Sunday, November 29, 2020

Kenang-Kenangan PAS-ABIM-IRC (Siri 10)

 

BAB

PERKEMBANGAN IRC DALAM POLITIK MALAYSIA

 

Pada pertengahan 1970an, kader dakwah Alami Mesir dan IRC UK  pulang ke Malaysia. Ramai kalangan mereka menjadi pensyarah universiti. Tumpuan mereka kepada pentarbiahan dan pengkaderan. Oleh kerana ABIM dan PAS sudah lama bertapak, mereka tidak menubuhkan gerakan baru tetapi diarahkan untuk memperkuatkan organisasi mata rantai gerakan Islam yang sedia ada. Pada waktu itu PAS berada dalam BN, kader dakwah ini mula menyusupi ABIM. Mereka mengunakan pendekatan rahsia dan tidak mendedahkan identiti mereka.

 

Pendekatan kerahsiaan, pemayungan dan penyusupan dalam organisasi mula dilakukan semasa zaman ustaz Umar Tilmisani bagi mengelakkan Ikhwan ditindas. Anggota Ikhwan Mesir telah menyusup masuk ke dalam banyak pertubuhan profesional di Mesir. Pertubuhan-pertubuhan ini diletakkan dibawah kawalan Ikhwan dan cuba mengaburi pihak berkuasa. Ia menjadikan pertubuhan tersebut hanya proksi.

 

Ada pihak mendakwa terdapat Konsep Harakah Islamiyyah Syumuliah (HIS) diaturkan oleh IRC (al jamaah) dimana menjadikan  PUM (ulama), ABIM (NGO) dan PAS (sayap politik) sebagai proksi dimana kekuasaan sebenar terletak kepada Amir IRC bukan kepimpinan PUM, PAS dan ABIM.

 

IRC cuba menguasai pentarbiahan ABIM[1] tetapi kurang berkesan apabila ABIM cuba menjarakkan diri mereka daripada pemikiran Sayyid Qutb.[2] Penguasaan ini juga tidak berjaya kerana pentarbiahan ABIM didominasi oleh Anwarinas (setia dengan Anwar Ibrahim). Walaubagaimanapun, sebahagian ustaz IRC menguasai ‘Majlis Syura’ ABIM. Sesudah Anwar Ibrahim masuk UMNO dimana ada kalangan mereka mula menunjukkan imej sebenar mereka dengan meninggalkan ABIM.

 

Kebanyakan pemimpin IRC cuba menyusupi gerakan mahasiswa Islam[3] dan PAS yang kesedihan kerana kemasukkan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO. Lujnah Tarbiah PAS Pusat telah menjemput dua anggota Majlis Syura IRC untuk bersama mereka pada pertengahan tahun 1980an.[4] Peluang ini diambil oleh anggota IRC untuk memperkukuhkan kedudukan mereka dalam PAS.

 

IRC bukan sahaja mentarbiahkan anggota PAS dan gerakan mahasiswa Islam tetapi telah memilih unsur terpilih dan terbaik dalam PAS untuk diserapkan ke dalam IRC secara rahsia. Gerakan jemaah dalam jemaah ini berjaya dikesan oleh Dewan Pemuda PAS. Dewan Pemuda PAS Pusat sendiri hampir terperangkap apabila pemimpin yang dikatakan proksi IRC Ir. Mustafa Kader antara calon yang dicadangkan sebagai Ketua DPPP. Syura DPPP telah memilih Ustaz Abdul Halim Arshad sebagai Ketua DPPP.

 

Jemaah Islah Malaysia dan HALUAN Malaysia muncul pada tahun 1988. Ia menjadi wadah penyatuan kader-kader IRC yang berselerak dalam pelbagai organisasi. Malangnya yang berlaku, penyatuan IRC agak sukar kerana [1] mendapat tarbiah daripada pemimpin dan jalur tarbiah yang berbeza, [2] terlalu lama berada dalam kerahsiaan dan tanpa organisasi pusat dan [3] pertembungan sesama sendiri mengikut kem-kem dalam IRC.

 

Menariknya, pada bulan Mac 1990, satu dokumen bertajuk ‘Pembentangan Usul Pendekatan Terhadap UMNO’ dibentangkan oleh wakil Majlis Syura Jemaah(MSJ). Melalui usul ini, IRC mahu menghalalkan penglibatan anggota mereka ke dalam  UMNO. Tetapi usul ini telah ditolak.

 

Ketika zaman reformasi, JIM mengunakan pendekatan politik. Presiden JIM, Ir Saari Sungip dan Sahri Bahri berserta ramai lagi pimpinan JIM masuk Parti Keadilan Nasional berketuakan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Menariknya, sebilangan pemimpin yang ada kaitan dengan IRC seperti Dr Dzulkefly Ahmad menyertai PAS.

 

Pendekatan politik IRC-JIM selepas tahun 1998 sangat berjaya apabila pimpinan mereka berjaya menduduki tampuk kepimpinan tertinggi dalam PAS dan PKN (PKR). Antaranya Fuziah Salleh sebagai Ketua Wanita PKN dan Ir Sahri Bahri sebagai Setiausaha Agung PKN. Dalam PAS, Dr Dzukefly Ahmad dilantik sebagai Ketua Dewan Penyelidikan PAS Pusat. Dalam pilihanraya pula, ramai daripada pemimpin yang bersusur galurkan Ikhwan di Malaysia iaitu IRC-JIM dan Suara Islam terpilih sebagai calon. Antaranya Ir Khalid Samad (SI), Ir Mohamad Nizar (SI), Saari Sungip (JIM) dan ramai lagi.

 

Perpecahan PAS pada tahun 2015 menyebabkan tertubuhnya Parti Amanah Nasional. Sebahagian besar kelompok IRC-SI-JIM-ABIM dalam PAS yang kecewa dan kalah dalam pemilihan  bertindak menubuhkan sebuah parti Islam baru.  Menariknya ada wakil IKRAM, Ustaz Hassanudin Mohd Yunus telah dilantik sebagai Naib Presiden PAN. Dalam PAN, ramai pemimpin mantan pimpinan senior IRC-JIM dan IKRAM.

 

Pada masa yang sama, JIM-IKRAM memperkuatkan cengkaman mereka dalam PKR dengan menghantar Syed Ibrahim[5] yang dilantik sebagai ketua Penerangan PKR.  Selain itu, pimpinan muda IKRAM turut menyertai Angkatan Muda Keadilan (AMK). Antaranya ialah Wan Abdullah Mujahid Hasanuddin dan Mohd Mustaqim Abdul Jalil. Kedua-duanya mereka adalah anggota Parlimen Belia Malaysia.

 

 

JIM, DEMOKRASI DAN HAK ASASI MANUSIA

 

JIM mahu berada dalam barisan hadapan dalam kalangan organisasi Islam dan dalam kalangan masyarakat madani.[6] JIM mempunyai pendekatan yang unik dalam menangani demokrasi, hak asasi manusia, urus tadbir baik kerajaan, masyarakat madani dan penglibatan dalam NGO berasaskan sekularisme. JIM membina hubungan yang baik dengan NGO-NGO dan aktif dalam penglibatan dalam isu-isu yang diperjuangkan oleh NGO terbabit. Antara NGO terbabit ialah BERSIH, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Malaysians for Free And Fair Election (Mafrel), dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM). Terbaru wakil JIM-IKRAM terlibat dalam Gerakan Rakyat Untuk Menebus Kembali Negara Malaysia( Negara-ku).

 

JIM berusaha meletakkan kedudukan mereka di kalangan NGO lain dan masyarakat madani. Walau pun pegangan JIM jelas, memperjuangkan pelaksanaan syariah, JIM tetap bersama dan diterima oleh NGO lain dalam usaha sama memperjuangkan keadilan, hak asasi manusia, good governance dan kebaikan, untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.

 

JIM-IKRAM juga mengutamakan pengunaan secara optimun sumber tenaganya dalam pelbagai NGO. Ia dapat meningkatkan lagi kerjasama dan permuafakatan dengan pelbagai NGO. dan menambah pengalaman anggota JIM-IKRAM.

 

Persoalan yang timbul pula, ada pertubuhan atau pemimpin[7] yang jelas menentang pelaksanaan Islam dalam pemerintahan. Adakah JIM-IKRAM bertaqiyah pendirian pelaksanaan syariah dalam masa yang sama bergerak dalam pertubuhan pro sekularisme dan hak asasi manusia?.

 

PERANAN PAS PENYATUAN TANZIM-TANZIM IKHWAN DI MALAYSIA.

 

Tuan Guru Fadzil Noor  berpendapat tidak boleh ada dua wadah politik Islam.[8]  Kewujudan dua parti Islam boleh mengundang perpecahan masyarakat dan ia boleh melemahkan gerakan Islam itu sendiri. Dalam sejarah politik gerakan Islam, penubuhan parti baru lebih menjuruskan pertembungan sesama sendiri. Umpamanya, Parti Saadet dengan AKP di Turki dan FJP dengan Parti an Nur di Mesir.

 

IRC-JIM-IKRAM mempunyai pengalaman tiada penyatuan dalam organisasi. Betapa pentingnya keperluan sebumbung, satu nama, satu tanzim, satu kepimpinan dan satu tumpuan wala’ dan tiada pertindihan penggunaan sumber. Setelah 15 tahun IRC tanpa wadah dan identiti rasmi, ia memberi kesan negatif. Antaranya

  1. Tiada wadah utama dan tiada ‘rallying point’ untuk dakwah.
  2. Tidak dapat mengamal sepenuhnya semua piawaian, best practices dan urus tadbir baik dalam organisasi.
  3. Kewujudan tidak dapat dirasai oleh masyarakat umum.
  4. Terbentuk pandangan yang insular (eksklusif dan dalaman) kalangan sebahagian anggota.
  5. Ramai kader memilih bertebaran dalam pelbagai organisasi tanpa perancangan.
  6. Tidak optimun sumber tenaga dan program kerana berlaku pertindihan.

 

Pengalaman ini wajar memberi pengajaran kepada IRC agar mereka meleburkan diri ke dalam PAS dan ABIM seperti yang mereka pernah lakukan dahulu. Apabila sudah ada jemaah Islam yang berpandukan al Quran dan hadith, tradisi Ikhwan ialah anggota mereka menjadi pembantu dan tentera kepada jemaah yang sedia ada. Mereka perlu membuang matlamat mahu menguasai jemaah lain, berdengki dan dendam lama bagi menyatukan gerakan Islam di Malaysia.

 

Usaha penyatuan tanzim Ikhwan Malaysia pernah diusahakan pada tahun 1995 di Kelana Jaya. Ia dikenali sebagai  peristiwa “indimaj” antara tanzim Abu Urwah dan tanzim Ustaz Dahlan tetapi gagal. Menurut THTL,[9] Tanzim Ikhwan Malaysia tidak berjaya disatukan disebabkan oleh

  1. masing-masing kumpulan mendapat latihan dari tempat yang berbeza dan mendapat penekanan latihan dan ilmu yang diterima tidak sama
  2. masing-masing kumpulan mempunyai strategi politik dan manhaj operasi dakwah dan tarbiyah yang berbeza.
  3. sikap terhadap pemerintah yang tidak sama
  4. taksub kepada pemimpin kumpulan masing-masing
  5. Tidak ada kepercayaan antara satu sama lain.

 

Pendekatan terbaik penyatuan tanzim ialah menyertai PAS. Sebagai gerakan Islam berasal daripada Ikhwanul Muslimin, ‘hakikat politik’ ada tersemai dalam perjuangan mereka. Justeru, mereka perlu memasuki sebuah organisasi yang kukuh, bersifat politik dan mempunyai sejarah yang cukup lama dalam politik. Tiada lain selain PAS. Apabila memasuki PAS, wajar mereka memulakan perjuangan mereka daripada bawah. Sifat ikhlas untuk bersatu mesti ada bukan bertujuan menyusup atau mewujudkan jemaah dalam jemaah. PAS era Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dekat dengan pimpinan Alami Mesir sewajarnya diambil peluang oleh IRC untuk merapatkan hubungan dan meleburkan diri mereka ke dalam PAS dengan membuang imej IRC mereka.

 

Penyusupan dalam parti politik Islam oleh kader dakwah jemaah Islam adalah satu kaedah yang terbaik. Cuma masalah yang berlaku apabila kewujudan mereka menjuruskan kepada jemaah dalam jemaah. Sebaiknya kesetiaan dan sifat berkumpulan berdasarkan jemaah lain perlu dileburkan. Perkara ini pernah berlaku dalam Parti Keadilan Nasional(PKN) apabila ABIM dikatakan melakukan proses PengABIMAN PKN. IRC juga didakwa pernah cuba menguasai kepimpinan pemuda PAS. Menariknya, penyertaan pimpinan ABIM ke dalam PAS pada akhir 1970an dulu membuktikan keupayaan mereka meleburkan jemaah lama mereka setelah masuk ke dalam PAS.

 

 

Dua wala’ perlu diharamkan dalam gerakan Islam. Dua wala’ berlaku apabila jemaah menghantar kader mereka ke dalam jemaah Islam yang lain dengan tujuan membantu dan ada bertujuan menguasai jemaah tersebut. Persoalan yang timbul, apabila berlakunya pertembungan pendapat antara jemaah asal dengan jemaah sekarang, dimanakah wala’ kader dakwah, jemaah baru atau jemaah lama?. Apa yang akan dilakukan oleh anggota PKR yang berasal daripada JIM-IKRAM jika berlaku pertembungan wala’ antara IKRAM dengan PKR?. Apa yang akan berlaku jika PAN yang mempunyai anggota IKRAM bertembung dengan PKR yang turut disertai oleh anggota IKRAM, kepada siapakah  wala’ anggota JIM-IKRAM yang berada dalam PAN dan PKR? Jemaah atau parti?.

 

Kewujudan jemaah dan ‘front’ atau proksi bukanlah suatu yang baik dalam tempoh masa yang panjang. Ia boleh menghasilkan penentangan bahkan pertembungan antara jemaah dengan proksi. Perkara ini pernah berlaku di Sudan apabila Proksi yang dipimpin oleh Hassan Turabi menentang keputusan jemaah.

 

IRC  DAN GERAKAN MAHASISWA ISLAM

 

Pada awal 1980an, kedua-dua kumpulan iaitu Ikhwan Alami dan IRC UK bergabung membentuk IRC. Perjuangan mereka secara rahsia dan melalui proses pentarbiahan.

 

Pertembungan antara IRC (baca:JIM atau IKRAM)  dengan PAS bermula sejak peringkat sekolah melalui proses pentarbiahan, pengkaderan dan penguasaan persatuan pelajar (BADAR). Ada pengaruh utama yang menyebabkan pertembungan ini iaitu terdapat mentor dalam kalangan guru dan pentadbir sekolah, anak anggota JIM dan PAS dan penyertaan pelajar dalam pertubuhan pelapis (Kelab Remaja JIM). Antara medan utama pertembungan ini adalah di sekolah berasama penuh terutamanya sekolah agama seperti Kolej Islam Klang (KISAS).

 

Kemudian anak-anak JIM/IKRAM/IRC melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan bergiat dalam kegiatan universiti. Pembawaan ‘ideologi’ JIM/IRC/IKRAM turut sama dibawa bersama mereka. Di universiti, selain daripada anak-anak anggota, ada juga pelajar universiti yang sememang dilatih dan diindoktrinasi di sekolah-sekolah milik JIM/IKRAM, ABIM, HALUAN dan PAS. Mereka ini turut berpengaruh dalam mengerakkan aktiviti gerakan Islam di kampus.

 

IRC pernah memegang tampuk pentarbiahan mahasiswa terutamanya pentarbiahan mahasiswa di Universiti Malaya. Penyusupan mereka secara rahsia. Pentarbiahan mereka untuk memilih kader berkualiti untuk diserapkan dalam IRC bukannya PAS yang menguasai Jemaah Islam Kampus (JIK).

 

Pada era tahun 1986-1988, berlaku perselisihan faham antara kelompok pro PAS dengan pro IRC. Akibatnya, IRC disingkirkan dalam PMIUM. Ekoran penyingkiran ini, IRC bertindak balas menyingkirkan kelompok pro PAS daripada Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam UM(PMAPIUM). Kemudian kelompok pro PAS berjaya menguasai PMAPIUM pada sesi 1988/89. Pada  tahun seterusnya, IRC menghantar wakil dalam Barisan Mahasiswa Bersatu(BMB) yang pro HEP. Antara pimpinan IRC terkenal ialah Nazman Mustafa.

 

Di UKM, Islam Penyelamat Ummah (IPU) pernah membentuk Majlis Syura hasil gabungan mahasiswa pro PAS dan pro IRC. Lujnah tarbiah dipegang oleh IRC manakala lujnah politik oleh IPU. Pada tahun 1987, berlaku pengeseran apabila IPU mendakwa IRC menarik ahli-ahli IPU untuk masuk dalam IRC dan melakukan program untuk kepentingan IRC tanpa pengetahuan Majlis Syura.

 

Dalam mesyuarat agung Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan Islam UKM(PMFPI) sesi 1988/89, IRC  bertanding melawan calon-calon IPU. Perkara ini berlanjutan dalam muktamar Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) dimana calon IPU dan IRC bertarung secara terbuka sehingga pengiraan terpaksa dilakukan dua kali kerana kehadiran yang luar biasa.

 

Di UTM, IRC gagal menguasai PMUTM dan PMIUTM tetapi mereka kembali bangkit apabila Syed Mohd Famy dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor HEP. IRC cuba menguasai kolej melalui HEP. Pada sesi muktamar PMIUTM sesi 1988/89, berlaku pertembungan antara IRC dengan pro PAS. Kekalahan mereka menyebabkan mereka berundur daripada PMIUTM.

 

Tindakan IRC menarik keanggotaan dalam PMI sehingga membentuk Jemaah dalam Jemaah adalah satu tindakan terkutuk. Ia satu penyusupan yang tidak beradab dalam berjemaah, apatah lagi mengunakan kekuatan orang lain untuk memperkuatkan diri sendiri tanpa pengetahuan pihak terbabit.



[1] Ada otai ABIM yang pernah menjadi anggota Majlis Syura ABIM menyatakan Abdul Hadi Awang cuba menguasai pentarbiahan ABIM tetapi gagal.

[2] Pada akhir 1970an, ABIM rapat dengan pemikiran M.Natsir. Ia cuba mengurangkan kebergantungan kepada gagasan pemikiran Syed Qutb.

[3] Antara tokoh popular IRC mendekati gerakan mahasiswa Islam seperti PMIUM dan PMAPIUM ialah Ustaz Darus Senawi dan Ustaz Alias Othman.

[4] Abdul Hadi Awang dekat dengan IRC dan merestui kehadiran tokoh tokoh IRC dalam pentarbiahan PAS. Tokoh-tokoh IRC banyak membantu Abdul Hadi dalam pilihanraya.

[5] Syed Ibrahim pemimpin utama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang berjuang memansuhkan ISA dan membantu mangsa-mangsa ISA. Menariknya, antara pemimpin muda GMI adalah Ustaz Mohd Ramadhan Fitri Elias mantan Presiden PMIUM yang kemudiannya masuk PAS. Terkini Ustaz Mohd Ramadhan Fitri Elias telah menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

[6] Ucapan Dasar Presiden JIM, PPN ke 21.

[7] Majlis Peguam Malaysia antara pertubuhan yang banyak menentang pelaksanaan Islam. Selepas PRU ke 12, Majlis Peguam mengadakan satu majlis makan malam. Tun Abdul Hamid, mantan Ketua Hakim Negara mencatatkan “Encik Cecil Rajendra, peguam-penyair dari Pulau Pinang itu, menulis sebuah puisi memuji peguam-peguam yang memenangi pilihanraya atas tiket DAP dan Keadilan. Sebelum membaca puisinya, beliau memanggil mereka naik ke pentas dan mengisytiharkan mereka sebagai “Our heroes”. Tokoh Majlis Peguam yang aktif dalam BERSIH dan Negara-Ku ialah Dato Ambiga. Lihat Tun Abdul Hamid Mohamad, “PEMBANGKANG, MAJLIS PEGUAM DAN COMANGO “MERAMPAS” MKPN (NUCC”).

[8] https://www.youtube.com/watch?v=mYvrcKDPF3o durasi 0.53 saat dan 1.43 minit.

[9] Pengasas laman web ah Ahkam dan Forum thtl. Beliau dikatakan mantan anggota Majlis Syura HALUAN.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...