Monday, November 23, 2020

KENANG-KENANGAN POLITIK PAS-IRC-ABIM (Siri 3)

 

BAB

ZAMAN TAHALUF 

Panduan dalam menghadapi kemelut dalam tahaluf siyasi.


Tahaluf Siyasi berpandukan ta’awun ala birri wa al takwa (kerjasama atas kebaikan dan takwa). 

Penulis tertarik pemikiran, pendekatan dan keberanian Fadzil Mohd Noor dalam cubaan mengatasi kemelut isu penubuhan Negara Islam yang ditentang oleh DAP. Fadzil Mohd Noor telah mengemukakan panduan yang baik dalam menyelesaikan krisis dalam bertahaluf.

 

Fadzil Mohd Noor menegaskan, PAS bersetuju Manifesto Bersama BA 1999 itu menjadi satu dokumen perjanjian yang patut dipatuhi oleh semua parti terbabit. PAS bersetuju untuk menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan BA kerana:

 

1.         Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto;

2.         Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan;

3.         Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian;

4.         PAS perlu berkerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara- perkara yang sudah dipersetujui.

 

Dalam kes PR, Majlis Syura Ulama bertindak memberi beberapa garis  panduan dalam tahaluf siyasi Pakatan Rakyat yang perlu diikuti oleh pemimpin dan anggota PAS iaitu

 

1.         Tahaluf mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam.

2.         Tahaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dapat dipertahankan.

3.         Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), bukan kepada Pakatan Tahaluf.

4.         Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.

5.         Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaluf secara mutlak.

6.         Majlis Syura Ulamak mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah syar'iyyah dari semasa ke semasa.

 

 

Krisis Dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

 

Tengku Razaleigh Hamzah putera diraja Kelantan adalah tokoh politik Kelantan yang seringkali dinobatkan sebagai Perdana Menteri dalam pembikinan.  Beliau dan kumpulan beliau telah tewas kepada Dr Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987. Kekalahan ini menyebabkan beliau dan bersama kumpulan beliau menubuhkan Parti Semangat 46.

 

Dalam menewaskan UMNO-BN, Tengku Razaleigh dan Nik Abdul Aziz Nik Mat telah sedia membentuk perikatan politik baru yang dikenali sebagai  Angkatan Perpaduan Ummah terdiri daripada PAS, Semangat 46, HAMIM, Berjasa, KIMMA (Kongres India Muslim Malaysia). Parti Semangat 46 menubuhkan  GAGASAN RAKYAT yang terdiri daripada DAP, PRM, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Barisan Progresif India (IPF). Penyelarasan, penyesuaian dan pengimbangan antara dua gabungan yang bertentangan fahaman berjaya disatukan oleh Parti Semangat 46.

 

Masalah dalam pentadbiran, sentimen istana dan monopoli kuasa oleh PAS menyebabkan perpecahan APU. Gerakan pemisahan mula dikesan pada tahun 1991 apabila YB Ibrahim Ali tidak puas atas penguasaan PAS dalam kerajaan Negeri Kelantan.

 

Pada 2 Jan 1996, keretakan hubungan PAS-S46 semakin ketara apabila enam anggota S46 memulaukan upacara mengangkat sumpah sebagai anggota MajlisPerbandaran Kota Baharu kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi.

 

Pada 7 Feb 1996 , Ketua Penerangan S46 Ahmad Shabery Chik berkata partinya sedia menyertai perayaan ulangtahun ke-50 Umno pada bulan Mei 1996 dan diikuti dengan kenyataan Tengku Razaleigh pada 10 Februari 1996.

 

Kemuncaknya apabila Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan cadangan kerajaan negeri meminda Perlembagaan Negeri bagi menghadkan kuasa-kuasa Sultan dan mengelak campurtangan Istana dalam pentadbiran negeri. Parti Semangat 46 segera membantah cadangan itu. Pada 26 April 1996, Dr Mahathir mengesahkan telah bertemu Tengku Razaleigh. Sebagai reaksi Nik Aziz berkata pertemuan bagi membincangkan kemasukan semula Tengku Razaleigh ke dalam Umno itu bererti S46 telah berkubur.

 

APU gagal apabila Parti Semangat 46 kehilangan sinergi sehingga akur kehendak Dr Mahathir yang menyeru ke arah penyatuan Orang Melayu. Pada 6 Oktober 1996, Parti Semangat 46 dibubarkan menandakan mereka telah meninggalkan APU.

 

 

Isu Penubuhan Negara Islam dan DAP keluar Barisan Alternatif pada tahun 2001.

 

DAP keluar Barisan Alternatif (BA) pada 21 September 2001 disebabkan oleh isu penubuhan negara Islam. Isu ini disemarak apabila dunia ketika itu sangat terkesan dengan Peristiwa WTC yang dilanggar oleh pesawat. Peristiwa ini mengemparkan dunia dan menyemarakkan Islamfobia.

 

Orang Cina menekan DAP agar PAS menggugurkan perjuangan penubuhan sebuah negara Islam. PAS terus bertegas dengan prinsip menolak saranan DAP atas dasar menghormati dasar yang tak dipersetujui secara bersama.

 

PAS[1] yang diwakili oleh Nik Abdul Aziz (Mursyidul Aam), Abdul Hadi Awang (Timbalan Presiden) dan Nasarudin Mat Isa (SUA) bermesyuarat selama dua jam dengan DAP bagi berbincang isu penubuhan negara Islam. Setelah kegagalan mesyuarat tersebut, DAP mengadakan mesyuarat tergempar dan akhirnya memutuskan penarikkan diri dari BA.[2]

 

Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock  menyatakan"Melihat kepada kegagalan DAP dan PAS dalam menyelesaikan isu penubuhan negara Islam, CEC memutuskan bahawa tidak ada lagi keperluan untuk DAP terus bersama BA”.[3]

 

Dalam perbincangan dengan PAS, DAP telah mengemukakan lima formula untuk menyelesaikan permasalahan. Menurut Malaysiakini, hanya dua sahaja formula tersebut dipersetujui. Lima formula itu ialah

 

Pertama "Sebarang usaha oleh mana-mana parti komponen untuk mengejar pengwujudan sebuah negara Islam, negara Buddhist atau negara Kristian adalah bertentangan dengan Manifesto BA."

 

Kedua: "Suatu pengulangan yang jelas bahawa di bawah Manifesto BA, undi untuk BA adalah undi untuk demokrasi, keadilan dan pemerintahan baik dan bukan untuk sebuah negara Islam - dan PAS mestilah bersetuju sepanjang tempoh BA, akan berganding bahu dengan parti BA lain pada semua peringkat ke arah Malaysia yang adil dan bukan sebuah negara Islam."

 

Ketiga: "Majlis BA harus diberi notis terdahulu tentang apa-apa enakmen atau langkah cadangan negara negeri Kelantan dan Terengganu yang mungkin menyinggung perasaan agama, masyarakat dan parti politik yang berbeza supaya membenarkan perundingan dan persetujuan sepenuhnya."

 

Keempat: "Suatu jawatankuasa BA khas harus ditubuhkan untuk memastikan bahawa pengumuman dan kenyataan keagamaan yang kontroversi atau sensitif terhadap manifesto BA dibuat hanya selepas perundingan terdahulu dan untuk menangani kes-kes perlanggaran."

 

Kelima: "Walaupun PAS memegang kepada prinsip negara Islam tetapi PAS sedia menerima hakikat bahawa di dalam sebuah negara yang majmuk, penubuhan negara Islam tidak sesuai dan tidak praktikal bagi Malaysia."

 

Menurut Nik Abdul Aziz, isu penubuhan negara Islam tidak berjaya ditangani dalam dalaman DAP. ``Ia berpunca daripada ketidakupayaan dan tekanan yang dihadapi oleh pucuk pimpinan DAP dalam menjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh penyokongnya berhubung isu negara Islam”.[4]

 

Penulis melihat DAP keluar BA pada 21 September 2001 ada beberapa sebab iaitu

 

  1. Aliran progresif dalam DAP yang mengkritik kepimpinan Lim Kit Siang dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-13 telah berlangsung pada 18-19 Ogos 2001. Dalam kongres ini, ketua pemuda DAP Teng Chang Khim yang secara terbuka meminta Lim Kit Siang menolak pencalonan semula sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bagi membuka jalan kepada pemimpin pelapis parti DAP.[5] Satu resolusi juga mencadangkan supaya jawatan Setiausaha Agung dan Pengerusi parti dihadkan kepada tiga penggal atau sembilan tahun saja. Tetapi resolusi ini tidak dibahas. Resolusi dilihat dituju kepada Kit Siang, yang telah menerajui DAP selama 32 tahun.
  2. Pengaruh DAP Sarawak mengatasi DAP Pusat. Pengerusi DAP Sarawak, Richard Wong Hong Leng juga telah mengumumkan pakatan pembangkang tidak wujud di Sarawak. DAP Sarawak lebih awal keluar BA Sarawak daripada DAP Pusat.
  3. Isu penubuhan Negara Islam.
  4. Islamfobia ekoran Peristiwa Pelanggaran WTC.
  5. Pilihanraya Negeri Sarawak
  6. Kes ‘pencurian’ atau penghijrahan ahli ke dalam sekutu BA. Bekas ahli DAP seperti Low Chee Chong, Sim Kwang Yang, Teoh Teik Huat, Gooi Hock Seng dan Dominic Ng telah diterima masuk oleh Keadilan, malahan diberikan layanan 'permaidani merah'. Begitu juga dengan penyertaan SK Soong ke PRM.[6]
  7. Matlamat tak sama. Jika pada pilihanraya umum 1999, PAS, Keadilan dan PRM bercita-cita besar untuk menumbangkan BN di peringkat parlimen, tetapi cita-cita DAP hanyalah untuk menafikan majoriti dua pertiga BN. Walaupun, kedua-dua cita-cita itu gagal, namun ternyata cita-cita DAP lebih berpijak di bumi yang nyata.

 



[1] Fadzil Mohd Noor tidak hadir kerana sakit.

[2] usul penarikkan diri diputuskan dengan 13 undi menyokong usul tersebut, 2 menentang dan 3 undi berkecuali

[3] Malaysiakini, 22.9.2001.

[4] Utusan Malaysia, 24.9.2001.

[5] Blog Lee Ban Chen, 27.8.2001.

[6] Malaysiakini, 10.10.2001.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...