Sunday, November 29, 2020

Kenang kenangan Politik PAS-ABIM-IRC (S12)

 

BAB

PENUBUHAN ABIM

 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ditubuhkan atas inisiatif Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada 6 Ogos 1971 sempena Persidangan Agung Tahunan PKPIM ke 10 bertempat di Fakulti Pengajian Islam, UKM, Petaling Jaya. Kemudian pada 17 Ogos 1972, barulah ABIM diluluskan pendaftarannya. ABIM pada mulanya dimentori oleh intelektual muda, Syed Muhammad Naquib al Attas.[1] Presiden pertama ABIM ialah Razali Nawawi[2] dan Setiausaha Agungnya ialah Anwar Ibrahim.

 

Anwar Ibrahim lebih awal mengenali tokoh-tokoh muda Ikhwanul Muslimin.[3] Beliau dikatakan menjadi harapan dan model Ikhwanul Muslimin Antarabangsa yang mendominasi organisasi antarabangsa seperti WAMY dan IFFSO. Penguasaan Anwar Ibrahim terhadap pemikiran politik Ikhwanul Muslimin dan jaringan antarabangsa memberi kekuatan kepada beliau memujuk lulusan agama bersama ABIM. Antara tokoh muda agama yang berjaya didekati oleh Anwar ialah Ustaz Niamat Yusuf.

 

Pada tahun 1970, Ahmad al-Haj Totonji[4] seorang rakyat Iraq yang berhijrah  ke Arab Saudi telah melawat Malaysia dan membantu Anwar  Ibrahim untuk menubuhkan ABIM.[5] Ketika itu, Totonji adalah pegawai WAMY (World Assembly of Muslim Youth), organisasi baru yang dibentuk oleh Arab Saudi. Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman[6] dilantik sebagai Setiausaha Agung yang pertama WAMY.

 

ABIM bukan cawangan Ikhwanul Muslimin Malaysia tetapi ABIM adalah mata rantai gerakan Islam sedunia. ABIM mempunyai hubungan erat dengan Ikhwanul Muslimin melalui IIFSO, MSA, AMSS, IIIT dan WAMY. Mereka bertemu dalam perkhemahan, seminar dan persidangan antarabangsa. Anwar Ibrahim disayang dan disenangi oleh pimpinan gerakan belia Islam antarabangsa disebabkan personaliti beliau yang ‘charming’. Anwar Ibrahim berjaya menghubungkan ABIM dengan gerakan Islam antarabangsa.

 

Simbiosis ABIM-PAS

 

Hubungan ABIM dengan PAS adalah adik beradik pada tahun 1970-1981. Ia sangat ketara dalam tempoh 1978-1981.

 

ABIM tidak dapat lari daripada cengkaman pengaruh Anwar Ibrahim. Bermula tahun 1982, ABIM dibawah leluhur Anwar Ibrahim sangat berkuasa. Pengunduran anggota ABIM pro PAS dan pembersihan ABIM daripada pengaruh IRC membolehkan ABIM leluhur Anwar Ibrahim menguasai ABIM sepenuhnya. Pada akhir tahun 1980an, pengaruh luar dan anti Anwar Ibrahim dapat dibersih sepenuhnya daripada ABIM apabila berlaku pengunduran ABIM Perlis daripada ABIM dan penubuhan HALUAN Malaysia.

 

Penulis mempunyai pandangan bahawa hubungan ABIM dengan PAS adalah adik beradik. Pandangan ini membangkitkan kemarahan pimpinan muda ABIM dan pemimpin ABIM leluhur Anwar Ibrahim. Walaupun ABIM itu Anwar Ibrahim, Anwar Ibrahim itu ABIM, kejayaan ABIM pada era 1970an bukanlah usaha individu tetapi usaha kolektif anggota ABIM era itu yang didokong ABIM Pro Anwar, ABIM Pro PAS dan ABIM Pro IRC.  Hujah penulis pertama tentang PAS dengan ABIM itu adik beradik ialah kebanyakan anggota ABIM aktif dan menganggotai organisasi lain seperti PUM, PAS, Rahmaniah dan PERKIM. Kedua, dikhabarkan anggaran anggota PAS dalam ABIM pada pertengahan tahun 1970an ialah lebih kurang 8000 orang. Ia bukan satu jumlah yang kecil. Ketiga, anggota PAS yang tidak bersetuju PAS menyertai BN dan bekerjasama dengan Perikatan telah menyertai ABIM sebagai wadah perjuangan. Keempat, penyaluran ‘darah’ ABIM ke dalam PAS. Penyaluran darah ini dengan restu Majlis Syura ABIM. ABIM kena bertanggungjawab ke atas pemimpin yang dihantar mereka. Kelima, generasi lama ABIM mempunyai impian penyatuan UMNO dibawah Anwar Ibrahim (PM Malaysia) dan PAS dibawah pimpinan Ustaz Fadzil Nor (TPM Malaysia). Keenam, ABIM dikatakan memperuntukkan kewangan dan membantu PAS seperti Ustaz Fadzil Nor dalam politik. Anwar Ibrahim menyertai kempen pilihanraya PAS dalam PRU 1978. Ketujuh, tokoh ABIM menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan mereka seperti Ustaz Mustafa Mohamad (Kelantan) dan Tuan Guru Niamat Yusuf.

 

Intelektualisme ABIM

Generasi awal ABIM memadukan antara aktivisme dan intelektualisme. Menurut Siddiq Fadzil, “Generasi awal ABIM berusaha “memahami semula” Islam, sejarah dan tamadunnya lewat karya tokoh tokoh tersebut yang rata-rata memaparkan Islam dalam citra aslinya yang segar dengan latar konteks realiti dan semangat zaman.

Dalam pembinaan tradisi haraki dan keintelektualannya generasi awal ABIM mengamalkan sikap terbuka yang kalkulatif dan terukur, dalam pengertian kesediaan belajar dan memanfaatkan segala sumber (ilmu dan pengalaman) yang relevan, termasuk sumber-sumber luar negara  (kesarjanaan dan gerakan Islam di pelbagai rantau dunia) dengan tetap mengakar pada realiti (sejarah dan sosiobudaya) kemalaysiaan.”

 

Pada peringkat awal penubuhan ABIM, Syed Muhammad Naquib al Attas dan Muhammad Uthman el Muhammady antara rujukan utama. ABIM merujuk kepada pemikiran gerakan Islam seperti Hassan al Banna, Syed Qutb, Maulana Abul Ala’ al Maududi dan lain-lain.

 

ABIM juga merujuk kepada tokoh intelektual Islam yang berada di Barat seperti Dr Ahmad Totonji (tokoh IIFSO), Dr Ismail al Faruqi dan Dr Abdul Hamid Abu Sulayman (SUA Agung WAMY pertama).

 

Pada tahun 1981, Ismail al Faruqi, Abdul Hamid Abu Sulayman, Jabir al Alwami, Jamal al Barzanji dan Anwar Ibrahim telah menubuhkan Instititut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) dengan restu Ikhwanul Muslimin Antarabangsa. IIIT merupakan satu gerakan intelektual Islam yang mengunakan dialog peradaban sebagai jambatan menghubungkan Islam dengan Barat. Pemimpin PAS menyatakan IIIT ini sebagai ‘Islam Amerika’ yakni Islam mengikut kehendak Barat.



[1] Pengasas PMIUM 1956

[2] Razali Nawawi mempunyai hubungan baik dengan gerakan Islam antarabangsa. Beliau pernah bergiat dalam Persatuan Pelajar-Pelajar Islam Mesir, kemudian menubuhkan MISG di London dan aktif dalam FOSIS.

[3] Anwar Ibrahim merupakan Presiden PKPIM dan Presiden PBMUM. Beliau juga pernah mewakili Majlis Belia Malaysia (MBM) ke persidangan World Assembly of Youth (WAY) di England pada tahun 1971.

[4] Totonji, seorang jurutera petroleum, belajar di AS pada tahun 1960-an, merupakan individu yang terlibat membantu menubuhkan organisasi pelajar Islam, Muslim Student Association (MSA). MSA ditubuhkan di Universiti Illinois, Champaign Urbana, USA. MSA dibawah pengaruh Ikhwanul Muslimin.

[5] Dahlan Arsyad bersahabat dengan Said Ramadhan (menantu Hassan al Banna), aktif dalam FOSIS dan WAMY.

[6] Pada tahun 1972, Abu Sulayman ketika belajar PhD di Universiti Pennsylvania, bergabung dengan Ismail Raji al-Faruqi menubuhkan the Association of Muslim Social Scientists (AMSS).

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...