang sama, DAP bersedia menjalinkan hubungan dengan GHB [Berita Harian, 22 Julai 2015].

 

 



[1] Berita Harian, 21 Mac 2015.

[2] Berita Harian, 21 Julai 2008.

[3] Harakahdaily, 23 Julai 2008.

[4]Pasti ada yang masih ingat bagaimana saya telah menggantinya dalam pertemuan dengan Pak Lah dan Khir Toyo. Kami berjaya menggagalkan usaha kerjasama bersama UMNO dan dengan itu cita-cita Hassan Ali untuk menjadi MB hancur berkecai.” Blog Khalid Samad, 22 Februari 2012.

[5] Kenyataan Rasmi Mursyidul Aam PAS, 22 Julai 2008.

[6] Harakahdaily, 23 Julai 2008.

[7] www.husammusa.com, 24 Julai 2008.

[8] “Ketika usaha kerjasama dengan UMNO dijalankan, Hassan Ali pernah bertanya pada saya, “siapa patut menjadi MB Selangor?” Saya jawab sambil memandang terus ke muka beliau, “Tan Sri Abdul Khalid”. Beliau terdiam, perasaan kecewa jelas kelihatan terbayang di mukanya. Mungkin beliau merasakan saya mengkhianati dirinya. Mungkin beliau inginkan saya, sebagai orang kanannya memperjuangkan ‘haknya’ untuk menjadi MB. Mungkin bagi dirinya, itulah peranan seorang kanan. Saya tidak tahu, mungkin itulah yang difikirkannya. Beliau diam dan terus berpaling.” Sumber: Blog Khalid Samad, 22 Februari 2012.

[9] Harakah, 12-14 September 2008.

[10] Ada satu versi menyatakan idea UG berasalkan daripada idea Dato Kamarudin Jaafar semasa pemukiman (retreat) PAS di Langkawi pada 7 hingga 9 November 2008.

[11] Dr. Mujahid Yusuf menulis beberapa artikel tentang reconciliation seperti ‘Mampukah pendekatan baru membina semula keutuhan perpaduan nasional?’ dan ‘Ke arah politik pendamaian semula’. Mohd Sayuti Omar turut menyokong dalam artikel ‘mematangkan politik bangsa dan negara’.

[12] ‘Kerajaan Perpaduan’ blog Khalid Samad.

[13] Muktamar PAS di Ipoh (2008) menunjukkan kumpulan Erdogan (pro-PR) berpandu hujah Mursyidul Aam PAS, TG Nik Aziz Nik Mat manakala kumpulan ulama mengunakan hujah Presiden PAS, TG Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Aam TG Dr Haron Din.

[14] Harakahdaily, 13 Mei 2009.

[15] Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam),  Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor),  Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat),  Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang),  Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja),  Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa),  Dr Mohd Hayati Othman (Pendang),  Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan  Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar). Dato Seri Mohamad Nizar (Bukit Gantang) ada urusan.

[16] Harakahdaily, 19 Jun 2016

[17] Dr Aziz Bari telah mengkritik TGHH dan mendesak TGHH meletakkan jawatan Presiden digantikan oleh Ustaz Azizan Abdul Razak. TGNA dalam blognya bersetuju dengan kritikan Dr Aziz dan mencadangkan agar dibuat EGM. Malaysiakini, 23 Oktober 2009. Tanggal 7 November 2009, satu Seminar Khas bagi mengkritik kepimpinan PAS. Antara yang dijemput adalah Dr Aziz Bari.

[18]  Dalam kes ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam merekodkan Penghakiman Persetujuan di mana Datuk Saifuddin selaku defendan pertama dan PKR defendan kedua telah menyatakan rasa kesal mereka dan memohon maaf kerana mengeluarkan dan mengedarkan satu laporan 91 mukasurat yang mengandungi pelbagai tuduhan fitnah terhadap saya(Tan Sri Khalid Ibrahim). [Harakah, 16 Ogos 2015]. Saifuddin Nasution telah berbohong dan melakukan kospirasi terhadap Khalid Ibrahim.

[19] Bernama,  13 Oktober 2014.

[20] http://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2014/12/19/2014-krisis-selangor/#oG0vMXeBjb4Gudtd.99

[21]  Pada masa yang sama ungkit pula konon mereka yang naikkan MB Selangor hari ini. Fakta yang ramai tidak tahu ialah semasa krisis tukar MB dulu antara keputusan PAS Selangor ialah jika TS Khalid tidak kekal maka MB baru mesti dari PAS. Keputusan mesyuarat Pimpinan PAS Pusat menamakan 1) Dr Wan Azizah dan 2) Azmin Ali sebagai calon MB, tetapi tiga nama yang dihantar kepada istana semuanya calon PAS “[FB Amin Ahmad, 25.3.2017]

[23] Merujuk kenyataan Nik Mohamad Abdul. 9.9.2014

[24] Aktivis PMIUM dan SMM. Beliau dilihat perancang utama gerakan mahasiswa pada zamannya. Dikatakan watak yang genius. Aktif dalam Pemuda PAS Johor kemudian menyertai DAP Johor.

[25] Sekitar tahun 2000 hingga 2010, kampus mengalami fenomena Grup I. Grup I berkiblat fikrah Tuan Guru Yahya Othman dimentori oleh anak-anak murid senior beliau. Ikon pemimpin mereka ialah YB Dato  Husam Musa.

[26] Terkenal pemimpin yang rapat dengan YB Dato Husam Musa dan Dato Wan Abdul  Rahim. Beliau juga penggerak utama aspirasi TGYO. Hisomuddin Bakar antara pembantu utama beliau  suatu ketika.

[27] Mengetuai Ilham Center, badan pemikir dalam pengkajian strategi politik. Antara pengasas Ilhambooks, sebuah penerbit dan pejual buku-buku pemikiran dan politik.

[28] Ada pandangan mengatakan Dr Zuhdi Marsuki sendiri antara pemikir utama gerakan ini sebelum kembali menyokong kumpulan ‘pro-ulama’. Beliau dekat dengan gerakan mahasiswa di UM dan alumni mahasiswa UM melalui Usrah Kebajikan Profesional (UKP), penaung KOSIST semasa Ustaz Dzulkhairi menjadi ketua dan antara orang awal terlibat dengan Ilham Centre.

[29] Utusan Malaysia, 23 Julai 2015. Sinar Harian, 23 Julai 2015.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...